Wednesday, 6 April 2016

BILA LAGU CINTA BERGEMA - BAB 8




HARRIZ melemparkan kunci kereta di atas meja. Punggungnya dihenyakkan di atas sofa. Lalu kakinya diangkat dan diletakkan pula di atas meja kopi yang berada di depan. Badannya disandar pada bahu sofa dan mata dipejamkan. Pantas jarinya memicit kepala yang terasa pening.
Letih sungguh rasanya dia hari ini. Tapi bukan letih kerana penat berjalan-jalan, letih kerana terpaksa melayan kerenah Syarifah Ezora yang cukup merimaskan itu. Ikutkan rasa hati, mahu sahaja dia tinggalkan gadis itu seorang diri bershopping di Pavilion tadi. Tak larat dia hendak melayan kerenah Syarifah Ezora. Mengada-ngada sungguh. Asyik nak berkepit aje dua puluh empat jam.
‘Aduh… macam manalah perempuan seorang itu boleh terjebak dalam kehidupan aku ni. Bosan betul!!!’ rasa nak jerit aje,’ Gumam Harriz dalam hati.
Menyesal pula dia kerana telah mengikut kehendak mama untuk menemankan Syarifah Ezora pergi shopping tadi. Kalau dia tahu macam ini jadinya, tak mahu dia mengikut kehendak mamanya itu. Dia lebih rela keluar menemani Amylia bershopping daripada Syarifah Ezora. Sekurang-kurangnya dia takdelah rasa seletih ini walaupun dia terpaksa juga melayan sikap gediks Amylia yang dua kali lima dengan Syarifah Ezora itu. Tapi yang pasti dia keluar dengan perempuan yang diminati macam Amylia.
Cukuplah sekali ini sahaja dia menemani Syarifah Ezora keluar shopping. Keluar untuk kali kedua bersama perempuan itu… tak mungkin ada dalam kamus hidupnya lagi. Tidak sesekali!
Sebenarnya Harriz sudah lama mengenali Syarifah Ezora. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Maklumlah, keluarga mereka kawan baik. Malah ketika mereka berada di sekolah menengah dulu, Harriz pernah jugalah nak mengurat si Syarifah Ezora yang konon-konon pelajar perempuan paling cantik di sekolahnya waktu itu. Ketika itukan Syarifah Ezora merupakan Ratu Cantik selama tiga tahun berturut-turut di sekolah. Memanglah Syarifah Ezora ramai peminat. Dia pun tak terkecuali sama. Mahu juga mengurat Syarifah Ezora. Tapi masa tu Syarifah Ezora sombong sangat. Buat tak layan aje dengannya. Akhirnya Harriz pun malas nak mengayat Syarifah Ezora yang berlagak itu lagi. Ingat dia tu cantik sangat agaknya. Podah!!! Anak Uncle Sami lagi cantik dari Syarifah Ezora biarpun kulit si Lachmi tu sudah sama gelap dengan Dayang Senandung.
Tapi sekarang ni… Syarifah Ezora pulak yang terhegeh-hegeh hendak mengejar cintanya. Buat dia rimas dan lemas! Macam lagu Fabulous cat.
‘Sorrylah… Cik Syarifah Ezora Datuk Syed Rahman. Hati aku ni dah lama tertutup untuk kau. Dulu pun aku suka sekadar nak main-main aje. Bukannya nak serius pun. Sekarang ni… nak suka sekadar untuk main-main pun aku tak hingin. Buat penat aje!’
Melihat kelibat anaknya yang sedang berehat di ruang menonton keluarga yang terletak di tingkat dua itu menarik senyuman lebar pada bibir Puan Sri Hanum. Pantas dia melangkah dan melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan anak bujang kesayangannya yang cukup menyakitkan kepala itu. Tidak sabar dia hendak tahu cerita dating Harriz dengan Syarifah Ezora.
“Dah balik pun anak bujang mama ni. Kenapa balik awal hari ni?” tanya Puan Sri Hanum kepada Harriz yang masih belum menyedari kedatangannya. Jam di dinding baru menunjukkan pukul 4.25 petang. Kelibat Harriz sudah kelihatan. Biasanya kalau keluar dating anak bujangnya itu tak pernah pula balik seawal ini. Kalau matahari belum terbenam, jangan harap Harriz akan pulang ke rumah. Tapi hari ini awal pula anak itu pulang.
Harriz membuka matanya. Memandang mamanya yang sedang tersenyum lebar itu. Malas hendak bersuara, dia hanya mengangguk lemah.
“Macam mana date Harriz dengan Ezora? Okey tak? Harriz suka tak dengan Ezora tu? Mama tengok Harriz dengan Ezora tu padan sangat. Bagai pinang dibelah dua,” bertalu mamanya bertanya. Di hujung kata sempat juga mama memberi komen mengenai kesepadanan gandingan Harriz dan Syarifah Ezora yang dirasakan paling sempurna di matanya.
Harriz mencebik dalam hati. Padan? Bagai pinang dibelah dua? Hisy… takde maknanya.
“Okeylah…” acuh tak acuh sahaja Harriz menjawab pertanyaan mamanya itu. Malas betul dia bila mama asyik mengenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Macam dah takde perempuan lain lagi yang lebih baik daripada anak manja Datuk Syed Rahman itu di mata mama.
Puan Sri Hanum menggigit bibir. Geram pula dia mendengar jawapan yang diberikan oleh anaknya itu. Nampak sangat tak ada semangat.
“Okey je?” soalnya dengan dahi yang berkerut berjuta-juta.
Harriz mengeluh. Dia memperbetulkan cara duduknya. Kakinya diturunkan ke bawah. Ini yang dia bosan bila mama asyik nak kenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Nanti dia terlepas cakap, dikatakan anak derhaka pulak. Aduh… bertambah migrain dia macam ini. Kenapalah mama sejak kebelakangan ini suka sangat dengan Syarifah Ezora tu? Sikit-sikit Syarifah Ezora. Fed-up betul!
“Harriz letihlah ma. Nanti ajelah kita sembang pasal tu ye. Badan Riz ni dah lekit. Riz nak naik atas mandi dululah,” ujar Harriz. Dia bangun lantas mencapai kunci keretanya dan mengatur langkah naik ke biliknya di tingkat atas.
Puan Sri Hanum merengus. Macam itulah Harriz. Kalau dia hendak berbicara pasal Syarifah Ezora, mulalah Harriz hendak mengelak. Nampak sangat yang Harriz tak berkenan dengan Syarifah Ezora. Sudah banyak kali dia cuba memainkan peranannya agar Harriz rapat dengan Syarifah Ezora, namun anaknya itu tetap juga mahu mengelak. Entah perempuan macam manalah yang Harriz mahukan untuk dijadikan calon isteri. Kalau perempuan fesyen macam yang selalu diusung Harriz ke hulu ke hilir itu, memang dia tak berkenan langsung!
“Hai… ma,” tegur Hanna. Satu ciuman mendarat ke pipi mama kesayangannya.
Puan Sri Hanum mengeluh. Ini lagi seorang anaknya yang cukup jarang duduk di rumah. Ada sahaja aktivitnya di luar sana. Anak-anak… bila dah semakin dewasa semakin jauh daripada ibu bapa.
Apesal mama masam aje ni? Tak cantiklah mama buat muka masam macam ni, ma. Senyumlah sikit. Baru nampak cantik,” dengan manja Hanna memaut lengan mamanya. Kepala dilentokkan pada bahu mama. Hanna ni memang cukup pandai mengambil hati Puan Sri Hanum. Jadi tak hairanlah kalau Hanna merupakan anak emas mama.
“Pandailah, Hanna. Hanna dengan Abang Harriz dua kali lima aje. Susah sangat nak duduk kat rumah time cuti-cuti macam ni. Asyik nak mengular aje. Cubalah duduk kat rumah waktu cuti begini. Jangan asyik nak keluar lepak dengan kawan-kawan aje,” omel Puan Sri Hanum.
“Alaaa… mama ni. Hanna bukannya pergi mana pun. Hanna keluar dengan kengkawan aje. Bosanlah asyik duk terperap kat rumah je,” ujar Hanna.
Puan Sri Hanum mengherot bibir mendengar jawapan anak gadis kesayangannya itu. Biarpun Hanna ni anak perempuan kesayangannya, namun dia cukup tak berkenan jika anak-anaknya suka merayau-rayau di luar sana tanpa arah tujuan. Apalah salahnya duduk di rumah di hujung minggu. Habiskan masa bersama-sama dia dan suaminya. Kadang-kadang hatinya cukup terasa dengan sikap anak-anak yang lebih mengutamakan masa bersama kawan-kawan daripada ibu bapa.
“Kenapa mama tarik muka ni?” soal Hanna lagi. Matanya mengerling melihat wajah mama yang masih masam itu.
Puan Sri Hanum mengeluh lagi.
“Tu hah… abang kamu tu. Mama tanya macam mana date dengan Syarifah Ezora, boleh pulak dia buat acuh tak acuh sahaja. Geram betul mama. Dia ingat umur dia tu muda remaja lagi ke? Umur dah masuk dua puluh enam tahun, masih nak main-main lagi. Entah perempuan macam mana lagi yang dia mahukan untuk dijadikan isteri. Sakit hati mama dengan Abang Harriz tu,” luah Puan Sri Hanum. Geram bukan main lagi dia dengan sikap anak lelakinya itu.
Hanna hanya mendengar omelan mamanya itu. Malas hendak komen lebih-lebih. Abang Harriz memang macam tu. Kalau dengan Syarifah Ezora bukan nak layan sangat. Dengan perempuan lain bukan main mesra alam lagi abangnya itu. Dulu waktu mereka dibangku sekolah, Abang Harriz pernah juga sukakan Syarifah Ezora. Tapi sekarang ni abangnya itu langsung tak layan Syarifah Ezora. Takkanlah Abang Harriz masih setia menunggu Dhia yang sudah berlaku curang kepadanya itu? Ahhh… perempuan macam Dhia tu tak layak pun untuk Abang Harriz. Perempuan mata duitan!
Disebabkan Dhia, keluarganya mendapat malu. Kesian mama dengan papa. Sudah bersusah payah hantar rombongan meminang Dhia untuk Harriz, tup-tup Dhia menolak dengan alasan yang tak masuk dek akal. Konon belum bersedia. Disebabkan itulah hingga ke hari ini Hanna tak pernah berkenan dengan teman-teman wanita abangnya.
Pada Hanna, wanita-wanita yang mendampingi abangnya itu bukannya ikhlas sukakan Harriz. Tetapi lebih kepada ingin memiliki harta kekayaan abangnya. Sama macam Dhia. Sebab itu bila mama bercadang mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora, Hanna turut bersetuju dengan pilihan mamanya itu. sekurang-kurangnya dia tahu perempuan seperti Syarifah Ezora memang ikhlas sukakan abangnya dan bukan disebabkan harta semata-mata.
“Hanna dengar tak apa yang mama cakap ni? Mengelamun pulak dia,” tanya Puan Sri Hanum. Hanna langsung tidak memberi respon dengan apa yang diluahkannya. Dia seolah-olah membebel seorang diri.
“Dengarlah, ma. Dahlah… tak payahlah mama fikir sangat pasal tu. Hanna yakin Ezora pasti dapat kawal hubungannya dengan Abang Riz. Ezora tu kan bijak. Oh ya, papa mana? Tak nampak pun kelibat papa sejak Hanna sampai,” malas hendak membahaskan soal abangnya itu dengan panjang lebar, dia mula bertanyakan papanya yang tidak kelihatan. Biasanya waktu cuti macam ini papa dengan mama jarang sangat berenggang. Ke mana pasti bersama. Loving couple la katakan!
“Papa keluar hantar Hanni pergi rumah kawan dia nak buat study group,” beritahu mama.
“Kenapa tak suruh Abang Mahat hantarkan Hanni? Kan dah jadi tugas Abang Mahat sebagai driver untuk hantar Hanni ke mana sahaja Hanni nak pergi. Kenapa mesti papa pulak yang hantar?”
“Si Mahat tu ada hal. Nak bawak anak dia ke klinik katanya,” terang mama.
Hanna mencebik bibir. Entah betul entah tidak alasan Abang Mahat itu. Mama dengan papa macam itulah. Suka sangat bagi muka dekat pembantu rumah dan driver. Pasal itulah Abang Mahat dan Kak Moon naik minyak. Ada masalah sikit aje, sikit-sikit nak cuti. Kalau dialah… jangan harap nak bagi muka dekat diorang.
Kelibat Harriz yang baru menuruni anak tangga memaksa Puan Sri Hanum dan Hanna menoleh serentak. Bukan main bergaya lagi lelaki itu. Cara berpakaiannya ini jelas menyatakan bahawa Harriz akan keluar sebentar sahaja lagi. Membuntang mata mama memandang anaknya itu.
“Hah… nak ke mana pulak ni?” tanya Puan Sri Hanum kepada anak lelakinya itu.
“Riz nak keluarlah, ma. Ada janji dengan kawan.” Beritahu Harriz. Dia sebenarnya tak ada janji dengan sesiapa pun. Sengaja dia nak keluar untuk mengelak daripada soalan mama mengenai Syarifah Ezora. Rimas betul dia bila mama tak habis-habis dengan Syarifah Ezora. Macam dah terkena sihir Syarifah Ezora aje cara mama itu.
“Kawan ke girlfriend?” soal Puan Sri Hanum penuh rasa curiga. Hanna yang masih setia di sisi mamanya hanya memandang sekilas lalu. Dia malas hendak masuk campur dengan urusan Harriz. Hubungan Hanna dengan Harriz memang tak berapa rapat. Begitu juga hubungannya dengan Hanis dan Hanni. Macam itu aje. Tak rapat sangat. Hanna lebih suka buat halnya sendiri.
“Kawanlah, ma…” malas-malas Harriz menjawab. Dia cukup bosan bila mama asyik mahu mengongkong pergaulannya. Sampaikan ke mana dia pergi pun mama nak ambil tahu juga. Macamlah Harriz tak tahu yang di pejabatnya itu mama ada pasang CCTV untuk memantau segala aktivitinya. Jika tidak, takkanlah mama tahu segala pergerakannya kini.
Alahai… mama, Riz dah besar panjanglah. Dah tahu urus hal sendiri. Harriz berkata dalam hati.
“Ingat Harriz… ini last warning mama bagi dekat Harriz. Mama tak nak Harriz terlibat lagi dengan perempuan-perempuan yang tak senonoh yang sering Harriz usung tu. Mama tak suka! Lagipun mama dah janji dengan Auntie Elina nak satukan Harriz dengan Ezora. Cuma nak tunggu masa yang sesuai aje lagi untuk menyatukan korang berdua,” tegas mama menuturkan ayatnya.
Harriz mengeluh. Ada baiknya kalau dia berterus terang sahaja pada mama mengenai perasaannya terhadap Syarifah Ezora. Dia tak mahu nanti mama berharap sangat dia bersatu dengan Syarifah Ezora. Berterus-terang awal-awal ini lagi bagus sebelum mama buat sesuatu yang lebih jauh lagi.
I’m sorry, ma. Riz tak sukakan Ezora. Riz harap mama faham,” terang Harriz. Inilah yang terbaik baginya daripada mama asyik mendesak untuk dia untuk rapat dengan Syarifah Ezora.
Mama menggigit bibirnya kuat. Sakit hati mendengar jawapan bersahaja yang keluar dari bibir anak lelakinya itu. Serentak itu juga mama bangun dari duduknya.
Hanna pula hanya memerhati langkah mamanya yang sudah berada dekat dengan Harriz. Ikutkan rasa hati dia pun geram juga mendengar jawapan yang meluncur keluar dari bibir abangnya itu. Apa kurangnya Syarifah Ezora sampaikan Harriz menolah sahabat baiknya itu mentah-mentah? Buta betullah mata Abang Riz ni! Rengus Hanna dalam hati.
“Apa Harriz cakap?” soal Puan Sri Hanum dengan nada yang kedengaran tegang. Dia kini sudah berdiri benar-benar di hadapan anak bujangnya itu.
Harriz menarik nafas dalam. Dia tahu mamanya tentu marahkan dia kerana kata-katanya itu. Wajah mama ketika ini sudah naik merah seperti hendak membahamnya sahaja.
“Riz mintak maaf, ma. Riz tak boleh nak bohong perasaan Riz. Riz tak sukakan Ezora dan tak mungkin untuk Riz jadikan Ezora sebagai isteri Riz.”
“Habis tu Harriz sukakan siapa? Perempuan-perempuan yang selalu Harriz usung ke hulu hilir itukah? Perempuan macam itu yang Harriz sukakan? Perempuan yang tak tahu mana asal usul mereka. Perempuan-perempuan yang hanya mahukan harta Harriz itu? Atau Harriz masih tunggu budak Dhia yang sudah memalukan keluarga kita tu?” Kuat nada suara Puan Sri Hanum. Rasa macam nak menjerit sahaja dia ketika itu. Kalau Harriz ni anak kecil, mahu disebatnya punggung Harriz dengan rotan kerana telah membantah cakapnya.
“Tidak, ma. Riz dah ada seseorang untuk dijadikan calon isteri. Bukan perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dengan Riz sebelum ni. Bukan jugak Dhia. Kali ni Riz yakin mama pasti suka dengan pilihan Riz. Dia lain daripada perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dan terlibat dengan Riz. Dia juga amat berbeza dengan Syarifah Ezora. Percaya cakap Riz, ma.”
Puan Sri Hanum tersenyum sinis. Sukakan pilihan Harriz? Mustahil! Bagi Puan Sri Hanum perempuan yang menjadi pilihannya hanya satu. Syarifah Ezora Datuk Syed Rahman. Hanya wanita itu sahaja yang menjadi pilihan untuk dijadikan calon menantunya. Perempuan lain sudah ditolak awal-awal lagi.
“Tak mungkin mama boleh sukakan pilihan Harriz. Mama tahu sangat fesyen perempuan macam mana yang Harriz pilih. Mama tak suka! Lagipun mama dah berkenan dengan Ezora. Dia cukup layak untuk dijadikan isteri kepada Harriz. Apa lagi yang Harriz mahukan? Bagi mama Ezora tak ada sedikit pun kekurangan jika nak digandingkan dengan Harriz. Kita pun kenal keluarga dia. Mama tak nak pisang berbuah untuk kali yang kedua.”
Rasa mahu sahaja Harriz tergelak mendengar kata-kata mamanya itu. Hai… mama, nampaknya mata mama betul-betul dah rabun tahap maksimum. Patutkah mama kata Syarifah Ezora itu tak ada sedikit pun kekurangan? Tak nampakkah mama yang Syarifah Ezora itu hampir sama sahaja dengan perempuan-perempuan yang mama telah warning sebab rapat dengan aku? Pakaian… warna rambut… perangai… dua kali lima sahaja. Cuma mungkin si Ezora itu ibu bapanya kawan baik kepada mama dan papa. Itu sahaja yang membezakan Ezora dengan aweks aku.
“Riz yakin mama akan suka pilihan Riz kali ni. Itu janji Riz dekat mama.”
Bulat mata Puan Sri Hanum menatap wajah anaknya. Berani betul Harriz berkata begitu.
“Baik… kalau itu yang Harriz katakan, mama nak tengok sejauh mana wanita yang Harriz bangga-banggakan itu dapat mencuri hati mama. Mama bagitau awal-awal dekat Harriz, hati mama tak mungkin akan terbuka untuk wanita yang Harriz suka. Sebab mama tahu sangat perangai perempuan yang macam itu. Perempuan tu tak suka Harriz, yang dia suka cuma harta Harriz je. Macam Dhia,” sekali lagi Puan Sri Hanum membangkitkan nama Dhia. Benci sangat dia dengan bekas teman wanita anaknya itu.
Harriz menggeleng-geleng. Menyangkal tanggapan buruk mamanya itu.
“Ma, please… tolong jangan kaitkan pilihan Riz kali ni dengan Dhia. Gadis pilihan Riz bukan macam yang mama fikirkan. Dia jauh lebih baik dari Dhia mahu pun Ezora.”
“Kita tengok!” bentak Puan Sri Hanum kasar. Hatinya bagai dicarik-carik mendengar kata-kata anak lelakinya itu. Kemudian dengan muka yang masam dan hati yang panas mama berlalu naik ke tingkat atas.
Harriz menghela nafas. Maafkan Riz ma. Bukan niat Riz mahu buat hati mama terluka. Tapi Riz benar-benar tak sukakan Ezora. Dalam hati Riz cuma ada Balkish seorang. Riz cuma mahukan Balkish untuk menjadi teman hidup. Riz mahu mama faham akan pilihan Riz. Dan semoga mama terima cinta Riz ini suatu hari nanti. Harriz meluahkan isi hatinya dalam diam. Bukan niatnya mahu melawan cakap mama. Namun dia perlu meluahkan isi hatinya yang tidak selesa bila mama terus mendesak untuk dia berpasangan dengan Syarifah Ezora.
“Abang Riz ni kenapa ha? Tak bolehkah Abang Riz buat mama senang hati sikit? Kenapa selalu sangat lawan cakap mama? Apa kurangnya Ezora sampai Abang Riz susah sangat nak ikut kehendak mama untuk bersatu dengan Ezora? Hebat sangatkah girlfriend Abang Riz tu sampai Abang Riz tolak Ezora dan lukakan hati mama?” tiba-tiba Hanna yang sedari tadi tidak berkutik itu bersuara. Bertalu-talu dia melemparkan soalan kepada Harriz. Sakit hatinya bila abangnya itu dengan mentah-mentah telah menolak rancangan mama mahu menjodohkan Harriz dengan Syarifah Ezora.
Pandangan dihala ke arah Hanna yang sudah mencuka. Inilah Hanna… kaki kipas mama nombor satu dekat banglo tiga tingkat ini. Pasal itulah Hanna jadi anak emas mama. Kipasnya boleh tahan sejuk. Tanpa membalas bicara Hanna, Harriz membawa langkah ke anak tangga. Baik dia segera beredar dari situ. Lagipun dia tak mahu berlaku pertengkaran mulut antaranya dengan Hanna.
Hanna menggigit bibir bawahnya. Geram betul dengan Harriz!
“Ingat sikit Abang Riz. Sebelum ni Abang Riz pernah malukan mama dengan papa bila pinangan Abang Riz kena tolak dengan Dhia. Jangan kali ni pisang berbuah untuk kali yang kedua pulak!” jerit Hanna lantang bila melihat langkah Harriz yang sudah turun ke bawah.
Harriz tidak mempedulikan jeritan Hanna itu. Langkahnya laju meninggalkan rumah.

***************************************************************************

BESAR ketawa Hanis ketika itu. Sampaikan berair matanya. Cerita Harriz itu benar-benar menggeletek ulu hatinya. Kelakar betul bila si buaya darat itu akhirnya menyuarakan rasa takut dekat seorang wanita. Selama ini, si buaya darat di depannya itu tak pernah mengaku takutkan wanita. Malah dengan nada bangga si buaya darat ini mengatakan dia merupakan pencinta wanita nombor satu dekat KL ini. Tapi hari ini… dia dengar pula pengakuan dari pencinta wanita itu yang dia takutkan seorang perempuan. Memang sesuatu yang melucukan.
Harriz mengerling kakaknya yang semakin kuat ketawanya itu. Ini yang dia tak suka nak cerita bab-bab macam ini dekat Hanis. Pasti ibu beranak dua itu akan gelakkan dia seperti sekarang ini. Dah tu… tawanya susah pulak hendak dihentikan.
“Tak habis lagi gelakkan Riz ke?” sindir Harriz bila Hanis semakin galak pula ketawanya.
“Hehehe… aduh… sakit perut akak ketawa,” ujar Hanis. Kedua belah tangan menekan perut yang terasa senak kerana terlalu banyak ketawa. Jelingan mata Harriz langsung tidak diendahkan.
“Ini semua Riz punya pasal. Buat cerita lawak malam-malam begini. Sampai berair mata akak ketawa,” sambung Hanis lagi. Sisa ketawanya masih lagi kedengaran.
Harriz mengerut kening. Bila masa pulak dia buat cerita lawak antarabangsa atau buat lawak gila-gila? Seingatkan dia cerita perkara yang serius. Takde yang lawak pun. Kak Hanis sahaja yang rasa ceritanya itu sesuatu yang lawak. Ketawa sampai terguling-guling.
“Ini yang Riz malas nak cerita dekat Kak Nis. Riz serius, Kak Nis pulak anggap Riz buat lawak antarabangsa Ujang,” wajah Harriz sudah mencuka.
Hanis tersengih. Alahai… adik akak, merajuklah pulak.
“Alaaa… janganlah marah Riz. Akak ni bukannya apa. Kelakar bila Riz kata takutkan Syarifah Ezora. Bukan selama ni Riz mengaku yang Riz tak takut dekat mana-mana perempuan ke? Kenapa bila tiba bab Ezora Riz mesti ada rasa takut pulak? Itu yang buat akak gelak tak hengat dunia,” beritahu Hanis.
“Ezora tu lain kak. Dia tu dah serupa macam Mak Lampir. Baru dengar nama pun Riz dah rasa seram sejuk aje. Apa lagi bila dah berdepan. Huh… mau naik segala bulu roma Riz ni dibuatnya. Dia ingat dia tu cantik sangat agaknya. Aduh… Riz pantang betul jumpa perempuan yang perasaan cantik macam di Ezora tu,” tungkas Harriz.
Sekali lagi pengakuan Harriz itu membuatkan ketawa Hanis pecah. Walaupun bunyinya tidak sekuat tadi, namun nadanya tetap sama.
Ketawa Hanis itu menarik minat Fahmie yang sedang melayan dua orang anak mereka melukis di dalam rumah. Jarak antara taman mini di halaman rumah dengan ruang tamu bukanlah jauh sangat. Jadi dengan senang sahaja Fahmie dapat mendengar gelak tawa riang isteri kesayangannya itu. Hanis dengan Harriz bila dah berjumpa macam itulah. Ada sahaja bahan cerita yang mereka berdua kongsikan bersama.
“Tapi bukan dulu zaman sekolah Riz pernah sukakan si Ezora tu ke? Kenapa sekarang ni nak takut pulak? Setahu akak, muka Ezora tu takdelah teruk macam Mak Lampir yang Riz cakapkan tu. Cantik aje Ezora tu akak tengok. Padanlah dengan Riz yang kacak ni kan?” usik Hanis. Semakin seronok pula dia menggiat satu-satunya adik lelakinya itu. Harriz ni dengan Hanis memang seorang adik yang manja. Nampak aje macho gila bila berdepan dengan awek-aweks dia, tapi bila berdepan dengan Hanis, Harriz tetiba sahaja menjadi adik yang suka bermanja. Lagak macam anak bongsu. Segala hal mesti nak report pada Hanis.
Harriz mencebik. Kahwin dengan Syarifah Ezora? Mintak dijauhkan. Dia tak sanggup dapat isteri seperti Syarifah Ezora. Mahu bermimpi ngeri dia setiap hari.
“Apa mama cakap bila Riz tolak cadangan mama yang nak satukan Riz dengan Syarifah Ezora tu?” tanya Hanis. Kali ini nadanya sudah tidak main-main seperti tadi.
Harriz menjungkit bahu.
“Macamlah Kak Nis tak tahu perangai mama tu. Marahlah apa lagi. Kan Ezora tu perempuan pilihan hati mama. Tentulah mama marah bila Riz tolak cadangan mama yang nak satukan Riz dengan Ezora,” beritahu Harriz mengenai penerimaan.
Hanis menarik senyuman segaris. Dia pun dah arif sangat dengan perangai mama yang satu itu. Pantang hajatnya ditolak, mulalah mama tarik muka empat belas. Namun walau bagaimana pun sikap mama, mama tetap ibu yang paling mereka semua sayangi dalam dunia ini. Mama tetap yang terbaik dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Alaaa… Riz jangan risaulah. Mama tu marah bukannya lama mana tu. Esok lusa sejuklah hati mama tu semula.”
“Kak Nis tahu kenapa Riz tolak Ezora. Sebab Balkish, kan?” sambung Hanis mengaitkan nama Balkish dalam sembang malam mereka berdua.
Laju kepala Harriz berpusing menatap wajah kakaknya yang sedang tersengih ibarat kerang buruk dekat pasar Pakcik Kudus. Macam mana Kak Hanis boleh tahu pasal Balkish? Soal Harriz pada diri sendiri. Puk! Dahinya ditepuk. Baru dia teringat pasal abang iparnya Fahmie. Tentu suami kesayangan kakaknya itulah yang telah membuka cerita kepada kakaknya. Dia cukup yakin tentu Fahmie yang bagitahu pasal Balkish.
“Ini mesti Abang Mie punya mulut yang bagitau pada Kak Nis,” ujar Harriz sendirian.
“Alaaa… dah Riz tu yang selalu sangat ganggu Balkish di ofis Abang Mie, pasal tu Abang Mie bagitau pada akak. Abang Mie kata Riz selalu sangat datang ke ofis dia semata-mata nak jumpa Balkish. Sampaikan Abang Mie sendiri tak boleh nak cakap apa lagi dengan sikap Riz.”
Harriz tersenyum-senyum mendengar komen yang keluar dari mulut Hanis. Memang Fahmie ada memberitahunya agar jangan kerap sangat datang ke F&F Holdings. Malu orang tengok. Tapi macam biasalah… dia tak pernah nak menghiraukan teguran abang iparnya itu. Malah dia semakin kerap pula datang ke F&F Holdings semata-mata nak lepaskan kerinduan terhadap Balkish.
“Riz tak bolehlah kak nak tahan diri dari tak jumpa Balkish tu. Rasa macam ada aje yang kurang kalau Riz tak tengok Balkish sehari,” akui Harriz.
“Hisy… budak ni! Buat malu aje. Controllah sikit Encik Harriz oi. Jangan nak gelojoh sangat.”
Kali ini giliran Harriz pula tergelak besar. Rambutnya yang hitam berkilat itu digaru-garu. Setelah ketawanya reda, dia bertanya lagi kepada Hanis yang hanya tersenyum simpul memandangnya itu.
“Kak Nis kenal Balkish ke?”
Hanis mengangguk. Adalah beberapa kali dia terjumpa dengan Balkish ketika dia datang ke pejabat suaminya. Balkish memang seorang gadis yang cantik dan baik. Hanis sendiri cukup senang dengan Balkish.
“Apa pandangan Kak Nis tentang Balkish?” tanya Harriz ingin tahu.
Hanis buat muka dengan mengerutkan dagunya. Konon-konon dia sedang berfikir tentang Balkish. Sedangkan awal-awal lagi dia memang sukakan Balkish. Bila sahaja Fahmie memberitahunya yang Harriz nampak serius sukakan Balkish, dia turut berharap agar jodoh adiknya itu ada dengan gadis manis bertudung litup itu. Tentu hidup Harriz akan bahagia andai dapat memiliki isteri seperti Balkish.
“Hurmmm… akak tengok Balkish tu baik budaknya. Akak sendiri senang dengan dia. Bukan aje baik, malah dia jugak seorang yang berbudi pekerti. Tapi…” kata-kata Hanis mati di situ. Wajah Harriz ditenung lama.
Harriz menjungkit kening.
“Tapi apa?” soal Harriz tak sabar. Buat suspen betul kakaknya itu. Sengaja mahu menyeksa perasaan ingin tahunya.
“Tapi… akak risau kalau Riz cuma nak main-mainkan Balkish. Akak tak naklah Riz mainkan perasaan dia. Akak suka Balkish tu. Dia tu baik sangat. Nampak sweet aje. Akak tak mahu Riz main-mainkan Balkish macam yang selalu Riz buat dekat teman-teman separuh masa Harriz tu. Tak baik tau,” luah Hanis. Memang perangai Harriz yang kaki perempuan itulah yang paling tidak digemarinya. Sakit betul hatinya bila Harriz selalu sangat mempermainkan perasaan ramai wanita yang didampinginya. Tukar teman wanita macam tukar baju aje. Puas juga dia menasihati Harriz. Namun nasihatnya ibarat angin lalu sahaja pada lelaki itu.
Harriz tersenyum manis. Jemari Hanis yang halus mulus itu dicapai lalu digenggam erat.
“Insyaallah, Kak Nis… kali ni Riz benar-benar serius. Riz tak akan mempermainkan perasaan Balkish. Dengan Balkish, Riz dah cukup bersedia untuk berumah tangga,” janji Harriz.
Hanis sudah tersenyum. Kepalanya diangguk perlahan.
“Baguslah kalau macam tu. Akak doakan semoga pintu hati Balkish akan terbuka untuk adik akak yang hensem ni. Lagipun dalam umur yang dah masuk dua puluh lapan tahun ni Riz memang patut pun fikir pasal nak berumah tangga. Tak boleh main-main lagi,” ujar Hanis mendoakan kebahagian adiknya.
Harriz melebarkan lagi senyumannya. Kak Nis memang seorang kakak yang paling bagus dalam dunia ni.
“Sayang Kak Nis,” ucap Harriz.
“Sayang Riz juga,” balas Hanis. Terserlah sifat keibuan miliknya itu.


















No comments:

Post a Comment