Meluncur Mercedes
Benz C-Class Coupe berwarna perak dengan ngauman enjin yang begitu enak di
telinga sebelum berhenti betul-betul di hadapan rumah sebandung dua tingkat di
kawasan perumahan lama Kelana Jaya ini.
“Ni rumah
dia?” soal Rafique perlahan. Shafique di sebelah dikerling. ‘Hmmm... kerja jadi penulis je pun boleh duduk rumah besar macam ni?
Not bad!’ Rafique sudah mula berfikir
yang bukan-bukan.
“Haah. Tu pun
dia!” Shafique membuka pintu kereta bahagian penumpang.
Dari sepasang
mata yang dilindungi aviator jenama
Ray-Ban, Rafique mengamati tubuh halus Dhamira cuba mengimbangi tas tangan di
bahu kanan serta bagasi pakaian di tangan kiri. Bagasi diletakkan di atas
lantai dan tangan laju mengunci pintu gril utama. Kunci dicampak ke dalam tas tangan
sebelum bagasi tadi diangkat semula. Kaki diatur perlahan ke pintu pagar yang
sudah sedia terbuka sebelum kembali ditutup.
Rafique dapat
menangkap dahi Dhamira yang berkerut melihat kereta di hadapan matanya. Tentu
tidak menjangka kehadirannya pada pagi ini.
“Hai Mira!”
Shafika menjengahkan kepala dari tempat duduk bahagian belakang. Tangan dilambai
ke arah temannya. “Jom!”
Shafique
membuka but kereta. Bagasi Dhamira disusun elok-elok di tempat yang masih kosong
bersebelahan bagasi mereka tiga beradik.
Dhamira hanya
memandang. Lutut seakan kaku. Masih terkejut melihat gerangan lelaki yang duduk
penuh gaya di kerusi pemandu. Sangkanya, perjalanan mereka ke Cherating hari
ini hanya bertiga. ‘Kenapa pulak mamat
tu ada sekali?’ gumamnya tidak puas hati.
Shafique
melipat kerusi yang didudukinya tadi untuk memudahkan Dhamira masuk ke ruang
penumpang di bahagian belakang. Kereta dua pintu la katakan. Memanglah susah
sikit.
Salam diucap
perlahan seraya mengambil tempat di sebelah Shafika. Suara dalam Rafique yang
menyambut salam Dhamira membuatnya mula tidak senang duduk. Matanya ditangkap
mata Rafique melalui cermin pandang belakang. Walaupun mata lelaki itu
terlindung, dia masih bisa merasakan kehangatan daripada sorotan pandangan
Rafique. Dhamira tidak mengerti reaksi tubuhnya setiap kali lelaki ini ada di
hadapan matanya. Dengar suara sahaja tubuhnya sudah macam-macam. Pada malam dia
membuat persembahan bersama-sama D’Jammerz di Dewan Perdana Felda lebih kurang
tiga minggu yang lalu, dia cuba sedaya-upaya untuk tidak bertentang mata dengan
lelaki yang tidak lepas-lepas memandangnya sepanjang malam. Ada sesuatu pada
pandangan lelaki itu ketika itu. Sesuatu yang buat dia tidak selesa. Seperti
sekarang ini.
“Beb, kenapa mata kau sembap ni?” soal
Shafika. Terlerai tautan mata antara dirinya dengan Rafique.
“Aku tidur
pukul tiga pagi kut. Mana mata aku tak sembap?” balas Dhamira selamba.
Shafique di
hadapan mengalihkan tubuhnya agar dapat berpaling ke belakang.
“Kenapa kau
tidur lambat sangat?” Kening Shafique bertaut.
“Aku ada deadline pagi ni. Tu yang bersengkang
mata siapkan tu. Nasib siap. Kalau tak, takdelah
aku dapat ikut korang hari ni...”
“Mana boleh
kau tak ikut? Marah Boy kau tu nanti...” ujar Shafika. Sengaja menuturkan ‘Boy
kau’ untuk santapan telinga abangnya.
Tanpa disedari
sesiapa, Rafique mengetap bibir. Mendengar gadis yang duduk di sebelah adiknya
ketawa, tiba-tiba terasa ingin muntah pula.
“Kau dah breakfast ke belum ni?” soal Shafika
lagi.
Dhamira
tersengih. “Belum... Aku terlajak tidur lepas subuh tadi. Aku sedar-sedar je, terus siap. Pas tu ngam-ngam korang pun sampai...”
Rafique seakan
sukar untuk melepas pandang riak Dhamira yang tersengih tadi. Tidak ubah
seperti budak kecik yang belum tamat sekolah. Cheeky!
“Laaaa.... aku tak bawak bekal apa-apa. Kita orang semua dah breakfast...” Memek risau terbias di wajah Shafika.
“Eh takde hal. Aku tak lapar. Aku nak tidur je ni... Ngantuk gila! Aku nak pinjam
bahu kau, Fika. Kalau ada apa-apa yang meleleh, kau buat-buat tak nampak je tau!”
Pecah tawa
Shafique serta Shafika mendengar lawak Dhamira. Bibir Rafique hanya koyak
sedikit sebelum kembali serius.
“Siot kau!” Sempat Shafika mengutuk
temannya sebelum menyambung tawanya.
Rafique ketawa
di dalam hati. Ada sesuatu yang berbeza pada gadis itu. Selamba. Tidak perlu
terlalu mengawal tingkahnya di hadapan orang yang tidak dikenalinya,
lebih-lebih lagi jika teman-teman rapat ada di sisi. Dalam erti kata lain,
gadis itu tidak perlu control ayu,
tidak perlu berhias bagai untuk menarik perhatian sesiapa. Cukup dengan wajah
yang bersih dengan bibir yang sentiasa berkilat dicalit pelembap bibir, jean
lusuh berwarna biru serta jersi Harimau Malaysia juga berwarna biru. Yang tidak
berubah, rambutnya tetap disanggul tinggi. Terdetik di hati Rafique ingin
melihat rambut gadis itu lepas bebas. Panjang mana agaknya ya? Tentu lebat dan
ikal! Tiba-tiba jari-jemarinya terasa gatal.
Kereta
tiba-tiba berhenti. “Kenapa, long?” tanya Shafique. “Along nak isi minyak ke?”
Stesen minyak Petronas menjadi singgahan tidak dirancang mereka.
“Tak...” balas
Rafique. “Mira, awak pergilah beli apa-apa makanan kat dalam tu. Jauh lagi
perjalanan kita ni...”
Mulut Dhamira
terbuka sedikit. Sungguh dia tidak sangka yang Rafique sudi berhenti agar dia
dapat membeli sesuatu untuk mengisi perutnya. Tanpa disuruh, Shafique membuka
pintu kereta dan melangkah keluar. Kerusi penumpang dilipat sekali lagi.
“Errr... thanks...” ucap Dhamira. Rafique hanya mengangguk kecil.
“Mira! Aku nak
keropok udang!” laung Shafika dari dalam kereta. Memesan jajan kegemarannya.
Dhamira
berpatah balik. “Awak nak apa-apa?” soal Dhamira lambat-lambat. Kekok.
Rafique
menanggalkan aviator. Mata menjamah
wajah teragak-agak Dhamira sebelum kepalanya menggeleng perlahan. Aviator disarung semula.
Dada Dhamira
terasa ditekan sesuatu. Cool gila mamat sejuk beku ni!
“Kau Shaf?”
“Aku nak
Nescafe satu tin, chewing gum, Bika
perisa ayam, Pringles perisa asli, dengan Cheezels...” balas Shafique dalam
satu nafas.
“Hoi! Kata dah
breakfast?” Dhamira menampar lengan
Shafique.
Shafique
tersengih lebar. “Macam kau tak tahu perut aku, kan?”
“Kau ni memang
tau Shaf! Dari dulu lagi aku dah agak kau ada bela jin!” Cepat-cepat Dhamira
berlalu meninggalkan Shafique yang kini sudah bercekak pinggang. “Kureng!” Dengus Shafique. Nasib baik
Dhamira sudah berlalu. Kalau tidak, mahu telinga gadis itu dipiatnya.
Shafika galak
ketawa. Melihat riak Shafique cukup lucu dirasakannya. Padan muka! Perut tangki
kontena betul Shafique ni! Tidak perasan abang di hadapan erat menggenggam
stereng. Dahi Rafique berkerut. Tidak suka dengan aksi gadis itu yang menampar
lengan adiknya tadi. Walaupun berlapik, dia tetap tidak suka. Dengan si pemain
gitar sebelum ni pun boleh bersentuh-sentuhan di khalayak. Gadis ini jenis perempuan
yang lepas laku ke? Takkan si pemain gitar tak kisah dengan perangai teman
wanitanya? Sebal terasa di dalam hati.
Tidak lama
kemudian, kelihatan Dhamira keluar dari kedai Mesra Petronas. Tangan kiri dan
kanan menjinjing plastik penuh berisi makanan dan minuman yang dipesan. Setelah
tubuhnya masuk ke dalam perut kereta, Shafique kembali membetulkan kerusinya.
Pintu ditutup.
“Kau beli apa,
Mira?” soal Shafika. Kepala disua mendekati plastik di atas paha Dhamira.
“Keropok udang
kau ada la, don’t worry...”
“Aku punya?”
sampuk Shafique tidak sabar.
“Nah!” Satu
plastik lantas dihulurkan ke hadapan. “Semua dalam ni kau punya...”
“Errr... Shaf, dalam plastik tu ada air mineral
untuk abang kau...” Teragak-agak Dhamira bersuara. Rasa pelik membeli untuk
Shafique, Shafika serta dirinya, tetapi langsung tidak membeli apa-apa untuk si
tukang bawa kereta.
Sekali lagi
mata Dhamira bertaut dengan mata Rafique melalui cermin pandang belakang. “Thanks, girl!” ujar Rafique perlahan.
‘Apa dia
panggil aku? Girl? Kureng!’
Rafique
mengulum senyum melihat riak terkejut bercampur tidak puas hati gadis itu.
Entah macam mana panggilan itu boleh meniti di bibirnya, dia pun tak pasti. Girl? Kenapa girl? Entahlah, yang pasti, panggilan itu memang kena, memang padan
dengan gadis itu. Nasib baik si pemain gitar memanggil teman wanitanya ‘Yang’,
jadi dia tiada halangan memanggil gadis itu ‘girl’! Hesy! Tiba-tiba hati terasa panas mengenangkan panggilan si
pemain gitar terhadap Dhamira. Meluat!
“Takpe ke makan dalam kereta abang kau ni?”
bisik Dhamira dekat di telinga Shafika. Risau lelaki itu melenting sekiranya serdak
makanan bersepah-sepah nanti. Itu merupakan pantang nombor satu adiknya,
Danial. Jangan berani nak kotorkan keretanya! Pelik betul orang lelaki ni.
Kereta kotor sikit nak melenting. Bilik tidur bersepah boleh pulak hidup!
“Entah, aku
pun tak tahu...” Shafika menjongket bahu. Tidak semua benda yang diketahuinya
tentang Rafique. Memang Rafique seorang yang pembersih dan amat terurus. Buat
kerja semua mesti teratur. Namun dia tidak tahu sama ada abangnya itu berkira
dengan tahap kebersihan keretanya ataupun tidak. Kalau Shafique atau Danial,
ya! Mereka sangat berkira!
Dhamira sudah
mula teragak-agak mahu membuka bungkusan sandwic yang dibeli tadi. Nak ditanya
rasa segan. Nak panggil nama lelaki itu pun dia rasa kekok. Nak panggil apa?
Raf? Fiq? Rafique? Dia menelan liur.
“Makan je, Mira. Shaf dan Fika dah janji nak
cuci kereta saya luar dalam sebagai upah saya jadi drebar hari ni...” Tiba-tiba
Rafique bersuara. Bagai mengerti apa yang terlintas di fikiran Dhamira sebelum
sempat gadis itu berkata-kata. Alaaah...
Bukan sukar untuk meneka fikiran gadis itu. Melihat empunya diri yang
teragak-agak menilik sandwic di tangan pun dia sudah faham.
“Hei! Mana
ada?” tangkis Shafika. “Shaf yang suruh along drive. Malas katanya! Kenapa Fika pun kena cuci?”
Shafique
menjeling ke arah Shafika. Mulut yang penuh dengan Bika tidak mampu membalas.
Kalau mahu bersuara juga, sudah tentu dia akan tersedak besar.
“Terima
kasih...” perlahan nada suara Dhamira. Masih terkedu memikirkan lelaki itu tahu
apa yang berlegar di benaknya. Tidak menghiraukan Shafika yang masih mencerlung
memandang ke arah kembarnya.
“Eleh, kau pun
sama malas, kata orang!” Akhirnya Shafique dapat berlawan kata dengan Shafika
setelah isi mulut ditelan rakus. “Takpe
long. Nanti kalau kotor, Shaf hantar keta
along ni ke car wash. Apa susah?
Bukannya mahal pun!”
“Dasar
pemalas!” getus Shafika.
“Diam la kau!”
balas Shafique.
Dhamira diam
tidak mahu masuk campur. Sandwic telur dikunyah perlahan. Mata sudah semakin
memberat. Namun digagahkan jua mengunyah serta menelan. Tin berisi air Milo
dibuka. Straw dicucuk lalu air dihirup perlahan. Tidak sedar mata di sebalik aviator yang kadang-kadang mencuri
pandang.
“Mira!” panggil
Shafique.
“Apa?” balas
Dhamira malas-malas. Serius! Dia sudah teramat mengantuk. Perut pula sudah
kenyang. Lagilah terasa seperti bahu Shafika sudah memanggil-manggil.
“Aku dah
dengar jingle yang kau dah rakam tu.
Memang menepati cita rasa aku! Lepas ni mesti berbondong-bondong orang datang
ke kedai baru kita orang tu nanti...” Shafique sudah memasang angan-angan.
Betul-betul berpuas hati dengan nyanyian Dhamira. Memang kena dengan irama lagu
yang dimainkan.
“Kau ni memang
sengal, Shaf. Tak habis-habis nak kaitkan suara pompuan nyanyi dengan kemahuan pendengar kat luar tu!” Dhamira
mengungkit pendapat Shafique tentang iklan roti Gardenia tempoh hari. Sengaja!
Tidak mahu Shafique membangkitkan isu dia merakam suara baru-baru ini.
Shafique
ketawa lepas. “Kau ni, Mira patutnya dah lama jadi recording artist. Boy nak buat CD untuk kau, kau tak nak...” ungkit
Shafique membuat Dhamira semakin tidak selesa. “Tapi apa pun, aku benar-benar
nak ucap terima kasih pada kau, Mira. Abi aku pun dah dengar keseluruhan iklan
tu. Dia suka tau! Walaupun aku tahu kau takkan setuju nak tolong aku kalau
bukan kerana Boy yang pujuk, aku tetap berterima kasih!”
“Cis! Kureng!!” dengus Dhamira. “Blahlah kau! Aku buat ikhlas la...”
Shafique
sambung ketawa. Shafika turut tersengih melihat temannya dikenakan kembarnya.
Rafique menjongket kening.
“Sudahlah kau.
Aku tidur lagi bagus! Melayan kau ni boleh jadi gila kepala aku yang
sememangnya dah weng sebab tak cukup
tidur... Malam kang nak tengok live band
lagi!”
Dhamira membetulkan
duduk. Kepala disandarkan ke bahu Shafika. “Fika... apasal bahu kau rasa keras tulang je ni? Tak empuk langsung. Sakit kepala aku!” rungut Dhamira cuba
mencari posisi yang selesa. Kereta masih meluncur laju membelah lebuh raya.
Shafika menunjal
kepala temannya sedikit. “Nak pinjam bahu aku tapi sedap-sedap mengutuk! Kau
nak yang lembut kau sandar kat bahu Shaf. Mesti lena kau tidur...”
Tajam mata
Rafique menikam ke wajah Shafika yang sedang tunduk ke arah kepala Dhamira di
bahunya. Apa bodoh punya cadangan la adik aku ni?? Bahu Shafique? Huh!
Mata Dhamira
terpejam. “Tak hingin aku...” desus
Dhamira. Kurang tiga minit kemudian Dhamira sudah hanyut.
Sekali-sekala
mata Rafique berlabuh ke wajah polos Dhamira. Mengharapkan agar tidur gadis itu
lena dan selesa di bahu adiknya. Manja betul Dhamira dengan Shafika. Memang
nampak mata Dhamira sembap seperti yang diperkatakan adiknya awal tadi. Sembap
atau bengkak? Tidak cukup tidur atau menangis? Dia menulis artikel apa agaknya
ya? Hati teringin mahu tahu kerjaya teman baik adiknya itu.
Rafique turut
sedar yang Shafika serta Shafique langsung tidak lagi berbual atau bertekak
seperti tadi sebaik saja lena menjemput Dhamira. Shafika pula sedikit pun tidak
berganjak dari duduknya. Pastinya tidak mahu mengganggu tidur teman mereka berdua
ini. Sayangnya mereka akan Dhamira! Begitu istimewakah gadis ini sehingga
ditatang sebegitu?
“Along,” seru
Shafique perlahan seakan berbisik. “Kalau along penat, Shaf boleh take over...”
“Along
okey...” tolak Rafique juga dalam nada perlahan. Sekilas dia memandang ke wajah
Dhamira yang masih lena. Mulut gadis itu sedikit terbuka.
“Janganlah
Boy...” suara Dhamira yang tiba-tiba merengek sambil tangan menepis sesuatu di
hadapan mengejutkan semua yang berada di dalam kereta kepunyaan Rafique. Mata
gadis itu masih terpejam.
Shafika mula
mengekek kecil. Dia sudah lupa akan tabiat Dhamira ini.
“Kenapa tu,
Fika?” soal Rafique risau. Dalam tidur pun boleh sebut nama si pemain gitar tu?
Amboi! Bukan main cinta lagi nampaknya!
“Shhhh long... Mira memang macam ni. She talks in her sleep... Fika dah
biasa... Biar je...”
Bercakap dalam
tidur? Allah, comelnya!! Haih! Tak
boleh jadi ni... Mengapa semakin lama gadis itu semakin kelihatan begitu...
begitu... menawan hati?
“Selalu ke dia
macam tu?” soal Rafique ingin tahu.
“Tak, long... only when her emotions are not stable
atau dia tengah sedih atau susah hati je
dia macam ni. Setiap kali masa minggu exam
kat kolej dulu, Fika akan susah nak tidur sebab Mira ni mengigau entah
apa-apa...” jelas Shafika perlahan. Bibir menguntum senyum.
‘Dia tengah
bersedih ke sekarang? Kenapa perlu rasa susah hati?’ fikir Rafique.
“So Mira tengah susah hati ke sekarang?”
Shafique menyoal soalan yang tidak terluah oleh Rafique.
“Entahlah...
mungkin pasal artikel yang dia tengah tulis kut...” teka Shafika.
Shafique
mengangguk sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Papan tanda di luar
tingkap sempat ditangkap. “Long, kat R&R Temerloh nanti berhenti kejap, ya?
Shaf nak ke tandas...”
“Fika pun la...”
“Okey...”
Tiba di
kawasan parkir, Rafique berhenti. Tanpa mematikan enjin, dia keluar dari perut
kereta. Kerusi dilipat agar Shafika bisa keluar dari pintu bahagian pemandu.
Redup matanya melihat Shafika yang perlahan-lahan mengalihkan kepala Dhamira
dari bahunya. Dhamira bergerak sedikit sebelum kepalanya disandarkan ke kiri tingkap.
Rafique masuk kembali ke dalam kereta lalu menutup pintu. Menunggu adik-adiknya
melepaskan hajat.
Rafique
membetulkan sedikit kedudukan cermin pandang belakang agar wajah Dhamira bisa
direnung dengan lebih sempurna. Hati mengutuk tingkahnya. Memandang gadis yang
sudah dimiliki orang lain, memang gila! Eh... ‘dimiliki’? Okey... Mungkin gadis
ini belum dimiliki secara sah oleh mana-mana lelaki, namun bukan dirinya
merampas kepunyaan orang lain... Walaupun masih tiada hubungan yang mengikat
gadis itu dengan si pemain gitar, dia takkan sekali-kali mengganggu hubungan
mereka itu. Dia sendiri tidak pandai menjalinkan hubungan dengan mana-mana
perempuan, ada terdetik nak usyar hak orang lain! Apa kena dengan dia ni?
Tiba-tiba
Dhamira mencelikkan mata. Terkebil-kebil dia sebelum tubuh ditegakkan. Kepala
dipaling ke kiri dan kanan. Rafique menoleh ke belakang.
“Fika mana?”
Naik bulu roma Rafique mendengar suara serak Dhamira. Tergoda.
“Toilet. Shaf pun,” balas Rafique
ringkas. Cuba menyembunyikan gelojak di hati.
“Oh...”
Dhamira membetulkan rambut yang sudah terjuntai ke serata arah. Ikatan sanggul
terasa longgar. “Kita dah sampai mana ni?” soal Dhamira untuk menghilangkan
rasa gugup yang melanda tatkala menyedari dirinya tinggal berdua sahaja dengan
Rafique.
“R&R
Temerloh...”
Dhamira tidak
kuasa lagi membetulkan sanggulnya. Aksesori pengikat sanggul cepat-cepat
ditanggalkan sebelum tangan ligat mengumpul rambut untuk disanggul semula. “Errr... boleh pandang tempat lain tak?”
tegur Dhamira. Tidak berkelip mata lelaki itu memandang setiap gerak-gerinya.
Lambat-lambat Rafique berkalih pandang kembali ke hadapan. Lekas-lekas Dhamira
menyudahkan kerjanya.
“Kenapa awak
nangis malam tadi?”
Tangan Dhamira
di rambutnya kaku. Dia memanggung mata. Mencari mata Rafique yang tidak lagi
dilindungi oleh aviator. Macam mana
dia tahu?
“It’s so obvious, girl!” ujar Rafique
tanpa perlu menunggu soalan Dhamira.
“Kenapa awak
panggil saya macam tu?” gumam Dhamira tidak suka. Soalan Rafique sengaja
dibiarkan sepi.
“Eh, awak
bukan pompuan ke?” sindir Rafique.
“Fika pun pompuan tapi awak tak panggil dia macam
tu pun?” bidas Dhamira.
Rafique menelan
senyum. “Sebab muka Fika tak baby face
macam awak...”
Dhamira
mendengus geram.
“You haven’t anwered my question. Kenapa
awak menangis malam tadi?” desak Rafique.
“Saja...
hobi...” Dhamira berloyar buruk. Sibuk je.
Menyampah!
“Whatever! But I hope you’re feeling better...”
Bulat mata
Dhamira. Suara lelaki itu, disulam pula dengan pandangan yang menghantar
pesanan rasa bimbang mengundang rasa terharu di dalam dada. Sedang dia berkata
sinis pun lelaki itu masih mampu bersikap diplomatik. Sudahnya Dhamira termalu
sendiri. Dia memilih untuk diam. Tangan sudah dijatuhkan. Rasa lebih selesa
apabila rambut sudah dirapikan.
Suasana bening
di dalam kereta kian melemaskan. Lamanya Shafique dan Shafika ni!!
“Errr... along...” seru Dhamira. “Saya
nak keluar kejap...”
“Pardon me?” Kepala Rafique laju tertoleh
ke belakang? Apa dia panggil aku? Along? Cis! Sakit telinganya mendengar
Dhamira memanggilnya begitu seolah-olah mereka bersaudara sedangkan mereka
tiada apa-apa hubungan pun. Tapi... kenapa pula dia perlu rasa tidak puas hati
dengan panggilan ‘along’ daripada gadis itu? Entahlah... Yang dia tahu, dia
tidak mahu Dhamira menganggapnya sebagai seorang abang! Tidak mahu!
Hampir
tersedak Dhamira tercekik liur sendiri melihat mata Rafique mencerlung
memandangnya.
“Apa?”
“What did you just call me?”
“Habis tu saya
nak panggil apa? Dah Shaf dengan Fika panggil awak along... saya pun ikut la...”
meleret saja balasan Dhamira. Lagak seorang budak sekolah yang tertangkap
melakukan perkara yang tidak elok. ‘Eleh! Panggil along pun nak marah. Tu tanda
aku hormat tau!’
“Diaorang tu adik. Awak bukan!” Tegas. “You know my name. So use it!”
Dhamira
mencemik. “Saya nak keluar. Camna nak
lipat kerusi depan ni?”
Rafique
meregangkan tubuh ke kerusi yang diduduki Shafique tadi. Tangan mencapai
sesuatu. Kerusi terlipat. Pintu dibuka dari dalam. “Done!”
“Terima
kasih...”
Sebelum sempat
Dhamira menutup pintu, telinganya sempat menangkap balasan lelaki itu. “You’re welcome... Girl...”
Dhamira
menjeling sebelum pintu ditutup sedikit kuat. Menyampah!
“Eh, Mira! Kau
dah bangun? Nak pergi toilet ke?”
soal Shafika yang mula menghampiri.
“Taklah. Aku
nak stretch kaki aku je ni... Lenguh!”
“Ok jom!”
Shafique pula mendekati. Pintu kereta dibuka. Masing-masing mengambil tempat.
Rafique tidak
menunggu lama. Kereta diundur sebelum pedal ditekan agak kuat. Tertolak tubuh
Dhamira ke belakang. Hesy mamat ni!
Kus semangat...
No comments:
Post a Comment