Wednesday, 6 April 2016
ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 1
“ADOI!!!” serentak dengan itu beg dan bukubuku
jatuh bertaburan di atas lantai.
“Hoi, mata kau letak kat muka ke kat lutut. Aku
yang besar macam ni pun kau boleh langgar.” Acam yang
sudah mendidih hati terus sahaja sound mamat yang
melanggarnya tadi dengan selamba. Peduli apa lelaki ke
perempuan, ada dia takut. Mata kalau tak letak kat tempat
yang betul macam itulah, asyik nak langgar orang sahaja
kerjanya. Nasib baik mulut dia boleh cover lagi, kalau dia
cakap mata letak dekat punggung harus menyala muka
mamat tu.
“Hee… sorry. Mata aku letak kat tanganlah.”
Amboi, bersahaja aje mamat tu menjawab. Boleh sengihsengih
lagi macam kerang busuk. Ingat lawa sangat muka tu
nak tersengih bagai. Ini Acamlah, ada berani.
“Hah, lain kali jangan letak kat tangan, letak terus
kat tapak kaki lagi senang.” Masih tidak puas hati dengan
jawapan mamat itu. Harap muka aje handsome, perangai tak
boleh blah, gerutu Acam dalam hati.
Beg dan buku-buku yang bertaburan dikutipnya
ganas. Hati masih sebal dengan feel tak boleh blah mamat
yang masih berdiri di hadapannya.
“Apa lagi, blahlah,” sindirnya dengan tajam.
Mamat di hadapannya itu masih tidak bergerak. Dah rupa
macam patung cendana pun ada, tak pun patung Ronald
McDonald yang tegak sambut tetamu depan restoran tu
okey juga. Heh, sebut McDonald terus tekaknya terasa lapar.
Daripada layan mamat sengal ini baik sambar Big Mac ke,
Double Cheese Burger ke, tak pun dapat Pineapple Pie pun
sedap juga. Sebelum melenja liurnya dan dilihat dek mamat
ini, baik dia yang blah dulu.
“Err… ni buku awak ke? Nama awak siapa, eh?”
ujar mamat tu dengan muka buat-buat comel. Boleh lagi
dibelek-beleknya buku Acam.
“Nak tau apasal? Penyibuk!” balas Acam kasar lalu
merampas buku yang berada di tangan mamat di hadapannya
itu. Boleh tahan ganas awek ni.
“Err.. tak apalah... nama aku Irfan Fadzil, boleh
panggil aku Dzil aje.”
“Ada aku tanya ke?” sindir Acam lalu segera
mengangkat kaki meninggalkan lelaki yang masih
terpaku di situ sambil tersengih-sengih.
Semua freshies yang terlibat dalam minggu
orientasi diminta berkumpul di dewan besar. Biasalah,
minggu pertama mesti ada sesi suai kenal. Itu yang
membuatkan Acam tak berapa suka nak masuk ke manamana
institusi pengajian tinggi. Tapi nak buat macam
manakan, kalau tak masuk IPT takkan nak sambung
belajar kat rumah pula. Agak-agak laku ke sijil yang
mak dan ayah dia keluarkan itu nanti. Kalau setakat sijil
tunggu pinangan memang boleh sangatlah nak
digantung di hadapan pintu rumah.
Acam, seorang perempuan yang tak kurang
ayunya, berwajah putih mulus, tanpa sebarang make-up
di wajah, sekali pandang memang boleh tertarik
kepadanya. Tapi dua kali pandang, memang kena fikir
sepuluh kali dengan perangai ala-ala tomboinya tu.
Ganas anak gadis seorang ni, jalan pun dah macam
separuh samseng. Itu belum lagi kalau naik angin,
rasanya tornado pun minta ampun dengan minah
seorang ni. Ala-ala Kak Long dalam Bini-Biniku Gangster
pun ada juga. Kalau Shamsul Yusof nak buat sambungan
filem KL Gangster memang boleh ambil berlakon minah
seorang ini.
Mata Acam mencari-cari, memerhatikan mangsa
seterusnya. Seketika pandangannya tertancap pada
seorang senior yang duduk bersendirian di sudut
dewan. Hah, aku jumpa senior ni dululah, bisik hati
kecilnya. Langkahnya sudah dipadukan ke arah
perempuan itu. Kemudian, dia terhenti apabila
terpandang wajah yang masih terlekat di ingatannya
sedang bergerak ke arah yang sama.
Aiyark... mamat ini lagi. Tak sudah-sudah dengan
muka mamat sengal ni. Apa pasal, tiap kali aku nak buat
apa-apa mesti jumpa mamat ni hah. Asyik melekat aje
macam bayang-bayang aku pulak, getus hati Acam.
Bengkak!
Pada masa yang sama, Dzil yang dapat meneka
arah yang hendak dituju oleh Acam cepat-cepat
memotong line. Walaupun baru aje bertemu dan
mengenali perempuan yang ala-ala tomboi itu, dia
sudah mula menyukainya. Dapat sakat ni tentu seronok,
bisik Dzil. Tersungging senyuman di bibirnya.
“Alah, siapalah yang nak aku ambil tandatangan
ni,” keluh Acam sendirian. Kalau tak dipenuhkan
ruangan tandatangan tu, bimbang pula akan mendapat
denda. Isy, kalau sekolah menengah okeylah kena dendadenda.
Ini dekat kolej nak kena denda, mahu malu satu
tahun. Silap hari bulan kena pinjam topeng Ultraman ke, tak
pun topeng Power Rangers yang dijual kat pasar malam tu.
Sudahnya, empat jam berada di dewan itu, hanya
dua tandatangan sahaja yang baru diperolehinya. Itupun
dengan penuh susah payah. Hatinya mengutuk-ngutuk
sikap sesetengah senior yang sengaja membuli freshies-freshies
sekadar hanya untuk mendapatkan tandatangan. Macam tak
ada matlamat aje sesi mendapatkan tandatangan ni. Ingat
dia orang tu diva ke nak kena minta signature bagai.
Acam sendiri, hanya untuk mendapatkan satu
tandatangan daripada abang senior yang didekatinya
tadi, dia perlu mencari seorang lagi kakak senior
yang bernama Anisah. Kisahnya, semata-mata untuk
menyampaikan salam. Berpusing satu dewan mencari
senior itu. Kalau pakai name tag tak apalah juga, boleh
juga dia membelek satu persatu, ini tak ada hint pun.
Terpaksalah dia menjengah dan bertanya seorang demi
seorang. Tapi akal Acam pun panjang juga, bila dah jumpa
senior nama Anisah tu, Acam minta tandatangannya
juga. Pergh… bijak!
Sekali lagi insiden perlanggaran berlaku. Nasib kali
ini tiada beg atau pun buku-buku yang bertaburan. Tapi
hampir terhantuk wajah sesama sendiri.
“Eii... perempuan, tak ada kerja lain ke? Tahulah
awak itu suka kat saya, asyik nak langgar saya aje,” usik Dzil
nakal. Sengaja nak menyakat. Suka dia melihat wajah kelat
perempuan di hadapannya itu. Susah sungguh nak tengok
senyuman terukir, waima sesaat pun. Apatah lagi untuk
dapatkan namanya.
“Helo... mulut tu ada insurans ke tak? Ingat aku
hadap sangat ke muka kau tu. Rasa nak langgarlanggar
aje kalau tak pun lompat setempat kat muka
kau tu,” balas Acam yang sudah berapi-api. Hatinya hangat
mendengar kata-kata mamat control macho ni. Kalau
Ultraman, dah lama kena fire tu. Biar hancur lebur
ditelan dek bumi.
Bengkak sungguh hatinya melihat mamat yang
tidak habis-habis dengan sengihnya tu. Tapi boleh tahan
jugak muka mamat ni kan, bisiknya sendiri. Seketika,
dia tersedar. Hish, mahu juga ditampar mukanya sendiri
bila teringatkan fikiran yang terlintas sebentar tadi.
Acam terus berlalu meninggalkan Dzil yang masih
memerhatikannya. Langkah seterusnya, plan Dzil
dalam diam.
Walaupun baru sehari, ops... dua harilah kalau
dikira hari pendaftaran di kolej itu namun Dzil dengan
mudah dapat menawan hati ramai pelajar perempuan.
Malah ada juga senior perempuan yang berkenan
dengannya. Perawatakan Dzil yang happy go lucky,
peramah dan suka menolong itu memang menjadi faktor
idaman para gadis. Tambahan pula dengan wajah tampan
dan kulit yang putih melepak tu, memang jadi jejaka
idaman Malayalah. Tapi bukan untuk Acam.
Irfan Fadzil yang gemar dikenali dengan
panggilan manja Dzil, pelajar lelaki jurusan Kejuruteraan
Awam Kaji Air itu sebenarnya mudah bergaul dengan
semua orang.
Sifat open minded dan easy going yang
dipraktikkannya membuatkan semua senior pun turut
senang berkawan dengannya walaupun dia hanya baru
beberapa hari di situ. Tambahan pula pengalaman
menimba ilmu di sekolah berasrama yang telah
mengajarnya banyak erti persahabatan dan respect kepada
hubungan itu membuatkan dia dikagumi.
Bahkan, senarai nama senior dan tandatangan
yang harus dipenuhinya sudah hampir penuh walaupun
baru dua hari di situ. Sempat juga bergelak ketawa dengan
senior-senior lelaki yang sekepala dengannya. Ada kalanya,
dia pula yang lebih-lebih membuli rakan-rakan freshies
seangkatan dengannya.
Acam membelek-belek senarai nama senior
yang hampir hendak ronyok dikerjakannya. Alangkah
seronoknya kalau dia dapat menikmati pisang goreng
panas dan air batu campur di waktu itu. Teringatkan
aktiviti petangnya di rumah pada waktu-waktu begini
membuahkan rasa kesal. Perghhh, nikmat. Mukanya
ditebalkan juga untuk bertemu dengan senior yang
paling tampan di kolej itu. Itulah gelaran yang diberikan
oleh rakan-rakan freshiesnya. Acam pun sebenarnya
teringin juga hendak melihat setampan mana senior yang
paling glamour tu. Adakah setampan Brother Azhan,
ketua pengawas di sekolahnya dulu. Hui, handsome
mamat itu, kalau dia senyum boleh angau tujuh hari
tujuh malam. Acam pun boleh tersangkut hati kat Abang
Azhan tu, tapi setakat tersangkut sahajalah, tak sempat nak
parking hati pun. Dah jadi hak milik orang!
Sebaik sahaja dia sampai di hadapan senior itu,
pandangannya dihadang pula oleh seseorang yang tiba-tiba
berdiri di hadapannya. Potong line betullah. Siapa pula yang
buta tak nampak aku yang dah duduk tercegat di depan ni,
maki Acam dalam hati. Mana aci, tak boleh dibiarkan nanti
melepas lagi.
“Helo saudara, saya rasa saya dulu berdiri kat sini
tadi,” tegur Acam sambil mencuit bahu pelajar lelaki yang
berada di hadapannya.
“Err... awak cakap dengan saya ya,” balas pelajar
lelaki itu lalu menoleh menghadap Acam. Hati Acam
membara tiba-tiba.
“Eii... kau ni kan dari tadi tak sudah-sudah
menyibuklah. Kau dah tak ada kerja ke ekori aku pergi manamana,”
bentak Acam. Jarinya sudah dikepal-kepal. Silap hari
bulan mahu bertelur dahi mamat ni.
“Aish... tadi elok berawak bersaya. Sekarang sudah
tukar ke?” Masih lagi dalam mood mengusik, tersengihsengih
Dzil sambil menayangkan barisan giginya yang
bersilau macam iklan Colgate. Cantik gigi! Sempat lagi
Acam memuji barisan gigi Dzil, tapi dalam hati ajelah. Boleh
pitam kalau puji depan-depan.
“Tepilah.” Acam menolak tubuh Dzil yang
menghadang laluannya. Mata Acam sempat menangkap
renungan Dzil yang entah kenapa menjentik tangkai hati
gadisnya. Eh, takkan tangkap leleh kut dengan renungan tu.
Ini Acamlah!
Dah melepas satu tandatangan, getus hati Acam.
Sedang elok mereka bergaduh tadi, datang freshies lain
mendahului mereka. Tak pasal-pasal dah kena cari yang lain
dulu. Sempat ke aku nak penuhkan semuanya ni, jerit hati
Acam.
Dzil ketawa terkekeh-kekeh melihat Acam yang
berlalu dengan muka cemberut bersama muncung 14 inci.
Hish, cantik juga minah ni, bisik hatinya. Otaknya ligat
berfikir cara untuk mendekati gadis yang tak berapa nak
perempuan itu. Jinak-jinak merpati. Semakin didekati
semakin sukar untuk dimiliki. Arghh, mereng dah kepala
aku ni! Dzil tersenyum sendirian.
“Perhatian! Perhatian! Semua freshies dari negeri
Johor dikehendaki melaporkan diri di meja senior yang
berbaju hijau di tepi dewan.” Satu announcement
berkumandang kuat memenuhi ruang udara dewan.
Kelihatan kelibat para pelajar menderu dan bergegas
menuju ke arah meja yang diarahkan.
Acam hanya dengar tidak dengar sahaja
announcement yang dibuat. Mana tidaknya, dalam kepala
asyik terfikir macam mana mahu penuhkan semua ruang
tandatangan tu. Takut benar tidak dapat dipenuhkan,
sumpah lari balik kampunglah jawabnya. Terpaksa ambil
MC sebulan pun sanggup. Hadap sajalah doktor di
kampung, buat muka kasihan.
“Eh, aku bukan budak Johor ke?” soalnya
sendirian. Kepala yang tidak gatal digarunya. Agaknya
lepas seminggu orientasi ni berakhir, mahu mereng jadi
otaknya. Acam hanya menggeleng kepala.
Tanpa melihat sesiapa yang berdekatan, Acam
terus sahaja menarik kerusi dan duduk menanti apa
yang bakal diterangkan oleh fasilitator mereka. Matanya
tertangkap pada kelibat seorang lelaki yang agak segak.
Wah, handsome mamat ni.
“Tahu tak siapa nama senior tu?” ujar Acam
tanpa menoleh ke arah orang yang ditanyanya.
“Bukan senior tu, lecturerlah. Itulah Encik
Khairi, lecturer Elektrik,” jawab pelajar lelaki yang
ditanyanya. Eh, suara tu macam pernah dengar.
“Lorh... Lecturer ke. Tak macam lecturer pun.
Macam student aje,” ujarnya masih belum puas hati.
“Biasalah, awet muda pandai control handsome,”
balas suara itu lagi. Acam sudah tersenyum lalu
mengalihkan pandangan ke arah suara itu
Bagai nak terkeluar anak matanya apabila
melihat dengan siapa dia berbual sebentar tadi. Erk... nak
lari pun dah tak boleh. Dah terperangkap dalam himpunan
pelajar-pelajar dari negeri Johor yang diminta berkumpul
tadi.
Acam mempamerkan riak muka tidak puas hati tapi
lain pula dengan Dzil, tersenyum meleret-leret.
“Isy... tak ada muka lain ke, asyik muka kau aje aku
kena hadap,” marah Acam. Lebih kepada memarahi dirinya
sendiri. Apalah nasibnya hari ini.
“Dah dia orang panggil budak Johor kumpul di sini,
nak buat macam mana, kan. Cik Kede ni budak Johor juga
ke?” jawab Dzil selamba.
“Kede...” Berkerut-kerut wajah Acam digelar begitu.
“Ha’ah... kedekut. Tanya nama pun kedekut nak
bagi tahu,” selamba aje Dzil menjawab. Wajah masam Acam
semakin mencuka. Kalau letak buah mangga ke, kelubi ke,
mesti sudah jadi jeruk. Bagi kat Mail dalam Upin Ipin jual
kat pasar dua seringgit, dua seringgit pun tentu laku.
“Sibuklah...” jerkah Acam dengan hati yang
panas.
Sedang elok sesi berbalah mereka habis, sesi
suai kenal antara lecturer dan pelajar Johor juga selesai.
Yang pasti, kedua-duanya tidak turut serta pun dalam
sesi tersebut. Asyik sibuk bergaduh sesama sendiri. Lepas
ni sibuk nak kena cari siapa lecturer, siapa senior. Sebal
di hati Acam masih tak surut tapi hati Dzil dah berbungabunga.
Dalam kasar dan ganas sikap Acam, sesuatu yang
istimewa telah dapat diintai.
Malas hendak berasak-asak bersama pelajar lain di
dewan itu, Acam meminggirkan diri. Masih Lone Ranger,
tanpa ditemani oleh sesiapa Acam bergerak menuju ke
hostel. Dengan perangainya yang agak kasar tetapi
reserve itu dia sukar mendapat teman rapat.
Bagi Acam, seorang sahabat perlulah
memahaminya dengan baik. Bukan sekadar melihat
luaran dirinya sahaja. Mungkin Acam nampak kasar,
bersikap seperti lelaki tetapi hatinya sangat-sangat
lembut, amat mudah terusik dan terguris. Itu yang
pasti. Bukan mudah hatinya untuk dihuni oleh
seseorang yang bernama sahabat apatah lagi kekasih.
Hanya mereka yang terpilih sahaja yang mampu berjalan
seiring dengannya. Hampeh, ingat kerabat-kerabat dan
bangsawan aje yang boleh pilih-pilih orang, dia pun
memilih juga. Lagi cerewet, lagi banyak songeh!
No comments:
Post a Comment