Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 10

“ACAM, oh Acam. Ni ada panggilan telefon,”
laung ibu Acam dari tingkat bawah. Siapa pula yang rajin
menelefon malam-malam ni, getus Acam.
Jam di dinding dikerlingnya sekilas. Sudah jam
11.00 malam. Malas-malas Acam bergerak menuruni
tangga.
“Siapa yang telefon Acam, ibu?”
“Kawan kamulah. Hah, jangan lama-lama sangat,
dah lewat malam ni. Nanti dah habis bercakap, padam
lampu. Ibu nak tidur dah,” pesan Puan Radziah lalu beredar
ke kamarnya.
Pelik juga, selalunya kalau ada orang telefon
malam-malam buta ini jarang sangat ibunya itu melayan.
Dapat pula kalau rakan adik-adiknya, memang tidak ada
peluanglah hendak dapat bercakap. Mahu kata hi hi bye bye
pun jangan harap. Ini siapa pula yang istimewa sangat dapat
pas agung daripada ibunya. Pelik!
“Helo, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, awak dah tidur ke?” ujar
suara di hujung talian. Hati Acam disapa rasa gembira.
Gembirakah apabila mendengar suara itu?
“Dah nak tidur, kalau awak tak kacau,” balasnya
menyembunyikan rasa hati.
“Yalah, saya ni kacau awak aje. Kalau orang lain
tak apa, kan.” Sedikit bernada rajuk dalam suara Dzil. Isy,
mamat ni malam-malam nak sentap apahal entah, gumam
Acam.
“Ada apa awak telefon saya ni?”
“Kenapa tadi awak tak tegur saya?” soal Dzil. Tepat!
“Tegur awak? Hish, takkanlah saya nak
melaung-laung panggil nama awak. Kalau nak suruh
saya tegur, lalulah kat tepi saya ke, berhenti kat meja saya
ke.” Masih lagi berlagak biasa biarpun dia sedar suara
Dzil sudah bernada rajuk. Eleh, dia aje tahu nak
merajuk. Aku tak pandai nak merajuk, getus Acam.
“Tadi tu siapa, pakwe awak ke?”
Soalan Dzil mengundang tawa Acam. Kalau boleh
terguling, mahu dia tergolek-golek berguling di atas lantai
tu. Nasib baiklah terkenangkan sudah lewat malam, risau
seisi rumah ingat benda lain pula yang asyik mengilai.
“Haih, tak boleh blah statement awak ni. Kenapa,
dia ada nampak macam pakwe saya ke?” soal Acam kembali.
“Kalau bukan pakwe awak, siapa? Mesra semacam
aje.”
“Kenapa ya saya dengar macam bunyi ada orang
cemburu aje. Betul eh awak cemburu? Alah, tak payahlah
nak cemburu dengan saya. Lagipun saya bukan siapa-siapa
dengan awak yang awak nak kisah pun. Yang awak berkepit
siang malam dengan budak baju biru tu ada saya kisah ke?”
“Siapa kata awak bukan siapa-siapa kat saya? Awak
yang katakan, bukan saya. Saya kata awak ada ‘sesiapa’ pada
saya,” tutur Dzil masih senada, malas hendak bermain tarik
tali.
“Lawaklah awak, nak bernanah telinga saya dengar.
Tak payah nak susun ayat-ayat cintalah dengan saya.
Lebih baik awak pergi ayat makwe baju biru awak tu,”
sindir Acam lagi. Hatinya masih sakit mengenangkan
kemungkinan Dzil masih lagi berhubungan dengan
perempuan itu.
“Eh... bunyi macam awak jealous aje. Awak suka
saya ya,” seloroh Dzil semakin galak pula menyakat.
Perangai menyakatnya telah kembali apabila
bercakap dengan Acam. Bukan boleh lama-lama pun untuk
simpan rasa amarah atau cemburu. Apabila bercakap
dengan Acam saja, hati sudah kembali riang. Itu belum lagi
dapat bertemu berdua-duaan. Hati yang sakit cepat sahaja
pulihnya. Hendak merajuk lama-lama pun tidak jadi.
“Ada ke bunyi jealous yang keluar dari mulut saya
ni?”
“Lah, mana saya nampak mulut awak, kalau
nampak dah lama saya cubit mulut tu.”
“Eii... cakap dengan awak ni kan, geramlah,”
marah Acam. Mahu marah, tapi mulut tersenyum. Aduhai,
mulut dan hati sudah tidak sehaluan.
“Kalau geram, katakanlah... tidak saya, tidak
marah...” Boleh pula ubah lirik lagu Arrow tu si Dzil
ini. Tersenyum lebar Acam yang mendengarnya. Nasib
baik berbual di telefon, kalau tidak sudah tentu kantoi
dia dengan lelaki ni.
“Okeylah awak, ibu saya pesan tadi jangan borak
lama-lama. Dah malam ni, saya nak tidur,” kata Acam ingin
menamatkan perbualan.
“Nanti awak kirim salam sayang saya kat ibu
awak ya.”
“Amboi, awak ada affair apa nak kirim salam
sayang pula kat ibu saya, tak takut ke ayah saya racun
awak?”
“Nak racun apa, ibu awak tu kan future
mother-in-law saya, ayah awak tu pula future
father-in-law saya.” Serentak dengan itu terdengar
tawa Dzil panjang. Terkedu Acam mendengarnya.
“Banyaklah awak punya future... orang nak
tidurlah.”
“Awak tak jawab lagi soalan saya tadi, yang makan
dengan awak tadi tu siapa? Pakwe awak ke?” soal Dzil masih
belum berpuas hati.
“Eii... awak ni kan. Kalau saya kata pakwe saya,
awak nak buat apa?”
“Saya nak isytihar peranglah. Rampas balik awak
daripada dia. Dia dah rampas awak daripada saya, mana
boleh saya bagi muka.”
“Apa main rampas-rampas ni? Sejak bila saya jadi
milik awak? Alah awak, saya nak tidurlah. Esok nak kerja,
lagipun siapalah nak kat saya ni. Kasar, tomboi, tak lawa,
mulut laser, hah apa lagi kawan-kawan awak kata,” balas
Acam. Terdengar tawa Dzil lagi. Hish, ada pula ketawa.
Bukannya nak pujuk orang, marah Acam sendiri.
“Saya nak kat awak tapi awak aje jual mahal,” ujar
Dzil. Kembali dengan nada romantisnya.
Ceh, konon-konon cuba mengayat Acamlah tu.
Bukan dia tidak tahu, hati minah tu bukan senang nak
takluk. Bertuah besar kalau dapat sedikit daripada ruang di
hati itu pun.
“Dahlah awak, malas nak fikir pakwe makwe ni.
Nak tidur, dah malam. Mengantuk sangat ni,” bebel Acam
malas sambil tangan menarik bantal. Alamak, apa pasal pula
bermain dengan bantal. Macam jiwanglah pula.
“Okeylah, nanti saya call lagi. Mimpi indah-indah ya,
jangan lupa jemput saya sekali masuk mimpi awak,” ucapnya
sebelum memberi salam dan mematikan perbualan.
Dzil tersenyum mengenangkan bebelan Acam.
Sweet saja di telinganya. Parah dah aku ni, bisiknya
sendirian. Senyuman puas terukir di bibir lelaki itu.
Sekurang-kurangnya dia tahu, lelaki yang dilihatnya
bersama Acam di Wiracourt tadi bukan sesiapa pada Acam.
Masih ada peluang yang cerah untuk dia.
Acam, satu hari nanti jodoh itu pasti milik kita!
Matanya terlelap dengan gambaran Acam yang tidak pernah
pudar.

No comments:

Post a Comment