Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 7



Menunggu sesuatu yang sangat menyebalkan bagiku
Saat ku harus bersabar dan terus bersabar
Menantikan kehadiran dirimu
Entah sampai kapan aku harus menunggu

Sesuatu yang sangat sulit tuk ku jalani
Hidup dalam kesendirian sepi tanpamu
Kadang ku berpikir cari penggantimu
Saat kau jauh disana
…………………………………
Zivilia Band – Aishiteru

“NAK ke mana tu?” tegur Puan Sri Hanum kala terlihat kelibat anak bujangnya yang menuruni anak tangga sambil berlagu riang. Wangi bukan main. Jam baru pukul 6.40 pagi. Anaknya itu sudah kelihatan begitu bergaya sekali. Dengan kemeja-t polo warna putih bergaris merah, seluar jeans hitam dan bertopi putih. Ini tak lain tak bukan mesti nak keluar lagi. Susah sangat nak duduk diam kat rumah hujung minggu macam ini.
“Riz nak keluar main golf dengan abang Mie, ma,” selamba Harriz menjawab. Langsung tidak menghiraukan renungan tajam mamanya itu. Langkahnya sudah dibawa ke ruang makan. Kerusi ditarik dan dia pun duduk di atas kerusi. Teko berisi air coklat kegemarannya dituang ke dalam cawan. Bihun goreng campur udang segar disenduk masuk ke dalam pinggan.
Hmmm… sedap betul bihun hasil air tangan mamanya itu. Biarpun ada pembantu rumah, hal masak-memasak akan disediakan sendiri oleh Puan Sri Hanum. Kak Moon hanya membantu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan sahaja. Dia memang tak benarkan Kak Moon masak.
Iye ke nak keluar dengan Fahmie? Ke Riz nak keluar dengan teman-teman wanita Harriz yang berbagai rupa dan ragam tu?” sinis Puan Sri Hanum menyindir. Macamlah dia tak tahu perangai anak bujangnya yang kaki perempuan itu. Sudah naik berbuih mulutnya membebel marahkan Harriz yang asyik berkepit dengan perempuan-perempuan yang langsung tak menepati citarasanya untuk dijadikan calon menantu. Namun anaknya itu buat tak dengar sahaja. Malah bukan main galak pula Harriz memasang teman wanita yang berbagai rupa.
“Hisy… mama ni ke situ pulak. Betullah, ma. Riz ada appointment nak main golf dengan Abang Mie pagi ni. Takkan nak keluar dating awal pagi begini? Shopping complex pun tak buka lagi tau, ma. Kalau mama tak percaya Riz nak pergi main golf dengan abang Mie, mama boleh call Abang Mie atau Kak Hanis,” balas Harriz.
Puan Sri Hanum mengetap bibir. Harriz ni ada sahaja jawapannya. Susah betul dengan perangai anak lelaki tunggalnya itu. Tak pernah nak kalah bila bercakap. Sebiji macam perangainya jugak. Bak kata orang, emak borek anak rintik.
“Harriz jangan nak main-main dengan mama. Mama tak nak Harriz terlibat lagi dengan perempuan-perempuan yang entah dari mana asalnya itu. Mama dah tak nak baca gosip-gosip pasal Harriz lagi. Ingat mama dengan papa bangga sangat ke bila ada media yang melaporkan Harriz ni playboy nombor satu di KL? Memalukan aje. Tak pernah ada dalam keturunan kita yang bergelar playboy. Papa masa muda-muda dulu pun tak ada buat perangai macam Harriz,” omel Puan Sri Hanum. Memang benar. Suaminya ketika muda-muda dulu tak ada perangai buruk macam Harriz ini. Suaminya merupakan seorang lelaki yang budiman. Disebabkan itulah hatinya terpaut pada Tan Sri Hamdan walaupun ketika itu suaminya hanyalah seorang anak nelayan.
Kali ini Harriz malas hendak membalas kata. Dia menyuap lagi bihun goreng ke dalam mulut. Menikmati keenakan bihun itu lebih bagus dari dengar omelan mama di awal pagi ini. Aduh… mama. Suka sangat membebel. Betul-betul mewarisi perangai arwah nenek. Dan sekarang perangai kuat membebel itu jatuh pulak kepada mama dan Hanni. Nasib baik Kak Hanis dan Hanna tak berjangkit penyakit yang sama. Heheheee…
“Mama tak suka Harriz terlibat dengan perempuan-perempuan tu lagi. Dahlah perangai tak senonoh, pakaian pulak macam orang tak cukup kain. Rimas mata mama ni tengok diorang. Tak sesuai langsung jadi menantu mama,” Puan Sri Hanum mengumam. Dia memang tak berkenan dengan beberapa orang teman wanita Harriz yang pernah dijumpanya. Dia juga sudah memberi amaran kepada beberapa orang wanita yang sering Harriz usung ke sini sana untuk menjauhkan diri daripada anaknya itu. Jangan harap dia nak terima salah seorang daripada mereka untuk dijadikan menantu. Baginya, dia sudah ada pilihan yang dirasakan cukup sesuai untuk dijadikan teman hidup Harriz.
Iye la, ma. Riz tahu.” hanya ayat itu yang keluar dari mulut Harriz. Hisy… mama ni! Buat hilang selera makan aku aje. Boleh tak biarkan aku aman damai menikmati kelazatan bihun ini? Ini tak… pot-pet pot-pet macam burung kakak tua.
“Harriz jangan cakap ‘tahu-tahu’ aje. Mama tak nak Harriz berdampingan dengan teman-teman wanita Harriz tu lagi. Ini last warning dari mama,” nada suara mama kedengaran serius. Wajah jugak kelihatan serius sekali. Langsung tak ada segaris senyuman.
Aduh… mama ni kan… buat perut aku kenyang cepat betullah. Sejak kebelakangan ni mama suka sangat buat aku migrain. Asyik nak kawal pergerakan aku aje.
“Ehem… awal pagi lagi saya dah dengar awak membebel. Apa yang dibebelkan tu Cik Hanum oi?” suara Tan Sri Hamdan kedengaran. Kemudian lelaki yang kelihatan masih segak itu mengambil tempat duduknya di tempat biasa. Di kepala meja yang menunjukkan dia adalah ketua isi rumah di banglo mewah tiga tingkat itu.
“Ni hah… anak bujang abang ni. Awal pagi lagi dah nak keluar. Katanya nak keluar main golf dengan Fahmie. Saya tak nak dia keluar dengan perempuan-perempuan yang tak senonoh tu. Nanti tak pasal-pasal ada lagi berita terhangat yang akan keluar dalam akhbar-akhbar tabloid,” ujar Puan Sri Hanum kepada suaminya. Dia bangun dari duduk. Air coklat dituang ke dalam cawan. Kemudian dia menyenduk pula bihun goreng ke dalam pinggan untuk diberikan kepada suami tercinta.
Tan Sri Hamdan mengerling ke arah Harriz. Memang benar kata isterinya. Harriz nampak begitu bergaya sekali pagi ini. Nampak sangat yang anak bujangnya itu hendak keluar. Harriz ni dah semakin dewasa susah sangat nak duduk lekat kat rumah. Ada sahaja aktiviti hujung minggunya.
Melihat gerlingan mata papanya, Harriz yakin pasti papanya juga akan meleterinya sama macam mama. Sebelum itu terjadi, ada baiknya dia angkat kaki. Dia tak mahu awal pagi dibebani dengan leteran kedua orang tuanya itu.
“Okeylah ma, pa, Riz pergi dulu. Nanti matahari meninggi pulak kalau nak main golf,” Harriz bangun dari duduknya. Tangan papa dan mama disalam lalu dicium penuh hormat. Senakal mana pun dia, papa dan mama merupakan orang yang paling dihormatinya. Setakat ini belum pernah lagi dia meninggikan suara kepada mama dan papa walaupun kadangkala tahap kesabarannya hampir hilang dengan sikap mama dan papa yang kuat mengongkong sejak dia tercalon sebagai lelaki paling banyak teman wanita oleh sebuah majalah tempatan.
“Hah… Harriz jangan balik lambat sangat. Malam ni mama ada buat makan-makan sikit. Kita ada tetamu nak datang ke rumah,” pesan mama sebelum Harriz melangkah meninggalkan ruang makan.
“Siapa?” soal Harriz hairan. Mama ni tak habis-habis dengan tetamu. Entah siapa lagilah tetamu istimewa mama untuk malam ini. Ini tak lain tak bukan mesti kawan-kawan mama yang ada anak perempuan untuk dikenenkan dengannya. Huh! Mama ni tak habis-habis mahu mengenenkan dia dengan anak-anak gadis rakan-rakannya.
“Datuk Syed Rahman dengan Datin Syarifah Elina. Syarifah Ezora pun ada sekali,” ujar mama sambil bibirnya mula mekar dengan senyuman yang paling manis sekali. Pantang sebut nama Syarifah Ezora, pasti sengihan pada bibir mama akan mekar selebarnya.
“Aik… bukan bulan lepas pun mama ada jemput mereka datang makan malam dekat rumah jugak ke?” takkan setiap bulan nak adakan makan-makan untuk menjemput keluarga Datuk Syed Rahman datang ke rumah pulak? Soalan yang seterusnya hanya bergema di dalam hati.
“Itu bulan lepas. Ini bulan ni. Kali ni mama mahu Harriz ada dekat rumah time mereka datang. Mama tak nak jadi macam bulan lepas. Kesian mama tengok Ezora. Kecewa sangat dia tak dapat jumpa kamu. Itu semua kamu punya pasallah. Suka sangat mungkir janji,” ujar mama. Wajahnya sudah kembali tegang. Teringatkan kejadian bulan lepas, dia menjadi geram. Sakit betul hatinya dengan Harriz. Boleh pula anak bujangnya itu tak balik makan malam itu. Sedangkan awal-awal lagi dia sudah beritahu Harriz akan kedatangan keluarga Syarifah Ezora ke rumah mereka. Boleh pula Harriz buat-buat lupa.
Harriz sekadar mengangguk. Bosan betul dia bila mamanya begitu mendesak untuk dia bertemu dengan Syarifah Ezora anak manja Datuk Syed Rahman dengan Datin Syarifah Elina itu. Entah apalah yang istimewa sangat dengan Syarifah Ezora sampaikan mama begitu teruja hendak menjadikan Syarifah Ezora sebagai menantu. Nak kata Syarifah Ezora itu lain daripada yang lain dengan wanita-wanita yang selalu diusungnya ke sana ke mari, tak ada juga. Sama aje. Pakai baju pun dedah sana dedah sini jugak. Rambut pun diwarnakan perang jugak. Itukah calon menantu pilihan mama? Huh!
Kalau iye pun mama nak cari menantu, carilah yang macam Balkish. Heheheee… Bibir Harriz tersungging senyuman manis.
“Eheh… senyum pulak dia. Harriz dengar tak apa yang mama cakap ni?”
Iye… Riz dengarlah, ma. Okeylah ma, pa… Riz pergi dulu. Dah lewat ni,” Harriz pun berlalu pergi. Dia sudah tidak sanggup mendengar mama membebel lagi. Dah tu siap sebut-sebut nama Syarifah Ezora pula. Playboy macam mana pun dia, kalau Syarifah Ezora yang terlebih manja itulah hendak dijadikan teman hidup… huh… memang dia tak hingin!
“Tengoklah anak bujang abang tu. Entah perangai playboy siapalah yang diikutnya? Pantang nampak perempuan cantik, mulalah dia nak jual minyak. Kalau perempuan yang dia suka ni baik takpe jugak. Boleh jugak saya pertimbangkan. Ini tak… perangai entah apa-apa. Hisy… tak berkenan betul saya. Lainlah kalau si Ezora tu. Memang saya berkenan jadikan dia menantu. Sambil tu dapat juga kita mengeratkan hubungan dengan Rahman dan Elina.”
Tan Sri Hamdan menggeleng-geleng. Keinginan isterinya yang mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora itu semakin hari semakin menjadi pula. Boleh dikatakan setiap hari nama Syarifah Ezora meniti keluar dari mulut isterinya. Macam dah tak sabar sangat isterinya itu hendak bermenantukan Syarifah Ezora.
Tan Sri Hamdan memang geram dengan perangai kaki perempuan anak lelaki tunggalnya itu. Namun dia tidak pula bersemangat waja hendak menjodohkan Harriz dengan Syarifah Ezora. Apa yang dilihat Tan Sri Hamdan, anak sahabat baiknya si Syarifah Ezora itu takdelah berbeza sangat dengan wanita-wanita yang sering berkepit dengan Harriz. Nampak sama aje dari segi berpakaian. Cuma mungkin Syarifah Ezora ini latar belakang keluarganya diketahui. Lagipun Syarifah Ezora kan anak sahabat baik Puan Sri Hanum. Pasal tu lah isterinya berkenan sangat pada Syarifah Ezora. Kalau dia… hurmmm… rasanya dia tak berapa berkenan dengan anak gadis Datuk Syed Rahman itu biarpun dia dengan Datuk Syed Rahman berkawan baik sejak dari universiti lagi.
Dia sentiasa berdoa semoga ada wanita yang lebih baik dari Syarifah Ezora untuk anak lelaki kesayangannya itu.

***************************************************************************

HARRIZ dan Fahmie mengambil tempat duduk di Golfer’s Terrace Lounge setelah menghabiskan permainan golf mereka sebentar tadi. Matahari sudah agak meninggi waktu ini. Nasib baiklah mereka datang awal untuk bermain. Takdelah berpanas hingga ke tengahari. Setelah sekian lama tak bermain golf bersama Fahmie, akhirnya Harriz berjaya juga menewaskan abang iparnya itu hari ini. Selalunya bila ada peluang bermain golf berdua, Harriz memang tak pernah menang dengan Fahmie. Pasti abang iparnya itu yang menjadi pemenang tegar. Namun hari ini nampaknya dia sudah berjaya memecahkan rekod dengan mengalahkan abang iparnya itu. Gembira sungguh dia. Hinggakan dia menjerit keseronokan.
“Lama kita tak main sama, nampaknya Riz dah banyak kemajuan ye. Sampai dapat tewaskan Abang Mie hari ni,” ujar Fahmie. Fresh orange yang dipesan tadi disedut perlahan. Lega rasanya bila dapat membasahkan tekak dengan jus oren yang sejuk itu. Panas-panas macam ini memang sesuai sangat minum minuman sejuk.
See my leg la Abang Mie,” Harriz sudah bangga diri. Senyumannya lebar hingga ke telinga. Siapalah yang tak gembira bila dapat menewaskan musuh tradisi dalam permainan ini. Rasa macam nak umumkan kepada semua aje. Khakhakhaaa..
Fahmie mencebik. Ini yang dia malas kalau sudah puji Harriz. Mulalah adik iparnya itu bangga diri tak sedar dunia. Riak bukan main lagi. Huh!
Tiba-tiba Samsung Galaxy Note Harriz berbunyi. Harriz mencapai handphone yang diletakkan di atas meja. Skrin menunjukkan panggilan itu datangnya daripada mama. Harriz mengeluh. Malas-malas dia menjawab panggilan tersebut. Ini tak lain tak bukan mesti nak bagi remaind pasal dinner malam ni. Bosan betul!
Yes… ma,” ucap Harriz ketika talian sudah dijawab.
Harriz menghela nafas. Bibirnya digerak-gerak mengikut setiap butir bicara mama. Melihat perilaku Harriz itu, Fahmie tersenyum lebar. Nakal sungguh adik iparnya itu. Ini kalau mama nampak mesti dah kena sound. Boleh pulak dia mengajuk percakapan mama sesuka hati.
Okey… I know. Riz ingat. Bye ma. See you tonight,” malas Harriz menjawab. Setelah talian dimatikan, satu dengusan keluar dari mulutnya. Mama ni tak habis-habis dengan Syarifah Ezora. Kalau dah berkenan sangat dengan Syarifah Ezora itu, apa kata mama pinangkan Syarifah Ezora untuk papa. Dapat juga mama kawan baru. Bebel Harriz dalam hati. Kurang bersetuju dengan kehendak mamanya yang mahu dia bersatu dengan Syarifah Ezora.
“Kenapa?” tanya Fahmie yang sudah mula mahu menyibuk. Kalau muka Harriz dah macam cuka basi itu, tentu ada sesuatu yang tak kena. Dia bukannya tak faham dengan perangai Harriz tu.
“Mama… dia mahu Riz ada untuk dinner malam ni,” jawab Harriz lemah. Malas betul dia hendak fikir pasal dinner malam ini. Lebih-lebih lagi bila dia terpaksa berdepan dengan Syarifah Ezora yang terlebih manja tahap gaban itu. Entah-entah gaban pun kalah dengan kemanjaan Syarifah Ezora itu. Hisy… geram sungguh rasanya bila terpaksa nak buat-buat suka bila berdepan dengan Syarifah Ezora malam nanti.
“Habis tu? Yang tarik muka masam tu kenapa pulak?”
Harriz mengeluh lagi. Rasanya kali ini sudah banyak kali dia mengeluh bila mengenangkan Syarifah Ezora yang cukup merimaskan jiwa raganya itu. Mungkin inilah yang Balkish rasakan setiap kali dia datang menganggu. Hah… tahu pun! Itulah yang Balkish rasa Encik Harriz oi. Sekarang baru sedar ke?
“Riz malaslah Abang Mie. Tak berkenan dengan si Ezora tu. Entah apalah jampi yang Ezora dah bagi dekat mama sampaikan mama mahu sangat Ezora jadi menantu. Rimas betul!”
Fahmie sudah ketawa. Kelakar rasanya bila Harriz yang kaki perempuan itu boleh mengeluarkan perkataan rimas pada seorang perempuan. Bukankah selama ini dalam kamus hidup adik iparnya itu tak ada perkataan rimas pada seorang wanita? Sebolehnya Harriz mahu membelai semua wanita yang mendampinginya. Konon dia itu pencinta wanita.
“Aik… elok sangatlah tu kalau mama nak jodohkan Riz dengan Ezora. Sekurang-kurangnya dah ada seorang perempuan yang Riz boleh layan setiap hari sebagai seorang isteri. Takdelah nak bertukar-tukar pasangan lagi lepas ni,” ujar Fahmie. Boleh pula dia bersekutu dengan rancangan ibu mertuanya itu.
Mencerlung mata Harriz memandang abang iparnya. Amboi abang Mie ni. Sebelahkan mama pulak! Tahulah abang Mie tu menantu kebanggaan mama, tetapi tak payahlah nak sokong mama dalam segala hal pulak. Tahukah abang Mie yang Syarifah Ezora itu seorang yang cukup menakutkan? Huh… tak sanggup Riz nak jadi suami dia! Ngeri.…………..
“Hisy… tak nak Riz. Ezora bukan wanita pilihan Riz. Dalam hati Riz ni dah ada wanita yang bertakhta. Cuma tunggu masa yang sesuai aje untuk disatukan,” perasan pula Harriz bila berkata sebegitu. Bila masa dia dengan gadis yang dimaksudkannya itu hendak disatukan. Tak tahu malu betul. Orang tak hingin dia pulak yang lebih-lebih. Nampaknya Harriz pun dah sama kes dengan Syarifah Ezora juga. Terkejar-kejar orang yang tak sukakan dia. Huhuhuuu…
Who? Balkish?” tanya Fahmie.
Memang sejak kebelakangan ini adik iparnya itu sering ke pejabatnya. Konon datang hendak berjumpa dengannya bincang pasal itulah inilah, tapi macamlah dia tak tahu yang Harriz datang semata-mata nak jumpa dengan Balkish. Setiausahanya yang cantik manis itu. Kadang-kadang tu Fahmie tegur juga cara Harriz yang dirasakannya agak melampau. Tapi macam biasalah, Harriz buat tak layan aje. Malah semakin galak pula Harriz menganggu Balkish. Harriz ni kalau pasal perempuan memang susah sikit nak bagi nasihat. Lebih-lebih lagi perempuan yang disukainya. Memang dia mahu miliki sampai dapat. Itulah Harriz Tan Sri Hamdan!
Bibir Harriz sudah tersungging senyuman nakal. Memang tepat tekaan abang iparnya itu. Memang Abang Mie ni seorang yang memahami.
“Bijak betullah Abang Mie ni. Tahu aje siapa yang Riz maksudkan.”
“Hurmppp… siapalah yang tak nampak cara Riz pandang Balkish tu? Semua staf kat bahagian abang tu nampak. Dah serupa nak terkam aje kalau boleh. Kalau iye pun Riz berkenan dengan Balkish, control-controllah sikit sikap gelojoh tu. Jangan bagi nampak sangat. Buat malu aje tau.”
Besar ketawa Harriz mendengar komen abang iparnya itu. Tawanya yang besar itu menarik perhatian beberapa pelanggan yang duduk di Golfer’s Terrace Lounge, Tropicana Golf & Country Resort.
“Okey bos… lain kali Riz akan control diri sikit. Tapi kan Abang Mie… Riz geram sangatlah pada Balkish tu. Dia buat tak layan aje dengan Riz. Kalau dengan Abang Mie, bukan main lebar lagi senyuman dia. Dengan Riz… senyuman pun main paksa aje. Mahu tak mahu aje dia layan Riz.”
Dia tahu senyuman Balkish tak pernah ikhlas untuknya. Namun dia tetap suka melihat senyuman itu. Padanya senyuman Balkish merupakan penawar rasa rindu yang sentiasa menggebu.
Iye la… Macam manalah Balkish nak senyum semanis kurma dekat Riz kalau tiap-tiap hari muka Riz terconggok depan meja dia mengacau. Kalau sehari tak menganggu, boleh tak? Ini tak… tiap-tiap hari nak ganggu. Siapalah yang tak rimas. Jangankan Balkish, Abang Mie pun rimas jugak tau asyik tengok Harriz tercongok di ofis Abang Riz.”
“Alaaa… Riz cuma nak lepaskan rasa rindu dekat Balkish ajelah, Abang Mie. Kalau sehari Riz tak pandang wajah Balkish, rasa tak lengkap hari-hari yang Riz lalui. Rasa kosong aje,” si buaya jadian sudah memulakan mukadimah jiwang karatnya.
“Abang bukannya apa… cuma nak bagi nasihat sikit kat Riz tu. Kalau Riz serius sukakan Balkish, bagi Balkish masa dan ruang untuk rindukan Riz. Manalah tahu kalau dia tak jumpa Riz dalam seminggu ke dua minggu ke dia boleh rindukan Riz. Dari situ barulah timbul rasa cinta. Ini tidak… hari-hari Riz nak jumpa Kish. Balkish tu baik orangnya. Abang Mie tak nak Riz main-mainkan perasaan Balkish pulak.”
“Jangan risaulah Abang Mie. Kali ni Riz betul-betul serius. Tak main-main punya. Riz akan pastikan yang Riz tak akan mempersiakan hidup Balkish,” bersungguh-sungguh Harriz menyakinkan abang iparnya. Memang kali ini dia begitu serius. Belum pernah dia seserius ini bila berbicara berkaitan dengan soal wanita. Selalunya dia sekadar main-main saja.
Fahmie mengangguk. Dia juga berharap agar apa yang diperkatakan oleh adik iparnya suatu yang ikhlas.

******************************************************************************

AKHIRNYA Harriz berjaya juga memboloskan diri dari cengkaman Syarifah Ezora. Rimas betul dia bila Syarifah Ezora yang terlebih aksi manja itu asyik memaut lengannya. Lagak dah macam pengantin baru pulak mereka berdua bila Syarifah Ezora tak mahu melepaskan pautan mesranya itu. Nasib baiklah depan family, jika tidak memang dah awal-awal lagi Harriz angkat kaki. Tak kuasa dia nak melayan perangai gediks Syarifah Ezora itu. Namun mama yang asyik memberi jelingan isyarat mata dekat Harriz itu membuatkan Harriz terpaksa control perasaan yang berkocak. Jelingan mama tu bukannya apa, nak suruh Harriz layan Syarifah Ezora kesayangannya itu baik-baiklah.
Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi berhadapan dengan kolam renang yang terbentang indah di halaman rumah banglo kebanggaan papa dan mamanya yang terletak di Bukit Damansara. Selesa sikit rasanya bila Syarifah Ezora tak ada membuntutinya sampai ke sini. Jika tidak, mahu mengerbang rambutnya yang sudah agak panjang itu dengan rengekan manja Syarifah Ezora yang mengada-ngada. Merengek mengalah kanak-kanak lima tahun nak gula-gula lolipop sahaja.
Harriz mengeluh. Susah betul bila mama dah jatuh cinta dekat Syarifah Ezora. Semua yang terbaik milik gadis berkulit putih itu. Kalau macam inilah gayanya, dia kena bertindak lebih cepat daripada mama. Dia perlu menyelamatkan diri daripada dikahwinkan dengan Syarifah Ezora yang tak pernah masuk dalam senarai wanita-wanita yang hendak dijadikan calon isterinya itu.
Apesal Abang Riz duduk di sini? Kan kat dalam tu ada tetamu,” tegur Hanni tiba-tiba. Dia yang baru muncul itu sudah pun melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan abangnya. Wajah Harriz ditenung. Lagak macam orang ada masalah besar sahaja abangnya itu. Ini mesti pasal Syarifah Ezora. Alaaa… taulah!
“Abang Riz saje nak ambik angin. Panaslah kat dalam tu,” Harriz bagi alasan.
Iye ke? Ke… Abang Riz nak larikan diri dari Kak Ezora?” Hanni meneka. Rasanya tekaannya itu mengena dengan tepat.
“Itu pun salah satu daripadanya jugak,” kata Harriz.
Hanni tersengih. Dari tadi dia memerhatikan tingkah abangnya itu yang tak ubah seperti cacing kepanasan. Nampak sangat yang abangnya tak selesa bila Syarifah Ezora asyik berkait lengan dengannya. Yang si Syarifah Ezora tu satu… tanpa segan silu dia memaut kemas lengan Abang Harriz di depan ahli keluarga mereka. Apa Syarifah Ezora fikir ini kat luar negara ke nak pegang-pegang depan orang tua? Dah jadi macam mat salleh. Lainlah kalau dah ada ikatan yang sah. Bukan setakat nak pegang tangan, cium pipi depan family pun boleh. Ini belum ada apa-apa dah lebih-lebih. Hanni sendiri naik loya tengok perangai Syarifah Ezora itu.
Satu keluhan kecil keluar dari mulut Harriz. Rimas betul dia jadinya dengan kehadiran Syarifah Ezora dan orang tuanya itu. Dia kena berpura-pura senang hati menyambut kedatangan tiga beranak itu dalam keterpaksaan. Ini semua mama punya pasal. Huhuhuuu…
Hanni menjongketkan sebelah keningnya bila pandangan bersatu dengan Harriz. Keluhan yang lahir dari bibir abangnya itu pasti ada makna yang tersirat. Kedengaran macam berat aje.
“Kenapa?” soal Hanni.
“Bosan!” pendek Harriz menjawab.
Hanni mengerut kening.
Apesal bosan?” banyak pula soalan si budak kecik ini.
“Abang Riz bosan dengan perangai mama tu. Bukan main suka lagi nak pasangkan Abang Riz dengan Syarifah Ezora. Sudahlah Syarifah Ezora tu tak termasuk dalam list wanita-wanita yang Abang Riz suka,” luah Harriz tanpa berselindung.
Hanni menarik senyuman lebar.
“Alaaa… apa nak susah. Kan Abang Riz dah ada Kak Balkish. Abang Riz bawalah Kak Balkish datang rumah kenalkan dengan mama dan papa. Hanni yakin mama pasti tak akan paksa Abang Riz untuk kahwin dengan Kak Ezora. Mama tu bukannya apa… dia tak suka tengok Abang Riz berkepit dengan awek-awek Abang Riz yang tak tentu perangai itu. Pasal tu mama mahu Abang Riz disatukan dengan Kak Ezora,” ujar Hanni.
“Macam mana nak ajak Kak Balkish datang mengadap mama dan papa sedangkan Kak Balkish tu langsung tak nak layan Abang Riz?” bodoh betullah Harriz ni. Selama ni bukan main bijak lagi dia kalau pasal perempuan. Tapi bila masuk bab Balkish, dia jadi bengong pulak!
“Apalah Abang Riz ni. Itu pun lagi mau tanyakah? Hisy… apa punya playboy dah…”
Harriz tersengih-sengih. Rambutnya digaru-garu macam ada segumpal kelemumur di atas kepalanya itu.
“Entahlah… kalau dengan Balkish ni Abang Riz jadi bodoh sikit. Taktik nak mengurat pun tak jalan,” akui Harriz akan kebodohannya itu.
Hanni menjeling. Hisy… bodoh jugak rupanya abang aku ni.
 “Amboi… dekat sini rupanya anak bujang mama ni. Puas mama cari kat dalam. Rupanya dekat sini Harriz duk melepak dengan Hanni,” suara Puan Sri Hanum mematikan tingkah dua anaknya. Harriz dan Hanni memang kamceng sejak dari kecil lagi.
Harriz dan Hanni menoleh ke arah mama mereka. Di samping mama kelihatan kelibat Syarifah Ezora yang manja memaut lengan mama. Bukan main lebar lagi senyuman Syarifah Ezora yang manja itu kala terpandangkan wajah kacak Harriz. Hatinya mula berlagu riang. Di belakang mama dan Syarifah Ezora pula kelihatan Hanna dan Datin Syarifah Elina sedang berbual mesra. Hanna ni memang kawan baik Syarifah Ezora sejak dari kecil lagi. Pasal itulah Hanna menyokong bila mama mahu menyatukan abangnya dengan kawan baiknya itu.
Serentak Harriz dan Hanni bangun dari duduk masing-masing bila mama dan ahli kabinetnya sudah berdiri di lokasi mereka berdua. Wajah mama dan Hanna kelihatan begitu berseri menyambut kedatangan dua beranak itu. Bukan main lagi sengihan mama dan Hanna.
Saje ambik angin malam kat luar ni, ma. Kenapa mama cari Harriz?” balas Harriz akan kata-kata mamanya itu. Di hujung katanya pula dia sempat bertanya.
“Budak bertuah ni. Ni hah… Ezora dengan Auntie Elina dah nak balik. Jumpa kamulah dulu,” ujar mama.
Dah nak balik ke? Baguslah kalau macam tu. Aman sikit dunia aku. Kalau nak balik sekarang ni pun takpe jugak! Getus hati kecil Harriz. Bibirnya cuba dilorekkan dengan segaris senyuman masam-masam manis buat Syarifah Ezora dan mummynya.
“Harriz free tak esok?” tiba-tiba Datin Syarifah Elina bertanya setelah mendapat signal mata daripada anak kesayangannya si Syarifah Ezora.
“Boleh temankan Ezora shopping. Auntie ada meeting dengan ahli persatuan yang auntie ikut esok. Tak dapat nak temankan Ezora keluar shopping. Nak suruh Ezora jalan sendiri, auntie tak berani pulak. Maklumlah… Ezora ni kan baru balik dari Itali, tak berapa biasa lagi dengan kawasan sekitar KL ni. Jadi auntie berharap sangat Harriz dapat temankan Ezora esok,” panjang pula sambungan Datin Syarifah Elina. Anak gadisnya Syarifah Ezora pula sudah tersengih-sengih macam kerang busuk yang tak laku di pasar tani.
“Hah… elok sangatlah tu. Kebetulan Harriz memang free esok. Bolehlah dia temankan Ezora keluar shopping. Lagipun tentu Ezora tak arif sangat lagi kat KL ni sebab dah lama duduk kat Itali tu. Kan Harriz… esok Harriz boleh temankan Ezora, kan?”
Belum sempat Harriz berkata apa, mamanya terlebih dahulu bersuara. Sudahlah tu, siap bagi persetujuan lagi bagi pihaknya. Amboi… mama, bila masa pula Harriz bersetuju nak temankan Syarifah Ezora keluar shopping. Mama ni pandai-pandai ajelah. Namun kepalanya dianggukkan juga bila melihat renungan tajam mamanya itu.
Hanni sudah menjulingkan mata ke atas. Meluat betul dia bila dengar Syarifah Ezora tak reti jalan kat Kuala Lumpur ini. Sedangkan bukannya dua puluh tahun Syarifah Ezora berada di Itali. Takat dua tahun aje pun. Itu pun Syarifah Ezora ada juga balik ke Malaysia setiap kali Hari Raya menjelang tiba. Memang mengada betullah si Syarifah Ezora ini! Padanlah Abang Harriz langsung tak berkenan.
Lebar senyuman Syarifah Ezora dan mummynya bila melihat anggukan perlahan pada kepala Harriz.
“Hai… awak berdua kat sana tu tak nak balik lagi ke?” kedengaran suara Datuk Syed Rahman menegur.
Iye la… nak baliklah ni,” jawab Datin Syarifah Elina. Suaminya itu tak boleh nak tengok dia bersuka ria sedikit. Ada sahaja yang diganggunya.
“Okeylah… auntie balik dulu ye,” kata Datin Syarifah Elina kepada anak-anak sahabat baiknya. Seorang demi seorang anak Puan Sri Hanum datang lalu bersalam penuh hormat dengannya. Dia pun melangkah bersama-sama Puan Sri Hanum mendekati suaminya yang sedang menunggu di tempat letak kereta. Di samping suaminya kelihatan juga kelibat Tan Sri Hamdan yang segak berbaju batik hijau. Sedondon dengan Puan Sri Hanum yang mengenakan baju kurung batik warna senada.
Melihat Hanna dan Hanni yang sudah melangkah untuk mendapatkan daddynya, Syarifah Ezora merapati Harriz. Bibirnya yang bewarna merah jambu itu terukir senyuman manja ala-ala gadis comel. Ceh!
“Esok I tunggu you kat rumah ye,” tutur Syarifah Ezora dengan manja. Tubuhnya sudah terliuk-lentuk ibaran api lilin.
Harriz cuba untuk tersenyum. Mahu tak mahu saja dia melayan kerenah Syarifah Ezora yang gedik.
“Okey… esok I jemput you.”
Syarifah Ezora mengangguk sambil matanya menjeling manja wajah kacak Harriz. Sebelum berlalu dia sempat juga menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi Harriz. Membuatkan Harriz tersentak bukan main. Bukannya dia tak pernah menerima ciuman daripada teman-teman wanitanya, cuma ciuman daripada Syarifah Ezora itu dirasakan agak melampau la pulak. Mujurlah tak ada sesiapa yang perasan akan tindakan spontan Syarifah Ezora itu. Buat malu aje!
Hisy… perempuan macam inikah yang patut aku buat bini? Belum apa-apa dah berani cium-cium. Hurmmm… tak hingin! Fikir sejuta kali pun aku tetap tak mahukan Syarifah Ezora menjadi isteri. Perempuan seperti Syarifah Ezora… bukannya aku tak tahu perangai sebenarnya. Kaki clubbing! Cuma aku malas nak bagitau mama. Biasalah mama… mana tak nak dengar yang buruk pasal Syarifah Ezora. Semua yang ada dengan Syarifah Ezora yang baik-baik belaka. Huh!’ Hati kecil Harriz berbisik.
Harriz mengeluh. Pipinya yang dikucup oleh Syarifah Ezora sebentar tadi dikesat dengan telapak tangan. Dia benar-benar terkejut dengan tindakan yang tidak disangka daripada Syarifah Ezora. berani tahap melampau benar gadis berambut perang itu.
















No comments:

Post a Comment