Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 12



MASUK hari ini sahaja sudah dua hari suku Balkish menarik muka masam mencuka. Sampaikan Kak Norma, Lina, Siti dan Suzila tak berani nak tegur. Takut kalau tersalah tegur, buruk pula padahnya. Jadi jalan terbaik adalah dengan berdiam diri. Biarkan sahaja emosi Balkish stabil dahulu. Baru mereka memberanikan untuk bertanya. Lagipun jarang benar mereka lihat Balkish masam sebegini. Kalau takat masam-masam manja tu memang selalulah nampak. Entah-entah datang bulan, kut. Pasal itu monyok aje wajahnya memanjang.
Di rumah sewa pun keadaan Balkish tetap sama. Tiada senyuman menghiasi bibirnya yang mungil itu. Asyik tarik muncung seperti Daisy Duck sahaja. Aleya dan Ella pun tak berani nak tegur. Takut kena fire lagi dengan api kemarahan Balkish yang tak surut-surut itu. Alamatnya, dua minah tingtong itu juga mendiamkan diri sama seperti gangs Balkish dekat F&F Holdings.
“Kish, turun bawah jap. Ada orang nak jumpa kau ni,” tiba-tiba suara Kak Nora si Pegawai Khidmat Pelanggan di lobi F&F Holding kedengaran melalui interkom.
Balkish yang sibuk menaip mengerut kening. Siapa pula yang hendak berjumpa dengannya? Harriz? Tiba-tiba nama buaya jadian yang buat dia bermasam muka selama tiga hari ini terlintas dalam fikiran.
‘Tak mungkinlah! Mustahil Mr. Alligator itu yang datang. Biasanya kalau buaya jadian itu datang mana reti nak suruh Kak Nora interkom tolong panggilkan aku untuk turun ke bawah. Dia tu biasanya main rempuh aje masuk ke ofis ni. Maklumlah… mentang-mentang dia tu adik ipar kesayangan bos, ikut suka hati dia aje keluar masuk ofis ni macam ofis sendiri. Ni dah dua hari dia tak datang menganggu hidup aku lagi sejak peristiwa lunch tempoh hari. Call atau sms pun tidak. Aman dunia aku. Mintak-mintaklah dia tak ganggu hidup aku lagi buat selamanya. Ada juga kebaikan aku marah dia tempoh hari. Terus senyap tak berani nak ganggu aku lagi. Kalau aku tau macam tu… dah lama aku sembur si Mr. Alligator tu. Siapa suruh gatal-gatal bagitahu mama dia yang aku ni girlfriend dia? Huh… tak hingin aku nak jadi ‘gilafriend’ dia tu.’ Hatinya berkata sendiri.
“Kish, dengar tak akak cakap ni?” Suara Kak Nora kedengaran lagi. Lantang betul suara kakak yang seorang itu. Macam marah aje sebab Balkish tak memberikan kata putus sama ada mahu turun atau pun tidak. Diam membisu macam orang dah tak tahu nak bercakap.
Balkish tersentak dari lamunan sesaatnya itu. Saat macam ni sempat juga dia layan lamunan terhenti. Tintong jugak Balkish ni. Pantas bibirnya menarik sengih.
“Hah… ya… ya… Kish dengarlah Kak Nora. Siapa?” tanya Balkish. Dia pasti orang yang dimaksudkan oleh Kak Nora itu pasti bukan Harriz.
“Entahlah… akak pun tak kenal. Tapi orang dia hensem juga ni. Heheheee…” di hujung katanya Kak Nora ketawa suka. Nadanya juga diperlahankan seolah berbisik. Tak mahu lelaki yang berdiri tidak jauh dari kaunternya itu mendengar.
Amboi Kak Nora ni. Pantang jumpa lelaki kacak sikit mesti dia suka. Kak Nora ni memang satu spesis dengan Aleya dan Ella. Boleh jadi geng!
Dahi Balkish berkerut-kerut. Nampaknya orang yang dimaksudkan seorang lelaki. Siapa agaknya, ya?
“Cepatlah turun bawah, Kish. Kesian kawan Kish ni tunggu lama-lama,” ujar Kak Nora lagi.
“Okey, jap. Kish turun.”
Balkish segera menyarung high heels yang terletak bawah meja. Kalau di ofis biasanya Balkish lebih selesa hanya dengan berselipar Jepun. Lenguh kaki nak pakai tinggi-tinggi. Cuma bila hendak berjumpa dengan bos atau keluar daripada Accounts Department sahaja baru dia mengenakan high heelsnya.
Sampai di bawah, Balkish mempercepatkan langkahnya mendapatkan Kak Nora yang sentiasa berada di tempatnya. Ruangan sederhana besar yang menempatkan meja khas untuk Pegawai Khidmat Pelanggan itu kelihatan begitu indah sekali susun aturnya. Hari ini nampaknya Kak Nora bekerja seorang diri sahaja memandangkan rakan setugasnya Nurzatul bercuti sakit.
Belum sempat Balkish menuju ke arahnya, Kak Nora terlebih dahulu menunding jari ke arah seorang lelaki yang duduk membelakang di ruangan menunggu. Balkish pula melencongkan arahnya ke arah tetamunya yang sedang menunggu.
‘Siapa pula ni?’ hati kecilnya tertanya-tanya akan gerangan lelaki berkemeja putih yang sedang menantinya itu. Cuba diamati susuk tubuh itu dari belakang namun dia tetap tidak dapat mengecam.
“Errr… maafkan saya. Encik nak jumpa saya ke?” ujar Balkish. Hendak bagi salam, takut pula kalau-kalau orang tersebut bukan muslim. Jadi itulah ayat mukadimah yang dia mampu berikan.
Pantas lelaki yang sedang duduk membelakang itu bangun dan memusingkan tubuhnya.
“Assalammualaikum Kish,” ucap lelaki itu.
Butang mata Balkish kala dia terpandangkan wajah lelaki yang menunggunya itu. Macam tak percaya lelaki itu berdiri di depannya. Apa dia buat dekat sini?
“Abang Eid?” nama itu bergema keluar.
Eidham tersenyum nipis. Dia tahu Balkish pasti terkejut dengan kedatangannya itu.
“Berdosa tau kalau tak sambut salam,” ujar Eidham yang masih lagi tersenyum mesra.
“Walaikumusalam,” jawab Balkish. Dia bukannya sengaja tak nak menjawab salam yang Eidham berikan. Tapi dia terkejut sampai tak mampu nak berkata-kata.
“Abang Eid buat apa di sini? Kak Risya mana?” soal Balkish bertalu. Matanya melingas mencari-cari kelibat Batrisya. Namun tiada.
“Kak Risya kat kampung. Abang datang sorang aje. Kebetulan selama dua hari abang ada kerja di KL, jadi abang ambil peluang ni untuk berjumpa dengan Kish,” beritahu Eidham.
Balkish mengetap bibir.
“Jom teman abang lunch. Kan dah masuk waktu rehat,” sambung Eidham.
“Errr… tapi…”
“Jomlah. Takkan Kish dah tak sudi nak keluar dengan abang lagi,” Eidham meneruskan ayatnya. Berharap sangat agar Balkish sudi keluar dengannya hari ini sebelum dia berangkat pulang ke JB awal pagi esok.
Balkish masih berkira-kira. Antara mahu dengan tidak. Mahu bukan kerana dia masih mengharapkan kasih lelaki itu. Tetapi mahu kerana dia perlu menjelaskan perasaannya yang sebenar kepada Eidham. Supaya Eidham sudah tidak berharap padanya lagi. Biarlah Eidham terus menyemai kasih bersama Batrisya. Itu yang terbaik. Tidak kerana dia takut ada fitnah yang akan melanda. Keluar dengan suami orang, tentu ada banyak preskriptif negatif yang diberikan oleh masyarakat biarpun kita tak bersalah. Walaupun suami orang yang dimaksudkan itu adalah abang iparnya sendiri, dia tidak mahu jadi bahan cerita orang.
Balkish menghela nafas perlahan. Rasanya dia perlu keluar dengan Eidham. Ya! Dia perlu memberitahu Eidham akan perasaannya kini. Dia berharap sangat agar lelaki itu tidak lagi terus-menerus menganggunya dan seterusnya membuatkan ibu percaya kepadanya yang dia tidak akan merampas kebahagian rumah tangga Batrisya.
“Okey. Abang Eid tunggu kejap. Kish nak naik ambil beg,” putus Balkish. Dia berlalu semula untuk naik ke tingkat lima mengambil beg tangannya.
Eidham pula dengan penuh kesabaran menanti ketibaan Balkish. Berbunga-bunga hatinya bila Balkish memberi persetujuan untuk keluar makan tengahari bersama. Sudah lama dia mengimpikan saat berdua-duaan dengan Balkish.

***************************************************************************

EIDHAM memandang wajah Balkish. Suasana makan tengahari mereka kelihatan begitu dingin sekali. Balkish tak banyak cakap. Apa yang ditanya oleh Eidham, itulah yang dijawabnya. Langsung tak mesra macam dulu-dulu ketika mereka keluar makan berdua.
Orange juice dicapai lalu disedut perlahan. Dia sedar Eidham asyik mengerling ke arahnya. Cuma dia sahaja buat-buat tak layan. Apa yang Eidham tanya, itulah yang dijawabnya. Bila Eidham cuba membuka cerita lama, dia buat-buat tak dengar. Malas hendak menjawab. Diam lagi baik. Lagipun tujuannya bersetuju untuk keluar makan tengahari bersama Eidham bukan untuk mengenang kembali cerita lama yang sudah dia buang jauh-jauh di tengah lautan. Tujuannya mahu menerangkan perasaannya terhadap Eidham kini. Dia tak mahu Eidham terus-menerus memburu cintanya lagi. Yang berlalu tu biarkanlah berlalu.
“Dah lama kita tak duduk berdua macam ni, kan. Macam dulu. Kita selalu keluar makan bersama sambil study. Kish kalau makan… tak pernah nak habis. Mesti abang yang habiskan makanan Kish tu. Ingat lagi tak?” ujar Eidham. Sengaja dia mengungkit kisah lalu mereka supaya Balkish tahu dia masih lagi mengingati gadis manis itu.
Balkish malas betul nak jawab. Dia hanya mendiamkan diri. Tak habis-habis lagi Eidham nak mengungkit kisah lalu mereka. Bosan! Baginya kenangan itu sudah lama berlalu dan tak perlu lagi dikenang-kenang.
Eidham menghela nafas bila Balkish langsung tidak memberi sebarang respon terhadap apa yang diperkatakannya. Dia tahu Balkish dengar, cuma Balkish sengaja tak nak melayannya. Keras sungguh hati gadis itu.
“Kish…” panggil Eidham panjang. Nadanya juga kedengaran lembut dan romantik.
Balkish langsung tidak mendongak ketika Eidham memanggilnya dengan nada sebegitu. Dia masih berpura-pura khusyuk menikmati nasi goreng kampung yang dipesannya. Hatinya langsung tak memberi sebarang tindak balas dengan nada romantik Eidham itu.
“Kish masih marahkan abang lagi ke? Maafkan abang, Kish. Abang tahu abang bersalah pada Kish. Tak patut abang lukakan hati Kish. Maafkan abang. Abang benar-benar menyesal. Sekarang ni baru abang sedar yang abang memang perlukan Kish dalam hidup abang. Abang tak dapat nak lupakan Kish,” ujar Eidham bersungguh.
Balkish mengangkat wajah. Mencerlung matanya memandang wajah Eidham. Berani sungguh Eidham berkata begitu dengan dia. Nampaknya apa yang dia katakan sewaktu di kampung dulu langsung tak diendahkan oleh lelaki itu. Malah semakin berani pula Eidham meluahkan apa yang dirasakannya kini.
Dalam diam, Balkish mengutuk sikap Eidham itu. Eidham yang ada di depannya ini begitu berbeza dengan Eidham yang dikenalinya dulu.
“Abang Eid, boleh tak jangan cerita pasal tu lagi? Kish tak sukalah,” ujar Balkish dengan tegas.
“Maafkan abang, Kish. Abang bukan suka-suka nak cerita pasal kita. Tapi abang tak dapat nak halang kenangan lalu kita dari menerjah kotak fikiran abang. Kenangan bersama Kish tak pernah abang lupakan. Terlalu banyak yang manis untuk dikenang.”
Balkish tersenyum sinis. Jijik dia mendengar bicara Eidham itu. Sudah beristeri, tapi masih mengenangkan kenangan silam dengan wanita lain. Kalaulah Kak Risya tahu… alangkah sedihnya hati kakak kesayangannya itu.
“Tapi Kish dah lupakan semua kenangan tu. Kish harap sangat Abang Eid jugak lupakan kenangan tu sama dengan Kish. Biarlah kenangan tu terkubur. Sekarang Abang Eid milik Kak Risya. Kish tak nak jadi perosak rumah tangga kakak sendiri.”
“Abang tahu, Kish. Tapi abang tak dapat nak lupakan Kish. Abang masih cintakan Kish. Dan abang tahu tentu Kish juga masih cintakan abang,” tak semena-mena Eidham membuat kesimpulannya sendiri.
“Tidak Abang Eid! Kish dah lama buang perasaan cinta tu. Abang Eid yang salah faham,” jelas Balkish.
Eidham ketawa kecil. Dia yakin Balkish tentu sedang menipunya. Dia tahu Balkish masih menyintainya macam dulu. Kalau Balkish mengaku, dia sanggup tinggalkan Batrisya dan pergi jauh bersama Balkish meninggalkan tanah Malaysia ini. Biarlah dia hidup berdua dengan Balkish.
“Mustahil abang salah faham. Abang tahu Kish bohong abang sebab Kak Risya. Kish… bagilah peluang untuk diri Kish. Abang tahu perasaan Kish terhadap abang masih sama macam dulu. Jika tidak… takkan sampai sekarang Kish masih single. Abang yakin sangat Kish masih cintakan abang. Betul, kan?”
Naik pula darah Balkish bila Eidham berkata begitu. Yakin tak bertempat sahaja Eidham. Ingat dia masih belum punya teman lelaki sebab masih mengharapkan cinta Eidhamkah? Tolonglah… dia sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi pada Eidham. Cintanya sudah lama mati. Harapannya cuma mahu Eidham tidak mempersiakan cinta Batrisya. Itulah satu-satu harapannya pada Eidham. Menjaga dan menyintai Batrisya hingga ke akhir hayat.
“Siapa kata Kish takde teman lelaki? Dari mana Abang Eid tahu?” soal Balkish dengan nada geram.
Berubah air muka Eidham mendengar pertanyaan Balkish itu. Takkanlah tekaannya meleset. Takkanlah Balkish yang disayanginya itu sudah punya teman lelaki.
“Untuk pengetahuan Abang Eid, Kish dah ada teman lelaki,” bohong Balkish. Terpaksalah dia buat bohong sunat demi mahu mengelak diri daripada Eidham.
“Abang tak percaya. Abang tahu Kish sengaja cakap macam tu supaya abang jauhkan diri dari Kish.”
“Terpulang. Tapi untuk pengetahuan Abang Eid, Kish akan berkahwin dengan teman lelaki Kish tu dalam masa terdekat ni,” tambah Balkish lagi.
Aduh… nampaknya bertambah lagi dosanya hari ini kerana bercakap bohong.
Wajah Eidham berubah lagi. Sukar untuk dia percaya kata-kata Balkish itu namun wajah Balkish kelihatan serius ketika menuturkan ayat itu.
“Okeylah Abang Eid. Masa rehat pun dah nak habis. Kish masuk ofis dulu. Assalamualaikum,” ujar Balkish. Dia bangun dari duduknya dan berpaling untuk melangkah keluar dari restoran Hajah Kamariah yang terletak tak jauh dari bangunan F&F Holdings.
Tadi Eidham ada menawarkan untuk makan di tempat yang jauh sedikit dari bangunan pejabat Balkish. Namun Balkish menolak dan memberi cadangan untuk makan di restoran Hajah Kamariah sahaja. Lagipun senang. Tak perlu nak naik kereta. Jalan kaki tak sampai lima minit dah sampai.
Eidham ikut bangun sama. Langkah Balkish disaingi. Hatinya tiba-tiba menjadi tak keruan bila Balkish mengaku dirinya kini sudah berpunya.
“Siapa nama lelaki tu?” soal Eidham tiba-tiba. Mematikan langkah Balkish yang baru melangkah keluar dari ruang restoran Hajah Kamariah.
Tanpa menoleh Balkish menjawab, “Harriz,”
Tak sedar nama itu pula yang menjadi pilihannya. Adusss… macam mana nama itu pulak yang jadi pilihan hati?!? Balkish… nampaknya kau memang cari masalah!
“Harriz? Harriz who? Abang macam pernah dengar nama tu.”
Balkish mengetap bibir. Geram benar dia dengan Eidham.
“Dia teman lelaki Kish. Dan kami merancang untuk berkahwin tak lama lagi. Puas?” ujar Balkish dalam nada geram. Langkahnya disambung semula. Dia tak nak membuang masa bertekak dengan Eidham disebabkan seorang lagi lelaki yang boleh membuatkan kepalanya bertambah migrain.
Eidham menggeleng kepalanya berkali-kali. Spontan tanpa diduga dia menarik pergelangan tangan Balkish. Menghalang langkah gadis itu.
Tersentak Balkish bila Eidham berani bertindak sedemikian. Matanya mencerlung melihat wajah Eidham yang sudah melepaskan genggamannya sebentar tadi.
“Kawal sikit tindakan Abang Eid. Ingat Abang Eid… Kish ni adik ipar Abang Eid. Jangan disebabkan tindakan Abang Eid ni Kish hilang rasa hormat dekat Abang Eid,” bentak Balkish.
“Abang mintak maaf, Kish. Abang tak berniat pun nak buat macam tu. Cuma abang…”
“Kish begitu sayangkan Kak Risya. Kish tak boleh tengok kakak menderita. Kish mahu Abang Eid bahagiakan Kak Risya. Sekali Abang Eid lukakan hati Kak Risya, sejuta kali Kish tak akan maafkan Abang Eid. Ingat Abang Eid, Kak Risya begitu sayangkan Abang Eid. Jangan kecewakan Kak Risya dengan perangai Abang Eid ni,” ujar Balkish dengan tegas. Tanpa menoleh lagi dia kemudian berlalu meninggalkan Eidham yang sudah dihambat rasa bersalah.

***************************************************************************

KLIK! Klik! Klik!
Sudah beberapa keping gambar yang berjaya ditangkapnya. Semua yang baik-baik belaka. Bibirnya mengulum senyuman puas hati dengan melihat gambar-gambar itu. Tak sabar dia nak menunjukkan gambar-gambar itu kepada tuannya untuk mengambil baki upahnya yang masih tinggal separuh.
Pantas telefon bimbit yang terletak atas dashboard kereta Kembara yang dipandu dicapai. Nombor telefon seseorang didail. Dia perlukan memaklumkan kepada tuannya yang kerjanya sudah selesai.
“Kerja dah selesai. Esok saya hantar gambar-gambar ni pada puan. Jangan lupa baki upah saya,” Kata Botak dengan lagak samsengnya. Kemudian butang merah ditekan.
“Senangnya dapat duit. Buat kerja sikit macam ini pun dah boleh dapat seribu ringgit. Heheheee… senang betul. Kalau hari-hari macam inikan bagus. Cepatlah aku jadi kaya,” Botak berbicara sendirian macam orang mereng. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Ketawa orang jahat. Konon nak bagitahulah yang dia ni memang penjahat yang sebenar.
Selepas itu Kembaranya yang diparkir di bangunan F&F Holdings sejak dari tadi dipandu semula. Kerjanya sudah selesai. Dia perlu pulang dengan segera.

***************************************************************************

BALKISH berpeluk tubuh merenung wajah kacak Harriz yang cukup membuatkan dia naik geram. Rasa macam nak cekik-cekik aje leher lelaki itu. Biar mampus! Ingatkan, dunianya akan aman untuk selama-lamanya sejak dia marah Harriz tempoh hari. Rupanya dia silap. Lelaki itu memang jenis tak makan saman.
Malam ini, boleh pula Harriz datang ke rumah sewa ini. Sudahlah tu… buat kacau pula. Macam mana Balkish tak kata Harriz buat kacau kalau lelaki itu asyik membunyikan hon keretanya sebab Balkish tak mau jumpa. Sampaikan ada jiran tetangga yang menjenguk keluar melihat tingkah laku Harriz yang boleh disamakan dengan lelaki gila talak itu. Buat bising aje!
Sampai Aleya dengan Ella paksa Balkish bersungguh-sungguh untuk keluar berjumpa dengan Harriz. Malu jiran tetangga tengok.
“Apa lagi yang Encik Harriz mahu? Tak puas lagikah dengan apa yang Encik Harriz cakap tempoh hari? Kenapa nak buat kecoh depan rumah saya hari ni? Kan saya dah kata… saya tak nak jumpa Encik Harriz lagi. Encik Harriz tak faham bahasa ke?” kasar lontaran suara Balkish. Selama ini, biarpun dia geram tahap melampau pada Harriz, tak pernah walau sekali pun dia bercakap dengan nada kasar seperti ini.
“I mintak maaf, Balkish. I tau you masih marahkan I. Tapi you kena percaya cakap I. I ikhlas sayangkan you. I benar-benar cintakan you,” ujar Harriz. Meluahkan isi hatinya. Lantaklah Balkish nak marah pun. Dia sudah tak peduli. Dia mahu Balkish tahu yang dia begitu cintakan Balkish. Dia mahu menjadikan Balkish suri dalam hidupnya.
Balkish mendengus kasar.
“Encik Harriz ni tak faham bahasa ke? Saya tak suka Encik Harriz. So tolong jangan ganggu saya lagi. Selama ni… saya berlembut dengan Encik Harriz pun sebab saya hormatkan Encik Harriz sebagai adik ipar bos saya. Jadi tolong ye… tolong jaga sikit perangai Encik Harriz tu. Jangan sampai saya hilang rasa hormat pada Encik Harriz pulak,
“Okey. I tau. Tapi boleh tak you bagi I sekali peluang. I ikhlas Balkish. I nak kahwin dengan you. I nak jadikan you isteri I.”
Bagai nak terkeluar segala isi-isi dalam telinga Balkish mendengar kata-kata Harriz itu.
“Eiii… tolonglah Encik Harriz. Jangan cakap macam tu boleh tak? Macam mana saya nak kahwin dengan Encik Harriz sedangkan saya tak cintakan Encik Harriz. Lagipun… mustahil untuk kita berkahwin.”
“Tak ada yang mustahil, Balkish. I benar-benar cintakan you. I nak kahwin dengan you. Kalau you tak cintakan I… you boleh belajar untuk menyintai I. Kita kahwin ye?” Harriz bagaikan sudah hilang kawalan. Beria-ia dia mengajak Balkish untuk berkahwin. Memang tak masuk dek akal langsung.
Balkish menggigit bibir bawah. Mahu sahaja ditamparnya lelaki itu. Bagi sedar sikit. Jangan asyik nak bermimpi. Tiba-tiba mengajak dia kahwin. Ingat diaorang ni pasangan yang sedang hangat bercinta ke nak kahwin-kahwin segala?!
“Balkish…” panggil Harriz panjang. Mengharapkan persetujuan Balkish.
“Eiii… saya tak taulah nak cakap apa lagi dengan Encik Harriz ni. Encik Harriz ni memang dah sewel, tau tak? Tiba-tiba ajak orang kahwin. Saya tak suka Encik Harriz. Faham?!” bentak Balkish. Dia sudah hilang sabar dengan perangai dan tingkah laku Mr. Alligator itu yang semakin menyesakkan kepalanya. Sudahlah siang tadi dia berdepan dengan Eidham yang tak tahu malu itu, sekarang ni kena pula berdepan dengan Harriz yang tak faham bahasa. Memang tak masuk akal fikiran langsung nak mengajak dia berkahwin. Huh!! Betul-betul menyakitkan hati.
“Balkish… tolonglah. I benar-benar ikhlas nak kahwin dengan you ni,” jerit Harriz bila Balkish sudah masuk ke dalam rumah dengan muka yang masam mencuka.
Dengan hati yang panas membara, daun pintu dihempas kuat. Lelaki itu betul-betul sudah naik gila!
Aleya dan Ella yang mengintai dari jendela segera mendapatkan Balkish. Terkejut juga mereka melihat apa yang terjadi sebentar tadi. Malah mereka benar-benar tidak menyangka Harriz boleh bertindak seperti itu. Macam orang tak betul aje terjerit-jerit memanggil nama Balkish sambil membunyikan hon kereta di luar sana tadi.
“Kish, kenapa dengan Harriz tu?” soal Aleya dengan Ella serentak. Macam dah berjanji aje yang mereka nak bagi soalan yang sama.
“Entah. Gila!” hanya itu yang Balkish jawab. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam biliknya.
Aleya dan Ella saling berpandangan. Kemudian mereka berlari semula ke arah jendela bila melihat ada bunyi bising dan meriah di luar sana. Bagai hendak terkeluar biji mata Aleya dengan Ella melihat Harriz. Entah apa lagi yang lelaki itu mahu buat kali ini. Dengan beberapa budak-budak muda yang selalu lepak-lepak bermain gitar di kawasan ini, Harriz mengadap rumah dengan penuh gaya seorang superstar.
Kemudian… petikan gitar pun dimulakan oleh Kudin selaku ketua budak-budak kaki lepak.

Berikan ku peluang terakhir sekali lagi
Untuk membukti kasih sejujurnya di hati
Maafkan seandainya cintaku tidak sempurna

Kaulah insan pertama berpacaran dengan ku
Dan bersama ku mahu masa depan yang kukuh
Maafkan seandainya ku masih amatur cinta

Luangkan diri ini lebih masa
Melengkapkan kekurangan yang ku ada
Temankan di kala ku memerlukan bimbingan
Sehingga diriku menjadi pencinta terbaik

Bukan dengan sengaja tidak cukup prihatin
Ku harap kau bersabar dan rasa lebih yakin
Maafkan seandainya ku masih amatur cinta

Luangkan diri ini lebih masa
Melengkapkan kekurangan yang ku ada
Temankan di kala ku memerlukan bimbingan
Sehingga diriku menjadi pencinta terbaik

Maafkan seandainya ku masih amatur cinta

Luangkan diri ini lebih masa
Melengkapkan kekurangan yang ku ada
Temankan di kala ku memerlukan bimbingan
Sehingga diriku menjadi pencinta... ooo
Pencinta terbaik
Penuh mendayu-dayu Harriz mendendangkan lagu kumpulan Sofazr, Pencinta Terbaik dalam versi akustik. Walaupun suaranya tak sesedap vokalis kumpulan Sofaz, Aremeer, namun persembahan penuh bergayanya itu tetap menarik ramai jiran tetangga untuk melihat persembahan secara langsung dan percuma itu. Ada jugalah di antara anak-anak dara jiran tetangga yang tangkap cintan mendengar Harriz menyanyi dengan penuh irama itu. Tak kurang juga mak-mak anak dara yang sudah siap pasang angan-angan hendak menjadikan Harriz sebagai menantu mereka. Heheheee… seronoknya dapat menantu yang kacak dan pandai menyanyi macam Harriz.
Balkish keluar dari bilik dengan wajah yang sudah naik berang. Sakit benar hatinya. Harriz benar-benar sudah melampau. Boleh pula lelaki itu pakat ramai-ramai dengan budak-budak yang selalu lepak dekat taman permainan tu membuat pertunjukan live band dekat rumahnya. Memang tak tau malu betul!!
Aleya dengan Ella saling berpandangan. Mereka kemudian membuntuti langkah Balkish yang sudah keluar rumah bagaikan Hulk versi perempuan. Nampaknya rumah mereka malam ini menjadi tumpuan ramai bila jiran tetangga sudah berkumpul depan rumah mendengar dendangan lagu yang Harriz lagukan. Macam Harriz tu penyanyi popular pula.
Balkish bercekak pinggang. Bukan main lagi Harriz menyanyi untuk merayu cintanya. Betul-betul tak tau malu!
Melilau mata Balkish mencari sesuatu untuk menghentikan persembahan percuma Harriz itu. Kemudian dia terpandangkan baldi yang masih berisi air yang selalu Aleya gunakan untuk menyiram pokok bunga di tepi pagar. Tanpa membuang masa, dia mencapai baldi warna biru gelap itu. Sepantas kilat air yang masih berada dalam baldi disiram ke arah Harriz yang masih asyik-masyuk menyanyi sepenuh hati. Dah macam orang kena rasuk aje lelaki itu. Langsung tak tau malu.
Bushhhh!!! Bunyi air disiram kedengaran jelas.
Serentak itu suasana menjadi senyap. Budak-budak yang main gitar juga sudah berhenti memetik tali-tali gitar mereka. Jiran tetangga yang menyaksikan persembahan secara langsung itu juga sudah terkedu. Ada juga yang melopong. Masing-masing memberi tumpuan kepada Balkish yang berwajah masam.
Tanpa sepatah kata, Balkish kemudiannya meluru masuk ke dalam rumah semula.
Aleya dan Ella benar-benar terkejut beruk betina. Sampai melopong mulut dua kawan itu melihat Harriz yang basah lencun akibat disiram dengan air. Tak sangka Balkish boleh berubah menjadi Hulk yang begitu menakutkan.
“Dah… dah… bersurai-bersurai. Persembahan dah tamat. Balik rumah masing-masing,” ujar Abang Nuar suami Kak Liza sambil bertepuk tangan. Menyuraikan majlis malam itu yang tamat dengan penuh tragisnya.
Harriz mengeluh. Tak disangka hati Balkish sekeras batu. Dengan baju yang basah lencun, dia masuk ke dalam kereta.



















No comments:

Post a Comment