DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 15




Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu
Dan diriku untuk kamu
Belum pernah ku merasai begitu

Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu
Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu
……………………………
Faizal Tahir – Sampai Syurga

MATA Harriz langsung tak mahu lepas dari memandang wajah di depannya itu. Rindu bukan main dia dekat Balkish. Sejak peristiwa dia memperkenalkan Balkish sebagai girlfriendnya kepada mama beberapa hari lepas, gadis itu langsung tak mahu melayan dia. Dia ada juga datang ke ofis abang iparnya. Konon-konon nak jumpa Balkish, nak mintak maaf. Tapi wajah Balkish yang langsung tak senyum memandangnya itu membantutkan niat yang terpendam. Takut juga kalau-kalau tahap kesabaran Balkish sudah hilang, dia akan difire teruk. Jatuhlah maruahnya sebagai seorang lelaki yang hensem lagi bergaya. Lagi-lagi takut kalau Balkish menyiram dia dengan air sekali lagi. Aduh… bergandalah malunya.
Jadi dia biarkan ajelah Balkish untuk seketika seperti yang dinasihatkan oleh Kak Hanis dan Abang Mie. Mana tahu bila dah tenang-tenang nanti Balkish pula yang akan mencari dia. Siapa tahu, kan? Rindu tu memanglah rindu. Tapi kenalah berkorban sikit.
Tengok macam hari ini. Tak ke kesabarannya selama dua hari itu membuahkan hasil bila dengan tiba-tiba aje Balkish menelefonnya semalam untuk ajak dia keluar lunch bersama-sama? Umpama mimpi dalam mimpi. Berkali-kali juga dia mencubit pipinya sendiri. Takut jika itu hanyalah satu mimpi. Tapi ternyata, itu adalah kenyataan yang begitu membahagiakan. Betul apa yang Abang Mie dan Kak Hanis katakan. Akhirnya Balkish sendiri yang mencarinya. Memang hari bertuah!
Harriz bahagia sangat. Macam nak buat announcement kat semua orang yang dia menerima panggilan telefon daripada Balkish. Tak percaya si cantik manis itu mahu keluar lunch lagi dengannya. Ini mesti sebab Balkish rindukan dia.
Semalam dia tak dapat nak lelapkan mata menunggu hari ini. Tadi di ofis pun dia tak concentrate buat kerja. Mata asyik memandang jam untuk menunggu waktu lunch. Tak sabar sungguh dia hendak keluar dengan Balkish.
Balkish di depan dipandangnya. Cantiknya gadis itu. Dengan kebaya hitam bersulamkan bunga-bunga warna merah, penampilan Balkish kelihatan begitu anggun sekali. Solekan yang dikenakan juga kelihatan begitu padan. Orang cantik macam Balkish ni, tak payah nak pakai mekap tebal-tebal pun tetap kelihatan cantik. Membuatkan jiwa lelaki Harriz bergetar hebat memandangnya.
“You nampak cantik hari ni. Ayu sangat. Hurmmm… tapi you hari-hari pun nampak cantik,” Harriz mula memuji. Dia memang cukup murah dengan sikap yang suka memuji. Dulu dengan teman-teman wanitanya pun, dia kerap juga memberikan pujian seperti ini. Tapi waktu itu takdelah ikhlas mana pun pujian Harriz tu. Sekadar nak ambil hati teman-teman wanitanya sahaja. Namun dengan Balkish, dia memang ikhlas setiap kali berkata-kata. Cewah!
Balkish menjulingkan mata ke atas. Ini yang dia tak suka dengan Harriz. Suka sangat nak beli jiwa raganya dengan puji-pujian sebegitu. Sikit-sikit cantik! Huh… apa kecantikan itu aje ke yang penting? Aduh… lelaki. Suka sangat dengan kecantikan rupa paras.
“Hurmmm… terima kasih atas pujian tu, Encik Harriz,” hanya itu yang mampu Balkish jawab. Malas betul dia nak layan jiwang karat si Harriz itu. Tapi apakan daya, dia kena juga berjumpa dengan Harriz.
“I benar-benar tak sangka yang I akan keluar lunch dengan gadis cantik macam you. Umpama mimpi dalam mimpi pulak bila you call I semalam dan kata nak lunch together hari ni,”
Balkish mengetap bibir. Aduh… cukup-cukuplah dengan pujian dan ayat membeli jiwa itu. Aku bosan betul dengar.
“Sudahlah tu Encik Harriz. Cukuplah Encik Harriz puji saya. Saya jumpa Encik Harriz ni bukan nak dengar Encik Harriz puji-puji saya,” sindir Balkish. Geram!
Harriz menarik senyuman di bibir. Kemudian dia menongkat dagu memandang Balkish. Tak puas betul dia nak pandang wajah itu.
“Tapi orang cantik macam you memang layak dipuji,” katanya lagi dengan bibir yang mekar dengan senyuman.
“Tapi takde makna pun pujian seperti itu kepada saya,” selar Balkish. Semakin geram pula dengan perangai Harriz itu. Boleh pula lelaki itu dengan selamba biawak jantan menongkat dagu merenungnya bagai nak terkeluar bijik mata.
Keadaan sunyi buat seketika. Balkish membuang pandangan ke luar jendela besar McDonalds. Memerhati gelagat anak-anak remaja zaman sekarang yang begitu berani berpegangan tangan. Teringat pada dirinya waktu seusia dengan pasangan remaja yang kelihatan begitu asyik melayari perasaan cinta itu. Dulu dia pun macam itu juga. Keluar berdua dengan Eidham. Namun dia dengan Eidham bukan keluar bersuka-ria seperti pasangan remaja itu. Mereka keluar untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama di library. Nak keluar untuk suka-suka dan menonton wayang, memang tak pernah. Keluar pun ada batas, tak adalah sampai berpegangan tangan seperti itu di tempat awam. Sepanjang dia berkasih dengan Eidham, tidak pernah sekali pun dia membenarkan lelaki itu memegang tangannya. Malah, Eidham juga tidak pernah melebihi batasnya sebagai seorang kekasih.
Balkish mengeluh. Itu kisah lalu. Tak perlu dia kenangkan lagi. Eidham dulu tak sama dengan Eidham yang sekarang.
“Balkish…” panggil Harriz panjang.
Tiada respon daripada Balkish. Matanya masih asyik memandang ke luar. Prosperity Burger yang masih berbaki separuh di depan langsung tidak diusik. Sedangkan Balkish memang gemar sangat dengan Prosperity Burger.
 “Pasal hal malam tu dengan hal mama I… I nak mintak maaf sangat-sangat dengan you. I tau I tak patut buat macam tu dan tak patut bagitau mama I begitu. Tapi… I ikhlas, Balkish. I benar-benar sayangkan you. I benar-benar mahu jadikan you isteri I,” luah Harriz. Sejak dari semalam lagi dia sudah memikirkan dialog ini. Dia benar-benar ikhlas dengan apa yang diperkatakannya.
“Sudi tak you menjadi isteri I yang sah, Balkish?” lamar Harriz. Spontan dan bersahaja dia melamar ratu hatinya itu.
Balkish menghela nafas lemah. Dia memalingkan muka memandang wajah Harriz yang duduk di depannya. Lamaran itu kedengaran kosong baginya. Seperti tiada apa-apa makna.
“Tapi Encik Harriz tak kenal siapa saya yang sebenarnya. Takkan Encik Harriz dengan semudah itu nak jadikan saya ni isteri Encik Harriz pulak?” tutur Balkish. Lembut sahaja nada bicaranya. Tiada guna dia nak marah-marah dengan seorang lelaki yang tak pernah mengenal erti putus asa seperti Harriz. Lagipun, benar kata Aleya dan Ella. Apa salahnya jika dia memberi peluang kepada Harriz.
“I tahu kita tak saling mengenali. Tapi kita boleh bagi peluang untuk kita saling berkenalan, kan? I bukan main-main, Balkish. Memang selama ni I ada ramai kawan perempuan. Tapi semua tu tak serius. I tau you tak sukakan I sebab I ni kaki perempuan. Tapi sejak I kenal you, I dah tak ada sebarang hubungan lagi dengan wanita lain. I nak serius dengan you… I tak rasa pun nak mempermainkan you walau sedikit pun. I ikhlas nak kenal you dengan lebih dekat. Sebab tu I nak kahwin dengan you. Biarlah perasaan cinta you tu hadir pada I selepas kita berkahwin nanti. Macam orang dulu-dulu,” kata Harriz.
Itulah juga yang Ella cakap padanya pagi tadi. Manalah tahu perasaan cintanya itu akan hadir selepas dia menjadi isteri Harriz. Ella siap bagi contoh ibu bapanya lagi. Konon-konon ibu dan bapanya kahwin bukan atas dasar cinta, tetapi kerana keluarga. Tapi sampai sekarang rumahtangga ibu dengan bapanya bahagia.
“I tak akan paksa you beri jawapan sekarang. You fikirkanlah masak-masak. Tapi I memang ikhlas mahu berkahwin dengan you.”
Balkish menghela nafas. Dia sudah tidak ada pilihan lagi lagi.
“Kalau saya bagi Encik Harriz peluang itu, mahukah Encik Harriz berjanji satu perkara dengan saya?”
Harriz sudah mengukir senyuman yang lebih lebar daripada tadi. Terasa lamarannya sudah diterima oleh puteri pujaan hati.
Everything for you, my sweet princess.”
Balkish sudah menjulingkan mata ke atas. Ini yang dia tak suka dengan Harriz. Over bukan main. Dia belum pun beri persetujuan, lelaki itu sudah ‘sweet princess-sweet princess’dengannya.
Balkish tarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihembus. Semalaman dia berfikir. Walaupun berat hati, dia kena juga ikut apa yang telah dimimpikannya. Mungkin memang inilah suratan hidupnya. Memang Allah telah tetap Harriz menjadi pendampingnya.
“Saya setuju jadi isteri Encik Harriz. Tapi Encik Harriz kena ikut syarat saya dan janji tak akan memaksa dan menganggu hak-hak peribadi saya sehinggalah saya benar-benar bersedia menjadi isteri Encik Harriz dalam erti kata yang sebenar. Sanggupkah Encik Harriz terima syarat saya?”
Untuk seketika Harriz berdiam. Senyuman yang menghiasi bibirnya juga sudah mati dengan tiba-tiba. Jemarinya menggaru-garu dagu. Menimbang syarat yang telah gadis itu letakkan kepadanya. Dapatkah dia menahan dirinya dengan syarat itu?
“Saya tahu… sebagai seorang isteri dalam Islam, saya tak patut meletakkan jurang itu dalam hubungan suami isteri yang sah dan halal. Tapi saya tak boleh nak berikan apa yang menjadi hak Encik Harriz sebab saya tak cintakan Encik Harriz. Saya kena belajar untuk menyintai Encik Harriz, barulah saya dapat memberikan apa yang menjadi hak Encik Harriz yang sepatutnya. Saya tak paksa Encik Harriz untuk bernikah dengan saya kalau Encik Harriz berat hati menerima syarat saya. Encik Harriz berhak cari perempuan yang lagi bagus daripada saya. Yang dapat memberi segala kebahagian kepada Encik Harriz. Segalanya terpulang kepada Encik Harriz. Keputusan di tangan Encik Harriz,” panjang Balkish mengulas.
Dia berharap sangat agar Harriz memahami kehendaknya itu. Kalau pun lelaki itu tak mahu menerima syaratnya yang tak masuk dek akal itu, dia tak akan memaksa untuk Harriz menikahinya. Dia sedar, tak patut dia menyeksa batin lelaki itu. Berkahwin, tapi hidup macam orang tak kahwin. Tak masuk akal, kan?
“Okey!” tiba-tiba Harriz bersuara. Bibirnya pula merekah dengan senyuman. Keningnya rancak menari joget terjongkit-jongkit.
Berkerut dahi Balkish mendengar perkataan ‘okey’ yang keluar dari mulut Harriz. Senyuman yang tadi malap kembali mekar menghiasi bibir lelaki itu.
“Apa yang okey?” bingung Balkish dibuatnya, lantas dia bertanya.
“Okey! I setuju dengan syarat yang you minta. Tapi I pun ada syarat juga. Boleh?”
Balkish menghembus nafas perlahan. Aduh… nampaknya Harriz juga mahu memberikan syarat kepadanya pula. Iye la… mana adilkan kalau dia seorang sahaja yang yang meletakkan syarat pada perkahwinan mereka nanti? Harriz pun pastilah mahukan syarat juga. Perlahan Balkish mengangguk. Bersetuju ajelah asalkan syarat yang lelaki itu minta tak melampaui batas.
“I mahu you bagi peluang pada I untuk buat you jatuh cinta pada I. Jangan halang apa yang I lakukan untuk mencuri hati you. Hanya itu syarat yang I mahu. Boleh?” pinta Harriz. Matanya langsung tak berganjak ke tempat lain. Tepat memandang wajah Balkish yang sedikit gelisah.
“You jangan bimbang, I tak akan buat sesuatu yang tak senonoh ke atas you. I akan curi hati you dengan cara I yang tersendiri. Asalkan you tak larang apa yang I lakukan untuk memenangi hati you tu.” tegas Harriz. Walaupun dia telah dinobatkan sebagai playboy nombor satu di KL ni, namun dia belum pernah lagi merosakkan anak dara orang. Playboynya tetap ada batas. Playboy pilihan gitu.
Balkish mengangguk lemah. Apa lagi yang dia boleh lakukan selain bersetuju dengan syarat yang Harriz mahukan. Lagipun Harriz sudah berjanji tak akan membuat sesuatu yang di luar batasan mereka berdua nanti setelah bergelar suami isteri. Dia berharap sangat agar lelaki itu berpegang pada janjinya.
Lebar senyuman Harriz kala melihat anggukan pada kepala Balkish. Rasa macam nak menjerit aje dia waktu tu. Tak sabar dia nak menawan sekeping hati milik Balkish binti Borhan. Dia pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencuri hati itu nanti. Dia yakin usahanya akan membuahkan hasil.
“Jadi bila you mahu kita langsungkan majlis akad nikah? Ikutkan hati I ni… hari ini pun I sanggup nikah dengan you. Tak sabar I nak jadikan you sebagai isteri I.” ujar Harriz yang sudah tidak sabar itu. Air pepsi yang masih berbaki disedut perlahan.
Balkish mencebik. Geram pula dia dengan sikap gelojoh Harriz yang tak sabar-sabar itu. Meluat pun ada juga!
“Kena buat ikut adat Encik Harriz. Kalau iye pun… tak perlulah nak gelojoh sangat,” sindir Balkish sinis. Satu jelingan maut dihadiahkan kepada lelaki itu.
Harriz sudah ketawa besar mendengar sindiran Balkish.
“Okey… kalau macam tu minggu depan I hantar rombongan meminang. Lepas tu minggu seterusnya kita kahwin. Tak payahlah nak tunang-tunang segala. Buat lambat aje.” putus Harriz.
Bulat mata Balkish mendengarnya. Gelojoh benar lelaki itu.
“Eh… tapi sebelum tu kita kena buat surat perjanjian untuk perkahwinan kita dulu, Encik Harriz.” usul Balkish.
“Surat perjanjian?” Harriz kerut kening.
Balkish mengangguk laju bak burung belatuk.
“Tak perlu,” bantah Harriz. Tegas sahaja dia bersuara sambil tangan diangkat seperti orang sedang melafazkan ikrar.
Balkish mengetap bibir mendengar jawapan Harriz yang teramat tegas itu. Belum pun kahwin, Harriz sudah menunjukkan kuasa vetonya sebagai seorang lelaki. Entah macam mana pula perangai lelaki itu bila mereka berkahwin nanti?
“Tapi nanti Encik Harriz langgar janji dan syarat yang sudah ditetapkan. Saya tak nak ar kalau macam tu,” ujar Balkish yang memang kurang senang dengan bantahan Harriz. Baginya surat perjanjian itu penting untuk simpanan mereka berdua.
Harriz menarik senyuman di bibir. Spontan dia bangun dari duduknya dan meletakkan tangan di atas kepala Balkish yang bertudung putih hari ini.
“I bersumpah… I tak akan buat lebih daripada batasan yang sepatutnya sehinggalah you sendiri yang sanggup memberikannya kepada I dengan rela hati.”
Terkedu Balkish mendengar sumpahan lelaki itu. Tak berkedip matanya memandang Harriz yang masih lagi meletakkan tangan di atas kepalanya.
“Hisy… jangan main dengan sumpah, boleh tak Encik Harriz? Nanti sumpah tu makan diri Encik Harriz sendiri. Baru padan dengan muka!” bentak Balkish. Tangan Harriz yang masih melekat kemas atas kepalanya ditepis.
Harriz ketawa suka. Dia kemudian duduk semula. Wajah Balkish ni… biarpun marah tetap nampak comel.
“Kenapa? You tak sanggup ke tengok bakal suami you kena makan dengan sumpah? You sayang jugak pada I ye,” giat Harriz. Seronok pula dia dapat menggiat gadis itu hari ini.
Balkish membesarkan matanya memandang Harriz. Macam nak telan aje lelaki itu. Boleh pula kata macam tu.
“Jangan nak perasan boleh tak? Saya tarik balik karang persetujuan saya tu,” ugut Balkish. Marah bercampur geram yang teramat sangat.
“Alaaa… okeylah. You ni kan Kish… cepat benar nak melenting. I baru nak usik-usik manja sikit. Dah marah-marah,” omel Harriz sambil tersenyum senang. Terasa hari ini hari yang penuh dengan kebahagiaan.
“Tapi kan… kalau you marah, you nampak lagi cantik. Comel sangat-sangat,” Harris memuji.
Balkish menjulingkan mata ke atas. Aduh… entah macam manalah kehidupannya dengan Harriz nanti bila dah berkahwin. Entah-entah tiap hari diorang akan bertengkar. Tengok perangai Harriz yang kuat mengusik ini dan perangainya yang cepat melenting itu, pasti ada sahaja yang mereka tengkarkan nanti.

***************************************************************************

ZATUL memandang pelik muka bosnya. Sejak dari pagi tadi hinggalah ke petang ini, bibir bosnya langsung tak pernah lekang dengan senyuman. Mood bosnya pula baik bukan main lagi. Siap buat amal jariah dengan membelanja staf di Bahagian Kejuruteraan ini dengan ayam KFC lagi. Macam kena nombor ekor saja bosnya itu.
“Errr… Encik Harriz, saya tanya sikit boleh tak?” tanya Zatul yang duduk di depan Harriz yang sedang menandatangani beberapa dokumen penting.
“Hmmm… apa dia?” jawab Harriz tanpa memandang wajah Zatul. Tangannya sibuk menandatangani dokumen-dokumen di depan mata.
“Hari ni Encik Harriz dapat nombor ekor ke? Senyum bukan main lagi saya tengok. Siap belanja besar lagi.”
“Kenapa? Awak tak suka ke saya belanja makan?” soalan Zatul tak dijawab. Sebaliknya Harriz memberi soalan pula kepada Zatul.
“Bukanlah macam tu, Encik Harriz. Cuma hari ni Encik Harriz nampak lain sikit. Senyum tu… macam ada makna yang tersirat aje. Entah-entah Encik Harriz ada awek baru tak ni? Pasal tu happy aje saya tengok.”
Harriz angkat muka. Zatul sudah menaikkan keningnya sambil terjongkang-jongket.
“Awak tengok muka saya ni kalau gembira aje mesti pasal bab awek ke, Zatul?” soal Harriz. Jari telunjuk dihala ke batang hidungnya sendiri.
Zatul mengangguk. Memang itulah kenyataannya. Selama tiga tahun bekerja dibawah seliaan lelaki itu, dia sering melihat bosnya gembira kerana wanita-wanita yang mendampinginya. Setiap kali masuk pejabat, bosnya itu tak pernah escape dari bercerita pasal aweksnya yang seksa-seksi belaka itu. Naik fed-up juga kadang-kadang Zatul nak layan. Tapi memandangkan lelaki itu ketuanya, anak tuan punya syarikat tempat dia bekerja ini, maka dia kenalah tadah sahaja telinga mendengar luahan love story bosnya yang tak sudah-sudah itu. Asyik bercinta, tapi nikahnya entahkan bila.
Harriz menyandarkan badan ke bahu kerusi kulit warna hitamnya. Dia tersenyum lagi.
“Ada betulnya juga apa yang awak teka tu. Tapi kali ni bukan sebarangan awek. Kali ni… saya serius seratus-peratus. Takde istilah nak main-main. Saya dah penatlah Zatul asyik main-main ni. Kali ni saya nak serius. Saya tak pernah rasa macam ni sebelum ni, Zatul. Dialah wanita yang berjaya buat saya jadi gila bayang. Siang malam terbayang-bayang.”
Zatul angkat kening. Aduh… bosnya sudah mula berayat jiwang karat.
Iye ke Encik Harriz?” Zatul tayang muka seakan kurang percaya dengan ungkapan kata-kata bosnya itu. kemudian dia menyambung lagi.
“Alaaa… selalu pun Encik Harriz cakap macam tu pada saya. Tapi lepas dua tiga bulan, Encik Harriz tukar girlfriend lagi. Konon tak serasi la… tak sehati sejiwa la… tak sehati berdansa la… opsss, sehati berdansa pulak. Heheheee… Alaaa… saya dah masak sangat dengan perangai Encik Harriz tu,” selar Zatul. Bosnya itu bukannya boleh percaya cakapnya kalau pasal perempuan. Hari ni beria-ia cakap sayang, cinta, rindu segala. Tunggulah dua tiga bulan lagi, mulalah bosnya itu cari yang lain pula.
“Itu lain. Kali ni saya betul-betul serius. Cuba awak tengok muka saya ni betul-betul… nampak macam nak main-main ke?” Harriz menyuruh Zatul tenung wajahnya yang mula beraksi serius.
Zatul mencebik. Yo yo oh aje Encik Harriz ni! Seriuslah konon. Setakat serius dua tiga jam tu, baik tak payah Encik Harriz oi. Hati kecil Zatul mencela.
“Kali ni saya betul-betul jatuh cinta, Zatul. Saya tak main-main lagi. Saya dah dapat apa yang saya cari dan apa yang saya mahukan. Saya tak pernah rasa seperti ini sebelum ini,” Harriz menyandarkan kembali badanya di bahu kerusi. Bibirnya mekar dengan senyuman kala bayangan wajah Balkish terlintas depan mata. Tak sabar dia hendak menunggu saat-saat indah hidup bersama Balkish. Dia pasti akan berjaya membuatkan gadis itu jatuh cinta padanya nanti.
Melihat senyuman Harriz itu, Zatul menggeleng lemah. Parah nampaknya penyakit bos aku kali ni.
“Apa-apa je la Encik Harriz. Saya doakan Encik Harriz bahagia. Tapi kali ni saya harap sangat Encik Harriz serius. Jangan nak main-main macam selalu. Hai… pening tau Encik Harriz kepala saya ni kena layan awek-awek Encik Harriz tu. Lagi-lagi kalau yang berani datang ke ofis ni. Kalau sorang tu takpelah jugak, ini kekadang sampai dua tiga orang yang datang dalam satu masa. Dah tu siap buat show WWF lagi di department kita ni. Terketar-ketar lutut saya ni nak cover line Encik Harriz tau!” ujar Zatul.
Harriz ketawa besar. Dia amat berterima kasih kepada Zatul kerana telah cover line untuknya selama ini. Bukan sahaja tolong cover line dia dekat awek-aweknya, malah Zatul juga selalu cover linenya dekat papa. Sebab itulah tahun ini dia dengan murah hati telah menyenaraikan nama Zatul sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang. Semua itu kerana kecemerlangan Zatul dalam menjalankan tugas-tugasnya. Bukan setakat kerja cover linenya, tetapi juga dalam kerja-kerja hariannya itu.

No comments:

Post a Comment