Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 6



HARRIZ duduk di atas buaian rotan di balkoni biliknya sambil merenung ke dada langit yang gelap. Hanya kerlipan bintang dan cahaya rembulan yang kelihatan. Menyerikan keindahan malam itu.
Sejak kebelakangan ini dia kerap duduk di situ melayan jiwanya yang kacau disebabkan seorang gadis bernama Balkish. Sudah agak lama juga dia tidak diserang penyakit angau seperti ini.
Tiba-tiba Harriz tersenyum. Setiap kali nama Balkish terlintas dalam benaknya, senyuman lebar akan menghiasi bibir kemerah-merahannya. Balkish memiliki aura yang tersendiri. Aura luar biasa yang membuatkan dia rasa ingin bercinta sekali lagi.
Balkish! Gadis itu memang cantik. Harriz tidak boleh menafikan kenyataan itu. Hidungnya mancung. Bibirnya comel dan kemerahan. Kulitnya putih mulus. Matanya bulat dan bersinar. Alis matanya melentik. Senyumannya… semanis madu! Bawah dagunya ada sedikit lekuk yang kelihatan. Buat Harriz tak lena tidur jadinya.
Harriz sendiri tak tahu kenapa dia boleh sukakan Balkish. Cuma yang pasti, pertama kali terpandangkan wajah Balkish ketika dia makan tengah hari bersama-sama abang iparnya tiga bulan lalu hatinya sudah terpaut. Dia sukakan rupa paras Balkish yang cantik. Sesuai dengan piawaian yang dia mahukan daripada seorang wanita. Bila dia cuba mendekati Balkish, gadis itu pula sering menghindar. Langsung tak layan ayat-ayat cintanya.
Sebelum ini belum pernah lagi dia ditolak oleh mana-mana perempuan. Namun Balkish, gadis itu terlalu sukar untuk didekati. Apa sahaja yang diberikannya, pasti akan ditolak oleh Balkish dengan pelbagai alasan. Itulah yang membuatkan dia semakin ingin memiliki hati Balkish. Dia dapat melihat betapa berbezanya Balkish daripada gadis-gadis yang selama ini mendampinginya. Balkish bukan tergolong dalam perempuan yang gilakan harta dan wang ringgit.
Tiba-tiba Harriz mengeluh. Tadi dia pergi ke rumah sewa Balkish. Niatnya macam biasalah, hendak melepaskan rasa rindu menatap seraut wajah yang sering menganggu lenanya sejak kebelakangan ini. Tapi sampai sahaja di sana, dia lihat kereta Kancil milik Balkish tiada di tempat biasa. Jiran sebelah rumah Balkish yang bernama Kak Liza itu memberitahu bahawa semua anak dara sunti di rumah itu telah balik bercuti di kampung masing-masing awal pagi tadi.
Hampa rasa hati Harriz ketika Kak Liza berkata sebegitu. Akhirnya dia pulang ke rumah dengan rasa kecewa yang terbuku di hati. Sampaikan dia tak ada mood hendak keluar bersuka-ria dengan Amylia. Lantaklah kalau Amylia hendak merajuk sekali pun. Ada dia kisah? Dia sudah tak ambil peduli soal rajuk Amylia lagi.
Samsung Galaxy Note dibuka. Dia menekan peti simpanan gambar. Di situ terdapat beberapa keping gambar comel Balkish yang diambil secara sembunyi-sembunyi. Semua buat muka masam kecuali satu gambar Balkish tersenyum ketika berdepan dengan abang iparnya. Manis sungguh senyuman gadis itu. Buat dia gila bayang. Gambar itu juga telah dijadikan sebagai wallpaper skrinnya. Bila kerinduan terhadap Balkish menyerang, gambar-gambar curi inilah yang sering dijadikan teman pelepas rindu.
Ini kalau Balkish tahu… tentu Balkish akan marah. Heheheee…
Harriz tertawa kecil bila terbayangkan wajah geram Balkish yang kelihatan comel itu. Rasa seperti hendak dicubit-cubitnya pipi Balkish.
“Ehemmm…” suara deheman yang kedengaran keras itu mengejutkan Harriz yang sedang leka memandang wajah gadis pujaan hatinya itu. Cepat-cepat dia menyembunyikan Samsung Galaxy Note miliknya ke dalam poket seluar tidur yang dipakainya.
“Abang Riz tak keluar ke malam ni?” tanya Hanni yang agak kehairanan dengan adanya kelibat Harriz di rumah malam itu. Biasanya waktu-waktu seperti ini Harriz pasti akan keluar berhibur dengan kawan-kawannya. Tak pun keluar dengan awek-aweknya yang gediks itu. Jarang sungguh ada kelibat abangnya itu di rumah jam seperti ini.
“Tak! Malas,” pendek dan padat jawapan yang keluar dari mulut Harriz.
Dahi Hanni berkerut seribu. Hairan binti pelik dia mendengar jawapan abangnya itu. Tak pernah dia dengar Harriz berkata sebegitu sebelum ini. Kalau pasal keluar berhibur, memang abangnya yang seorang itulah yang nombor satu. Sampaikan naik pening kepala mama dibuatnya. Bukan mama seorang sahaja yang pening kepala, papa pun ikut migrain dengan perangai anak teruna seorang ini. Bertuah punya anak.
Harriz pandang Hanni.
“Dah… tak payah nak buat muka hairan ajaib tu dekat Abang Riz. Abang Riz malas nak keluar malam ni. Takde mood. Hah… yang Hanni masuk bilik Abang Riz tak ketuk pintu dulu ni kenapa? Main rempuh aje bilik orang. Kalau time ni Abang Riz tengah tukar baju, tak ke haru.”
Hanni ketap bibir. Amboi… bukan main lagi bahasa abangnya itu. Time susah aku jugak yang dicarinya. Kali ni kalau ada aweks dia buat hal lagi, jangan harap aku nak tolong. Pandai-pandai sendirilah settle masalah.
“Eheh… jangan nak main tuduh aje tau. Hanni dah ketuk pintu sebelum masuk tadi. Abang Riz tu yang tak sedar. Asyik tersengih-sengih macam orang tak betul tenung handphone Abang Riz tu. Entah apalah yang menarik sangat kat dalam tu sampai bukan main lebar lagi Abang Riz tersenyum,” Hanni bersandar malas pada pagar besi di koridor bilik tidur abangnya. Sempat juga dia memandang ke bawah. Dari situ kelihatan kolam renang yang luas terbentang. Indah sungguh pemandangan dari arah bilik abangnya ini.
Iye ke? Abang Riz tak dengar pun Hanni ketuk pintu.”
“Macam mana nak dengar kalau Abang Riz dah asyik sangat pandang handphone Abang Riz tu. Hanni pelik betul la dengan Abang Riz sejak kebelakangan ni. Asyik termenung aje. Macam orang angau. Kali ni perempuan mana pulak yang buat Abang Riz angau ni?” bersahaja sahaja Hanni berkata.
Harriz tersengih. Hanni ni bijak betullah. Tahu aje yang dia sedang dilanda penyakit angau. Susah betul nak sembunyikan apa-apa dari budak kecik sorang ni. Macam Nujum Pak Belalang!
“Nampak sangat ke yang Abang Riz tengah angau?” tanya Harriz meminta kepastian. Hanni sekadar menganggukkan kepalanya. Sambil itu tangan disilangkan ke dada. Butalah sesiapa yang tak nampak.
“Siapa awek malang tu?” selamba Hanni menyoal. Kesian betul perempuan yang menjadi mangsa cinta abangnya itu. kalau dialah… huh, tak hingin dia nak serah hati dekat lelaki playboy macam abangnya itu.
“Sedap bahasa aje Hanni kata awek tu malang. Awek ni bukan sebarangan awek tau. Awek ni awek paling bertuah kat dunia ni sebab dapat membuatkan Abang Riz jatuh cinta padanya. Belum pernah Abang Riz rasa perasaan macam ni sepanjang hidup Abang Riz,” tutur Harriz penuh semangat. Hanni ni kalau bercakap tak pernah nak berlapis. Main ikut sedap mulut dia tu aje. Tak padan dengan kecik! Bebel Harriz dalam hati.
Hanni mencebik. Harriz ni kalau pasal perempuan memang nombor satu. Dasar buaya darat! Playboy Metropolitan!
“Hurmmm… iye la tu Abang Riz. Macamlah Hanni ni tak tahu dengan perangai Abang Riz yang kaki perempuan itu. Semua perempuan pun abang Riz kata bertuah bila dapat abang Riz. Tapi yang sebenarnya diorang tu malang sebab lepas aje Abang Riz dah puas dengan diorang, Abang Riz akan tinggalkan diorang macam tu aje. Hmmm… entah sampai bilalah perangai playboy Abang Riz ni akan berubah,” panjang lebar Hanni membebel. Dah boleh jadi tokoh membebel paling muda. Dalam ramai-ramai anak mama, Hani seorang yang mewarisi perangai suka membebel mama itu. Yang lain semua macam perangai papa yang cool! Heheheee…
Sebenarnya Hanni tak suka dengan perangai Harriz yang suka bertukar-tukar pasangan itu. Sudah banyak kali juga dia memberi nasihat kepada Harriz, tapi macam biasalah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Harriz ni memang pencinta wanita.
Teman wanitanya… dah tak boleh dibilang dengan jari-jemari. Campur dengan jari kaki pun tak cukup juga. Dan yang paling Hani tak suka bila sahaja Harriz memutuskan hubungan dengan teman-teman wanitanya itu bila dia sudah mulai bosan. Mulalah ada yang cari Hanni nak minta tolong pujukkan Harriz supaya jangan tinggalkan mereka. ‘Huh! Apa diorang fikir aku ni PA Abang Riz ke?! Itulah… masa serah hati, jantung, limpa dan segala yang sewaktu dengannya tak mahu fikir. Bila dah kena tinggal baru nak fikir yang abang Riz tu buaya darat paling jahat kat KL ni. Sakit kepala aku dibuatnya!’
Sebenarnya dulu Harriz bukanlah buaya darat jadian seperti sekarang. Dulu Harriz pencinta wanita yang begitu setia. Namun sejak wanita bernama Dhia itu tinggalkan Harriz kerana seorang lelaki mat salleh, sikap Harriz terus sahaja berubah. Terus menjadi kaki perempuan yang sering bertukar pasangan. Sudah hampir tiga tahun jugalah Harriz berperangai seperti ini. Entah sampai bilalah semua ini akan berakhir. Hanni selalu berdoa semoga ada seorang wanita yang mampu mengembalikan abang Harriznya yang dulu. Yang setia hanya pada seorang perempuan.
“Alaaa… yang ni serius punya. Tak main-main,” ujar Harriz bersungguh-sungguh. Memang kali ini dia tak ada niat hendak main-main. Dia serius mahu memiliki Balkish. Perasaan yang sudah lama dibuangnya kini muncul semula. Dan wanita yang berjaya membawa perasaan itu semula adalah Balkish!
Hanni mencebik. Kurang percaya dengan bicara abangnya itu. Biasalah Abang Riz… mula-mula memang cakap serius. Tapi esok lusa bila Abang Riz dah bosan mulalah Abang Riz cari awek lain untuk dijadikan pengganti. Huh! Hanni berbicara sendiri di dalam hati.
“Pertama kali Abang Riz pandang dia, hati Abang Riz dah terpaut. Dia lain dari wanita-wanita yang Abang Riz jumpa selama ni. Dia tak sama dengan mereka yang tergila-gilakan Abang Riz dan sanggup memberikan apa sahaja terhadap Abang Riz. Belum pernah ada seorang wanita pun yang menolak cinta Abang Riz. Tapi dia… dia lain sangat. Dia dingin dan langsung tak pandang apa yang Abang Riz miliki. Itu yang buat hati abang Riz semakin terpaut. Abang Riz rasa… Abang Riz dah jatuh cinta pada dia. Bukan lagi rasa… malah Abang Riz cukup yakin dengan perasaan Abang Riz sekarang,” penuh keasyikan Harriz meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Siap berdrama dengan mendongak merenung rembulan. Dah macam pungguk rindukan bulan pula keadaan Harriz.
Hanni memandang Harriz tanpa berkerdip. Belum pernah dia melihat Harriz seperti itu bila berbicara pasal wanita sejak abangnya itu putus cinta dengan Dhia tiga tahun lalu. Benarkah apa yang didengarnya malam ini? Adakah ini Harriz Hamdan yang dikenalinya dulu? Abangnya yang setia pada cinta yang satu.
“Waaa… nampaknya Abang Riz betul-betul dilamun cinta ni. Saper perempuan yang buat hati Abang Riz terbuai sampai macam ni sekali?” tanya Hanni. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang didengarinya ketika itu. Abang Riz jatuh cinta? Macam mimpi pulak. Selama ini dia tak pernah dengar Harriz berbicara soal hati dan perasaan. Kalau pasal perempuan tu memang biasalah. Naik muak Hanni mendengar cerita-cerita pasal aweks Harriz yang berbagai ragam dan gedik menggeletis itu.
“Balkish,” sepatah nama itu meniti keluar dari bibir Harriz.
“Balkish?” ulang Hanni dengan dahi yang berkerut. Dia tak pernah dengar pun di antara teman-teman wanita abang Harriznya yang bernama Balkish. Sah! Ini mesti perempuan baru lagi.
Harriz sekadar mengangguk. Samsung Galaxy Note dihulurkan kepada Hanni. Membiarkan Hanni melihat dan menilai sendiri siapakah gerangan si dia yang bernama Balkish yang telah membuatkan dia gila bayang. Buat dia angau bagaikan pungguk yang merindui sang rembulan. Cewah! Bermadah pujangga pulak anak teruna Tan Sri Hamdan ni.
“Cantiknya!!!” puji Hanni. Tidak sedar yang suaranya sudah mengeluarkan full volume yang membolehkan seisi rumah banglo ini dapat mendengarnya.
“Syhhh… perlahanlah sikit. Apa Hanni nak bagi announcement dekat orang tua kat bawah tu ke?” Harriz meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Hanni ni tak boleh ke kalau tak jerit-jerit. Macam orang kena histeria aje! Itu baru nampak wajah Balkish dalam skrin Samsung Galaxy Note Harriz, kalau nampak secara live mahu pengsan agaknya budak mulut murai tercabut ekor ni.
Hanni tersengih. Rambutnya yang panjang itu diselak ke belakang. Dia bukannya sengaja pun nak keluarkan full volumenya itu. Tetapi dia benar-benar terpana melihat gadis yang dimaksudkan oleh abangnya. Orangnya memang cantik. Bertudung pulak tu! Pada mulanya dia menyangka gadis yang buat abangnya angau itu sama aje fesyennya dengan aweks Harriz yang sebelum-sebelum ini. Ternyata tanggapannya itu meleset.
“Opsss… sorry, bos! Tak sengaja. Terlebih excited ni! Heheheee…”
Tidak berkedip mata Hanni memandang wajah Balkish yang terpampang pada skrin handphone milik Harriz. Tidak pernah dia melihat abangnya itu berhubungan dengan mana-mana gadis bertudung. Biasanya aweks Harriz semua edisi seksi-seksa belaka. Pakai baju macam orang tak cukup kain. Belah sana belah sini. Tonjol sana tonjol sini. Nampak sangat nak goda tahap keimanan Abang Riz yang senipis kulit bawang itu. Mujurlah Abang Riz belum sampai ke tahap ‘membaham’ anak orang. Kalau tidak… tak ke haru biru jadinya hidup mama dan papa dapat anak lelaki buaya jadian. Heheheee…
“Dekat mana Abang Riz kenal dia?” tanya Hanni mula mahu menyibuk. Kalau gadis bertudung yang gambarnya terdapat pada skrin handphone itulah yang Harriz mahu jadikan sebagai teman hidupnya, memang Hanni akan bersetuju seratus peratus!
“Ada la….” Harriz cuba berahsia. Mana boleh bagitahu dekat mana dia kenal Balkish. Nanti tak pepasal Hanni datang ke ofis Abang Mie pula nak menyiasat pasal Balkish. Otak Hanni ni bukannya boleh pakai sangat. Budak kecik ni otak penyiasat. Macam Detektif Conan. Kecil-kecil cili padi. Kalau macam ni kena inform cepat-cepat kat Kak Hanis. Jangan bagi Kak Hanis bagitau dekat si kecik ni pasal Balkish lebih-lebih. Fikir Harriz.
Hanni mencebik. Tak puas hati dengan jawapan yang keluar dari mulut abangnya.
“Huk eleh… takkan dengan Hanni pun nak berahsia segala? Selama ni Hanni tak pernah pun bocorkan rahsia Abang Riz dekat sesiapa, meskipun dekat mama dan papa. Kali ni kenapa pulak nak rahsia-rahsia ni?”
“Kali ni lain Cik Hanni sayang oi. Yang ni special case.”
“Ekk… habis tu yang lelain tu case apa pulak?”
“Yang lain-lain tu case nak lepas rasa bosan takde aweks,” selamba sahaja Harriz menjawab.
Hanni mengherot bibirnya ke kanan. Dia buat mimik muka meniru aksi percakapan abangnya. Memang dasar buaya betul Abang Riz ni. Entah-entah dulu papa pun sama perangai dengan Abang Riz. Pasal tu Abang Riz berperangai macam ini. Playboy melampau sangat. Pantang nampak perempuan berdahi licin, semua dia nak sapu!
Memang padanlah mama dengan papa tarik balik kondominium yang mereka bagi pada Abang Harriz tu. Macam ini punya perangai memang tak boleh nak dibiarkan tinggal sendirian. Nanti jadi pula perkara yang memalukan. Mana taknya, sebelum ini mama pernah tertangkap Abang Harriz bersama teman wanitanya berdua-duaan di kondominium mewahnya itu. Mengamuk sakan mama! Pasal itulah kondominium itu ditarik balik dan Abang Harriz terpaksa tinggl di rumah. Jadi tak ada lagi istilah bawa balik ‘betina’ macam mama kata tu dalam kamus hidup Abang Harriz. Heheheee…
“Jahatlah Abang Riz ni. Tak baik tau buat macam tu. Kesian perempuan-perempuan yang selama ni bagi cinta dan sayang mereka pada Abang Riz. Alih-alih Abang Riz tinggalkan mereka macam tu aje,” komen Hanni. ‘Dasar buaya betul abang aku ni! Nasib baiklah boyfriend aku si Kuzer tak berperangai buaya jadian macam Abang Riz. Jika tidak… mahu merana jiwa dapat pakwe perangai buaya tembaga dan yang sewaktu dengannya macam ini.’
“Mana ada Abang Riz jahat. Sebelum Abang Riz couple dengan awek-aweks Abang Riz tu, awal-awal lagi Abang Riz dah bagitau diorang yang Abang Riz tak nak hubungan yang terlalu serius. Diorang sendiri yang bersetuju dengan syarat Abang Riz tu. Lagipun… Hanni fikir diorang tu ikhlas ke sukakan Abang Riz? Entah-entah diorang tu cuma mahukan duit Abang Riz aje. Entah-entah diorang pasang pakwe keliling pinggang jugak. Lelaki dengan perempuan zaman sekarang ni Hanni, perangai dua kali lima aje.”
Mendengar kata-kata Harriz itu, Hanni turut bersetuju. Memang perempuan-perempuan cantik yang mendampingi abangnya selama ini hanya mahukan duit Abang Harriz saja. Tengok sahaja apa yang mereka mahukan. Semua barangan yang berjenama dan terkenal. Sesuai sangatlah tu. Si buaya darat berjumpa dengan si pisau cukur.
“Tapi Balkish ni lainlah, Hanni. Dia tak sama dengan perempuan-perempuan yang abang Riz jumpa selama ni,” keluh Harriz. Kekadang timbul rasa terkilan dengan sikap Balkish yang buat tak layan sahaja pada dirinya itu. Layan acuh tak acuh sahaja.
Dahi Hanni berkerut-kerut.
“Lain macam mana maksud Abang Riz ni? Hanni tak fahamlah.”
Harriz menghela nafas. Kemudian dia bangun dari duduknya. Tubuhnya yang sasa itu disandarkan pada pagar besi.
Sementara Hanni pula sudah melangkah mengambil alih tempat abangnya untuk duduk di buaian rotan. Lenguh kakinya berdiri dari tadi. Wajah Harriz dipandang. Tidak sabar mahu mendengar kelainan Balkish yang Harriz maksudkan. Nampak macam menarik aje kisah cinta terbaru abangnya ini. Bolehlah dia buat jalan cerita untuk novel terbarunya nanti. Heheheee...
“Hanni tahukan…”
Nope,” pinta Hanni laju sambil kepala digelengkan.
“Bagi Abang Riz habiskan ayat dulu boleh, tak?” gumam Harriz geram.
Hanni tayang gigi. Sebenarnya dia sengaja nak menyakat abangnya itu. Tak seronoklah kalau Abang Harriznya buat muka serius. Heheheee…
“Okey… teruskan.”
Harriz mencebik.
“Hanni kan tahu… selama ni tak ada seorang perempuan pun yang menolak cinta Abang Riz yang hensem ni.”
Hanni buat muka seolah-olah nak termuntah kala Harriz menyatakan dirinya hensem. Perasan betul!
“Boleh tak Abang Riz jangan nak perasan. Loya tekak Hanni dengar pengakuan berani mati Abang Riz tu la,” ujar Hanni. Kembali memotong kata-kata abangnya.
Kali ini giliran Harriz pula tayang gigi.
Iye la… Iye la… nak gurau sikit pun marah. Selama ni apa yang Abang Riz mahukan Abang Riz boleh dapat dengan mudah. Petik jari aje, Abang Riz boleh dapat ramai awek. Tapi tidak dengan Balkish… dia perempuan pertama yang tolak cinta Abang Riz. Abang Riz petik banyak jari pun dia tak pandang langsung. Semakin Abang Riz mendekat, semakin dia menghindar. Dia buat tak layan aje dengan Abang Riz. Macam Abang Riz ni tak wujud. Apa yang Abang Riz bagi semua dia tolak dengan macam-macam alasan. Susah betul nak tawan hati dia,” beritahu Harriz perihal Balkish.
Hanni ketawa kecil. Kelakar pula bila ada perempuan yang menolak abangnya ini. Selalunya Harriz bukan main mendabik dada lagi bila sering berjaya mendapatkan gadis-gadis yang diingininya. Kali ini… baru abangnya itu tahu. Tak semua perempuan dapat dibeli dengan wang ringgit dan kebendaan.
 Iye ke? Hurmmm… baguslah macam tu. Well done Kak Balkish,” ujar Hanni sambil membahasakan Balkish dengan panggilan kakak. Dia yakin Balkish pasti lagi tua dari dia yang baru berusia enam belas tahun. Selamba badak aje dia cakap macam tu depan Harriz. Langsung tak peduli perasaan abangnya yang sudah terguris mendengar komen pendeknya itu.
Harris mengerut kening. Wajah Hanni ditenung tajam. Boleh pula si budak kecik ni cakap bagus??? Siap buat ucapan ‘well done’ lagi.
“Itu maknanya Kak Balkish seorang perempuan yang bijak. Dia tak sanggup nak bagi hati dia pada Abang Riz yang playboy ni. Baguslah macam tu, kan?” Amboi Hanni ni… bukan main lagi dia.
Harriz mengetap bibir. Hanni ni suka betul berfikiran yang negatif tentang dirinya. Apa dia ni teruk sangatkah sampai Hanni rasa dia tak layak untuk Balkish. Dia akui memang dia ni playboy. Kaki perempuan. Tetapi sejak bertemu dengan Balkish hatinya sudah tawar dengan perempuan-perempuan yang lain. Dia mahu serius dengan Balkish seorang. Susah sangatkah untuk Hanni mengerti isi hatinya itu? Apa punya adiklah Hanni ni? Tak bagi sokongan moral kat abang sendiri. Kang Harriz cakap begitu Hanni berkecil hati pulak. Biasalah Hanni tu… kuat sangat merajuk.
“Tapi dengan Balkish Abang Riz serius. Abang Riz tak ada niat pun nak main-mainkan dia,” serius kedengaran suara Harriz. Dia mahu menyakinkan Hanni bahawa dia serius kali ini. Bukan main-main!
Melihat wajah Harriz yang bertukar serius dan nada suaranya yang tegas itu, Hanni sedar bahawa kini abangnya itu memang betul-betul telah jatuh cinta. Jika tidak, takkan seperti ini kelakuan Harriz. Duduk termenung dan tak keluar malam. Biasanya Harriz ni memang jenis yang tak pernah lekat duduk kat rumah. Selalu aje keluar berhibur ke kelab-kelab malam bersama awek-aweknya yang bertukar-tukar itu. Macam tukar baju.
“Okey… Hanni percaya dengan cakap Abang Riz. Macam ni lah… kalau Abang Riz serius sukakan Kak Balkish, Abang Riz tunjukkan dekat Kak Balkish yang Abang Riz bukan main-main dengan dia. Abang Riz memang sukakan dia. Abang Riz… orang perempuan ni nampak aje keras, tapi kalau Abang Riz bijak memainkan peranan Abang Riz, Hanni yakin Kak Balkish pasti sukakan Abang Riz. Alaaa… Abang Riz kan bijak pasal perempuan. Tentu Abang Riz tahu cara yang terbaik buat Kak Balkish jatuh cinta pada Abang Riz. Tapi perkara pertama yang perlu Abang Riz lakukan adalah buang perangai playboy Abang Riz tu. Hanni yakin Abang Riz pasti boleh dan Kak Balkish akan jatuh cinta dengan Abang Riz juga akhirnya,” panjang lebar Hanni memberi kata semangat. Dah macam orang dewasa pula dia ni.
Harriz sudah tersenyum kembali. Boleh tahan juga Hanni ni bagi kata-kata semangat. Tak padan dengan kecik!
Ya! Dia perlu bijak membuatkan Balkish jatuh cinta padanya. Balkish… aku akan pastikan kau jadi milik aku! Kini keazaman ingin memilik Balkish semakin menebal.

***************************************************************************

AMYLIA menghenyak punggungnya di atas sofa. Handphone BlackBerrynya dilempar atas sofa bertentangan. Tangan dibawa ke dada lalu disilangkan. Dia merengus kasar. Wajahnya masam mencuka. Sakit benar hatinya dengan Harriz. Untuk malam ini sahaja sudah masuk lima belas kali Harriz menolak ajakannya untuk keluar bersama. Sejak kebelakangan ini susah benar untuk dia keluar bersama Harriz. Ada-ada sahaja alasan yang diberikan oleh lelaki itu. Nampaknya Harriz macam nak jauhkan diri daripadanya.
Takkanlah Harriz sudah bosan dengan aku? Soal Amylia kepada diri sendiri. Kemudian kepalanya digeleng berkali-kali. Cuba menghalau apa yang sedang bermain dalam fikirannya itu.
“Tidak! Tidak! Tidak! Aku tak boleh nak biarkan Harriz bosan dan tinggalkan aku. Aku akan pastikan Harriz menjadi milik aku. Cuma berkahwin dengan Harriz sahaja aku boleh menikmati kesenangan dengan mudah. Aku tak boleh lepaskan dia. Aku tak akan biarkan dia pergi macam itu aje,” Amylia berbicara seorang diri. Tekadnya bulat untuk memiliki Harriz. Dia tak akan melepaskan Harriz walau apa pun yang akan terjadi.
Bukan senang hendak mendapatkan lelaki muda yang kaya-raya seperti Harriz di zaman sekarang ini. Kebanyakkan lelaki yang ditemuinya semua tua belaka. Biasalah kalau dah ada pangkat Datuk, Tan Sri segala ni mesti orangnya sudah berumur. Ada pun yang muda sikit tapi muka tak hensem macam Harriz.
Hello darlingapesal monyok aje ni?” satu suara menegur. Kemudian sebuah ciuman hinggap pula ke dahi Amylia.
Amylia mendongak. Wajah Datuk Manaf dipandang. Ini lagi seorang lelaki tua yang gatal tak sedar diri. Dia ingat aku serius ke sukakan dia? Huh… dahlah perut boroi, kepala botak, tak selera aku tengok. Nasib baik duit banyak. Itu ajelah yang buat dia jadi hensem sikit. Amylia mengejek dalam hati.
“I bosanlah ling duduk terperap aje kat dalam kondominium ni. Jom kita keluar shopping,” Amylia sudah buat aksi manja-manja bila Datuk Manaf melabuhkan punggung disebelahnya. Jemarinya menguis-nguis dada Datuk Manaf yang tidak berbaju itu. Macamlah body cantik sangat.
Datuk Manaf pun apa lagi, terus sahaja membelai mesra rambut panjang keperangan milik Amylia. Haruman wangian rambut Amylia membangkitkan semula nafsu lelakinya. Sedangkan baru tadi dia dengan Amylia berasmara. Kini nafsunya kembali menyerang. Dengan Amylia, memang susah untuk dia mengawal gelora nafsu jantan. Tapi bila berada dekat dengan isterinya si Datin Rose, nafsunya langsung tak ada.
I bukan tak nak keluar shopping dengan you, darling. Tapi you pun faham kan kedudukan I macam mana. I tak naklah Datin Rose dapat tahu nanti. Susah kita,” ujar Datuk Manaf sambil bibirnya sudah mula mencium pipi gebu Amylia. Hisy… Datuk Manaf ni, gatal tak hengat dunia!
Ceh! Dasar lelaki pengecut. Belakang aje berani. Tapi depan takut bini! Cemuh Amylia dalam hati. Belaian Datuk Manaf ke atas dirinya dibiarkan sahaja.
“You ni macam tulah… asal I ajak shopping aje mesti you bagi seribu satu alasan. Tapi kalau you mahu I layan you, I tak pernah pun membantah,” Amylia sudah tarik muncung. Tubuh Datuk Manaf yang melekat dekat dengan tubuhnya ditolak jauh. Dia sudah membelakangkan Datuk Maruf dan mula buat-buat merajuk. Dia amat yakin lelaki tua itu akan cair dengan rajuknya itu. Biasalah… lelaki tua yang gatal macam Datuk Manaf ni memang tak boleh nak tengok perempuan muda merajuk. Mulalah gelabah satu macam.
“Okey macam ni, apa kata you pergi shopping sorang diri atau ajak sesiapa aje temankan you? I bagi you duit,” Datuk Manaf sudah memujuk. Dia tahu pasti Amylia akan cair bila mendengar perkataan duit.
Amylia sudah menarik senyum segaris bila mendengar Datuk Manaf berkata sebegitu. Namun dia masih buat-buat merajuk dengan Datuk Manaf. Bagi gelabah lagi lelaki tua tak sedar diri itu.
Datuk Manaf mengeluh kecil. Dia cuba mendekati Amylia yang sudah duduk jauh daripadanya. Lengan gadis itu disentuh. Namun Amylia mengelak. Datuk Manaf tidak mahu mengalah. Dia masih berusaha merapatkan kedudukan dengan Amylia.
Darling… janganlah macam ni. I bukannya tak nak temankan you pergi shopping. Tapi you sendiri tahu kan kedudukan I. I bagi you duit. You boleh shopping sepuas hati you. Kalau tak cukup jugak… you boleh gunakan kad kredit ni,” Datuk Manaf menghulurkan kad kredit yang dikeluarkan melalui dompetnya kepada Amylia.
Melihat kad kredit bewarna emas yang terpampang depan matanya itu, senyuman di bibir Amylia mekar dengan lebar. Dah macam senyuman Joker pulak Amylia ketika itu. Senang sungguh hatinya melihat kad kredit yang dilayang depan matanya. Serentak itu juga dia mengambil kad kredit yang Datuk Manaf hulurkan. Lalu dengan manja dia melentokkan kepalanya di bahu Datuk Manaf. Tidak kisahlah lelaki itu sudah layak digelar bapa, dia tetap akan melayan Datuk Manaf dengan sebaiknya asalkan dia mendapat pulangan yang setimpal dengan apa yang diberikan.
Datuk Manaf dengan gatalnya mengelus-ngelus rambut Amylia yang harum mewangi itu. Fikirannya sudah terbayangkan kehangatan pelukan Amylia sebentar sahaja lagi. Perempuan macam Amylia ni bukannya susah nak pujuk. Bagi duit, mulalah Amylia cair.
“Okey I tak akan paksa you. Thanks darling,” ucap Amylia. Sebuah ciuman hinggap ke pipi tua Datuk Manaf.
“Cium kat situ aje ke?” soal Datuk Manaf yang sudah tersungging senyuman menggoda. Uwek… rasa nak termuntah aje sesiapa yang tengok lagak Datuk Manaf yang gatal miang berkurap itu.
“You ni nakallah…” giat Amylia. Lengan lelaki tua itu dicubit manja. Senyumannya lebar dan begitu menggoda. Pantas dia bangun dari duduknya. Tangan Datuk Manaf ditarik lalu dibawa masuk ke dalam bilik. Datuk Manaf apa lagi… ikut sahaja langkah menggoda Amylia itu. Rasa macam tak sabar sahaja dia hendak menerkam tubuh Amylia yang kelihatan begitu montok sekali.
Nampaknya malam ini Datuk Manaf dan Amylia sekali lagi bergelumang dengan dosa. Mereka sudah tidak takut lagi akan hukuman yang bakal diterima suatu hari kelak. Nafsu telah melalaikan mereka berdua. Dan syaitan juga sudah ketawa dengan besarnya melihat cucu cicit Nabi Adam ini kecundang dengan hawa nafsu mereka sendiri.














No comments:

Post a Comment