Danial
berteleku di atas sejadah. Lama. Cuba meredakan hati yang bengkak sejak petang
tadi. Sedikit-sebanyak hatinya lega kerana dapat melepaskan rasa tidak puas
hatinya kepada Dhamira tadi. Penat dia membebel selama ni namun Dhamira masih
begitu. Masih tidak bisa melawan kata-kata yang dilemparkan kakak mereka. Sampai
bila Dhamira perlu bersabar? Kenapa Dhamira tidak mahu membalas? Dia tahu
Dhamira lebih daripada mampu mengeluarkan kata-kata bisanya sendiri. Dia pernah
mendengar Dhamira lantang berkata-kata demi mempertahankan pendiriannya. Tapi
dengan Damia... dia menjadi bisu.
Danial kecewa.
Dia tidak mengerti. Pendiriannya mudah sahaja. Mengapa perlu menghormati orang
yang tidak layak untuk dihormati? Tak kisahlah sesiapa pun orang itu. What you give, you get back!
Wajah diraup
kasar. Dia bangun lalu melipat sejadah. Diri dirapi ala kadar. Dompet dicapai
dari atas katil. Pintu bilik ditutup perlahan.
Lima belas
minit sahaja dia sudah sampai. Kelihatan Shafika dan Shafique sudah sedia menunggu.
Seperti biasa, mereka memesan makanan dan minuman terlebih dahulu.
“Mira mana?”
soal Shafika.
“Kat rumah.
Aku sengaja tak nak dia datang. Aku nak jumpa korang berdua je.”
Shafique
mengangguk. “Apa hal? Pasal kes siang tadi ke?”
“Pasal apa
yang korang cakap pada aku tiga hari
lepas... Pasal Mira...”
Shafique serta
Shafika berbalas pandang. Faham apa yang dimaksudkan Danial.
“Betul ke aku
terlalu melindungi dia?” soal Danial dengan sorotan mata yang tajam ke arah
Shafique dan kemudian Shafika.
“Pada pandangan
aku, ya!” Shafika memilih untuk menjawab. “Apa yang kau buat sekarang ni, buat
Mira terlalu bergantung pada kau. Sampai dia tak pandai nak stand up for herself...” Shafika
mengeluh seketika. “Jangan salah anggap, Boy. Aku respect gila dengan kau. Kau jaga Mira, macam yang diminta arwah uncle. Kau selalu ada untuk dia... Tapi
sampai bila kau nak treat dia macam
ni? Kau tak boleh salahkan Mira kalau dia tak reti nak melawan, because you always fight her battles for her!”
“Kau tak
faham, Fika. Aku buat semua ni bersebab...”
Diam seketika.
Membiarkan pelayan yang datang menghantar makanan serta minuman. “Kau pun tahu
dulu Mira bukan lemah macam ni. Dia pandai melawan. Dia tough! Tapi semuanya berubah...” Jeda. Danial menghirup kopi-o
pekat yang masih berasap.
“Lepas Kuzim
tinggalkan Mira untuk bersama dengan betina tu, aku marah sangat. Korang tahu, kalaulah Mira tak perlukan
aku masa tu, aku memang dah jadi pembunuh. Aku akan bunuh betina tu dengan jantan
tu sekali. Biar puas hati aku. Dan sampai sekarang aku tak dapat lupa keadaan
Mira. Dahlah arwah papa baru je
meninggal. Dikejutkan pulak dengan
perangai dua ekor sial tu...” Jeda. Segala kesengsaraan yang dilalui Dhamira terlayar
di ruang mata. Rasa seperti baru semalam kisah itu berlaku. Dan rasa marahnya
terhadap kakak sulung mereka membuatkan perasaan benci terlalu ketara di
hatinya sehinggakan lidahnya tidak berdaya lagi untuk menyebut ‘kak yong’ dan
digantikan dengan bermacam-macam gelaran yang cukup hina.
“Aku yang
bersalah...” lirih suara Danial.
Shafika serta
Shafique berbalas pandang. “Apa maksud kau?” soal Shafique.
“Aku salah
tafsir siapa Kuzim sebenarnya. Aku ingat dia betul-betul sayangkan Mira,
tapi...”
“Boy...” celah
Shafika. “Bukan salah kau. Kita orang pun ingat Kuzim betul-betul cintakan Mira
tapi siapa sangka yang sekali dia diperkenalkan pada Damia, dia akan jatuh
cinta pada Damia? Kau tak boleh salahkan diri kau sendiri. Damia memang suka test power. Mira pernah cerita pada aku
pasal Damia. Damia takkan boleh hidup senang kalau Mira senang, kan? Jadi tak
hairan kalau Damia sengaja goda Kuzim untuk kalahkan Mira. Tak sangka Kuzim
begitu mudah jatuh ke tangan Damia...”
Danial meraup
wajah. “Selama ni aku yang tapis semua lelaki yang nak rapat dengan Mira.
Kenapa aku boleh benarkan dia rapat dengan Mira? Kenapa aku boleh fikir yang
dia lelaki yang baik untuk Mira?”
Shafique
menepuk bahu Danial. Terkesan dia dengan kesakitan yang ditangkap telinganya
daripada suara Danial. “Boy, Kuzim memang lelaki yang baik. Kau pun tahu tu,
kan? Walaupun dia hancurkan hati Mira, aku yakin dia bukan sengaja nak buat
macam tu kalau bukan Damia yang gila-gila goda dia. Lagipun, bersungguh-sungguh
dia minta maaf pada Mira, kan? Dia rasa bersalah sangat pada Mira sebab dia
sendiri tak sangka yang cinta dia akan beralih arah pada Damia...”
“Tapi aku rasa
yang aku lebih patut tahu apa yang bakal terjadi. Aku patut dapat agak sama ada
Kuzim kuat untuk lawan godaan betina tu ataupun tak! Aku rasa bersalah sangat
pada Mira... dengan arwah papa...” bisik Danial. Memang tidak pernah surut rasa
bersalah yang bertapa di hati Danial. “Mungkin kalau Kuzim jatuh cinta dengan
perempuan lain, aku tak terasa sangat, tapi kenapa dengan betina tu? Aku
betul-betul rasa dikhianati padahal Kuzim pernah janji dengan aku dia akan jaga
Mira baik-baik...”
“Sebab tu ke
kau kawal Mira sampai macam ni sekali?” tanya Shafika.
Lambat-lambat
Danial mengangguk. “Aku tak nak ulang lagi sekali kesalahan aku. Sekarang ni,
Mira sorang je la keluarga aku, Fika!
Aku takde sesiapa lagi. Aku tak nak
dia disakiti lagi...” Jeda. “Aku mencari seorang lelaki yang akan sanggup
ketepikan aku demi mendapatkan cinta Mira... sebab tu aku nak orang kat luar tu
anggap aku dan Mira ada hubungan...” Danial mencari mata Shafique, kemudian
mata Shafika. “Aku nak lelaki tu fight
for Mira! Aku nak tengok kesungguhan lelaki tu untuk dapatkan Mira. Tu yang
aku tunggu selama ni. Selagi aku belum jumpa dengan lelaki yang macam tu, aku
akan sentiasa kawal Mira!” tegas Danial.
“Kiranya kau
nak sorang lelaki yang sanggup rampas Mira daripada kau la, ya?” soal Shafika
inginkan kepastian. “Biar dia ingat kau boyfriend
Mira, dan kau nak dia rampas Mira daripada kau?”
Danial
mengangguk. Dan di hati kecilnya terdetik rasa yang dia sudah bertemu dengan
lelaki itu, cuma dia masih belum mempunyai ruang untuk menduga si dia. “Seorang
lelaki tu takkan mudah nak lepaskan sesuatu yang dia dapat dengan penuh
kepayahan. Betul tak Shaf?”
“Hmmm... mungkin...” setuju Shafique.
“So, please. Tolong jangan dedahkan
hubungan sebenar aku dengan Mira pada sesiapa pun! Aku percaya pada korang berdua, sebab dari kolej lagi korang tak pernah pecah lubang. Orang
mula tahu hubungan sebenar antara aku dengan Mira pun bila dah nak grad, bila
tengok nama kita orang berdua. Tu pun tak ramai yang perasan sebab orang kenal
aku sebagai Boy. Bukan nama betul aku. Kebetulan aku dengan Mira pun tak datang
masa konvo...”
“Boy... pasal
apa yang terjadi petang tadi, along ada tanya aku pasal Mira dan Damia...” ujar
Shafika. “Dia pun sibuk tanya kenapa aku sebut nama dia sebagai bakal suami
Mira dan bukan nama kau...”
Danial
mengeluh. “Aku dah agak abang korang mesti
akan tanya. Lebih-lebih lagi bila dia setuju dengan idea gila kau tu! Bakal
suami konon!”
Shafika
tersengih. “Tu aku minta maaf. Aku geram gila tengok muka Damia tadi. Macam
bagus sangat je dapat Kuzim tu. Berlagak
nak mampus! Tahulah Kuzim tu anak orang kaya tapi aku rasa abang aku
berganda-ganda lagi bagus daripada si Kuzim tu walaupun mungkin tak sekaya dia.
Sebab tu mulut aku laju je sebut
‘bakal suami’ tu!”
“Tapi pelik jugak along boleh setuju je kan?” soal Shafique. “Padahal dalam
kepala dia masa tu, mesti dia fikir yang Boy ni boyfriend Mira.” Dia turut terkejut pabila Shafika menceritakan kepadanya
segala yang telah terjadi tengah hari tadi.
“Hmmm...” balas Shafika.
“Tell me about your brother,” pinta
Danial dengan nada serius.
“Kenapa?”
berkerut dahi Shafika.
“Aku nak
tahu...”
“Apa yang kau
nak tahu?”
“Everything!”
“Kenapa?” soal
Shafique pula. Pelik dirasakan permintaan Danial itu.
“Aku nak tahu
sama ada dia lelaki yang aku cari selama ni!” ujar Danial tanpa rahsia.
Bulat mata
Shafika. Dia mengilas pandang ke wajah kembarnya. Terkejut dia dengan kata-kata
Danial. Adakah Danial turut mempunyai deria hati yang sama sepertinya?
*********
Aduh...
sakitnya telinga aku...
Dhamira
memegang telinganya. Kiri dan kanan. Mahu memastikan kedua belah telinganya
masih elok terletak di tempat yang telah ditentukan sang Pencipta. Tidak hairan
kalau sebelah atau kedua belah telinganya sudah luruh. Luruh dek penangan
bebelan adiknya, Danial.
Katalah apa
pun, Danial, dia akan membela dirinya hanya sekiranya keadaan memaksa. Setakat
sindiran serta kata-kata pedas daripada Damia apalah sangat. Dia masih mampu
bertahan. Dia sedar bahawa Danial sudah menganggap Damia sudah mati dan dia
hanya mempunyai seorang kakak sahaja. Cukup Dhamira dianggap darah dagingnya.
Damia sudah dicampak jauh daripada kehidupannya. Namun Dhamira tidak
beranggapan begitu. Damia tetap kakaknya. Selayaknya seseorang yang telah
menggantikan tempat mama serta papa mereka.
“Mira, bila
papa takde, Mira cuba berbaik dengan
kak yong, ya? Jangan biar kak yong hanyut dalam dunianya...” Tengku Dahlan
menggenggam erat tangan Dhamira. “Mira pun tahu kenapa kak yong jadi macam tu,
kan? Disebabkan insiden tu, papa dan mama terlalu manjakan dia... sebab nak pujuk
dia balik. Apa yang dia nak semua kami turutkan... tak pernah membantah...”
keluh Tengku Dahlan kesal. “Bila mama dah takde,
papa biarkan je kak yong, Mira dan
Danial sendirian. Sampaikan bila kak yong tak nak sambung belajar tapi kemaruk
nak jadi model dan kemudiannya pelakon pun, papa tak larang...”
Dhamira diam.
Wajah lesu papanya ditatap dengan mata yang berkaca. Ketika itu papanya sedang
berehat di dalam kamar tidurnya dan hanya Dhamira yang ada untuk menemani.
“Dan kak yong
semakin hanyut dalam dunia glamornya. Segala kesal papa dah terlambat. Papa tak
pernah nak berkeras dengan kak yong...” Jeda. “Tapi yang paling papa kesalkan
ialah hubungan kak yong dengan Mira tak pernah baik. Kak yong selalu nampak
Mira sebagai pesaing dia. Papa sedar kak yong cemburu dengan Mira...”
“Cemburu
dengan Mira? Pa! Apa yang dia nak cemburu dengan Mira? Kak yong ada
segala-galanya! Dia cantik, tinggi, badan memang perfect untuk jadi model dan artis. Satu Malaysia kenal dengan kak
yong. Papa tengok Mira ni. Dari dulu tak pernah tinggi-tinggi...” tangkis
Dhamira tidak percaya.
Tengku Dahlan
mengorak senyum. Pipi Dhamira dielus perlahan. “Mira lembut, baik dan pandai.
Semua orang suka pada Mira, termasuk cikgu-cikgu Mira. Mira selalu dapat nombor
satu dalam kelas sedangkan kak yong tak pernah capai top 10 pun... Dan papa
perasan, setiap kali Mira menyanyi atas pentas, kak yong akan tinggalkan majlis
tu, tak kiralah majlis apa pun... Kak yong memang tak boleh dengar Mira
menyanyi...”
Dhamira
mengeluh. Kalau perhatian yang Damia inginkan, setiap kali ada Damia, memang
semua perhatian akan berpindah kepada kakaknya itu. Orang tak akan memandangnya
jika di situ juga ada Damia. Jadi atas sebab apa Damia perlu cemburu? Cemburu
kerana dia boleh bernyanyi? Alaah,
kalau sekadar bernyanyi di atas pentas kecil-kecilan dengan penonton beberapa
kerat sahaja, tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. Damia terkenal seantero
Malaya kut? Takkan itu pun tidak cukup lagi?
“Mira anak
yang baik. Selalu bersabar dengan kak yong, selalu mengalah. Bukan macam Boy...”
Tengku Dahlan ketawa seketika sebelum kembali serius. “Tarik balik kak yong ke
jalan Allah, Mira... papa gagal dalam tanggungjawab papa untuk didik dia... tapi
papa tak tahu nak harapkan siapa lagi. Lainlah kalau kak yong dah kahwin...
Boleh papa harapkan suami dia... Boy pulak
tak pernah nak berbaik dengan kak yong sebab Boy terlampau sayangkan Mira...”
“Mira cuba
pa... Mira cuba...” tekad Dhamira.
Tengku Dahlan
mengangguk. “Selagi boleh sabar dengan kak yong, Mira cuba bersabar, ya?”
Dhamira
mengangguk. Dia sebenarnya terkilan. Ketika mama mereka meninggal dunia kerana
jangkitan kuman di paru-paru, Dhamira memandang ke arah kakaknya untuk
menggantikan tempat mamanya, namun harapannya agar Damia berubah dan merapatkan
diri pada dirinya serta Danial ternyata sia-sia. Damia masih dengan dunianya.
Dunia yang tiada tempat untuk Dhamira serta Danial. Namun kata-kata serta
harapan papanya masih dipegang sehingga kini. Doanya agar Damia berubah tidak
pernah surut. Semoga hubungan mereka tiga beradik akan pulih suatu hari
nanti... seperti yang diharapkan oleh papanya.
Fikiran
Dhamira melayang pula kepada cerita tengah hari tadi. Dia melepaskan keluhan
berat. Tak pasal-pasal, Shafika telah melibatkan Rafique dalam masalah
keluarganya. Hingga kini, sukar untuk dia percaya reaksi serta perlakuan
Rafique ketika berhadapan dengan kakaknya siang tadi. Apa yang telah mendorong
lelaki itu untuk berpura-pura begitu? Demi menyelamatkannya daripada lidah
Damia sedangkan dia bukan siapa-siapa pun bagi lelaki itu? Tidak logik!
“Aku tak rapat
sangat dengan along aku tu. Shaf pun tak. Beza umur kita orang jauh...” Shafika
pernah bercerita tentang abang sulungnya suatu ketika dulu. “Aku panggil dia mamat sejuk beku sebab dia tu susah nak
mesra dengan orang. Susah nak tengok dia senyum. Ketawa apatah lagi! Girlfriend pun tak pernah lekat sebab
dia tu betul-betul kayu! Takde pompuan
yang tahan dengan perangai dia yang tak romantik dan kemaruk dengan kerja dia
tu! Jangan haraplah along aku tu nak hadiahkan bunga ke, coklat ke, atau nak
bagi ucapan yang sweet sweet pada
mana-mana pompuan...” Sempat Shafika
ketawa. Dhamira hanya tekun mendengar. “Entah-entah bergayut kat telefon dengan
girlfriend pun tak pernah...” teka
Shafika.
“Ibu kata,
along tu dah biasa sorang-sorang. Sampai umur dia tujuh tahun, dia main
sorang-sorang sebab ibu dan abi sibuk. Bila ibu lahirkan aku dan Shaf, along
dah masuk sekolah dan ada kawan-kawan sendiri. Along tak pandai sangat nak main
dengan aku atau Shaf. Dia macam rasa kekok. Sudahnya aku dengan Shaf tak reti
nak rapat dengan along sampai dah besar macam ni pun masih ada rasa janggal
kalau along ada...” tambah Shafika lagi.
Seingat
Dhamira lagi, Rafique sudah lama tidak tinggal bersama keluarganya. Sebaik
tamat pengajian, dia sudah mula menyewa dan hidup berdikari. Tidak lama selepas
itu, dia membeli sebuah kondominium dan kekal hidup berasingan daripada
keluarga, membuatkan hubungannya dengan adik-adik sendiri kekal tidak rapat.
Tidak banyak
beza dengan dirinya, Danial serta Damia. Sayang... Dia benar-benar terkilan
kerana Damia membencinya atas sebab yang bukan dalam kawalannya. Bukan
kehendaknya semua itu terjadi. Dan tiada sebab untuk Damia mencemburuinya. Dia
tidak secantik Damia. Dia tiada sesuatu yang bisa menggetarkan jantung
mana-mana lelaki seperti yang mampu dilakukan oleh Damia. Sekali pandang
sahaja, pasti ada yang tertawan dengan kakaknya itu. Termasuklah Kuzim...
Cepat-cepat
Dhamira mematikan fikirannya yang melayang tadi. Tidak mahu lagi memikirkan
tentang Kuzim walaupun pertemuan mereka petang tadi masih mampu merobek luka
yang pernah terpalit dulu.
Dhamira cuba
melupakan seketika babak-babak tengah hari tadi. Notebook di atas meja kerjanya dibuka. Bait-bait kata di hadapan
skrin diulang baca. Seperti biasa, Dhamira akan hanyut di lautan aksara. Dan
sekali lagi Dhamira sempat berfikir, masalah yang membelenggu dirinya hanyalah
sebesar zarah jika dibandingkan dengan masalah si watak utama dalam artikelnya.
Kesian Zara... Dan air matanya mengalir lagi mengenangkan nasib Zara...
No comments:
Post a Comment