“HAI…”
satu suara kedengaran menyapa dengan lembut lagi romantis.
Teguran itu membuatkan Balkish mendongak. Mujur dia
tak terjatuh dari kerusinya kala melihat tuan punya suara yang sudah tersenyum
dengan senyuman menggoda kalbu itu. Iye
la tu… menggoda kalbulah sangat!
‘Hisy… apa pulak
yang dia buat dekat sini ni? Buat aku bad
mood aje la dia ni! Baru hari
pertama kerja dia dah munculkan diri. Tak bolehkah dia biarkan hidup aku senang
sikit? Aduh… migrain pulak aku tetiba.’
“Encik Harriz? Heee… Encik Harriz buat apa di sini?”
soal Balkish yang sudah mula gusar dengan kehadiran mengejut Harriz itu. Cuti
selama empat hari itu membuatkan dia hampir lupa pada suara lelaki yang sering
kali menganggu hidupnya kini.
‘Alahai… bala ni! Kalau aku ada magik… mahu rasanya
aku hilangkan diri saat ini jugak.
Tak payah nak berdepan dengan lelaki yang tak pernah faham bahasa ini. Kan aku
dah reka cerita yang kulit aku ni tak
boleh terkena kelopak-kelopak bunga ros. Lagi nak bagi bunga dekat aku. Huhuhuuu…
Entah bahasa apa lagilah yang aku nak cakap dekat Mr. Alligator ini supaya dia faham yang aku tak nak diganggu!’
“Saje…
jumpa you. I dah lama tak jumpa you. Rindu sangat pada you,” Harriz dengan
ramah bersuara. Kemudian dia menghulurkan sejambang bunga ros yang telah
digubah dengan begitu indah di atas meja Balkish.
Bulat mata Balkish melihat Harriz dengan selamba
meletakkan jambangan mawar itu di atas mejanya. Aduh… lelaki ni betul-betul tak
faham bahasa. Dia nak aku cakap dalam bahasa Tamil baru nak mengerti agaknya.
Tapi masalahnya, aku pulak yang tak
pandai nak berbahasa Tamil.
“Eh… apa ni Encik Harriz? Saya kan dah kata yang
saya ni alergik pada bunga. Saya tak nak bunga ni. Nanti kulit saya gatal-gatal,”
ujar Balkish. Dia sebenarnya bukanlah alergik pun pada bunga. Cuma yang buat
dia jadi alergik dengan tiba-tiba tu sebab si pemberi bunga ni. Itu yang dia
alergik tu!
“Tapi ini bunga plastik. Bukannya bunga segar pun. I
masih ingat yang you kata you alergik pada kelopak bunga segar. Pasal tu I
belikan you bunga plastik aje supaya kulit
you tak terkena alergik. I harap you sudi menerimanya. Khas buat yang cantik
manis,” ujar Harriz dengan ayat jiwa-jiwa. Mana mungkin dia lupa yang kulit
Balkish tak boleh terkena kelopak bunga. Pasal itulah awal-awal lagi dia sudah
menempah bunga ros plastik untuk bidadarinya itu. Supaya kulit Balkish yang
putih melepak dan halus mulus itu tak mendapat alahan.
Balkish mengetap bibir. Hisy… nampaknya dia sudah
tak boleh menolak lagi kali ini. Takkan dia nak kasi alasan yang sama juga
sedangkan bunga plastik tak membawa sebarang kesan pun ke atas kulitnya. Mahu
tak mahu kenalah dia terima dengan hati yang sebal.
“Terima kasihlah Encik Harriz,” malas-malas Balkish
berkata. Jambangan bunga yang diberi oleh Harriz diletakkan sahaja di hadapan
mejanya.
Suara ketawa kecil Kak Norma dan Siti membuatkan
Balkish mengerling ke arah rakan-rakan sekerjanya itu. Amboi… bukan main suka
lagi diorang ni. Kak Norma pula siap
angkat ibu jarinya memberi isyarat ‘baik’ kepada Balkish.
“Kasih you dah lama I terima. You aje yang tak sedar,” spontan sahaja Harriz menjawab sambil mata
langsung tak mahu lari dari memandang wajah Balkish.
Sedar wajahnya diperhatikan, Balkish buat-buat
sibuk. Dia menyambung kembali tugasannya yang tergendala sebentar tadi
disebabkan Harriz. Tapi dia tak boleh nak concentrate
sebab ada sahaja mata yang memandang tingkahnya itu. ‘Cepatlah berambus oi! Tak
selesa betullah ada mata yang tengok-tengok ni.’ gumam Balkish dalam hati.
“You apa khabar? Sihat tak?” tanya Harriz kepada
Balkish. Mata masih juga tertumpu pada raut wajah Balkish yang putih bersih.
Cantik kulit muka gadis itu. Langsung takde
sebarang jerawat. Geram pula Harriz tengok.
“Alhamdulillah… saya sihat. Terima kasihlah sebab
Encik Harriz ambil berat tentang saya,” Balkish sekadar berbasa-basi. Ikutkan
rasa hati ni, malas sungguh dia hendak melayan kerenah Harriz buaya jadian itu.
Menyesakkan fikiran betul.
“I memang sentiasa ambil berat pasal you. I tak
boleh nak tengok you sakit atau bersedih. Kalau boleh, biarlah you sentiasa
sihat dan ceria. Baru senang hati I ni,” Harriz
bermadah helah. Mahu membeli hati dan jiwa gadis manis itu dengan
kata-kata romantiknya yang lembut itu.
Balkish cuba mengukir senyuman mendengar kata-kata
Harriz itu. Sedangkan dalam hati rasa nak termuntah sahaja dia dibuatnya. Loya
semacam! Uwek!!
“Encik Harriz datang ni nak jumpa Encik Fahmie ke? Kejap ye saya beritahu Encik Fahmie yang Encik Harriz dah sampai,” ujar
Balkish yang sudah mahu menekan butang interkom. Dia sudah malas mahu mendengar
kata-kata memikat Harriz itu. Rasa hendak terkeluar segala isi dalam lubang
telinganya. Geli betul. Lagipun dia takut tahap kesabarannya akan pecah akibat
terlalu lama melayan kerenah Harriz. Sudahlah dia memang tak sukakan Harriz ni.
“Eh takpe.
I datang bukan nak jumpa Abang Mie. I nak jumpa you. Kalau Abang Mie tu…
bila-bila masa pun I boleh jumpa dia,” halang Harriz.
Balkish tersengih. Butang interkom tidak jadi
ditekannya.
“Macam mana cuti di kampung? Seronok?”
Husy… banyak pulak
tanya buaya jadian ni.
Balkish sekadar menarik senyuma segaris. Kepalanya
hanya dianggukkan bagi menjawab pertanyaan Harriz.
“Bestnya you
dapat balik kampung. Dulu waktu atuk dan nenek I sebelah papa masih ada, kami
pernah jugak balik ke kampung papa di
sebelah Perak. Tapi bila diorang dah takde, kami semua dah tak balik kampung
lagi. Sambut raya pun dekat KL aje.
Lain kali I harap dapat ikut you balik ke kampung you. Tentu seronok, kan?”
‘Eheh… ni apa kes pulak nak ikut balik kampung aku
ni? Ingat dia tu siapa nak ikut-ikut aku pulak?
Tak sedar diri betul Mr. Alligator ni!’
hati Balkish mendesis marah.
Balkish malas hendak menjawab. Cuma bibirnya sahaja
dipaksa untuk tersenyum manis. Sedangkan jemarinya sibuk menaip kertas kerja
yang Encik Fahmie berikan kepadanya tadi.
“You dah lunch
ke? Jom kita keluar lunch,” ajak Harriz.
“Lunch?”
soal Balkish. Buat-buat terkejut sakan. Macam tak tahu aje makna lunch dalam
bahasa Melayu adalah makan tengah hari. Lagi mahu buat muka terkejut beruk
betina. Jemari yang tadi rancak menari pada keyboard
komputer terhenti.
Harriz mengangguk-angguk. Bibirnya masih lagi mekar
dengan senyuman yang cukup manis. Pelik betul. Tak kejangkah urat-urat sekitar
rahang lelaki itu asyik tersenyum begitu? Mungkin Harriz menyangka dengan
tersenyum sebegitu hati Balkish akan cair agaknya. Macam hati ramai gadis yang
bisa cair disebabkan senyumannya itu.
“Sorry
Encik Harriz. Saya banyak kerja nak kena buat ni. Empat hari bercuti, kerja
melambak-lambak. Lagipun waktu lunch
lagi sejam. Lain kali aje ye,” Macam
biasa, Balkish pasti menolak. Mana mungkin dia akan keluar makan berdua dengan
lelaki playboy itu. Nanti tak
pasal-pasal terlihat dek salah seorang teman wanita Harriz, mampus dia
dikerjakan. Kalau bukan sebab takut kelihatan oleh salah seorang aweks Harriz pun memang dia tak pernah
sudi hendak keluar dengan lelaki itu.
“Alaaa… kerja tu you boleh tangguh dulu. Nanti I
bagitau Abang Mie yang I bawa you keluar lunch.
Tak jadi hal lah,” desak Harriz.
Ketika itu jugalah pintu bilik Pengurus Kewangan
F&F Holdings terbuka luas. Terpacul wajah Fasha yang baru keluar dari bilik
bosnya itu dengan wajah mencuka. Ini
tak lain tak bukan mesti kena cuci telinga. Pasal tu buat muka macam rojak
basi. Pelik betul dengan Fasha sejak kebelakangan ini. Datang kerja lewat.
Balik kerja awal. Buat kerja salah. Dah tu rajin pula menghilangkan diri time-time pejabat. Itu yang Encik Fahmie
panggil untuk memberi sedikit ceramah buat pekerja seksyennya yang seorang itu.
Sebelum berlalu ke tempatnya, Fasha sempat juga
mengerling Balkish dengan pandangan yang menjengkelkan. Cemburu rasa hatinya
bila rakan sepejabatnya itu sering mendapat perhatian daripada lelaki kacak
idaman ramai, Harriz Tan Sri Hamdan. Dia yang lebih bergaya dan up-to-date daripada Balkish ini langsung
tak dipandang dek Encik Harriz.
“Hai… Riz. Bila sampai?” kedengaran suara Fahmie
menegur. Membuatkan Harriz dan Balkish menoleh dengan serentak. Lelaki
berkemeja biru gelap itu baru keluar dari biliknya selepas memberi ceramah free pada Fasha. Sakit kepalanya bila
ada stafnya yang tak memberi perhatian terhadap kerja.
“Baru aje,”
balas Harriz pendek.
“Buat apa dekat sini? Kenapa tak masuk dalam bilik
Abang Mie?” soal Fahmie lagi. Harriz ni tak lain tak bukan mesti tengah
mengacau Balkish. Tengok dari muka Balkish yang tersenyum paksa itu pun dah dia
tahu. Hurmmm… entah sampai bilalah Harriz ni nak mengganggu Balkish agaknya?
Ini lagi seorang yang buat dia pening. Harriz Tan Sri Hamdan. Bertuah punya
adik ipar!
“Riz cadang nak ajak Balkish keluar lunch. Tapi dia kata banyak kerja nak
disiapkan. Ermmm… boleh tak Riz pinjam P.A Abang Mie ni kejap? Keluar lunch aje,” pinta Harriz pada Fahmie. Wajahnya
sudah mintak simpati abang iparnya.
Berharap sangat agar Fahmie akan memberinya kebenaran untuk membawa Balkish
keluar makan.
Balkish menggigit bibir bawahnya. Geram betul dia
dengan Harriz ini. Berani pula buaya jadian itu meminta kebenaran daripada
Encik Fahmie. Aduh… janganlah Encik Fahmie benarkan. Aku tak nak keluar makan
dengan si buaya ni. Hati Balkish mula
berdebar-debar menanti jawapan daripada bosnya.
Fahmie mengerling jam tangannya. Baru pukul dua
belas lima minit tengah hari. Biasanya waktu rehat bermula pukul satu.
“Bolehlah Abang Mie. Kejap aje okey? Janganlah kemut sangat dekat adik ipar sendiri,” pujuk
Harriz. Bahu abang iparnya itu dipeluk.
Fahmie menggeleng-geleng. Harriz ni selagi tak
diberi apa yang diingininya, selagi itulah dia nak memujuk. Tengok tu, muka dah
mintak simpati separuh nyawa aje Fahmie
tengok.
“Okey. Abang benarkan. Tapi Riz kena hantar Balkish
sebelum pukul dua petang sebab Abang Mie ada kerja nak mintak tolong buat dengan Balkish tu. Boleh?” akhirnya Fahmie
memberi kebenaran.
“Okey, set!
Sebelum pukul dua Riz pasti akan hantar Balkish masuk ofis balik,” Harriz sudah bersuara riang. Bahu abang iparnya
ditepuk perlahan.
“Errr… tapi Encik Fahmie. Saya masih ada kerja nak
buat ni,” Balkish mula bersuara. Terasa musnah hidupnya bila bosnya itu memberi keizinan untuk Harriz
membawanya keluar makan hari ini. Huhuhuuu… ini yang tak seronok bila Encik
Fahmie sudah ikut kehendak adik iparnya ini!
“Takpelah
Balkish. Awak pergi la. Nanti sebelah petang awak sambung balik kerja awak tu.
Lagipun kesian kat adik ipar saya ni.
Dari dulu lagi nak keluar makan dengan awak. Nanti kempunan pula dia tak merasa
keluar makan tengah hari bersama-sama awak,” dengan penuh diplomasi Fahmie
berkata-kata. Betul-betul menunjukkan dia seorang bos yang baik kepada
pekerja-pekerjanya.
‘Habis siapa pulak
yang nak kesiankan aku ni? Aku lagi kesian jika nak dibandingkan dengan buaya
jadian ni. Uwaaa….’
“Baiklah Encik Fahmie,” rendah nada suara Balkish
menjawab. Mana mungkin dia bisa melanggar arahan yang diberikan oleh majikan
yang baik seperti Fahmie. Mahu tak mahu, dia kena jugalah pergi keluar makan
tengah hari dengan Harriz hari ini. Betul-betul hari ini dalam sejarah.
Harriz sudah tersengih panjang mendengar jawapan
Balkish itu. Rasa tak sabar dia hendak keluar berdua dengan Balkish. Hari ini
memang hari bertuah untuknya.
“Come,” ujarnya
kepada Balkish ketika gadis itu masih teragak-agak mahu bergerak.
Balkish mengeluh. Dia akhirnya bangun dari tempat
duduknya setelah mengambil beg dalam kabinet. Ketika dia melalui meja
rakan-rakan sekutunya, kelihatan senyuman lebar pada bibir rakan-rakannya itu.
Kak Norma pula siap beri pesanan khas lagi untuknya. Geram betul!
“Ingat Riz. Abang Mie bagi peluang dekat Riz untuk
mengenali Balkish. Tapi Riz jangan buat yang tak senonoh pulak tau,” pesan
Fahmie kepada adik iparnya dalam nada yang perlahan.
“Don’t worrylah
Abang Mie. Riz tak akan buat yang tak baik dekat Kish. Riz pergi dulu ye. Thanks bro,” bahu Fahmie ditepuk
perlahan.
“Have a nice
day, Encik Harriz. Good luck,” ucap
Kak Norma kepada Harriz ketika lelaki itu melalui mejanya. Lina, Siti dan
Suzila pula sudah mengekek ketawa kesukaan. Over
pula minah-minah ni!
Harriz mengangguk sambil menaikkan ibu jarinya.
Matanya dikenyit nakal ke arah empat wanita manis itu sebelum satu fly kiss diterbangkan buat Kak Norma,
Lina, Siti dan Suzila. Huh… memang dasar buaya jadian betul si Harriz ni. Yang
Kak Norma, Lina, Siti dan Suzila pun dua kali lima jugak. Bukan kain suka lagi diorang ketawa. Langsung tidak
menghiraukan Balkish yang sedang diamuk rasa amarah dalam diam.
Rasa nak cekik aje
leher Harriz ini! Biar sesak nafas. Keluh Balkish dalam hati.
***************************************************************************
BALKISH
rasa kekok diperhatikan sebegitu. Hingga nak suap nasi ke dalam mulut pun dia
jadi ragu-ragu. Mana tidaknya, mata Harriz langsung tak berkalih ke arah lain
daripada memandang wajahnya. Macamlah wajahnya itu sebuah pameran untuk
diperhatikan seasyik itu.
Hisy… ini yang aku lemah ni. Bisik hati kecil
Balkish.
“Errr… Encik Harriz tak nak makan ke? Kenyang ke
asyik dok tengok muka saya ni aje?”
sinis Balkish menyindir. Geram betul dia bila Harriz tak sudah-sudah mahu
merenungnya. Kata nak ajak keluar makan. Ini bukan makan lagi gayanya kalau dah
asyik merenung muka aku aje sejak
dari tadi. Buat aku pun rasa tak larat nak menelan walau sebutir nasi ke dalam
mulut.
Harriz ketawa besar mendengar sindiran itu.
“Sorry.
Asyik sangat tengok muka you sampai I tak lalu nak makan. You cantik sangat
hari ni Balkish. Warna baju kurung merah yang you pakai ni cukup sesuai dengan
kulit you yang putih melepak tu,” akui Harriz.
Balkish menggigit bibirnya lagi. Entah sudah kali ke
berapa dia asyik menggigit bibirnya untuk hari ini sahaja. Rasa boleh luka
bibirnya itu akibat asyik digigit dari tadi. Ini semua Harriz punya pasal.
Dalam hati dia sudah mengajuk percakapan Harriz yang memujinya itu. Dasar
lelaki yang suka membeli jiwa. Memang ringan mulut sangat memuji.
“Kecantikan manusia ni hanya sementara aje, Encik Harriz. Bila-bila masa aje Allah boleh tarik balik kecantikan
yang dia berikan kepada hamba-Nya. Sebab tu kita tak boleh taksub sangat pada
kecantikan semata-mata,” ungkai Balkish. Masih lagi menyindir lelaki di
hadapannya itu.
Harriz ketawa lagi. Balkish ni bukan sahaja cantik,
malah bijak orangnya. Ini yang buat dia semakin sukakan Balkish. Selama ini dia
jumpa ramai wanita cantik. Suka dan kembang hati bila dipuji. Tapi hakikatnya
wanita-wanita itu tak cukup bijak hingga membolehkan dia jatuh cinta. Balkish
wanita bijak yang buat dia semakin ingin memiliki. Bukan sekadar mahu
main-main. Tapi untuk dijadikan teman hidup.
“You bukan saja cantik, tapi you jugak bijak. Itu yang buat I semakin
sukakan you,” puji Harriz lagi.
Balkish menjulingkan mata ke atas. ‘Hisy dia ni!
Asyik nak puji aku aje. Tak sedarkah
yang aku sedang menyindir dia? Eiii… geram betul!’
Tanpa menghiraukan Harriz yang masih memandangnya itu,
Balkish menyuap nasi ke dalam mulut. Lantak kaulah wahai sang buaya jadian.
Tengoklah muka aku ni puas-puas kalau itu boleh buat kau kenyang. Aku dah malas
nak layan. Makan lagi bagus dari asyik melayan kau. Lagipun perut aku dah lapar
tahap gaban ni.
“Harriz?” tiba-tiba ada satu suara menegur.
Pantas Harriz mendongak. Dia kenal benar dengan
suara perempuan yang baru menegurnya itu.
Begitu juga dengan Balkish. Dia pun ikut sama
mendongak ke arah suara wanita yang baru sahaja menegur Harriz. Wanita bertubuh
agak gempal dengan baju blaus hijau lumut itu memandang dia dan Harriz silih
berganti. Tak berkedip mata wanita itu memandang ke arah mereka. Di samping
wanita itu ada dua wanita muda yang bergaya seksi. Masam aje muka kedua wanita muda ini. Dah macam muka orang baru tertelan
mangga muda pula.
“Eh… mama? Buat apa di sini?” tanya Harriz pada
mamanya. Dia bangun dari duduk. Ternyata dia amat terperanjat dengan pertemuan
tidak diduga itu. Tak sangka dia boleh terserempak dengan mamanya itu di Top
Hat Restaurant hari ini. Sudahlah tu, bersama Hanna dan Syarifah Ezora pula.
Hah… ini sudah bagus. Tak payahlah aku nak main
sembunyi-sembunyi lagi.
Air muka Syarifah Ezora nyata berubah bila melihat
Harriz yang duduk semeja bersama-sama seorang gadis bertudung bawal hitam. Rasa
macam hendak menangis pun ada ketika itu. Maklumlah… Harriz itukan lelaki
idaman hatinya. Mana mungkin dia dapat menerima hakikat bahawa Harriz yang
dipujanya itu sedang keluar makan berdua dengan perempuan lain selain dirinya
yang lagi menawan ini. Jika bukan disebabkan dia control ayu depan Harriz dan Puan Sri Hanum, mahu diganyangnya
perempuan bertudung itu. Baru puas rasa hatinya. Siapa suruh suka-suka keluar
dengan pakwe orang.
Warghhh!!! Syarifah Ezora sudah meraung di dalam
hati.
Eheh… perasaan benar si Syarifah Ezora ini. Bila
masa pula Harriz buat pengumuman ambil kau jadi
girlfriend dia? Kau tu aje yang terhegeh-hegeh. Tak malu!
Perasan! Ejek satu suara halus. Menyemarakkan lagi rasa geram Syarifah Ezora
terhadap gadis di hadapan Harriz itu.
“Singgah makan la. Harriz tu buat apa di sini? Takde kerja ke?” sarkastik Puan Sri
Hanum menjawab. Sambil itu dia juga sempat bertanyakan soalan kepada anak
bujangnya itu. Wanita yang duduk di hadapan Harriz dipandang sekilas lalu.
Mungkinkah ini wanita yang dimaksudkan Harriz kepadanya tempoh hari? Otaknya
ligat memikirkan kata-kata Harriz beberapa hari lalu.
“Kan lunch
time. Riz keluar makanlah, ma. Takkan keluar shopping pulak kat Top
Hat Restaurant ni,” laju Harriz menjawab sambil cuba bercanda. Kalau mamanya
singgah ke sini untuk lunch, begitu
juga dengan dirinya.
Harriz sedar jelingan ekor mata mamanya yang
sekejap-kejap melirik ke arah Balkish itu. Tajam sungguh jelingan mama.
Mengalahkan ketajaman sebilah pisau.
“Tadi mama call
nak ajak Harriz keluar makan sama, tak nak pulak.
Kata banyak kerja la. Ni… dapat pulak
Harriz keluar lunch. Takde pulak kerja Harriz yang melambak tu ye,” sindir Puan Sri Hanum dalam nada geram.
Tadi dia ada menelefon anak bujangnya itu. Mengajak
Harriz untuk keluar makan tengah hari bersamanya dengan Hanna dan Syarifah
Ezora. Namun anak bujangnya itu menolak dengan memberi alasan sibuk dengan
urusan kerja. Inikah kerja yang dimaksudkan oleh anaknya itu? Keluar dengan
seorang perempuan? Hurmmm… nampaknya perangai Harriz yang kaki perempuan itu
langsung tak pernah nak berubah.
Balkish yang hanya menjadi pendengar tidak berminat
hendak menyampuk perbualan anak-beranak itu. Dia lebih senang mengambil langkah
berdiam diri. Lagipun dia tak kenal pun siapa mereka ini. Cuma dia dapat
mendengar dengan jelas Harriz memanggil wanita di hadapannya itu dengan
panggilan mama. Dua gadis manis di sebelah mama Harriz itu tidak pula
diketahuinya. Cuma salah seorang daripada wanita muda itu memiliki wajah yang
hampir sama dengan Harriz dan mamanya. Mungkin adik Harriz kut. Entahlah…
Sempat juga Balkish menghadiahkan sebuah senyuman
kepada dua wanita muda itu bila mata mereka saling bertentangan. Tapi
malangnya, senyumannya itu dibalas dengan sebuah jelingan tajam pula.
Membuatkan senyuman Balkish mati dengan tiba-tiba.
‘Eheh… ni nak jeling-jeling aku apekehal? Korek kang bijik
mata tu. Sombong tak bertempat!’ gumam Balkish bila dua wanita seksi itu
menunjukkan wajah sombong macam burung merak yang sedang mengembangkan ekornya
yang cantik itu. Lebih-lebih lagi wanita yang pakai baju warna pink sebelah
mama Harriz itu. Jeling bukan main lagi dia. Macam nak terkeluar aje bijik mata tu!
Puan Sri Hanum berpaling pula ke arah Balkish. Wajah
Balkish dipandang lama. Siapa agaknya perempuan ni? Girlfriend baru Harriz ke? Tapi… sejak bila Harriz suka perempuan
bertudung? Bukan ke selama ni girlfriend
Harriz semua seksi-seksi belaka? Banyak pula soalan yang menerpa minda Puan Sri
Hanum.
Sedar dirinya diperhatikan oleh Puan Sri Hanum,
pantas Balkish mengukir senyuman. Hendak salam, tapi dia tak berani pula. Mahu
salamnya tak disambut oleh Puan Sri itu, tak ke dia malu sendiri. Alaaa… senyum
ajelah. Itu pun dah cukupkan? Balkish berkata kepada diri sendiri.
“Awak ni siapa? Girlfriend
baru Harriz ke?” Puan Sri Hanum bertanya dengan tiba-tiba. Hatinya benar-benar
ingin tahu siapa gerangan wanita itu. Tiada nada mesra pun pada lontaran
vokalnya itu. Mendatar bagaikan orang tak ada perasaan.
Terkejut beruk betina Balkish mendengar pertanyaan
spontan Puan Sri Hanum itu. Namun belum sempat dia menjawab, Harriz terlebih
dahulu menjawab soalan mamanya itu.
“Yup!
Inilah wanita yang Riz bagitahu dekat mama tempoh hari. Dialah teman wanita
Riz. Bakal isteri Riz merangkap bakal menantu mama,” beritahu Harriz dengan tenang.
Langsung tidak menghiraukan perasaan wanita-wanita di sekelilingnya ketika ini.
Bulat mata Balkish mendengar jawapan Harriz yang
bersahaja itu. Mulutnya sedikit ternganga. Mujur tak ada Cik Lat. Jika tidak
tentu dah masuk ke dalam mulut dengan free.
Gila! Ni apa kes pulak
nak mengaku yang aku ni girlfriend
dia depan mama dia pulak? Aku belum
pun iktiraf dia ni sebagai boyfriend.
Dia pula dah pepandai nak naikkan
taraf aku depan mama dia.
Rasa mahu sahaja Balkish berlari keluar masa itu
juga. Namun dia perlu tenangkan hati. Tak eloklah orang ramai yang sedang
menikmati makan tengah hari di sana lihat dia berlari keluar dari Top Hat
Restaurant meninggalkan anak-beranak ini. Ingat ini cerita filem Hindustan ke?
Nak main lari-lari. Lepas tu kena kejar dek sang hero. Huiii… tak nak dia jadi
heroin Hindustan. Ingat dia Madhuri Dixit? Kajol? Aiswarya Rai yang main
lari-lari sebab cinta dihalang keluarga. Eiii… tolong sikit!
Syarifah Ezora sudah menggigit bibir. Matanya
memandang tajam wajah Balkish. Rasa macam nak ditampar sahaja muka wanita itu.
Namun langkahnya yang selangkah itu dihalang oleh Hanna.
“Sabar… inikan tempat awam. Malulah orang tengok,” bisik
Hanna ke telinga Syarifah Ezora yang sudah berapi marah. Hanna tahu, pasti
sahabatnya itu susah hendak menahan rasa sabarnya ketika ini. Ikutkan hati, dia
pun macam itu juga.
“Owhhh… jadi inilah perempuan yang Harriz maksudkan
itu? Perempuan yang Harriz bangga-banggakan sampai sanggup tolak pilihan mama,”
ujar Puan Sri Hanum.
“Ma… please.
Ini tempat awam. Riz tak nak bincang hal tu dekat sini. Kita bincang dekat
rumah, okey?” ujar Harriz bila melihat air muka mamanya yang sudah berubah
kelat. Dia yakin perasaan amarah sedang menguasai mamanya kini. Namun dia tak
mahulah membincangkan hal itu di situ. Depan orang ramai dan Balkish. Biarlah
hal itu diselesaikan di rumah mereka nanti.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Mujurlah Harriz
mengingatkan dia bahawa mereka berada di tempat awam. Kalau tidak, sudah
disumpah serananya wanita bertudung di hadapan anaknya itu kerana berani rapat
dengan anak bujangnya. Sakit benar rasa hatinya.
“Jom kita makan di tempat lain. Mama takde selera nak makan kat sini,” ujar mama kepada Hanna dan
Syarifah Ezora.
Sebelum berlalu, sempat juga tiga wanita itu memberi
jelingan tajam buat Balkish yang masih terpana mendengar kata-kata Harriz
sebentar tadi. Selera makannya mati dengan tiba-tiba.
“Apa Encik Harriz dah buat ni? Kenapa Encik Harriz
cakap saya ni girlfriend Encik Harriz
depan mama Encik Harriz tu?
Hakikatnya kita tak ada apa-apa hubungan pun. Encik Harriz jangan lupa… saya
keluar lunch dengan Encik Harriz ni
pun sebab Encik Fahmie. Jadi tolong jaga sikit perangai Encik Harriz tu. Jangan
nak pandai-pandai kenalkan saya ni sebagai girlfriend
Encik Harriz pulak. Saya tak suka!” tegas
dan keras nada suara Balkish. Matanya mencerlung memandang wajah Harriz yang
nampak serba-salah itu.
“I’m sorry,
Balkish. I tahu I salah sebab cakap macam tu. Tapi percayalah cakap I. I ikhlas
dengan apa yang I cakapkan tadi. I serius nak jadikan you isteri I,” akui
Harriz. Tenang dia mengucapkan ayatnya itu. Dia mahu Balkish tahu dia bukan
main-main. Dia serius dengan kata-katanya.
Bertambah bulat mata Balkish mendengar pengakuan
berani mati lelaki itu.
“I think
you’re crazy, Encik Harriz. Kita
baru keluar sekali. Saya tak suka Encik Harriz merepek yang bukan-bukan,” bentak
Balkish. Saat ini timbul pula rasa menyesal kerana telah bersetuju mengikut
Harriz keluar makan tengah hari. Tak pasal-pasal dia berdepan dengan satu lagi
masalah besar. Sudahlah masalahnya dengan ibu belum selesai. Sekarang ni timbul
satu lagi masalah baru.
“I serius Balkish. I tak main-main. I mahu jadikan
you isteri I yang sah. Sudi tak you jadi suri dalam hidup I, Balkish?”
Balkish terkedu. Lamaran jenis apa ni? Berkawan
tidak, bercinta tidak… tiba-tiba sahaja lelaki itu melamarnya. Gila! Memang
kerja gila.
“Stop it,
Encik Harriz! Jangan cakap yang bukan-bukan lagi, boleh tak? Saya keluar dengan
Encik Harriz bukan nak dengar benda merepek macam ni. Sudahlah! Hantar saya
balik ofis. Saya tak ada selera nak
makan,” panas hati Balkish. Selera makan mati sebaik sahaja Harriz membuat
pengakuan bodoh di hadapan mamanya itu sebentar tadi. Malah lamaran mengejut
lelaki itu juga membuatkan dia jadi semakin kenyang.
“But… I’m
serious.”
“Kalau Encik Harriz tak nak hantar saya, takpe. Saya boleh balik sendiri naik
teksi,” ugut Balkish. Wajahnya sudah masam mencuka. Hatinya benar-benar
mendidih dengan tindakan Harriz.
Sebelum ini, biarpun dia tak sukakan Harriz, tapi
dia tak pernah tarik muka masam sebegini. Bercakap kasar pun tak pernah. Dia
masih punya rasa hormat terhadap lelaki bernama Harriz Tan Sri Hamdan itu.
Harriz mengeluh. Terasa berat hatinya mahu
menghantar gadis itu semula ke ofis.
Namun demi mahu hati gadis itu sejuk, dia terpaksa juga mengalah.
“Okey. I hantar you balik ofis.” ujarnya mengalah.
No comments:
Post a Comment