Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 11



Kau membuat ku berantakan
Kau membuat ku tak karuan
Kau membuat ku tak berdaya
Kau menolakku acuhkan diriku

Bagaimana caranya untuk
Meruntuhkan kerasnya hatimu
Ku sadari ku tak sempurna
Ku tak seperti yang kau inginkan

Kau hancurkan aku dengan sikapmu
Tak sadarkah kau telah menyakitiku
Lelah hati ini meyakinkanmu
Cinta ini membunuhku
…………………………………
D’Masiv – Cinta Ini Membunuhku

“KISH… pergilah jumpa Harriz tu. Kesian tau dia tunggu kau sejak dari tadi kat luar tu. Janganlah kejam sangat buat macam ni,” pujuk Ella lagi. Masuk kali ini sudah tiga kali dia dan Aleya memujuk Balkish supaya keluar berjumpa dengan Harriz. Namun sahabatnya itu buat tak layan sahaja. Malah buat-buat sibuk pula membaca novel yang baru dibelinya itu.
Aleya yang duduk di sebelah kanan birai katil hanya mengangguk-angguk seperti burung belatuk. Biasanya kalau Harriz datang tak pernah pula Balkish sekeras ini. Tak suka macam mana pun, Balkish pasti akan jumpa Harriz dengan perasaan yang sebal. Tapi malam ini lain pula jadinya. Balkish langsung tak berganjak dari katilnya ini. Macam kena gam aje punggung dia tu.
Balkish berdecit. Novel Acik Lana bertajuk ‘Maaf Jika Aku Tak Sempurna’ diletak atas riba. Baru dua lembaran kertas yang dibacanya, dua minah kerek itu sudah datang menganggu ketenteraman awamnya. Mencerlung matanya memandang wajah Aleya dan Ella yang begitu setia duduk di birai katilnya itu dengan bibir yang tersengih-sengih. Memujuk supaya dia jumpa dengan Mr. Alligator itu di luar. Geram betul dia bila Ella kata dia kejam. Tapi Ella dengan Aleya tak tahu pula yang si buaya jadian itu berganda-ganda lagi kejam dari aku! Sanggup buat cerita pasal aku! Ketuk kepala tu kang!
“Yang korang berdua ni sejak bila jadi orang suruhan Mr. Alligator tu nak pujuk-pujuk aku, hah? Dah aku kata tak nak jumpa tu… tak naklah! Janganlah nak paksa-paksa aku pulak. Korang suruh aje dia tu balik. Aku tak nak jumpa dia lagi,” getus Balkish yang masih geram dengan Harriz disebabkan perkara siang tadi. Suka-suka hati lelaki itu aje memperkenalkan dia ni sebagai teman wanita depan ahli mama lelaki itu. Ingat dia kembang hidungkah diperkenalkan sebagai ‘gilafriend’ ‘Harriz King Alligator’ itu? Huh… menyakitkan hati ada la!
Sudahlah macam tu, Balkish paling tak suka tengok cara mama Harriz pandang dia. Macam dia ni kemaruk sangat dekat anak Puan Sri yang Balkish tak tahu namanya itu. Menjeling maut Puan Sri tu pandang Balkish.
‘Huh… tolong sikit ye Puan Sri! Tak hingin aku pada Harriz tu!!! Aku tak kemaruk pun pada dia. Bukan aku yang terhegeh-hegehkan Harriz tu, tapi Harriz yang terkejar-kejarkan aku.’
Kitaorang ni bukannya apa. Kesian tengok Harriz tu hah. Dari tadi dok tunggu kau kat kat luar tu. Dahlah sejuk kat luar tu malam ni. Kesian kitaorang tengok dia, Kish. Nanti terkena selsema pulak dia,” ujar Ella dalam nada suara yang dilirihkan menarik simpati Balkish. Aleya pula masih lagi terangguk-angguk.
“Ada aku kisah? Lantak dialah nak kesejukan kat luar tu. Dia yang nak, kan? Aku dah kata suruh dia balik. Tapi dia yang degil. Hah… suruhlah dia tunggu kat luar tu sampai berkulat,” balas Balkish masih lagi dalam nada marah-marah. Tahap sabarnya sudah roboh akibat perangai Harriz yang suka-suka hati sahaja bagitau dia ni bakal isterinya. Kalau betul takpe jugak. Ini tak betul sama sekali!
“Hisy… tak baik tau Kish kau buat dia macam tu. Sejak bila kau tergolong dalam golongan orang-orang yang kejam ni?” sekali lagi Ella menyebut perkataan kejam.
“Kau… sekali lagi cakap aku kejam, aku cili-cilikan mulut kau tu. Biar aku jadi kejam betul-betul. Nak?” ugut Balkish pada Ella. Renungannya tajam menikam wajah Ella yang sudah pucat tak berdarah. Hah… tau takut!
Laju Ella menggelengkan kepala. Mulutnya ditutup dengan kedua-dua belah tangan. Aleya juga buat aksi yang sama bila jelingan mata Balkish beralih pula kepadanya. Garang betul Balkish malam ini. Macam Mak Lampir versi perempuan muda pula. Kecut perut Aleya dan Ella dibuatnya.
“Dah… dah… pergi bagitahu pada Mr. Alligator pujaan hati korang tu yang aku dah tidur. Aku malas nak layan dia punya merapu. Menyakitkan hati tau tak?!” ujar Balkish sambil tangan diawang-awangkan menghalau dua sahabatnya itu. Dia tak ada mood malam ini. Semuanya pasal Harriz. Buat dia bad mood aje.
Aleya dan Ella saling berpandangan. Nampaknya Balkish memang tak nak jumpa Harriz malam ni.
“Yang korang masih terpandang-pandang, terjeling-jeling ni kenapa? Dah… pergilah bagitahu dia. Suruh dia balik. Kata aje aku dah tidur tak sedar diri. Nanti tak pasal-pasal mati kesejukan pulak lelaki idaman hati korang tu kena embun malam dekat luar tu lama-lama,” sambung Balkish bila Aleya dan Ella masih belum berganjak juga dari katilnya.
Aleya dan Ella berpandangkan sesama sendiri lagi. Kemudian mereka berdua bangun dari birai katil Balkish dan mula bergerak untuk melangkah.
Apesal dengan Kish tu? Kejam semacam,” bisik Ella ke telinga Aleya sebelum mereka beredar dari bilik Balkish.
Aleya hanya menjungkit bahu. Dia pun tak tahu macam mana Balkish boleh jadi sekejam itu malam ini.
“Ehem… jangan ingat aku tak dengar korang mengumpat aku dengan cakap aku ni kejam. Nanti aku rejam korang berdua pulak. Baru korang tau kejam ke tak kejamnya aku ni,” perli Balkish. Matanya terpaku tepat kepada coretan novel yang baru dibelinya dua hari lepas. Balkish ni boleh juga dikategorikan sebagai ‘kaki novel’.
Aleya dan Ella berpandangan lagi. Hisy… pekak badak benarlah Kish ni. Punyalah halus Ella berbisik ke telinga Aleya pun dia boleh dengar. Pantas dua minah kerek itu beredar sebelum Balkish naik hangin sekali lagi. Mencicit mereka meninggalkan Balkish seorang diri di situ.
Setelah pintu bilik tertutup rapat, Balkish mengulum senyuman dibibir. Susah dia hendak menahan tawa ketika melihat air muka Aleya dengan Ella yang berubah pucat bila dia buat-buat marah tadi. Kalau dia toreh dengan pisau mudah dua minah itu, pasti yang keluar adalah darah warna putih. Khakhakha… Balkish ketawa dalam nada yang ditahan-tahan.
Padan muka! Tulah… suka sangat paksa aku jumpa Mr. Alligator itu. Kan sudah kena fire.
Di luar rumah sewa tiga dara pinggitan, kelihatan kelibat Harriz yang masih lagi setia menanti kehadiran Balkish. Lelaki itu nampaknya sudah tidak sabar-sabar lagi hendak bertemu dengan Balkish. Sejak siang tadi dia cuba mendapatkan Balkish, namun tak berjaya. Nampaknya gadis itu begitu marah padanya setelah dia dengan suka hati memperkenalkan Balkish sebagai teman wanitanya pada mama.
Dia bukannya sengaja nak sakitkan hati Balkish dengan berkata begitu depan mama. Spontan sahaja dia berkata sebegitu. Lagipun, dia memang serius pun hendak menjadikan Balkish isterinya. Tak main-main punya. Kalau Balkish mahu dia bersumpah dan junjung Al-Quran pun, dia sanggup. Dia benar-benar serius mahu memperisterikan Balkish. Cuma… dia tahu tindakannya siang tadi tak kena pada tempat dan masa yang sesuai. Sepatutnya dia kenalah pikat hati Balkish dulu sebelum melamar gadis itu. Ini tidak, main terjah macam itu aje. Tak hairanlah kalau Balkish naik angin satu badan. Itu pun mujur Balkish tak hempuk dia dengan objek-objek keras.
Kelibat Aleya dan Ella kelihatan datang menghampiri.
“Mana Balkish?” soal Harriz sambil menjengukkan kepalanya ke dalam. Mencari-cari batang hidung mancung Balkish yang comel itu. Biasanya kalau Aleya dengan Ella keluar dulu, Balkish pasti yang terakhir.
Aleya dan Ella saling berpandangan sekali lagi. Malam ni aje sudah banyak kali dua minah kerek ni saling berpandangan. Kalau berlainan jantina, sah diorang dah terjatuh chenta. Mana taknya, mata bertentang mata tu.
Sorry, you. Kish dah tidurlah. Kita orang gerak banyak kali pun dia tak bangun-bangun jugak. Kan Leya kan?” ujar Ella seraya mintak persetujuan Aleya yang begitu setia berada disebelahnya.
“Ha’ah. Kish tu kalau tidur memang tak sedar diri. Sampaikan bom meletup pun dia boleh tak bangun,” balas Aleya pula. Menyokong pembohongan yang baru Ella mulakan.
Amboi… bersubahat betul dua sekawan ini. Sehati sejiwa mereka bohong Harriz.
Harriz melepaskan nafas lemah. Kecewa dia bila tidak berjaya bertemu dengan Balkish malam ini untuk menerangkan kedudukan yang sebenar. Dia tak mahulah Balkish salah faham akan dirinya.
Aleya dan Ella berpandangan lagi. Simpati pula tengok muka Harriz ketika ini. Dalam bersedih Harriz tetap menawan.
“You baliklah dulu. Dah malam ni. Esok you jumpalah Kish balik. Kish bukan tak nak jumpa you. Tapi dia dah tidur. Letih sangat agaknya.”
Harriz sekadar mengangguk lemah mendengar kata-kata Ella itu. Dia yakin Balkish belum tidur. Gadis itu pasti tidak mahu berjumpa dengannya.
“Okeylah. I balik dulu. Thanks Ella, Aleya. Gudnite.”
Harriz melangkah menuju ke BMW yang diparkir di luar pagar. Lemah sahaja langkahnya. Dia masih lagi berharap agar Balkish sudi menemuinya. Namun harapannya hanya tinggal harapan kosong. Balkish langsung tak keluar. Yang masih setia berdiri di luar itu adalah Aleya dengan Ella. Harriz mengeluh.
Samsung Galaxy Notenya dikeluarkan dari poket seluar slack yang dipakai. Kemudian dia mula menaip.

I’m sori… please 4give me. Gudnite Sweet Princess’

Kemudian butang send ditekan ke nombor telefon telefon Balkish yang diminta daripada Kak Norma beberapa bulan lalu. Biarpun dia tahu Balkish tak akan membalas masejnya itu, namun sekurang-kurangnya dia tahu mesejnya telah sampai kepada Balkish.
Enjin kereta dihidupkan. Selepas beberapa saat, Harriz pun menghilang meninggalkan perkarangan rumah sewa milik Balkish bersama teman-temannya. Sebelum itu sempat juga dia melambai tangan kepada Aleya dan Ella yang begitu setia di halaman rumah.
“Kesian Harriz tu, kan?” kata Ella. Pertanyaan itu seolah-olah ditujukan kepada Aleya yang masih berdiri di sebelahnya.
“Hurmmm… tak patut Kish buat hati lelaki hensem macam tu terluka,” balas Aleya pula.
Simpati sungguh mereka melihat Harriz pergi dengan hati yang kecewa.

***************************************************************************

SEJAK dari tadi Puan Sri Hanum tak senang duduk. Sekejap-kejap dia menjenguk ke luar jendela. Menunggu kepulangan anak bujang yang telah membuatkan dia naik angin satu badan hari ini. Kejadian siang tadi masih lagi membuatkan hatinya panas membara sehingga ke malam ini. Sampaikan satu rumah ni kena sisa-sisa angin puting beliungnya itu.
Puan Sri Hanum menghenyak punggungnya yang berisi itu di atas sofa dengan wajah yang masam mencuka. Tangannya disilangkan ke dada. Dia mengerling jam yang berukir cantik di tepi dinding. Sudah pukul 11.45 malam. Namun batang hidung Harriz tetap jugak belum kelihatan. Jangankan batang hidung, bayang-bayang anak itu pun tidak kelihatan lagi.
Satu dengusan kasar meniti keluar dari bibir Puan Sri Hanum.
“Kenapa dengan awak ni Hanum oi? Sejak dari tadi saya tengok awak nampak gelisah aje. Asyik terjenguk-jenguk. Siapa yang awak tunggu malam-malam begini?” tanya Tan Sri Hamdan.
Sejak dia pulang kerja petang tadi, dia dapat melihat sikap isterinya yang tak keruan itu. Sudahlah tu… habis satu rumah ini kena dengan semburan api kemarahannya itu. Sampaikan si Mahat pemandu keretanya itu juga kena marah tak pasal-pasal. Kesian Mahat… terkebil-kebil matanya kena sembur dengan Puan Sri Hanum yang hangin satu badan petang tadi.
“Saya tengah tunggu anak bujang kesayangan abang ni. Dah pukul sebelas lebih masih jugak tak balik-balik. Ini mesti keluar dengan perempuan tu!”
Berkerut dahi Tan Sri Hamdan mendengar bebelan isterinya itu. Perempuan mana pulak maksud isterinya ini? Setahu dia, anaknya itu sudah agak lama juga tidak keluar berfoya-foya. Kerja di pejabat pun tidak lagi terbengkalai seperti dulu. Malah dia juga ada bertanya kepada Zatul mengenai perangai anaknya sekarang. Alhamdulillah… Zatul kata bos kecilnya itu sekarang sudah tidak seperti dulu lagi. Kerja pun okey aje. Takde lagi masa mengular macam dulu-dulu. Kalau pun Harriz keluar, cuma pergi ke F&F Holdings untuk membincangkan urusan perniagaan dengan Fahmie. Tak ada lagi komen negatif tentang anak bujangnya itu.
“Perangai Harriz ni langsung tak pernah berubah! Saya dah bagi warning pada dia, tapi dia masih lagi dengan perangai kaki perempuan tu. Saya geram betul dengan Harriz ni, bang. Entah perangai siapalah yang dia duplicate?” luah Puan Sri Hanum.
“Kenapa? Apa lagi yang anak kita tu buat kali ni?” soal Tan Sri Hamdan ingin tahu.
“Abang nak tau… siang tadi saya terserempak dengan Harriz bersama-sama seorang perempuan kat Top Hat Restaurant,” beritahu Puan Sri Hanum.
Client kut,” sampuk Tan Sri Hamdan memotong percakapan isterinya.
Client apa? Abang nak tau apa yang anak bertuah abang tu bagitau saya? Perempuan tu teman wanita dia dan bakal menjadi isteri dia. Geram betul saya! Boleh pulak dia kata macam tu pada saya,” termuncung-muncung bibir Puan Sri Hanum meluahkan isi hatinya. Geram benar dia nampaknya sampaikan jemarinya yang runcing itu mencubit-cubit kusyen kecil yang berada atas riba. Mungkin dia beranggapan itu adalah peha Harriz yang dicubit-cubitnya.
“Hah… baguslah kalau Harriz cakap macam tu. Sekurangnya dia dah bersedia nak berumah tangga dan serius dengan seorang wanita. Bukankah itu yang awak harapkan selama ini? Supaya Harriz boleh setia pada seorang wanita dan mendirikan rumah tangga?”
Puan Sri Hanum mengetap bibir.
“Memanglah saya mahu Harriz tu berkahwin. Ada rumah tangga. Ada isteri dan anak-anak. Tapi bukan dengan perempuan yang saya tak kenal asal usulnya. Saya tahu sangat jenis perempuan macam tu, bang. Mereka tu bukannya serius pun dekat Harriz tu. Tapi lebih sukakan harta anak kita. Abang ingat saya tak tahukah taktik perempuan-perempuan muda zaman sekarang ni. Saya ni bang… dah masak sangat dengan perangai teman-teman wanita anak kita tu,” tungkas Puan Sri Hanum.
“Lagipun saya dah bercadang nak jodohkan Harriz dengan si Ezora tu. Abang tau tak?” sambungnya lagi. Suaminya dijeling penuh rasa geram.
Tan Sri Hamdan menggeleng-geleng. Susah betul isterinya itu. Syarifah Ezora juga yang menjadi pilihan hatinya. Entah apalah yang dilihat oleh isterinya itu pada Syarifah Ezora sampai begitu sekali keinginan isterinya mahu bermenantukan anak gadis Datuk Syed Rahman itu.
Bunyi enjin kereta membuatkan kepala Puan Sri Hanum segera berpaling ke luar jendela. Langsir warna biru laut itu diselak. Di luar sana kelihatan kereta BMW milik Harriz sedang terparkir dalam garaj. Segera dia bangun dari duduknya dan bergerak ke muka pintu.
“Harriz dari mana ni? Dah lewat malam macam ni baru nak ingat balik rumah?” mukadimah daripada Puan Sri Hanum kedengaran keras. Wajahnya juga masam mencuka menyambut kepulangan anaknya itu.
“Riz dari rumah Kak Nis la, ma,” ujar Harriz lemah. Balik dari rumah Balkish, dia terus singgah ke rumah Hanis. Meluahkan perasaannya pada kakaknya itu. Cuma Hanis yang mengerti isi hatinya selain Hanni.
Iye la tu. Entah-entah Harriz baru balik dari rumah perempuan tu. Perempuan zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat. Nampak aje bertudung, berbaju kurung, tapi perangai lagi teruk dari yang tak pakai tudung,” sindir mama pedas.
“Ma… please. Balkish bukan seperti perempuan yang mama fikirkan. Balkish perempuan baik-baik, ma,” tungkas Harriz akan tuduhan mamanya itu. Dia tak nak mama beranggapan buruk terhadap Balkish.
Why? Salahkah apa yang mama cakap pasal perempuan yang Harriz bangga-banggakan itu? Tak semestinya dia bertudung, dia tu baik,” gumam Puan Sri Hanum.
Harriz merengus. Malas nak melayan amarah mama. Diam lebih baik daripada dia bersuara dan menjawab. Nanti dikata anak derhaka pula. Pantas dia ingin membuka langkahnya kembali. Naik ke atas dan asuk ke dalam bilik beradu untuk menenangkan diri. Lagipun dia kena fikirkan strategi yang baik untuk memujuk Balkish supaya tak marahkan dia lagi. Tak seronoklah bila Balkish tak sudi nak jumpa dia. Rasa macam tak meriah hidupnya ini.
“Tunggu dulu, Harriz! Mama belum habis lagi dengan Harriz,” halang Puan Sri Hanum.
“Apa lagi ni, ma? Riz letihlah. Riz nak masuk dalam dan tidur,” keluh Harriz bila mama tidak mengizinkan dia untuk pergi.
“Harriz kan dah tahu yang mama nak satukan Harriz dengan Ezora. Tapi Harriz masih keluar dengan perempuan yang kita tak tahu latar belakang keturunannya. Harriz langsung tak dengar cakap mama. Suka lawan cakap mama. Harriz nak jadi apa ni, hah?” bentak Puan Sri Hanum kasar.
“Harriz bukan nak melawan cakap mama. Tapi Riz mahu mama faham… Riz tak sukakan Syarifah Ezora. Riz cintakan Balkish dan cuma mahu berkahwin dengan Balkish seorang. Cubalah mama faham sikit perasaan Riz ni. Riz tak boleh kahwin dengan perempuan yang tak Riz cinta, ma. Riz dah besar. Riz dah ada pilihan sendiri.”
Bulat mata Puan Sri Hanum mendengar kata-kata anaknya itu. Ikut rasa hati mahu ditamparnya mulut Harriz yang cukup lancang menyuarakan keinginannya. Pandai betul melawan. Ini pasal perempuan yang bernama Balkish itulah, bisik hati kecil Puan Sri Hanum.
“Owh… jadi kalau Harriz dah besar, Harriz bolehlah lawan cakap mama, ye? Tell me, Harriz. Apa istimewanya perempuan tu berbanding dengan pilihan mama sampai Harriz sanggup tolak Ezora?”
Suara Puan Sri Hanum yang sudah melengking tinggi itu membuatkan Tan Sri Hamdan yang duduk membaca majalah berkaitan dengan dunia perniagaan di ruang tamu kedua bangun dari duduknya. Laju Tan Sri Hamdan melangkah mendapatkan dua beranak yang sedang bertegang urat itu. Mulanya dia malas hendak masuk campur. Namun lontaran vokal si isteri yang sudah menggunakan key paling tinggi itu memaksanya untuk meninggalkan bacaan berkaitan dengan dunia perniagaan yang paling digemarinya.
Harriz menarik senyuman segaris. Membuatkan hati Puan Sri Hanum mendidih melihat senyuman yang dirasakan menyindirnya itu.
“Balkish dengan Ezora bagai langit dengan bumi. Ezora tak dapat menandingi Balkish, ma. Balkish ada keistimewaannya yang bisa menarik hati Riz untuk jatuh cinta kepadanya,” yakin Harriz menuturkannya.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Geramnya kini berlipat kali ganda setelah mendengar kata-kata Harriz yang penuh keyakinan itu.
“Okey! We well see, Harriz Tan Sri Hamdan. Benar atau pun tidak Ezora tak dapat menandingi perempuan yang Harriz bangga-banggakan tu. Mama yakin sangat perempuan macam tu bukannya serius sukakan Harriz tapi sekadar sukakan harta Harriz aje. Harriz akan menyesal sebab tak ikut cakap mama,” yakin sekali Puan Sri Hanum berkata.
Dengan dengusan kasar, Puan Sri Hanum melangkah naik ke tingkat atas. Menuju ke bilik beradunya yang terletak di tingkat tiga. Hatinya benar-benar panas dengan sikap degil anak bujangnya itu. Semakin dewasa semakin tak dengar cakap!
Harriz mengeluh. Susah benar bila mama tak nak bertolak ansur lagi dengannya. Nak ikut kehendak mama sahaja. Sikit-sikit Syarifah Ezora. Fed-up betul!
“Dahlah tu. Tak baik Riz lawan cakap mama. Mama Riz tu bukannya apa, dia tak nak Riz terperangkap dengan perempuan-perempuan yang hanya nak ambil kesempatan terhadap Riz. Itu aje,” Tan Sri Hamdan menghampiri anak bujangnya yang kelihatan tak berpuas hati dengan tindakan isterinya itu.
“Tapi Balkish bukan macam yang mama tuduh, pa. Balkish tak sama dengan perempuan-perempuan lain yang hanya mahukan harta Riz semata-mata. Balkish ni lain. Kalau papa jumpa Balkish, baru papa tahu siapa Balkish yang sebenar. Dia baik sangat pa. Terlalu baik,” Harriz masih mahu menangkan Balkish. Tak adil rasanya jika mama dan papanya menyamakan Balkish dengan bekas teman-teman wanitanya yang bermata duitan selama ini.
“Papa harap apa yang Riz katakan pasal teman wanita Riz ni betul. Papa bukannya nak halang hubungan Riz dengan sesiapa. Cuma papa tak suka Riz terjebak dengan perempuan yang tak elok. Selama ni papa tak larang pun Riz nak kawan dengan sesiapa pun. Tapi carilah yang elok untuk dijadikan teman hidup. Perkahwinan ni bukan untuk sehari dua atau untuk berseronok semata-mata. Perkahwinan membawa makna yang terlalu besar dalam kehidupan. Terutama lelaki macam kita. Nak kahwin, kita kena bersiap dari segala segi,” panjang berjela Tan Sri Hamdan memberi nasihat.
“Kalau Riz rasa perempuan tu yang terbaik buat Riz, ajak dia kahwin. Kan bagus macam tu. Menghalalkan sesuatu hubungan Tak akan ada sesiapa lagi nak cakap yang bukan-bukan pasal Riz. Pasal mama, Riz tak perlu risau. Papa yakin mama pasti dapat merestui hubungan Riz tu kalau benar wanita yang Riz katakan itu benar-benar lebih baik dari Syarifah Ezora. Buktikan pada mama Riz buat pilihan yang tepat,” nasihat Tan Sri Hamdan lagi.
Sebelum dia berlalu naik untuk melihat keadaan isterinya yang sedang marah itu, bahu anak bujangnya itu ditepuk perlahan. Memberi saluran semangat seorang lelaki kepada sang anak.
Thanks, pa,” ucap Harriz lemah.
Antara papa dengan mama, papa lebih bersikap terbuka dan mudah bertolak ansur. Bukan seperti mama yang hanya mahu orang mengikut kehendaknya sahaja. Pasal itulah di rumah ini mama digelar sebagai Mem besar sebab mama ibarat ketua keluarga.
Harriz melangkah malas menuju ke arah sofa. Tubuhnya dihempas perlahan. Wajahnya diraup. Dia benci bila keadaan jadi seperti ini. Lagi menyerabutkan fikirannya bila Balkish tak mahu melayan dia lagi. Nampaknya Balkish benar-benar marah kali ini. Dia kena bertindak dengan cepat. Tak boleh nak biarkan Balkish terus marah dengan tindakannya tadi. Tapi apa yang dia katakan tadi sesuatu yang benar. Dia ikhlas mahu memperisterikan Balkish binti Borhan.

No comments:

Post a Comment