Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 1





Tuhan tolong lembutkan hati dia
Untuk terima ku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisi ku

Tuhan aku tahu banyak dosa ku
Hanya ingat Kamu kala duka ku
Namun hanya Kamu yang mampu membuka
Pintu hatinya untuk cintaku
…………………………………
Hafiz & Adira – Ombak Rindu

BALKISH melangkah menuju ke bilik air. Mengambil wuduk dengan tertib. Selepas itu dia melangkah semula ke dalam bilik dan menyarung telekung berwarna putih yang terlipat kemas di atas penyidai kayu. Kemudian sejadah dibentang. Dia berdiri tegak dan mengangkat takbir. Penuh khusyuk dia mendirikan solat Maghrib. Selesai memberi salam, selawat puji-pujian ke atas Nabi junjungan Muhammad S.A.W dialunkan. Kemudian dia mengangkat tangan dan berdoa.
‘Ya Allah Ya Tuhanku… Ampunkanlah segala dosaku. Berilah aku kekuatan dalam menempuh ranjau kehidupan yang penuh dengan dugaan ini. Permudahkanlah segala urusanku dan berilah aku rezeki di bumi-Mu. Ya Allah… aku bermohon kepada-Mu… Ampunkanlah dosa-dosa ayah dan mamaku. Tempatkanlah roh mereka bersama-sama orang yang beriman. Orang-orang yang Engkau berkati. Ya Allah… Berikanlah kesihatan yang baik kepada ibuku. Engkau ampunkanlah dosa-dosanya, panjangkanlah usianya dan murahkanlah rezekinya. Engkau berikanlah juga kesihatan yang baik kepada tok mak dalam usia emasnya ini.
Ya Allah Ya Tuhanku… Aku meminta kepada-Mu… berikanlah kebahagian kepada kakakku. Kurniakanlah dia dan suaminya kelahiran anak-anak yang soleh dan solehah. Berikanlah keberkatan pada rumah tangga mereka. Serta aku memohon agar Engkau memberi rahmatmu ke atas Pak Salleh sekeluarga. Sesungguhnya aku hamba-Mu yang kerdil. Makbulkanlah doa-doaku Ya Allah. Sesungguhnya hanya kepada-Mu aku meminta kerana hanya Engkau Yang Maha Memberi. Amin… Amin… Ya Rabbal‘alamin.
Kemudian tangannya yang ditadah tadi dibawa dekat ke muka lalu disapu ke wajah.
Selesai mengerjakan solat, Balkish bergerak ke katil. Tubuhnya yang seberat lima puluh kilogram itu dihempas ke atas tilam empuk. Leganya bila dapat meluruskan badan yang sedari tadi asyik duduk membuat kerja di ofis.
Tiba-tiba telefon bimbitnya mengalunkan irama syahdu lagu ‘Ombak Rindu’ nyanyian Hafiz dan Adira, lagu yang menjadi kegilaan ramai ketika ini. Itu petanda ada mesej yang masuk. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja sisi. Satu dengusan keluar dari bibirnya yang comel.
Nampaknya mesej itu datang dari seorang yang selalu menganggu hidupnya sejak akhir-akhir ini. Mahu tak mahu mesej tersebut dibuka juga. Lantas dia membacanya.

‘Hai sweet princess… tengah buat apa tu?’

Begitulah bunyi mesej yang datang ke kotak mesejnya. Membuatkan dia mengetap bibir tanda geram. Lantas mesej ringkas itu dibiarkan tanpa balasan. Tak ada masa dia hendak membalas mesej yang dirasakan tidak penting langsung dalam hidupnya.
Sejak kebelakangan ini, lelaki itu sering sahaja menganggu hidup dia. Di ofis, lelaki itu sering kali tercongok di depan mejanya. Naik rimas dia dibuatnya. Ikutkan rasa hati, mahu dilesingnya wajah yang konon perasan hensem itu akibat rasa geram yang teramat sangat. Namun dia sedar siapa lelaki itu.
Memang dia bencikan lelaki itu. Sehingga rakan-rakan sekerja sudah tahu akan perasaannya. Malah Kak Norma pernah mengusik. Jangan terlalu membenci kerana kelak perasaan itu akan bertukar menjadi cinta.
‘Cinta?! Pada Harriz Tan Sri Hamdan? Huh… simpang malaikat empat puluh empat! Tak hingin aku nak bercinta dengan lelaki berstatus buaya darat seperti dia. The Alligator King! Raja kepada segala spesis buaya darat yang ada kat Kuala Lumpur ini. Mungkin bukan setakat di KL ini saja dia jadi raja buaya, tetapi dekat seluruh alam semesta, Harriz la raja buaya jadian. Kasilah aku sejuta ringgit sekalipun, aku tetap akan kata TAK NAK! Apatah lagi nak kasi free. BOLEH JALAN!’
‘Apa dia ingat dengan muka hensem ala-ala pelakon korea dan segala kemewahan yang dia miliki, aku boleh terpikat? Huh… tolong sikit! Aku tak semurah itu. Aku bukan seperti perempuan-perempuan mata duitan yang boleh dia taburi dengan segala kemewahan untuk didampingi. Lagipun lelaki berpangkat Mr. Alligator seperti si Harriz itu bukannya boleh percaya sangat. Hari ini dia akan kata cinta. Esok atau lusa cintanya akan beralih kepada perempuan lain, yang lagi muda dan cantik dari aku pulak. Lelaki macam itukah yang perlu untuk aku sandarkan rasa cinta? Oh… tidak! Tak rela aku hendak memperjudikan nasib diri semata-mata kerana lelaki seperti Harriz.’
Balkish mengetap bibir. Bayangan wajah Harriz yang kononnya hensem itu menerjah kotak fikirannya. Terasa geram pula dia bila wajah yang sentiasa mekar dengan senyuman menggoda itu datang tanpa dipinta.
Lantas layar ingatannya menerpa pada kejadian siang tadi, yang membuatkan dia semakin jengkel pada anak teruna Tan Sri Hamdan yang seorang itu. Mengingati itu, hati Balkish ditimpa rasa geram yang tak sudah-sudah!

******************************************************************************

MORNING sweet princess…
Sejambak mawar merah diletakkan di atas mejanya. Pantas Balkish angkat muka. Bulat matanya bila melihat wajah Harriz yang tersenyum menggoda memandang dia ketika ini. ‘Hisy… bala betul! Apa dia buat kat sini? Buat aku moody aje. Tak boleh tengok aku senang langsung! Ada saja gangguan emosi yang dia berikan pada aku. Awal pagi pulak tu. Arghhh!!! Rasa macam nak menjerit aje!’
Setiap kali melihat wajah Mr. Alligator itu, setiap kali itu jugalah dia akan menjadi tension. Sakit kepala diserang migrain!
“Errr… Encik Harriz? Buat apa kat sini?” soal Balkish sedikit gusar. Dia sebenarnya memang tidak senang dengan kedatangan Harriz ke tempat kerjanya setiap minggu. Dia tidak mahu menjadi bahan cerita rakan-rakan sekerja. Lagipun dia bimbang jika ada rakan-rakan sekerja menuduh dia hendak menggoda adik ipar bos. Sedangkan dalam hati tak ada niat langsung nak menggoda Mr. Alligator itu.
“Saja! Nak jumpa you. I miss you so much! I called you many times but you didn’t answer. Sebab tu I datang sini semata-mata nak lepaskan rasa rindu I ni pada you. I rindu nak dengar suara you… wajah you… and everything about you. You buat I macam orang gila!” Luah Harriz bersungguh-sungguh. Pandangannya tidak lepas dari menatap raut wajah manis milik gadis bernama Balkish. Betapa dia rindukan gadis itu.
Sungguh! Hatinya tidak menipu. Dia benar-benar rindukan Balkish. Terlalu rindu!!!
Sejak mengenali Balkish, hatinya sering sahaja tidak keruan. Tidur malamnya tak pernah lena. Makannya sudah tak sekenyang dulu. Mandi juga sudah tidak terasa basah. Dia benar-benar sudah gilakan Balkish. Pendek kata, dia diserang penyakit angau!
Balkish mengetap bibir. Berapi rasa hatinya mendengar kata-kata Harriz. Geli-geleman pun ada juga. Paling dia tak suka bila Harriz memanggilnya dengan panggilan ‘sweet princess’. Kalau bukan kerana akalnya masih boleh berfikir dengan waras, sudah lama lelaki itu ditempelaknya. Biar Harriz berasa malu ditempelak di hadapan staf F&F Holdings. Menyakitkan hati! Nasib baiklah dia masih sedar bahawa lelaki yang berdiri di hadapannya ini adalah adik ipar kesayangan bosnya, Encik Fahmie Datuk Farhan.
Dia menjeling Kak Norma yang mengekek nakal. Bukan main seronok lagi kakak yang sorang itu mentertawakan dia. Lina, Siti dan Suzila yang sudah mengambil tempat duduk masing-masing, hanya mampu menguntum senyuman penuh makna. Senyuman apa lagi kalau bukan senyuman mengusik dia yang sudah terkulat-kulat ini.
‘Huh… suka la tu! Macamlah aku tak tahu senyuman diorang yang penuh makna tersurat dan tersirat tu.’ gumam hati kecil Balkish. Sebuah jelingan maut dihadiahkan buat sahabat-sahabatnya. Biar mereka tahu betapa ‘bengkak’nya hatinya ketika ini. Rasa nak membunuh aje!
Tidak kurang ada juga yang menghadiahkan dia dengan jelingan tanda cemburu. Terutamanya Fasha. ‘Aduh… apalah yang nak dicemburukan sangat? Kalau si Fasha tu rasa nak serah diri jadi ‘gilafriend’ si Harriz buaya darat ni, dipersilakan. Aku tak ada sebarang halangan. Malah, kecil tapak tangan… Stadium Bukit Jalil aku tadahkan. Ambiklah!!! Free of charge!’
“Encik Harriz, please! Kalau Encik Harriz datang sini sebab ada urusan dengan Encik Fahmie, Encik Harriz boleh tunggu di ruang menanti di hujung sana. Tapi kalau Encik Harriz datang sini semata-mata nak cakap semua ni pada saya, lebih baik Encik Harriz balik. Saya tak ada masa nak layan Encik Harriz bersembang perkara-perkara mengarut macam ni. Saya ada banyak kerja nak dibuat. Saya harap Encik Harriz boleh faham,” tegas sungguh Balkish berkata. Wajah pula sudah kelat macam daun jambu batu. Dia memang pantang betul bila Harriz bermadah berhelah seperti itu untuk membeli jiwanya. Rasa nak termuntah aje!
Harriz tidak menjawab walau sepatah pun. Kata-kata tegas Balkish langsung tidak meninggalkan bekas dalam hatinya. Malah, semakin lebar dia tersenyum. Semakin suka dia menatap wajah Balkish yang sudah jadi ‘garang tak menjadi’ itu. Wajah selembut itu, kalau marah pun langsung tak menakutkan.
“Lagi satu Encik Harriz, lain kali tak payahlah nak bazirkan duit belikan saya semua ni lagi. Saya tak perlukan bunga ni. Saya tak suka bunga.” Balkish cuba mengembalikan sejambak mawar merah yang diberikan oleh Harriz padanya.
Cantik! Tapi dia tak sudi menerima pemberian lelaki itu. Dia tidak mahu masuk ke dalam jerat yang telah Harriz sediakan untuk dirinya. Tak pasal-pasal tergadai body pulak nanti disebabkan jambangan mawar merah itu! Huh… na’uzubillah!
“Balkish, jangan macam ni. Jangan tolak pemberian I, please…. I ikhlas bagi bunga ni pada you. Lagipun bunga cantik macam ni memang sesuai dengan gadis secantik you. Ambiklah… jangan hampakan hati I. I betul-betul ikhlas tau,” Harriz mengumpan.
Jambangan mawar merah itu dihulurkan kembali kepada Balkish dengan harapan gadis itu sudi menerimanya. Mana ada perempuan yang tak suka bunga. Selama ini jika dia memberi jambangan bunga kepada teman-teman wanitanya, semua akan menjerit gembira. Lepas tu dia pun akan menerima satu ciuman sebagai balasan. Bukan dia yang mintak dicium. Teman-teman wanitanya itu yang sudi nak cium dia yang hensem ini. Heheheee…
‘Hisy… Mr. Alligator ni! Tak faham bahasa betul. Dah aku kata tak nak tu… tak naklah! Takkan itu pun tak faham lagi. Nak aku cakap dalam bahasa Tamil ke? Tapi… kalau aku cakap dalam bahasa Tamil, lagilah dia tak reti. Aduh… susahnya bila jumpa orang tak faham bahasa ni. Kang ada juga bunga dia ni masuk dalam bakul sampah. Itu agaknya yang dia mahukan.’
“Tak apalah, Encik Harriz. Terima kasihlah sebab bagi saya bunga cantik ni. Tapi saya tak boleh nak terima. Doktor dah pesan pada saya supaya jauhkan diri dari terkena kelopak bunga. Kulit saya ni alergi pada kelopak bunga, terutama bunga ros. Kalau terkena, kulit saya akan jadi gatal dan kemerah-merahan. Hidung dan mata saya jugak akan berair dan bengkak.”
Boleh guna ke alasan tu? Ah… hentam sajalah! Yang penting dia tak akan ganggu aku lagi. Aku dah tak tahan dengan mamat ni. Sebelum rasa sabar aku ni hilang, baik dia pergi. Nanti tak pasal-pasal, ada pulak anak Tan Sri yang masuk ICU dek terkena penengan karate-do aku. Dia tak tahu yang aku ni ada tali pinggang warna-warni.
Kak Norma, Lina, Siti dan Suzila sudah pecah ketawa mendengar alasan yang diberikan Balkish. Macam dah tak ada alasan yang lebih baik daripada itu. Kreatif betul alasan yang dicipta. Hehehe…
“Assalammualaikum, Balkish,” satu suara mendekati meja Balkish.
Pantas Balkish berpaling. Harriz juga ikut sama menoleh ke arah datangnya suara itu. Cukup kenal dengan tuan punya suara tersebut. Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang masih segak dan bergaya menghampiri meja Balkish.
“Walaikumussalam, Encik Fahmie,” balas Balkish mesra. Dia bangun dari duduknya. Sebagai seorang setiausaha kepada lelaki itu, dia perlu menghormati bosnya. Kepala ditundukkan sedikit. Dah macam orang Jepun pula dia berlagak seperti itu. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Encik Fahmie, Pengurus Account Department F&F Holdings tempat dia bekerja. Manis!
Ini membuatkan renungan mata Harriz melekat terus pada seraut wajah yang mempersona itu. Tidak berkedip matanya melihat wajah Balkish bila gadis itu tersenyum. Selama ini orang akan kata, jika seseorang itu punya lesung pipit senyumannya itu bagaikan satu pemanis. Tapi Balkish tak ada lesung pipit pun senyumannya tetap manis. Harriz bagaikan dipukau. Gadis itu benar-benar telah mencuri hati lelakinya. Aduh… ini yang dia tak tahan.
“Ehem… hai, Riz! Bukan main khusyuk lagi kau tenung staf abang? Macam nak terkeluar aje bijik mata kau tu,” usik Encik Fahmie kepada adik iparnya.
Pantas Harriz tertawa. Baru dia tersedar bahawa dia begitu tekun merenung senyuman Balkish yang manis terukir buat abang iparnya itu. Sehinggakan dia lupa akan kehadiran lelaki itu di situ. Alangkah bahagianya jika senyuman manis itu terukir indah buat dirinya. Tentu dia akan menjerit kegembiraan.
Balkish yang sedar akan usikan majikannya itu hanya mampu tertunduk malu. Wajahnya sudah kemerah-merahan ibarat udang yang dipanggang menggunakan bara api. Hatinya pula mula berapi dengan perangai selamba Mr. Alligator itu. Kalau bukan kerana lelaki itu datang mengganggunya, tidaklah dia menjadi bahan usikan Encik Fahmie pagi-pagi begini.
Hisy ini semua gara-gara dia, Mr. Alligatorrr!!!
Kawan-kawan sekutu sudah mengekek nakal mendengar usikan bos mereka. Menambahkan lagi rasa geram dalam hati Balkish.
Hampagas punya kawan-kawan! Tak boleh harap langsung! Bukannya nak tolong cover line aku, malah bukan main seronok lagi diorang gelakkan aku. Nantilah korang! Ada ubi, ada batas… lain hari aku balas! Gumam hati Balkish geram. Matanya dijegilkan kepada geng bas sekolahnya yang berempat itu. Sepantas itu juga kak Norma, Lina, Siti dan Suzila menekup mulut dengan tangan masing-masing. Mengawal tawa yang masih lagi berbaki.
“Hah… apa hal kau datang awal pagi kat ofis abang ni? Ada urusan penting ke?” tanya Encik Fahmie.
“Alaaa… Abang Mie ni. Takkan nak jumpa abang ipar sendiri pun tak boleh. Ada hal bisnes yang Riz nak bincangkan.”
“Hmmm… iyelah tu Riz. Macamlah abang tak tahu niat Riz tu. Datang sini bukan nak jumpa abang bincang pasal bisnes pun. Tapi nak jual ayat-ayat cinta dekat Balkish, kan?”
Semakin merah wajah Balkish bila Encik Fahmie berkata sebegitu. Nampak sangatlah yang Encik Fahmie mengambil kisah hal-hal di dalam pejabat. Jika tidak, takdelah lelaki itu tahu yang adik iparnya itu selalu datang menganggu. Aduh… malunya! Rasa tebal pula kulit muka ni.
Sekali lagi Harriz ketawa besar. Tajam sungguh pandangan abang iparnya itu. Sampai dia nak mengurat Balkish pun abang iparnya dapat tahu. Ketara sangatkah dia nak mengurat wanita  manis itu?
“Alaaa… sportinglah sikit Abang Mie. Kalau pun Riz nak menjual ayat-ayat cinta, bukannya dengan isteri orang pun. Single sama single, available sama available. Bolehlah tu,” selamba badak Harriz berkata. Langsung tidak menghiraukan jelingan maut Balkish yang berdiri di sebelahnya.
“Dah! Dah! Jangan nak berlebih-lebih pulak. Tengok dah semakin merah jambu muka Balkish dengar usikan Riz. Kalau betul Riz datang sini nak bincang pasal bisnes dengan abang, jom masuk dalam bilik kita bincang. Tak payah nak jual ‘minyak cinta’ dekat sini.” ujar Fahmie kepada Harriz. Kemudian dia segera masuk ke dalam biliknya.
Balkish mengetap bibir. Geram betul hatinya mendengar gelak ketawa Harriz yang tak sudah-sudah itu. Sebelum lelaki itu menghilang masuk ke bilik abang iparnya, sempat juga lelaki itu mengenyit mata nakal ke arah Balkish. Spontan itu juga Balkish menjelirkan lidahnya.
Tak guna! Buaya…

***************************************************************************

TOK! TOK! TOK! Bagai hendak roboh pintu bilik Balkish diketuk sekuat itu. Terkejut jantung hatinya. Mujurlah tak gugur dari tangkainya. Kalau tidak… dah inalillahi wainnailaih hirajiun la dia jadinya. Hisy… berapa banyak ‘nya’ dah!
Ini kalau bukan kerja si Aleya budak gemuk tu, tentu kerja si Ella budak tinggi macam galah itu. Kan cuma mereka berdua sahaja housemate yang Balkish ada. Siapa lagi punya angkara kalau bukan mereka berdua?
“Kish… oh Kish! Kau dah tidur ke?” suara Ella kedengaran. Sah! Ketukan yang hendak memecahkan pintu bilik Balkish tadi datangnya daripada Ella.
Pantas Balkish melompat turun dari atas katil. Dia bergerak ke pintu lalu tombol pintu dibuka luas. Ella ni memang tak boleh nak tengok dia bersenang-lenang sikit. Ada saja gangguan yang dia nak buat.
“Ni nak apa ketuk pintu bilik orang macam nak bagi pecah aje?” sergah Balkish garang. Kedua-dua belah tangannya dicekak ke pinggang. Lagaknya itu dah tak ubah macam mak tiri garang dalam sinetron Bawang Merah Bawang Putih yang begitu popular suatu ketika dulu.
“Wah… ada gayalah kau jadi mak tiri Bawang Putih, Kish. ‘Sejibik’…” ujar Ella yang sudah tersengih-sengih macam kerang busuk kat Pasar Ikan Seri Kembangan. Perkataan ‘sebijik’ sengaja diterbalikkan kepada ‘sejibik’. Entah sekolah mana Ella pergi belajar guna perkataan begitu. Sesuka hati rosakkan bahasa yang indah-indah.
Balkish menggigit bibir. ‘Hisy… dia ni! Nak samakan aku dengan mak-mak tiri yang jahat tu pulak. Aku ketuk kang kepala tu. Baru padan dengan muka yang selalu perasan cute sepanjang zaman tu!’
“Dah… kau jangan nak tukar topik pulak! Yang kau pergi ketuk pintu bilik aku macam nak bagi pecah tu kenapa? Aku ada hutang dengan kaukah? Atau kau memang sengaja nak cari pasal?” gumam Balkish garang. Sebenarnya dia sengaja nak buat garang. Bagi gertak sikit dengan minah kerek sorang ni. Biar takut sikit. Si Ella ni bukannya boleh bagi muka sangat. Perangai tak makan saman.
“Alaaa… itu pun nak marah. Relekslah sikit. Tu hah… kat luar tu ada orang nak jumpa kau,” ujar Ella yang sememangnya tak pandai nak ambil hati itu.
Dahi Balkish berkerut. Orang nak jumpa? Ulangnya dalam hati. Kemudian dia memusingkan kepala lalu melihat jam loceng yang terletak atas meja sisi. Jam menunjukkan tepat pukul 8.15 malam. Siapa pula yang hendak berjumpa dengannya pada waktu seperti ini? Takkan tak boleh nak tunggu hari esok.
Saper?” tanya Balkish sepatah.
Ella menjungkit bahu. Bibirnya dicebiknya.
“Manalah aku tahu.” jawabnya acuh tak acuh.
Kemudian bibir Ella yang sentiasa bergincu merah menyala itu mengukir senyuman lebar.
Eheh… ni apasal pulak tersengih-sengih ni? Dah buang tabiat kut.
“Tapi yang pasti kan Kish… dia seorang lelaki yang hensem. Muka ala-ala pelakon korea si Dennis Oh. Tinggi dan bertubuh sasa. Kulit pula putih melepak gitu. Boleh buat my heart cair tengok muka dia tu. Heheheee…” Ella sudah tayang muka gatal. Kedua-dua belah tangannya dibawa ke dada lalu dengan penuh mengada-ngada dia melentokkan  kepalanya ke permukaan dinding. Mata pula sudah dikerdip-kerdip macam orang miang nak berlaki. Bayangan wajah hensem itu membuatkan dia angau.
Balkish menjulingkan matanya ke atas. Meluat binti loya pula tekaknya bila tengok Ella buat aksi gatal tahap kucing parsi betina seperti itu. Ella ni memang pantang jumpa lelaki hensem. Mulalah gatal tahap maksimumnya itu datang. Hai… Cik Ella… nasib baiklah muka kau cantik.
Bila mendengar ciri-ciri lelaki yang dimaksudkan oleh Ella itu terutama tang muka yang konon-konon macam Dennis Oh, tiba-tiba Balkish teringatkan seseorang. ‘Tapi… takkanlah lelaki itu sampai datang ke sini pulak? Hisy… mustahil la! Mr. Alligator tu bukannya tahu pun aku tinggal menyewa kat kawasan ni. Orang lain kot...’ Balkish berkata pada diri sendiri.
“Cepatlah Kish… kau menungkan apa lagi tu? Dia dah lama tunggu kau kat depan tu,” ujar Ella. Mematikan lamunan sesaat Balkish.
Pantas Balkish menyambar selendang yang terletak atas penyidai kayu. Selendang warna hitam itu diletak kemas atas kepalanya. Kemudian dia melangkah keluar membuntuti langkah Ella yang sudah bergerak laju ke depan. Ella, kalau pasal lelaki hensem memang laju aje jalan dia.
Di depan pintu pagar yang telah dibuka, kelihatan kelibat Aleya yang sedang terpusing-pusing kiri dan kanan. Wajah lelaki di depannya itu ditatap penuh minat. Hensemnya lelaki ini… kalaulah aku dapat menjadi girlfriend dia kan bagus! Tentu akulah gadis manis yang paling bertuah dalam dunia fana ini. Hahahaaa… Aleya sudah ketawa miang dalam hati. Bayangan dia sedang memakai baju pengantin bersama lelaki hensem di depannya itu menerpa. Dah tu baju pengantinnya pula kembang macam baju Cinderella. Seronoknya jika angan-angan itu menjadi kenyataan.
Tanpa sedar ketawa Aleya terkeluar. Ini membuatkan lelaki hensem di depannya itu tersentak. Mana tidaknya, tak ada yang kelakar tetiba aje dia mengekek ketawa. Hisy… jangan si hensem ni sangka aku perempuan gila sudahlah. Kalau tak… musnah harapan aku nak tackle hati si hensem ni.
“Opsss… heheheee… sorry,” pinta Aleya. Malu bukan kepalang bila dia lihat wajah lelaki itu yang nyata terkejut beruk disebabkan ketawanya yang tiba-tiba terkeluar itu. Nanti tak pasal-pasal lelaki itu ingat dia ni sewel pulak. Hish!
Ella menerpa di sebelah Aleya. Bibirnya tersungging senyuman manis bila mata lelaki hensem itu memandang ke arahnya pula. Alahai… tergoda my heart tengok muka cute mamat ni. Siapalah namanya si hensem ini ye? Mahu sekali aku mengenalinya.
“Mana Kish?” bisik Aleya ke telinga Ella. Lengan sahabatnya itu dicuit. Hish… si Ella ni! Mulalah nak menggoda tu. Pandang lelaki tak berkedip mata. Tak boleh jadi macam ni! Aku kena cepat bertindak. Tak boleh nak biarkan si budak tinggi macam galah ni mendahului aku.
Jap lagi dia keluarlah,” balas Ella dengan mulut terkatup tapi bibir maintain senyum manis. Geram betul bila Aleya sengaja menganggu konsentrasinya menatap wajah hensem di depan mata yang cukup menggoda.
Kemudian kedua-dua wanita itu berpaling memandang wajah hensem di depan mereka. Bibir keduanya tidak putus memberikan senyuman yang kononnya paling manis sekali di dunia ini. Ini membuatkan lelaki hensem itu juga turut tersungging senyuman manis. Senyuman yang bisa membuatkan hati Aleya dan Ella bagaikan hendak gugur ke bumi. Alahai…!
Balkish melangkah keluar dengan dahi yang berkerut-kerut. Dia meninjau-ninjau. Cuba melihat siapakah gerangannya si dia yang sedang berada di luar pintu pagar itu. Sehinggakan Aleya dengan Ella begitu khusyuk berdiri di situ bagaikan patung cendana. Hensem sangat agaknya lelaki itu sampai dua sahabat baiknya itu tak berganjak langsung. Selipar jepun disarung ke kaki. Kemudian dia melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu pagar.
“Hai sweet princess!” sapa Harriz sambil tayang senyuman paling manis buat Balkish. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya.
Bulat mata Balkish tatkala terpandangkan wajah lelaki yang sedang bersandar megah pada BMW hitamnya itu. Bukan main selamba lagi lelaki itu mengenyit mata ke arahnya.
Balkish mengetap bibir. Hisy… bala betul! Apa pulak yang buaya ni mahukan malam-malam begini? Tak reti nak duduk diam ke dia ni? Asyik menganggu hidup aku aje!
“Errr… Encik Harriz? Buat apa dekat sini?” tanya Balkish. Sebaik mungkin dia cuba mengawal rasa marahnya dengan tindakan lelaki itu yan sampai sanggup datang ke perumahan sewanya. Malulah dilihat dek jiran-jiran kalau dia tetiba marah-marah.
Matanya melilau melihat ke kiri dan kanan. Nampaknya jiran-jiran sebelah-menyebelah rumah sewanya itu masih bersembang-sembang di luar rumah. Kak Liza sudah tersenyum simpul memandang. Sebagai balasan, Balkish juga melemparkan senyuman buat wanita itu. Heeeee…
I datang jumpa cousin I yang tinggal sekitar kawasan ni. Tetiba I teringatkan you jadi rasanya baik I jumpa you sekali. You free tak? Jom keluar makan-makan dengan I,” ujar Harriz yang masih dengan senyuman yang masih mekar dibibirnya itu. Hairan betul. Tak sakit ke bibir lelaki itu asyik tersengih-sengih sebegitu? Hish…
‘Iye sangatlah jumpa cousin dia. Macamlah aku tak tahu yang dia sengaja nak jumpa aku. Ini kerja siapa entah pergi bagi alamat rumah aku dekat Mr. Alligator ni. Kena siasat ni. Esok siaplah pemberi maklumat itu aku kerjakan!’
“Errr… macam mana Encik Harriz tahu saya tinggal kat kawasan ni?” tanya Balkish. Ajakan Harriz tadi langsung tidak dijawab.
“Kak Norma yang bagitahu,” lurus bendul Harriz menjawab. Langsung tak menyedari bahawa Balkish sengaja bertanya begitu untuk mencungkil rahsia siapa yang telah memberitahunya yang Balkish menyewa di Perumahan Taman Sungai Wang ini.
Balkish mengetap bibir. Dalam hati nama Kak Norma sudah dijerit sekuat hati. ‘Esoklah Kak Norma! Siap Kish lumat-lumat Kak Norma macam sambal belacan. Pandai-pandai bagitahu Mr. Alligator ni yang aku tinggal kat sini. Aduh! Nampaknya lepas ni aku jadi bahan gosip jiran tetangga la nampaknya. Malangnya nasib aku.’
“Kish… jomlah. Kita keluar makan-makan. Boleh jugak kita sembang panjang. Kalau you tak selesa keluar berdua dengan I… you boleh ajak dua orang kawan you yang cantik-cantik ini,” sekali lagi Harriz mempelawa. Sempat dia mengenyit mata ke arah Aleya dan Ella yang masih tercegat di situ.
Aleya dengan Ella apa lagi. Terus buat muka gatal tahap perempuan meroyan! Tersengih-sengih bila ada yang puji diorang cantik.
“Jom le Kish,” ajak Aleya dan Ella serentak. Merengek bagaikan anak kecil yang sedang memujuk ibu mereka untuk dibelikan gula-gula lolipop. Peluang untuk keluar bersama lelaki hensem itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Inilah peluang untuk berkenalan dengan si hensem persis wajah lelaki Korea itu. Peluang sekali seumur hidup! Heheheee…
Balkish menjengilkan biji matanya. Hisy… minah berdua ni! Pantang nampak lelaki hensem sikit mulalah tergedik-gedik macam kucing siam nak mengawan. Aduh… parah betul! Macam manalah aku boleh dapat dua orang kawan yang gediks macam diaorang ni?! Nasib baiklah aku tak terjangkit penyakit gediks diaorang ni.
Melihat mata Balkish yang sudah terjengil itu, pantas Aleya dan Ella menikus. Tak berani lagi nak merengek-rengek memujuk Balkish untuk menerima ajakan mamat hensem itu. Nampaknya hasrat di hati untuk keluar bersama si hensem bernama Harriz itu hanya tinggal mimpi sahaja. Huhuhuuu…
Balkish cuba memaniskan wajahnya memandang Harriz yang masih menanti jawapan daripadanya. Dia kenalah pura-pura senyum manis. Sebab kak Liza jiran sebelah rumah asyik pandang ke arah mereka aje. Hisy… susah betul bila jadi perhatian macam ini. Semua kena dikontrol.
“Hmmm… takpelah Encik Harriz. Lain kali ajelah. Lagipun hari dah malam, tak manis kalau kami keluar malam-malam begini. Nanti apa pulak kata jiran tetangga bila nampak kami keluar jam seperti ini.” Penuh sopan santun Balkish menyusun kata.
“Tapi kita keluar ramai-ramai, right? Bukannya kita berdua aje. Jom la…” Harriz masih mahu mencuba. Manalah tahu hati wanita itu akan lembut lantas menerima pelawaannya itu. Dia tak akan mengalah dengan begitu mudah. Pantang menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan. Heheheee…
Belum sempat Balkish membalas kata-kata Harriz, suara azan dari masjid berdekatan dengan kawasan perumahan tempat dia tinggal berkumandang. Sayup-sayup kedengaran suara Bilal yang tengah mengalunkan azan yang mana menandakan waktu solat isyak sudah pun tiba. Pantas senyuman kecil terukir pada bibir comel Balkish.
‘Terima kasih Ya Allah!’ ucapnya dalam hati.
“Nampaknya azan dah berkumandang. Saya kena solat. Sorry ya Encik Harriz. Lain kali aje ye. Saya masuk dalam dulu. Assalammualaikum…” sepantasnya Balkish mendapat idea yang paling bagus untuk mengelakkan diri dari pelawaan Harriz itu. Tanpa berlengah dia melangkah untuk masuk ke dalam rumah. Namun langkahnya mati bila teringatkan sesuatu. Pantas dia berpaling.
“Ehem… korang tak nak solat ke? Tak elok melambat-lambatkan waktu solat. Nanti kat kubur kena baham dengan ular besar!” sindir Balkish pada Aleya dan Ella yang tersengih-sengih sedari tadi. Kemaruk sangat pandang wajah Harriz.
“Errr… sorry ye Encik Harriz. Kami masuk dulu. Bye… Assalammualaikum. Jumpa lagi,” ujar Aleya. Dia menarik tangan Ella yang masih tersengih-sengih itu. Dengan terkocoh-kocoh mereka melangkah masuk ke dalam rumah.
“Babai…” ujar Ella yang masih tak puas hati melihat wajah hensem lelaki itu. Sah malam ini dia akan termimpikan lelaki itu. Hehehe…
“Dah! Dah! Jangan nak ter’babai-babai’. Masuk!” bagaikan ibu tiri Balkish memberi arahan kepada Ella.
“Encik Harriz… tolong tutup pintu pagar, ye. Terima kasih,” selepas itu Balkish menutup rapat daun pintu. Dalam hati dia sudah ketawa besar melihat wajah terpinga-pinga Harriz. Padan muka!

No comments:

Post a Comment