Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 13



Ku sedar ku tak seberapa
Jika dibanding mereka
Yang jauh lebih megah dari diri ini

Apa yang mampu ku berhias
Hanyalah hati yang ikhlas
Terpendam simpan untuk dia yang sudi

Mencintai aku dengan seadanya
Mencintai aku bukan kerana rupa
Dalam waktu sedu
Dalam waktu hiba
Ku harapkan dia rela
………………………………
Stacy – Kisah Dongeng

SELESAI menunaikan solat istikharah, Balkish melangkah malas menuju ke atas katil. Tubuhnya dihempas perlahan. Sempat juga dia melirik ke arah jam loceng yang terletak elok di atas meja sisi yang sudah menunjukkan pukul 12.56 malam. Padanlah suara Aleya dan Ella tak kedengaran lagi. Sudah lewat malam rupanya. Tentu dua sahabat baiknya itu suda lena diulit mimpi-mimpi indah bertemu dengan Prince Charming masing-masing.
Balkish menghela nafas. Mata dia juga yang masih terkebil-kebil malam-malam begini. Semua disebabkan pertemuan siang tadi dengan ibu. Dia benar-benar tak sangka ibu sanggup datang ke KL semata-mata mahu berjumpa dengannya. Memang dia terkejut sangat bila melihat kelibat ibu yang sedang menunggunya di lobi F&F Holdings. Sangkanya Eidham lagi yang datang. Namun bila sahaja Kak Nora memberitahu ibunya datang dari kampung, terus dia terkedu.
Buat apa ibu ke sini? Itulah soalan pertama yang berlegar di kepala otak Balkish ketika itu.
Balkish mengeluh lemah. Layar ingatannya kembali mengenangkan pertemuan dengan Hajah Badariah siang tadi.

***************************************************************************

SUASANA sunyi menghiasi pertemuan makan tengah hari di antara Balkish dengan Hajah Badariah. Tiada apa yang diperkatakan kecuali pandangan mata Hajah Badariah yang tajam menikam wajah Balkish. Jika bukan disebabkan mereka berada di tempat awam, mahu agaknya gadis itu dimaki hamun. Mendidih sungguh hatinya melihat kepingan-kepingan gambar yang diberikan oleh Botak kepadanya tempoh hari.
Tiba-tiba satu dengusan kasar meniti keluar dari mulut Hajah Badariah. Mencerlung matanya memandang Balkish yang hanya membisu itu.
“Kish dah fikir cadangan ibu?” soal Hajah Badariah dengan kasar.
Perlahan Balkish angkat wajah. Lambat-lambat dia mengangguk. Takkan ibu datang sini nak menuntut janji. Balkish masih belum bersedia nak berkahwin.
“Jadi macam mana?” Hajah Badariah kembali menyoal.
“Maafkan Kish, bu. Kish belum bersedia nak kahwin. Kish masih nak…”
“Nak apa?” bulat mata Hajah Badariah memandang Balkish. Geram benar dia! Suaranya juga sudah melengking tinggi. Langsung tidah menghiraukan beberapa pasang mata yang mula memberi perhatian kepada mereka berdua.
Tersentak Balkish mendengar suara ibunya yang sudah meninggi itu. Selama ini biarpun ibu tak pernah melayannya dengan baik, namun ibu tak pernah meninggikan suara. Inilah kali pertama dia mendengar suara ibu yang melengking tinggi itu.
“Kish nak rosakkan rumah tangga Kak Risya? Nak tunggu Eidham? Macam tu ke?” bertalu Hajah Badariah menghujani Balkish dengan soalan berupa tuduhan. Berombak dadanya menahan rasa marah dalam dada. Jika bukan disebabkan dirinya dengan Balkish mula menarik perhatian ramai, rasanya sudah lama tangannya sampai ke pipi anak itu.
Laju Balkish menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak, bu. Bukan macam tu. Kish tak ada niat walau sebesar kuman pun nak rosakkan rumah tangga Kak Risya. Ibu jangan salah faham,” Balkish ingin membela diri.
“Owh tak berniat konon! Habis tu yang ini apa?” pantas Hajah Badariah melontar sampul surat coklat itu di depan Balkish.
Terpinga-pinga Balkish dibuatnya. Perlahan-lahan dia mengambil sampul surat warna coklat itu lalu dibuka isinya. Terkejut dia melihat isi di dalam sampul surat itu. Beberapa keping gambarnya dengan Eidham sewaktu pertemuaan  sehari lepas terpampang depan mata. Pandai sungguh si jurugambar ini mengambil gambarnya bersama Eidham. Macam nampak real pulak mereka berdua seolah-olah sedang keluar dating dan kelihatan begitu mesra. Sedangkan hakikat sebenar bukan seperti yang tertera pada gambar-gambar tersebut.
“Ibu… ini bukan seperti yang ibu fikirkan.”
Hajah Badariah menarik senyuman kelat.
Iye ke? Habis tu… untuk apa Eidham keluar berdua dengan Kish kalau bukan kamu berdua nak berkasih-sayang? Nak lepaskan rindu dalam hati tu,” tuduh Hajah Badariah.
Balkish beristigfar dalam hati. Sampai macam tu sekali penilaian ibu terhadapnya.
“Ingat, Balkish. Ibu tak akan mengizinkan sama sekali Kish merosakkan rumah tangga Batrisya.”
“Kish tak akan rosakkan rumah tangga kakak, bu. Kish dah tak ada sebarang hubungan lagi dengan Abang Eid. Percayalah, Kish bu.”
“Habis tu yang dalam gambar tu apa? Masih nak menafikan?”
“Gambar ni bukan seperti yang ibu sangkakan. Kish jumpa dengan Abang Eid sebab Abang Eid…” Balkish mati kata-kata. Takkan nak bagitau ibu yang Eidham datang berjumpa dengannya kerana mahu meluahkan isi hati. Husy… itu lagi masalah besar kalau ibu tahu.
“Eidhan jumpa Kish sebab apa?” soal Hajah Badariah dengan geram. Tangan disilangkan ke dada.
Balkish sudah mati akal untuk berbicara. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Kan bagus kalau dia tak ikut Eidham keluar makan tengah hari tempoh hari. Tak adalah ibunya mengamuk macam ini.
“Mungkin benar Kish sudah tidak sukakan Eidham lagi. Tapi Eidham? Dia akan terus mengejar Kish selagi Kish tak mendirikan rumah tangga. Ibu tak nak Batrisya terluka bila mendapat tahu suaminya menyintai adiknya sendiri. Selama ni Batrisya begitu sayangkan Kish. Mesti dia akan kecewa bila dapat tahu hal ni.”
Hajah Badariah menarik nafas. Wajah tiba-tiba berubah keruh. Dia tidak mahu nasib yang menimpanya dua puluh tahun yang lalu berulang kembali kepada anak perempuan kesayangannya itu. Jika boleh, dia mahu melihat Batrisya sentiasa bahagia bersama Eidham.
“Selama ni, ibu jaga dan besarkan Kish tanpa mintak apa-apa pun. Biarpun ibu tak pernah nak layan Kish dengan mesra, namun ibu tak pernah mengabaikan sumber kewangan dan pendidikan Kish. Ibu beri sama macam ibu bagi dekat Risya. Hari ini… ibu mahu Kish balas jasa ibu itu. Ibu mahu Kish berkahwin demi kebahagian Batrisya. Cuma itu sahaja jalan yang ada untuk Eidham lupakan Kish,” mendatar suara Hajah Badariah.
Tersentak Balkish sekali lagi mendengar nada sayu ibunya itu.
“Tapi…”
“Ibu merayu, Kish. Tolonglah… demi Batrisya. Kalau Kish tak nak buat pasal ibu, takpe. Tapi tolonglah buat untuk Batrisya,” rayu Hajah Badariah. Matanya menentang mata Balkish. Ada genangan air pada kolam matanya ketika itu yang membuatkan hati Balkish jadi tersentuh. Betapa agungnya kasih seorang ibu. Alangkah indahnya jika dia juga mendapat kasih yang sama daripada ibu biarpun ibu bukan ibu kandungnya.
Balkish memejam mata. Cuba menahan rasa sebak yang sudah bertandang dalam hati. Dia perlu berkorban demi kebahagian kakak yang amat disayanginya dan permintaan seorang ibu. Nafas ditarik panjang. Kemudian perlahan-lahan nafasnya dihelakan.
“Baiklah, bu. Kish akan buat apa yang ibu suruh,” akhirnya Balkish terpaksa juga bersetuju walaupun ketika ini dia tidak tahu dengan siapa dia perlu bernikah. Semoga ALLAH memberikan dia petunjuk untuk mempermudahkan urusan ini. Hanya itu yang mampu Balkish doakan untuk dirinya ini.
“Terima kasih, Kish. Ibu janji segala kos perbelanjaan majlis akad nikah dan sanding nanti ibu akan tanggung,” tiba-tiba ada senyuman yang terbit pada bibir Hajah Badariah. Gembira dia bila Balkish sanggup mengikut rancangannya itu.
Inilah kali pertama Balkish melihat ibunya benar-benar tersenyum ikhlas buatnya. Selama ini, senyuman ibu hanyalah dibuat-buat. Nampaknya ibu memang benar-benar inginkan kebahagian Batrisya sehingga ibu sanggup buat apa sahaja. Jika ini jalan yang terbaik, jalan yang boleh merapatkan jurang antara ibu dengannya, Balkish pasrah menerima ketentuan Allah ini. Biarlah dia berkorban.

***************************************************************************

ROMBONGAN pengantin lelaki telah pun tiba. Balkish yang sudah didandan cantik menanti dengan berdebar. Batrisya yang begitu setia disisi adiknya itu menyiku sambil tersenyum nakal. Hajah Badariah dan Hajah Bedah juga sudah tersenyum-senyum mahu menyambut menantu baru dalam keluarga mereka. Persetujuan Balkish untuk berkahwin demi kebahagian Batrisya telah mengeratkan hubungannya dengan ibu dan tok mak. Kini dia benar-benar telah diterima oleh dua insan yang disayanginya itu.
Syukur Alhamdulillah… terima kasih Ya Allah!
“Wah… hensem betullah bakal suami kau tu Kish. Macam Prince Charming. Bertuahnya kau… Jealousnya aku,” ujar Ella yang sudah masuk semula ke dalam bilik pengantin. Tadi sewaktu Aleya memaklumkan rombongan pengantin lelaki telah tiba, Ella dengan pantas telah berlari keluar. Konon nak tengok muka pengantin lelaki yang telah dijodohkan dengan Balkish.
Apa punya pengapit la si Ella ni. Boleh pulak dia main lari-lari kejap nak tengok muka pengantin lelaki dan tinggalkan pengantin perempuan sorang diri. Memang tak boleh diharap punya pengapit.
“Aku terima nikahnya Balkish binti Borhan dengan mas kahwinya lapan puluh ringgit tunai,” sekali lafaz sahaja Balkish akhirnya menjadi milik lelaki yang tidak pernah dikenalinya itu. Entah kenapa matanya seakan samar-samar melihat wajah lelaki yang dijodohkan denganya itu. Mungkin dia pening sebab tak cukup rehat. Pasal itulah pandangannya agak kabur.
Serentak ucapan itu sudah terlafaz, tanpa dapat ditahan-tahan air mata Balkish laju mengalir. Kini dengan rasminya dia sah menjadi milik seorang lelaki yang tak dikenali dan dicintai. Demi kasih terhadap Batrisya, dia akhirnya berkorban. Ibu dan tok mak memeluk Balkish dengan erat sekali.
“Terima kasih sebab sanggup berkorban demi Batrisya. Ibu sayang Kish,” ujar Hajah Badariah ketika tubuh Balkish diraih ke dalam pelukannya. Pipi anaknya itu dikucup berulang kali.
Kemudian Batrisya pula mengambil tempat memeluk adik kesayangannya itu. Airmata Balkish dikesat perlahan. Bibirnya menarik senyuman segaris.
“Janganlah menangis. Tak elok pengantin menangis macam ni,” ujar Batrisya. Sebenarnya dia juga sukar menahan sebak di dada kala adik kesayangannya itu sah menjadi milik seorang lelaki.
“Lepas ni Kish kena taat pada suami. Jadi isteri yang solehah. Akak sentiasa doakan yang terbaik untuk Kish,” sambung Batrisya memberi sedikit kata nasihat buat Balkish.
Balkish mengangguk-angguk. Air matanya masih lagi deras mengalir.
“Kish sayang Kak Risya,” luah Balkish sambil sekali lagi tubuh kakaknya dipeluk erat.
Batrisya membalas pelukan adiknya. Air mata yang ingin mengalir diseka dengan jari.
“Akak pun sayang Kish.”
Sayu hati Hajah Badariah dan Hajah Bedah melihat hubungan erat dua beradik itu.
“Assalamualaikum… pengantin lelaki nak sarung cincin ni,” ucap Aleya wakil kepada pihak pengantin lelaki.
Eheh… ni apahal si Aleya ikut belah lelaki pulak? Macam ada yang tak kena aje ni.
Balkish menundukkan kepalanya. Ketika pengantin lelaki sampai di depannya, hanya kaki pengantin lelaki yang berstokin hitam itu yang dilihatnya. Nak tengok muka, dia segan pulak. Maklumlah… dia kan dengan suaminya itu hanya dijodohkan melalui keluarga sahaja. Belum pernah bertentang mata lagi.
“Kish… hulurlah tangan tu. Pengantin lelaki nak sarung cincin ni,” bisik Batrisya ke telinga Balkish.
Perlahan Balkish menghulurkan jemarinya. Tak sampai seminit, sebentuk cincin emas putih bertakhtakan berlian telah bersarung indah ke jari manisnya.
“Assalammualaikum… my sweet princess,” ucap si pengantin lelaki.
Balkish mengerut dahi. Rasa macam dia pernah dengar saja panggilan ‘sweet princess’ itu. Pantas dia mendongak. Memandang wajah pengantin lelaki yang telah dijodohkan dengannya.
“Encik Harriz?!” ujar Balkish. Bulat matanya memandang wajah Harriz yang segak dalam persalinan nikah warna putih bersih.
“Bukan Encik Harriz, sayang. Tapi abang,” selamba sahaja Harriz berkata. Bibirnya mekar dengan senyuman manis. Gembira bukan main lagi dia dapat memperisterikan Balkish.
Balkish menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. Sukar dia hendak percaya dia kini menjadi isteri kepada Harriz Tan Sri Hamdan!
“Oh… tidak!!!” Lantas dia menjerit sekuat hati.

***************************************************************************

“KISH! Kish! Kish! Bangunlah! Kenapa dengan kau ni? Terjerit-jerit,” Aleya mengoncang tubuh kurus Balkish berkali-kali. Terkejut beruk dia mendengar jeritan Balkish yang kuat itu. Tengah dia sedap-sedap mengoreng nasi di dapur, tiba-tiba pula Balkish menjerit penuh satu rumah. Dia pun apa lagi, dengan sudip yang masih berada di tangan dia berlari masuk ke dalam bilik Balkish. Mahu memastikan keselamatan sahabatnya itu.
Sampai di bilik Balkish, dia terkedu melihat Balkish yang terjerit-jerit sambil tangannya melibas-libas seolah menghalang sesuatu menghampirinya. Macam orang kena rasuk aje lagak kawan seorang itu.
Balkish tersentak. Dia bangun dari tidur. Wajah Aleya dipandang. Kemudian dia melihat pula pakaian yang dipakainya ketika ini. Nasib baik! Dia masih lagi pakai baju tidur. Ingatkan dia dalam baju pengantin tadi. Huh… mimpi rupanya dia.
“Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba aje menjerit-jerit. Kau mimpi apa sampai boleh mengigau ni?” soal Aleya. Dia sudah duduk di birai katil Balkish.
“Aku mimpi ngerilah Leya. Ngeri sangat!” beritahu Balkish. Dahinya terasa basah dengan peluh hangat. Dalam seumur hidupnya, inilah kali pertama dia didatangi mimpi ngeri yang membuatkan dia mengigau. Selama ni kalau dia termimpi jumpa hantu pun dia tak pernah sampai terjerit-jerit macam orang hilang akal.
Iye la… mimpi ngeri apa?”
“Ngeri sangat. Tak boleh nak bagitau,  Balkish menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aleya mengerut dahi. Kemudian dia pula yang menggeleng-geleng sebagai tanda tidak faham dengan perangai Balkish itu. Pantas belakang tangannya melekat pada dahi Balkish. Normal aje suhu badan Balkish ni. Tapi bercakap macam orang tengah meracau.
“Hah… lain kali jangan fikir banyak sangat. Kan dah terbawa-bawa ke alam mimpi. Dah… dah. Bangun. Kan ke hari ni kau ada kelas jam sepuluh pagi.”
Balkish pandang jam loceng. Baru pukul lapan lima belas minit pagi. Huh… mimpi ngeri itu benar-benar telah mengejutkan dia. Macam manalah Mr. Alligator itu boleh tersesat masuk ke dalam mimpinya. Macam real pulak. Huhuhuuu…
Selesai segala-galanya, Balkish menuju ke kereta Kancilnya. Tepat pukul sepuluh pagi nanti dia ada kelas. Beginilah rutin hariannya sebagai seorang pelajar . Dari Isnin hingga Jumaat dia akan bekerja. Sabtu dan Ahad pula dia pergi ke kelas. Penat tu jangan cakaplah. Berganda-ganda! Namun demi impian ingin mengenggam segulung ijazah, dia perlulah berkorban segala-galanya.
“Apa kena dengan kau tadi? Terjerit-jerit macam jumpa hantu Kak Limah. Terkejut aku dengar. Nak aje aku berlari keluar tengok kau, nasib baiklah aku sedar yang aku time tu tengah mandi-manda,” soal Ella yang duduk di kerusi penumpang. Ella pun macam Balkish juga. Bekerja sambil belajar. Nak majukan diri kenalah buat semua ni.
Tadi sewaktu terdengar jeritan kuat Balkish, dia tengah seronok mandi-manda. Hendak juga dia berlari keluar menjenguk keadaan rakannya itu. Namun bila dia sedar yang dia dalam keadaan yang cukup seksi, terpaksalah dia membatalkan hasrat murninya itu.
“Bukan jumpa hantu Kak Limah, tapi jumpa buaya,” selamba sahaja Balkish berkata.
Ella menarik senyuman di bibir seksinya yang ala-ala Angelina Jolie. Rasanya dia dapat meneka buaya yang dimaksudkan oleh Balkish itu.
“Hah… ini mesti mimpi jumpa Harriz, kan?” teka Ella yang sudah tersengih-sengih.
Balkish tidak menjawab. Mata ditumpuhkan pada jalan raya yang tak berapa sibuk waktu cuti-cuti begini. Bukan macam waktu pejabat. Sesak sampai menyesakkan otak. Malas dia hendak fikir pasal mimpinya itu. Anggap sahaja mimpi itu sebagai mainan tidur dan bukan kerana solat istikharah yang dia tunaikan malam semalam. Memang bermimpi ngerilah dia kalau lelaki itu yang telah dipilih untuk menjadi pendampingnya.
Tiba-tiba Ella ketawa besar. Kelakar pula rasa hatinya bila Balkish boleh termimpi-mimpikan Harriz.
Balkish mengerling Ella dengan ekor mata.
“Yang kau tetiba mengilai macam Cik Pon ni kenapa?” gumam Balkish dengan geram.
Takdelah. Luculah Kish kau boleh termimpikan Harriz tu.”
Balkish mengherot bibir.
Takde yang lucunya. Dia tu kan macam hantu juga. Anggap ajelah aku mimpi jumpa hantu.”
Kemudian bibir Ella yang bergincu merah menyala itu menyengih. Badannya mengiring sedikit ke arah Balkish.
“Kau mimpi apa dengan Harriz, Kish? Bagitaulah kat aku. Mana tahu aku boleh tafsir makna mimpi kau tu,” Ella sudah mula menyibuk. Mahu mengambil tahu mimpi sahabatnya itu.
Takde apa,” malas betul Balkish nak layan Ella bila bersembang pasal Harriz. Bukan main bersemangat waja lagi sahabatnya itu. Kereta Kancil yang dipandu sudah memasuki perkarangan UiTM. Di sinilah Balkish dan Ella menimba ilmu. Sebelum mendaftar masuk ke UiTM dulu, ada juga mereka mengajak Aleya untuk turut serta sama dengan mereka. Namun sahabat yang seorang itu kata belum bersedia dan menyuruh mereka sahaja yang belajar dulu. Nanti bila pintu hati dah terbuka nak studi semula, dia akan menyusul.
Mana-manalah Cik Aleya oi. Asalkan bahagia sudah.
Ella mencebik. Kedudukannya diperbetulkan.
“Huk elek… ini tak lain tak bukan mesti mimpi kahwin dengan Harriz. Pasal tu menjerit bagai tak hengat dunia,” tebak Ella.
Balkish menggigit bibir bawahnya. Tau-tau aje si Ella ratu dangdut ni aku mimpi kahwin dengan Harriz. Nampaknya Ella memang hadir betul-betul waktu majlis pernikahan aku dalam mimpi tu.
“Dah… dah. Boleh tak stop cerita pasal Mr. Alligator tu? Kita dah sampai ni. Kau nak turun ke tidak?” omel Balkish. Dia sudah turun dari Kancil kesayangannya itu.
Dengan muka memcebik, Ella keluar dari perut kereta. Dia tak puas hati dengan Balkish yang merahsiakan tentang mimpinya itu. Beria-ia dia mahu tahu mimpi yang buat Balkish terjerit-jerit awal pagi tadi.
“Lepas habis kelas tunggu aku dekat sini. Kalau kau lewat, siaplah kena tinggal. Pandai-pandailah kau nak naik apa balik nanti,” beritahu Balkish yang sudah melangkah menuju ke dewan kuliahnya.
Ella mencebik sambil meniru cara Balkish berkata-kata itu.
Sebijik macam mak tiri bagi arahan,” komen Ella yang kemudian berganjak menuju ke kelasnya.

***************************************************************************

BERKERUT-KERUT dahi Balkish memandang Ella yang sudah terpusing-pusing kiri kanan lagak bagai kanak-kanak riang rebina yang sedang menayangkan baju barunya kepada mak ayah di tepi kereta Kancilnya itu. Bukan main lagi Ella nampaknya. Siap ketawa-ketawa manja lagi. Ini siapa pulak yang dia layan kali ni? Aduh… parah betul penyakit miang si Ella ni. Semakin hari semakin menjadi.
“Ehem…” Balkish berdehem. Bagi hint-hint sikit dekat Ella yang sudah tak sedar akan kedatangannya itu. Kalau jumpa lelaki, memang tak ingat kawan.
Ella dan teman barunya itu menoleh ke arah suara deheman halus di belakang mereka.
“Eh… Kish. Baru habis kelas ke?” soal Ella dengan mesra. Bibir mekar dengan senyuman.
Balkish sekadar mengangguk. Matanya sempat mengerling teman baru di depan Ella itu. Tak pernah nampak pun lelaki itu sebelum ini. Student baru agaknya. Tapi kalau student kenapa formal sangat cara berpakaiannya. Hurmmm… ini mesti tergolong dalam golongan budak-budak skema.
Menyedari lirikan mata Balkish, lelaki itu menghadiahkan sebuah senyuman. Membuatkan Balkish turut membalas senyuman itu. Iye la… takkan nak tunjuk muka sombong tak kena tempat pulak.
“Oh ya, Kish. Kenalkan ini Dr. Ilham. Dr. Ilham ni lecturer baru kelas kami,” beritahu Ella mengenai lelaki di depannya itu.
Balkish sekadar mengangguk sambil membalas senyuman Dr. Ilham ala kadar sahaja. Tak perlulah nak senyum over sangat. Nanti apa pula fikir lelaki itu. Jangan terjangkit dengan penyakit si Ella ni. Kalau jumpa lelaki hensem sikit aje mulalah dia senyum lebar ala-ala Julia Roberts.
Lepas berbalas senyuman dengan Dr. Ilham, Balkish meminta diri untuk masuk ke dalam perut kereta. Tak perlulah dia nak interframe perbualan antara Ella dengan lecturer baru itu. Lagipun memang sikap Balkish, dia tak mudah mesra dengan orang yang baru dikenali. Tapi itu bukan bermakna dia ni sombong.
“Okeylah, Dr. Ilham. Saya kena pergi ni. Kawan saya tu pantang betul kalau orang lewat. Mulalah membebel macam burung kakak tua,” ujar Ella sedikit berbisik. Memang gossip girl betul Ella ni. Sempat juga dia mengumpat pasal Balkish dengan Dr. Ilham yang baru beberapa jam dikenali itu. membuatkan Dr. Ilham melorek senyuman lebar mendengar kata-katanya.
Sambil ketawa kecil, Dr. Ilham mengerling ke arah gadis manis bertudung putih susu yang sudah duduk di kerusi pemandu. Gadis itu… wajahnya seperti pernah Dr. Ilham lihat. Tapi di mana, ya? Dialog Yassin Senario berkumandang dalam hatinya.
“Okeylah… saya pun dah nak balik ni,” akhirnya dia membalas. Malas hendak memikirkan di mana dia pernah lihat wajah seiras Balkish. Lagipun orang tua-tua pernah berkata, dalam dunia ni kita ada tujuh orang yang sama muka.
“Okey. Jumpa esok ye,” tutur Ella dengan hati yang berbunga-bunga. Semangat untuk datang ke kelas semakin membara-bara sejak adanya lecturer baru yang lagi muda dan tampan ini. Takdelah dia asyik menguap sebab mengadap muka Dr. Tahir Embong yang sudah tua kerepot perut bulat itu.
Ella masuk ke dalam perut kereta Kancil. Cermin kereta diturunkan.
Bye Dr. Ilham… jumpa esok tau,” ucap Ella dengan gembira. Bukan main lagi dia melambai-lambai Dr. Ilham yang turut membalas lambaiannya itu.
“Sudah-sudahlah tu, Ella oi. Tuan doktor tu dah masuk dalam kereta dia pun. Tak payahlah kau nak melambai beria-ia sangat macam tu,” sindir Balkish. Kereta Kancil sudah bergerak meninggalkan perkarangan Kampus UiTM, Shah Alam.
“Dr. Ilham tu hensem kan, Kish?” Ella minta pandangan Balkish.
“Hmmm…” hanya itu jawapan yang keluar.
“Muka dia sweet sangat. Ada iras-iras Hans Isaac gitu,” bicara Ella lagi.
Balkish menjulingkan matanya ke atas. Ella ni… asal jumpa lelaki hensem aje mesti sama dengan pelakon-pelakon lelaki yang dia minat. Nasib baiklah dia belum jumpa lelaki yang ada iras Aaron Aziz yang menjadi pujaan hati nombor satunya itu. Jika tidak… mahu pengsan agaknya si Ella ni jadinya.
“Kau ni kan… pantang nampak lelaki hensem sikit. Mulalah nak jual taik minyak. Hisy…”
Ella mencebik.
“Alaaa… kan perangai manusia ni suka tengok benda yang cantik-cantik dan indah-indah. Macam tu jugaklah dengan aku. Dahlah… jangan ganggu aku. Aku nak tidur jap. Nak mimpi bersanding atas pelamin dengan Dr. Ilham yang kacak lagi bergaya. Tak acilah kau aje mimpi kahwin dengan Harriz, Mr. Alligator kesayangan kau tu,” giat Ella seraya menyindir. Bibirnya menarik senyuman nakal.
Balkish menggigit bibir. Belum sempat dia membuka bicara, Ella terlebih dahulu memejamkan matanya. Konon-konon dia sudah tidur. Pandai betul Ella menidurkan dirinya dalam sekelip mata.
Balkish menggeleng. Bibirnya menarik senyuman segaris melihat perangai Ella itu. Macam budak-budak. Sedangkan hakikatnya Ella ni dah layak jadi mak budak. Ella dan Aleya, merekalah sahabat Balkish yang bisa menghiburkan hatinya. Dia bertuah kerana bersama Aleya dan Ella dia bebas bergelak ketawa. Berkongsi segala suka dan duka.
Namun bila ingatannya kembali menerjah kepada ibu dan tok mak, sebuah keluhan dikeluarkan. Kenapalah dia tak pernah gembira bergelak ketawa bila bersama keluarganya sendiri? Dia terasing dalam keluarga yang dia cintai.
Ketika itu juga lagu ombak rindu dendangan Hafiz dan Adira berkumandang dari corong radio. Lagu itu… ibarat permintaan dalam dirinya.

Tuhan tolong lembutkan hati dia
Untuk terimaku seadanya
Kerna ku tak sanggup
Kerna ku tak mampu
Hidup tanpa dia di sisiku

No comments:

Post a Comment