Thursday, 7 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 17




Dingin malam yang menyelubungi
Hening sayu dalam hati
Berbicara bersendirian

Ku rasa resah
Selama dibuai rindu
Pada cinta yang terlalu
Terpendam di dalam hayalan

Kan ku leraikan impian indah
Kepadanya ku berserah
Mungkin tak daya
Ku tawan cinta yang sama
……………………………
Ziana Zain – Dingin

TENANG Tan Sri Hamdan berdepan dengan wanita yang berjaya mencuri hati puteranya itu. Ini rupanya Balkish. Orangnya manis bertudung litup. Budaknya juga nampak lembut dan bersopan santun. Benarlah seperti apa yang Fahmie dan Hanis beritahu padanya tadi, pilihan Harriz kali ini memang tepat. Tak salah kalau Balkish yang Harriz mahukan sebagai isteri. Balkish dengan Syarifah Ezora bagaikan langit dengan bumi.
Tak hairanlah kenapa anak bujangnya itu begitu tergila-gilakan Balkish. Sehingga sanggup melawan cakap mamanya yang mahu menyatukan dia dengan Syarifah Ezora. Sedangkan, Syarifah Ezora itu cara berpakaiannya sama sahaja dengan gadis-gadis yang pernah mendampingi Harriz selama ini.
Tadi, awal pagi Fahmie dan Hanis berjumpa dengannya. Melalui Fahmie dia mula tahu semua cerita. Rupanya selama ini Harriz selalu ke F&F Holdings bukan untuk berjumpa dengan Fahmie menguruskan soal bisnes, tapi lebih kepada mengurat setiausaha menantunya itu. Harriz… Harriz… Memalukan sungguh.
Namun Fahmie sendiri tak menyangka Balkish akhirnya jatuh cinta juga pada Harriz yang kuat menganggunya itu. Inilah kelebihan Harriz. Pakar cinta. Hingga mampu membuatkan hati Balkish yang selama ini begitu meluat dengannya boleh berubah sayang.
Balkish hanya diam membisu. Tiada bicara yang lahir dari bibirnya. Makanan yang terhidang depan mata pun hanya dicuit sedikit sahaja. Fikirannya masih memikirkan untuk apa lelaki separuh usia bernama Tan Sri Hamdan bin Razak ini ingin bertemu dengannya? Pertama kali berdepan dengan usahawan dan jutawan perniagaan yang terkenal itu, dia jadi tidak senang duduk.
“Tentu Balkish tertanya-tanya kenapa saya nak jumpa dengan Balkish, kan?” soalan pertama yang keluar dari mulut Tan Sri Hamdan setelah hampir lima belas minit mereka mendiamkan diri. Hanya menikmati hidangan yang dihidangkan di depan mata dalam keadaan yang senyap.
Balkish sekadar mengangguk. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat untuk berbicara. Memang benar telahan lelaki itu, memang dia sedang ternanti-nantikan untuk apa sebenarnya pertemuan ini. Kalau nak bincang urusan bisnes, memang sesuatu yang mustahil. Dia hanyalah setiausaha Encik Fahmie. Bukannya seorang pakar dalam bidang perniagaan untuk membincangkan urusan bisnes dengan seorang ahli perniagaan yang cukup terkenal seperti Tan Sri Hamdan.
Namun jauh dalam lubuk hatinya, dia dapat rasakan pertemuaan tengah hari itu lebih kepada membincangkan hal mengenai Harriz. Ya! Harriz Tan Sri Hamdan.
“Semalam Harriz dah beritahu pada kami semua yang dia hendak berkahwin dengan kamu. Saya tak kenal kamu, Balkish. Sebab tu saya hendak berkenalan dengan kamu. Hendak tahu dengan lebih jelas dari kamu sendiri… kenapa kamu hendak berkahwin dengan anak saya? Sedangkan kamu kan tahu perangai Harriz tu macam mana? Dia tu ramai girlfriend. Sanggupkah kamu menerima dirinya yang kaki perempuan itu?”
Dah agak dah! Memang pasal Harriz.
Balkish menarik nafas. Kemudian dihembus perlahan. Pertama kali berdepan dengan Tan Sri Hamdan, dia perlu bijak untuk berbicara.
“Maafkan saya, Tan Sri. Sebenarnya secara jujur saya katakan, saya tak menyintai anak Tan Sri,” jujur dan telusnya Balkish memberitahu. Seolah tiada rasa bersalah untuknya memberitahu perkara yang sebenar kepada lelaki itu. Tenang sahaja nada bicaranya.
Tersentak Tan Sri Hamdan mendengar jawapan gadis itu. Berani mengaku yang dia tak cintakan Harriz. Kata-kata isterinya mula terngiang-ngiang di telinga. Adakah benar telahan isterinya itu? Wanita bertudung ini hanya mahukan harta anaknya sahaja? Namun bila dia amati gadis di hadapannya itu, dia cukup yakin telahan isterinya jauh terpesong. Tapi… kenapa pula gadis ini begitu berani mengaku dia tak menyintai Harriz? Apa motifnya mahu berkahwin dengan Harriz jika dalam hati tak ada rasa cinta?
“Kalau kamu tak cintakan Harriz, kenapa kamu nak kahwin dengan Harriz? Apa yang kamu mahukan dari Harriz?” soalan yang bermain di minda diluahkan. Nadanya sedikit berbeza daripada tadi. Sedikit keras dan tegas. Namun wajah Tan Sri Hamdan masih tenang seperti tadi biarpun hatinya sudah digocak api amarah.
Siapalah yang tak marah bila ada yang berkata mahu berkahwin tapi tak cinta? Habis tu untuk apa berkahwin kalau tak cinta? Nak harta? Itukah yang diingini gadis ini?
“Jodoh, Tan Sri. Encik Harriz merupakan jodoh yang telah Allah tetapkan untuk saya.”
Berkerut dahi Tan Sri Hamdan. Tak faham dengan bicara gadis itu. Sekelumit rasa marah masih ada kerana kata-kata gadis itu sebentar tadi.
“Sebelum saya bersetuju untuk berkahwin dengan Encik Harriz, saya telah menunaikan solat istikharah. Selama tiga malam berturut-turut itulah saya mendapat mimpi yang sama. Saya lihat Encik Harriz pengantin lelaki yang menyarungkan cincin ke jari saya. Pada mulanya saya susah nak percaya mimpi tu. Saya menganggap mimpi tu cuma mainan tidur saya saja. Tapi malam keempat saya mintak petunjuk Allah, saya didatangi mimpi yang sama. Mimpi bernikah dengan anak lelaki Tan Sri. Sebab tu saya cukup yakin… Encik Harriz la jodoh terbaik untuk saya,” nafas ditarik lalu dihembus sebelum dia menyambung bicara.
“Saya tau, Tan Sri. Encik Harriz memang ramai teman wanita. Saya juga pada asalnya memang tak berkenan dengan perangai Encik Harriz yang kaki perempuan itu. Tapi bila saya dapat mimpi ni… saya mula berfikir. Tentu ada sebab dan hikmah kenapa Allah tentukan jodoh kami berdua. Saya sedar saya tak layak untuk anak Tan Sri. Bagai langit dengan bumi. Tapi percayalah cakap saya Tan Sri. Saya berkahwin dengan Encik Harriz bukan kerana saya mahukan harta keluarga Tan Sri. Sebesar kuman pun saya tak pernah terfikir mahu membolot harta kekayaan keluarga Tan Sri. Apatah lagi mahu menumpang senang,” panjang lebar Balkish mengulas.
Perasaan Tan Sri Hamdan tiba-tiba sahaja menjadi tenang dan sejuk mendengar pengakuan gadis itu. Rasa seperti memang inilah wanita yang layak untuk anaknya itu. Belum pernah dia bertemu dengan wanita yang sudi berkahwin dengan anaknya hanya kerana mimpi. Selama ini, jika ada wanita-wanita yang mendampingi Harriz, semua mahukan duit anaknya itu sahaja. Jika wanita ini sudi menerima anaknya yang kaki perempuan itu hanya disebabkan mimpi yang Allah berikan untuknya, jadi kenapa tidak dia sudi menerima wanita yang baik ini untuk menjadi menantunya. Memang benar… mungkin hanya Balkish yang mampu mengubah diri Harriz yang kerap berfoya-foya itu.
Lagi pula, sejak akhir-akhir ini dia sendiri melihat perubahan dalam diri Harriz. Anaknya itu sudah tidak keluar malam lagi. Di Elite Corporation, Zatul sering memaklumkan bahawa bosnya selalu berada di pejabat waktu pejabat. Tidak lagi suka mengular macam dulu. Bawa teman-teman wanitanya masuk ke pejabat pun tidak. Bila ada di antara teman-teman wanitanya yang membuat panggilan ke pejabat, Harriz sudah tidak pernah menjawab panggilan yang dibuat. Asyik memberi alasan sibuk memanjang. Kira disiplin Harriz kian cemerlang sejak tiga empat bulan ini disebabkan Balkish. Jika keluar pun hanya pergi ke pejabat Fahmie. Konon nak bincang urusan bisnes yang bakal diusahakan bersama-sama abang iparnya itu. Tak sangka anak itu ke sana kerana hendak mengurat gadis bertudung ini.
Harriz… Harriz. Memang otak perempuan. Tapi dia bersyukur kerana perempuan pilihan Harriz adalah perempuan seperti yang berada di depan matanya ini. Yang sedap mata memandang.
Tiba-tiba Tan Sri Hamdan tersenyum lebar. Dia menarik nafas lega. Walaupun terbit juga sedikit rasa terkilan, namun dia yakin pasti wanita ini yang terbaik buat anaknya itu.
“Tapi sanggupkah awak hidup dengan lelaki yang awak tak cinta?” Tan Sri Hamdan tetap mahu menduga. Sudikah Balkish bernikah dengan Harriz yang tidak dicintai itu?
Balkish mengukir senyuman segaris. Membalas senyuman Tan Sri Hamdan yang dirasakan ikhlas buatnya.
“Pada awalnya memang saya tak sanggup. Tapi saya kena belajar untuk menerima. Bukankah pemberian Allah itu adalah yang terbaik untuk kita sebagai hambanya, Tan Sri?” jawapan yang diakhiri dengan soalan kepada Tan Sri Hamdan.
Laju kepala lelaki itu mengangguk-angguk. Inilah menantu yang dia impikan untuk Harriz. Bijak! Biarpun ada sedikit rasa terkilan dalam hatinya. Kenapa Balkish tidak sukakan Harriz? Namun jawapan gadis bertudung itu yang mengatakan dia akan cuba belajar menyintai Harriz, membuatkan dia menarik sedikit nafas lega. Sebagai ayah kepada Harriz, dia akan mendoakan kebahagian anaknya itu dengan wanita ini.
Cuma perkhabaran ini tidak boleh sampai ke pengetahuan isterinya. Dia yakin isterinya itu tidak akan bersetuju untuk Harriz berkahwin dengan Balkish andai dia tahu keadaan yang sebenar. Sedangkan sekarang ini pun isterinya itu sudah menentang habis-habisan. Apatah lagi jika isterinya itu tahu keadaan yang sebenarnya. Biarlah dia seorang sahaja yang mengetahuinya.
“Tak salah Harriz pilih Balkish. Lega rasanya hati saya bila Balkish dah berkata begitu. Sekurang-kurangnya saya dah ada jawapan untuk semua soalan. Tak adalah menjadi teka-teki lagi.”
“Maafkan saya Tan Sri. Saya tahu keputusan kami untuk mendirikan rumah tangga ini sesuatu yang amat mendadak dan terburu-buru. Tapi… saya tak mintak buat majlis besar-besaran, cukuplah sekadar majlis akad nikah sahaja. Itu pun sudah memadai buat saya.”
Takpe, Balkish. Saya merestuinya. Saya cuma berharap agar Balkish boleh mengubah Harriz menjadi lelaki yang baik. Menjadi suami yang bertanggungjawab. Besar harapan saya agar Balkish dapat membimbing Harriz kembali ke pangkal jalan,” besar harapan Tan Sri Hamdan kepada Balkish. Hatinya berasa yakin bahawa gadis itu sahaja yang mampu mengubah perangai kaki perempuan anak bujangnya itu. Lagipun jika bukan gadis ini mempunyai auranya yang tersendiri, tak mungkin anaknya itu serius untuk mendirikan rumahtangga. Dia tahu Balkish pasti boleh mengubah anaknya itu. Mengembalikan Harriz yang dulu kepada mereka semua.
Balkish sekadar mengangguk perlahan. Nampaknya awal-awal lagi Tan Sri Hamdan sudah meletak satu harapan ke atas bahunya.
“Insyaallah, Tan Sri. Saya akan cuba sedaya-upaya saya. Saya pun bukannya sebaik mana. Terima kasih… sebab beri restu Tan Sri kepada kami,” luhur Balkish berkata. Lega rasa hatinya kerana lelaki itu memberi restunya kepada mereka. Sekurang-kurangnya masjid yang bakal dibina mendapat restu daripada salah seorang orang tua Harriz.
“Tapi sebelum tu uncle nak mintak sesuatu daripada Balkish,” Tan Sri Hamdan sudah mula ramah. Jika tadi dia membahasakan diri dengan menggunakan ‘saya’, tetapi kini dia sudah membahasakan dirinya sebagai ‘uncle’.
“Apa dia Tan Sri?” Balkish masih seperti tadi. Masih memanggil lelaki separuh usia itu dengan panggilan Tan Sri. Janggal dia mahu memanggil ‘uncle’ biarpun Tan Sri Hamdan sudah memulakan panggilan itu. Kalau usia ayah masih panjang hingga kini, tentu ayah juga sudah sebaya Tan Sri Hamdan. Fikir Balkish. Terbit kerinduan pada kasih sayang seorang ayah yang tak pernah dirasainya.
“Boleh tak tarikh nikah kita lewatkan ke bulan depan? Maksud uncle pertengahan bulan depan. Kalau nak buat majlis akad nikah hujung bulan ni, rasanya tak sempat kita nak buat elok-elok. Tinggal dua minggu aje lagi. Dah kelam-kabut sangat. Kalau Balkish setuju, hujung minggu ni uncle dengan rombongan akan datang meminang. Lepas tu kita bolehlah buat persiapan yang simple-simple seperti yang Harriz dan Balkish inginkan. Boleh?”
“Saya ikutkan saja mana yang baik, Tan Sri,” jawab Balkish tanpa banyak songeh.
Tan Sri Hamdan tersenyum puas.
“Baguslah kalau macam tu. Eh… asyik sangat kita bersembang. Balkish… jemputlah makan,” senang hati Tan Sri Hamdan bila gadis itu mahu bertolak-ansur. Sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai masa untuk membuat persiapan majlis pernikahan Harriz yang bakal dilangsungkan awal bulan depan. Insyaallah.

***************************************************************************

BUKAN main masam lagi wajah Datin Syarifah Elina ketika itu. Langsung tak ada sedikit senyuman pun. Dah macam muka Mak Lampir nak mengamuk pulak muka mak datin sorang tu. Jika bukan kerana dia memikirkan Puan Sri Hanum itu sahabat baiknya dari kecil lagi, mahu sahaja dia mengheret Syarifah Ezora untuk pulang ke rumah. Sakit benar hatinya bila mendapat tahu berita itu daripada suaminya semalam. Padanlah Syarifah Ezora menangis beria-ia, rupa-rupanya anak lelaki Puan Sri Hanum telah merobek hati anak kesayangannya itu. Sesuatu yang terlalu sukar untuk dimaafkan!
“Kalau bukan sebab kita ni kawan dari kecil, I tak hingin nak berjumpa dengan you lagi, Hanum. Sampai betul hati Harriz lukakan hati Ezora. Apa kurangnya anak I ni sampai Harriz tolak Ezora? Ezora lengkap segala-galanya. Dia cantik, berpendidikan tinggi, berharta dan lahir dari keluarga yang berada. Apa lain yang kurang tentang Ezora sampai Harriz bukan main sombong lagi menolak anak I ni?” hati Datin Syarifah Elina masih panas membara.
Syarifah Ezora yang mendengar kata-kata pujian mummynya mengenai dirinya itu sudah kembang hidung. Bangga bukan main lagi dia. Mujurlah matanya berselindung dek cermin mata hitam saiz pepatung yang dipakainya. Jika tidak… tentu semua nampak betapa bersinarnya mata Syarifah Ezora kerana pujian melambung tinggi itu.
I’m sorry, El. I tahu Harriz tak patut lukakan hati Ezora. I pun bengang dengan anak I tu. Sejak berkawan dengan perempuan tu… bukan main berani lagi Harriz melawan cakap I. Apa I cakap semua dia tak nak dengar. Semua nak nak berpihak dekat perempuan tu!” adu Puan Sri Hanum dengan nada geram yang tak sudah. Semalaman dia merajuk dengan suaminya. Merajuk kerana suaminya begitu mengikut kehendak Harriz.
“Entah-entah budak perempuan yang hendak berkahwin dengan Harriz tu dah bomoh-bomohkan anak you tak? Pasal tu Harriz semakin berani melawan cakap you. Alaaa… zaman sekarang ni, bomoh-bomoh tu masih ada lagi.”
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Ada kemungkinan juga cakap Datin Syarifah Elina itu. Siapa tahu, kan? Mungkin benar anaknya telah diberi ubat guna-guna. Sebab itulah Harriz tak mau dengar cakapnya lagi.
“Habis tu sekarang ni macam mana? Harriz dah sakitkan hati Ezora. Harriz pun dah nak kahwin dengan perempuan tu. Apa lagi yang kita ada? Nampaknya impian kita nak berbesan hanya tinggal angan-angan ajelah, Hanum. Kalau I tau Harriz bakal lukakan hati anak I ni… I tak akan sesekali ikut rancangan you untuk satukan diorang. Ini semua salah you, Hanum. You yang paksa sangat Harriz disatukan dengan Ezora. Tengok macam sekarang, anak I dah jatuh cinta pada anak you yang kaki perempuan itu. Tapi anak you pula dengan senang hati hancurkan hati anak I. Memang melampau!” meluap-luap api kemarahan Datin Syarifah Elina. Dia memang tak boleh lihat anaknya bersedih. Sakit benar hatinya.
“El, you janganlah cakap macam tu. Majlis akad nikah tak langsung pun lagi. Kita masih ada harapan nak satukan Harriz dengan Ezora.”
Mencerlung mata Datin Syarifah Elina memandang Puan Sri Hanum yang masih meninggi harapannya mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora.
“Harapan apa lagi yang kita ada? Anak you dah tolak anak I. Dah terang-terang dia tak sukakan Ezora. So… harapan apa lagi yang you maksudkan kita ada?” bertubi-tubi Datin Syarifah Elina melontarkan soalan.
“El, you janganlah buat macam ni pada I. Kan kita kawan baik dari kecil. You pun tau kan I begitu sayangkan Ezora. I pun mahu Ezora jadi menantu I juga.”
“You aje yang beria-ia mahukan anak I ni jadi menantu you. Tapi anak you si Harriz tu langsung tak pandang Ezora. Macam mana nak kahwin?”
Puan Sri Hanum menghela nafas. Dia sedar sahabatnya itu sudah naik angin. Namun dia tetap tidak boleh menyalahkan Datin Syarifah Elina. Ini semua berpunca daripada… Balkish! Ya… perempuan bernama Balkish itulah yang menjadi segala punca bagi masalah ini.
“Sudahlah Hanum. Lupakan saja pasal nak berbesan tu. I dah tawar hati nak berbesan dengan you. You pun bukannya dapat buat apa-apa lagi. Tak dapat pun nak halang keinginan anak you untuk berkahwin dengan perempuan lain. So… buat apa lagi I nak mengharap untuk kita berbesan.”
“Tapi El…”
“Sudahlah. I nak balik. I dah malas nak cakap benda yang menyakitkan hati ni. I doakan aje you dapat menantu yang baik. Jangan you dapat anak hantu jadi menantu sudahlah,” pantas tas tangan bewarna keemas-emasan di sisi meja dicapai.
“Jom Ezora. Kita balik,” arah Datin Syarifah Elina kepada Syarifah Ezora yang duduk diam sedari tadi. Dia ingin menyampuk. Namun suaranya seolah-olah tersekat. Dia berharap dapat berkahwin dengan Harriz, namun ini pula yang jadi. Mummy benar-benar naik berang bila Auntie Hanum kata tak dapat nak halang Harriz daripada berkahwin dengan perempuan pilihannya itu. Lebih-lebih lagi bila Uncle Hamdan sudah menyebelahi pihak Harriz. Sedih rasanya hati Syarifah Ezora. Rasa mahu meraung sahaja dia di situ. Peduli apa orang lalu-lalang tengok.
Puan Sri Hanum mengerling ke arah Syarifah Ezora yang bercermin mata besar itu.
Auntie akan pastikan Harriz akan berkahwin juga dengan Ezora suatu hari nanti. Auntie begitu sayangkan Ezora,” ujar Puan Sri Hanum pada Syarifah Ezora. Jemari anak itu diramas lembut.
Syarifah Ezora sekadar mengangguk lemah. Dia juga memang berharap sangat dapat berkahwin dengan Harriz. Hatinya sudah diberikan sepenuhnya kepada lelaki itu. Dia tak sanggup kehilangan Harriz. Biarpun Harriz tidak menyintainya, dia tetap mahu memilik Harriz. Tiada perempuan lain yang boleh merampas Harriz daripadanya.




No comments:

Post a Comment