Thursday, 7 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 16



KELUARGA Tan Sri Hamdan sudah berkumpul di halaman rumah. Tadi Harriz ada menelefon, meminta agar semua ahli keluarga berkumpul malam ini. Ada hal penting yang ingin diumumkan kepada semua. Pasal itulah Hanis, Fahmie dan anak-anak pun ada sama.
Yang peliknya, Syarifah Ezora pun tak ketinggalan untuk turut serta dalam perjumpaan keluarga Tan Sri Hamdan ini. Eheh… sejak bila Syarifah Ezora dinaiktaraf sebagai ahli keluarga Tan Sri Hamdan ni? Belum register pun dah buat muka tak tau malu nak ikut perbincangan penting ahli keluarga. Huh! Sungguh menyakitkan hati.
Puan Sri Hanum apa lagi. Siap buat layanan first class untuk Syarifah Ezora yang menjadi pujaan hatinya itu. Tak lekang senyuman di bibirnya melayan Syarifah Ezora yang buat-buat manja tahap meroyan. Geli-geleman mata Hanni tengok tingkah Syarifah Ezora yang tak tahu malu itu bermanja-manja dengan mamanya. Dari tadi tak lepas-lepas memeluk erat lengan mama. Hmmm… itu nak ambil hati la tu.
“Eiii… Hanni geram betullah tengok Kak Ezora tu Kak Nis. Mengada lebih sangat!” bisik Hanni ke telinga Hanis.
Hanis hanya tersenyum sambil menggeleng lembut. Tiada sebarang komen yang keluar dari mulutnya walaupun dalam hati dia turut bersetuju dengan kata-kata Hanni itu. Aduhai… kenapalah mama berkenan sangat dengan Ezora ni? Macam ini punya perangai… aku pun tak hingin nak jadikan sister-in-law.
“Ibu… ibu… mana Pak Ngah ni? Dari tadi abang tak nampak Pak Ngah. Abang dah tak sabar nak main tembak-tembak dengan Pak Ngah ni,” tanya Adam pada ibunya yang begitu teruja nak bertemu dengan Pak Ngahnya. Sekarang ni, Adam sudah mula menggelarkan dirinya sebagai ‘abang’ sejak dia mendapat tahu ibunya sudah ada baby dalam perut. Biarpun perut ibunya belum besar lagi sebab usia kandungan baru mencecah tiga bulan dua belas hari, namun Adam dah mula praktis membahaskan dirinya sebagai ‘abang’. Tak sabar dia nak dapat adik baru. Adam siap buat permintaan lagi. Nak adik lelaki supaya ada kawan bermain tembak-tembak dan bergusti. Alahai… Adam Izhar. So sweet!
“Pak Ngah tengah on the way la tu. Adam tunggu kejap lagi ye. Kan sabar tu separuh daripada iman. Nanti Pak Ngah sampai bolehlah Adam main tembak-tembak dengan Pak Ngah,” beritahu Hanis dengan lembut. Dia sudah tahu sangat dengan perangai Adam yang terlalu manja dengan Harriz itu.
Adam sekadar mengangguk. Dia kembali menbelek-belek pistol mainan yang baru dibelinya seminggu lalu. Langkahnya laju menuju ke arah ayah dan atoknya yang sedang bersembang-sembang.
Kalau Tan Sri Hamdan dengan Fahmie dah bersembang, tak lain tak bukan mesti berkisar pasal perniagaan dan golf.
“Betullah. Abang Riz ni kata nak umum hal penting. Tapi dia pulak yang lambat. Kak Nis rasa… Abang Riz nak buat pengumuman pasal apa ye?” Hanni menggaru-garu kepalanya. Cuba memikirkan apalah yang hendak diumumkan oleh abangnya yang seorang itu.
“Entahlah. Akak pun tak tau. Tak dapat nak teka. Hanni taulah abang kesayangan Hanni tu… penuh dengan surprise.”
“Entah-entah Abang Riz nak buat pengumuman dia nak kahwin tak, Kak Nis?” tembak Hanni. Kemudian tak pasal-pasal dia ketawa. Sampaikan berkerut dahi Hanis melihat tingkah adiknya itu.
“Hah… yang ketawa tetiba ni kenapa pulak? Macam orang dah tak betul pulak Hanni ni Kak Nis tengok.”
“Heheheee… takdelah Kak Nis. Orang cuma terbayangkan… kalaulah betul Abang Riz nak buat pengumuman yang dia nak kahwin… tentu mama, Kak Hanna dan Kak Ezora pengsan. Kan?” Hanni ketawa lagi. Bayangan wajah mama, Kak Hanna dan Kak Ezora yang sudah sakit kepala andai itu terjadi menerja lagi. Menggeletek hatinya.
Hanis menggeleng-geleng sambil tersenyum nipis. Adiknya yang seorang itu memang tak pernah sebulu dengan Hanna. Ada sahaja yang digaduhkan. Tapi kadang-kadang tak boleh salahkan Hanni juga. Hanna tu yang melampau sangat. Sampaikan dengan adik sendiri pun tak pernah nak beralah.
“Amboi… bukan main happy lagi puteri-puteri papa ni. Tergelak-gelak,” Tan Sri Hamdan mengambil tempat duduk di tengah-tengah anak perempuannya.
“Sesekali berkumpul macam ni seronok kan, pa?” ujar Hanis. Sewaktu usianya seperti Hanni, dia begitu manja dengan papa.
“Hmmm… papa kalau anak-anak, menantu dan cucu-cucu papa berkumpul, itulah saat yang paling gembira sekali bagi papa. Kalau hari-hari macam ni lagi seronok. Meriah juga rumah ni. Takdelah sunyi sangat,” telus Tan Sri Hamdan berkata.
Hanis dan Hanni bersetuju dengan papa. Seronok dan meriah rumah banglo ni bila semua orang berkumpul. Lebih-lebih dengan keletah si Adam Izhar yang sering mencuit hati itu. Memang bertambah meriah.
“Betul tu. Lagipun… takdelah asyik nak mendengar suara leteran mama aje kan, pa?” ujar Hanni dengan manja. Lengan papa dipaut mesra sambil bibir sudah tersungging dengan senyuman nakal.
Mujurlah mama duduk jauh sikit dari mereka. Jadi takdelah mama dengar apa yang Hanni cakapkan.
Tan Sri Hamdan hanya tersenyum mendengar komen Hanni.
“Yeyyy Pak Ngah dah sampai!!!” jeritan Adam membuatkan semua mata memandang ke arah Harriz yang baru melangkah masuk ke halaman rumah yang dihiasi taman mini yang indah.
Harriz segera menyambut Adam. Membawa Adam ke dalam dukungannya. Pipi si comel yang baru berusia lima tahun itu dikucup.
“Wah… semakin hencomboy la anak sedara kesayangan Pak Ngah ni,” puji Harriz.
“Mestilah. Sekarang abang dah ada girlfriend tau Pak Ngah. Bukan sorang tau. Tapi…” Bangga Adam memberitahu Pak Ngahnya sambil jarinya dinaikkan tiga. Itu bermakna dia ada tiga orang teman wanita.
Adam! Adam! Kecik-kecik dah tau pasal perempuan. Ini tak lain tak bukan tentu mewarisi perangai playboy Pak Ngah dia.
Iye? Wah… hebatlah anak sedara Pak Ngah ni. Macam inilah anak lelaki. Kena ramai girlfriend,” sekali lagi Adam dipuji. Rambut anak saudaranya itu digosok perlahan. Membuatkan Adam menepis tangan Harriz.
“Alaaa… janganlah gosok rambut abang cam tu. Tak hencomboy la nanti,” rengek Adam manja. Rengekannya membuatkan Harriz ketawa besar.
Ketika dia melangkah, matanya sempat terlihat kelibat Syarifah Ezora yang sudah mengerling-gerling manja ke arahnya. Bukan main manja lagi gadis itu dengan mama.
Eh… bukan ini perjumpaan ahli keluarga aje ke? Yang Ezora terlibat sama kenapa pulak? Bisik Harriz dalam hati. Meluat pula dia melihat tingkah Syarifah Ezora itu. Aduh… kenapalah perempuan ni tak tau malu sangat.
Late!” ucap Hanni setibanya Harriz di tempat mereka berkumpul. Jarinya mengetuk-ngetuk pergelangan tangan yang konon-konon memberi isyarat jam.
Harriz tersengih.
Sorry. Jalan jam sangat tadi. Ada accident dekat jalanan. Itu yang lambat,” beritahu Harriz.
Wajah mama digerling. Bukan main lebar lagi senyuman mama melayan Syarifah Ezora yang duduk di sebelahnya. Manakala di sebelah kanan mama pula kelihatan kelibat Hanna yang rancak menaip-naip sesuatu pada BlackBerrynya sambil tersenyum seorang diri.
“Harriz cakap nak umumkan sesuatu. Apa dia? Cakaplah cepat. Sebab mama pun memang ada pengumuman penting jugak malam ni,” ujar Puan Sri Hanum sambil tersenyum-senyum. Dia sudah tak sabar nak bagitau semua yang ada di halaman itu berkenaan dengan majlis yang telah dirancangnya.
Tan Sri Hamdan hanya mengerling sikap isterinya itu. Dia rasa sejak akhir-akhir ini sikap isterinya sedikit keterlaluan. Asyik mahu orang mengikut kehendaknya. Sedangkan isterinya itu tak pernah mahu bertolak ansur.
“Kalau iye pun, bagilah Harriz tu tarik nafas kejap Puan Sri Hanum oi,” balas Tan Sri Hamdan.
Puan Sri Hanum mencebik. Suaminya itu memang suka sangat menyebelahi anak-anak. Pasal tulah semua anak-anak rapat dengan Tan Sri Hamdan berbanding dirinya. Kecuali Hanna yang sedari kecil memang sudah begitu manja dengan dirinya.
Harriz pandang satu-persatu wajah-wajah yang ada di halaman malam itu. Semua ahli keluarga kesayangannya ada di situ. Nafasnya ditarik dalam. Kemudian dihembus perlahan. Dia sudah bersedia mahu memaklumkan kepada semua yang ada bahawa dia ingin menamatkan zaman bujang.
Semua mata memandang Harriz. Tak sabar nak tau. Alisya dan Adam yang tak tahu apa-apa itu pun pandang tepat ke wajah Pak Ngah mereka. Excited aje dua budak kecil itu mahu tahu apa yang Pak Ngah mereka ingin umumkan.
“Harriz nak kahwin,” laju ayat itu meniti keluar.
Melopong mulut semua yang hadir. Syarifah Ezora sudah tersenyum panjang. Belum pun dengar Harriz nak kahwin dengan siapa, senyumannya sudah lebar hingga ke telinga. Confident sangat yang Harriz mahu berkahwin dengannya.
“Harriz nak kahwin dengan Balkish,” sekali lagi Harriz mengatur ayatnya. Kali ini dengan lebih jelas dan menyebut tuan punya nama yang bertakhta di hati.
Kali ini semua yang hadir sudah bulat mata memandang Harriz. Begitu juga dengan Syarifah Ezora. Merah padam mukanya ketika mendengar nama perempuan yang meniti keluar dari mulut Harriz itu. Rasa hendak sahaja dia menjerit kuat. Namun cuba dikawal amarah itu bila dia mengenangkan dia kini berada di tengah-tengah keluarga Tan Sri Hamdan.
“Apa yang Harriz cakap ni?!” tinggi suara Puan Sri Hanum. Dia sudah bangun dari duduknya dengan api kemarahan yang meluap-luap.
Yes… ma. Riz nak kahwin dengan Balkish. Kami dah bincang hal ni siang tadi dan kami dah bersetuju nak adakan majlis akad nikah hujung bulan ni. Sebab tu malam ni Riz nak bincang dengan semua orang untuk meminang Balkish untuk Riz hujung minggu ni,” terang Harriz.
Nope! Mama dah ada calon untuk Harriz. Mama dah pilih Ezora untuk jadi pasangan Harriz.” bentak Puan Sri Hanum.
Sorry, ma. Riz tak cintakan Ezora. Riz….”
Belum sempat Harriz menghabiskan kata-katanya, Syarifah Ezora sudah bangun dari duduk lalu berlari laju meninggalkan taman mini yang indah itu. Laju air matanya jatuh membasahi pipi.
“Ezora... tunggu dulu,” panggil Puan Sri Hanum. Dia sudah mula mengejar anak manja sahabat baiknya itu. Begitu juga dengan Hanna. Sempat dia melemparkan sebuah jelingan maut kepada abangnya.
Hanni sudah menjerit keriangan. Berita yang baru disampaikan oleh abangnya itu merupakan berita paling hangat di pasaran ketika ini.

***************************************************************************

“HARRIZ sedar tak apa yang Harriz cakap ni? Mama tak setuju!!!” tinggi lontaran vokal Puan Sri Hanum ketika Harriz memaklumkan hal itu kepada mereka semua sebentar tadi.  Mencerlung matanya memandang Harriz. Bagai hendak ditelan sahaja anak itu.
Kesian Syarifah Ezora. Teresak-esak gadis manis itu meninggalkan rumah ini sebentar tadi.
Seperti yang Harriz jangka. Mamanya pasti akan menentang hasrat murninya itu. Kan ke mama dah berkenan mahu mengenenkan dia dengan Syarifah Ezora? Rasa mahu tergelak juga dia melihat perubahan air muka Syarifah Ezora tadi. Merah padam muka gadis itu. Itulah… sibuk sangat nak datang ikut sama dalam pertemuaan keluarga ini, kan dah frust menonggeng.
“Riz sedar, ma. Tapi ini memang pilihan Riz. Riz nak kahwin dengan Balkish,” balas Harriz.
Puan Sri Hanum mendengus kasar. Dia berdiri dekat dengan anak lelakinya itu. Tak senang hati dia dengan keputusan mendadak yang Harriz buat. Dia baru nak jalankan rancangannya mahu mengikat tali pertunangan antara Harriz dengan Syarifah Ezora. Harriz pula sudah terlebih advance mahu bernikah dengan Balkish. Memang boleh buat dia mendapat heart attack.
“Harriz memang dah melampau kan? Langsung tak nak dengar cakap mama. Apa kurangnya Ezora tu sampai Harriz beria-ia sangat nak kahwin dengan perempuan lain? Apa lebihnya perempuan tu???” bentak Puan Sri Hanum. Matanya tajam menikam wajah Harriz.
“Ma… please. Tolonglah bagi Riz peluang untuk buat pilihan sendiri. Riz cintakan Balkish. Bukannya Ezora. Riz nak kahwin dengan Balkish.”
“Kamu ni memang…” jari telunjuk Puan Sri Hanum sudah terarah dekat ke muka Harriz. Bibirnya diketap tanda geram yang teramat sangat sehinggakan susah untuk dia meneruskan kata.
“Sudahlah tu Hanum. Tak guna awak nak halang apa yang anak kita mahukan. Ini sudah menjadi pilihan dia. Biarkan ajelah. Lagipun Harriz dah besar panjang. Dah tahu pilih mana yang terbaik untuk diri sendiri,” ujar Tan Sri Hamdan yang sudah mula masuk campur. Takut kalau dibiarkan nanti lain pula jadinya. Bukannya dia tak tahu isterinya itu ada penyakit darah tinggi. Takut juga kalau-kalau tekanan darah tinggi isterinya akan naik dengan mendadak pula.
“Abang ni memang selalu nak sebelahkan si Harriz ni. Pasal tu anak ni naik minyak sangat. Buat hal ikut suka dia aje. Kalau abang rasa abang nak ikut sangat kehendak anak kesayangan abang ni… abang pergilah pinangkan perempuan tu untuk dia sorang-sorang. Saya tak nak ikut. Saya tak nak pisang berbuah untuk kali macam kita pernah pinang si Dhia tu dulu.”
“Ma… Balkish bukan Dhia. Dan Balkish tak sama dengan Dhia. Tolong jangan sesekali mama nak samakan Balkish dengan Dhia. Balkish dengan Dhia langsung tak sama.” Harriz mempertahankan cinta hatinya. Memang itulah kenyataannya. Balkish tak sama dengan Dhia!
Mencerlung mata Puan Sri Hanum memandang Harriz. Geram mendengar jawapan lantang anaknya itu.
“Apa yang tak sama? Harriz jangan nak sebelahkan sangat teman wanita Harriz tu. Jenis-jenis perempuan yang selalu Harriz angkut tu… semua mama dah faham sangat fiilnya. Bukan serius mana pun sukakan Harriz. Tapi lebih kepada sukakan harta Harriz aje.”
“Balkish bukan macam tu, ma.” sangkal Harriz pantas. Dia sudah tak tahan dengan kata-kata kesat mamanya sendiri terhadap Balkish. Mama tak kenal pun siapa Balkish, tapi sudah membabi buta menuduh Balkish sama dengan wanita-wanita yang pernah dia dampingi selama ini.
“Mama tak peduli!!! Mama tak izinkan Harriz kahwin dengan perempuan yang kita tak tahu asal-usulnya itu. Kalau Harriz nak kahwin… kahwin dengan Ezora. Ezora berkali-kali ganda lebih baik daripada teman-teman wanita Harriz tu. Mama yakin sangat kalau Harriz kahwin dengan Ezora, hidup Harriz akan bahagia. Lagipun Harriz dengan Ezora sama taraf,” dalam marah yang membara, Puan Sri Hanum sempat lagi menyatakan hasrat hatinya yang terlalu ingin menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora.
Tan Sri Hamdan menggeleng-geleng. Mujurlah Hanis dengan Fahmie serta anak-anaknya sudah pulang ke rumah. Sebaik sahaja melihat keadaan yang bakal menjadi tegang tadi, Fahmie segera mengajak isteri dan anak-anaknya pulang. Jika tidak, tak elok sangat menantu dan cucu-cucu melihat perangai isterinya yang sudah seperti orang hilang akal itu. Cakap langsung tak bertapis. Hanna dengan Hanni pun sudah diarahnya masuk ke dalam bilik masing-masing. Biar dia, isterinya dan Harriz sahaja yang duduk berbincang.
“Perempuan tu… siapa nama dia… hah, Balkish. Dia tu mesti ada niat yang tak baik pada Harriz. Pasal tu ajak kahwin dengan cara yang mengejut. Itu tak lain tak bukan mesti nak mengikis harta Harriz la tu. Perempuan macam tu… tak layak nak jadi menantu mama! Tak malu ke dia nak bermertuakan orang besar-besar macam kita ni? Sedarlah diri dia tu sikit!”
“Hanum!” suara Tan Sri Hamdan sudah melengking tinggi menyebut nama isterinya.
Terdiam Puan Sri Hanum buat seketika. Harriz juga terkejut mendengar suara papanya yang tinggi itu. Selama ini jarang benar dia mendengar papa menbentak mamanya sebegitu. Mungkin tahap kesabaran papa sudah hilang dek sikap mama yang sukar sangat dikawal.
“Sudah-sudahlah tu. Tak baik awak tuduh meluluh orang yang awak tak kenal. Kita belum kenal pun budak Balkish tu lagi. Tak tahu pun bagaimana perangainya. Jangan nak samakan dia dengan perempuan-perempuan yang pernah Harriz usung selama ni. Tak adil untuk kita tuduh dia sebegitu,” ujar Tan Sri Hamdan tegas. Tan Sri Hamdan ni sesekali bersuara memang kecut perut juga dibuatnya.
Puan Sri Hanum mendengus. Tangan disilangkan ke dada. Wajahnya masam mencuka. Sakit hatinya bila suaminya juga turut menyebelahi Harriz.
“Saya pun bukan asal dari keluarga senang-senang. Saya pun anak nelayan aje, Hanum. Tapi awak pun suka saya jugak kan? Kahwin dengan saya jugak kan? Tak semua orang susah tu hanya mahukan harta orang-orang kaya. Sebagai ibu bapa, kita kena terima pilihan anak kita. Bukannya bertindak membabi buta macam ni. Awak tak malu ke dengan Fahmie dan Hanis tadi? Dengan cucu-cucu awak? Sepatutnya awak kawal sikit diri awak tu. Jangan sampai berkelakuan seperti ini depan anak dan menantu.”
“Abang suka sangatkan sebelahkan si Harriz ni. Pasal tu anak kita ni semakin besar kepala. Bertindak ikut suka hati tanpa bincang dengan kita terlebih dahulu,” Puan Sri Hanum masih tidak berpuas hati.
“Apa yang Harriz buat sekarang ni nak berbincanglah. Hanum… boleh tak awak bertimbang rasa sikit. Jangan asyik nak ikut kehendak awak tu aje. Saya tahu awak dah janji dengan Syarifah Elina nak satukan Harriz dengan Syarifah Ezora. Tapi kalau anak kita dah ada pilihannya sendiri, biarkanlah dia dengan pilihannya. Dia yang nak bina masjid, biarlah dia yang pilih makmumnya. Kita sebagai orang tua doakan saja yang terbaik untuk dia dengan pasangannya.”
Sekali lagi Puan Sri Hanum mendengus. Tak guna bertekak dengan suaminya bila suaminya sudah menyebelahi Harriz. Nampaknya memang dia kempunan nak bermenantukan Syarifah Ezora.
“Suka hati abanglah!” bentak Puan Sri Hanum dengan muka yang masam mencuka.
“Mama tak nak ambil tahu semua tu. Mama tak nak masuk campur! Kalau Harriz rasa nak kahwin, nak buat majlis akad nikah, Harriz uruslah sendiri. Mama tak ambil peduli lagi segala urusan Harriz lepas ni,” bentak Puan Sri Hanum. Kemudian dia melangkah naik ke tingkat atas sambil menghentak-hentak kakinya sebagai tanda protes.
Harriz meraup wajahnya. Dia memang sudah menjangka tindakan mama ini. Dia memang sudah menyangka mama tidak akan bersetuju.
“Dahlah… Harriz jangan fikir sangat. Minggu depan kita pergi meminang. Perkara baik macam ni tak elok dilambat-lambatkan,” ujar Tan Sri Hamdan. Kesian dia melihat wajah sugul anak lelakinya itu. Geram juga dia dengan perangai isterinya yang semakin menjadi-jadi itu.
“Tapi mama macam mana, pa? Riz yakin sangat mama tak akan ikut serta pergi meminang,” keluh Harriz.
Takpelah. Kalau mama tak nak pergi… biar papa, Fahmie dengan Hanis aje yang pergi. Harriz jangan risau sangat. Pasal mama tu… alaaa, jangan layan sangat. Lambat-laun hatinya pasti akan sejuk. Mama tu bukannya apa… dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk Harriz. Kan Harriz satu-satunya hero di hati mama. Pasal tu dia mahukan yang terbaik untuk Harriz. Tapi cara mama tu aje yang salah. Nak Harriz ikut kehendaknya sahaja,” panjang papa berbicara.
“Dah. Harriz jangan fikir sangat. Papa naik atas dulu tengok mama. Merajuk panjanglah mama kamu tu dengan papa malam ni.”
Harriz tersenyum nipis.
Thanks, pa.” ucap Harriz. Rasa terharu bila papa sentiasa membela dirinya.
Papa memejam sekejap mata sambil tersenyum senang. Dalam hati dia mengucap rasa syukur kerana satu-satunya anak lelaki yang dia ada akhirnya sudah terbuka hati untuk mendirikan rumahtangga. Semoga wanita yang bernama Balkish itu dapat membimbing anaknya itu.

***************************************************************************

SEJAK balik dari rumah Tan Sri Hamdan tadi, Syarifah Ezora asyik mengunci diri dalam biliknya. Langsung tak mahu keluar. Jenuh Datin Syarifah Elina dengan Datuk Syed Rahman memujuk puteri kesayangan mereka itu untuk membuka pintu. Namun Syarifah Ezora tetap tidak mempedulikan mereka. Malah semakin menjadi-jadi pula tangisan Syarifah Ezora.
“Ezora sayang… kenapa ni? Tolonglah buka pintu ni. Jangan buat mummy dengan daddy risau. Siapa yang buat Ezora bersedih? Cuba beritahu mummy dengan daddy. Please open the door my dear, Ezora,” lembut suara Datin Syarifah Elina memuju anak manjanya itu. Risau sungguh rasa hatinya mendengar suara tangisan Syarifah Ezora yang semakin menjadi-jadi. Malah dia semakin bimbang bila anaknya itu mula membuang barang-barang hingga ada bunyi pecah yang kedengaran.
Darling. I risaulah. Apesal dengan Ezora tu? I rasa mesti ada yang tak kena. Pasal tu Ezora jadi macam ni.” Datin Syarifah Elina menoleh ke arah suaminya.
“I nak call Hanum la. Tentu dia tahu apa yang dah jadi pada Ezora sampai macam ni Ezora mengamuk,” pantas Datin Syarifah Elina cuba untuk menelefon sahabat baiknya itu. Hatinya kuat mengatakan amukan Syarifah Ezora malam ini pasti ada kaitannya dengan keluarga itu. Sedangkan sewaktu anaknya itu hendak berjalan ke rumah Tan Sri Hamdan tadi, bukan main berseri-seri lagi wajah Syarifah Ezora. Tapi balik sahaja dari sana, Syarifah Ezora terus mengunci diri di dalam bilik sambil menangis dan membuang-buang barang.
Nombor telefon Puan Sri Hanum didail. Bibirnya diketap. Telefon bimbit sahabatnya itu berada di luar kawasan.
“Hisy… tak dapatlah pulak,” gumam Datin Syarifah Elina. Bibirnya digigit-gigit.
Takpelah. Biar I call Hamdan. You tolong pujuk Ezora,” ujar Datuk Syed Rahman. Telefon bimbit isterinya diambil. Kemudian nombor telefon Tan Sri Hamdan dicari dan didail.
Tiga kali deringan, akhirnya talian dijawab.
“Sayang… please. Open the door. Jangan buat mummy macam ni. Apa sebenarnya yang dah terjadi? Cuba cakap dengan mummy. Kita bincang elok-elok,” suara Datin Syarifah Elina berkumandang lagi. Lembut dan penuh sabar dia memujuk anak kesayangan itu.
Kali ini suara tangisan Syarifah Ezora sudah berhenti. Suasana menjadi sunyi-sepi. Ini membuatkan hati Datin Syarifah Elina semakin menjadi tak keruan. Takut anak kesayangannya itu bertindak sesuatu yang diluar jangkaan.
“Bik! Oh… Bik! Cepat bawa ke sini kunci pendua bilik Cik Muda,” teriak Datin Syarifah Elina memanggil bibik.
Bibik yang baru hendak menyuap nasi ke dalam mulut bergegas mendapatkan kunci pendua bilik Syarifah Ezora. Dengan pantas dia memanjat anak tangga menuju ke arah Datin Syarifah Elina yang masih memujuk anak kesayangannya itu di luar bilik.
“Hah… cepatlah, bik. Yang bibik masih tercegat dekat situ buat apa lagi? Cepat bawa sini kunci penduanya.”
“Ini kuncinya, bu,” kunci diserahkan kepada Datin Syarifah Elina.
Dengan kasar kunci dirampas. Geram betul Datin Syarifah Elina dengan bibik yang lembap itu.
“Hah, yang tercegat dekat sini kenapa pulak? Dah… pergilah!” kasar Datin Syarifah Elina berkata.
Terkocoh-kocoh bibik yang sudah berusia lima puluh tiga tahun itu meninggalkan majikannya. Dalam hati terasa sayu diperlakukan sebegitu oleh Datin Syarifah Elina. Namun ditabahkan juga hatinya dengan kata-kata kesat wanita itu. Demi mencari rezeki yang halal, dia perlulah bersabar. Allah sentiasa bersama-sama hambanya yang sabar.
Bulat mata Datin Syarifah Elina melihat keadaan bilik anak tunggal kesayangannya itu. Bersepah sana-sini. Malah bunyi pecah tadi rupanya datang dari cermin solek Syarifah Ezora yang sudah terpecah dua.
Perlahan-lahan Datin Syarifah Elina menghampiri Syarifah Ezora yang sudah duduk sambil memeluk lututnya sendiri. Menangis teresak-esak tanpa bunyi.
Babywhat happened? Talk to me,” lembut suara Datin Syarifah Elina kedengaran. Berlainan sekali bunyinya bila dia sedang berbicara dengan bibik. Rambut ikal anaknya yang bewarna perang itu dibelai penuh kasih sayang.
Syarifah Ezora tidak bersuara. Cuma tangisannya sahaja yang sudah pecah kembali. Tubuh mummynya dipeluk erat.
Tersentak Datin Syarifah Elina. Laju dia turut membalas pelukan anak manjanya itu.
“Hey… kenapa ni? Siapa yang buat anak kesayangan mummy ni menangis? Bagitahu mummy. Apa dah jadi sebenarnya? Ezora janganlah asyik menangis macam ni. Buat mummy risau tau.”
“Ha… Harriz,” Syarifah Ezora cuba untuk memberitahu kejadian yang sebenar.
“Yea kenapa dengan Harriz? Apa yang Harriz dah buat dekat Ezora ni?” rasa tak sabar Datin Syarifah Elina mahu tahu. Mungkin ada sesuatu yang telah Harriz lakukan terhadap puterinya itu sehingga Syarifah Ezora menangis beria-ia.
“Ha… Harriz nak kahwin mummy. Ha… Harriz nak kahwin dengan orang la… lain,” teresak-esak Syarifah Ezora memberitahu. Kemudian tangisannya pecah lagi.
What? Are you sure my dear?” soal Datin Syarifah Elina terkejut mak beruk. Melengking tinggi suaranya.
Syarifah Ezora hanya mengangguk-angguk. Tiada suara untuk berkata-kata lagi. Hatinya sakit bercampur pedih mendengar kenyataan Harriz tadi. Andai kata gadis bernama Balkish itu ada di depan matanya, mahu sahaja dia mencekik-cekik leher gadis itu kerana begitu berani merampas Harriz daripada dia.
It’s okey. Nanti mummy cakap dengan Auntie Hanum. I’m sure Auntie Hanum tak akan bersetuju dengan perkahwinan ini. Kan Auntie Hanum sayangkan Ezora. Please, stop crying. Biar mummy handle masalah ni. Ezora tak perlu risau apa-apa,” api amarah Datin Syarifah Elina juga sudah menyala-nyala.
“Tapi…” Syarifah Ezora tidak dapat meneruskan kata-katanya. Suaranya tersekat-sekat.
“Syhhh dah, dah. Jangan banyak fikir. Mummy taulah apa yang harus mummy lakukan. Mummy tak akan maafkan orang yang dah buat anak mummy ni menangis.”
Siapa agaknya gerangan wanita yang berani sangat membuatkan anaknya itu menangis dan kecewa hingga jadi begini?
Mummy… Zora sayang sangat kat Harriz. Zora tak boleh hidup tanpa Harriz. Zora tak nak kehilangan Harriz, mummy,” rintih Syarifah Ezora dalam pelukan ibunya. Esak tangisnya kedengaran lagi.
Sayu rasa hati Datin Syarifah Elina mendengar rintihan anaknya itu. Api kemarahannya semakin meluap-luap. Ikutkan amarah yang bertandang dalam hatinya itu, mahu sahaja dia pergi ke rumah Tan Sri Hamdan dan Puan Sri Hanum malam ini juga. Tegar sungguh anak lelaki sahabat baiknya itu melukakan hati Syarifah Ezora.
“I know my princess. Dahlah. Jangan menangis lagi. Mummy promise akan paksa Harriz kahwin dengan Ezora.”
Syarifah Ezora mendongak. Memandang wajah mummynya dengan penuh harapan. Selama ini mummy dengan daddy tidak pernah menghampakan segala permintaannya. Sebutlah apa yang dia inginkan, pasti akan ditunaikan oleh mummy dan daddy.
Promise, mummy?” pintanya penuh mengharap. Dia tak mungkin akan melepaskan Harriz kepada perempuan lain.
Datin Syarifah Elina mengangguk penuh yakin. Harapan menggunung anaknya itu tak mungkin akan dihampakan.
Perlahan ada segaris senyuman mekar pada bibir Syarifah Ezora. Dia berharap agar mummy berjaya memaksa aunty Hanum menyatukan dia dengan Harriz.










No comments:

Post a Comment