Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 3




Dahulu kukenal dia
Jejaka idaman Malaya
Semut pun tak mati dipijak
Lemah lembut bicara
Semakin ku buka hati
Semakin buka mata
Dia berselindung untuk mengaburi langkahnya

Kini ku tak mahu
Ditipu dengan si pencabul kalbu
Mula-mula ku benar-benar nak bercinta
Dengan iya-iya
Tapi lama-lama belangnya keluar
Rupa-rupanya jahatnya suka-suka
……………………
Stacy – Kasanova

ALUNAN irama rancak nyanyian Stacy berkumandang melalui Samsung S3 kesayangan milik Balkish. Bukan senang nak dapatkan Samsung S3 yang berharga empat angka itu. Balkish terpaksa ikat perut semata-mata nak dapatkannya yang sekian lama menjadi idamannya. Disebabkan mahu memiliki S3 itu, dia kenalah berkorban sikit. Sambil itu boleh jugalah dia berdiet. Heheheee…
Ella yang mendengar irama lagu dari telefon bimbit Balkish itu sudah mengerling dengan ekor mata.
‘Mak ai si Kish ni… macam dah tak ada lagu lain lagi yang dia nak letak. Lagu ‘Kasanova’ itu juga yang menjadi pilihan jiwa kalbunya. Mungkin si kasanova yang Kish maksudkan itu adalah… Harriz! Tapi bila masa pulak hati Kish kena tawan oleh si hensem itu? Setahu aku… Kish bukan main benci lagi pada Harriz. Siap panggil  Mr. Alligator. Hisy… pandai betul Kish bagi nama manja pada Harriz. Tak sesuai langsung! Adakah patut bagi gelaran macam tu pada orang hensem yang sempurna bentuk fizikalnya. Sepatutnya untuk mamat hensem macam Harriz tu Kish kenalah letak nama manja Prince Charming. Baru sesuai! Heheheee….’ Ella bermonolog.
S3 yang terletak di atas meja kopi dicapai. Sebuah senyuman manis terukir pada bibir comel Balkish kala pandangan mata tertancap pada skrin telefon bimbit.
‘Kak Risya!’ bergema nama itu melalui suara hati.
“Assalammualaikum Kak Risy,” ucap Balkish sambil melangkah menuju ke ruang makan yang tidak berapa jauh daripada ruang tamu. Dia tak naklah perbualannya dengan Batrisya nanti menganggu tumpuan Ella terhadap drama Cinta Lelong yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria itu. Dia bukannya tidak tahu macam mana fanatiknya si Ella pada Aaron Aziz. Sikit-sikit Aaron Aziz! Bayangkanlah, drama Cinta Lelong ini sahaja sudah beberapa kali diulang siar. Namun Ella langsung tak pernah bosan menontonnya. Siap boleh ketawa terbahak-bahak lagi bila ada insiden yang mencuit hati.
“Waalaikumusalam. Kish apa kabar?” suara Batrisya kedengaran dari corong sana. Sudah agak lama juga dia tak menghubungi adiknya itu. Rasanya adalah dalam tiga bulan. Terubat juga rindunya bila mendengar suara ceria adik kesayangannya itu.
“Alhamdulillah… Kish sihat. Kak Risya pulak macam mana? Baik-baik aje kan?” giliran Balkish pula bertanya. Memang sudah lama dia dengan kakaknya itu tidak berhubung. Rindu rasanya.
“Alhamdulillah, dik. Akak sihat.”
“Alhamdulillah… Kish rindu sangat pada Kak Risya. Dah lama tak bersembang dengan akak,” luah Balkish. Memang dia rindukan Batrisya. Sejak kakaknya itu melanjutkan pengajian ke UK, hanya sekali sahaja Batrisya balik ke Malaysia. Itu pun tiga tahun lepas. Sewaktu majlis perkahwinan kakaknya itu. Selepas itu Batrisya dan suaminya kembali semula ke UK untuk melanjutkan pengajian mereka di University Of Nottingham.
“Tu la pasal. Akak pun rindu sangat dekat Kish. Dah lama tak dengar suara Kish yang serak-serak basah macam Rani Mukherjee tu. Cuma akak sibuk sangat sejak akhir-akhir ni. Faham ajelah tugas akak yang jadi seorang isteri dan pelajar ni. Berat!” beritahu Batrisya seraya ketawa kecil dihujung kata-katanya. Tugasnya sebagai seorang isteri dan pelajar membuatkan jadualnya menjadi sibuk. Apatah lagi dia berada jauh daripada keluarga. Tentulah segala hal dia dengan suami perlu uruskan sendiri.
“Kish pulak macam mana? Kish dah masuk kelas balik kan?” tanya Batrisya. Seingatnya Balkish pernah memberitahu kepadanya beberapa bulan lepas yang dia akan kembali ke kelas selepas habis cuti semester.
Balkish mengangguk. Hai… macamlah Batrisya nampak yang dia sedang mengangguk-anggukkan kepalanya itu. Lantas sebuah senyuman nipis terukir pada bibirnya.
Yup! Dah tiga bulan Kish masuk kelas balik. Tinggal tiga bulan aje lagi untuk habiskan semester keempat ni, kak. Lepas ni hanya tinggal dua semester aje lagi untuk Kish mengenggam segulung ijazah. Kish dah tak sabar nak habiskan pengajian ni. Penat betullah kak pikul dua tanggungjawab dalam satu masa ni. Orang lain hujung minggu boleh bersenang-lenang dan keluar bersuka-ria, tapi Kish kena pergi kelas. Lepas tu Isnin hingga Jumaat pulak kena kerja. Penatnya berganda-ganda,” panjang lebar Balkish mengadu. Hanya pada kakaknya itulah tempat dia mengadu nasib selama ini. Malah Batrisya merupakan orang pertama yang memberinya semangat untuk mengikuti PJJ.
Selepas sahaja Balkish menamatkan SPM dengan keputusan yang cemerlang, dia terus mengambil Diploma Sains Kesetiausahaan selama dua tahun di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Setelah itu dia menjalani praktikal di F&F Holdings, Kuala Lumpur selama enam bulan. Dua bulan setelah habis pengajian di Politeknik SAS, dia menerima tawaran bekerja di F&F Holdings sebagai Pembantu Setiausaha. Ini semua atas saranan Puan Suzihana setelah berpuas hati dengan cara dia bekerja sewaktu menjalani praktikal di situ sebelum ini. Balkish sangat berterima kasih pada Puan Suzihana kerana jasa baik wanita itu yang telah mengesyorkan namanya untuk bekerja di situ. Sehingga ke hari ini dia masih lagi menjadi sebahagian daripada ahli keluarga F&F Holdings. Bagi Balkish, Puan Suzihana merupakan idolanya dalam bidang kesetiausahaan ini. Jangan ingat kerja sebagai seorang setiausaha hanya tahu bersolek dan mencatat temujanji ketua sahaja. Sebenarnya ada banyak kerja setiausaha yang orang lain tak tahu. Cukup memenatkan.
Tahun lalu, Balkish telah dinaikkan pangkat sebagai setiausaha kepada Encik Fahmie di bahagian kewangan F&F Holdings. Encik Fahmie merupakan anak lelaki kedua Datuk Fauzi, pemilik syarikat F&F Holdings. Dia bersyukur sangat dengan rezeki yang diperolehinya itu. Nampaknya Allah memberi kesenangan untuk dia mendapat ruang dalam dunia pekerjaan. Mana taknya, dalam usia semuda dua puluh dua tahun dia sudah dinaikkan pangkat pula menjadi setiausaha Encik Fahmie. Kiranya sekarang ini masuk dua tahun jugalah dia menjadi setiausaha kepada Encik Fahmie. Dan bosnya itu memang seorang ketua yang cukup baik. Alhamdulillah…
Dalam tahun yang sama jugalah dia mendaftar sebagai seorang pelajar untuk Pendidikan Jarak Jauh di UiTM, Shah Alam dalam Bachelor Of Corporate Administration untuk tiga tahun pengajian. Maknanya dia kini memikul dua tanggungjawab dalam satu masa. Satu tanggungjawab sebagai seorang pekerja, satu lagi tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Namun untuk berjaya dia perlulah kuatkan semangat seperti yang selalu Batrisya beritahu bila kakaknya itu ada peluang untuk menelefonnya. Jika tidak pun, nasihat Batrisya pasti akan tertulis dalam Facebooknya. Heheheee…
“Kish… ada lagi tak ni? Senyap aje. Kish dah tidur ke? Atau… Kish tengah berkhayal ni?” suara Batrisya dari hujung talian mengembalikan Balkish ke alam nyata.
Ya Allah… macam mana boleh berkhayal ni? Time on the line dengan kak Risya pulak tu. Hisy… tak patut betul! Parah betul penyakit berkhayal aku ni.
“Heheee… sorry Kak Risya. Kish ada lagi ni.”
Suara ketawa Batrisya dari hujung talian kedengaran. Dia faham apa yang sedang dilalui oleh adiknya itu. Memang penat bekerja sambil belajar ini. Kena kuat semangat. Jika tidak… sah tersungkur tengah jalan. Macam dia jugalah yang memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
“Perangai Kish yang suka sangat mengelamun tu tak pernah nak hilang. Sampaikan bersembang dengan akak pun sempat juga layan perasaan. Akak tahulah Kish penat sangat dengan kerja, mana dengan kuliah lagi. Tapi Kish kenalah kuatkan semangat. Orang kata, biar susah dulu… tapi senang kemudian. Akak yakin sangat Kish pasti akan berjaya jugak menggenggam ijazah yang Kish idamkan selama ini,” seperti biasa, Batrisya tidak pernah jemu memberikan kata semangat buat adiknya itu.
Sekali lagi Balkish mengangguk. Macam Batrisya nampak pulak yang dia tu tengah menganggukkan kepalanya itu. Hisy! Rambutnya yang panjang mencecah ke paras pinggang itu dibelek-belek. Cuba mencari hujung rambut yang bercabang. Manalah tahu kalau ada yang bercabang walaupun rambutnya itu memang tak pernah bercabang kerana Balkish begitu menjaga rambutnya dengan baik biarpun dia memakai tudung. Tiga kali seminggu dia akan pastikan rambutnya diberi rawatan yang betul.
Thanks Kak Risya. Inilah yang Kish rindu sangat pada kakak kesayangan Kish yang sorang ni. Kak Risya selalu bagi Kish semangat. Hmmm… rindunya pada Kak Risya. Dah lama sangat tak jumpa dan duduk bersembang.” luah Balkish. Tetiba dia rasa hendak memeluk kakaknya itu.
“Hmmm… iye la tu. Kish tu cakap aje rindu tapi Kish tak jumpa akak pun.”
Dahi Balkish berkerut. Aduh… kakakku yang cantik lawa ini… UK tu jauh sangat. Kalau takde duit ribu-ribu jangan haraplah dapat pergi ke sana. Aku manalah ada duit yang banyak nak pergi ke UK tu. Duit gaji pun tak cukup nak ke sana. Lagipun duit yang ada sekarang ni semua untuk kegunaan study. Dalam angan-angan dapatlah aku ke UK tu. Tapi kalau ke Ulu Klang tu memang aku dapat pergi dengan segera. Hari ni pun boleh! Heheheee…
“Aduh kak… UK tu jauh sangatlah. Kish tak cukup duit nak ke sana. Duit yang ada semua untuk kegunaan study.”
“Habis tu kalau akak ada kat JB sekarang ni, Kish dapat tak jumpa akak?” soal Batrisya.
Balkish tersenyum lebar.
Of course my sis! Di JB anytime Kish boleh jumpa akak. Bukannya jauh sangat pun jarak antara JB dengan KL ni. Sehari aje Kish dah boleh sampai.”
Good! Kalau macam tu hujung minggu ni Kish baliklah JB. Kebetulan hari Isnin dan Selasa cuti Tahun Baharu Cina, kan? Jadi cuti panjang. Kuliah pun mesti takde sebab cuti,” ujar Batrisya.
Senyuman Balkish mati dengan sendiri. Dahinya berkerut-kerut. Biar betul permintaan Kak Risya ni? Takkan dia nak suruh aku duk tercongok sorang diri kat kampung tu? Hisy… tak nak ar aku!
“Kish… hey, kenapa senyap ni?”
“Akak tu la. Cakap serupa orang mengigau suruh Kish balik. Kish tak nak balik kalau Kak Risya takde. Bosanlah takde teman nak diajak berbual,” itu hanyalah satu alasan. Sebenarnya memang sudah lama Balkish tidak menjejak kaki ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru itu. Sejak Batrisya berangkat kembali ke UK bersama-sama suaminya, sejak itu jugalah Balkish tidak balik ke kampung halamannya. Bila Syawal menjelma, dia lebih selesa mengikut Aleya balik ke rumah keluarga sahabatnya itu yang terletak di Jementah, Segamat. Menyambut kedatangan Syawal bersama Pak Salleh, Mak Aminah, Saiful, Aleya dan Aleza. Dia punya kisah pahit yang membuatkan dia tidak dapat kembali ke rumah banglo milik ibunya itu lagi.
“Kalau akak ada kat JB, Kish nak balik tak?” soal Batrisya. Sengaja dia bertanya begitu. Dia tahu adiknya itu sudah lama tak balik ke kampung. Dia juga tahu apa yang telah terjadi kepada Balkish setelah dia kembali ke UK tiga tahun lalu. Kini dia mahu adiknya itu kembali ke pangkuan keluarga.
“Kalau akak ada kat kampung dah tentulah Kish akan balik,” tanpa berfikir panjang Balkish memberikan jawapannya. Langsung tidak memikirkan yang jawapannya itu telah menjerat diri.
“Kalau macam tu Kish baliklah. Akak ada kat kampung sekarang ni. Dah tiga hari akak balik,” lancar Batrisya berkata.
Mata Balkish membulat. Sudahlah matanya memang bulat, bertambah bulat bila dia beraksi begitu. Bibirnya yang comel itu pula sudah melopong dengan berbentuk ‘O’.
Biar benar?! Kak Risya ada kat kampung?
“Betul ke Kak Risya ada kat kampung ni?” tanya Balkish bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Betullah Kish. Akak dah habis belajar dah! Konvo pun sudah. Abang Eid pun dah berhenti kerja kat sana. Kami bercadang nak menetap terus kat sini. Kat JB. Lagipun abang Eid akan mula bekerja dengan syarikat guaman Pak Ngah dia dekat JB ni esok. Akak pulak buat masa ni cadang nak rehat aje. Nak tumpuhkan perhatian pada rumah tangga yang selama ni terbahagi dua. Alaaa… nantilah kita sembang panjang-panjang ye Kish. Kish balik kampung dululah ye? Baru senang untuk kita chit chat,” sekali lagi Batrisya mengulangi permintaan yang sama.
Balkish mengetap bibir. Soalan Batrisya terlalu payah untuk dijawab. Perlukah dia kembali semula ke rumah itu lagi setelah apa yang terjadi? Perlukah dia bertemu dengan ibu dan tok mak setelah kedua insan yang disayanginya itu meminggirkan dirinya? Perlukah dia mengungkit kembali peristiwa pahit yang telah cuba dibuang jauh-jauh dari hidupnya selama ini? Bertubi-tubi soalan yang berlegar di fikirannya kini. Matanya dipejamkan.
“Kish… baliklah. Akak rindu sangat dekat Kish. Sampai bila Kish tak nak balik? Kish tak rindukan akak ke?” suaranya sengaja dilirihkan. Mahu meraih simpati si adik. Dia cukup yakin hati adiknya itu akan lembut. Dia kenal sangat dengan perangai Balkish yang satu itu.
Balkish menarik nafas. Kemudian dihela perlahan-lahan. Susah betul bila terpaksa membuat pilihan. Antara kehendak diri dengan permintaan orang yang disayangi.
“Kish…” panggil Batrisya panjang bila Balkish mendiamkan diri. Dia tahu Balkish pasti sedang berperang dengan perasan sendiri.
Balkish menggigit bibir.
“Baiklah, kak. Hujung minggu ni Kish balik. Kish pun rindu sangat pada akak,” akhirnya Balkish mengalah. Kerana rasa rindunya pada si kakak membuatkan dia memilih untuk kembali lagi ke rumah yang sudah lama ditinggalkan. Takpelah… biarlah dia mengalah demi kasih sayangnya pada Batrisya. Lagipun hanya Batrisya tempat dia menumpang kasih selama ini. Tanpa Batrisya, pasti dia tidak punya sesiapa.
“Macam tu lah adik akak,” suara Batrisya sudah kembali ceria. Gembira betul rasa hatinya bila Balkish memberi persetujuan untuk balik ke kampung. Tidak sabar rasanya hendak bertemu dengan adiknya itu.
Dengar suara Batrisya yang ceria itu membuatkan senyuman segaris terbit dari bibir comel Balkish. Dia akan berasa bahagia andai kakaknya itu gembira. Disebabkan itulah dia rela mengorbankan perasaannya demi kebahagian Batrisya.
Okeylah… Kish pergilah masuk tidur. Esok nak kerja kan? Nanti Kish balik sini kita sembang panjang-panjang. Tak tidur satu malam pun takpe. Akak dah tak sabar nak kongsi banyak cerita dengan Kish. Good night and sweet dreams, dik. Assalammualaikum…”
“Waalaikumusalam, Kak Risya,” balas Balkish. Setelah itu talian pun terputus.
Satu keluhan keluar dari mulut Balkish. Entah kenapa hatinya tiba-tiba menjadi sayu untuk kembali lagi ke rumah itu. Bayangan wajah ibu dan tok mak menerjah ke ruang minda. Bagaimana agaknya penerimaan ibu dan tok mak jika dia balik ke rumah itu lagi? Gembirakah kedua-dua insan itu menyambut kepulangannya yang telah sekian lama menyepi diri itu?
Ahhh… tak usah nak beranganlah Kish. Takde maknanya ibu dengan tok mak akan gembira sambut kepulangan kau. Kalau kau takde pun, ibu dengan tok mak tak akan kisah. Siapa kau nak beri kegembiraan dalam hidup mereka?! Ada satu suara datang berbisik. Menusuk seolah-olah memusnahkan keinginan Balkish untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Sekali lagi Balkish mengeluh. Keluhan yang teramat berat.
Apesal mengeluh ni?” sapa Aleya. Kerusi kosong di hadapan Balkish ditarik keluar. Wajah monyok sahabatnya itu dipandang.
Saper yang call?” tanya Aleya kembali.
“Kak Risya,” jawab Balkish pendek.
“Kak Risya?” berkerut dahi Aleya mengulangi nama itu.
Balkish sekadar mengangguk lemah. Wajahnya kelihatan sugul. Tidak seceria tadi. Pelik sungguh Aleya melihat wajah sahabatnya itu. Biasanya jika Batrisya yang menelefon Balkish pasti berwajah ceria. Maklumlah… Balkish dengan Batrisya ni memang rapat. Dulu waktu ayahnya masih bekerja sebagai pemandu ibu Balkish, Puan Badariah, dia selalu lihat Balkish dan Batrisya bersama-sama. Dah serupa belangkas. Bila Batrisya melanjutkan pengajian ke oversea, barulah Balkish dengan Aleya menjadi rapat. Itu pun gara-gara kejadian menyayat hati itu. kejadian Balkish keluar dari rumah lalu tinggal bersama-sama keluarga Aleya di Kuantan.
“Pelik betullah. Selalunya kalau Kak Risya yang call kau mesti tersenyum lebar sampai ke telinga. Happy bukan main. Tapi malam ni… monyok macam tikus mondok pulak,” selamba Aleya menutur kata.
Balkish tersenyum segaris mendengar persamaan yang Aleya ajukan untuknya. Hisy… Aleya ni! Cubalah cari binatang yang kiut sikit untuk disamakan dengan aku ni. Bunny ke… kitten ke… tweety ke… Kan comel? Ini tidak. Tikus mondok jugak yang menjadi pilihan hatinya. Macamlah dia tak tahu yang aku memang anti betul dengan binatang spesis tikus dan hamster ni. Hisy… geli-geleman aku nengoknye!
Melihat senyuman segaris pada bibir Balkish membuatkan Aleya tersenyum lebar. Biarpun hanya segaris, namun itu sudah cukup melegakan hatinya.
“Apa yang Kak Risya cakap sampai muka kau jadi macam ni?” tanya Aleya. Mahu juga dia menyibuk.
Balkish menghela nafas.
“Kak Risya suruh aku balik JB hujung minggu ni. Kebetulan Isnin dan Selasa kan cuti sempena Chinese New Year. Jadi cuti kita panjang. Itu yang dia suruh aku balik,” beritahu Balkish. Sebenarnya dia dengan Aleya baru aje bercadang nak balik ke Segamat hari Jumaat ni selepas waktu pejabat. Dah lama tak jumpa keluarga sahabatnya itu di sana. Berita itu juga sudah dimaklumkan kepada Mak Aminah. Bukan main gembira lagi Mak Aminah bila Aleya memberitahu dia akan pulang bersama-sama Balkish untuk cuti panjang kali ini. Ella pun ikut sekali. Maklumlah… Ella kan sebatang kara. Takde ayah, takde ibu. Ella membesar pun dekat rumah anak-anak yatim di Rumah Seri Raudhah.
Aleya sudah mengerutkan lagi dahinya.
“Laaa… bukan Kak Risya tu ada kat UK ke? Yang dia suruh kau balik JB apesal pulak?”
“Kak Risya dah balik JB la, Leya. Dia dah habis study.”
“Owhhh ye ke? Hurmmm… tak sangka cepat betul masa berlalu, kan? Tak sedar yang Kak Risya dah habiskan study dia di UK tu,” ujar Aleya.
Balkish hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Aleya itu. Dia sebenarnya langsung tak sedar yang kakaknya itu sudah habis belajar. Lima tahun Batrisya berada di UK, masa langsung tak terasa.
“Habis tu kau baliklah hujung minggu ni?”
Balkish angkat bahu. Memang tadi dia sudah berjanji dengan Batrisya yang dia akan balik. Tapi… bila dia memikirkan penerimaan ibu dengan tok mak, hatinya rasa tawar hendak balik ke JB. Lagipun kan dia sudah berjanji akan balik ke Segamat bersama Aleya dan Ella? Nanti apa pulak kata Mak Aminah kalau dia tak balik bersama-sama Aleya. Tentu wanita itu akan berkecil hati.
Hey… apasal ni?” tanya Aleya bila wajah Balkish kembali muram.
“Aku tak sure la nak balik Leya. Aku takut ibu dengan tok mak tak sudi nak terima kepulangan aku. Kau pun tahukan ibu dengan tok mak tak pernah sukakan aku. Aku takut kepulangan aku nanti akan menambah luka dalam hati mereka.”
Jemari Balkish dicapai. Lalu dielus perlahan. Simpati pula Aleya melihat Balkish yang sudah berwajah muram itu. Dia cukup yakin Balkish kini pasti dalam dilema. Bukannya dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Balkish setelah Batrisya berangkat semula ke UK selepas majlis perkahwinan wanita itu. Hajah Bedah telah menghalau Balkish keluar dari banglo dua tingkat itu. Mujurlah ayah Aleya masih bekerja sebagai pemandu Hajah Bedah ketika itu. Ayah Aleyalah yang telah membawa Balkish tinggal bersama-sama mereka sekeluarga. Sejak itu hubungan Aleya dan Balkish menjadi erat seperti adik-beradik. Apatah lagi mereka berdua seusia.
Sentuhan jemari Aleya dibalas oleh Balkish. Jika boleh dia tak mahu menangis lagi.
“Aku faham perasaan kau, Kish. Tapi kau tak boleh nak menghindar berkali-kali. Apa pun kau dengan Kak Risya masih mempunyai satu darah yang sama. Lagipun Kak Risya tu sayang sangat pada kau. Kau baliklah. Kau balik pun bukan sebab ibu dengan tok mak kau, tapi sebab Kak Risya. Pasal emak di kampung, kau jangan risau sangat. Emak pasti faham. Nanti aku pandai-pandailah terangkan pada emak,” pujuk Aleya. Bibirnya tersungging senyuman manis.
Balkish menghela nafas lagi. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Macam itulah. Alaaa… Kish, kau buat tak tahu ajelah dengan sikap ibu dan tok mak kau tu.”
Balkish mengukir senyuman paksa. Mampukah untuk dia buat tak tahu saja dengan layanan ibu dan tok mak bila dia berada di kampungnya nanti? Entahlah… dia sendiri tak pasti. Cuma apa yang dia cukup yakin, hatinya pasti akan terguris lagi dek kata-kata kesat tok mak. Iye la… tok mak kan memang tak pernah sukakan Balkish sejak dari dulu lagi. Pasti kepulangannya nanti sesuatu yang amat dibenci oleh tok mak.
Thanks Leya. Kau banyak sangat bagi aku dorongan. Kau dengan family kau dah banyak sangat tolong aku selama ni. Jasa korang sekeluarga tak dapat aku nak balas.”
“Alaaa… janganlah cakap macam tu. Aku dah anggap kau tu macam kakak aku. Takde hal lah! Lagipun ayah dengan emak memang dah anggap kau macam anak mereka sendiri.”
Amboi si Aleya ni! Susah sangat nak mengaku yang dia tu ‘kakak’ dari Balkish. Asyik-asyik Balkish juga yang kakak. Sepatutnya Aleyalah yang layak digelar kakak. Iye la… Balkish lahir bulan Jun manakala Aleya pula lahir bulan Januari. Dah sah-sahlah dia tu kakak daripada Balkish. Lagi tak mahu mengaku. Husy… Nak jadi adik aje…… Perasan sangat yang dia tu masih muda remaja.

***************************************************************************

IPHONE 4s bewarna putih itu diletakkan semula ke tempat asalnya. Senyuman di bibir berkembang dengan mekar sekali. Mana tidaknya, rasa rindu pada adik tersayang sudah dapat dilepaskan selepas bersembang dengan si adik. Kini dia hanya menghitung hari menanti kepulangan adiknya itu.
Batrisya berpaling ke arah katil. Nampaknya suami kesayangannya itu masih leka membaca buku tebal berkaitan dengan undang-undang. Eidham memang macam itu. Kalau buku yang berkaitan dengan undang-undang saja pasti tumpuannya tak akan berganjak ke arah lain. Itu yang kekadang buat Batrisya sakit hati.
Perlahan Batrisya melangkah menghampiri suaminya. Punggungnya dihenyakkan ke atas tilam. Wajah suami tersayang dipandang penuh rasa cinta. Cinta yang tak pernah berkurangan.
“Hujung minggu ni Kish balik kampung. Sayang dah tak sabar nak jumpa Kish, bang. Dah lama sangat tak berbual dengan Kish,” beritahu Batrisya tanpa dipinta. Bukan main ceria lagi wajahnya ketika menuturkan ayat itu.
Eidham hanya mendiamkan diri. Langsung tidak memberi sebarang tindak balas. Butir bicara isterinya dibiarkan begitu sahaja. Macam angin lalu.
“Selama ni… kalau sayang rindu nak tengok wajah Kish, kami cuma bersembang secara online kat FB guna webcam aje. Itu pun tak jelas sangat. Samar-samar. Tengok gambar Kish dalam FB pun tak puas hati sangat. Kali ni Kish balik dapatlah sembang puas-puas dengan Kish. Tak sabar sungguh rasa hati ni,” luah Batrisya dengan bersungguh-sungguh.
Eidham masih mendiamkan diri. Membiarkan isterinya berbicara sendirian. Mata dan tumpuannya masih lagi kepada buku tebal yang berada di tangan. Banyak fakta menarik yang boleh digunapakai untuk mengendalikan sesuatu kes perbicaraan.
Melihat suaminya yang langsung tidak memberi sebarang respon itu memaksa Batrisya mengerling Eidham. Kemudian bibirnya diketap. Eidham ni kalau sudah jumpa buku berkaitan dengan undang-undang memang tak akan peduli apa-apa. Bosan betul! Tanpa berfikir panjang laju sahaja dia merampas buku tebal itu dari genggaman suaminya. Tersentak Eidham dengan perbuatan isterinya itu. Wajah Batrisya dipandang.
“Abang macam ni la… kalau dah jumpa dengan buku kegemaran abang ni, langsung tak pedulikan sayang. Apa yang sayang cakap, abang buat tak tahu aje. Macamlah sayang ni cakap dengan anak patung. Sayang cakap dengan abang tau. Boleh tak abang bagi perhatian sikit,” dengus Batrisya. Geram betul dia dengan sikap acuh tak acuh Eidham terhadapnya. Sikap Eidham yang sebegitulah membuatkan dia berkecil hati dengan suaminya itu. Sewaktu mereka mula-mula berkahwin dulu, Eidham tidak pernah melayannya sebegini. Namun sekarang, Eidham sudah berubah walaupun perubahannya tidak seratus peratus.
Bibir Batrisya sudah memuncung. Tangannya disilangkan ke dada. Wajahnya mencuka. Ini membuatkan Eidham tertawa kecil. Sepantas itu juga Batrisya mengerling wajah suaminya yang tertawa itu melalui ekor mata.
“Yang abang gelak tu kenapa? Sayang serius tau. Abang dah berubah sejak akhir-akhir ni. Langsung tak pedulikan sayang lagi,” luah Batrisya. Nadanya kedengaran sayu. Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan yang mula bergolak disebabkan sikap orang yang tersayang.
Eidham tersenyum. Kedudukan badannya diperbetulkan. Lantas dia merangkul erat bahu isteri tersayang. Dia tahu sikapnya itu membuatkan Batrisya terasa hati. Namun kasih dan sayangnya pada Batrisya masih seperti dulu.
Sorry…” pinta Eidham. Bibirnya mendarat mencium bahu Batrisya yang masih berwajah masam.
“Dahlah… sayang nak keluar. Abang tidurlah dulu,” nada rajuk yang mula kedengaran. Kecil benar hati Batrisya dengan layanan suaminya itu sejak kebelakangan ini. Kehadirannya seolah-olah tidak dipeduli lagi.
Belum pun sempat kakinya hendak mencecah lantai, Eidham terlebih dahulu bertindak pantas. Pergelangan tangan Batrisya ditarik sehingga wanita itu tidak sempat mengimbangi tubuhnya lalu jatuh ke dada bidang Eidham. Sepantas itu juga dia memeluk erat tubuh Batrisya yang sudah berada atas tubuhnya.
“Apa abang ni?” bentak Batrisya. Terkejut dengan tindakan yang tidak disangka suaminya itu. Dadanya mula berdebar hebat. Renungan mata Eidham membuatkan dia membuang pandangan ke arah lain.
Eidham tersenyum lebar. Inilah salah satu sikap Batrisya yang membuatkan dia sukakan wanita itu. Biarpun mereka sudah tiga tahun bergelar suami isteri, namun sikap pemalu Batrisya terhadapnya masih lagi menebal.
“Abang tak nak tidur sorang diri. Sayang temankan abang tidur ya?” ujar Eidham. Sengaja mahu mengusik si isteri yang sudah kemerah-merahan wajahnya.
Batrisya mengetap bibir. Segan dengan kata-kata suaminya itu. Dan belum pun sempat dia berbuat apa-apa, bibir Eidham sudah pun mendarat mendapatkan bibirnya. Lantas jemari nakal suaminya itu mula memainkan peranan. Membawa Batrisya ke bahtera rumah tangga yang sudah jarang mereka layari bersama sejak kebelakangan ini.

***************************************************************************

MATANYA masih merenung kipas yang ligat berputar. Permintaan Batrisya yang mahu dia balik hujung minggu ini masih berlegar di kotak fikiran. Hatinya berbelah bahagi. Sama ada mahu balik atau pun tidak. Jika dia balik, hatinya pasti akan terguris lagi. Namun bila dia tak balik, tentu Batrisya akan kecewa dengannya.
Balkish melepaskan keluhan. Kenangan lama itu mula terimbau kembali. Kata-kata tok mak sayup-sayup menerjah masuk ke cuping telinganya. Kata-kata yang tak mungkin akan dia lupakan sampai bila-bila.
“Kau bukan cucu aku!!!” jerkah tok mak dengan kasar. Tanpa belas kasihan tok mak menolak tubuh kurus Balkish sehingga membuatkan dia tersungkur jatuh ke lantai.
“Apa tok mak cakap ni? Kish kan anak ibu jugak. Kish pun cucu tok mak,” Balkish sudah mula teresak-esak. Berkecai hatinya mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari mulut tok mak itu.
Dengan sinis tok mak mengerling.
“Sampai bila-bila pun aku tak akan mengaku kau cucu aku. Kau bukan cucu aku. Aku tak pernah anggap kau sebagai cucu. Darah yang mengalir dalam tubuh kau tu tak sama dengan darah yang ada dalam badan aku,” angkuh sekali tok mak bersuara.
“Tapi kan Kish ni anak ibu,” Balkish masih mahu bersuara. Wajah ibu yang sudah terduduk di atas sofa dipandang. Namun tiada tindak balas yang diberikan. Ibu hanya mendiamkan diri tanpa kata.
Tiba-tiba tok mak ketawa besar. Kata-kata Balkish itu terasa kelakar pada pendengarannya. Serentak itu juga dia memegang pergelangan tangan Balkish dengan kasar. Kemudian dia mengheret Balkish datang dekat ke arah menantunya yang duduk tidak jauh dari situ.
“Kau tengok wanita yang kau panggil ibu ini? Wajah kau dengan dia samakah? Untuk pengetahuan kau… wanita ini bukan ibu kandung kau. Ibu kandung kau yang sebenar dah lama mati! Ibu kandung kau tu perempuan tak tahu malu yang telah merosakkan kebahagian wanita ini. Kau faham, tak?!” dengan lancang tok mak bersuara.
Balkish terkedu. Dia merapati ibunya. Kaki ibu dipegang. Wajah ibu dipandang. Ibu langsung tidak memandang wajahnya.
“Bu… benarkah apa yang tok mak cakap? Kish ni bukan anak ibu ke? Bu… cakaplah ini semua tak benar. Cakaplah yang Kish anak ibu,” sayu Balkish meminta kepastian. Merayu pada ibu agar apa yang diperkatakan oleh tok mak itu tidak benar.
Tiada sepatah kata yang keluar dari bibir Hajah Badariah. Dia hanya mendiamkan diri. Air matanya juga sudah mengalir. Bukan mengalir kerana simpatikan Balkish, tetapi mengalir kerana mengenangkan kisah lalu.
“Bu… cakaplah.” desak Balkish. Kaki ibu digoyang-goyangkan. Memaksa ibu untuk berterus-terang.
Hajah Badariah memejam rapat matanya. Menahan pelbagai perasaan yang mula menjalar.
“Memang benar apa yang tok mak cakap. Kish bukan anak kandung ibu. Ibu kandung Kish yang sebenar dah lama meninggal dunia,” akhirnya Hajah Badariah bersuara juga.
“Tapi kan dalam sijil kelahiran Kish nama ibu Kish Badariah. Kan nama ibu Badariah.”
“Nama sebenar ibu kandung Kish adalah Kiran. Nama Islamnya Badariah. Kish memang bukan anak kandung ibu,” selesai berkata sebegitu, Hajah Badariah bangun dari duduknya. Pantas dia berlalu naik ke tingkat atas.
Tangisan Balkish sudah pecah mendengar kenyatan itu. Betapa pedihnya kenyataan yang baru diketahuinya itu. Kenapa selama ini dia tak pernah tahu yang dia bukan anak kandung Hajah Badariah. Padanlah selama ini ibu tak pernah menunjukkan rasa sayang padanya. Rupanya dia bukan anak kandung ibu.
“Sekarang kau dah tahu asal usul kau yang sebenar. Jadi mulai saat ini kau jangan nak memandai-mandai lagi. Selama ini aku bersabar dengan kau disebabkan Batrisya dan Badariah. Jika bukan sebab Risya terlalu sayangkan kau, dah lama aku bagitau kau hal yang sebenar. Aku benci tengok kau. Wajah kau mengingatkan aku pada perempuan yang telah memusnahkan rumahtangga anak dan menantu aku,” lancar tok mak bersuara lagi. Menambahkan kelukaan dalam hati Balkish.
Saat ini, Balkish teramat rindukan Batrisya. Kalaulah Batrisya ada. Tentu kakaknya itu sudi berkongsi kesedihan ini dengannya. Dan malam itu juga Balkish keluar dari banglo itu. Ibu langsung tidak melarang. Tok mak apatah lagi. Dengan angkuh tok mak membuang pandangannya kala Balkish mengheret beg besar keluar malam itu.

No comments:

Post a Comment