Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 2



“MORNING my sweet princess!” sapaan itu membuatkan Balkish terkejut beruk. Bulat matanya memandang wajah Harriz yang sedang bersandar megah pada BMW hitam miliknya. Baru sahaja Balkish hendak membuka pintu pagar rumah, tiba-tiba dia sudah disapa oleh satu suara yang amat dikenali. Mujurlah dia tak menjerit akibat terkejut mendengar sapaan lelaki itu.
Harriz yang bersandar penuh bergaya pada BMW hitamnya yang bersinar-sinar itu sudah tayang senyuman semanis gula-gula lolipop. Spontan itu juga Balkish mengerling jam di tangan. Baru pukul tujuh lima belas minit pagi. Awalnya lelaki itu sudah tercegat di depan pintu pagar rumah. Hisy… awal pagi lagi dia sudah disajikan dengan wajah Harriz yang konon tahap hensem meletup ini. Menyampah!
“Eh… Encik Harriz? Buat apa kat sini pagi-pagi begini?” soal Balkish sambil cuba memaniskan air mukanya. Ikut rasa hati mahu diterkamnya lelaki itu. Namun dia perlu sabarkan hati. Takut bila tahap kesabarannya sudah hilang, ada jugak anak Tan Sri yang dihantar masuk ke ICU dek terkena kungfunya pagi itu.
‘Jangan kata dia pergi ziarah rumah cousin dia awal pagi begini sudah. Nampak sangatlah yang dia nak kelentong aku!’ sambung Balkish dalam hati.
“I dari rumah cousin I yang tinggal sekitar area ni tadi. Lepas tu teringat pulak dekat you. Pasal tu I singgah kat sini nak jumpa you. I rasa hidup I ni tak akan lengkap kalau tak nampak muka you sehari. Dah macam jadi kebiasaan pulak I mesti tengok you dulu baru dapat buat kerja. Kalau tak… semua kerja macam tak menjadi,” selamba biawak Harriz menjawab soalan Balkish.
Balkish menjulingkan biji matanya ke atas.
‘Kan betul apa aku fikir. Mesti buaya jantan ni akan cakap begitu. Nampak sangat yang dia tu sebenarnya memang sengaja tunggu aku kat sini. Takkan seawal pagi begini dah ziarah rumah cousin dia? Tak masuk dek akal. Aduh… ini yang aku malas bila Mr. Alligator ni dah tahu alamat rumah aku. Sah dia akan ganggu hidup aku dekat sini lepas ni. Arghhh… tak puas dekat pejabat, dekat sini dia buat gangguan emosi! Rimasnya! Ini semua mulut celupar Kak Norma punya pasal. Nantilah kak Norma… sampai aje kat ofis, Kish siat-siat kulit putih gebu Kak Norma tu bagi makan kat ikan jerung. Pepandai aje bagi alamat Kish pada Mr. Alligator ni!’
“You dah nak gerak ke pejabat ke?” tanya Harriz. Awal pagi begini sudah dapat menatap wajah cantik Balkish membuatkan dia semakin bersemangat. Kalau hari-hari macam ini, alangkah indah hari-hari yang dilaluinya.
Balkish sekadar mengangguk. Malas hendak berbual panjang dengan Harriz yang tak faham bahasa itu. Fikirannya kini hanya terlekat pada kak Norma. Tak sabar rasa hatinya hendak menyerang ibu kepada tiga orang cahayamata itu. Sesuka hati saja bagi alamatnya kepada Harriz. Tak pasal-pasal dia sudah mengadap muka lelaki itu di awal pagi. Husy!!!
“Kalau macam tu biar I hantarkan you, Balkish. Kebetulan I juga nak jumpa Abang Mie pagi ni,” pelawa Harriz. Bibirnya tersungging senyuman manis. Senyuman yang bisa mencairkan hati para wanita. Namun sayang senyuman itu tidak dapat melembutkan hati Balkish.
Amboi Harriz ni, rajin pula dia jumpa Fahmie sejak akhir-akhir ini. Nampak sangat yang dia nak pergi menyelam sambil minum air.
“Eh… takpe Encik Harriz. Saya ada kereta sendiri. Saya boleh memandu sendiri ke pejabat. Tak payahlah Encik Harriz nak susah-susah hantarkan saya.” tolak Balkish.
‘Hisy… macamlah aku ni takde kenderaan sendiri nak pergi ke pejabat. Biarpun sekadar kereta Kancil second-hand, tapi masih boleh digunakan dengan baik untuk ke tempat kerja. Kalau pun aku takde kereta, aku lebih rela naik bas berhimpit macam ikan sardin daripada tumpang Harriz Mr. Alligator ini. tak pepasal aku kena ‘ngap’ pula di tepi jalan. Husy… nauzubillah! Orang lelaki ni bukannya boleh percaya sangat. Lebih-lebih yang kaki perempuan macam ini. Ada saja helahnya nak menggoda.’
Takpe… I ikhlas. Lagipun I rela susah disebabkan you, Balkish. I lagi suka.”
Balkish mengetap bibir. Susah betul bila bercakap dengan orang yang tak faham bahasa macam Harriz ini. Itu yang membuatkan Balkish tak sukakan Harriz. Lelaki itu selalu membuatkan dia rimas dengan setiap perbuataannya.
Takpelah Encik Harriz. Saya boleh memandu sendiri. Terima kasih sajalah atas pelawaan Encik Harriz tu…” ayat Balkish tergantung di situ setelah mendengar pintu grill rumah ditutup dan bunyi tapak kaki kasut tumit tinggi milik Aleya dan Ella kedengaran.
Aleya dan Ella tersenyum miang kala terpandang wajah hensem yang sudah terpacak awal pagi di depan rumah sewa mereka itu. Awal pagi lagi mata disajikan dengan wajah hensem, menambahkan semangat dalam diri Aleya dan Ella. Kalau hari-hari macam ini, Aleya dengan Ella sanggup menjadi penunggu setia depan pintu pagar. Asalkan dapat cuci mata melihat wajah hensem ala korea itu. Heheheee!
“Hah… itu pun kawan-kawan saya dah keluar. Saya pergi dulu ye Encik Harriz. Takut terlambat pulak masuk ofis nanti. Assalamualaikum…” tanpa berlengah Balkish menuju ke arah kereta Kancil putih miliknya. Meninggalkan Harriz yang sudah terpinga-pinga dengan tindakan sepantas kilatnya itu.
Ella sudah masuk ke dalam kereta bila terlihat isyarat mata daripada Balkish. Belum sempat dia hendak menyapa lelaki hensem itu, Balkish dah bagi isyarat mata menyuruh dia segera masuk ke dalam perut Kancil. Mahu tak mahu kenalah dia akur. Huhuhuuu… melepas beb!
Manakala Aleya pula terus berlalu ke pintu pagar. Hari ini giliran Aleya yang menutup pintu pagar. Tadi Ella sempat berbisik mengatakan dia sudi menutup pintu pagar untuk hari ini bagi menggantikan tempat Aleya. Amboi… Ella kalau nampak lelaki hensem aje terus tunjuk rajin. Selalu dialah yang paling malas nak tutup pintu pagar rumah kalau hendak pergi kerja. Susah sangat nak disuruh. Namun Aleya menolak kesanggupan sahabatnya itu. Macamlah dia tak tahu niat Ella yang hendak beramah-tamah dengan si hensem itu.
‘Ceh! Aku pun mahu juga bertegur sapa dengan mamat hensem tu. Ingat dia sorang aje ke yang mahu? Sorry ek Cik Ella ratu dangdut… Cik Aleya ratu kebaya pun mahu jugak berkenalan dengan si hensem ini. Pat-pat siku lipat, siapa cepat dia dapat! Khakhakhaaa….’
Apasal dengan mamat hensem tu Kish? Awal pagi lagi dia dah datang ke sini.” tanya Ella ketika Balkish sudah mengambil tempat duduk di kerusi pemandu. Manakala dia sudah pun bersandar duduk di kerusi sebelah. Kepalanya sempat berpusing melihat kelibat Aleya yang sedang bersembang dengan si hensem. Bertuahnya budak montel tu. Dapat pulak bersembang dengan mamat hensem yang baru dikenali semalam. Dia juga yang nangis tak berlagu. Uwaaaa… jelesnya kat Aleya!
“Entah! Mengigau kut,” acuh tak acuh sahaja Balkish menjawab. Dia membetulkan cermin pandang belakang. Memandang kelibat Aleya yang sudah terpusing-pusing melayan Mr. Alligator.
Balkish mendengus. ‘Hisy… si Aleya ni sempat jugak melayan buaya jadian tu! Kena ‘ngap’ body yang montok tu dengan buaya jadian tu nanti, baru padan dengan muka. Habis segala isi dan lemak-lemak dia tu kena baham. Yang tinggal cuma tulang! Jadilah Aleya sup tulang kering.’
Pon! Pon! Pon!!!
Balkish membunyikan hon kereta. Beri isyarat yang dia hendak mengeluarkan keretanya dengan segera. Selagi Aleya masih tergedik-gedik melayan Mr. Alligator tu dekat situ, macam mana nak keluarkan kereta ni, kan?
Si Aleya ni pun dua kali lima aje dengan Ella. Pantang nampak lelaki hensem. Mulalah nak jual taik minyak. Ngam sangatlah jumpa dengan Mr. Alligator yang suka bagi ayat-ayat cinta itu. Memang cerita bertambah jadi menarik berganda-ganda.
“Aku pelik betullah dengan kau ni, Kish,” tiba-tiba Ella menyuarakan rasa peliknya dengan sikap Balkish. Dia masih lagi memandang ke belakang. ‘Untungnya si budak gemuk ni. Dapat bergelak tawa dengan si mamat hensem. Aku jugak yang telan air liur. Huhuhuuu… Kenapalah hari ini bukan giliran aku yang tutup pintu pagar?? Arghhh… kecewanya hati ini.’ sempat hati kecil Ella berbisik-bisik.
“Pelik kenapa pulak?” tanya Balkish sambil masih memandang cermin pandang belakang lagi. Melihat kereta BMW Harriz yang sudah pun berlalu meninggalkan blok D kawasan perumahan Sungai Wang. Lega rasa hatinya. Berambus juga buaya jadian itu akhirnya. Alhamdulillah….
Iye la… macam itu punya hensem muka mamat tu pun kau tak nak layan. Sudahlah hensem, pakai kereta besar pulak. Sah-sah mamat hensem tu tergolong dalam golongan orang-orang kaya. Takkan itu pun kau nak reject jugak, Kish. Tolak tuahlah namanya tu,” kata Ella bersungguh-sungguh.
“Itu pendapat kau. Pendapat orang yang hanya tengok pada muka, kereta besar dan harta semata-mata. Bagi aku… kalau aku reject Encik Harriz tu pun, aku tak akan kehilangan tuah yang kau katakan tu. Kau belum kenal Encik Harriz tu siapa? Dia tu playboy nombor satu kat KL ni. Hisy… aku tak naklah jadi mangsa Encik Harriz yang seterusnya. Na’uzubillah.”
 “Ooo… nama mamat hensem tu Harriz ye, Kish? Hurmmm… macam familiar ajelah nama dia tu Kish,” Ella masih belum berhenti bercakap mengenai Harriz.
“Hrmmm… nama si buaya tu Harriz. Memanglah kau macam familiar nama tu. Sebab dia tu memang terkenal dengan sikap buaya darat dia kat KL ni. Bukan tu aje, dia dah dinobatkan sebagai playboy terhebat di KL ni oleh sebuah majalah.‘Gilafriend’ dia keliling pinggang. Jangan cakaplah berapa ramai. Pasal tu aku cakap aku tak nak jadi mangsa Encik Harriz tu yang seterusnya. Tak pasal-pasal merana jiwa.”
“Kau ni Kish… tak baik tau cakap begitu,” bidas Ella tak puas hati bila Balkish berkata begitu. Patut ke kata ‘gilafriend’? Tak patutkan…
“Kalau aku la di tempat kau… aku rela jadi mangsa Encik Harriz tu, Kish. Dahlah dia hensem ala-ala hero Korea. Kaya-raya pulak. Bertuah badan,” Ella mencela lagi. Bibirnya yang sentiasa dioles dengan lipstick warna merah menyala itu sudah tersungging senyuman gatal tahap kucing betina siam. Ini kalau lembu Haji Rosli nampak bibir Ella yang merah menyala ni sah kena sondol. Dia tidak kisah pun Harriz itu playboy. Yang penting, dia rasa bertuah didampingi lelaki kacak seperti Harriz. Cukup kacak!
Balkish sudah mencebik. Si Ella ni kalau pasal lelaki hensem aje mesti dia rela segala hal. Hai… parah betul penyakit budak Ella ni. Mujurlah dalam rela-rela dia tu body tak tergadai. Hisy… na’uzubillah!
Iye la… bertuah la sesangat. Esok lusa bila dia jumpa perempuan yang lebih cantik dan muda, dia tinggalkan kau… baru kau sedar yang kau tu bernasib malang. Tapi waktu tu dah tak guna kau nak menyesal, nasi dah jadi bubur Cik Nuraqilla oi,” komen Balkish.
Ella menjeling geram. ‘Hisy… Kish ni! Suka betul nak memanipulasi fikiran aku. Baru aje aku nak pasang angan-angan bercinta dengan lelaki bernama Harriz yang hensem itu, Kish dah musnahkan angan-angan aku. Haprak punya kawan!’
Aleya yang sudah memboloskan diri masuk ke tempat duduk belakang Kancil second-hand milik Balkish tersungging senyuman manis. Seronok betul dia bila dapat berbual dengan Harriz walau pun hanya sebentar. Bertambah gembira bila Harriz memuji dirinya. Kata Harriz, Aleya nampak cantik sangat hari ini. Warna kuning yang membaluti tubuhnya yang montok ini membuatkan dia begitu berseri-seri. Cair hatinya mendengar pujian mesra lelaki itu. Hahahaaa…
Tanpa sedar tawanya terkeluar. Ingat nak ketawa dalam hati saja. Tak sangka pula boleh terkeluar.
Pantas dua kepala berpaling serentak. Terkejut mendengar ketawa Aleya yang tak semena-mena itu. Entah apalah yang kelakar sangat sampai budak chubby yang comel itu boleh tergelak.
“Opsss… sorry!” pinta Aleya sambil menekup bibirnya dengan kedua belah tangan.

***************************************************************************

“ALAAA… sorrylah Kish. Akak bukannya sengaja nak bagi alamat rumah Kish dekat Encik Harriz. Tapi akak terlanjur kata. Tengah syok-syok bercerita, tersasul pula terbagi alamat rumah Kish.” ujar Kak Norma bersungguh-sungguh. Memang dia tak berniat pun hendak memberitahu alamat rumah Balkish pada Harriz. Tapi dia telah terlanjur memberitahu alamat rumah Balkish tanpa sedar. Ini semua sebab dah naik syok bercerita dengan Harriz yang hensem bergaya itu. Hahahaaa…
Balkish tarik muka. Macamlah dia tak tahu dengan perangai Kak Norma yang suka kenenkan dia dengan Harriz. Konon Harriz itu cukup padan kalau bergandingan dengannya. Ceh! Pandai-pandai aje Kak Norma nak padankan dia dengan Harriz si buaya jadian itu. Kalau pun Kak Norma tu dah bermurah hati sangat nak jadi tukang cari jodoh untuknya, carilah lelaki yang baik sikit. Yang boleh diharap. Bukannya lelaki berstatus Mr. Alligator. Itu bukan cari jodoh lagi namanya, tapi cari masalah.
“Kish marah akak ke? Kish… akak mintak maaf banyak-banyak. Akak betul-betul tak sengaja. Sumpah!” Kak Norma mengangkat sebelah tangannya seolah-olah sedang melafazkan ikrar.
Iye la tu… berani aje bersumpah. Nanti-nanti Kak Norma kena baham dengan sumpah sendiri, baru padan dengan muka tu!” gumam Balkish.
Lina, Siti dan Suzila sudah mengangguk-angguk. Bersetuju sangat dengan kata-kata Balkish. Jangan berani-berani nak bersumpah. Nanti tak pepasal kena telan dek sumpah sendiri. Abang Erman jugak yang untung. Mana taknye… dapat kahwin baru. Khakhakhaaa…
Kak Norma tersengih. Wajah Balkish ni biar pun masam tetap kelihatan cantik. Ramai yang kata Balkish ada persis wajah Datin Norjuma. Jadi tak hairanlah jika Harriz Tan Sri Hamdan yang playboy itu boleh terkejar-kejarkan Balkish. Orang cantik la katakan!
“Akak berani bersumpah sebab akak cakap perkara yang sebenar. Akak memang tak sengaja terbagi alamat rumah Kish dekat Encik Harriz,” sekali lagi Kak Norma mengulangi ayat yang sama. Perkataan ‘TER’ sengaja ditekankan supaya Balkish tahu yang dia benar-benar tak sengaja.
“Petang semalam lepas balik dari ofis… akak dengan husband dan anak-anak pergi beli barang dapur dekat Jusco. Tak sangka boleh terserempak dengan Encik Harriz dekat situ. Akak pun berbual la kejap dengan Encik Harriz. Dia banyak sangat tanya pasal Kish. Tengah sedap-sedap berborak tu… entah macam mana akak boleh terbagi alamat rumah Kish dekat Encik Harriz. Bukannya akak suka-suka nak kasi pun. Mulut ni yang tak sengaja nak kasi,” terang Kak Norma. Dia tak naklah Balkish sangka yang dia ni suka-suka nak kasi alamat gadis manis itu dekat Encik Harriz. Dia bukannya tak tahu bagaimana antinya Balkish dekat Harriz. Macamlah Harriz tu virus yang boleh memudaratkan aje dalam hidup Balkish.
“Hah… lain kali kalau Kak Norma berbual dengan Encik Harriz tu kenalah control sikit. Jangan nak over acting sangat. Kan dah terbagi alamat si Kish ni. Kish jugak yang susah,” Suzila mencela. Perkataan ‘TER’ sengaja ditekannya sama seperti Kak Norma tadi. Bibirnya pula sudah tersungging senyuman sinis. Sengaja mahu menyakitkan hati Kak Norma.
Dengar saja suara si Suzila yang sudah mencelah itu, pantas saja Kak Norma menjengilkan biji matanya. ‘Hisy… budak Zila ni! Dah bersusah-payah aku nak pujuk si Kish ni dia pulak sengaja nak buat Kish marah balik. Aku sekeh  kepala tu kang, baru tau!’
“Akak kan dah kata yang akak tak sengaja,” Kak Norma bersuara dengan kuat. Marahlah tu.
Iye la… iye la. Kish maafkan Kak Norma. Lain kali jangan buat lagi,” Balkish yang tak suka nak memanjangkan hal sudah memberi kemaafan kepada kak Norma. Dia bukannya marah sangat pun. Saja nak gertak. Bagi pucat sikit muka Kak Norma yang selalu berlagu riang itu.
Mendengar kemaafan yang diberikan oleh Balkish membuatkan Kak Norma tersenyum lebar. Rasanya lebar senyuman Kak Norma dah sampai ke telinga. Maklumlah… orang dah buat salah besar. Mestilah happy bila dah diberi kemaafan. Heheheee…
“Ini yang akak sayang dekat Kish. Meh sini cium sikit…” Kak Norma memeluk Balkish. Bibirnya yang merah menyala itu sengaja dirapatkan ke pipi Balkish. Konon nak menghadiahkan ciuman paling mahal buat gadis manis itu.
“Eiii… apa ni Kak Norma? Dah… dah… tak payah nak cium-cium. Hisy… gelilah!” Balkish menolak mulut Kak Norma yang sudah memuncung hampir mendarat ke pipinya.
Kak Norma ketawa besar. Lega rasa hatinya melihat wajah Balkish yang kembali tersenyum itu. Balkish ni marah bukannya lama mana pun. Marah-marah sayanglah katakan.
“Kish… aku tanya sikit boleh tak?” setelah melihat Balkish kembali tersenyum, Lina memberanikan diri untuk bertanya. Takut juga dia melihat wajah garang Balkish tadi. Mana taknya, tak pernah dia lihat Balkish mengamuk macam itu tadi. Sampai-sampai aje terus serang Kak Norma. Pucat wajah Kak Norma dek serangan hendap Balkish itu.
Balkish menoleh ke arah Lina. Keningnya dinaikkan.
“Tapi kau kena janji tak akan marah,” ujar Lina ragu-ragu.
Balkish, Kak Norma, Siti dan Suzila saling berpandangan. Hisy… suspen betul soalan yang Lina nak kemukakan ni. Sampai nak suruh Balkish berjanji supaya tak marah.
Iye la… aku tak marah. Kenapa? Teruk sangatkah aku marah tadi?”
Serentak itu empat kepala mengangguk-angguk umpama burung belatuk. Memang menakutkan bila Balkish mengamuk tadi. Macam mak gorila.
First time nampak kau marah Kish. Garang sangat. Dah serupa mak gorila pulak aku tengok. Kecut perut aku tengok. Tak pernah aku tengok kau segarang itu,” Siti memberi komen. Cuak benar dia melihat kemarahan Balkish tadi.
“Betul… betul… betul.” Kak Norma sudah meniru cara percakapan Ipin adik kembar si Upin yang comel itu. Hai… besar sungguh pengaruh Upin Ipin. Sampaikan emak budak macam Kak Norma ni pun boleh terikut-ikut rentak percakapan Upin Ipin yang sering buat Kak Ros naik marah itu.
“Heheheee… aku sengaja je buat-buat garang. Bagi korang takut sikit. Ini semua Kak Norma la punya pasal. Budiman sangat bagi alamat Kish dekat Mr. Alligator tu,” Balkish mengerling Kak Norma. Wanita yang sudah mencecah usia 36 tahun itu hanya tersengih ibarat kerang busuk.
“Hah… apa yang kau nak tanya sangat ni Lina? Buat suspen je,” Balkish kembali memandang Lina.
Lina menggigit bibirnya yang dicalit dengan lipstick warna merah jambu. Warna kegemarannya.
“Aku nak tanya kau sikit pasal Encik Harriz,” teragak-agak Lina menuturkan ayat. Takut-takut kalau Balkish mengamuk untuk kali yang kedua pagi ini.
Balkish yang tadi sudah ceria kembali berwajah serius kala nama Harriz meniti keluar dari bibir comel si Lina. Aduh… apalah nasibnya hari ini? Dahlah awal pagi bersarapan dengan muka Harriz yang sentiasa tersenyum itu. Sekarang ni pula diajukan soalan yang berkaitan dengan Harriz pula. Kenapalah lelaki itu muncul dalam hidupnya? Seterusnya menghantui kehidupan Balkish.
‘Hohohooo… apalah dosaku sampai begini sekali buaya jadian itu menghantui hidupku ini?’ hatinya merintih pilu.
Menyedari wajah Balkish yang sudah berubah serius, pantas sahaja empat sekawan membisu. Opsss… nampaknya si Lina dah tersalah cakap. Kali ni sah Balkish akan mengamuk lagi.
Satu persatu wajah sahabat-sahabatnya diperhati. Masing-masing sudah buat muka mintak simpati. Alahai… kesian pula dia bila lihat wajah lima belas sen setiap seorang sahabatnya itu. Terutama sekali Kak Norma. Bukan setakat buat muka lima belas sen, tapi dah jadi muka satu sen. Husy… over acting betul Kak Norma ni. Padan sangat dengan gelaran yang diberikan kepadanya itu, Primadona!
“Kau janganlah serius macam ini Kish. Kecut perut kami tengok kau begini. Aku ni bukannya apa… sekadar bertanya untuk menyelesaikan apa yang berserabut kat dalam kepala otak aku ni. Itu aje. Takde niat pun nak kenenkan kau dengan Encik Harriz si Mr. Alligator itu seperti yang Kak Norma selalu buat,” di hujung kata Lina cuba buat lawak dengan memanggil nama yang selalu Balkish gunakan untuk Harriz. Malangnya lawak itu tidak menjadi bila Balkish masih enggan memaniskan wajahnya. Serius tahap ibu tiri Bawang Putih.
“Hisy… apa pulak nak libatkan akak dalam hal ni?” gumam Kak Norma bila namanya sudah dilibatkan sama.
Balkish menarik nafas. Kemudian dihembuskan perlahan-lahan. Cuba mengawal rasa amarah yang kembali bertandang. Awal pagi lagi kawan-kawannya sudah mengutarakan tajuk mengenai HARRIZ TAN SRI HAMDAN! Cukup membosankan!
“Hah… apa yang kau nak tahu sangat?” akhirnya Balkish mengalah dengan merendahkan intonasi suaranya.
Bibir Lina sudah tersungging senyuman ‘hehehe’.
“Aku nak tahu kenapa kau tak sukakan Encik Harriz tu? Aku tengok Encik Harriz tu bukan main beria-ia lagi sukakan kau. Siap bagi kau macam-macam lagi. Kau aje yang tak nak layan. Kenapa ek?” soal Lina. Kak Norma, Siti dan Suzila sudah mengangguk-angguk tanda menyokong soalan yang diajukan oleh Lina itu. Sebenarnya mereka pun nak tahu juga apa masalah si Balkish ni sampai tak nak layan Harriz yang hensem bergaya itu.
“Aku tak sukalah Encik Harriz tu. Cuma itu!” pendek jawapan Balkish. Tak perlu nak ulas panjang lebar kenapa dia tak sukakan lelaki itu. Cukup hanya itu yang kawan-kawannya perlu tahu.
Empat sekawan saling berpandangan. Serentak itu empat suara menyoal soalan yang sama.
But why?
Balkish menggigit bibirnya yang hanya dicalit dengan lip gloss bewarna baby pink. Warna lembut yang begitu sesuai dengan bibirnya yang mungil.
“Encik Harriz tu buaya jadian. Teman wanita keliling pinggang. Aku tak naklah jadi mangsa dia yang seterusnya. Bukan lelaki macam itu yang aku cari untuk aku berikan hati aku ni. Kalau boleh aku nak cari lelaki yang bertanggungjawab dan boleh bimbing aku. Macam Imam Muda Asyraf.”
“Tapi Encik Harriz tu takdelah teruk sangat, Kish. Aku pernah nampak Encik Harriz ikut Encik Fahmie pergi solat jumaat dua minggu lepas,” potong Siti. Harriz tak adalah teruk sangat kalau hendak digandingkan dengan Balkish. Cuma mungkin Harriz itu kaki perempuan. Tapi itukan boleh hilang bila Harriz sudah bertemu dengan cintanya yang sejati? Tak mustahil Balkish boleh mengubah sikap playboy lelaki itu andai kata Balkish sudi memberikan peluang untuk Harriz mengenalinya. Pepatah ada mengata, cinta boleh buat kita berubah!
“Memanglah Encik Harriz tu tak teruk sangat. Tapi aku memang tak sukakan dia. Soal hati dan perasaan ni tak bolehlah nak dipaksa-paksa. Aku harap korang faham. Lepas ni jangan tanya aku lagi kenapa aku tak sukakan Encik Harriz. Aku memang tak sukakan dia. Itu aje,” nada Balkish sudah berubah tegas.
Okeylah… kalau macam tu, lepas ni kami tak akan tanya lagi pasal Encik Harriz pada kau,” ujar Suzila mewakili sahabat-sahabat yang sudah mengangguk-anggukkan kepala. Tak ubah macam burung belatuk.
Balkish tersenyum senang. Mudah-mudahan lepas ni dia tak akan dengar lagi soalan berkaitan dengan Harriz Tan Sri Hamdan. Jika tidak… mahu mengamuk besarlah dia lagi jawabnya. Heheheee!

***************************************************************************

“BALKISH… Balkish… Balkish...” berkali-kali nama itu meniti keluar dari bibir Harriz. Bayangan wajah Balkish juga sudah menari-nari di depan matanya. Setiap kali bayangan wajah itu menerjah layar matanya, setiap kali itu juga senyuman pada bibirnya mekar dengan semekar-mekarnya. Dia benar-benar sudah angaukan Balkish. Sampaikan setiap detik wajah Balkish pasti akan menghiasi layar ingatannya.
“Amboi… bukan main lebar lagi senyuman Encik Harriz ni. Teringatkan seseorang ke?” teguran Zatul mematikan lamunan Harriz.
Pantas Harriz berpaling memandang wajah setiausahanya yang sentiasa tersenyum.
“Awak ni Zatul… tak boleh ke ketuk pintu tu dulu sebelum masuk? Ini tak… main terjah aje. Nasib baik saya ni takde penyakit jantung. Jika tidak… tak ke saya dah ‘jalan’ sebab sapaan awak tu,” gumam Harriz. Kedudukan tubuhnya yang bersandar malas pada kerusi kulit tadi diperbetulkan.
Zatul tayang giginya yang tersusun rapi. Bukan dia sengaja hendak mengejutkan Harriz dengan sapaannya. Tapi bosnya itu yang asyik sangat mengelamun. Dah tu sekejap-sekejap tersenyum pulak. Itu tak lain tak bukan mesti fikir pasal perempuan.
Hmmm… susah betul bila dah ada gelaran playboy ini. Tak pernah lekang dari memikirkan pasal perempuan. Aduh… Encik Harriz ni tak penatkah fikir pasal awek ek? Kalau akulah, tak sanggup rasanya nak pasang ramai-ramai. Si Meon yang seorang itu pun dah buat aku sakit kepala memikirkannya.
“Saya dah ketuk pintulah Encik Harriz. Encik Harriz tu yang tak dengar. Asyik sangat melayan angan. Itu tak lain mesti fikir pasal awek-awek Encik Harriz yang berlambak tu kan?” ujar Zatul seraya mengutarakan satu pertanyaan. Di tangannya terdapat sebuah diari hitam untuk dia mencatat hal-hal penting yang perlu disampaikan kepada bosnya itu sebelum kerja dimulakan. Begitulah rutin hariannya sebelum memulakan tugas sehariannya.
“Awak ni tahu-tahu aje apa yang sedang saya fikirkan. Awak ada magic ke baca fikiran orang? Atau awak ni keturunan Nujum Pak Belalang?”
“Alaaa… saya ni dah tiga tahun bekerja dengan Encik Harriz. Dah tahu sangat dengan perangai Encik Harriz yang sentiasa fikir pasal perempuan tu. Kalau dah macam itu punya senyuman, tentu fikir pasal perempuan.”
Harriz tersengih. Rambutnya yang sudah agak panjang itu dikuak ke belakang. Bergaya sungguh dia buat aksi macam itu. Nasib baiklah Zatul ni sudah bertunang dengan Meon budak driver di Elite Corporation ini. Jika tidak, dia pun boleh jatuh hati dengan kehenseman bosnya itu. Sudahlah hensem, romantik pula tu.
Cuma satu yang Zatul tak berkenan. Sikap playboy Harriz. Aduh… mahu migrain Zatul melayan kerenah girlfriends Harriz yang cukup memeningkan kepala. Mana dengan bosnya lagi. Memang memenatkan. Husy inilah padahnya kalau dah jadi seorang setiausaha. Segala hal berkaitan dengan bos kena ambil port. Termasuklah hal-hal peribadi.
“Ha… sudah. Awak ni kalau dibagi peluang bercakap memang susah nak berhenti. Saya ada appointment ke hari ni?”
Zatul tersenyum. Dia cukup senang bekerja dengan Harriz. Bosnya itu tidak cerewet orangnya.
Yup… Encik Harriz ada lima appointment hari ni,” beritahu Zatul.
Five? Banyaknye….”
Zatul hanya tersengih mendengar komen yang keluar dari mulut Harriz. Pantas dia membuka helaian diari hitamnya. Itu merupakan diari keramat baginya. Tak boleh tinggal atau hilang.
9.00 a.m.… you have an important meeting bersama-sama Tan Sri Hamdan dan Mr. Yap dari Cemara Holding. After that Encik Harriz ada meeting pulak dengan Mr. Lim dari Icon Sdn. Bhd. dekat Hotel Istana. Pukul satu tengah hari Encik Harriz ada lunch date dengan Cik Amylia. Pukul empat petang pulak Encik Harriz ada date dengan Cik Zurin dan pukul lapan Encik Harriz ada dinner date dengan Cik Nelly pulak,” satu persatu aktiviti Harriz untuk hari ini dibaca. Cuma dua aktiviti berkaitan dengan urusan rasmi, manakala yang selebihnya adalah urusan tidak rasmi lelaki itu bersama-sama teman-teman wanitanya.
“Banyak temujanji saya hari ni,” Harriz berkata pada diri sendiri.
Zatul sekadar mengangguk. Aktiviti harian bosnya itu memang sudah tercatat dalam kepala otaknya ini. Dia sudah tahu sangat dengan temujanji Harriz. Setiap hari ada saja nama-nama wanita yang akan keluar berdating dengannya.
“Okeylah Zatul, thanks. Awak memang setiausaha yang baik. Tapi sebelum tu saya mahu awak lakukan sesuatu untuk saya hari ni,” ujar Harriz memandang Zatul yang masih berdiri di depannya. Lupa nak suruh setiausahanya itu duduk.
“Apa dia Encik Harriz? Macam serius aje bunyinya.”
Harriz tayang senyuman manis.
Takdelah serius sangat. Tapi merbahaya sikit tu ada la,” usik Harriz. Suka dia tengok wajah Zatul yang sudah kebingungan . Nampak macam suspen sungguh. Heheheee…
“Apa dia Encik Harriz?” ulang Zatul kembali. Suspen aje kedengaran nada suara bosnya itu. Tugas merbahaya apalah yang hendak diberikan kepadanya. Harap-harap janganlah Encik Harriz suruh aku masuk pergi ke Gunung Ledang pergi meminang Puteri Gunung Ledang. Mahu haru biru hidupnya nanti.
I want you to call Amylia, Zurin, and Nelly. Cancel date hari ni dengan diorang,” beritahu Harriz. Dia sudah bangun dari duduknya. Jam di tangan sudah menunjukkan 8.50 pagi. Hanya tinggal sepuluh minit sahaja lagi untuk dia berjumpa dengan papanya. Tak boleh lambat. Biasalah papa, kalau bab important meeting ni memang tak boleh nak lewat walau seminit. Apatah lagi ini merupakan meeting mengenai projek usahasama bersama-sama Cemara Holding. Projek yang memberi keuntungan juta-juta. Husy mata duitan juga papa tu ye. Pantang ada projek yang memberi keuntungan berjuta-juta, semua papa nak rembat.
“Hah? Batal date? Habis tu saya nak bagi alasan apa dekat diorang nanti, Encik Harriz? Sah diorang akan tanya kenapa Encik Harriz batalkan date nanti,” Zatul sudah terpinga.
“Awak rekalah apa saja alasan. Yang penting date dengan diorang cancel. Saya malaslah nak keluar dengan diorang tu lagi. Okeylah, Zatul. Good luck! Saya dah lewat ni nak pergi meeting dengan Tan Sri,” Harriz sudah melangkah keluar dengan senyuman lebar yang menghiasi bibir.
Zatul menggaru rambutnya yang bersanggul kemas itu. Inilah tugas yang selalu buat dia pening kepala. Kalau dengan Cik Zurin dan Cik Nelly tu bolehlah dia kelentong sikit. Bukan setakat kelentong sikit, banyak pun takpe. Cik Zurin dan Cik Nelly tu tak akan banyak soal orangnya. Biasalah Cik Zurin tu. Muka aje cantik tapi otak ‘doh’. Cik Nelly pula jenis lurus bendul.
Tapi masalah Zatul sekarang adalah Cik Amylia. Wanita itu bukan saja susah hendak dikelentong, malah orangnya juga cukup garang dan berlagak. Kecut perut Zatul bila mengenangkan Amylia yang garang macam singa betina itu. Bila cakap Harriz takde di ofis, mulalah Cik Amylia menengking. Kalau suara tengkingannya itu lunak merdu takpe juga. Ini dah macam suara petir aje kedengaran. Menyakitkan telinga dan menggugurkan jantung.
“Aduh… apalah kena dengan bos aku ni? Suka betul bagi aku tugas yang mencabar. Uwaaa! Bencinya!!!” bicara Zatul sendiri melepaskan geram. Bayangan wajah Amylia yang garang bagai singa betina kelaparan itu menerjah otaknya. Buat dia cuak tak terkata.
‘Ya Allah… lindungilah aku daripada tengkingan beracun Cik Amylia. Cik Amylia tu nampak aje cantik dan lemah lembut. Tapi garang mengalahkan singa betina. Entah-entah Cik Amylia ada keturunan singa betina agaknya. Pasal tu asyik menengking aje kerjanya. Ya Allah Ya Tuhanku… lindungilah aku hamba-Mu yang lemah ini. Amin…’
Zatul sudah mula berdoa meminta pertolongan daripada Yang Maha Esa. Debaran di hatinya juga kian berdegup kencang bila dia terpaksa menjalankan tugas yang penuh cabaran dan bahaya ini. Berdepan dengan Cik Amylia memang tugas yang amat berat sekali!
Arghhh… Encik Harriz, kenapalah suka sangat bagi aku tugas ni? Tak sukanya!!!’














No comments:

Post a Comment