Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 5




Penaku menari mencoretkan
Sebuah puisi kelukaan
Gurindam jiwa
Cinta dan airmata
Di kamar hati ini
Masih ada sembunyi
Kenangan yang tak mampu
Ku lemparkan jauh

Penaku menari melakarkan
Gambar kesayuan masa silam
Tinta bersulam biru
Warna kerinduan
Berkaca jernih ingatanku
Biarpun dikau telah jauh
Dari pandanganku
…………………………………
Erra Fazira – Berteman Sepi

Kancil putih 2431 akhirnya selamat sampai ke destinasi yang dituju. Bibirnya diketap kala pandangan dihala ke arah rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah itu. Tiba-tiba debaran di hatinya kian berkocak deras. Sudah lama dia tak melihat banglo itu. Tidak banyak yang berubah kecuali warna banglo itu yang kini bewarna putih susu. Persekitaran masih lagi cantik dan teratur macam dulu.
Sebuah keluhan kecil tercetus keluar dari mulut Balkish. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa berat mahu melangkah keluar. Jika boleh dia mahu mengundurkan semula Kancil itu dan beredar keluar dari perkarangan banglo Seri Impian. Rasanya tak sanggup untuk dia melangkah turun.
Tok! Tok! Tok! Ketukan pada cermin kereta membuatkan Balkish tersentak. Pantas dia memusingkan kepalanya. Spontan itu juga bibirnya yang comel mekar dengan senyuman manis. Seorang wanita berambut panjang hingga ke paras bahu tersenyum sambil memberi isyarat menyuruh dia keluar. Wanita itu nampak begitu cantik sekali.
“Kak Risya!” jeritnya yang masih berada dalam kereta. Gembira bukan kepalang lagi dia kala terpandangkan wajah cantik Batrisya yang kelihatan berseri-seri. Segera dia membuka pintu kereta lalu mendapatkan Batrisya. Lama mereka berpelukan bagi melepaskan rasa rindu yang selama ini dipendam.
“Rindunya dekat Kish…” luah Batrisya sambil mengeratkan lagi pelukannya.
“Kish pun rindukan akak. Dah lama tak jumpa,” Balkish turut meluahkan kerinduan yang terpendam selama ini.
Cukup lama rasanya dia tak berada dalam pelukan Batrisya yang sering membuatkan dia berasa tenang. Dulu jika dia bersedih dan berharap ada bahu yang dapat dijadikan untuk melepaskan kesedihan, Batrisyalah yang akan ditemuinya. Batrisya tak akan membiarkan dia menanggung kesedihan seorang diri. Begitulah tulusnya hati Batrisya kepadanya. Saat suka dan duka Batrisya pasti ada bersama. Disebabkan itulah bila Batrisya melanjutkan pengajian ke UK, Balkish terasa kesunyian. Tiada kawan tempat meluahkan segala yang terpendam di dalam hati.
“Kish semakin cantik sekarang. Dah gemuk sikit,” komen Batrisya setelah pelukan terlerai. Jemarinya dengan jemari Balkish bertaut erat.
“Iye ke Kish gemuk kak? Alaaa… kena diet la macam ni.”
Batrisya mengangguk sambil bibirnya yang agak kemerah-merahan itu meleret dengan senyuman. Tak payah nak pakai lipstick merah menyala, bibir Batrisya memang dah kemerahan asli. Pak Salleh, bekas pemandu ibu pernah berkata, wajah Batrisya lebih ikut wajah arwah ayah.
“Sikit je. Macam ni barulah nampak cantik. Takdelah kurus cekeding sangat macam dulu. Ingat, tak? Dulukan badan Kish kurus sangat. Macam orang tak cukup makan aje. Sampaikan semua kawan-kawan sekolah usik Kish ‘bini popeye’ ” Batrisya ketawa mengenang kelucuan masa lalu.
Tersenyum Balkish mendengar usikan Batrisya. Dia juga perasan yang kini tubuhnya sudah tidak sekurus zaman sekolah dulu. Jika dulu, dia selalu mendapat jolokan ‘bini popeye’ kerana badannya yang melidi itu. Idrus si mulut longkang itulah yang paling suka mengusiknya dengan panggilan tersebut. Kononnya Kish tak cukup vitamin.
Tapi kini, badannya sudah sedikit berisi.
“Akak pun makin cantik jugaklah. Berseri-seri aje Kish tengok,” puji Balkish pula. Pujiannya ikhlas. Memang kakaknya itu kelihatan semakin cantik sekarang ini. Dari dulu sampai sekarang, kecantikan milik Batrisya tak pernah pudar. Malah makin berseri-seri pula kakaknya itu.
Iye la tu… pandai betul adik akak ni puji. Nak bodek ye,” Batrisya menarik hidung mancung si adik. Membuatkan gadis manis itu ketawa.
“Jom la kita masuk. Boleh bercerita panjang kat dalam. Akak ada banyak story mory nak kongsi dengan Kish. Dah lama sangat tak sembang dengan adik kesayangan akak ni,” Batrisya menarik tangan Balkish untuk masuk ke dalam.
“Eh… kejap ye kak. Kish nak ambik beg. Kish ada belikan rojak buah kegemaran akak kat dalam kereta,” Balkish membuka pintu belakang kereta Kancilnya. Dia mengeluarkan beg pakaian sederhana besar bersama-sama satu plastik hitam rojak buah yang dibeli khas buat Batrisya. Dia tahu kakaknya itu memang gemarkan rojak buah dari dulu lagi.
Mekar senyuman Batrisya ketika menyambut plastik hitam yang dihulur Balkish. Dia melihat isi di dalam plastik hitam itu.
“Terima kasih, Kish. Ingat lagi Kish dengan makanan kesukaan akak ye? Ingatkan Kish dah lupa.”
“Mana boleh lupa. Kish tahu sangat akak tu ‘hantu’ rojak buah. Sebab tu masa nak balik sini tadi Kish singgah kat gerai, beli rojak buah,” usik Balkish. Batrisya sudah ketawa mendengar usikan adiknya itu. Sudah lama dia tak makan rojak buah kerana berada di luar negara. Nampaknya Balkish tak pernah lupa makanan kegemarannya itu. Balkish memang adik yang baik.
Ketika kaki melangkah masuk ke dalam banglo itu, hati Balkish tiba-tiba sahaja menjadi sayu. Kenangan lama mula menerpa ke ruang minda. Di sinilah segala rahsia tentang siapa dirinya yang sebenar terbongkar. Di ruang inilah dia menangis tersedu-sedu seorang diri tanpa dihiraukan oleh ibu dan tok mak. Pedihnya kenangan malam itu.
“Ingatkan aku dah tak akan tengok muka kau lagi. Tak sangka pulak kau akan balik semula ke rumah ni.”
Satu suara kedengaran sinis menyindir. Pantas Balkish dan Batrisya menoleh serentak. Di ruang tangga kelihatan kelibat tok mak yang sudah bergerak mahu turun ke bawah. Wajahnya kelihatan masam mencuka. Langsung tidak tersenyum. Benci sungguh dia kala terpandangkan kelibat Balkish yang berada di ruang tamu rumah itu. Serta-merta dendam lamanya menyala kembali.
Balkish cuba memaniskan wajahnya. Cuba tidak menghiraukan sindiran sinis tok mak yang telah mengguris perasaannya ketika itu. Perlahan dia melangkah untuk memberanikan diri menghampiri tok mak yang sudah berada di ruang tamu. Tangannya dihulurkan kepada tok mak mahu bersalam. Namun seperti yang telah dijangka, huluran tangannya langsung tidak disambut oleh tok mak. Dengan selamba dan muka yang masam tok mak berlalu ke luar rumah. Tindakan tok mak itu telah membuatkan Balkish malu sendiri. Kecil benar hatinya dengan tindakan tok mak itu.
Melihat tingkah tok mak yang langsung tak berubah itu, Batrisya mengetap bibir. Geram pula dia dengan sikap tok mak yang tak pernah mahu melayan Balkish dengan baik. Layanannya terhadap Balkish masih sama seperti dulu.
Kesian Kish. Bisik hati kecil Batrisya. Dia kemudian melangkah merapati adik kesayangannya itu.
“Kish jangan ambil hati dengan kata-kata tok mak tu ye. Biasalah tok mak tu kan dah tua, memang suka cakap yang bukan-bukan,” pujuk Batrisya. Bahu adiknya disentuh. Bibirnya terukir sebuah senyuman nipis.
Takdelah kak. Kish tak kisah pun. Kish okey je. Dah biasa dengan cara tok mak yang macam tu,” Balkish sekadar mahu menyedapkan rasa hati Batrisya dan rasa hatinya sendiri.
Batrisya menarik senyumanya lebar. Dia tahu hati adiknya itu terluka dengan kata-kata tok mak yang tak pernah berlapik. Namun dikawal untuk menjaga hatinya.
“Risya… ibu dah nak pergi ni. Betul ke Risya tak nak ikut ibu dengan tok mak sekali?” suara ibu kedengaran lembut berkata kepada Batrisya. Ibu begitu asyik membetulkan lengan baju jubah yang dipakai. Ketika matanya memandang ke bawah, dia benar-benar tersentak melihat gadis bertudung biru yang berdiri di sebelah Batrisya. Bila masa gadis itu sampai? Setelah sekian lama… dia benar-benar tidak menyangka akan tertemu lagi dengan gadis itu.
Balkish melakar senyuman pada bibir. Dia menghampiri ibu yang kaku berdiri di anak tangga terakhir. Tentu ibu terkejut dengan kepulangannya yang tidak dijangka itu. Mana tidaknya, lebih kurang tiga tahun dia tidak pulang-pulang ke rumah itu. Tiba-tiba hari ini dia muncul semula.
“Assalamualaikum, bu. Ibu apa kabar?” sapa Balkish. Tangan ibu dicapai lalu dicium penuh rasa hormat. Biarpun dia bukan lahir melalui rahim ibu, namun ibulah wanita yang telah menjaga dan membesarkannya walaupun ibu tak pernah mahu menyayangi dirinya.
“Errr… walaikumusalam. Baik. Bila sampai?” kaku Hajah Badariah bertanya. Dia bagaikan tidak percaya melihat kelibat Balkish di dalam rumah itu lagi.
“Baru je. Kish ada belikan buah tangan untuk ib…” belum sempat Balkish menghabiskan ayatnya, ibu terlebih dahulu bersuara.
“Errr… takpelah. Ibu nak keluar ni,” tungkas Hajah Badariah. Dia melangkah mendekati Batrisya.
“Betul ke Risya tak nak ikut ibu dengan tok mak pergi ke majlis kenduri cukur jambul cucu makcik Senah ni?” tanya Hajah Badariah sekali lagi. Wajah anak kesayangannya itu dipandang penuh rasa kasih. Batrisya merupakan harta paling berharga yang dia miliki. Zuriat peninggalan arwah suaminya.
“Hmmm… betul, bu. Risya nak duduk kat rumah temankan Kish. Lagipun dah lama Risya tak duduk bersembang dengan Kish. Ibu sampaikan aje salam Risya dekat Shasha dan makcik Senah ye,” dengan manja Batrisya mengenggam jemari ibu kesayangannya. Sejak ayah meninggal dunia hampir dua puluh dua tahun lalu, pada ibulah segala kasih sayangnya tertumpah. Ibulah segala-galanya.
“Kalau Risya dah kata macam itu baiklah. Ibu pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Walaikumusalam. Ibu pandu kereta hati-hati tau,” sambut Batrisya lalu tangan ibu dicium penuh hormat. Sebagai balasan, ibu dengan penuh kasih telah mencium pipi anak perempuannya itu.
Melihat kemesraan antara ibu dengan kakaknya, hati Balkish dipagut rasa sedih. Alangkah bahagianya jika ibu memberi layanan yang serupa dengannya. Tentu dia tak akan rasa tersisih meskipun tok mak tak pernah menyayanginya. Kasih ibu sahaja sudah cukup buat Balkish. Namun apakan daya, ibu tak pernah melayan dia seperti itu. Sikap ibu terhadapnya sedingin salju. Bagi ibu… Balkish merupakan anak wanita yang telah merosakkan kebahagian ibu dan ayah.
Balkish menghela nafas. Cuba menghalau rasa sedih yang bertandang. Air mata yang sudah bergenang itu juga disapu perlahan. Dia tidak mahu Batrisya sedar ada air mata yang mahu mengalir.
“Jom kita naik atas. Akak dah kemaskan bilik Kish,” ajak Batrisya. Jemari adiknya sudah diraih lalu ditarik untuk naik ke bilik di tingkat atas. Balkish hanya menurut tanpa banyak bicara.
Sebaik pintu bilik yang sudah lama ditinggalkan itu dibuka, hati Balkish menjadi semakin sayu. Bilik itu tidak banyak berubah. Masih macam dulu. Bezanya cuma kain cadar dan langsir sahaja yang berubah warna. Susun atur dalam bilik itu masih sama seperti hari terakhir dia tinggalkan bilik tersebut.
Perlahan Balkish melangkah masuk ke dalam biliknya. Memerhati segenap ruang yang kelihatan cukup bersih daripada sebarang habuk. Tentu pembantu rumah di rumah ini yang sering membersihkan biliknya itu. Jika tidak, takkanlah sebersih itu biliknya kelihatan.
Batrisya melabuhkan punggung di atas katil bertilam empuk milik Balkish. Hari pertama dia sampai ke rumah ini, bilik Balkish ini kelihatan tak berseri langsung. Seolah-olah dijaga ala kadar sahaja. Dia dan Kak Gaya orang yang bertanggungjawab membersihkan dan mengemaskan bilik adiknya itu supaya kelihatan berseri seperti ini. Dia mahu bila Balkish balik nanti hati adiknya senang melihat biliknya yang dijaga rapi. Dia tidak mahu Balkish terasa hati melihat keadaan biliknya yang langsung tidak berseri itu. Nampak sangat apa sahaja benda yang berkaitan dengan Balkish tak diambil peduli oleh ibu dan tok mak.
“Tak banyak yang berubah dalam bilik ni kan, kak?” tanya Balkish. Punggungnya dilabuhkan di sebelah Batrisya.
Batrisya hanya tersenyum dan mengangguk. Kesian Balkish. Kalaulah dia tahu keadaan biliknya sebelum ini, tentu dia akan sedih dan semakin berjauh hati dengan penghuni dalam rumah ini.
“Ibu tu nampak aje dingin macam salji kat UK, tapi ibu tak pernah abaikan Kish. Tengok ajelah bilik Kish ni. Dijaga dengan rapi. Itu tandanya ibu sayang Kish tau,” Batrisya buat cerita agar Balkish dapat merasakan kasih sayang ibu mereka.
Balkish sekadar tersenyum segaris. Susah untuk dia mahu percaya pada kata-kata Batrisya itu. Bukannya dia tak tahu macam mana ibu tak sukakan dia. Mustahil untuk ibu mahu bersusah payah menjaga biliknya ini. Namun Balkish malas mahu mengulas panjang lebar. Biarlah….
“Akak tu… kenapa tak bagitahu Kish awal-awal yang akak dah pulang ke JB? Sampai betul hati. Dah tiga hari kat sini baru nak call Kish bagitahu yang akak dah ada kat sini,” Balkish buat-buat merajuk.
“Heheheee… akak saja nak suprisekan Kish.”
Iye la tu…. Akak ni jahat tau!” ujar Balkish sambil menarik muncung.
Batrisya ketawa besar. Sudah lama benar dia tak lihat Balkish tarik muka macam itu. Dulu dia suka sangat mengusik Balkish, sehingga adiknya itu menarik muncung seperti ini.
“Kenapa akak ketawa?” tanya Balkish yang sudah buat muka kehairanan. Pelik betul kakaknya itu. Tiba-tiba sahaja mengilai macam Sundal Bolong.
“Akak rindu sangat pada Kish. Dah lama tak tengok muncung sejemput Kish yang macam Daisy Duck itu,” usik Batrisya. Bahu adiknya itu dirangkul penuh kasih.
Balkish yang konon-konon mahu buat merajuk itu tiba-tiba ketawa sama. Sudah lama dia tak dengar nama Daisy Duck yang sering kakaknya gunakan setiap kali mengusik dirinya itu. Rindu pula pada kenangan silam antara dia dengan Batrisya. Kenangan antara mereka berdua semua manis-manis belaka. Batrisya merupakan segala-galanya bagi Balkish. Tanpa Batrisya, dunianya terasa sunyi.
Sepanjang hari itu, Balkish dan Batrisya menghabiskan masa bersembang bersama. Banyak cerita yang mereka bualkan. Sehinggakan mereka tak sedar masa semakin merangkak petang. Mereka berdua kelihatan begitu gembira sekali. Maklumlah… sudah lama tidak berjumpa. Tentu banyak yang dibualkan.
Kak Gaya yang memandang dari tingkap dapur turut tumpang gembira melihat dua beradik itu. Sudah lama Balkish menghilang. Kini gadis itu kembali lagi. Kak Gaya juga turut berdoa, semoga ada bahagia yang sampai kepada gadis itu suatu hari nanti.

***************************************************************************

SUDAH lama Balkish tidak duduk di pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan ini. Dulu dia suka menghabiskan masa malam duduk di situ. Melihat cahaya rembulan dan kerlipan bintang di dada langit yang luas terbentang. Sambil itu dia mula pasang angan-angan, alangkah bahagianya andai ada seorang putera raja membawanya pergi ketika itu juga. Heheheee…
Teringatkan kenangan itu, Balkish tersenyum lebar. Gatal juga dia time budak-budak. Umur baru dua belas tahun tapi dah pandai fikir pasal lelaki. Dah tu tak nak pulak yang ‘cemeh-cemeh’, demand nak putera raja jugak. Hahahaaa…
Tapi itu dulu. Waktu Balkish belum tahu apa itu erti cinta. Pabila usianya semakin meningkat remaja, dia mula sedar apa yang dimaksudkan dengan cinta. Dan dalam usia baru mencecah lima belas tahun, Balkish sudah tahu bermain cinta dengan seorang lelaki. Dia sedar cintanya pada masa itu masih digelar ‘cinta monyet’. Namun hatinya sudah jatuh sayang pada lelaki itu. Keperibadian lelaki itulah yang telah membuatkan dia berani menyambut cinta yang dihulurkan. Tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari.
Balkish mengeluh. Bila teringatkan lelaki pertama yang bertakhta di hatinya itu, ada rasa terkilan yang bertandang dalam hati. Terkilan kerana lelaki itu mengkhianati janji-janji mereka sebelum berangkat ke UK untuk menyambung pengajiannya di sana. Terkilan kerana lelaki itu begitu tegar melupakan dia dalam sekelip mata. Namun dalam terkilan dengan tindakan lelaki itu, terselit juga rasa bahagia. Bahagia kerana melihat insan yang paling disayanginya bahagia di samping insan yang telah melukakan hatinya.
“Assalamualaikum…” ada satu suara menyapa dari belakang. Membuatkan Balkish yang sedang asyik melayan perasaan itu tersentak. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Tadi di meja makan pun suasana antara mereka sunyi sepi. Hanya celoteh Kak Risya sahaja yang menceriakan keadaan.
Salam yang diberikan di sambut dalam hati.
Eidham melangkah mendekati Balkish. Kemudian dia berdiri lalu bersandar pada batang pokok rambutan yang buahnya sudah masak dan memerah. Petang tadi ketika dia balik dari pejabat, dia terkejut melihat kelibat Balkish di rumah ibu mentuanya itu. Sudah terlalu lama dia tidak melihat wajah manis itu. Hanya sesekali, bila Batrisya melihat gambar-gambar Balkish melalui FB barulah dia dapat melihat. Itupun hanya sepintas lalu. Dia takut dengan perasaannya sendiri setiap kali melihat wajah Balkish.
Eidham tersenyum. Tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar track suit yang dipakainya.
“Kish apa khabar? Dah lama kita tak jumpa. Kish masih cantik macam dulu. Cuma… sekarang ni Kish dah berisi sikit. Takdelah kurus sangat macam zaman sekolah dulu,” tutur Eidham. Komennya sama dengan Batrisya ketika pertama kali Balkish sampai siang tadi.
Tiada jawapan yang keluar dari bibir Balkish. Dia kaku di situ. Kehadiran lelaki itu benar-benar mengejutkannya. Tiba-tiba lidahnya kelu untuk berbicara. Sedangkan dulu dialah yang paling meriah setiap kali berbicara dengan Eidham. Ada sahaja yang dibualkan bagi menceriakan suasana di antara mereka berdua.
Kebisuan Balkish membuatkan Eidham mengeluh kecil. Dia tahu Balkish pasti masih marahkan dia. Dia akui kesilapan yang telah dia lakukan. Sepatutnya dia tidak mengkhianati janjinya pada Balkish sewaktu mereka berkasihan dulu. Dia yang bersalah. Memang patut Balkish marahkannya.
“Kish masih marahkan abang?” tanya Eidham mahukan jawapan yang pasti daripada Balkish.
Masih marahkah aku pada lelaki ini? Soal Balkish pada dirinya sendiri.
“Maafkan abang, Kish. Abang tahu abang salah. Tak patut abang khianati janji-janji yang pernah abang lafazkan pada Kish. Abang menyesal kerana terlalu ikutkan perasaan. Abang… abang… rindukan Kish. Teramat rindukan Kish,” luah Eidham tanpa mahu berselindung lagi akan perasaannya. Dia langsung tidak menghiraukan apa tanggapan Balkish padanya bila dia berkata sedemikian. Dia mahu Balkish tahu akan rasa rindunya itu. Dia juga yakin Balkish tentu masih mempunyai perasaan yang sama sepertinya ini.
Tajam mata Balkish merenung wajah Eidham. Sedarkah lelaki itu dengan apa yang telah diperkatakan? Lupakah Eidham bahawa kini hubungan di antara mereka hanya sekadar hubungan abang dan adik ipar? Kenapa perlu Eidham meluahkan kerinduan itu padanya? Setahu Balkish ini bukan sikap Eidham yang pernah dikenalinya dulu. Eidham yang dikenalinya seorang lelaki yang kaya dengan budi pekerti yang baik. Kenapa Eidham boleh berubah seperti ini? Apa yang telah merasuk Eidham? Takkan disebabkan Eidham berada di UK membuatkan sikapnya juga turut berubah? Bertalu-talu soalan berlegar dalam benak fikiran Balkish.
“Abang tak boleh nak lawan perasaan rindu pada Kish. Abang tak dapat lupakan Kish. Abang masih sayangkan Kish macam dulu,” semakin berani pula Eidham meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya. Dia seolah-olah lupa hakikat bahawa dia kini sudah pun bergelar seorang suami kepada seorang wanita yang dicintai selama berada di UK.
Enough Abang Eid! Abang Eid tak malukah cakap macam ini pada Kish? Abang Eid lupakah yang Kish ini adik ipar Abang Eid? Sepatutnya Abang Eid kena terima hakikat bahawa antara kita kini dah takde apa-apa hubungan kecuali hubungan sebagai adik ipar dengan abang ipar.”
“Tapi abang masih sayangkan Kish.”
Balkish menggeleng-geleng. Rasa benci tiba-tiba terbit buat Eidham. Selama ini biarpun Eidham mengkhianati cinta mereka, dia tidak pernah membenci lelaki itu. Apa yang penting Eidham dapat membahagiakan Batrisya. Satu-satunya kakak yang dia ada di dunia ini. Namun bila Eidham berkata sebegini padanya, terbit pula rasa benci pada lelaki yang selama ini cukup dikagumi keperibadiaannya itu.
“Sudahlah Abang Eid. Tolong jangan cakap soal sayang dekat Kish. Abang Eid simpan aje sayang Abang Eid tu kemas-kemas untuk Kak Risya. Kish rasa Kak Risya lagi berhak untuk menerima rasa sayang Abang Eid itu. Jangan lupa Abang Eid, Kak Risya tu isteri Abang Eid. Kish tak nak Abang Eid mempersiakan hidup kakak Kish,” di hujung katanya, Balkish memberi sedikit amaran kepada Eidham.
“Tapi abang…”
“Abang…” panggil Batrisya panjang dan manja.
“Di sini rupanya. Puas sayang cari abang kat dalam tau. Ingatkan abang pergi mana tadi,” suara Batrisya mematikan bicara Eidham. Serentak itu juga dia dan Balkish menoleh ke arah Batrisya yang sudah menghampiri lokasi mereka berdua. Balkish mula bangun dari duduknya.
“Abang tengah berbual dengan Kish. Dah lama kitaorang tak borak-borak,” pantas Eidham bersuara.
Batrisya tersenyum.
“Nah… ini air Nescafe yang abang nak,” mug berisi Nescafe dihulurkan kepada Eidham. Lengan suaminya dipaut mesra. Dulu Eidham dengan Balkish memang sabahat baik. Sehinggakan dia pernah beranggapan Balkish dengan Eidham mempunyai hubungan istimewa yang lebih daripada hubungan sahabat baik. Namun dia tersilap bila Eidham menafikan tanggapannya itu ketika mereka belajar sama-sama di UK. Kata Eidham, hubungannya dengan Balkish hanya sekadar sahabat baik. Lagipun tak salahkan seorang lelaki berkawan baik dengan seorang perempuan? Tak semestinya hubungan rapat itu berkaitan pasal cinta aje.
“Abang dengan Kish sembang pasal apa?” soal Batrisya manja.
“Bual kosong ajelah sayang,” balas Eidham.
Iye la… dulukan abang dengan Kish kawan baik. Kalau abang nak tahu… Kish ni penyokong setia abang tau. Dulu zaman sekolah kalau sayang cakap yang tak baik pasal abang, Kish selalu bela abang. Kish cakap abang baik la… abang tak macam itu la… abang ni berkarisma la… macam-macam lagilah yang Kish puji abang. Sampai naik jemu sayang mendengar puji-pujian Kish tu. Sayang memang tak boleh nak cakap yang tak baik pasal abang depan Kish masa tu. Maklumlah… bestfriend, kan.”
“Apa ni kak… itu cerita lamalah,” pintas Balkish. Kurang senang bila Batrisya mengungkit kisah lalu yang sudah lama dikuburkan dalam hati. Buat apa hendak dikenang lagi.
“Memanglah cerita lama, tapi disebabkan cerita lama itulah akak jatuh cinta dekat Abang Eid. Segala yang Kish cakapkan itulah yang buat akak mula membuka pintu hati akak untuk Abang Eid. Tak sangka, cinta yang akak pendam dalam hati itu akhirnya terluah ketika kami belajar sama-sama di UK,” ujar Batrisya. Wajah suami tersayang dipandang penuh rasa cinta di hati. Pautan pada lengan suaminya semakin diperkemaskan. Eidham turut membalas dengan memaut bahu isterinya. Bibirnya cuba dilorek dengan senyuman segaris.
Balkish sekadar tersenyum nipis mendengar isi hati kakaknya itu.
“Okeylah, Kak Risya. Kish masuk ke dalam dulu. Nak masuk tidur. Letih rasanya badan ni,” ujar Balkish. Dia mendapatkan Batrisya lalu pipi gebu milik kakaknya itu dicium penuh kasih.
“Okeylah. Esok Kish temankan akak pergi shopping ye. Dah lama kita tak keluar shopping berdua.”
Balkish mengangguk dan tersenyum. Kemudian dia membawa langkah masuk ke dalam rumah. Eidham pula sempat mengerling Balkish dengan ekor matanya. Hatinya perit melihat kedinginan yang Balkish pamerkan. Rasa menyesal menerpa tak henti-henti.

***************************************************************************

“MASUK bilik ibu kejap,” ketika kakinya melangkah ke tingkat terakhir anak tangga, tiba-tiba suara Hajah Badariah kedengaran memberi arahan. Wajah itu kelihatan masam mencuka. Membuatkan hati Balkish berdebar hebat.
Perlahan Balkish membuntuti langkah ibunya. Daun pintu ditutup rapat bila ibu menyuruh dia menutup semula pintu yang tadi terbuka. Langkahnya mati di situ. Tidak berani berganjak mendekati ibu yang sudah duduk bersandar atas sofa. Apatah lagi bila melihat wajah yang langsung tidak tersenyum itu.
“Apa hubungan Kish dengan Eidham?” soal Hajah Badariah serta-merta. Langsung tak ada intro.
Balkish yang tadi begitu khusyuk memandang karpet warna hijau yang terhampar atas lantai dalam bilik ibunya mendongak. Wajah ibu yang masam itu dipandang.
“Hubungan abang dengan adik ipar.” lurus bendul Balkish menjawab.
“Bukan itu maksud ibu. Ibu mahu tahu apa hubungan Kish dengan Eidham yang sebenar? Ibu rasa kamu berdua ada hubungan yang lebih dari sekadar abang dengan adik ipar. Betulkan?” teka Hajah Badariah.
“Errr… takde apa-apa, bu. Kish dengan abang Eid hanya kawan biasa waktu sekolah.”
“Jangan bohong ibu! Kish ingat ibu tak dengarkah apa yang Eidham katakan pada Kish tadi? Ibu tahu Kish tentu ada hubungan dengan Eidham sebelum ni,” jerkah Hajah Badariah. Namun nadanya masih direndahkan. Dia tidak mahu suaranya yang melengking tinggi itu akan didengari oleh Batrisya mahupun ibu mertuanya, Hajah Bedah. Biarlah rahsia ini hanya dia yang tahu. Selama ini biarpun dia tak sukakan Balkish, namun dia belum pernah menjerit seperti itu kepada anak itu. Tapi kali ini hatinya benar-benar mendidih. Sakit benar hatinya mendengar kata-kata Eidham tadi. Teringat dia pada kisah silamnya yang pedih bila sahabat baik yang paling dipercayainya mengkhianati persahabatan mereka berkahwin dengan suaminya.
Balkish menundukkan wajahnya. Tidak berani menatap renungan tajam mata ibu. Nampak sangat api kemarahan ibu ketika itu.
“Kish dengar sini baik-baik. Ibu tak nak Kish jadi perosak kepada rumah tangga Risya. Ibu tak akan izinkan.”
Bagai ada air jernih yang ingin mengalir bila ibunya berkata sebegitu. Macamlah dia memang berniat hendak menjadi perosak rumah tangga Batrisya.
“Kish janji tak akan rosakkan rumah tangga kakak, bu. Kish sayangkan kakak.”
Hajah Badariah menarik senyuman sinis. Dulu, Kiran juga pernah berkata macam itu kepadanya. Tapi tengoklah apa yang jadi? Sahabat yang paling dipercayainya itulah yang telah merampas Borhan daripadanya. Dia tidak akan percaya lagi dengan kata-kata keturunan Kiran.
“Tak payah nak berjanji segala. Ingat ibu nak percaya? Kish dengan arwah mama Kish sama aje. Kalau betul Kish ikhlas sayangkan Risya, ibu mahu Kish kahwin untuk buktikan dekat Ibu apa yang Kish katakan tu.”
“Apa? Tapi…” Balkish angkat balik kepalanya. Wajah ibu dipandang.
Takde tapi-tapi. Kish kahwinlah dengan sesiapa pun asalkan Eidham menjauhkan diri dari Kish. Soal belanja kahwin, biar ibu yang tanggung. Asalkan rumah tangga Risya tak akan hancur gara-gara suaminya yang tergila-gilakan adiknya sendiri. Cuma Risya anak ibu dekat dunia ni. Ibu mahu tengok Risya bahagia di samping lelaki yang dicintainya.”
Sayu hati Balkish mendengar kata-kata ibunya. Nampak sangat ibu tidak pernah menghargai kehadirannya di sisi. Terasa airmata ingin mengalir ketika itu juga. Namun cepat-cepat Balkish menyeka. Dia tidak mahu menangis di hadapan ibunya lagi. Biarlah tangisan itu pecah di dalam biliknya nanti. Cukuplah dia menangis selama ini kerana hatinya yang terluka itu.
“Selama ni ibu tak pernah mintak apa-apa dari Kish. Ibu jaga Kish biarpun hati ibu tak pernah senang setiap kali melihat wajah Kish. Kali ini ibu mohon dari Kish… tolong jangan rosakkan rumah tangga Risya. Cukuplah ibu pernah merasai kepedihan bila rumah tangga dimusnahkan oleh orang-orang yang ibu sayangi. Ibu tak nak Risya rasa apa yang pernah ibu rasa,” sambung Hajah Badariah. Dia bergerak ke koridor di dalam biliknya. Di bawah sana dia dapat melihat dengan jelas hubungan mesra Batrisya dengan Eidham. Betapa gembira anaknya itu di samping lelaki yang dicintainya.
Semakin bergetar jantung Balkish mendengar kata-kata ibunya. Rasa dia sudah tidak sanggup mahu menadah telinga mendengar rintihan berbaur sindiran itu lagi.
“Ibu… Kish takde apa-apa hubungan dengan Abang Eid. Percayalah…” ujar Balkish meraih kepercayaan ibunya.
Serentak itu Hajah Badariah menoleh ke belakang. Memandang wajah Balkish dengan pandangan yang cukup tajam. Sehingga gadis itu menundukkan wajahnya semula.
“Ibu tak nak dengar apa-apa. Yang penting sekarang ibu mahu Kish berkahwin! Soal belanja biar ibu yang tanggung. Ibu mahu Eidham putus harapan dengan Kish,” desak Hajah Badariah dengan tegas. Suaranya walaupun agak rendah namun kerasnya jelas kedengaran.
“Ibu tak perlu risau. Kish tak akan rampas Abang Eid dari Kak Risya. Kish tak akan rosakkan kebahagian kakak Kish sendiri. Kish belum bersedia untuk berumah tangga, bu.”
Menyemarak api dalam diri Hajah Badariah mendengar kata-kata anak itu. Nampaknya Balkish sudah pandai melawan kata. Pantas dia masuk semula ke dalam bilik. Berdiri benar-benar di hadapan Balkish.
“Kish ni degil ye? Selama ni ibu tak pernah mintak apa-apa pada Kish. Ibu bela Kish walaupun hati ibu ni sakit bila mengenangkan apa yang telah mama Kish buat pada ibu. Sekarang bila ibu mintak Kish berkorban sedikit untuk kebahagian Risya, banyak betul alasan Kish. Ibu tak nak dengar sebarang alasan. Ibu tetap mahu Kish berkahwin dalam masa terdekat ni. Ibu bagi Kish masa sebulan. Kalau Kish takde teman lelaki, biar ibu yang carikan. Keputusan ibu muktamad. Hanya ini balasan yang ibu mahukan dari Kish sepanjang ibu bela Kish,”  Hajah Badariah sudah mengungkit.
Terkejut Balkish mendengar kata-kata ibu. Selama ini walaupun ibu bencikan dirinya, tak pernah ibu menunjukkan rasa bencinya. Tapi malam ini ibu sudah berlainan. Ibu tak ubah macam ibu-ibu tiri yang garang dalam cerita-cerita dongeng. Dendam ibu terhadap arwah mamanya kelihatan menyala-nyala.
“Kish fikirlah masak-masak. Kish mahu rumah tangga Risya musnah disebabkan Kish atau Kish mahu ikut kehendak ibu? Keputusan di tangan Kish. Kalau betul Kish anggap Risya tu saudara kandung sendiri, ibu mahu Kish ikut kehendak ibu,” sambung Hajah Badariah lagi dengan tegasnya.
Balkish memejamkan matanya rapat-rapat. Sedih sungguh rasa hatinya diperlakukan sebegitu oleh seorang insan yang sudah dianggap sebagai ibu kandung sendiri.
“Ingat, Kish. Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan tok mak, lagi teruk Kish kena,” Hajah Badariah sudah mula mengugut. Dia yakin Balkish tentu tak sanggup perkara ini diketahui oleh tok mak memandangkan tok mak begitu bencikan Balkish.
“Keluar dari sini. Ibu nak berehat.”
Tanpa berlengah Balkish keluar dari bilik ibunya. Dia berlari menuju ke biliknya yang terletak di hujung. Setelah pintu biliknya tertutup rapat, dia bersandar belakang pintu. Menekup mulut dan menangis semahu-mahunya. Hatinya benar-benar terluka kini.
‘Ya Allah… tabahkanlah hatiku menempuh dugaan-Mu ini. Berilah aku kekuatan Ya Allah. Mama… kenapa tinggalkan Kish dengan duka? Kenapa mama tak bawa Kish sekali bersama mama? Ma… Kish rindu mama… terlalu rindukan mama.’
Balkish menangis. Menangis tersedu-sedu. Biarpun dia tak pernah bertemu dengan ibu kandungnya yang sebenar, namun ketika ini dia begitu rindukan kasih sayang seorang ibu. Dia rindukan kasih sayang seorang ibu yang sudi membelainya. Ketika ini juga dia mula terkenangkan Mak Aminah. Jika wanita itu ada, pasti wanita itu sudi meminjamkan bahunya untuk Balkish menumpang kasih.


















No comments:

Post a Comment