Thursday, 7 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 20



 PANDANGAN matanya masih terlekat kemas pada wajah kacak di hadapannya itu. Tak banyak yang berubah pada diri Harriz. Masih seperti Harriz yang dulu. Cuma kini rambut lelaki itu sahaja yang sudah agak panjang. Membuatkan wajahnya agak nakal sedikit. Mungkin benarlah apa yang dibacanya dari beberapa majalah sebelum ini. Harriz Tan Sri Hamdan merupakan playboy nombor satu di KL.
Pelayan lelaki yang mengambil order sebentar tadi datang semula bersama-sama pesanan yang diminta. Sempat dia mengerling wajah pasangan yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Biasanya kalau lelaki yang biasa dipanggil Encik Harriz itu datang bersama-sama pasangannya ke sini, pasti suasana di antara keduanya meriah dengan gelak tawa dan usikan-usikan manja daripada Encik Harriz. Tapi hari ini setelah sekian lama dia tak lihat kelibat Encik Harriz datang ke Melting Pot Café, Concorde Hotel, lelaki itu bersama pasangannya kelihatan begitu beku sekali. Tiada gelak tawa dan usikan-usikan manja.
Setelah pelayan lelaki itu beredar dari meja mereka, Harriz mula menyedut watermelon juice yang dipesan tadi. Kehadiran Dhia di pejabatnya awal pagi tadi memang sesuatu yang mengejutkannya. Sangkanya dia tak akan ketemu lagi dengan wanita itu. Tak sangka kala ini pula Dhia hadir setelah sekian lama menghilang.
“You apa khabar?” tanya Dhia. Memulakan mukadimah di antara mereka berdua tengah hari itu. Dia berasa sedikit janggal bila keadaan antaranya dengan Harriz menjadi begitu sepi.
“Baik,” selamba dan cukup ringkas Harriz menjawab.
Dhia dapat rasakan kedinginan Harriz melayannya ketika ini. Langsung tiada kemesraan seperti dulu. Namun dipaksa juga bibirnya agar mengukir sebuah senyuman mendengar jawapan Harriz itu.
“Dah lama kita tak duduk semeja macam ini, kan?” Dhia sudah memulakan bunga-bunga ayatnya.
“Dulu… you selalu temankan I keluar lunch sama-sama. You yang selalu pesan makan kesukaan I. You akan marah bila I kata tak nak makan sebab diet. You kata tak perlu nak diet… kalau I gemuk sekalipun, you tetap sayang I. I masih ingat semua tu, Riz. Masih ingat setiap butir bicara you,” sambung Dhia lagi. Mengenang memori indah antara dia dengan Harriz. Memang kenangan itu sesuatu yang indah.
Harriz menghela nafas. Rasa bosan pula dia bila Dhia sengaja mahu mengungkit kisah lama mereka. Baginya itu kenangan dulu. Yang telah lama dia kubur dalam diari kehidupannya. Kini… masa depannya akan bermula bersama Balkish. Dia tak mahu menoleh ke belakang lagi.
“I pun masih ingat makanan kesukakan you, Riz. You tak berapa suka makan yang pedas-pedas. You suka makan butter prawn. Sepinggan pun you boleh habiskan sorang,” kenang Dhia mengenai makanan kesukaan lelaki itu. Harriz memang hantu udang. Entah-entah sekilo udang yang dimasak butter prawn pun dia boleh habiskan sehingga licin pinggan.
“Boleh tak kita tak perlu sembang pasal semua tu? Apa tujuan you nak jumpa I sebenarnya?” soal Harriz yang sudah mulai bosan dengan adegan-adegan kenang terindah yang Dhia bicarakan.
Tersentak Dhia mendengar intonasi suara Harriz yang sedikit keras. Ketara sangat Harriz masih menyimpan dendam terhadapnya. Dhia ketap bibir. Air mata rasa ingin mengalir namun ditahan sekuat hati. Dia tidak mahu menangis di depan Harriz.
“I datang… sebab I nak mintak maaf dengan you. I tahu I bersalah. I tak patut percayakan kata-kata Justin dan tinggalkan you. I menyesal Riz. Menyesal sangat!” ada getar pada suara Dhia ketika ini. Sedaya upaya dia menahan rasa hatinya yang kian dihambat kesayuan.
Harriz menyandar pada bahu kerusi. Kalaulah perkataan itu Dhia ucapkan tiga tahun lalu, tentu dia sudi menerima gadis itu semula. Namun kini, perasaan sayangnya pada Dhia sudah tiada lagi. Cuma seorang sahaja wanita yang bertakhta di dalam hatinya.
“I dah lama maafkan you, Dhia. Sejak I rela hubungan antara kita sudah tak ada apa-apa makna lagi. Sejak I dah boleh teruskan kehidupan I tanpa you,” ujar Harriz. Memang dia sudah maafkan Dhia. Tapi untuk menerima Dhia semula dalam hidupnya, sesuatu yang terlalu mustahil.
Dhia tunduk memandang lantai. Apple juice yang dipesannya langsung tidak terusik.
“I tahu you masih berdendam dengan apa yang I buat tiga tahun lepas, Riz. Tapi I benar-benar dah menyesal. Kalau boleh… I mahu kembali semula ke pangkuan you. I mahu buat you gembira macam dulu semula. I rindukan you, Riz. Rindu sangat pada hubungan kita dulu.”
Harriz menggeleng-geleng. Rasa mahu sahaja dia ketawa besar waktu itu. Senang sungguh Dhia mahu kembali ke pangkuannya setelah begitu mudah Dhia melupakan dia dulu. Masih terasa kepedihan itu bila Dhia melontarkan kata-kata hinaan buatnya bila dia menghalang Dhia dari mengikut Justin ke luar negara. Masih terngiang-ngiang kemarahan mama bila Dhia menolak pinangan yang dihantarnya. Seolah dia tiada maruah ketika itu. Begitu tegar Dhia memperlekehkan maruah lelakinya.
Dan kini… Dhia ingin menyambung semula kisah cinta mereka yang telah dia buang jauh-jauh suatu ketika dulu. Huh! Mustahil untuk dia kembali kepada Dhia. Wanita yang telah membuatkan dia berubah menjadi seorang yang berperwatakan playboy. Mempermainkan perasaan ramai wanita di luar sana.
Sorry Dhia. Mungkin dulu I pernah terfikir mahu you kembali semula ke dalam hidup I. Tapi sekarang ni I dah tak ada apa-apa perasaan untuk you lagi. Mustahil untuk kita bersama semula.”
“Tapi I sayangkan you, Riz. I mahu memperbaiki kesilapan yang I buat dan kembali pada you. Berilah I peluang sekali lagi Riz. I akan buktikan yang I serius dengan kata-kata I.”
Nope! I rasa kita memang bukan ditakdirkan untuk bersama, Dhia. I bukan untuk you. Dan you juga bukan untuk I,” tegas Harriz bila Dhia seolah-olah mahu berkeras dengan keinginannya.
Dhia tidak berani mengangkat wajahnya. Dia tunduk sambil cuba mengesat airmata yang sudah membasahi pipi. Dia sudah tidak ada kekuatan mahu menyembunyikan tangisannya daripada pandangan Harriz. Biarlah dia menangis. Mana tahu dengan tangisan itu hati jantan Harriz akan lembut menerimanya semula.
Harriz menghela nafas. Jika dulu, dialah orang yang paling susah hati bila Dhia menangis. Dia hanya mahu melihat senyuman pada wajah cantik itu. Tiada sebarang kesedihan.
“I mintak maaf, Dhia. I benar-benar tak boleh nak sambung semula kisah cinta kita. Hati I sekarang sudah dimiliki. Dan untuk pengetahuan you, I akan berkahwin tak lama lagi. I tak nak lukakan hati bakal isteri I. Dia begitu bermakna buat I, Dhia. Tak ada wanita lain lagi dalam hidup I selain dia,” terang Harriz.
Dhia terkedu. Air matanya semakin deras mengalir. Pantas dia mengeluarkan cermin mata hitam dari tas tangan lalu disarung ke wajah untuk menutupi matanya yang sudah lencun dengan air mata. Dia tidak mahu ada pengunjung yang perasan akan tangisannya itu. Setelah itu barulah dia mengangkat semula wajahnya. Memandang wajah Harriz yang kelihatan begitu tenang. Seolah tiada perasaan melihat tangisannya.
“I tak berdendam pada you. I dah maafkan apa yang you lakukan dulu. Sekarang ni kita punya jalan hidup masing-masing, Dhia. I bahagia dengan wanita pilihan I dan I juga mahu you terus mencari kebahagian you sendiri. Antara kita tak mungkin akan bersama semula.”
Dhia hanya mengangguk lemah. Tiada guna untuk dia memaksa cinta Harriz lagi andai itulah yang dikatakan oleh lelaki itu. Untuk apa dia menagih cinta Harriz lagi andai kata Harriz sudah tidak cinta padanya. Dia kena merelakan kebahagian Harriz seperti mana Harriz pernah melepaskan dia pergi dulu. Dia tidak patut mementingkan diri sendiri. Dalam keterpaksaan, Dhia cuba untuk mengukir senyuman pada bibirnya.
“Maafkan I, Riz. I tak patut cakap begitu pada you. I tak patut kembali semula ke sini semata-mata mahu memburu kembali cinta you. Maafkan I, Riz. Maafkan I,” pinta Dhia berulang-kali.
“Sudahlah Dhia. Biarpun kita tak boleh nak menyambung semula cinta kita, tapi kita masih boleh jadi kawan. I tak pernah nak anggap you sebagai musuh I.”
Dhia cuba mengukir senyuman. Walaupun senyuman itu terasa pahit, namun sedaya upaya cuba dimaniskan.
“Terima kasih Riz. Sebab you masih sudi terima I sebagai kawan you.”
Harriz mengangguk-angguk. Dalam hati, dia sentiasa mendoakan agar Dhia bahagia dengan lelaki lain.

***************************************************************************

TOK! TOK! TOK! Bertalu-talu Azura mengetuk pintu bilik Dhia. Tadi sekembali sahaja dari bertemu dengan Harriz, Dhia terus mengunci diri. Langsung tak keluar-keluar hingga ke malam ini. Bimbang juga hati Azura dibuatnya.
“Dhia… bukalah pintu ni,” lembut Azura memanggil.
Tidak sampai seminit, akhirnya pintu yang dikunci dari dalam dibuka luas.
Azura menjengukkan kepala ke dalam. Kelihatan Dhia sedang berdiri tegak mengadap ke tingkap yang dibuka luas. Khusyuk sungguh wanita itu merenung ke luar.
“Dhia…” panggil Azura.
“Aku tak patut jumpa Harriz, Zura. Sepatutnya aku pendam aje apa yang aku rasa ni. Tak patut aku luahkan pada dia,” ujar Dhia sambil terus merenung bulan yang indah di luar sana.
Dahi Azura berkerut seribu. Tidak faham dengan bait kata-kata Dhia yang secara tiba-tiba itu.
“Sepatutnya aku tak perlu balik semula ke sini. Sepatutnya aku perlu terus tinggal di luar negara. Bukankah sebelum ini memang itu yang aku inginkan? Aku mahu hidup bebas di negara yang bersalji. Tak sepatutnya aku kembali. Tapi…” nafas dihela sebelum kata-katanya disambung semula.
“Aku begitu rindukan Harriz. Aku ingin sangat berjumpa dengan Harriz. Aku mahu menyambung semula cinta kami yang aku sendiri putuskan suatu ketika dulu,” tanpa dapat ditahan, air mata Dhia mengalir membasahi pipi. Bila terkenangkan kata-kata Harriz siang tadi, bahawa lelaki itu bakal melangsungkan majlis pernikahannya tak lama lagi, hati Dhia bagaikan dihiris dengan sembilu. Sakitnya teramat sangat. Dia hendak memberontak marah. Namun bila mengenangkan siapalah dirinya kini, dia rasa terlalu kerdil untuk berasa marah dengan keputusan Harriz itu. Dia bukanlah siapa-siapa pada Harriz lagi.
Tangisan Dhia yang mula kedengaran itu membuatkan hati Azura dipalu rasa hiba. Pantas dia merapati sahabatnya itu lalu tubuh Dhia diraih ke dalam pelukannya. Sebagai sahabat, dia rasa dia perlu ada di sisi Dhia ketika sahabatnya itu berada dalam keadaan duka. Lagipun, sebelum ini Dhia sudah terlalu banyak membantunya hingga dia berada di tahap sekarang. Jika bukan kerana Dhia yang sudi memberikan dia modal untuk membuka kedai keknya itu, tentu dia tak akan berjaya sebagai seorang peniaga muda yang berjaya kini.
“Harriz dah buang aku dalam hidup dia, Zura. Harriz dah ada wanita lain yang lebih penting dari aku,” tangis Dhia. Hatinya benar-benar terluka kini.
Azura tidak terkejut dengan kenyataan Dhia itu. Sejak Dhia tinggalkan Harriz tiga tahun lalu, lelaki itu sudah jauh berubah. Sering kali juga Azura terserempak dengan Harriz dengan berlainan teman wanita. Malah Harriz sudah cukup terkenal dengan gelaran playboynya.
“Harriz akan berkahwin tak lama lagi, Zura,” beritahu Dhia lagi. Esakannya semakin memecah kesunyian malam.
Azura mengangguk-angguk.
“Syhhh dahlah tu Dhia. Jangan menangis lagi. Relakan aje pernikahan Harriz. Mungkin di luar sana masih ada lelaki yang lebih baik dari Harriz telah Allah ciptakan untuk kau. Kau kena terima semua ni dengan hati yang reda,” pujuk Azura yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Hanya mendengar luahan hati Dhia.
Dhia menangis lagi. Relakah hatinya dengan kehilangan ini? Sedangkan kepulangannya di bumi Malaysia ini semata-mata mahu menyambung semula hubungan cintanya dengan Harriz. Dia mahu memperbaiki hubungan mereka.
Dhia teresak. Sukar baginya hendak melepaskan Harriz. Biarpun dulu dia pernah melukakan hati lelaki itu, tapi kini hatinya kembali merindui Harriz. Sayang! Dia terlambat untuk kembali. Harriz bukan lagi untuknya. Cinta lelaki itu bukan lagi buat dia. Dia menyesal kerana melepaskan lelaki sebaik Harriz suatu ketika dulu. Andai masa dapat diputar semula, akan Dhia putar masa itu ketika cinta antara dia dengan Harriz masih utuh. Akan Dhia kembali di saat-saat Harriz ingin menjadikan dia sebagai ratu dalam hidupnya.
Tapi Dhia benar-benar sudah terlewat. Masa itu tak mungkin dapat dikembalikan semula kepada suatu ketika dulu. Seperti kata Azura, Dhia perlu reda walaupun hatinya terluka. Kerana inilah balasan yang perlu diterimanya atas dosa-dosa silamnya.

















No comments:

Post a Comment