Wednesday, 6 April 2016

ANDAI CINTAMU AKU MILIKI - BAB 11

MATA Acam ralit memerhatikan langkah
Abang Eshan yang teratur bersama sejambak bunga di
tangan. Mulut lelaki itu tidak henti-henti bernyanyi girang.
Bukan main seronoknya, entah apalah yang meriangkan
hati sesangat tu. Selama beberapa bulan menjalani praktikal
di situ, sudah kerap benar Acam melihat Abang Eshan
membeli bunga. Kalau buka kedai bunga untung juga ni.
“Wah, happy semacam aje abang,” tegur Acam.
Dikerlingnya jam di tangan, sudah setengah jam waktu ofis
tamat.
“Eh, biasa ajelah Acam. Tak balik lagi ke?” soal
Abang Eshan kembali terkejut dengan kehadiran Acam
di situ. Dia memang kagum dengan gadis yang berdiri di
hadapannya itu. Walaupun hanya budak praktikal tapi
kerajinannya mengalahkan pekerja tetap. Kalau dapat
diserapkan sebagai pekerja tetap selepas tamat pengajiannya
nanti tentu bertuah syarikat mereka. Dapat pekerja yang
cukup dedikasi. Pekerja memang ramai tetapi pekerja yang
baik dan komited pada tugas memang sukar dicari.
“Belumlah, bang. Ada sikit lagi nak fotostat ni.
Wah, rajin betul abang beli bunga ye, untuk siapa tu?”
“Dah tentu-tentunya untuk kakak kamulah Acam
oii. Abang ni mana ada kekasih gelap,” balasnya dengan tawa
yang terlerai. Tersungging senyuman kecil di bibir Acam.
Wah, romantiknya Abang Eshan ni, getus Acam.
“Eii, seronoknya jadi kakak ya bang, selalu dapat
bunga. Sesetengah orang tu masa bercinta aje bagi bunga
bagai, kalau boleh kedai bunga tu nak letak di depan rumah,
tapi bila dah kahwin, hampeh.” Mulutnya merungut bukan
main, tangan masih tetap membelek helaian kertas yang
bertimbun di atas mejanya. Amboi, macam aku pula yang
dah ada pengalaman, gelak Acam dalam hati.
“Ha, itulah salahnya kita ni bila dah berkahwin.
Masa kita sibuk mengejar, bulan bintang sanggup
kita bagi, bila dah kahwin bunga sekuntum pun kita
berkira.” Ikhlas tutur Abang Eshan di telinga Acam.
“Selalunya orang lelaki mana ramai yang
suka beli bunga-bunga ni, buat membazir aje beli
bunga-bunga ni kata dia orang,” tambah Acam.
Suka pula membicarakan topik ini dengan Abang
Eshan.
“Salah persepsi tu. Abang sendiri dah nak masuk
20 tahun kahwin. Apa salahnya kita hargai isteri kita, penat
lelah dia melahirkan anak-anak untuk kita, menjaga rumah
tangga, melayan anak dan suami. Sanggup mengorbankan
kerjaya mereka untuk kita. Apalah sangat dengan
memberi mereka sejambak bunga sebulan sekali. Berapa
sangat pun harganya, tak sampai RM50. Kalau rasa sayang
nak beli mahal-mahal, sekuntum bunga ros pun dah
memadai. Syaratnya hati kena ikhlas. Jangan kedekut untuk
melahirkan penghargaan untuk isteri, ucapan terima kasih
Andai Cintamu Aku Miliki
8866
untuk mereka. Paling penting, luahkan rasa kasih sayang
supaya mereka tahu mereka sentiasa ada dalam hati kita.”
Terpaku Acam mendengar kata-kata Abang Eshan.
Wow, tak pernah dia mendengar dari mulut
seorang lelaki setiap ayat yang dituturkan oleh Abang
Eshan itu.
“Macam tak percayalah, bang. Abang yang cakap
macam ni. Selalunya mana ada orang lelaki yang nak cakap
macam ni, bang.”
“Memanglah fitrah lelaki, mulut tak banyak. Bukan
semua yang tak luahkan kasih sayang di mulut tu
bermakna tak sayang. Tapi bagi abang, buat apa nak
kedekut. Bila kita luahkan, tengok muka isteri, muka anakanak.
Mesti mereka gembira aje bila tahu kita sayang mereka.
Hah, bab bagi bunga tu, membazir hanya untuk nilai poket
tapi kalau dinilai pada hati, besar sangat dah nilai bunga tu.
Lagipun kalau kita tak membeli, kesian pula kat pekebunpekebun
bunga, tak ada businesslah mereka nanti,” tambah
Abang Eshan lagi meneruskan sesi mengenali lelaki bersama
Eshan. Sempat juga hendak berseloroh dengan Acam.
“Okeylah, balik cepat-cepat bang. Nanti kakak
tertunggu-tunggu pula,” ujar Acam mengingatkan lelaki di
hadapannya itu. Bukan nak menghalau tapi tidak mahu dia
menjadi penghalang langkah Abang Eshan. Kalau dah buka
cerita, semua pun boleh terbantut nanti.
“Erk... kakak kau dah ada kat bawah, dia drive hari
ni. Kita orang nak pergi layan movie kejap dengan anakanak,”
balas Abang Eshan lalu melambai tangannya sambil
berlalu.
Hati Acam disiapa rasa gembira melihat bahagianya
hidup Abang Eshan. Apakah dia juga akan seperti mereka,
mampu meneruskan apa yang dilakukan semasa
bercinta walaupun sudah berumahtangga.
Alah, bercinta pun belum dah fikir alam rumah
tangga. Terkekek-kekek Acam tertawa mengingatkan apa
yang tersirat di mindanya.
JAM di dinding sudah menginjak ke angka enam.
Masih belum selesai tugas-tugas Acam. Semua kertas yang
ada di hadapannya harus dibereskan sebelum pulang. Hari
Sabtu dan Ahad tidak bekerja namun tugasnya itu harus
selesai sebelum esok. Seram juga hendak bekerja seorang
diri sehingga lewat malam walaupun ada sahaja pak guard
yang menemani di tingkat bawah. Kertas-kertas di
hadapannya itu akan digunakan untuk hari keluarga yang
akan diadakan esok.
Satu per satu pelekat hadiah yang telah dicetak
dilekatkan pada hamper yang telah dibalut rapi. Semua
kerja-kerja membalut hadiah dan hamper telah selesai
dilakukan dibantu oleh rakan-rakan lain. Kak Haniza punya
ceritalah tu. Rajin dia berhijrah dari satu department ke
satu department mencari rakan sekutu yang tidak ada kerja.
Nasib baiklah ramai yang sudi membantu. Lagipun bab-bab
hadiah memang suka sangatlah.
Akhirnya dekat sepuluh orang juga yang datang
membantu Acam. Qaid pun sama naik juga. Bukannya
menolong banyak sangat, lebih banyak menyakat Acam
daripada membuat kerja. Sebut nama Qaid, Acam pun
tidak pasti mamat itu sudah balik ke belum. Selepas habis
kerja-kerja membalut hadiah tadi, bayang mamat itu pun
hilang entah ke mana. Dalam bilik tidak perasan pula. Acam
menoleh ke bilik Qaid, lampu masih terpasang. Hatinya
berdetik, tak balik lagi ke mamat ni.
Perlahan kaki diatur ke bilik Qaid untuk
memastikan ketuanya itu masih ada. Kata ketuakan, tapi
pelik dia boleh berengkau aku saja dengan si Qaid tu. Mamat
itulah, pandai-pandai tidak bagi dia berencik-encik bagai.
Kadang-kadang timbul juga rasa segan tapi hendak buat
macam mana, kalau tersebut panggilan encik itu, diugutnya
siap-siap mahu cium mulut si Acam.
Erk... suka-suka sajakan mahu cium-cium mulut
anak dara orang. Apa punya ketualah, perangai tidak boleh
blah macam itu. Tidak boleh dijadikan kepimpinan melalui
tauladan langsung.
Tidak sempat Acam sampai ke pintu bilik Qaid,
pintu itu sudah pun terkuak lebar. Terpacul sesusuk tubuh
Qaid yang tersenyum meleret melihat Acam yang berdiri
lebih kurang dua meter sahaja daripadanya.
“Hah, tak balik lagi ke?” tegur Qaid. Masih dalam
posisi tersenyum Colgatenya itu.
“Belum. Aku ada kerja lagi tak siap. Ingat kau dah
balik, tapi tengok lampu menyala lagi, ni yang nak pergi
tengok ni.”
“Banyak lagi ke? Dah pukul 6.00 ni.”
“Ada lagilah, nak print borang senarai peserta
sukaneka, lepas tu aturcara majlis ada sikit lagi tak lipat,”
balas Acam. Walaupun agak keletihan dan berlapar kerana
tidak makan tengah hari, dia masih mampu tersenyum.
“Tak apa, aku tolong.”
Qaid menawarkan diri untuk membantu Acam. Eleh,
memang patut pun dia menolong, bukan ke dia dan Acam
ditugaskan menyediakan semua tu.
“Err.. tadi kau keluar makan ke tak?” Acam hanya
menggeleng kepala menjawab pertanyaan Qaid.
“Masya-Allah, kau ni Acam. Kerja tu kerjalah
juga, tapi janganlah sampai tak makan. Tulah, tadi aku
ajak kau jual mahal. Kau duduk sini kejap, aku pergi
tapau kat bawah tu.”
“Tak payahlah aku okey ni. Tadi aku makan roti sikit.
Balik kejap lagi aku makanlah,” bantah Acam. Takut juga
sebenarnya kalau ditinggalkan keseorangan. Hui, ceritacerita
seram rakan sekerja sering menjadi halwa telinganya.
“Okey, aku hantar kau balik hari ni. Jangan
mengada-ngada nak buat muka macam tu,” tegas Qaid
apabila Acam mula memuncungkan mulut.
“Ha, kau nak tolong, kan? Nah, kau lipatlah semua
kertas aturcara ni. Aku nak siapkan printing borang-borang
ni kejap,” kata Acam tanpa melengahkan masa. Tangan
mengunjukkan sebeban kertas aturcara yang masih
belum dilipat. Lagi lama melayan omelan Qaid ni, lagi
lamalah hendak selesai kerja-kerjanya.
Sesekali terlihat Qaid menggeliat kecil. Lenguh
agaknya terbongkok-bongkok melipat kertas A4 itu.
Acam pun sesekali memusing-musingkan badan, sakit
pinggangnya seharian menghadap komputer. Mata dah
pedih-pedih melihat skrin. Ada sahaja benda yang hendak
diedit. Acam ini kalau buat kerja memang cerewet. Lagi
cerewet lagi si Qaid suka. Bukan apa, hasil kerja tu pasti
akan tip-top. Selalunya hasil kerja yang disiapkan oleh Acam
memang mendapat pujian daripada pihak atasan.
Pelik juga Qaid, budak praktikal macam Acam ini
selalunya kalau disuruh melakukan sesuatu tugas, pasti
sambil lewa sahaja. Maklumlah, bukan dibayar pun. Tapi
berlainan pula dengan Acam. Dengar kata pihak atasan
menimbangkan usul untuk menawarkan Acam bekerja
dengan mereka selepas habis belajar. Itupun masih dalam
rahsia syarikat lagi. Tidak siapa pun yang tahu melainkan
mereka yang terlibat sahaja. Lagilah kuat berkenannya si
Qaid tu kepada Acam. One in the million, bak kata orang
putih.
“Dah siap ke?” soal Acam memecah kesunyian. Ralit
bekerja sehingga masing-masing tenggelam dalam dunia
sendiri.
“Ready, bos,” balas Qaid pula sambil meletakkan
semua aturcara yang telah dilipat ke dalam kotak di sebelah
Acam.
“Siapa kuli siapa bos ni?” soal Acam tidak puas hati.
Dijelingnya wajah Qaid yang tersengih lebar tu.
“Sekarang ni kaulah bos, akulah pula kuli.”
“Wah, itu dah bagus.”
“Dah tak payah nak membebel. Kau kalau
membebel, satu tahun pun tak habis. Jom, aku hantar kau
balik.”
Panjang langkah Qaid menuju ke bilik kerjanya.
Seketika kemudian, dia kembali semula ke meja Acam
setelah memadamkan lampu dan mengunci pintu bilik.
Kunci kereta yang berada di tangan dilambunglambung
perlahan. Macam kanak-kanak ribena saja
lagaknya. Umur sudah banyak tapi perangai macam budak
sekolah rendah. Kadang-kadang timbul juga rasa suka
dengan si Qaid ini. Mereka beriringan menuju ke arah lif. Si
Qaid pula tak habis-habis tersenyum.
“Lah, yang kau tersengih-sengih dari tadi ni apa hal?”
sergah Acam.
“Hmm... sukalah, aku rasa macam kita ni sweet
couple aje. Balik kerja berdua-duaan, tunggu lif sama-sama,”
balas Qaid. Masih tersengih melihat wajah Acam yang sudah
merona merah. Cantiknya budak ni, desis hatinya.
“Eii... tak naklah balik dengan kau lain kali.”
Tersedar yang mata Qaid masih lagi terlekat di wajahnya.
Segera tangannya dikepalkan dan diangkat
menunjukkan tanda penumbuknya ke arah Qaid. Meledak
tawa Qaid memenuhi ruang sehinggalah lif terbuka.
Alahai, macamlah orang takut sangat dengan penumbuk
dia itu. Dahla tangan tu kecil saja, kalau hendak
dibandingkan dengan tangan orang ini. Tawa Qaid masih
lagi berbaki ketika mereka sudah berada di lobi pejabat.
Apa punya boslah, desis hati Acam. Kalau dilayan, begitulah
fiilnya.
KERETA dipandu perlahan membelah kesibukan malam di
pekan Batu Pahat. Walaupun pekan kecil tetapi tetap sibuk
kerana Batu Pahat merupakan pekan industri. Kereta Qaid
membelok ke arah deretan kedai makan yang terang disinari
lampu-lampu kalimantang yang bergantungan. Kelihatan
ramai juga pengunjung gerai makan di situ.
“Balik terus ajelah, Qaid. Aku tak bagi tahu ibu lagi
nak balik lambat sangat, nanti tertunggu-tunggu pula ibu,”
ujar Acam serba salah.
Bukan tidak sudi dibelanja makan, apatah lagi
memang perutnya sudah buat konsert dangdut goyang Inul
pun. Tapi risau kalau ibunya tertunggu-tunggu di rumah.
Qaid dengan selamba menghulurkan telefon bimbitnya
kepada Acam.
“Nah, telefon ibu bagi tau menantu dia nak belanja
bakal isteri makan.”
Terbuntang mata Acam mendengar ayat yang
keluar dari mulut Qaid dan paling ngeri, terdengar jeritan
halus dari mulut Qaid. Sah berbekaslah kuku si Acam
di lengannya. Halus dan runcing cubitan Acam. Walaupun
beralas dengan lengan kemeja yang panjang, namun pasti
malam nanti akan kelihatan lebamnya.
“Adoi, tak boleh berguraulah kau ni. Baru aku
tahu, kau ni pun ada sepit ketam. Tak ganaslah perempuan,”
gerutu Qaid menahan sakit.
“Hah, tulah gatal lagi. Kan ada pepatah cakap, kerana
pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Tu bukan
aku cakap tahu, orang cakap,” selamba juga balas Acam
dengan muka tidak bersalah.
“Sebagai balasan kau cubit aku, kau kenalah teman
aku makan malam ni. Cepatlah telefon ibu.”
Kata-kata Qaid disambut dengan cebikan Acam.
Segera papan kekunci di telefon bimbit Qaid ditekan.
Setelah memberitahu Puan Radziah yang dia akan pulang
agak lewat dan makan bersama Qaid di luar, telefon bimbit
dikembalikan.
“That’s my Acam. Esok-esok bila kau dah balik
kampus, rindulah aku kat kau,” ucap Qaid perlahan.
Acam perasan ada nada sayu pada ayat terakhir yang
keluar dari mulut lelaki itu namun dia diamkan sahaja.
Bukan tidak suka kepada Qaid malah Qaid cukup sempurna di
matanya. Cukup segalanya. Pakej yang menarik untuk
dijadikan teman hidup namun hatinya degil, tidak mahu
terbuka lagi untuk sesiapa. Benarkah? Atau sudah adakah
nama lain yang menginap di hatinya, dia sendiri pun keliru.
Ini kali kedua Acam makan berdua-duaan dengan
Qaid. Dia sebenarnya sangat senang dengan sikap Qaid yang
santai. Walaupun dia bergelar ketua, tapi dia tidak pernah
mempamerkan sikap seorang ketua ketika bersama
dengannya.
Lebih terasa seperti seorang rakan. Mungkin
dengan dia sahajalah kerana Acam perhatikan di dalam
departmentnya, Qaid kurang bercakap dengan pekerja
perempuan selain daripada Kak Haniza dan Juliana yang
sesekali datang bertandang. Ada juga dia perhatikan
beberapa orang budak praktikal dari IPT lain yang cuba
mendekati Qaid.
“Hmm... kalau aku tanya kau jangan marah eh.”
Acam cuba memecah kesunyian di antara mereka.
“Aku pernah marah kau ke Acam? Rasa-rasa aku tak
pernah lagi kut walaupun kau selalu aje buat aku bengang.”
“Hehe... sebab itulah aku sayang kat kau. Tapi sayang
sebagai boslah.”
“Kau ni kan, dah elok dah kata sayang kat aku tadi.
Tak payahlah nak tambah pula... bos kat belakang tu,” komen
Qaid. Baru saja hendak feeling-feeling dengar perkataan
sayang dari mulut Acam, sudah terbantut.
“Oii, lari topiklah Aku nak tanya tadi, kau ada apaapa
ke dengan Aqmar Arumi, budak praktikal tu. Aku tengok
bukan main lagi dia menempel kat kau, selalu aje singgah
jumpa kau kat ofis.”
“Cik Acam, untuk pengetahuan kau sekarang
ni hanya ada seorang aje minah yang aku asyik mengayat
sakan. Itupun yang nama dia Puteri Darlina tu. Sombong
bukan main lagi minah tu. Puas aku ayat, belanja makanlah,
nak hantar baliklah tapi dia buat tak tahu aje kat aku. Yang
lain tu aku belum sampai seru lagi nak mengayat. Dan
untuk pengetahuan kau, Puteri Darlina tu pun budak
praktikal juga,” jawab Qaid dengan wajah selamba.
Qaid ni kalau bercakap memang macam tak
ada perasaan. Terkedu Acam yang duduk di hadapannya.
Kunyahan terhenti, malah sudu dan garpu pun terlepas
daripada tangan. Cepat-cepat Acam menyambung kembali
kunyahan yang terhenti. Hati sebal dengan jawapan tidak
boleh blah mamat di hadapannya itu. Orang hendak
kenakan dia, aku pula yang terkena. Kantoi betullah, getus
Acam sendiri.
Qaid yang menyedari reaksi sebal Acam hanya
tertawa halus. Padan muka, pandai sangat nak adjust
orang dengan minah mana-mana entah. Ha, kan dah dapat,
gelaknya dalam hati. Gelak jahat tahu!

No comments:

Post a Comment