DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 5 April 2016

RAFIQUE'S GIRL - BAB 8



Lebar Shafika mengorak senyum melihat Dhamira membuka pintu kaca.

“Hei beb!” tegur Dhamira. “Aku lambat ke?”

Shafika menggelengkan kepala. “Nope, you’re right on time...”

Dhamira mengatur langkah mendekati Shafika yang baru selesai berbincang dengan seorang lelaki Cina yang mungkin merupakan ketua kontraktor yang dilantik Shafika untuk mengubah suai sedikit premis kedai yang telah disewanya ini. “Dah sudah?” soal Dhamira.

“Belum. Sikit lagi. Kau cuba tengok layout plan ni. Okey tak?”

Dhamira mengintai kertas yang siap terbentang di atas meja kerja yang tersedia. Melihat susun atur premis yang bakal diubah menjadi butik Shafika tidak lama lagi.

“Tak banyak pun yang perlu aku ubah. Sebelum ni pun, penyewa kedai ni jual baju. Jadi aku ubah sikit-sikit je... Jadi kerja-kerja ubah suai ni pun tak lama. Mungkin bulan depan aku dah boleh mula operasi...” jelas Shafika dengan nada teruja.

So kau nak mula macam mana?” soal Dhamira ingin tahu. “Aku dah tengok konsep yang kau bentangkan dalam business plan tu. Menarik sangat!”

Shafika tersenyum puas mendengar pendapat Dhamira. “Aku dah ada koleksi yang aku rasa cukup untuk permulaan ni. Aku mula dengan office atau formal wear dulu. Lepas tu baru aku branch out dengan evening dresses pulak. Yang dalam proses pun ada, jadi bila aku bukak kedai ni bulan depan, Insya-Allah tak la nampak kosong je...”

Dhamira mengangguk. “You are so talented Fika! Aku bangga dengan kau... Aku ni nak jahit butang yang tercabut pun terkial-kial. Sudahnya masa sekolah dulu, Boy yang kena ajar aku macam mana nak jahit benda-benda basic macam butang tercabut atau seluar terkoyak tu semua...” Dhamira ketawa.

Shafika turut sama ketawa. “Aku tahu... masa kat kolej pun aku yang tolong kau jahitkan benda tu semua...” Shafika mengimbau kenangan silam mereka. Dhamira hanya mengiakan saja kata-kata Shafika. Sememangnya dia tiada alasan untuk membela kelemahannya.

“Eh, aku bawak cek untuk kau. Agreement yang kau bagi tu pun aku dah sign...” Dhamira bersuara tiba-tiba. “Lupa pulak aku nak bagi nanti...” Dhamira membuka zip beg galas Deuter yang sedari tadi tersangkut di bahu.

Wajah Shafika berubah riak. “Mira... aku minta maaf. Bukan aku tak percaya pada kau tapi along yang beria-ia suruh aku buat agreement tu. Dia takut sangat aku kena tipu. Dahlah aku rahsiakan identiti kau sebagai salah seorang pelabur butik aku ni. Lagilah dia fikir macam-macam. Jadi aku minta lawyer tu buat agreement simple je. Sekadar nak sedapkan hati along...”

Dhamira mengangkat wajah. “Hei! Kau tak payah minta maaf. Aku faham. Along kau tak salah pun. Arwah papa pun pernah sebut, bab duit dan business ni, adik-beradik pun boleh bergaduh dan bermusuhan. Inikan pula kawan rapat. Aku langsung tak kecik hati kau suruh aku sign agreement tu... Seriously!” Dhamira cuba meyakinkan temannya. Walaupun dia tidak pernah terlibat secara langsung dalam dunia perniagaan arwah papanya, bukan bermaksud dia tidak sama sekali mengambil tahu tentang selok-belok perniagaan. Papanya rajin bercerita dan menyampaikan pesanan. Danial dan Joseph pun menandatangani perjanjian sebelum mereka berusaha sama. “Papa aku selalu berpesan, better be safe than sorry... Papa kata, bab nak negotiate agreement, biar gaduh sekarang. Jangan gaduh esok-esok hari sebab business yang akan suffer... So nah!” Cek dihulurkan.

Perlahan-lahan Shafika menyambut huluran Dhamira. Tanpa melihat amaun yang tertera di cek, dia memeluk Dhamira. Terharu bukan kerana temannya itu sudi melabur sejumlah wang yang besar dalam perniagaan yang tentunya sarat dengan persaingan, tetapi kerana sudi mengambil risiko bersama-samanya... meletakkan kepercayaan pada kebolehannya dan memberikan kebebasan penuh kepadanya untuk menerajui hala tuju perniagaan kecil mereka ini. “Thank you...” bisik Shafika. “Your papa is absolutely right... esok-esok kalau ada apa-apa yang kau tak puas hati, kita bincang sama-sama ya? Aku tak nak kita bergaduh pasal apa-apa pun, especially about money...”

Shafika merenggangkan pelukan. “And thank you for your trust...” Temannya ini memang istimewa.

Dhamira mengangguk. “Aku tahu kau boleh, Fika. Aku akan bantu apa-apa yang terdaya...”

Manis senyuman di bibir Shafika. Terharu. “By the way... abi aku tak jadi nak labur sama-sama dengan kita tau sebab along kata dia yang nak jadi pelabur...”

Dhamira menjongket kening. Eh? ‘Padanlah mamat tu sibuk suruh Fika sediakan agreement... takut aku tipu adik dia la tu... Protective gak mamat ni...’ fikir Dhamira.

“Tiba-tiba je along tu. Aku pun terkejut. Tapi aku perasan, sejak aku balik dari Paris kan, along selalu balik rumah abi. Dinner sama-sama dengan kita orang. Kadang-kadang tu sempat maghrib berjemaah. Lepak kejap lepas dinner, baru dia balik kondo dia... Pelik...”

“Kenapa pelik pulak?”

“Sebab sekarang dia macam nak ambik tahu hal aku... hal Shaf... Dulu mana dia peduli pun? Dia dengan dunia dia je. Sekarang macam dia nak berbual-bual dengan kita orang. Mula-mula aku dengan Shaf rasa kekok jugak, tapi makin lama makin okey...” Shafika tersenyum. Nampak agak bersungguh-sungguh Rafique ingin merapatkan hubungan mereka adik-beradik. “Bila dia kata dia nak melabur dalam G&E, aku terkejut badak tahu tak? Tapi kau tak payah risau. Dengan along pun aku suruh sign agreement. Tak aci la kalau dia suruh kau sign tapi dia sendiri tak sign, kan?”

“Baguslah kalau macam tu. Ada jugak effort dia, betul tak? Tak macam kak yong aku...” suara Dhamira berubah lirih.

“Mira...”

Pantas Dhamira melenyapkan rasa terkilannya. Dia tidak mahu mengganggu rasa gembira yang jelas mewarnai perilaku Shafika hari ni. “So, kau dengan Shaf jadi ikut aku Jumaat ni kan?” celah Dhamira laju. Tiba-tiba mengubah topik perbualan mereka.

Laju Shafika mengangguk. Sedar apa yang cuba dilakukan temannya itu. “Kita orang on! Bestnya! Tak sabar nak ke Cherating! Shaf pun dah ambik cuti hari Jumaat ni...”

Yes!” Lebar senyuman di wajah Dhamira. “Lama kita tak buat outing macam ni kan? Kali terakhir sebelum kau bertolak ke Paris...”

“Haah. Tu yang aku tak sabar tu. Sambil menyelam, kita minum. Dapat tengok Boy buat persembahan, lepas tu dapat bercuti sekali...” Shafika tambah teruja. “Aku dah lama tak kongsi bilik dengan kau, Mira!”

“Kan? Aku rindu gila dengan kau!” Mereka ketawa. Terlalu banyak kenangan manis yang telah dikongsi bersama sepanjang melayari kehidupan di kolej.

“Okeylah Fika. Aku kena gerak sekarang ni. Boy tunggu aku kat luar. Aku singgah pun sebab nak paskan cek dengan agreement tu je...”

Laaaa... Boy yang hantar kau ke? Baru je nak ajak minum-minum. Hari tu tak sempat!”

“Boy kan kena jadi driver aku untuk sebulan?” gelak Dhamira. “No choice! Dia kena ikut ke mana aku nak pergi!”

Shafika mengangguk. “Kau dah okey ke dengan Boy?” soal Shafika ingin tahu.

“Eh... mestilah okey! Mana boleh Boy marah aku lama-lama? Tak senang hidup dia! Lagipun dia balik je malam tu, dia terus cari aku nak pujuk aku balik...” Dhamira membangga diri. “Dia tu memang macam tu. Dah bebelkan aku satu petang, malam sibuk cari aku balik...”

Kuat Shafika menghamburkan tawanya. Ya... Dia sedar perangai Boy begitu. Cepat panas dan cepat juga surutnya.

“Jom aku hantar kau sampai luar...” pelawa Shafika. Dhamira tidak membantah. Sambil berjalan menuju ke pintu utama Multi Mall, mereka berterusan berbual.

So Jumaat ni aku ambik kau kat rumah kan?” tanya Shafika. “Kau jadi ke tak tumpang aku dengan Shaf?”

Hmmm... Boy bertolak ke sana lusa sebab dia akan perform Khamis dan Jumaat malam. Jadi, macam biasa diaorang cadang nak sampai satu hari sebelum show. Aku memang nak tumpang kau sebab aku malas nak drive sorang-sorang ke sana. Kau ambik aku boleh ke?”

No hal la... Nanti aku confirm dengan Shaf kita orang ambik kau Jumaat ni pukul berapa okey?”

Thanks, Fika! Aku excited gila ni tau! Tak sabar nak bercuti ramai-ramai macam ni...”

“Aku pun... Hah tu Boy...” Mulut Shafika memuncung ke arah Danial yang elok bersandar di badan Bradley kesayangan Dhamira. Shafika mengangkat tangan melambai ke arah Danial. Danial hanya tersengih. Malas mahu mengangkat tangan yang enak tersimpan di dalam kocek kiri dan kanan jean birunya.

“Aku balik dulu, beb. Apa-apa roger aku, ek?” Dhamira berlaga-laga pipi dengan temannya.

“Beres!” balas Shafika ringkas. Shafika masih melambai ke arah Dhamira serta Danial yang sudah mula berlalu. Kaki masih pegun di situ. Tangan menggagau mengeluarkan cek Dhamira dari tas tangan. Alhamdulillah... Di dalam hati, dia berdoa agar Allah memurahkan rezeki temannya itu berlipat ganda lagi. Doa turut dipanjatkan agar Dhamira tidak akan pernah terdetik rasa kesal kerana melabur dalam dirinya yang masih merangkak mencari tempat dan nama dalam dunia fesyen ini. Semoga Allah permudahkan segala-galanya...

**********

“Kau dah siap packing ke?”

Shafika memanggung kepala daripada majalah di atas paha. Sempat melihat Shafique melabuhkan duduk di hadapannya di ruang tamu yang sederhana besar di tingkat atas rumah orang tua mereka ini.

“Dah... aku malas nak buat kerja last minute macam kau!” Sempat Shafika menyindir adiknya.

Shafique mencemik. “Alaaah, macam la susah sangat nak kemas barang. Aku senang je, bukan macam kau. Segala apa pun nak bawak. Sudahnya pergi tiga hari macam nak pergi tiga minggu...” Giliran Shafique menyindir kakak kembarnya. Macamlah dia tidak tahu perangai Shafika. Pakaian saja pun entah berapa banyak persalinan yang akan dibawa bersama.

Blah la kau!”

Korang nak pergi mana?” suara garau dari arah belakang Shafika menyampuk perbualan dua-dua kembar itu.

Tidak sempat Shafika berpaling, kelibat abang sulung mereka sudah mengambil tempat di sebelah Shafique di atas sofa berangkai tiga.

“Cherating...” balas Shafika serta Shafique hampir serentak.

Kening Rafique terjongket sebelah. “Ada apa? Cuti ke?”

Kepala Shafika mengangguk sebagai menjawab soalan Rafique.

“Berdua je ke?”

“Taklah... ramai-ramai...” jelas Shafique. “D’Jammerz ada show kat sana. Kita orang nak cuba catch persembahan malam terakhir diaorang. Lepas tu sambung cuti-cuti Malaysia...”

Tegak telinga Rafique mendengar nama D’Jammerz meniti di bibir Shafique. ‘Minah tu join sekali ke nanti?’ fikir Rafique sendirian.

“Nak pergi hari apa?”

“Bertolak Jumaat. Balik KL hari Ahad...” Shafique masih setia menjawab pertanyaan abangnya.

So, semua sekali korang bercuti bertujuh la ya?” teka Rafique cuba memancing jawapan pada soalan yang tidak disuarakan secara zahir.

“Eh, berlapanlah, campur Mira sekali...” balas Shafique lurus.

Shafika menyembunyikan senyum. Tahu apa yang cuba dilakukan Rafique. Lebih-lebih lagi melihat perubahan riak di wajah abangnya tatkala nama Dhamira disebut Shafique tadi. Riak yang macam mana ya? Susah hendak dihuraikan. Seperti lega semacam...

Apasal tiba-tiba nak cuti ni?”

“Dah lama tak cuti, long. Lagipun lepas ni mesti lagi susah kita orang nak cuti. Fika tu mesti sibuk nak uruskan butik dia nanti...”

“Along nak join boleh ke?” Sebaik sahaja soalan itu dilafazkan, dahi Rafique berkerut. ‘Eh, dah kenapa aku nak join diaorang ni bercuti? Mana pernah aku bercuti ramai-ramai macam ni?’ Rafique bingung. Tidak sedar soalan yang laju meluncur dari bibirnya tadi. Dia tidak menjangka lidahnya bertindak lebih laju daripada kemampuan akalnya. Atau sebenarnya hatinya yang telah bersuara?

Shafika serta Shafique berbalas pandang. Shafique menjongketkan keningnya beberapa kali ke arah Shafika. Menghantar pesanan hanya kembarnya sahaja yang memahami. Rasa pelik dengan permintaan Rafique.

The more the merrier, long... Join je... tapi along kena tutup mata la tengok perangai kita orang yang gila-gila bila dah berkumpul nanti...” gurau Shafika. Di dalam hati dia berharap agar abangnya benar-benar mahu mengikut mereka bercuti ke Cherating. Mungkin rancangan mereka yang melibatkan Dhamira serta Rafique yang masih terlalu rapuh boleh dimulakan secara perlahan-lahan dalam masa yang terdekat ini.

“Tengoklah macam mana...” tiba-tiba Rafique menjual mahal. Wajah kekal serius namun riak tidak berminat dipamerkan. Ingin menyembunyikan keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi. “Along sibuk sebenarnya ni. Kalau Zaid boleh cover, along join la korang nanti...”

Hmmm... kita orang tak kisah pun. Lagipun takut along rasa kekok je nanti...” sengaja Shafika mengambil sikap tidak peduli. Tidak mahu kelihatan seperti ingin memujuk abangnya itu.

Korang rapat ke dengan ahli kumpulan D’Jammerz tu?” soal Rafique lagi.

“Rapatlah jugak. Selalu jugak kita orang tengok diaorang ni perform dulu. Kalau diaorang ada gig kat sekitar Johor, kita orang akan pergi tengok. Lepak dengan diaorang tu memang selalu la...” terang Shafique.

Rafique sekadar mengangguk. Hati mendesak agar percutian adik-adiknya kali ini disertai bersama. Konon ingin merapatkan hubungan mereka adik-beradik menjadi alasan yang perlu dipertahankan. Hubungan yang masih belum sampai ke tahap mesra ini, banyak yang perlu diperbaik. Itu diakuinya. Tapi benarkah itu alasan yang sebenar-benarnya? Atau dia mempunyai alasan lain sedangkan selama dia mengusahakan syarikat bersama-sama Zaid, tidak sekali pun dia pergi bercuti? Kerja merupakan segala-galanya bagi dirinya.

Rafique mengeluh di dalam hati. Kalau Zaid mendengar dia menggunakan alasan sibuk di pejabat seperti tadi, tentu sekali dia akan ditertawakan. Projek semua bergerak seperti yang direncanakan setakat ini. Tenaga pekerja mereka semuanya boleh diharap. Semuanya pakar dalam bidang masing-masing. Lagipun Zaid ada. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

“Duduk hotel mana?” akhirnya Rafique bersuara.

“Tengkujuh Hotel... resort yang baru bukak kat Cherating tu. Ada macam-macam promosi sekarang ni. Tu yang D’Jammerz dapat undangan menyanyi tu...” ujar Shafique. “Kalau along nak ikut, kita boleh kongsi bilik.”

Rafique mengangguk kecil sebelum bangun. Tidak mahu kelihatan seperti terlalu berminat dengan percutian yang telah dirancang oleh adik-adiknya ini. “Okey, along balik dulu...” Tangan dihulurkan ke arah Shafique. Bersambut. Kemudian dia mendekati Shafika yang masih duduk. Kepala adiknya itu diusap perlahan sebelum kaki diayun menuruni anak tangga. Terpempan Shafika di tempat duduknya. What just happened?

“Shaf... along pegang kepala aku kan tadi?” Membulat mata Shafika.

“Haah...”

“Kenapa aku rasa macam nak nangis ni?” Sebak. Perlakuan Rafique sesuatu yang baharu... yang tidak pernah dilakukan sepanjang dia hidup selama dua puluh lima tahun ini.

Shafique diam tidak membalas. Mata Shafika yang sedikit bersinar ditatap lembut. Dia juga hairan dengan kelakuan abang sulung mereka sejak dua menjak ini.

“Aku rasa along sebenarnya rasa kekok dengan semua ni... but I can see that he’s trying...” komen Shafique. Mamat sejuk beku la katakan... mana biasa nak bermesra-mesra dari segi fizikal ni?

Shafika melepaskan nafas perlahan-lahan. Bibir mula menguntum senyum. “Aku berani bet yang along akan ikut kita Jumaat ni!” Penuh yakin Shafika bersuara.

“Kau nak cakap pada Danial atau Mira?”

Laju Shafika menggelengkan kepalanya. “Biar dulu. Biar surprise...”       

Shafique akur. Dia tahu Shafika kuat berdoa agar percutian mereka kali ini akan disertai oleh orang yang kesembilan. Dia turut sama berdoa. Manalah tahu, kan? Mamat sejuk beku tu mahu mengambil cuti rehat... Nampak seperti mustahil, namun setelah melihat perubahan Rafique kebelakangan ini, dia tidak berani mahu menggunakan perkataan ‘mustahil’ itu lagi. Tunggu saja hari Jumaat nanti...


No comments:

Post a Comment