BALKISH
masih duduk sambil menongkat dagu. Masuk malam semalam sahaja, sudah tiga malam
berturut-turut dia mengalami mimpi yang sama. Mimpi bernikah dengan Harriz Tan
Sri Hamdan. Naik berpeluh dahinya disebabkan mimpi ngeri itu. Yang peliknya
setiap kali habis bersolat istikharah di tengah malam, dia pasti didatangi
mimpi tersebut. Takkanlah ini membawa makna Harriz merupakan jodoh yang telah Allah
tetapkan untuknya.
Oh tidak! Tak mungkin Harriz itu jodoh aku. Aku tak
nak jadi isteri dia. Tidak! Tidak! Tidak! Berkali-kali Balkish menggelengkan
kepala. Menghalau bayangan dia dan Harriz yang sedang bersanding di atas
pelamin.
Balkish bukannya apa. Dia memang kurang selesa
dengan Harriz. Sudahlah Harriz tu kaki perempuan. Dia tak berani nak ambil
risiko untuk memberi peluang kepada Harriz untuk mendekatinya. Dia takut hatinya
akan jatuh sayang dan lelaki itu pula akan tinggalkan dia suatu hari nanti
setelah mendapat apa yang diingininya. Pengalaman lalu mengajar dia untuk lebih
berhati-hati tentang cinta. Dia tak boleh membiarkan hatinya terluka lagi.
Namun ini bukanlah bermakna dia langsung tak akan membuka pintu hatinya kepada
mana-mana lelaki. Cuma biarlah lelaki itu yang betul-betul setia dan tak akan
meninggalkan dia suatu hari nanti.
Impiannya, biarlah dia mendapat teman hidup seperti
Imam Muda Asyraf. Yang boleh membimbingnya. Mengimamkan dia waktu solat
berjemaah. Beruntung wanita yang bernama Nurhusna Yusof kerana mendapat seorang
suami seperti itu.
Harriz? Entahlah… Balkish tak berani nak bagi
peluang kepada Harriz. Selama ni pun bila Harriz menegurnya, tak pernah dia
dengar lelaki itu memberi salam. Asyik ter’hai-hai’ je. Macam tak tahu nak bagi salam. Bukanlah Balkish kata Harriz tak
ada pengetahuan agama, cuma… entahlah, dia tak begitu yakin dengan Harriz.
Itu satu. Kedua pula Harriz itukan playboy nombor satu di KL ni. Aweks keliling pinggang. Kalau dia beri
juga peluang kepada Harriz, katakanlah dia TERJATUH cinta pada lelaki itu dan
lelaki itu tinggalkan dia kemudian hari, macam mana? Kan hidup dia juga yang
haru.
Tapi… masalahnya sekarang lelaki itulah yang hadir
dalam mimpinya setiap kali dia meminta petunjuk Allah. Nak kata itu cuma mainan
tidurnya sahaja, tak logik juga. Takkan mainan tidur sampai tiga malam
berturut-turut. Dah tu mimpi yang sama pula setiap kali.
Arghhh… Balkish menggaru kepala. Lagaknya menggaru
bagaikan atas kepala tu ada berkilo-kilo kelemumur yang sudah sebulan tak
berbasuh. Tak pun ada beribu-ribu kutu yang sedang membiak. Bukan main laju
lagi tangannya menggaru kepala yang langsung tak terasa gatal. Beginilah
Balkish kalau fikiran tengah serabut. Suka garu-garu kepala. Kekadang tu dia akan patah-patahkan
jari-jemarinya. Entahlah… mungkin dengan cara itu sahaja dia dapat menenangkan
jiwa yang kacau bilau bila kepala digaru selaju-lajunya. Sekurang-kurangnya
dapat juga meringankan beban yang berat dalam kepala otaknya ketika ini.
Aleya dan Ella saling berpandangan. Hairan binti
pelik dengan perilaku Balkish itu. Mata sahaja tertumpuh pada drama korea yang
sedang ditayangkan di saluran NTV7, sedangkan fikiran dan jiwa sahabat itu
sudah hilang entah ke mana. Daripada cara Balkish menggaru kepalanya itu,
nampaknya macam berat saja masalah yang dihadapi. Inilah masa yang sesuai untuk
pakar jiwa seperti Aleya dan Ella menampilkan diri menawar khidmat bantuan
kecemasan.
“Apa kena dengan kau ni, Kish? Macam orang ada
masalah negara aje,” soal Aleya
memulakan sesi khidmat bantuan kecemasan yang akan diberikan sebentar sahaja
lagi.
“Entah! Dah serupa orang berkutu menggaru macam tu,”
balas Ella pula. Keropok Double Decker
perisa udang disumbat ke dalam mulut. Waktu santai macam ini keropok udang Double Decker wajib menjadi hidangan
sampingan.
Balkish menghela nafas. Dia memusingkan badan
mengadap Aleya dan Ella. Wajahnya kelihatan sugul. Namun dalam sugul-sugul itu
pun matanya sempat juga melirik ke arah keropok udang Double Decker yang Ella makan. Amboi… amboi… Ella ni kan. Memang
tau! Suka sangat rampas keropok udang Double
Decker aku. Bukan main sedap lagi dia mengunyah keropok tu. Macam buat hak
sendiri aje. Hisy… nasib baik aku ada
masalah besar. Kalau tak… dah memang aku sound
awal-awal minah tingtong ni. Sempat Balkish mengomel dalam hati.
“Aku memang ada masalah negara sekarang ni. Aku tak
tau apa nak buat. Korang… korang tolonglah aku. Aku betul-betul
buntu ni. Dalam dilema sangat-sangat!” luah Balkish dengan mimik muka minta
simpati.
Berkerut-kerut dahi Aleya dan Ella. Mereka saling
berpandangan.
“Korang
janganlah buat muka pelik macam nenek kebayan tu. Aku betul-betul dalam dilema ni.
Korang tolonglah aku…” rayu Balkish
lagi. Suaranya sudah macam orang nak menangis aje.
“Iye la… iye la… kami akan tolong kalau termampu.
Tapi sebelum tu kau ceritalah kat kitaorang
apa halnya sampai kau buat muka begini?” ujar Aleya selaku ketua kumpulan
penyelesai masalah. Heheheee…
Balkish menghela nafas sekali lagi. Dia perlu
menceritakan semuanya kepada Aleya dan Ella malam ini juga. Tidak lupa dia juga
perlu menceritakan pasal mimpinya selama tiga malam berturut-turut itu kepada
sahabat-sahabatnya itu. Dia mahukan pendapat Aleya dan Ella. Lagipun, selama ini
memang tiada sebarang rahsia antara mereka bertiga. Suka duka dikongsi bersama.
Di sini, Aleya dengan Ella la keluarga yang dia ada. Apa salahnya jika
berkongsi masalah. Dapat juga dia melegakan kekusutan yang sedang melanda.
Tekun Aleya dan Ella mendengar cerita Balkish. Drama
Korea yang sememangnya menjadi kegilaan mereka bertiga sudah tidak dihiraukan
lagi. Cerita Balkish lagi menarik hati daripada drama Korea berkisar komedi
romantik itu. Sesekali ada jugalah Aleya dan Ella menyampuk cerita Balkish. Tapi
takdelah banyak sangat. Dalam 20% aje macam tu. Lagi 80% memang Balkish
seorang aje yang bercakap.
“Itu yang buat aku tak senang duduk tu,” ujar
Balkish bila ceritanya sudah habis diluahkan. Barulah lapang sikit rasa dalam
dada ni bila dah meluahkan apa yang dipendam.
“Korang
tolonglah aku. Aku bingung sekarang ni. Tak tahu nak buat apa,” sambung Balkish
lagi. Kepalanya digaru-garu. Ini kalau ada kelemumur memang dah penuh bahu baju
tidur Balkish dek kelemumur yang memutih.
“Tak tahu kenapa pulak?
Kau dah dapat jawapanlah, Kish. Takkan itu pun kau tak sedar jugak? Dah terang-terang lepas kau
bersolat istikharah yang muncul dalam mimpi kau Harriz. Itu maknanya Harriz la
jodoh kau,” balas Ella. Aduh… Kish… kenapalah kau ni bodoh sangat? Takkan tak
dapat-dapat jawapan lagi. Dah terang lagi bersuluh, itu pun tak boleh nak
fikir. Buat apa nak peningkan kepala?
Balkish mengeluh. Bukannya dia tak nampak. Cuma dia
tak berapa nak boleh terima dengan apa yang dia mimpikan selama tiga malam ini.
Takkan dengan Harriz???
“Kish… apa yang Allah beri dalam mimpi kau tulah
jawapan yang kau cari. Kau pun tahukan makna solat istikharah? Allah dah bagi
petunjuk tu,” ujar Aleya pula. Lembut sahaja nadanya. Dah persis jelmaan Mak
Aminah pula Aleya bila beraksi sebegitu.
“Tapi…”
“Kish… bagilah Harriz tu peluang. Aku dengan Ella
tau kau tak sukakan Harriz sebab dia tu playboy
nombor satu kat KL ni. Tapi tak
salahkan kalau kau bagi dia peluang untuk korang
saling mengenali hati budi masing-masing. Mana tahu dia betul-betul serius sukakan
kau. Lagipun Kish, tak semestinya dia yang suka bertukar pasangan itu jahat.
Tak semestinya orang yang nampak alim dan setia itu baik. Kau kena buka sikit
pintu hati kau untuk mengenali Harriz. Jangan nak fikir yang negatif aje pada dia,” ujar Aleya lagi.
“Tak semua lelaki tu sama Kish. Macam Eidham. Dia
nampak baik, penyayang dan setia. Tapi tengok apa yang dia buat dekat kau. Dia
lupakan kau ketika dia berada jauh dari kau. Lepas tu… apa dia lakukan
sekarang? Dia nak pujuk kau kembali ke pangkuan dia sedangkan dia dah ada Kak
Risya. Sedangkan pada zahirnya Eidham tu nampak macam lelaki budiman je kan. So… macam orang putih kata, Don't
judge a book by it’s cover… it
means not to judge people or
things by what you look like from the
outside, dear,” sambung Aleya panjang lebar. Siap speking London lagi.
Melopong mulut Ella mendengar kata-kata Aleya yang
siap speking London itu. Tak berkedip
matanya. Wow… hebat jugak budak chubby ni bagi nasihat. Boleh jadi pakar
motivasi si Aleya ni.
Balkish menghela nafas. Betul juga apa yang Aleya
katakan itu. Eidham! Lelaki itu nampak sahaja pada luarannya seorang lelaki
yang penyayang dan budiman. Namun dalam diam lelaki itu juga hampir sama dengan
sesetengah lelaki yang suka mempermainkan cinta.
“Ada sebab kenapa Allah tentukan Harriz untuk kau,
Kish. Mungkin hanya kau seorang saja yang mampu membimbing Harriz untuk menjadi
pencinta terbaik. Tak semestinya dia akan terus memegang title Mr. Alligator seperti yang selalu kau katakan tu. Buka sikit
mata dan hati kau. Jangan sebab Eidham, kau anggap semua lelaki tu sama,” tutur
Aleya lagi.
Aleya ni sesekali bercakap memang boleh tahan juga
nasihatnya. Boleh masuk hingga ke tulang sum-sum.
Ella yang duduk di sebelah Balkish itu juga sudah
kagum dengan kata-kata Aleya. Tak disangkanya Aleya boleh jadi secerdik ini
bila beri nasihat. Ingatkan Aleya ni gila-gila aje. Rupanya Aleya juga seorang yang bijak. So… Don't judge a book by it’s
cover! Heheheee…
***************************************************************************
“AKU memang pencinta wanita… namun ku
bukan buaya… yang setia pada seribu gadis… ku hanya menyintai dia… aku memang
pencinta wanita… aku memang pencinta wanita yang lembut seperti dia… ini saat
ku akhiri semua… pencarian dalam hidup… cintaku ternyata aku mau hanya dia”
Bukan main gembira lagi Harriz mengalunkan lagu
popular Irwan Shah itu. Siap mengoyang-goyangkan badannya lagi. Gembira tahap blue hyppo dia sebaik sahaja menerima
panggilan telefon sebentar tadi. Umpama mimpi dalam mimpi bila gadis pujaan hatinya
itu tiba-tiba aje menelefon untuk
mengajak dia berjumpa esok.
Aduh… cepatlah siang. Tak sabar rasanya hendak
berjumpa dengan Balkish. Melepaskan rindu dalam hati. Heheheee… Harriz sudah
tersengih miang.
Punggung dilabuhkan pada kerusi rotan yang mengadap
kolam renang. Kepala diletakkan atas tangan yang sudah disilangkan pada bahu
kerusi. Kaki pula disilang sambil digoyang-goyang dengan gembiranya. Sejak dia
dah tak mengular malam-malam begini, dia memang suka habiskan masa duduk di
kerusi rotan itu sambil merenung kolam renang yang terbentang luas. Dapat
mendongak ke langit melihat bintang-bintang yang cantik menghiasi malam.
Hai… kenapalah dulu dia tak perasan yang duduk
mengadap langit malam ni lagi bagus dari melayan muzik-muzik dan kerlipan lampu-lampu
di kelab malam tu? Kalau tahu macam ini punya seronok duduk lepak dekat rumah,
tentu dia tak akan keluar malam. Bertambah seronok bila duduk sambil ingatan
diarahkan kepada Balkish si gadis idaman. Heheheee…
Kalau dah bosan sangat, dia akan berenang untuk
menyegarkan diri. Berenang waktu malam lagi bagus daripada waktu siang.
Takdelah rasa panas. Kulit pun tak akan menjadi gelap.
“Happy
nampak. Siap nyanyi-nyanyi lagi. Ini mesti ada berita gembira,” tegur Hanni
yang baru sampai. Abangnya itu, sejak diserang penyakit angau ini memang lain
benar tingkah lakunya. Kejap senyum sorang diri, kejap lagi duduk termenung dan
kejap lagi menyanyi-nyanyi macam nak ikut pertandingan AF. Aduh… mujur AF sudah
tamat. Jika tidak, sah Abang Harriz akan menjadi salah seorang finalis AF yang
digilai ramai. Silap-silap boleh dapat jadi johan walaupun suara Abang Harriz
menyanyi takdelah sesedap mana langsung. Harap muka aje yang bagi kredit lebih. Macam Mawi dululah. Ikutkan betul,
suara Amylia lagi sedap dari Mawi. Tapi sebab Mawi ada aura yang tersendiri,
terus jadi juara AF musim ketiga. Malah Hanni sendiri tak terkecuali ada
mengundi Mawi waktu itu.
Hanni melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah
Harriz. Wajah abangnya yang kelihatan begitu berseri-seri ditatap. Sejak Abang
Harriz membuat pengakuan yang dia sudah ada teman wanita dekat mama, hubungan
Abang Harriz dengan mama kelihatan agak dingin. Mama layan Abang Harriz acuh
tak acuh sahaja. Bukan mama aje yang
sedingin salju, anak kesayangan mama Kak Hanna juga macam tu. Muncung aje mulut Kak Hanna setiap kali
bertembung dengan Abang Harriz. Biasalah Kak Hanna… kan ke Syarifah Ezora tu
geng Kak Hanna sejak dari sekolah rendah lagi. Memanglah Kak Hanna ikut sakit
hati bila Abang Harriz tak sudi nak jadikan Kak Hanna tu sebagai isteri.
Tapi Hanni… dia memang seronok bila Abang Harriznya
tak jadi nak kahwin dengan Syarifah Ezora. Dia pun ikut meluat dengan perangai gediks Syarifah Ezora itu. Tak berkenan
langsung dia nak berkakak iparkan Syarifah Ezora yang terlebih gediknya. Kak
Hanis? Macam Hanni jugalah. Ikut sama menyebelahi pilihan hati Harriz. Papa
pula, nampak aje tak sebelahkan
mana-mana pihak. Namun Hanni yakin papanya itu pasti menyebelahi Abang Harriz.
Daripada cara papa tu Hanni sudah dapat melihat, papa pun kurang berkenan
dengan Syarifah Ezora biarpun Syarifah Ezora tu anak kawan baik papa.
Harriz mengurut dada. Kursss… semangat! Terbang sebentar semangatnya dek teguran Hanni yang
mengejut itu. budak kecik ni memang suka sangat bagi dia terkena penyakit
jantung. Macam tak boleh nak bagi salam. Tiba-tiba aje tegur macam tu.
“Hanni ni tak boleh nak bagi hint-hint sikit ke sebelum tegur abang? Main sergah macam tu aje. Mujur abang tak gol tau,” rungut
Harriz. Seingatnya Hanni pergi rumah Nirmala untuk buat study group. Ni tiba-tiba pula tercegat sebelah dia sambil tayang
senyuman yang paling kiut-miut tu.
“Bukan Hanni pergi rumah Nirmala ke buat study group?” soal Harriz.
“Hmmm… orang baru balik dari rumah Mala la ni.
Nampak Abang Riz dok melangut dekat sini, jadi Hanni pun datanglah nak join sekali,” beritahu Hanni.
“Hah… apa yang Abang Riz happy sangat ni? Bukan main lagi Hanni dengar Abang Riz menyanyi.
Kalah Irwan Shah.”
Harriz sudah tayang senyuman lebar.
“Adalah. Mana boleh cakap,” kerek Harriz menjawab.
Hanni mencebik. Huk ekeleh… kereklah Abang Riz ni!
“Iye la
tu. Tak payah nak bagitau pun Hanni
tau kenapa Abang Riz happy bagai tak
ingat dunia,” perli Hanni.
Harriz tersenyum lagi. Keningnya diangkat-angkat
nakal. Cuba mendera hati Hanni yang suka sangat menyibuk urusan orang tua itu.
“Eleh… nak sembunyi-sembunyi konon. Kalau ada
masalah, Hanni juga yang Abang Riz cari,” Hanni sudah menarik muncung. Sakit
pula hatinya bila Harriz mempermainkan dia seperti itu. Pantas dia bangun dari
duduknya. Masuk dalam layan cerita menarik dalam tv lagi best dari layan Abang Harriz yang kerek itu.
“Hanni… Hanni. Alaaa… janganlah macam ni.
Sikit-sikit nak merajuk. Abang Riz main-main ajelah,” panggil Harriz bila melihat Hanni sudah mahu meninggalkan
dirinya.
“Okey… okey… Abang Riz bagitau. Hanni duk la sini dengar cerita Abang Riz ni,” ujar
Harriz.
Hanni mencebik. Tengok tu… kan dah kata. Abang
Harriz ni mesti nak cerita pada dia juga. Pantas Hanni melabuhkan semula
punggungnya di atas kerusi sebelah Harriz. Wajah Harriz yang terlebih ceria itu
dipandang.
“Hah… cakaplah. Kenapa Abang Riz happy sangat ni?” tanya Hanni tak sabar
nak tahu.
Harriz tersenyum. Kemudian dia pun mulalah
menceritakan apa yang buat dia gembira bukan main malam ini. Rasa tak sabar nak
tunggu hari esok.
Puan Sri Hanum mengerling kelibat Harriz yang
tersenyum gembira selepas menjawab panggilan telefon daripada seseorang. Bukan
main lebar lagi senyuman anak bujangnya itu. Dah mengalahkan senyuman Joker musuh ketat Batman. Beberapa hari ini muka anak itu kelihatan muram aje, tetiba pula lepas menerima panggilan
telefon sebentar tadi wajah itu berubah ceria. Siap bersiul-siul lagi.
Sejak Harriz membuat pengakuan dia sudah ada teman
wanita, Puan Sri Hanum sudah malas hendak melayan Harriz lagi. Bercakap pun
hanya hal-hal penting sahaja. Jika nak bersembang kosong, jangan harap. Dia
memang tak sudi. Hatinya masih lagi sakit dengan pengakuan Harriz itu. Beria-ia
dia mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora, anak itu pula menolak. Itu
yang buat dia bengang. Entah apalah yang istimewa sangat dengan teman wanita
Harriz itu sampaikan Harriz tergamak menolak Syarifah Ezora.
Namun dalam diam dia sebenarnya masih lagi berhajat
mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora. Cuma buat masa sekarang hatinya
masih lagi diulit rasa geram. Tunggu keadaan tenang dulu, barulah dia
menjalankan semula rancangannya. Dia nekad mahu menjadikan Syarifah Ezora
sebagai menantu. Hanya Syarifah Ezora yang layak untuk Harriz. Tak mungkin ada
perempuan lain yang lagi layak daripada anak sahabat baiknya itu.
“Itu mesti baru lepas bercakap dengan perempuan tu.
Pasal tu gembira bukan main lagi malam ni,” sindir Hanna yang turut mengerling
melihat gelak tawa Harriz dan Hanni di luar sana. Bukan main rancak lagi abang
dan adiknya itu bersembang. Siap bergelak ketawa lagi.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Geramnya bertandang
lagi.
“Mama kena bertindak cepat, ma. Jangan sampai Abang
Riz kahwin dengan perempuan yang kita tak tahu asal usulnya. Mama bukan tak
tahu perangai teman-teman wanita Abang Riz tu. Semua gila harta. Biarpun
bertudung, tapi tak semestinya hati pun baik. Ramai orang bertudung sekarang ni
jauh lagi jahat dari yang tak bertudung,” Hanna sudah mula menghasut. Dia
memang tak berkenan dengan perempuan bernama Balkish itu. Biarpun dia tak kenal
Balkish dengan lebih dekat, namun entah kenapa dia rasa tak sukakan Balkish.
Macam ada sesuatu yang tak kena sahaja. Lebih-lebih lagi Zack pernah
memberitahunya yang Balkish tu pisau cukur. Dari mana Zack kenal Balkish? Zack
kata Balkish tu teman sekelasnya ketika menuntut di sekolah menengah dulu.
Pasal itu Zack kenal Balkish. Cuma buat masa sekarang Hanna belum lagi mahu bagitau mama perilaku Balkish yang
sebenar seperti yang diceritakan oleh buah hatinya, Zack.
“Hanna ada rancangan ke?” tanya Puan Sri Hanum
kepada Hanna. Hanna menggeleng. Dia belum punya rancangan yang bagus buat masa
ini.
“Ma… mama kan boleh aje paksa Abang Riz supaya
kahwin dengan Ezora. Buat apa nak mintak persetujuan Abang Riz lagi. Abang Riz
tak akan dapat buat apa-apa kalau mama paksa dia bersungguh-sungguh. Hanna
yakin Abang Riz pasti akan tunduk jugak dengan arahan mama,” ujar Hanna.
“Tapi tak guna juga Abang Riz kahwin dengan Kak
Ezora kalau perkahwinan diorang nanti
tak bahagia. Mama nak ke lihat rumah tangga Abang Riz dengan Kak Ezora
berantakan. Lepas tu cerai-berai. Lagi malu kan kalau kahwin sebulan dua lepas
tu bercerai?” sampuk Hanni yang baru muncul di ruang tamu.
Segera Hanna dan mama berpaling. Mencerlung mata
mereka memandang budak kecik yang menyampuk itu. Tak padan dengan usia, Hanni
begitu petah berbicara.
“Hanni tau apa? Jangan menyampuk orang tua bercakap
boleh tak? Hanni tu baru enam belas tahun tau,” bentak Hanna. Kurang senang
dengan Hanni yang suka sangat membangkang kata-katanya. Mentang-mentang Hanni
ni geng dengan Abang Harriz. Selalu sangat nak menangkan abang kesayangannya
itu!
Hanni mengerling tajam ke arah Hanna. Kakaknya yang
seorang itu memang tak pernah nak sebulu dengannya.
“Biarpun Hanni ni baru enam belas tahun, tapi Hanni
tak nak tengok rumah tangga abang Hanni tak bahagia. Kak Hanna ni, kenapa? Suka
sangat masuk campur urusan peribadi Abang Riz. Apa salahnya kalau Abang Riz
berkahwin dengan perempuan yang dia suka. Apa kena mengena dengan Kak Hanna
pulak? Bukannya Kak Hanna yang nak kahwin!”
“Kau jaga sikit mulut kau tu Hanni. Aku ni kakak
kau. Aku tak nak mama dengan papa malu buat kali yang kedua pergi meminang
orang yang tak cintakan Abang Riz. Lepas tu pinangan mentah-mentah kena tolak.
Aku tak nak jadi macam kes Dhia dulu,” tekan Hanna geram. Kalau mama tak ada di
situ, mahu dicili-cilinya mulut celupar Hanni. Biar tahu hormat orang yang
lebih tua daripadanya.
“Kalau Kak Hanna mahu orang hormatkan akak, Kak
Hanna tu kena belajar orang-orang sekeliling Kak Hanna dulu. Jangan nak
mendongak langit sangat. Lagipun, Kak Hanna tak boleh nak samakan Kak Balkish
dengan Kak Dhia. Itu tak adil,” balas Hanni. Semakin geram pula dia dengan
perangai kakaknya yang seorang itu. Mentang-mentang anak kesayangan mama, Hanna
rasa cukup megah berlagak sombong.
Puan Sri Hanum sudah sakit kepala dengan
pertelingkahan dua anak daranya itu.
“Eiii… sudahlah! Diam-diam! Sakit kepala mama dengan
korang berdua ni. Dahlah… mama taulah
apa yang patut mama buat. Tak payah korang
nak masuk campur. Hah… Hanni tu, jangan nak ikut campur sangat urusan orang
dewasa. Fikir dulu pasal pelajaran. Next
year dah nak ambil SPM. Dah, naik atas ulang kaji pelajaran. Mama tak nak
Hanni malukan mama dapat keputusan yang sekadar cukup-cukup makan,” ujar mama
tegas. Dengan muka masam mama melangkah naik ke atas. Meninggalkan dua anak
daranya yang masih lagi menjeling-jeling antara satu sama lain.
Hanni ketap bibir. Tengok mama tu. Nama Hanni sorang
aje yang disebutnya. Sedangkan Kak Hanna langsung tak ditegur. Bertambah lemak
berkrimlah perangai sombong Kak Hanna tu dimanjakan sedemikian rupa. Huh! Nasib
baiklah papa tak berapa nak manjakan Kak Hanna. Kalau tidak… tak tahulah macam
mana teruknya perangai Kak Hanna jadinya.
No comments:
Post a Comment