Dahulu kukenal dia
Jejaka idaman Malaya
Semut pun tak mati dipijak
Lemah lembut bicara
Semakin ku buka hati
Semakin buka mata
Dia berselindung untuk mengaburi langkahnya
Jejaka idaman Malaya
Semut pun tak mati dipijak
Lemah lembut bicara
Semakin ku buka hati
Semakin buka mata
Dia berselindung untuk mengaburi langkahnya
Kini ku tak mahu
Ditipu dengan si pencabul kalbu
Mula-mula ku benar-benar nak bercinta
Dengan iya-iya
Tapi lama-lama belangnya keluar
Rupa-rupanya jahatnya suka-suka
……………………
Stacy
– Kasanova
ALUNAN
irama rancak nyanyian Stacy berkumandang melalui Samsung S3 kesayangan milik
Balkish. Bukan senang nak dapatkan Samsung S3 yang berharga empat angka itu.
Balkish terpaksa ikat perut semata-mata nak dapatkannya yang sekian lama menjadi
idamannya. Disebabkan mahu memiliki S3 itu, dia kenalah berkorban sikit. Sambil
itu boleh jugalah dia berdiet. Heheheee…
Ella yang mendengar irama lagu dari telefon bimbit
Balkish itu sudah mengerling dengan ekor mata.
‘Mak ai si Kish ni… macam dah tak ada lagu lain lagi
yang dia nak letak. Lagu ‘Kasanova’ itu juga yang menjadi pilihan jiwa
kalbunya. Mungkin si kasanova yang Kish maksudkan itu adalah… Harriz! Tapi bila
masa pulak hati Kish kena tawan oleh
si hensem itu? Setahu aku… Kish bukan
main benci lagi pada Harriz. Siap panggil Mr.
Alligator. Hisy… pandai betul Kish bagi nama manja pada Harriz. Tak sesuai
langsung! Adakah patut bagi gelaran macam tu pada orang hensem yang sempurna bentuk fizikalnya. Sepatutnya untuk mamat hensem macam Harriz tu Kish kenalah
letak nama manja Prince Charming.
Baru sesuai! Heheheee….’ Ella bermonolog.
S3 yang terletak di atas meja kopi dicapai. Sebuah
senyuman manis terukir pada bibir comel Balkish kala pandangan mata tertancap
pada skrin telefon bimbit.
‘Kak Risya!’ bergema nama itu melalui suara hati.
“Assalammualaikum Kak Risy,” ucap Balkish sambil
melangkah menuju ke ruang makan yang tidak berapa jauh daripada ruang tamu. Dia
tak naklah perbualannya dengan Batrisya nanti menganggu tumpuan Ella terhadap
drama Cinta Lelong yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria itu. Dia
bukannya tidak tahu macam mana fanatiknya si Ella pada Aaron Aziz. Sikit-sikit
Aaron Aziz! Bayangkanlah, drama Cinta Lelong ini sahaja sudah beberapa kali
diulang siar. Namun Ella langsung tak pernah bosan menontonnya. Siap boleh
ketawa terbahak-bahak lagi bila ada insiden yang mencuit hati.
“Waalaikumusalam. Kish apa kabar?” suara Batrisya
kedengaran dari corong sana. Sudah agak lama juga dia tak menghubungi adiknya
itu. Rasanya adalah dalam tiga bulan. Terubat juga rindunya bila mendengar
suara ceria adik kesayangannya itu.
“Alhamdulillah… Kish sihat. Kak Risya pulak macam mana? Baik-baik aje kan?” giliran Balkish pula bertanya.
Memang sudah lama dia dengan kakaknya itu tidak berhubung. Rindu rasanya.
“Alhamdulillah, dik. Akak sihat.”
“Alhamdulillah… Kish rindu sangat pada Kak Risya.
Dah lama tak bersembang dengan akak,” luah Balkish. Memang dia rindukan
Batrisya. Sejak kakaknya itu melanjutkan pengajian ke UK, hanya sekali sahaja
Batrisya balik ke Malaysia. Itu pun tiga tahun lepas. Sewaktu majlis
perkahwinan kakaknya itu. Selepas itu Batrisya dan suaminya kembali semula ke
UK untuk melanjutkan pengajian mereka di University Of Nottingham.
“Tu la pasal. Akak pun rindu sangat dekat Kish. Dah
lama tak dengar suara Kish yang serak-serak basah macam Rani Mukherjee tu. Cuma
akak sibuk sangat sejak akhir-akhir ni. Faham ajelah tugas akak yang jadi seorang isteri dan pelajar ni. Berat!” beritahu
Batrisya seraya ketawa kecil dihujung kata-katanya. Tugasnya sebagai seorang
isteri dan pelajar membuatkan jadualnya menjadi sibuk. Apatah lagi dia berada
jauh daripada keluarga. Tentulah segala hal dia dengan suami perlu uruskan
sendiri.
“Kish pulak
macam mana? Kish dah masuk kelas balik kan?” tanya Batrisya. Seingatnya Balkish
pernah memberitahu kepadanya beberapa bulan lepas yang dia akan kembali ke
kelas selepas habis cuti semester.
Balkish mengangguk. Hai… macamlah Batrisya nampak
yang dia sedang mengangguk-anggukkan kepalanya itu. Lantas sebuah senyuman nipis
terukir pada bibirnya.
“Yup! Dah
tiga bulan Kish masuk kelas balik. Tinggal tiga bulan aje lagi untuk habiskan semester
keempat ni, kak. Lepas ni hanya tinggal dua semester aje lagi untuk Kish mengenggam segulung ijazah. Kish dah tak sabar
nak habiskan pengajian ni. Penat betullah kak pikul dua tanggungjawab dalam
satu masa ni. Orang lain hujung minggu boleh bersenang-lenang dan keluar
bersuka-ria, tapi Kish kena pergi kelas. Lepas tu Isnin hingga Jumaat pulak kena kerja. Penatnya
berganda-ganda,” panjang lebar Balkish mengadu. Hanya pada kakaknya itulah
tempat dia mengadu nasib selama ini. Malah Batrisya merupakan orang pertama
yang memberinya semangat untuk mengikuti PJJ.
Selepas sahaja Balkish menamatkan SPM dengan
keputusan yang cemerlang, dia terus mengambil Diploma Sains Kesetiausahaan
selama dua tahun di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Setelah
itu dia menjalani praktikal di F&F Holdings, Kuala Lumpur selama enam
bulan. Dua bulan setelah habis pengajian di Politeknik SAS, dia menerima
tawaran bekerja di F&F Holdings sebagai Pembantu Setiausaha. Ini semua atas
saranan Puan Suzihana setelah berpuas hati dengan cara dia bekerja sewaktu
menjalani praktikal di situ sebelum ini. Balkish sangat berterima kasih pada
Puan Suzihana kerana jasa baik wanita itu yang telah mengesyorkan namanya untuk
bekerja di situ. Sehingga ke hari ini dia masih lagi menjadi sebahagian
daripada ahli keluarga F&F Holdings. Bagi Balkish, Puan Suzihana merupakan
idolanya dalam bidang kesetiausahaan ini. Jangan ingat kerja sebagai seorang
setiausaha hanya tahu bersolek dan mencatat temujanji ketua sahaja. Sebenarnya
ada banyak kerja setiausaha yang orang lain tak tahu. Cukup memenatkan.
Tahun lalu, Balkish telah dinaikkan pangkat sebagai
setiausaha kepada Encik Fahmie di bahagian kewangan F&F Holdings. Encik
Fahmie merupakan anak lelaki kedua Datuk Fauzi, pemilik syarikat F&F
Holdings. Dia bersyukur sangat dengan rezeki yang diperolehinya itu. Nampaknya
Allah memberi kesenangan untuk dia mendapat ruang dalam dunia pekerjaan. Mana
taknya, dalam usia semuda dua puluh dua tahun dia sudah dinaikkan pangkat pula
menjadi setiausaha Encik Fahmie. Kiranya sekarang ini masuk dua tahun jugalah
dia menjadi setiausaha kepada Encik Fahmie. Dan bosnya itu memang seorang ketua yang cukup baik. Alhamdulillah…
Dalam tahun yang sama jugalah dia mendaftar sebagai
seorang pelajar untuk Pendidikan Jarak Jauh di UiTM, Shah Alam dalam Bachelor Of Corporate Administration
untuk tiga tahun pengajian. Maknanya dia kini memikul dua tanggungjawab dalam
satu masa. Satu tanggungjawab sebagai seorang pekerja, satu lagi tanggungjawab
sebagai seorang pelajar. Namun untuk berjaya dia perlulah kuatkan semangat
seperti yang selalu Batrisya beritahu bila kakaknya itu ada peluang untuk
menelefonnya. Jika tidak pun, nasihat Batrisya pasti akan tertulis dalam Facebooknya. Heheheee…
“Kish… ada lagi tak ni? Senyap aje. Kish dah tidur
ke? Atau… Kish tengah berkhayal ni?” suara Batrisya dari hujung talian
mengembalikan Balkish ke alam nyata.
Ya Allah… macam mana boleh berkhayal ni? Time on the line dengan kak Risya pulak
tu. Hisy… tak patut betul! Parah betul penyakit berkhayal aku ni.
“Heheee… sorry
Kak Risya. Kish ada lagi ni.”
Suara ketawa Batrisya dari hujung talian kedengaran.
Dia faham apa yang sedang dilalui oleh adiknya itu. Memang penat bekerja sambil
belajar ini. Kena kuat semangat. Jika tidak… sah tersungkur tengah jalan. Macam
dia jugalah yang memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
“Perangai Kish yang suka sangat mengelamun tu tak
pernah nak hilang. Sampaikan bersembang dengan akak pun sempat juga layan
perasaan. Akak tahulah Kish penat sangat dengan kerja, mana dengan kuliah lagi.
Tapi Kish kenalah kuatkan semangat. Orang kata, biar susah dulu… tapi senang
kemudian. Akak yakin sangat Kish pasti akan berjaya jugak menggenggam ijazah yang Kish idamkan selama ini,” seperti biasa,
Batrisya tidak pernah jemu memberikan kata semangat buat adiknya itu.
Sekali lagi Balkish mengangguk. Macam Batrisya
nampak pulak yang dia tu tengah
menganggukkan kepalanya itu. Hisy! Rambutnya yang panjang mencecah ke paras
pinggang itu dibelek-belek. Cuba mencari hujung rambut yang bercabang. Manalah
tahu kalau ada yang bercabang walaupun rambutnya itu memang tak pernah
bercabang kerana Balkish begitu menjaga rambutnya dengan baik biarpun dia
memakai tudung. Tiga kali seminggu dia akan pastikan rambutnya diberi rawatan
yang betul.
“Thanks
Kak Risya. Inilah yang Kish rindu sangat pada kakak kesayangan Kish yang sorang
ni. Kak Risya selalu bagi Kish semangat. Hmmm… rindunya pada Kak Risya. Dah
lama sangat tak jumpa dan duduk bersembang.” luah Balkish. Tetiba dia rasa
hendak memeluk kakaknya itu.
“Hmmm… iye
la tu. Kish tu cakap aje rindu tapi
Kish tak jumpa akak pun.”
Dahi Balkish berkerut. Aduh… kakakku yang cantik
lawa ini… UK tu jauh sangat. Kalau takde
duit ribu-ribu jangan haraplah dapat pergi ke sana. Aku manalah ada duit yang
banyak nak pergi ke UK tu. Duit gaji pun tak cukup nak ke sana. Lagipun duit
yang ada sekarang ni semua untuk kegunaan study. Dalam angan-angan dapatlah aku ke UK tu. Tapi
kalau ke Ulu Klang tu memang aku dapat pergi dengan segera. Hari ni pun boleh! Heheheee…
“Aduh kak… UK tu jauh sangatlah. Kish tak cukup duit
nak ke sana. Duit yang ada semua untuk kegunaan study.”
“Habis tu kalau akak ada kat JB sekarang ni, Kish
dapat tak jumpa akak?” soal Batrisya.
Balkish tersenyum lebar.
“Of course my
sis! Di JB anytime Kish boleh
jumpa akak. Bukannya jauh sangat pun jarak antara JB dengan KL ni. Sehari aje Kish dah boleh sampai.”
“Good!
Kalau macam tu hujung minggu ni Kish baliklah JB. Kebetulan hari Isnin dan Selasa
cuti Tahun Baharu Cina, kan? Jadi cuti panjang. Kuliah pun mesti takde sebab cuti,” ujar Batrisya.
Senyuman Balkish mati dengan sendiri. Dahinya
berkerut-kerut. Biar betul permintaan Kak Risya ni? Takkan dia nak suruh aku duk tercongok sorang diri kat kampung tu?
Hisy… tak nak ar aku!
“Kish… hey,
kenapa senyap ni?”
“Akak tu la. Cakap serupa orang mengigau suruh Kish
balik. Kish tak nak balik kalau Kak Risya takde.
Bosanlah takde teman nak diajak
berbual,” itu hanyalah satu alasan. Sebenarnya memang sudah lama Balkish tidak
menjejak kaki ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Melayu Majidee,
Johor Bahru itu. Sejak Batrisya berangkat kembali ke UK bersama-sama suaminya,
sejak itu jugalah Balkish tidak balik ke kampung halamannya. Bila Syawal
menjelma, dia lebih selesa mengikut Aleya balik ke rumah keluarga sahabatnya
itu yang terletak di Jementah, Segamat. Menyambut kedatangan Syawal bersama Pak
Salleh, Mak Aminah, Saiful, Aleya dan Aleza. Dia punya kisah pahit yang
membuatkan dia tidak dapat kembali ke rumah banglo milik ibunya itu lagi.
“Kalau akak ada kat JB, Kish nak balik tak?” soal
Batrisya. Sengaja dia bertanya begitu. Dia tahu adiknya itu sudah lama tak
balik ke kampung. Dia juga tahu apa yang telah terjadi kepada Balkish setelah
dia kembali ke UK tiga tahun lalu. Kini dia mahu adiknya itu kembali ke
pangkuan keluarga.
“Kalau akak ada kat
kampung dah tentulah Kish akan balik,” tanpa berfikir panjang Balkish
memberikan jawapannya. Langsung tidak memikirkan yang jawapannya itu telah
menjerat diri.
“Kalau macam tu Kish baliklah. Akak ada kat kampung sekarang ni. Dah tiga hari
akak balik,” lancar Batrisya berkata.
Mata Balkish membulat. Sudahlah matanya memang
bulat, bertambah bulat bila dia beraksi begitu. Bibirnya yang comel itu pula
sudah melopong dengan berbentuk ‘O’.
Biar benar?! Kak Risya ada kat kampung?
“Betul ke Kak Risya ada kat kampung ni?” tanya
Balkish bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Betullah Kish. Akak dah habis belajar dah! Konvo
pun sudah. Abang Eid pun dah berhenti kerja kat sana. Kami bercadang nak
menetap terus kat sini. Kat JB. Lagipun abang Eid akan mula bekerja
dengan syarikat guaman Pak Ngah dia dekat JB ni esok. Akak pulak buat masa ni
cadang nak rehat aje. Nak tumpuhkan
perhatian pada rumah tangga yang selama ni terbahagi dua. Alaaa… nantilah kita
sembang panjang-panjang ye Kish. Kish
balik kampung dululah ye? Baru senang
untuk kita chit chat,” sekali lagi
Batrisya mengulangi permintaan yang sama.
Balkish mengetap bibir. Soalan Batrisya terlalu
payah untuk dijawab. Perlukah dia kembali semula ke rumah itu lagi setelah apa
yang terjadi? Perlukah dia bertemu dengan ibu dan tok mak setelah kedua insan
yang disayanginya itu meminggirkan dirinya? Perlukah dia mengungkit kembali
peristiwa pahit yang telah cuba dibuang jauh-jauh dari hidupnya selama ini?
Bertubi-tubi soalan yang berlegar di fikirannya kini. Matanya dipejamkan.
“Kish… baliklah. Akak rindu sangat dekat Kish.
Sampai bila Kish tak nak balik? Kish tak rindukan akak ke?” suaranya sengaja
dilirihkan. Mahu meraih simpati si adik. Dia cukup yakin hati adiknya itu akan
lembut. Dia kenal sangat dengan perangai Balkish yang satu itu.
Balkish menarik nafas. Kemudian dihela
perlahan-lahan. Susah betul bila terpaksa membuat pilihan. Antara kehendak diri
dengan permintaan orang yang disayangi.
“Kish…” panggil Batrisya panjang bila Balkish
mendiamkan diri. Dia tahu Balkish pasti sedang berperang dengan perasan
sendiri.
Balkish menggigit bibir.
“Baiklah, kak. Hujung minggu ni Kish balik. Kish pun
rindu sangat pada akak,” akhirnya Balkish mengalah. Kerana rasa rindunya pada
si kakak membuatkan dia memilih untuk kembali lagi ke rumah yang sudah lama
ditinggalkan. Takpelah… biarlah dia
mengalah demi kasih sayangnya pada Batrisya. Lagipun hanya Batrisya tempat dia
menumpang kasih selama ini. Tanpa Batrisya, pasti dia tidak punya sesiapa.
“Macam tu lah adik akak,” suara Batrisya sudah
kembali ceria. Gembira betul rasa hatinya bila Balkish memberi persetujuan
untuk balik ke kampung. Tidak sabar rasanya hendak bertemu dengan adiknya itu.
Dengar suara Batrisya yang ceria itu membuatkan
senyuman segaris terbit dari bibir comel Balkish. Dia akan berasa bahagia andai
kakaknya itu gembira. Disebabkan itulah dia rela mengorbankan perasaannya demi
kebahagian Batrisya.
“Okeylah…
Kish pergilah masuk tidur. Esok nak kerja kan? Nanti Kish balik sini kita
sembang panjang-panjang. Tak tidur satu malam pun takpe. Akak dah tak sabar nak kongsi banyak cerita dengan Kish. Good night and sweet dreams, dik.
Assalammualaikum…”
“Waalaikumusalam, Kak Risya,” balas Balkish. Setelah
itu talian pun terputus.
Satu keluhan keluar dari mulut Balkish. Entah kenapa
hatinya tiba-tiba menjadi sayu untuk kembali lagi ke rumah itu. Bayangan wajah
ibu dan tok mak menerjah ke ruang minda. Bagaimana agaknya penerimaan ibu dan
tok mak jika dia balik ke rumah itu lagi? Gembirakah kedua-dua insan itu
menyambut kepulangannya yang telah sekian lama menyepi diri itu?
Ahhh… tak usah nak beranganlah Kish. Takde maknanya ibu dengan tok mak akan
gembira sambut kepulangan kau. Kalau kau takde
pun, ibu dengan tok mak tak akan kisah. Siapa kau nak beri kegembiraan dalam
hidup mereka?! Ada satu suara datang berbisik. Menusuk seolah-olah memusnahkan
keinginan Balkish untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Sekali lagi Balkish mengeluh. Keluhan yang teramat
berat.
“Apesal
mengeluh ni?” sapa Aleya. Kerusi kosong di hadapan Balkish ditarik keluar.
Wajah monyok sahabatnya itu dipandang.
“Saper
yang call?” tanya Aleya kembali.
“Kak Risya,” jawab Balkish pendek.
“Kak Risya?” berkerut dahi Aleya mengulangi nama
itu.
Balkish sekadar mengangguk lemah. Wajahnya kelihatan
sugul. Tidak seceria tadi. Pelik sungguh Aleya melihat wajah sahabatnya itu.
Biasanya jika Batrisya yang menelefon Balkish pasti berwajah ceria. Maklumlah…
Balkish dengan Batrisya ni memang rapat. Dulu waktu ayahnya masih bekerja
sebagai pemandu ibu Balkish, Puan Badariah, dia selalu lihat Balkish dan
Batrisya bersama-sama. Dah serupa belangkas. Bila Batrisya melanjutkan pengajian
ke oversea, barulah Balkish dengan
Aleya menjadi rapat. Itu pun gara-gara kejadian menyayat hati itu. kejadian
Balkish keluar dari rumah lalu tinggal bersama-sama keluarga Aleya di Kuantan.
“Pelik betullah. Selalunya kalau Kak Risya yang call kau mesti tersenyum lebar sampai ke
telinga. Happy bukan main. Tapi malam
ni… monyok macam tikus mondok pulak,”
selamba Aleya menutur kata.
Balkish tersenyum segaris mendengar persamaan yang
Aleya ajukan untuknya. Hisy… Aleya ni! Cubalah cari binatang yang kiut sikit untuk disamakan dengan aku
ni. Bunny ke… kitten ke… tweety ke… Kan
comel? Ini tidak. Tikus mondok jugak
yang menjadi pilihan hatinya. Macamlah dia tak tahu yang aku memang anti betul
dengan binatang spesis tikus dan hamster ni. Hisy… geli-geleman aku nengoknye!
Melihat senyuman segaris pada bibir Balkish
membuatkan Aleya tersenyum lebar. Biarpun hanya segaris, namun itu sudah cukup
melegakan hatinya.
“Apa yang Kak Risya cakap sampai muka kau jadi macam
ni?” tanya Aleya. Mahu juga dia menyibuk.
Balkish menghela nafas.
“Kak Risya suruh aku balik JB hujung minggu ni. Kebetulan Isnin dan Selasa kan cuti
sempena Chinese New Year. Jadi cuti
kita panjang. Itu yang dia suruh aku balik,” beritahu Balkish. Sebenarnya dia
dengan Aleya baru aje bercadang nak
balik ke Segamat hari Jumaat ni selepas waktu pejabat. Dah lama tak jumpa
keluarga sahabatnya itu di sana. Berita itu juga sudah dimaklumkan kepada Mak
Aminah. Bukan main gembira lagi Mak Aminah bila Aleya memberitahu dia akan
pulang bersama-sama Balkish untuk cuti panjang kali ini. Ella pun ikut sekali.
Maklumlah… Ella kan sebatang kara. Takde
ayah, takde ibu. Ella membesar pun
dekat rumah anak-anak yatim di Rumah Seri Raudhah.
Aleya sudah mengerutkan lagi dahinya.
“Laaa… bukan Kak Risya tu ada kat UK ke? Yang dia suruh kau balik JB apesal pulak?”
“Kak Risya dah balik JB la, Leya. Dia dah habis study.”
“Owhhh… ye ke? Hurmmm… tak sangka cepat betul
masa berlalu, kan? Tak sedar yang Kak Risya dah habiskan study dia di UK tu,” ujar Aleya.
Balkish hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata
Aleya itu. Dia sebenarnya langsung tak sedar yang kakaknya itu sudah habis
belajar. Lima tahun Batrisya berada di UK, masa langsung tak terasa.
“Habis tu kau baliklah hujung minggu ni?”
Balkish angkat bahu. Memang tadi dia sudah berjanji
dengan Batrisya yang dia akan balik. Tapi… bila dia memikirkan penerimaan ibu
dengan tok mak, hatinya rasa tawar hendak balik ke JB. Lagipun kan dia sudah
berjanji akan balik ke Segamat bersama Aleya dan Ella? Nanti apa pulak kata Mak Aminah kalau dia tak
balik bersama-sama Aleya. Tentu wanita itu akan berkecil hati.
“Hey…
apasal ni?” tanya Aleya bila wajah Balkish kembali muram.
“Aku tak sure la
nak balik Leya. Aku takut ibu dengan tok mak tak sudi nak terima kepulangan
aku. Kau pun tahukan ibu dengan tok mak tak pernah sukakan aku. Aku takut
kepulangan aku nanti akan menambah luka dalam hati mereka.”
Jemari Balkish dicapai. Lalu dielus perlahan.
Simpati pula Aleya melihat Balkish yang sudah berwajah muram itu. Dia cukup
yakin Balkish kini pasti dalam dilema. Bukannya dia tidak tahu apa yang telah
terjadi kepada Balkish setelah Batrisya berangkat semula ke UK selepas majlis
perkahwinan wanita itu. Hajah Bedah telah menghalau Balkish keluar dari banglo
dua tingkat itu. Mujurlah ayah Aleya masih bekerja sebagai pemandu Hajah Bedah
ketika itu. Ayah Aleyalah yang telah membawa Balkish tinggal bersama-sama
mereka sekeluarga. Sejak itu hubungan Aleya dan Balkish menjadi erat seperti
adik-beradik. Apatah lagi mereka berdua seusia.
Sentuhan jemari Aleya dibalas oleh Balkish. Jika
boleh dia tak mahu menangis lagi.
“Aku faham perasaan kau, Kish. Tapi kau tak boleh
nak menghindar berkali-kali. Apa pun kau dengan Kak Risya masih mempunyai satu
darah yang sama. Lagipun Kak Risya tu sayang sangat pada kau. Kau baliklah. Kau
balik pun bukan sebab ibu dengan tok mak kau, tapi sebab Kak Risya. Pasal emak
di kampung, kau jangan risau sangat. Emak pasti faham. Nanti aku
pandai-pandailah terangkan pada emak,” pujuk Aleya. Bibirnya tersungging
senyuman manis.
Balkish menghela nafas lagi. Lambat-lambat dia
mengangguk.
“Macam itulah. Alaaa… Kish, kau buat tak tahu ajelah
dengan sikap ibu dan tok mak kau tu.”
Balkish mengukir senyuman paksa. Mampukah untuk dia
buat tak tahu saja dengan layanan ibu dan tok mak bila dia berada di kampungnya
nanti? Entahlah… dia sendiri tak pasti. Cuma apa yang dia cukup yakin, hatinya
pasti akan terguris lagi dek kata-kata kesat tok mak. Iye la… tok mak kan memang tak pernah sukakan Balkish sejak dari
dulu lagi. Pasti kepulangannya nanti sesuatu yang amat dibenci oleh tok mak.
“Thanks
Leya. Kau banyak sangat bagi aku dorongan. Kau dengan family kau dah banyak sangat tolong aku selama ni. Jasa korang sekeluarga tak dapat aku nak
balas.”
“Alaaa… janganlah cakap macam tu. Aku dah anggap kau
tu macam kakak aku. Takde hal lah!
Lagipun ayah dengan emak memang dah anggap kau macam anak mereka sendiri.”
Amboi si Aleya ni! Susah sangat nak mengaku yang dia
tu ‘kakak’ dari Balkish. Asyik-asyik Balkish juga yang kakak. Sepatutnya
Aleyalah yang layak digelar kakak. Iye
la… Balkish lahir bulan Jun manakala Aleya pula lahir bulan Januari. Dah
sah-sahlah dia tu kakak daripada Balkish. Lagi tak mahu mengaku. Husy… Nak jadi
adik aje…… Perasan sangat yang dia tu
masih muda remaja.
***************************************************************************
IPHONE
4s bewarna putih itu diletakkan semula ke tempat asalnya. Senyuman di bibir
berkembang dengan mekar sekali. Mana tidaknya, rasa rindu pada adik tersayang
sudah dapat dilepaskan selepas bersembang dengan si adik. Kini dia hanya
menghitung hari menanti kepulangan adiknya itu.
Batrisya berpaling ke arah katil. Nampaknya suami
kesayangannya itu masih leka membaca buku tebal berkaitan dengan undang-undang.
Eidham memang macam itu. Kalau buku yang berkaitan dengan undang-undang saja pasti tumpuannya tak akan berganjak
ke arah lain. Itu yang kekadang buat
Batrisya sakit hati.
Perlahan Batrisya melangkah menghampiri suaminya.
Punggungnya dihenyakkan ke atas tilam. Wajah suami tersayang dipandang penuh
rasa cinta. Cinta yang tak pernah berkurangan.
“Hujung minggu ni Kish balik kampung. Sayang dah tak
sabar nak jumpa Kish, bang. Dah lama sangat tak berbual dengan Kish,” beritahu
Batrisya tanpa dipinta. Bukan main ceria lagi wajahnya ketika menuturkan ayat
itu.
Eidham hanya mendiamkan diri. Langsung tidak memberi
sebarang tindak balas. Butir bicara isterinya dibiarkan begitu sahaja. Macam
angin lalu.
“Selama ni… kalau sayang rindu nak tengok wajah
Kish, kami cuma bersembang secara online
kat FB guna webcam aje. Itu pun tak jelas sangat.
Samar-samar. Tengok gambar Kish dalam FB
pun tak puas hati sangat. Kali ni Kish balik dapatlah sembang puas-puas dengan
Kish. Tak sabar sungguh rasa hati ni,” luah Batrisya dengan bersungguh-sungguh.
Eidham masih mendiamkan diri. Membiarkan isterinya
berbicara sendirian. Mata dan tumpuannya masih lagi kepada buku tebal yang
berada di tangan. Banyak fakta menarik yang boleh digunapakai untuk
mengendalikan sesuatu kes perbicaraan.
Melihat suaminya yang langsung tidak memberi
sebarang respon itu memaksa Batrisya mengerling Eidham. Kemudian bibirnya
diketap. Eidham ni kalau sudah jumpa buku berkaitan dengan undang-undang memang
tak akan peduli apa-apa. Bosan betul! Tanpa berfikir panjang laju sahaja dia
merampas buku tebal itu dari genggaman suaminya. Tersentak Eidham dengan
perbuatan isterinya itu. Wajah Batrisya dipandang.
“Abang macam ni la… kalau dah jumpa dengan buku
kegemaran abang ni, langsung tak pedulikan sayang. Apa yang sayang cakap, abang
buat tak tahu aje. Macamlah sayang ni
cakap dengan anak patung. Sayang cakap dengan abang tau. Boleh tak abang bagi
perhatian sikit,” dengus Batrisya. Geram betul dia dengan sikap acuh tak acuh
Eidham terhadapnya. Sikap Eidham yang sebegitulah membuatkan dia berkecil hati
dengan suaminya itu. Sewaktu mereka mula-mula berkahwin dulu, Eidham tidak
pernah melayannya sebegini. Namun sekarang, Eidham sudah berubah walaupun
perubahannya tidak seratus peratus.
Bibir Batrisya sudah memuncung. Tangannya
disilangkan ke dada. Wajahnya mencuka. Ini membuatkan Eidham tertawa kecil.
Sepantas itu juga Batrisya mengerling wajah suaminya yang tertawa itu melalui
ekor mata.
“Yang abang gelak tu kenapa? Sayang serius tau.
Abang dah berubah sejak akhir-akhir ni. Langsung tak pedulikan sayang lagi,” luah
Batrisya. Nadanya kedengaran sayu. Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan yang
mula bergolak disebabkan sikap orang yang tersayang.
Eidham tersenyum. Kedudukan badannya diperbetulkan.
Lantas dia merangkul erat bahu isteri tersayang. Dia tahu sikapnya itu
membuatkan Batrisya terasa hati. Namun kasih dan sayangnya pada Batrisya masih
seperti dulu.
“Sorry…” pinta
Eidham. Bibirnya mendarat mencium bahu Batrisya yang masih berwajah masam.
“Dahlah… sayang nak keluar. Abang tidurlah dulu,” nada
rajuk yang mula kedengaran. Kecil benar hati Batrisya dengan layanan suaminya
itu sejak kebelakangan ini. Kehadirannya seolah-olah tidak dipeduli lagi.
Belum pun sempat kakinya hendak mencecah lantai,
Eidham terlebih dahulu bertindak pantas. Pergelangan tangan Batrisya ditarik
sehingga wanita itu tidak sempat mengimbangi tubuhnya lalu jatuh ke dada bidang
Eidham. Sepantas itu juga dia memeluk erat tubuh Batrisya yang sudah berada
atas tubuhnya.
“Apa abang ni?” bentak Batrisya. Terkejut dengan
tindakan yang tidak disangka suaminya itu. Dadanya mula berdebar hebat.
Renungan mata Eidham membuatkan dia membuang pandangan ke arah lain.
Eidham tersenyum lebar. Inilah salah satu sikap
Batrisya yang membuatkan dia sukakan wanita itu. Biarpun mereka sudah tiga
tahun bergelar suami isteri, namun sikap pemalu Batrisya terhadapnya masih lagi
menebal.
“Abang tak nak tidur sorang diri. Sayang temankan
abang tidur ya?” ujar Eidham. Sengaja mahu mengusik si isteri yang sudah
kemerah-merahan wajahnya.
Batrisya mengetap bibir. Segan dengan kata-kata
suaminya itu. Dan belum pun sempat dia berbuat apa-apa, bibir Eidham sudah pun
mendarat mendapatkan bibirnya. Lantas jemari nakal suaminya itu mula memainkan
peranan. Membawa Batrisya ke bahtera rumah tangga yang sudah jarang mereka
layari bersama sejak kebelakangan ini.
***************************************************************************
MATANYA
masih merenung kipas yang ligat berputar. Permintaan Batrisya yang mahu dia
balik hujung minggu ini masih berlegar di kotak fikiran. Hatinya berbelah
bahagi. Sama ada mahu balik atau pun tidak. Jika dia balik, hatinya pasti akan
terguris lagi. Namun bila dia tak balik, tentu Batrisya akan kecewa dengannya.
Balkish melepaskan keluhan. Kenangan lama itu mula
terimbau kembali. Kata-kata tok mak sayup-sayup menerjah masuk ke cuping
telinganya. Kata-kata yang tak mungkin akan dia lupakan sampai bila-bila.
“Kau bukan cucu aku!!!” jerkah tok mak dengan kasar.
Tanpa belas kasihan tok mak menolak tubuh kurus Balkish sehingga membuatkan dia
tersungkur jatuh ke lantai.
“Apa tok mak cakap ni? Kish kan anak ibu jugak. Kish pun cucu tok mak,” Balkish
sudah mula teresak-esak. Berkecai hatinya mendengar kata-kata yang meluncur
keluar dari mulut tok mak itu.
Dengan sinis tok mak mengerling.
“Sampai bila-bila pun aku tak akan mengaku kau cucu
aku. Kau bukan cucu aku. Aku tak pernah anggap kau sebagai cucu. Darah yang
mengalir dalam tubuh kau tu tak sama dengan darah yang ada dalam badan aku,”
angkuh sekali tok mak bersuara.
“Tapi kan Kish ni anak ibu,” Balkish masih mahu
bersuara. Wajah ibu yang sudah terduduk di atas sofa dipandang. Namun tiada
tindak balas yang diberikan. Ibu hanya mendiamkan diri tanpa kata.
Tiba-tiba tok mak ketawa besar. Kata-kata Balkish
itu terasa kelakar pada pendengarannya. Serentak itu juga dia memegang
pergelangan tangan Balkish dengan kasar. Kemudian dia mengheret Balkish datang
dekat ke arah menantunya yang duduk tidak jauh dari situ.
“Kau tengok wanita yang kau panggil ibu ini? Wajah
kau dengan dia samakah? Untuk pengetahuan kau… wanita ini bukan ibu kandung
kau. Ibu kandung kau yang sebenar dah lama mati! Ibu kandung kau tu perempuan
tak tahu malu yang telah merosakkan kebahagian wanita ini. Kau faham, tak?!”
dengan lancang tok mak bersuara.
Balkish terkedu. Dia merapati ibunya. Kaki ibu
dipegang. Wajah ibu dipandang. Ibu langsung tidak memandang wajahnya.
“Bu… benarkah apa yang tok mak cakap? Kish ni bukan
anak ibu ke? Bu… cakaplah ini semua tak benar. Cakaplah yang Kish anak ibu,” sayu
Balkish meminta kepastian. Merayu pada ibu agar apa yang diperkatakan oleh tok
mak itu tidak benar.
Tiada sepatah kata yang keluar dari bibir Hajah
Badariah. Dia hanya mendiamkan diri. Air matanya juga sudah mengalir. Bukan
mengalir kerana simpatikan Balkish, tetapi mengalir kerana mengenangkan kisah
lalu.
“Bu… cakaplah.” desak Balkish. Kaki ibu
digoyang-goyangkan. Memaksa ibu untuk berterus-terang.
Hajah Badariah memejam rapat matanya. Menahan
pelbagai perasaan yang mula menjalar.
“Memang benar apa yang tok mak cakap. Kish bukan
anak kandung ibu. Ibu kandung Kish yang sebenar dah lama meninggal dunia,” akhirnya
Hajah Badariah bersuara juga.
“Tapi kan dalam sijil kelahiran Kish nama ibu Kish
Badariah. Kan nama ibu Badariah.”
“Nama sebenar ibu kandung Kish adalah Kiran. Nama Islamnya
Badariah. Kish memang bukan anak kandung ibu,” selesai berkata sebegitu, Hajah
Badariah bangun dari duduknya. Pantas dia berlalu naik ke tingkat atas.
Tangisan Balkish sudah pecah mendengar kenyatan itu.
Betapa pedihnya kenyataan yang baru diketahuinya itu. Kenapa selama ini dia tak
pernah tahu yang dia bukan anak kandung Hajah Badariah. Padanlah selama ini ibu
tak pernah menunjukkan rasa sayang padanya. Rupanya dia bukan anak kandung ibu.
“Sekarang kau dah tahu asal usul kau yang sebenar.
Jadi mulai saat ini kau jangan nak memandai-mandai lagi. Selama ini aku
bersabar dengan kau disebabkan Batrisya dan Badariah. Jika bukan sebab Risya
terlalu sayangkan kau, dah lama aku bagitau kau hal yang sebenar. Aku benci tengok
kau. Wajah kau mengingatkan aku pada perempuan yang telah memusnahkan rumahtangga
anak dan menantu aku,” lancar tok mak bersuara lagi. Menambahkan kelukaan dalam
hati Balkish.
Saat ini, Balkish teramat rindukan Batrisya.
Kalaulah Batrisya ada. Tentu kakaknya itu sudi berkongsi kesedihan ini
dengannya. Dan malam itu juga Balkish keluar dari banglo itu. Ibu langsung
tidak melarang. Tok mak apatah lagi. Dengan angkuh tok mak membuang
pandangannya kala Balkish mengheret beg besar keluar malam itu.
No comments:
Post a Comment