Thursday, 7 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 18



 KOTAK cincin baldu bewarna merah hati itu dibelek-belek. Kemudian cincin emas putih bertakhtakan tiga butir berlian dikeluarkan. Tersenyum-senyum dia sendirian memerhati cincin itu. Semalam, dia langsung tak masuk ofis kerana cincin itu. Habis semua kedai emas di Suria KLCC dia masuki semata-mata hendak mencari cincin yang terbaik untuk bakal isteri tercinta. Hehehe… sampaikan Kak Hanis merungut dengan mengatakan dia begitu cerewet mengalahkan orang perempuan mencari barang. Kesian Kak Hanis. Demi adik kesayangannya ini, dia turutkan juga permintaan Harriz yang minta dia temankan untuk mencari cincin nikah. Kata Harriz, Hanis seorang yang begitu pakar mengenai barang kemas. Tentulah kakaknya itu pandai membuat pilihan yang terbaik.
Nak harapkan mama? Hmmm… sejak Harriz mengumumkan bakal bernikah dengan Balkish tak lama lagi, mama dah buat perang dingin dengan Harriz. Bila bertembung, mama buat tak layan aje dengan kehadirannya. Atas meja makan pula, mama langsung tidak menghiraukan Harriz lagi. Mama seolah-olah menjadi Snow Queen yang begitu dingin dan beku.
Di sini, bermula daripada staf yang bekerja di bahagian lobi sehinggalah yang bekerja di tingkat enam bangunan Elite Corporation, semua asyik membicarakan perihal berkenaan majlis pernikahan anak tuan punya Elite Corporation yang akan berlangsung awal bulan depan. Cepat benar berita tersebar. Ada yang berbisik baik, ada juga yang berbisik jahat. Menabur fitnah dengan mereka pelbagai preskulasi sendiri. Kalau benar takpelah jugak. Ini semuanya auta belaka. Namun itu semua tidak dihiraukan oleh Harriz. Dia sudah lali dengan semua perkara seperti itu. Yang penting, dia tahu apa yang dia lakukan.
Cincin berlian itu dibelek sekali lagi. Senyumannya kian melebar. Rasa tak sabar dia menunggu saat-saat bahagia bergelar suami kepada Balkish. Harap-harap saiz jari Kak Hanis ini sama dengan saiz jari Balkish.
Semalam papa ada memberitahunya, papa akan menghantar rombongan meminang Balkish hujung minggu ini. Dan majlis akad nikah pula akan berlangsung awal bulan depan. Syukurlah… papa tidak menentang seperti mama.
Teringat Balkish, rasa rindu itu mula menyerbu. Lantas Samsung Galaxy Note yang berada di atas meja dicapai. Nombor telefon Balkish dicari lalu didail. Bibirnya mengukir senyuman paling indah kala panggilannya dijawab di hujung sana. Terus dia bangun dari duduknya. Bergerak sedikit dan membuang pandangan ke luar. Kuala Lumpur memang tak pernah lekang daripada kesibukan. Dari tingkat lima bangunan Elite Corporation, dia boleh lihat dengan jelas kesibukan kota. Malah dari dalam biliknya ini, dia juga dapat melihat bangunan indah KLCC yang tinggi.
“Haiyou. Tengah buat ape tu?” soalan pertama daripada Harriz ketika Balkish menjawab panggilan telefon yang dibuatnya.
“Assalammualaikum, Encik Harriz. Kita ni orang Islam… kan elok kalau bagi salam dulu sebelum menyapa,” tegur Balkish di hujung talian.
Harriz ketawa kecil. Rambutnya digaru perlahan.
“Waalaikumussalam. Sorrylah. Tak sengaja. Dah terbiasa.”
“Lain kali tu belajar bagi salam. Jangan nak ter’hai-hai’. Kita ni orang Islam. Bukannya orang putih,” gumam Balkish lagi.
“Okey. Lain kali I akan bagi salam dulu. Okey, sayang?” romantik sungguh suara Harriz memanggil Balkish dengan panggilan sayang.
“Ufff jangan panggil sayang boleh tak?” pinta Balkish. Geli-geleman dia bila Harriz memanggilnya seperti itu.
Harriz ketawa kecil. Alahai… Balkish. Pantang diusik mulalah nak melatah.
“You ni tak boleh nak berguraulah, Kish. Apa salahnya kalau I panggil you sayang? Kan tak lama lagi kita akan menjadi suami isteri. Kenalah praktis awal-awal panggil ‘sayang’. You tu pun… kenalah mula belajar dan sesuaikan diri panggil I ‘abang’. Jangan nak ber‘encik-encik’ lagi,” Harriz sudah ketawa-ketawa.
“Tolong sikit ye Encik Harriz. Kita masih ada tiga minggu lagi untuk majlis ni berlangsung. Dalam tempoh tu, macam-macam perkara boleh jadi. Kalau Encik Harriz terlebih sangat nak menggatal, saya dengan ringan hati akan membatalkan majlis ni,” Balkish sudah mula mengugut. Hanya itulah satu-satunya cara buat Harriz berhenti beromantik-romantik dengannya. Geli benar dia mendengar.
“Alaaa… you ni. Sikit-sikit nak batal majlis. I main-main ajelah. Oh ye… bila you nak balik kampung beritahu family you pasal perkara ni?”
“Hari ni,” pendek Balkish menjawab.
“Hari ni?” soal Harriz dengan dahi yang berkerut-kerut.
“Ha’ah. Saya di airport sekarang ni. Nak balik kampung. Saya mintak cuti dua hari,” Malas hendak disoal-siasat lebih-lebih, Balkish terlebih dahulu memberitahu.
“Kenapa tak bagitau I?” keluh Harriz. Kecewa sangat dia bila Balkish langsung tak bagitau dirinya. Uwaaa… Rasa macam nak menangis pun ada. Pasti dia akan merindui kekasihnya itu.
“Untuk apa saya nak bagitau Encik Harriz pulak?”
Iye la. Kalau tak… boleh I ikut you balik kampung. Boleh I berkenalan dengan bakal mak mertua I. Jadi bila kita kahwin nanti takdelah I nak segan sangat dengan keluarga you. You taulah… I ni penyegan orangnya.”
Takde maknanya, Encik Harriz. Dahlah… saya dah nak boarding ni. Encik Harriz ni takde kerja lain ke selain menganggu saya hah?”
“Heheheee… I ada banyak kerja. Tapi I tak dapat nak buat kerja sebab asyik terbayangkan wajah you. I miss you so much my sweet prin…”
Tuttttttttttt… tuttttttttt… tuttttttt…
Belum pun sempat Harriz menghabiskan ayatnya, Balkish sudah mematikan talian.
Harriz memandang telefon bimbitnya. Kemudian bibirnya tersungging senyuman nipis. Balkish… Balkish.
Pantas dia mula menaip sesuatu.

‘I miz u so much my sweet princess. Muah…’

Kemudian mesej jiwang karat itu disend kepada Balkish. Selang sesaat, buat pertama kali dalam hidupnya mesejnya dibalas oleh Balkish.

‘I hate u!!!!!’

Harriz suda ketawa membaca balasan itu.
“Balkish. Aduh… tak sabar nak jadikan kau milik aku,” ucap Harriz sendirian. Melayan hati yang tengah berbunga cinta.

***************************************************************************

SAMPAI sahaja di Lapangan Antarabangsa Senai, Johor Bahru, Balkish terus mengambil teksi yang banyak berhenti mengambil penumpang di luar airport. Dia mengarahkan pakcik teksi untuk membawanya ke tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Melayu Majidee. Sudah lama dia tidak menjenguk kubur arwah ayah dengan mamanya di situ. Terasa kerinduannya terlalu mencengkam jiwa.
Sejak dia tahu siapa dirinya yang sebenar, barulah dia tahu kubur sebelah arwah ayah itu merupakan kubur arwah mamanya. Dulu setiap kali hari raya menjelma bila mereka sekeluarga menziarah kubur, dia tak pernah tahu itu adalah kubur arwah mamanya. Malah ibu dengan tok mak pun tak pernah memberitahunya itu adalah kubur arwah mama.  Cuma Batrisya ada memberitau, kubur sebelah arwah ayah itu merupakan kubur mak cik.
Pada waktu itu dia memang tak tahu makcik yang dimaksudkan oleh Batrisya adalah kubur mamanya. Namun, hatinya sering berdebar setiap kali memandang kubur itu. Dan dia dengan Batrisya sering membacakan surah Yaasin pada kubur itu bila ada peluang menziarahi kubur arwah ayah. Rupa-rupanya, kubur yang dia tak pernah tahu selama ini milik mamanya itu merupakan kubur seorang wanita yang telah melahirkan dia ke dunia ini.
Selesai membaca Yaasin dan memohon doa ke hadrat Ilahi untuk arwah ayah dan mamanya, Balkish duduk sekejap. Batu nisan kedua-dua kubur yang bersebelahan itu diusap lembut. Sayu rasa hatinya.
“Maafkan Kish mama, ayah. Sebab dah lama sangat tak datang jenguk mama dengan ayah. Bukannya Kish lupakan mama dengan ayah, cuma keadaan Kish waktu tu tak berapa nak mengizinkan untu Kish ke sini. Tapi… Kish tak pernah lupakan mama dengan ayah. Mama dengan ayah tetap ada di hati Kish,” ujar Balkish sambil melekatkan tangannya ke dada. Tanda di situ arwah mama dengan ayah tetap dikenang. Batu nisan mamanya diusap perlahan. Terasa air matanya sudah mengalir lesu ke pipi. Biarpun dia tak pernah jumpa mamanya, tak pernah rasa pelukan mamanya, namun dia begitu yakin mamanya seorang wanita yang penyayang. Dia rindukan mama!
“Ma… Kish begitu rindukan mama. Kish tak pernah jumpa mama. Tapi Kish yakin… mama pasti seorang wanita yang baik dan tabah menghadapi dugaan hidup. Bukan seperti yang selalu tok mak katakan pada Kish. Kish yakin mama tak sekejam itu,” sayu Balkish berbicara sendiri. Air mata semakin deras mengalir. Biar tak pernah berjumpa dengan wanita itu, namun dia begitu rindukan belaian seorang ibu. Selama hidupnya, dia tak pernah merasa kasih sayang itu.
Ibu? Dalam hati ibu dia hanyalah insan asing yang menyusahkan. Kehadirannya tak pernah disenangi oleh ibu dan tok mak sejak dari dulu lagi. Semakin pilu rasa hati Balkish bila mengenangkan layanan ibu dan tok mak kepadanya selama ini. Seperti dia memang tiada pertalian darah dengan mereka berdua. Entah sampai bilakah ibu dan tok mak terus melayannya sebegini.
Perlahan… nafas ditarik panjang-panjang. Kemudian dihembus. Dia perlu menenangkan dirinya. Ada perkara yang lebih penting hendak dimaklumkannya kepada semua hari ini. Disebabkan itulah dia telah mengambil cuti selama dua hari mulai hari ini. Mujurlah Encik Fahmie seorang ketua yang cukup memahami. Terus sahaja bosnya itu memberi kelulusan untuk dia mengambil cuti. Nampaknya minggu ini dia terpaksa dia ponteng kelas.
Pertama kali dia ponteng kelas sejak dia mengikuti PJJ di UiTM. Dia sudah memaklumkan hal itu kepada Dr. Saadiah, lecturer yang bertanggungjawab dalam kelasnya. Alhamdulillah… mujurlah Dr. Saadiah memberikan dia kebenaran. Tapi nampaknya dia kenalah bekerja keras mengejar mata pelajaran yang ketinggalan untuk dua hari itu.
“Ma… ayah, Kish datang hari ni sebab Kish nak bagitau mama dengan ayah… Kish akan bernikah awal bulan depan. Restui Kish, ma… ayah. Kish takut dengan keputusan yang Kish ambil. Tapi… Kish perlu berkorban demi Kak Risya. Kish begitu sayangkan kakak. Kish mahu lihat Kak Risya bahagia,” nafas dihela. Air mata yang mengalir diseka dengan belakang tangan.
Kemudian tangan ditadah. Dia membacakan surah Al-Fatihah untuk arwah ayah dan mamanya. Botol mineral berisi air putih disiram perlahan-lahan pada tanah kubur arwah ayah dan mama.
“Kish balik dulu, ma… yah. Insyaallah, jika dipanjangkan umur Kish akan datang lagi melawat ayah dengan mama.”
Dengan berat hati, Balkish berlalu meninggalkan kawasan tanah perkuburan itu.

***************************************************************************

CONGRATULATIONS… Kish! Akak gembira dengar berita ni!” ucap Batrisya sambil memeluk erat tubuh adik tercinta. Pipi Balkish dikucup berulang kali. Gembira bukan main lagi dia bila Balkish memaklumkan kepada mereka semua bahawa adiknya itu ingin menamatkan zaman bujang.
Balkish sekadar menarik senyuman nipis. Matanya sempat mengerling reaksi ibu yang duduk di hadapan. Tiada sebarang respon yang ditunjukkan oleh ibunya. Diam tidak berkutik. Senyum pun tidak. Tok mak yang duduk di sebelah ibu pula masam mencuka. Begitulah wajah tok mak setiap kali dia ada di sini. Terusik hati Balkish melihat tingkah ibu dan tok mak.
Thanks, Kak Risya,” balas Balkish lembut. Hanya Batrisya sahaja yang menunjukkan reaksi suka bila dia memberitahu hal itu. Yang lain semua buat tak ambil kisah sahaja.
Eidham, matanya tajam merenung wajah Balkish.
“Hurmmm… kahwin tergesa-gesa ni mesti ada perkara tak elok dah terjadi. Entah-entah dah ‘berisi’.” Sinis dan pedih sekali sindiran yang tok mak berikan kepada Balkish. Hingga membuatkan Batrisya mengerling neneknya itu. Tok mak ni memang suka main lepas cakap.
“Tak baik tok mak cakap macam tu. Risya yakin Kish tak akan buat perkara yang memalukan.” selar Batrisya dengan tegas. Jika berkaitan dengan Balkish, dialah orang pertama yang akan mempertahankan adiknya itu.
Tok mak mencebik. Dia bangun dari duduknya. Tak suka dia hendak duduk lama-lama di ruang halaman rumah itu bila Balkish ada sama. Sakit segala isi dalamannya setiap kali memandang wajah Balkish.
“Risya tau apa? Orang sekarang ni… lebih-lebih lagi yang keturunan memang dah suka buat onar tu… jangan disangka baik alim sangat. Nampak aje bertudung, tapi dalam hati tu tak sebaik yang disangka,” bidas tok mak lagi. Meluat benar dia melihat wajah Balkish. Kenapalah gadis itu kerap sangat balik ke sini sejak kebelakangan ini? Buat hatinya bagai disiat-siat.
Mencerlung mata Batrisya mendengar kata-kata tok maknya yang sudah mula melangkah masuk ke dalam rumah. Tok mak memang dah keterlaluan. Semakin tak ditegur sikapnya itu, semakin menjadi-jadi pula. Ibu pula langsung tak mahu bersuara menegur sikap tok mak yang dah menjadi-jadi. Ini yang buat Batrisya sedikit terkilan dengan sikap ibu.
Rasa hendak sahaja dia menjawab, namun genggaman jemari Balkish dan isyarat mata adiknya itu menghentikan niatnya itu.
Balkish menarik senyuman segaris bila Batrisya mengalah. Dia tak mahulah Batrisya dan tok mak bertegang urat hanya kerana dirinya. Biarkanlah. Dia sudah lali dengan caci-maki tok mak itu.
Hajah Badariah juga sudah kelihatan bangun dari tempat duduknya. Wajahnya langsung tidak memberi sebarang reaksi terhadap berita yang Balkish sampaikan sebentar tadi. Sedangkan dia patut memeluk anak itu dan mengucapkan terima kasih kerana Balkish sudi mengikut kehendaknya. Namun entah kenapa, mulutnya begitu sukar mengungkapkan kata terima kasih itu buat Balkish. Malah hatinya turut berkata-kata, memang wajar Balkish berkorban untuk Batrisya kerana selama ini Batrisya begitu menyayangi Balkish.
“Ibu nak ke mana?” soal Batrisya bila lihat ibunya sudah bangun seolah-olah ingin berlalu.
“Ibu nak masuk dalam. Nak berehat awal. Esok awal pagi ibu nak lawat cawangan restoran kita kat Taman Berjaya,” Hajah Badariah memberi alasan. Dia bukannya hendak berehat. Cuma dia juga sama seperti emak mertuanya, kurang selesa untuk duduk bersembang jika Balkish ada sama. Hati seolah-olah terguris bila melihat wajah gadis itu.
“Okeylah. Assalamualaikum. Gudnite, bu,” ucap Batrisya manja sekali. Pipi ibu dikucup kiri dan kanan.
Balkish yang duduk disebelah hanya mampu melihat kemesraan dua beranak itu. Timbul juga rasa cemburu di hati kecilnya. Seronok jadi Batrisya. Semua orang sayangkan Batrisya. Dia juga begitu sayangkan kakaknya itu.
Setelah ibu masuk ke dalam, Batrisya mengembalikan posisi duduknya mengadap Balkish. Lebar dia tersenyum sambil jemari adiknya digenggam erat.
“Siapa nama bakal suami Kish tu?” Eidham yang sedari tadi hanya mendiamkan diri dan buat-buat sibuk dengan membaca buku undang-undangnya sudah bersuara. Hatinya bagai dicarik-carik bila Balkish mengumumkan akan bernikah dengan lelaki pilihannya awal bulan depan. Terlalu tergesa-gesa dirasakan keputusan Balkish itu.
“Ha’ah la Kish. Siapa nama bakal suami Kish tu? Akak pun nak tau juga,” teruja Batrisya ingin tahu.
“Encik Harriz,” terlanjur Balkish menyebut Harriz dengan panggilan itu.
“Encik Harriz?” dahi Batrisya berkerut.
“Errr… tak. Maksud Kish, Abang Harriz,” laju dia memperbetulkan kesilapannya. Tak mahu Batrisya mengesyaki sesuatu.
Abang Harriz? Huh! Uwek!! Rasa nak terkeluar muntah panggil Harriz macam itu. Kalaulah Harriz dengar dia guna panggilan ‘Abang Harriz’ itu, tentu lelaki itu tersenyum hingga kembang lubang hidung.
Sweetlah Kish ni. Abang Harriz. Dah macam Ezza ombak rindu panggil Harriznya pulak. ‘Abang Harriz’ gitu,” Batrisya sudah mengulum senyuman nakal. Terbayang lakonan mantap Aaron Aziz sebagai Harriz dan Maya Karin sebagai Ezza dalam filem box office Ombak Rindu. Biarpun dia tak sempat melihat filem box office itu di panggung wayang kerana dia masih berada di UK ketika itu, namun DVD yang dibeli membuatkan dia berulang kali menonton filem romantik itu. Aaron Aziz dan Maya Karin memang sesuai.
Balkish sekadar menarik senyuman nipis. Itu lagi baik daripada dia panggil Mr. Alligator mahupun buaya jadian. Lagi sweet sangat-sangat!
Alahai… Kak Risya. Kalaulah kakak tahu Kish dengan Encik Harriz tu bukanlah pasangan kekasih, adakah Kak Risya akan segembira ini menerima berita perkahwinan Kish?
Eidham yang duduk di sebelah Batrisya hanya mendengar dengan perasaan yang tak keruan. Hatinya tak boleh menerima perkhabaran itu. Dia tak rela Balkish menjadi milik lelaki lain. Dia perlu berbicara dengan Balkish.
“Sayang. Boleh buatkan abang Nescafe, tak? Hauslah,” pinta Eidham kepada Batrisya. Hanya itu sahaja jalan yang ada untuk dia membuatkan Batrisya beredar memberi ruang untuk dia bersembang dengan Balkish.
Balkish pandang Eidham. Dia tahu lelaki itu sengaja minta kakaknya pergi ke dapur untuk berbual dengannya.
“Eh, takpe. Biar Kish yang pergi buat. Kak Risya dengan Abang Eid tunggu dekat sini ye,” laju Balkish memintas. Tanpa membuang masa dia terus sahaja berlalu masuk ke dalam rumah dan meluru ke dapur.
Sesampai sahaja di dapur, Balkish terus mencari botol yang menempatkan serbuk Nescafe. Namun belum sempat dia memasukkan serbuk Nescafe itu ke dalam mug, Eidham terlebih dahulu menyambar mug yang masih kosong. Tersentak Balkish dengan kehadiran Eidham itu. Bila masa pula Eidham masuk ke dapur ini mengekorinya? Namun dia cuba berlagak tenang.
“Apa yang Kish buat ni?” soal Eidham dengan tegas. Tajam matanya memandang Balkish yang buat-buat tidak tahu dengan kehadirannya itu.
“Buat Nescafe la,” acuh tak acuh Balkish menjawab. Setiap kali Eidham berada dekat dengannya, dia pasti diburu rasa cemas. Takut jika ibu atau tok mak terlihat atau terdengar perbualan mereka. Lagi bertambah cemas jika Kak Risya sendiri yang mendengarnya. Dia tidak mahu ada salah faham lagi.
Eidham mendengus. Tiba-tiba dia berada geram dengan jawapan acuh tak acuh Balkish itu. Sedangkan dia cukup yakin Balkish pasti tahu soalan sebenarnya.
“Bukan itu maksud abang, Kish. Abang tanya… apa yang Kish buat sampai tergesa-gesa nak kahwin? Kish sengaja, kan? Kish nak balas dendam dekat abang, kan? Kish nak sakitkan hati abang kan?” bertubi-tubi Eidham bertanya. Nadanya perlahan, namun bunyinya kedengaran keras. Tajam matanya memandang Balkish yang masih beraksi tenang itu.
Balkish berpaling memandang Eidham yang berdiri tidak berapa jauh daripadanya. Tajam matanya memandang Eidham. Semakin hari, dia semakin geram dengan perangai Eidham yang semakin menyeksa perasaannya itu. Eidham benar-benar sudah berubah. Tidak lagi seperti yang pernah dikenalinya dulu.
“Abang Eid. Tolong sikit ye. Kish tak pernah berdendam pun dengan Abang Eid. Kish kahwin sebab ini jodoh Kish,” tegas juga Balkish menjawab. Mug di tangan Eidham dirampas kasar. Kemudian dia mengisi Nescafe ke dalam mug warna merah itu sebelum menuang air panas ke dalamnya. Bau aroma air Nescafe sudah menyerbu masuk ke lubang hidung. Sedapnya bau air Nescafe.
“Jangan nak bohonglah Kish. Abang tau Kish buat semua ni sebab nak bagi abang sakit hati. Kish nak balas dendam dengan abang sebab abang kahwin dengan Batrisya. Kish…tolong jangan buat abang macam ni. Abang tau abang bersalah dengan Kish. Tapi abang tak boleh nak tengok Kish kahwin dengan lelaki lain. Bagi abang masa Kish. Abang pasti akan berkahwin dengan Kish dan kita pergi jauh dari sini. Jauh dari semua orang. Abang mahu hidup bersama Kish.”
Balkish ketawa kecil. Kelakar dia mendengar rayuan Eidham yang bagaikan orang dah hilang akal. Lelaki itu sudah tak ubah seperti orang gila talak. Meroyan agaknya!
“Kish takde masa nak bagi Abang Eid sakit hati. Untuk pengetahuan Abang Eid, Kish cintakan Harriz. Dan kami akan bernikah tak lama lagi. Jadi tolong ye Abang Eid, tolong jangan nak ganggu Kish lagi. Kish tak akan kahwin dengan Abang Eid sebab dalam hati Kish sekarang dah ada Abang Harriz,” lancar Balkish berkata. Siap panggil Abang Harriz lagi. So… sweet. Kalaulah Harriz dengar, tentu tak putus-putus senyuman lelaki itu. Khakhakhaaa…
Geram sungguh Balkish dengan Eidham. Disebabkan lelaki itulah dia kena berkahwin dengan Harriz. Disebabkan lelaki itulah dia terpaksa berbohong. Memang menyusahkan. Dua cawan mug Nescafe yang telah siap dibancuh segera diangkat. Manakala satu cawan mug lagi dibiarkan tinggal di situ. Pandai-pandai Eidham la buat air Nescafenya sendiri. Balkish dah tawar hati nak layan Eidham lagi setelah melihat perangai Eidham yang kian menjadi-jadi itu.
Kemudian dengan cepat-cepat Balkish berlalu dari situ. Meninggalkan Eidham yang masih tak berpuas hati dengannya.
Ah… lantak Eidham la!




No comments:

Post a Comment