Thursday, 7 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 19



Dulu
Aku pandang diriku
Kekasih yang setia
Tak pernah berdusta
Kini
Aku mulai merasa
Sedap hati mendua
Perlahanku tinggalkan kamu
Tapi
Semakin jauh aku
Semakin aku rindu
Rindukan kamu

Menyesal aku putuskan kamu
Kerna ternyata aku tak mampu
Menahan siksa azab cintamu
Aduh aduh mana tahan batinku
……………………………
Klangit – Sesal Mendua

DHIA melepaskan sebuah keluhan berat. Lirik lagu itu dirasakan amat kena dengan situasinya kini. Saat ini, dia begitu rindukan Harriz. Teringat kenangan indah bersama lelaki itu. Jika dulu, Harriz la yang sering ada di sisinya ketika dia memerlukan teman untuk berbicara. Tapi kini… dia sunyi tanpa Harriz di sisi.
Hendak berjumpa dengan Harriz, Dhia belum ada kekuatan untuk bersemuka dengan lelaki yang pernah dikecewakan hatinya itu. Dia tak tahu bagaimana hendak berdepan dengan Harriz. Tak tahu apa yang perlu diperkatakan setelah apa yang dia lakukan pada Harriz tiga tahun lalu. Dek kerana terlalu percayakan Justin, lelaki yang berasal dari Perth, Australia itu, akhirnya Dhia meninggalkan Harriz. Sedangkan ketika itu Harriz sudah hantar rombongan meminang dirinya di kampung. Tanpa rasa bersalah Dhia meminta arwah ayahnya menolak pinangan daripada keluarga Harriz.
Ketika itu memang arwah ayah amat marah dengan tindakan Dhia yang dirasakan langsung tak masuk dek akal. Namun amarah ayah tidak diihiraukan sama sekali oleh Dhia. Dhia mabuk dengan amukan cinta Justin yang sudah berjanji akan menikahinya bila Dhia sudi mengikutnya nanti. Akan sentiasa menyayanginya sampai bila-bila. Dan dengan senang hati juga Dhia telah mengikut Justin ke Australia dan tinggal serumah dengan lelaki itu.
Dhia lupa pada Allah. Dia lupa bahawa dia orang Islam. Dhia lupa pada pahala dan dosa. Dia lalai sehingga terhasut dengan bisikan syaitan dan terlalu ikutkan nafsu. Sehingga dia merelakan lelaki berlainan agama dengannya itu membelai segenap inci tubuhnya. Dan yang paling menjijikkan, dia pernah sekali menggugurkan kandungannya atas permintaan Justin. Konon Justin belum bersedia mahukan anak. Masih mahu berdua-duaan dengan Dhia. Dhia yang mabuk cinta masa itu hanya menurut sahaja keinginan kekasih hatinya itu.
Dhia meraup wajahnya berkali-kali. Terasa dirinya begitu bodoh kerana terlalu mempercayai kata-kata auta Justin selama ini. Dia serahkan segala-galanya kepada Justin, namun lelaki itu hingga ke saat ini pun tidak sudi menikahinya. Bukan sahaja tidak mahu menikahinya, malah sehingga ke saat ini Justin masih tidak menukar agama asalnya. Dia sahaja yang tergila-gilakan Justin. Sedangkan Justin, lelaki itu hanya membuat dia sebagai pelepas nafsu semata-mata. Jijik sungguh Dhia bila mengenangkan hubungan terlarangnya bersama Justin selama ini. Bagaimana Justin mencumbui segenap inci tubuhnya. Jika boleh dibasuh dengan tanah merah, sudah lama dia menyucikan semula tubuhnya yang kotor itu.
Dan ketika ini, rasa rindu terhadap Harriz begitu menyeksa jiwanya. Membuatkan air matanya mengalir membasahi pipi. Kalaulah dia tidak terlalu ikutkan kata hati, sudah tentu kini dia bahagia sebagai isteri Harriz. Sudah tentu Harriz memberikan dia kasih sayang yang tak berbelah bahagi.
“Dhia…” sentuhan lembut pada bahunya membuatkan Dhia berpaling kepada wanita pemilik suara serak-serak basah itu.
Cepat-cepat Dhia mengesat air matanya.
“Kenapa ni? Apasal kau menangis?” tanya Azura yang sudah melabuhkan punggung di sebelah Dhia. Wajah sahabatnya itu ditenung. Sejak kembali semula ke Malaysia seminggu yang lalu, Dhia sering sahaja mengelamun. Rasanya Azura tahu apa yang bermain dalam fikiran temannya itu. Cuma dia tak mahu bertanya dengan lebih lanjut lagi. Biarlah Dhia menenangkan perasaan dulu. Azura yakin Dhia pasti akan menceritakan segala-gala kepadanya juga nanti.
Dhia melepaskan keluhan. Seminggu berada di tanah airnya ini, seminggu juga dia dipukul ombak rindu terhadap Harriz Tan Sri Hamdan. Dia ingin memendam rasa hatinya, namun kesakitan yang dirasa sudah tidak tertanggung lagi. Dia perlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya.
Kalaulah arwah ayah masih hidup, tentu arwah ayah akan menempelaknya atas kebodohannya itu.
“Aku… aku rindukan Harriz, Zura. Terlalu rindukan dia,” luah Dhia. Dia sudah tidak terdaya hendak memendam parasaannya itu lagi. Dia benar-benar rindukan Harriz. Lelaki yang begitu setia menyintainya. Namun dengan tegar dia melukakan hati Harriz.
Azura menghela nafas. Sudah ditebak memang perkara inilah yang membuatkan Dhia diam membisu sejak kembali ke Malaysia. Bukannya dia tak tahu apa yang telah terjadi pada hubungan cinta Dhia dengan Harriz. Tiga tahun lalu, Dhia begitu bahagia bersama Harriz. Sehinggalah lelaki bernama Justin itu hadir dan membuatkan Dhia lupa pada cintanya terhadap Harriz. Dek kerana mabuk cinta, Dhia sanggup meninggalkan Harriz dan pergi mengikut Justin ke luar negara. Langsung Dhia tidak menghiraukan Harriz yang begitu setia menyintainya.
Sejak dari hari itulah, Azura mendapat tahu Harriz sudah berubah. Seratus peratus berubah! Harriz berubah menjadi lelaki yang suka mempermainkan perempuan sehingga Harriz digelar sebagai playboy nombor satu di Kuala Lumpur. Teman wanita keliling pinggang. Begitu hebat penengan cinta Dhia sehingga Harriz berubah menjadi seperti itu.
“Aku tau aku bersalah, Zura. Tapi… aku tak boleh nak tipu perasaan aku sendiri. Aku rindukan cinta dan kasih sayang Harriz,” luah Dhia lagi. Air mata yang dikesat tadi mengalir kembali. Kali ini dia sudah tidak kisah menangis di hadapan Azura. Dia mahu melepaskan semua.
Azura mengenggam jemari Dhia yang lembut.
“Kalau macam tu kau pergilah jumpa Harriz, Dhia. Mintak maaf daripada dia,” cadang Azura. Dia juga kesian pada Dhia. Lagipun dia yakin Dhia sudah insaf dengan apa yang talah dia lakukan dulu terhadap Harriz. Jika tidak, takkanlah sampai begini penyesalan Dhia kerana tindakan bodohnya dulu.
“Tapi macam mana kalau Harriz tak nak jumpa aku? Aku takut, Zura. Takut Harriz tak nak bersemuka dengan aku. Aku pernah lukakan hati Harriz. Mahukah dia berjumpa dengan aku lagi?”
“Kau cubalah dulu, Dhia. Mana tahu Harriz mahu berjumpa dengan kau. Belum cuba belum tahu.”
Dhia mengesat air mata. Hatinya berbelah bahagi. Tak tahu apa yang perlu dia lakukan. Namun jauh dalam lubuk hati, dia terlalu ingin bersemuka dengan Harriz. Meluahkan kerinduan yang terpendam dalam hatinya.
“Kau temankan aku jumpa Harriz, Zura. Boleh tak?” pinta Dhia.
Azura cuma mengangguk. Tak salah untuk dia menemani Dhia untuk bertemu dengan Harriz. Manalah tahu cinta sahabatnya dengan Harriz akan berputik kembali.

***************************************************************************

HARRIZ mengerut kening. Ni siapa pulaklah yang main-main? Sekejap-kejap menelefon. Bila dia jawab, tak nak pula bercakap. Diam macam orang bisu. Ini sah ada orang yang hendak berkenalan dengan aku yang hensem menawan. Tapi sorrylah. Hati aku ni dah ada yang punya. Tak lama lagi nak bergelar suami orang. Pilih orang lain aje ye. Aduh… Harriz sudah mula perasan tahap gaban. Masuk bakul angkat sendiri!
Sekali lagi Samsung Galaxy Notenya mengeluarkan irama yang sama. Dia memerhatikan nombor yang keluar melalui skrin. Nombor yang asing baginya. Juga tak sama dengan nombor yang tadi. Mungkin pemanggil yang sama dengan nombor yang tadi. Sengaja guna nombor lain sebab dah dua panggilan nombor itu yang dibiarkan sepi. Malas nak jawab panggilan daripada orang yang tak tahu bercakap. Bisu betul-betul karang baru padan muka!
Talian tidak dijawab. Namun selang sesaat handphonenya berirama semula. Juga nombor yang sama. Harriz mendengus. Cepat dia menekan butang hijau.
“Helo! Siapa ni? Kalau tak nak bercakap baik tak usah telefon. Buat habis duit aje,” tanpa mukadimah yang sedap didengar, Harriz terus menengking. Aduh… sejak bila Harriz dah jadi mat sensitif ni? Marah-marah tak tentu pasal. Sah! Ini mesti dah terjangkit dengan penyakit suka marah-marah Balkish. Heheheee…
“Sayang… apesal marah-marah ni?” suara rengekan manja dari corong sana kedengaran.
Harriz mengerut kening. Sayang? Hisy… ini bekas awek aku yang mana satu pulak ni panggil-panggil aku ‘sayang’?
“Sayang… ini I la. Amylia,” macam tahu-tahu apa yang Harriz fikirkan, laju Amylia memperkenalkan dirinya. Di hujung sana dia sudah ketawa manja. Entah apalah yang kelakar hingga membuatkan Amylia ketawa kesukaan.
Harriz mengeluh. Alahai… Amylia rupanya. Apalah yang perempuan sorang ini mahukan. Tak sudah-sudah menelefon dirinya. Jika panggilan melalui telefon bimbit tidak dijawab, wanita itu akan menelefon pula melalui talian ofis. Mujurlah Zatul setiausahanya itu bijak pandai orangnya. Bermacam-macam alasan yang dia berikan kepada Amylia. Zatul pun sekarang dah pandai kelentong. Sama otak dengan bosnya jugak. Heheheee…
Namun malam ini, nampaknya Harriz sudah tidak dapat mengelak lagi.
“Sayang, kenapa senyap aje ni? You masih ada di talian ke?” Sengaja Amylia melunakkan suaranya. Hendak menggoda hati lelaki Harriz dengan suaranya yang lunak itu. Suaranya yang manja itulah yang sering menggetarkan hati beberapa lelaki yang mendampinginya selama ini.
“Hmmm…” hanya itulah jawapan Harriz. Badannya direbahkan di atas katil. Telefon bimbit masih melekat pada telinga.
“Sayang, I sekarang ni ada kat Beijing tau. I ikut rombongan company. Bestnya dekat sini sayang… musim sejuk. Best kalau you ada sama,” beritahu Amylia tanpa diminta.
Tak tanya pun. Jawab Harriz. Namun jawapan itu hanya bergema dalam hatinya sahaja. Malas dia nak layan Amylia. Aduh! Kejamnya Harriz ni! Dulu… Amylia itulah pujaan hati pengarang jantung. Sekarang ni nak dengar suara Amylia yang merengek manja itu pun dia dah rasa loya. Harriz… Harriz… tak patut sungguh!
Tapi… padan jugalah dengan Amylia yang terlebih gatal itu. khakhakhakhakhakhakhakha…
“I dah tak sabar nak balik KL, sayang. Nak jumpa you. I miss you so much! Dah lama kita tak keluar sama. I rindu nak peluk lengan sasa you. Nak you belai rambut I,” Amylia sengaja lagi mahu menggoda hati Harriz dengan menyebut kenangan mereka bersama. Dia sudah nekad, hati Harriz akan ditawan semula. Tak mungkin untuk dia melepaskan lelaki seperti Harriz. Kerana lelaki itu sahaja yang akan buat dia berjaya mencapai apa yang diingininya.
“Huarghhh” sengaja Harriz buat-buat menguap besar. Sudah tak larat dia hendak mendengar celoteh Amylia itu. Sedangkan belum sampai sepuluh minit Amylia berbual dalam talian.
“Sayang… you mengantuk ke?”
“Ha’ah, Amy. I mengantuk sangat,” bohong Harriz.
“Awalnya you mengantuk, sayang. Selalunya you tak tidur seawal ini. Sejak bila pulak you tidur awal ni?”
“I penat sangat siang tadi. Itu yang buat I mengantuk,” sekali lagi Harriz mencipta alasan. Asal dapat melepaskan diri dari Amylia. Soalan Amylia langsung tidak dijawabnya. Suka hati dia la nak tidur awal ke lambat.
“Okeylah kalau macam tu. You rehatlah.” balas Amylia. Ada nada kecewa yang kedengaran.
“Okey Amy. Take care tau dekat sana,” Harriz sudah menarik senyum panjang.
“Sayang, dua minggu lagi I akan balik KL. You datang jemput I di KLIA ye time I balik nanti,” pinta Amylia dengan manja.
Lamanya rombongan company Amylia buat holiday di Beijing. Hmmm… ini holiday dengan staf-staf company ke holidah dengan sugardaddy? Biasalah… Amylia tu kan ramai yang ‘bela’.
Harriz melepaskan keluhan. Aduh… ada lagi.
“Okey!” pendek jawapan Harriz. Acuh tak acuh aje.
“Okey, bye sayang. I love you,” gembira bukan main lagi Amylia.
“Hmmm…” kejamnya Harriz. Hanya itu yang dijawabnya dan dengan pantas dia terus menekan butang merah.
“Fuh” lahir bunyi itu dari mulut Harriz. Lega rasa hatinya bila talian sudah diputuskan. Kali ini… nampak nombor yang tidak dikenali keluar melalui telefon bimbitnya, sumpah dia tak akan jawab lagi.
Tok… tok… tok…
Bunyi ketukan pada permukaan pintu memaksa Harriz bangun dari baringnya. Terjengul kepala Hanni dari muka pintu. Tersenyum-senyum macam kambing betina.
“Boleh Hanni masuk?” pinta Hanni.
“Hmmm… masuklah Cik Hanni oi. Selalu tu main rempuh aje masuk bilik Abang Riz. Hari ni mintak permission pulak,” selamba aje Harriz membalas.
Hanni tayang sengih. Punggungnya dilabuhkan di atas single sofa yang terdapat dalam bilik bujang abangnya itu. Nama saja bilik bujang, tapi hiasannya macam bilik orang yang dah beristeri. Lengkap segala-galanya. Abang Harriz ni memang mementingkan kualiti dan kekemasan. Bukan macam dia yang main hentam sajalah…’
“Siapa yang call? Macam layan tak layan aje Hanni tengok Abang Riz menjawab. Muka macam belacan tumis,” tanya Hanni yang memang suka lepak-lepak dalam bilik abangnya itu. Sejak abangnya tidak lagi keluar malam, Hanni merupakan pengunjung setia yang selalu datang ke biliknya untuk berbual-bual.
“Owh Hanni intai Abang Riz, ye? Curi-curi dengar ye… dah tu boleh pulak sesedap rasa kata muka Abang Riz ni macam belacan tumis. Macam ini punya hensem bergaya Abang Riz, Hanni nak samakan dengan belacan. Tak patut… tak patut!” Harriz menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali.
“Heheheee… alaaa… tak sengajalah. Bukannya nak curi dengar pun. Terdengar,” ujar Hanni. Manja bunyi suaranya itu.
“Siapa yang call?” soal Hanni lagi setelah pertanyaan sebentar tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Selagi dia tak tahu siapa yang menelefon, selagi itu dia hendak tahu. Biasalah Hanni… penyibuk!
“Amylia.”
“Amylia yang seksi giler tu ke? Yang pakai baju tak pernah nak cukup kain tu?” soal Hanni lagi. Setahunya, jika Amylia itu yang dimaksudkan oleh abangnya itu, orangnya memang seksi gila. Baju memang tak pernah cukup kain. Geli mata Hanni melihat gelagat awek abangnya yang seorang itu. Sudahlah seksi melampau-lampau, gatal pun tahap tak tahu malu. Dua kali lima dengan Syarifah Ezora. Cuma yang membezakan Amylia dengan Syarifah Ezora adalah mama sukakan Syarifah Ezora dan benci sangat dekat Amylia. Heheheee…
Biasalah mama… kan Syarifah Ezora itu bakal menantu tak jadi kesayangannya.
Tersenyum Harriz mendengar komen adiknya itu. Perlahan Harriz mengangguk.
“Euuww apa dia nak call Abang Riz? Abang Riz jangan nak buat hal lagi ye. Tinggal dua minggu aje lagi majlis akad nikah akan berlangsung. Abang Riz jangan nak mengada-ngada nak layan Amylia tu lagi. Ingat… Abang Riz. Abang Riz tu dah nak jadi suami orang tau,” Hanni sudah jadi seperti mak nenek. Membebel memberi peringatan kepada abangnya itu. Dia tak nak Harriz kembali kepada perangai lamanya.
Iye la mak cik oi. Abang Riz ingat.”
Good!” Balas Hanni yang sudah buat aksi bercekak pinggang. Tak sabar rasanya dia hendak melihat abangnya itu dalam pakaian pengantin. Tentu bertambah hensem. Kihkihkihhh… Gigit jarilah bekas awek-aweks Abang Riz lepas ni. Kemudian Hanni ketawa lagi. Kali ini tanpa sedar ketawanya terlepas keluar. Ingat nak ketawa dalam hati, tak sangka boleh terlepas keluar dengan bunyi yang kuat.
“Haih yang ketawa tak pasal-pasal ni, kenapa pulak?” tanya Harriz dengan kening yang diangkat sebelah. Dah macam kening Ziana Zain pula. Tapi versi lelakilah.
Takde apelah Abang Riz. Hanni cuma terbayangkan muka sorang-sorang bekas aweks Abang Riz yang gigit jari bila dapat tahu Abang Riz kahwin nanti. Tentu ramai yang frust menonggeng. Kesian…” Hanni ketawa lagi sambil kepalanya digeleng-geleng. Sukanya dia!
Harriz hanya menarik senyuman segaris mendengar komen adiknya itu. Bukan awek-aweknya sahaja yang frust menonggeng, mama dengan Auntie Elina pun frust menonggeng juga dengan berita pernikahannya itu. Dengar cerita, Auntie Syarifah Elina mengamuk sakan bila dapat tahu Harriz akan bernikah dengan pilihan hatinya awal bulan depan. Sampaikan mak datin seorang itu langsung tak mahu tegur mama. Kononnya, mama tak berkeras memaksa dia untuk berkahwin dengan Syarifah Ezora.
Alamatnya… hubungan persahabatan mama dengan Auntie Syarifah Elina yang kononnya terjalin sejak dari kecil itu terputus. Semua disebabkan kesombongan Datin Syarifah Elina sendiri yang sudah tak nak tegur mama. Mama pula yang memang terkenal dengan sikap keras hatinya itu terikut sama rentak sahabat baiknya itu. Juga melancarkan perang dingin dengan Datin Syarifah Elina. Mama ikut sama tarik muka. Namun, dalam masa yang sama mama tetap masih melancarkan mogok dinginnya terhadap Harriz.
Mama dengan Auntie Syarifah Elina! Macam budak-budak. Main putus-putus kawan! Mujurlah papa dengan Datuk Syed Rahman masih berkawan baik. Malah Datuk Syed Rahman dengan ikhlas menyatakan sudah tiada jodoh di antara Harriz dengan anaknya itu. Apa boleh buat. Mungkin ada lelaki lain yang sudah ditetapkan untuk Syarifah Ezora.
“Mama pun frust menonggeng jugak. Kesian mama,” ujar Harriz perlahan. Namun kata-katanya itu mampu didengar oleh Hanni hingga membuatkan gadis manis itu ketawa kecil.
“Bukan mama aje tau, Abang Riz. Auntie Syarifah Elina, Kak Hanna dengan Kak Ezora pun frust menonggeng jugak dengan keputusan Abang Riz ni. Kesian...” tambah Hanni. Ayat ‘kesian’ yang keluar dari mulutnya sengaja dipanjangkan. Sambil kepala digeleng berkali-kali. Konon simpatilah dengan nasib insan-insan yang terluka hatinya itu. Sedangkan bibir Hanni sudah melorek senyuman mengejek.
Harriz mengangguk-angguk. Sebenarnya jauh dalam lubuk hati, dia sedih melihat kekecewaan mamanya itu. Namun apakan daya, perasaan cintanya tak boleh dipaksa-paksa. Dia begitu cintakan Balkish. Tak mungkin untuk dia berkahwin dengan Syarifah Ezora atau orang lain selain Balkish.
“Abang Riz tak patut buat mama macam tu. Tapi… dalam masa yang sama Abang Riz begitu cintakan Balkish. Abang Riz tak boleh nak kahwin dengan Syarifah Ezora,” Harriz meluahkan isi hatinya.
Hanni sekadar mengangguk. Perlahan dia melangkah lalu duduk di birai katil abangnya. Badannya diiringkan mengadap Abang Harriznya yang masih baring beralaskan tangan.
“Alaaa… nanti-nanti mama okey la tu. Abang Riz bukannya tak tau sikap mama. Mama tu kalau marah kejap je.”
“Tapi macam mana kalau mama tak dapat nak terima Balkish bila kami dah kahwin nanti?”
“Alaaa… Abang Riz jangan risaulah. Hanni yakin mama pasti akan jatuh sayang pada Kak Kish. Mama tu bukannya apa Abang Riz. Mama tu dah fobia dengan kejadian yang pernah jadi dekat Abang Riz dulu. Ingat tak dulu kes mama dengan papa pergi meminang Kak Dhia. Bukan main happy lagi mama dengan papa pergi meminang Kak Dhia untuk Abang Riz, alih-alih Kak Dhia tolak pinangan tu macam tu aje. Tanpa rasa bersalah langsung. Sampaikan keluarga kita jadi buah mulut orang sebab pinangan Abang Riz yang kena tolak tu. Sebab tu mama tak nak kejadian yang sama berulang semula. Mama takut hati Abang Riz akan kecewa lagi,” jelas Hanni.
Biarpun dia tidak bersetuju dengan tindakan mama yang mahu menyatukan abangnya dengan Syarifah Ezora, namun dia tidak mahulah hubungan abang dan mamanya renggang dan sedingin salju. Mama bukannya kejam mana pun. Cuma kejadian lalu membuatkan mama lebih berhati-hati dalam memilih bakal menantu. Lagipun, Abang Harriz la satu-satunya anak lelaki mama. Tentulah mama mahukan isteri yang terbaik buat abangnya itu.
“Tapi Balkish tak sama dengan Dhia.”
Hanni cuma mengangguk.
“Itu orang tahu. Abang Riz banyak-banyaklah berdoa. Minta pertolongan daripada Allah. Insyaallah, Allah akan menolong hambanya yang berada dalam kesusahan,” bagai ustazah pilihan Hanni memberi kata semangat.
Harriz mengangguk. Adiknya itu, cukup matang dalam pemikiran.

**************************************************************************

PUAN SRI HANUM menghenyakkan punggungnya yang berisi itu di atas katil. Wajahnya masam mencuka. Dia membantah keputusan yang telah diambil oleh suaminya tempoh hari. Namun suaminya langsung tak ambil peduli. Membuatkan dia melancarkan mogok tak mahu bercakap dengan suaminya itu.
Dari ekor mata, Tan Sri Hamdan mengerling perilaku isteri kesayangannya. Bukan main panjang lagi muncung isterinya itu. Kalau disukat dengan kayu pengukur, entah-entah dah sampai sepuluh sentimeter panjang muncung isterinya. Hmmm… boleh tahan panjang juga tu. Tanpa sedar dan dapat ditahan-tahan, tawa kecil Tan Sri Hamdan terlepas juga. Sepantas itu juga Puan Sri Hanum membuang pandangan ke arah suaminya. Terkejut dia mendengar tawa suaminya yang jelas pada pendengarannya itu.
Pantas Tan Sri Hamdan menekup mulutnya. Jelingan tajam isterinya memaksa dia supaya berhenti ketawa.
“Yang abang gelak-gelak ni kenapa?” gumam Puan Sri Hanum marah. Dia yakin pasti suaminya itu sedang mempertawakan dirinya.
“Eh… mana ada.” nafi Tan Sri Hamdan.
“Yang tadi tu.”
“Owh… abang ketawa baca buku ni,” sambil menunjukkan buku berkaitan dengan dunia perniagaan itu kepada isterinya yang masih menarik muncung.
“Jangan nak bagi alasan ye bang. Ini buku pasal dunia niaga. Takde yang kelakar. Saya tahu abang tengah gelakkan saya. Ingat… kita masih dalam perang lagi ni.”
Tan Sri Hamdan hanya tersenyum lebar. Baru dia perasan bahawa buku yang ditunjukkan kepada isterinya itu berkisar dunia perniagaan. Mana ada yang lawak jenaka segala. Lainlah kalau baca buku gila-gila.
“Awak belum habis lagi ke lancar mogok awak tu dengan saya?”
Puan Sri Hanum tidak menjawab. Sebaliknya dia buat-buat sibuk dengan menyapu losyen ke tangannya. Begitulah rutin hariannya sebelum tidur. Pasti mengulit tubuhnya dengan losyen untuk memberikan kelembutan dan kesegaran pada tubuhnya yang kian dimamah usia.
“Tak boleh ke awak bertolak ansur sikit dengan Harriz tu? Apa salahnya dia pilih Balkish sebagai isterinya. Abang tengok Balkish tu baik budaknya. Tak salah kalau dia jadi menantu kita.”
Puan Sri Hanum mencebikkan bibir mendengar pujian suaminya itu.
“Hanum sendiri tengok masa kita datang meminang hari Sabtu lepas, kan. Balkish tu sopan santun orangnya. Sepatutnya awak kena bangga dapat bakal menantu macam tu.”
“Sudahlah bang. Boleh tak jangan cakap pasal tu lagi? Sakit tau hati saya ni. Abang tu… asyik nak sebelahkan perempuan tu pasal apa? Abang kenal sangat ke dengan dia? Takde maknanya nak bersopan santun. Saya tetap tak suka. Asal usul entah dari mana tah. Kita sendiri tak tau.”
Satu keluhan keluar dari mulut Tan Sri Hamdan. Lalu majalah dunia niaga itu diletakkan atas meja sisi tepi katil.
“Tak baik cakap begitu. Awak sendiri tengok keluarga Balkish waktu kita pergi meminang tempoh hari. Dia ada emak, nenek dan kakak. Keluarganya dari orang baik-baik aje abang tengok. Tak ada apa yang patut awak risaukan lagi.”
Iye la tu. Abang tak nampakkah cara layanan emak dengan nenek dia tu? Nampak sangat yang diorang pun tak sukakan perempuan tu. Acuh tak acuh aje diorang melayan. Saya nampaklah, bang. Entah-entah dia tu bukan anak yang baik. Pasal tu emak dengan nenek sendiri pun layan macam tu,” komen Puan Sri Hanum. Memang itulah yang dilihatnya di hari dia dengan suaminya meminang Balkish untuk Harriz. Emak dengan nenek Balkish langsung tak mesra dengan gadis itu. Mahu tak mahu sahaja mereka melayan Balkish. Cuma wanita bernama Batrisya itu sahaja yang nampak begitu gembira ketika itu. Sedangkan emak dengan nenek Balkish cuma berpura-pura sahaja.
Menggeleng kepala Tan Sri Hamdan mendengar komen isterinya itu.
“Tak baik awak cakap begitu. Itu fitnah namanya.”
“Abang… saya bukan suka-suka nak cakap tau. Dari cara layanan diorang tu pun saya dah tahu. Nampak sangat yang diorang cuma berpura-pura rasa gembira.”
Tan Sri Hamdan menggeleng lagi.
“Saya kecewa sangat dengan Harriz tu. Entah apa kurangnya Ezora sampai Harriz sanggup pilih perempuan tu jadi isteri. Kesian Ezora… gara-gara Harriz, dia kecewa sangat. Gara-gara tu juga hubungan persahabatan saya dengan Elina berantakan. Abang tahu apa? Asyik nak sebelahkan anak aje.”
“Hubungan awak yang berantakan dengan Elina tu bukan disebabkan Harriz. Awak dengan Elina yang bertindak seperti budak-budak. Bermasam muka tak kena tempat. Cubalah matang sikit. Awak tu dah jadi nenek tau. Kalau Elina lancar perang dengan awak, awak janganlah lancar perang jugak. Buat tak tahu aje,” pelik sungguh Tan Sri Hamdan dengan sikap isteri dan isteri sahabat baiknya, Datuk Syed Rahman itu. Disebabkan tidak jadi berbesan, kedua wanita itu saling menarik muka. Malah, langsung tak nak bertegur sapa.
“Huh! Tak nak saya. Elina tu yang kebudak-budakan. Saya dah kata dekat dia yang saya masih boleh pujuk Harriz. Tapi abang tau apa yang dia buat… habis satu persatuan Zumba dia bagitau pasal Harriz yang nak kahwin dengan perempuan entah mana-mana tu. Sakit tau hati saya ni. Nasib baiklah saya kenangkan Ezora. Kalau tidak…” Puan Sri Hanum sudah mengepal penumbuknya. Aksinya ini membuatkan Tan Sri Hamdan mengekek ketawa.
Puan Sri Hanum mendecit. Geram pula dia dengan suaminya yang sering mempersendakan kata-katanya itu.
“Dahlah! Saya malas nak cakap dengan abang. Bukannya abang nak percaya pun apa yang saya cakap. Kita tengok ajelah nanti, baik sangat ke bakal menantu abang pilihan abang tu. Saya yakin… perempuan macam tu cuma mahukan harta anak kita aje..” seraya itu tubuhnya yang agak berisi dihempas lembut atas tilam. Malas benar dia hendak bercakap dengan suaminya sekarang. Ada sahaja yang tak kena. Bosan betul!
Tan Sri Hamdan menjungkit bahu. Hai la Hanum… dah tua-tua pun masih nak merajuk. Mengalahkan budak kecil. Komen Tan Sri Hamdan dalam hati. Bibirnya yang sedikit kemerahan itu melakar senyuman segaris. Andai kata Puan Sri Hanum tahu apa yang ada di sebalik pernikahan anak mereka itu, pasti isterinya bertambah mengamuk dan sakit hati. Disebabkan itulah Tan Sri Hamdan mengambil langkah untuk mendiamkan diri daripada menceritakan hal yang sebenar. Biarlah dia seorang sahaja yang mengetahuinya.

















No comments:

Post a Comment