Thursday, 7 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 1

LAMA foto di depannya direnung tanpa perasaan.
Sukar untuk digambarkan perasaannya sebaik saja melihat
foto pasangan pengantin bersanding di singgahsana yang
menggunakan kombinasi berwarna merah jambu dan hitam
itu. Satu persatu foto pelbagai aksi dari majlis akad nikah,
majlis persandingan, makan beradab dan gambar outdoor
dipandang. Setitis demi setitis air matanya mengalir. Daripada
hanya teresak-esak sebentar tadi, kini menjadi satu tangisan.
Maryam hanya mampu memerhati. Dia tahu Nuha
Qalisya sedang berduka, cuma dia tidak tahu bagaimana cara
untuk meredakan kesedihan teman sepermainannya itu. Dia
mengambil foto yang bertaburan di atas katil.
Satu persatu dilihatnya. Pengantin perempuan yang
sememangnya turut dikenalinya itu tersenyum malu apabila si
suami mengucup dahinya sebagai simbolik mereka kini sudah
bergelar suami isteri.
Dania! Gadis itu berpasangan dengan kekasih Nuha
Qalisya, Zariff Adam di atas pelamin. Gadis yang dikatakan oleh
lelaki itu sekadar bekas tunang Zariff Adam itu kini sah menjadi
isteri lelaki itu.
Maryam meletakkan semula foto itu ke tempat asal.
Tangan Nuha Qalisya diramas perlahan. Bahu Nuha Qalisya
diusap lembut seolah-olah mahu meredakan apa yang bersarang
dalam benak gadis itu saat ini. Sesekali air mata di pipi Nuha
Qalisya disapu.
“Mar, kenapa dia sanggup buat aku begini? Apa salah
aku dekat dia? Kalau dia tak cintakan aku, kenapa dia tak
berterus terang dekat aku? Aku sentiasa cakap dekat dia, kalau
dia ada perempuan lain yang lebih layak untuk digandingkan
dengannya, berterus terang dengan aku. Aku sanggup undur
diri untuk kebahagiaan dia,” keluh Nuha Qalisya buat sekian
kali. Dia langsung tidak terfikir bakal berdepan dengan situasi
sebegini dalam tempoh terdekat ini.
“Aku tak tahu, Nuha... Tetapi semua ini dugaan
untuk kau. Allah mahu menduga kau sejauh mana kau tabah
mengharungi dugaan ini. Mungkin Zariff bukan jodoh kau
dan mungkin juga di luar sana ada jodoh kau,” celah Maryam.
Dia juga sebentar tadi terkejut melihat foto berkenaan. Apa
permainan kau, Zariff Adam? Geramnya usah dikata. Jika lelaki
itu ada di depan matanya, pasti Zariff Adam akan kena sekurangkurangnya
penampar Jepunnya.
“Aku yang bodoh, kan?” Suara Nuha Qalisya begitu
dingin. Dia seperti mahu menghantuk kepalanya di dinding.
Kerana kebodohan dirinya, dengan mudah dia diperdayakan
oleh Zariff Adam.
“Kau tak bodoh, Nuha. Semua ni bukan salah kau
tetapi salah Zariff. Jadi, jangan cuba nak salahkan diri sendiri.
Aku tak suka bila kau cakap diri kau bodoh!” marah Maryam.
“Ini... Dia ni yang bodoh. Kau tahu tak kenapa aku
kata dia bodoh? Sebabnya dia kecewakan kawan karib aku. Dia
tak tahu betapa bertuahnya dia bercinta dengan kawan karib
aku tu,” sambung Maryam. Dia mengambil gambar kahwin
Zariff Adam lalu ditonyoh beberapa kali di wajah lelaki itu. Dia
melepaskan geram terhadap perbuatan lelaki itu.
“Aku tanya dia, Mar… Katanya, hanya aku gadis dalam
hatinya. Tetapi hari ini, kau lihat sendiri buktinya… Dia tipu
aku, Mar… Zariff tipu aku. Kalau dia boleh berkahwin dengan
perempuan tu ketika masih berhubung dengan aku, mana
letaknya aku dalam hati dia?!”
Maryam membiarkan Nuha Qalisya mengeluarkan isi
hatinya. Mahu dibalas, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu
dikatakan untuk meringankan keresahan rakan karibnya itu.
Akhirnya, dia hanya membiarkan temannya itu meluahkan isi
hatinya.
“Aku tahu dia tak sepadan dengan aku. Usia aku jauh
lebih tua daripada dia. Tetapi dia kerap berkata, usia bukan
penghalang. Dia sedapkan hati aku tetapi sekarang…” Esakan
Nuha Qalisya makin kuat. Maryam pantas mendakap tubuh
kecil itu. Dia turut merasai kesedihan hati teman akrabnya.
“Aku tahu, Nuha… Aku tahu kau bersedih, tetapi
jangan terlalu ikutkan perasaan kau. Kau belum bertanyakan
kesahihan gambar itu dengan Zariff. Kita tak tahu sejauh mana
tulennya gambar itu.” Entah bagaimana dia boleh terfikir
idea tak masuk akal tu. Apa yang pasti, dia sekadar mahu
menenangkan hati Nuha Qalisya. Mahu meredakan kesedihan
temannya itu.
Esakan Nuha Qalisya masih kedengaran tetapi kini
esakannya menjadi semakin perlahan. Gambar yang terdampar
di atas tilam itu dilihat kembali satu persatu. Maryam sekadar
melihat kelakuan temannya itu. Beribu-ribu kata makian dia
hadiahkan kepada lelaki bernama Zariff Adam kerana sanggup
melukakan hati Nuha Qalisya sedemikian rupa.
“Mar, kau lihat gambar ni... Kau tak rasa ke gambar
ni memang asli? Kau tak rasa ke lelaki yang bersanding di atas
pelamin yang hodoh ni ialah Zariff Adam Tan Sri Kamarul? Aku
tak rasa gambar ni superimpose atau Photoshop. Kalau gambar
dia dengan perempuan ni saja, mungkin juga aku boleh percaya
dia dianiaya. Tapi ni... Kau tengok ni, takkan gambar keluarga
dia pun orang nak buat superimpose juga? Tak masuk akal
langsung,” luahnya.
Dia masih lagi meneliti satu persatu gambar berkenaan.
Nuha Qalisya sesekali menyeka kelopak matanya. Maryam hanya
memerhati kelakuan temannya itu. Beberapa kali dia menepuk
bahu Nuha Qalisya meminta gadis itu supaya bersabar.
“Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Yang aku boleh
cakap, kau bersabarlah. Mungkin ini ujian untuk kau. Allah
mahu menguji tahap kesabaran kau dan sejauh mana kau
sabar menerima ujian ini.” Maryam mula mengeluarkan bakat
ceramahnya. Moga-moga Nuha Qalisya termakan nasihatnya
biarpun tidak banyak.
“Kau lihat sendiri gambar ni bukan sekeping dua tetapi
berpuluh-puluh keping. Siap posing pelbagai cara dan bertukar
tujuh lapan pasang baju. Kau rasa ada orang sanggup ke nak
buat sampai ke tahap itu? Nak menganiaya dia? Dan bersusah
payah hantar gambar ni dekat aku?” tanya Nuha Qalisya lagi.
Maryam tidak mampu bersuara. Sekejap dia
menggeleng kepala, sekejap dia menggaru-garu kepala yang
tidak gatal. Dia sendiri buntu untuk membantu Nuha Qalisya.
Maryam sudah kehabisan modal untuk memujuk. Suasana
rumah setingkat itu agak suram. Tidak seperti biasa yang riuhrendah
dengan suara mereka berdua.
“Nuha… Macam aku cakap tadi, kita tanya dulu Zariff
mengenai kesahihan gambar perkahwinan dia ni, betul ke tak
gambar dia. Kalau betul dia dah kahwin, kau buat keputusan
terbaik untuk masa depan kau. Tinggalkan dia kerana terbukti
dia tak jujur dengan kau. Dia tak setia dengan kau.”
“Aku tahu kau tak kuat untuk melaluinya sorang diri
tetapi kau jangan lupa, kau masih ada aku, Siti Nur Maryam
Haji Shariff akan tetap di sisi kau. Aku yakin bukan aku saja
tetapi rakan-rakan dan seluruh keluarga kau akan berada di
Wawa Akil
7
belakang kau.” Maryam turut tersedu-sedu. Air mata yang
kembali mengalir di pipi gebu Nuha Qalisya disapu lembut.
“Apa salah aku, Mar? Apa salah aku dekat dia? Mengapa
dia sanggup buat aku macam ni? Sakit sangat kat sini.” Nuha
Qalisya masih lagi merintih. Jarinya diletakkan di dada.
Berulang kali juga dia tepuk pipinya. Sakit! Itu tandanya ia
bukan fantasi, tetapi realiti.
Maryam terdiam. Sukar untuk dia membalas katakata
teman baiknya itu. Kalau dia berasa sedih, pastinya Nuha
Qalisya lebih-lebih lagi.
“Sabar, Nuha... Aku tahu kau memang kuat. Ini
dugaan untuk kau. Siapa kita untuk mempersoalkannya? Kau
kena ingat Allah pilih kau untuk menerima ujian ini. Jadi, kau
perlu reda dan aku yakin suatu hari nanti kau akan nampak
hikmahnya,” balas Maryam.
“Aku tak marah dia kahwin. Serius, Mar... Aku tak
marah tetapi aku marah dia sebab tak nak berterus terang.
Aku dah bersedia menerima ketentuan Ilahi kerana aku tahu
perbezaan usia pasti menjadi penghalang dalam hubungan
kami. Aku tak menaruh harapan tinggi untuk hidup bersamasamanya.”
“Aku tak pernah dibawa berjumpa familinya. Jadi, aku
tak tahu penerimaan famili dia jika mereka tahu kami bercinta.
Kau tak nampak ke peliknya hubungan cinta kami ni? Setiap
kali aku ajak jumpa famili dia, ada saja alasan yang diberikan.
Busy, meeting, jumpa klien... Akhirnya aku sudah memperolehi
jawapan tentang keengganannya itu,” sambung Nuha Qalisya.
Cepat-cepat dia menyapu air mata yang mula menitis.
“Nuha Qalisya binti Mohd Razlan…” Nama penuhnya
kini dipanggil. Kalau sudah dipanggil dengan nama penuh,
pasti Siti Nur Maryam binti Haji Shariff sudah hilang sabar
dengan dirinya.
“Kau kena bangkit sekarang. Wake up, Nuha. Wake
up… Jangan jadi lemah. Aku nak kau pergi mandi, lepas tu
call mamat malaun tu. Ajak dia jumpa kau esok. Jangan lupa
bawa foto ni semua. Kau susun elok-elok di atas meja tu nanti.
Tengok apa yang dia nak cakap,” balas Maryam. Dia tidak mahu
Nuha Qalisya berterusan menjadi lemah.
Foto yang dikumpul sebentar tadi dimasukkan kembali
ke dalam sampul. Pantas Nuha Qalisya menuju ke bilik air.
Namun sempat dia berpusing lalu melemparkan senyuman.
Walaupun senyuman itu agak tawar dan tidak berperasaan,
Maryam tahu Nuha Qalisya sudah mendapat kembali
semangatnya.
“Thanks, Mar… Aku tak tahu bagaimana keadaan aku
jika kau tiada…” Sisa air matanya disapu perlahan. Dia mengukir
senyuman. Walaupun tidak semanis biasa, namun Maryam tahu
Nuha Qalisya sudah mendapat kembali kekuatannya.
Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipi Nuha
Qalisya. Cantik! getus Maryam. Dia terpaku seketika. Kalau
dia perempuan pun terpikat dengan kecantikan Nuha Qalisya,
apatah lagi lelaki. Kau, lelaki yang tak pandai menghargai
wanita secantik Nuha, Zariff Adam.
Biarpun temannya itu berusia tiga puluh tiga tahun,
tetapi langsung tidak menampakkan usia sebenarnya. Wajah
gadis itu langsung tidak dimamah usia membuatkan temannya
itu nampak jauh lebih muda daripada usia sebenar.
Nuha Qalisya terlalu menjaga pemakanannya. Tidak
seperti dirinya yang makan apa saja. Tolak batu dan kayu saja.
Itu yang kerap diusik oleh Nuha Qalisya kepadanya. Kerap juga
dia katakan kepada Nuha Qalisya bahawa dia juga berpantang
dalam pemakanannya tetapi pantang ada di depan mata.
Mungkin kerana itu juga, Zariff Adam pada awal
perkenalan mereka bagaikan tidak mempercayai apabila Nuha
Qalisya memberitahu usia sebenarnya.
“Itu gunanya aku jadi kawan kau, Nuha… Kita sudah
berkawan sejak kecil. Sakit kau… sakitlah aku. Luka kau maka
turut terlukalah aku.”
“Kalau jari aku terluka kena pisau, kau pun nak hiris
jari kau juga ke?” Tiba-tiba soalan kurang bijak dari Nuha
Qalisya. Maryam bulatkan matanya ke arah Nuha Qalisya.
Pantas saja gadis itu ditolak masuk ke bilik air.
Terkekek-kekek Nuha Qalisya ketawa apabila
diperlakukan sebegitu. Tak sampai beberapa minit, bunyi air
kedengaran kemudian lagu Sampai Hati dendangan Ameng
daripada kumpulan Spring memenuhi ruang bilik air yang pasti
dinyanyikan oleh Nuha Qalisya dengan penuh perasaan.
Maryam tidak pernah terfikir begini kesudahan kisah
cinta temannya dengan Zariff Adam. Pertemuan tiga tahun lalu
di pusat peranginan membawa kepada perhubungan hati. Lebih
tepat lagi, penyatuan dua hati.
Walaupun usia Zariff Adam tiga tahun lebih muda
daripada Nuha Qalisya, ternyata lelaki itu mempunyai karisma
tersendiri. Pada awalnya, Maryam kurang yakin dengan hala
tuju hubungan itu. Mereka berdua begitu berbeza. Namun,
sikap matang Zariff Adam memikat hati temannya.
Sejak itu, bermulalah kisah cinta antara mereka.
Namun, hari ini segalanya berubah. Sekelip mata saja temannya
itu terluka.
Sampul yang dia ambil dari peti surat rumah
mereka pagi tadi meranap seluruh impian temannya itu dan
pastinya akan membuatkan gerhana dalam hati Nuha Qalisya
berpanjangan. Namun dia berharap temannya itu akan terus
tabah dan sebagai rakan paling akrab, Maryam berjanji tidak
akan membiarkan temannya itu keseorangan menempuh
dugaan ini.

“AKU TUNGGU kau kat meja tu.” Maryam menuju ke arah
meja kosong di penjuru paling belakang di Restoran Mahbob,
Bangsar. Nuha Qalisya mengangguk. Pantas kakinya melangkah
ke meja yang menempatkan Zariff Adam. Pengunjung kala itu
agak ramai kerana jam sudah mencecah angka satu tengah
hari. Kebanyakan pengunjung adalah mereka yang bekerja di
kawasan berhampiran Bangsar.
Hari ini dia lihat lelaki itu nampak ringkas. Hanya
memakai T-shirt berjenama Polo dan jean lusuh. Mungkin dari
rumah, bisik Nuha Qalisya. Sebentar tadi, dia menolak pelawaan
lelaki itu yang mahu mengambilnya di rumah. Sebaliknya,
dia memberi alasan selepas pertemuan itu, dia mahu keluar
membeli-belah dengan Maryam.
Mahu tak mahu, Zariff Adam terpaksa akur apabila
gadis itu terus menolak walaupun sudah didesak berkali-kali.
Nuha Qalisya duduk berhadapan Zariff Adam. Masingmasing
terdiam. Suasana bising pengunjung diselang-seli
dengan suara pekerja menerima oder membuatkan Nuha
Qalisya menjadi tidak selesa.
Jika dulu, tempat ini menjadi tempat dia dan Zariff
Adam untuk bertemu tetapi sekarang entah mengapa, dia
merasakan tidak begitu betah untuk terus berada di situ. Terasa
dadanya ada sesuatu yang mencucuk-cucuk. Dia menarik nafas
kemudian dihembus perlahan.
“Tak nak minum ke?” Lamunan Nuha Qalisya
melayang. Wajah ceria Zariff Adam dipandang dengan pelbagai
rasa. Ada rindu, sedih, terluka, keliru dan paling hebat rasa
dikhianati.
Sudah beberapa minggu mereka tidak berkesempatan
untuk berjumpa kerana setiap kali dia menelefon, lelaki itu
asyik memberi alasan sibuk dengan mesyuarat. Kalau tak pun,
sibuk di padang golf bersama rakan perniagaan.
Wajah Zariff Adam dipandang lagi. Dia mencari
kelainan di wajah itu.
“Nak saya oderkan minuman?” ulangnya. Dia sendiri
sudah oder teh tarik dan sepinggan mi goreng mamak.
“Tak apalah… Saya dah minum kat rumah tadi.
Lagipun saya tak lama di sini. Cuma saya nak bagi benda ni
saja.” Lantas dia mengeluarkan isi kandungan sampul surat
yang dibawanya sebentar tadi.
Gambar itu satu persatu dikeluarkan lalu disusun
di atas meja seperti yang diajar oleh Maryam semalam. Bulat
mata lelaki itu apabila melihat berpuluh-puluh keping foto
persandingan dan yang pastinya objek di dalam foto itu ialah
dirinya.
Zariff Adam membelek satu persatu gambar itu. Ada
aksi makan beradab, akad nikah, sarung cincin, bersanding di
atas pelamin… Apa yang pastinya foto-foto itu memaparkan
wajahnya sebagai pengantin lelaki dan Dania, pengantin
perempuan.
Foto itu dimasukkan ke dalam sampul semula. Dia
menarik nafas, mencari kekuatan untuk berhadapan dengan
Nuha Qalisya. Gadis itu hanya membisu. Suasana hening
menguasai pertemuan itu.
“Awak percaya semua ni?” soalnya. Mahu menduga
sejauh mana kepercayaan gadis itu kepadanya. Gambar
persandingannya itu ditatap lagi. Cantik pengantin perempuan
di sebelahnya tetapi tidak mampu menandingi kelembutan
Nuha Qalisya.
“Sayang…” panggilnya lagi. Nuha Qalisya mengangkat
sedikit wajahnya. Merenung muka Zariff Adam. Dia sedikit
terasa dengan panggilan itu. Sudah lama dia tidak mendengar
Zariff Adam memanggilnya selembut itu.
“Sayang percaya dengan gambar-gambar ini semua?”
Zariff Adam mengeluarkan semula gambar dari sampul surat
itu. Dia harap gadis itu tidak mudah terpengaruh dengan
gambar yang dihantar itu. Nuha Qalisya diam. Dia sendiri keliru
dan sehingga kini dia tiada jawapan pada soalan Zariff Adam.
“Awak percaya semua ni?” Tadi bersayang tetapi
sekarang berawak pula. Mungkin Zariff Adam tidak sesabar
mana untuk memujuknya. Nuha Qalisya tidak mempunyai
jawapan pada soalan berkenaan. Masing-masing terdiam. Lama.
Wajah Zariff Adam direnung, dia cuba mencari
kejujuran daripada sinar mata lelaki itu. Kata orang, mata
tidak pernah menipu dan kata orang juga, kita mampu melihat
kejujuran seseorang menerusi sinar matanya.
Tetapi dia tidak tahu sejauh mana kejujuran Zariff
Adam. Adakah hanya satu permainan atau sememangnya lelaki
itu dianiaya? Bagi Nuha Qalisya, ia bukan setakat percaya atau
tidak, tetapi ia lebih kepada kejujuran yang perlu ada pada
setiap pasangan.
“Apa jawapan awak untuk semua ini?” Soalan Zariff
Adam tidak dijawab sebaliknya dia pula membuat pertanyaan.
“Saya tanya awak… Jawab soalan saya dulu,” balas
Zariff Adam. Jemari runcing Nuha Qalisya mahu dicapainya.
“Cakap saja. Tak perlu tangan tu nak merayap,”
marahnya. Lelaki itu hanya tersengih. Biasalah, sekadar mahu
mencuba nasib. Bukan dia tidak tahu Nuha Qalisya bukannya
suka anggota badannya disentuh, apatah lagi disentuh oleh
lelaki.
“Saya keliru,” jujur Nuha Qalisya bersuara.
“Jadi, saya tak tahu nak cakap apa lagi kerana kalau
saya kata saya belum kahwin, tentu awak tak percaya… Fotofoto
yang awak bawa ni bagaikan sudah menjelaskan segalanya,”
kata Zariff Adam.
Zariff Adam melepaskan keluhan. Agak sukar untuk dia
meyakinkan gadis itu saat ini kerana apa saja alasan yang dia
bagi, belum tentu Nuha Qalisya akan menerimanya. Dia hairan,
siapa yang menyerahkan foto itu kepada Nuha Qalisya? Adakah
ada orang yang sedang mensabotaj dirinya?
“Macam tu saja ke? Awak tak nak jelaskan mengenai
gambar ni? Kalau awak kata orang di dalam gambar tu bukan
awak, jadi saya nak tahu siapa lelaki tu. Atau kembar awak?
Setahu saya, awak anak bongsu. Tak ada adik. Jadi, dari mana
datangnya kembar tu?” Perlahan Nuha Qalisya bersuara.
Malas dia nak bergaduh dengan Zariff Adam kerana
keluar air mata darah sekalipun, status lelaki itu kini sudah
bertukar. Baginya, Zariff Adam sudah menjadi orang lain. Dia
suami kepada Dania. Titik.
Dia pandang ke arah Maryam. Temannya itu masih lagi
leka dengan akhbar Berita Harian yang dibeli sebelum mereka
masuk ke restoran itu tadi. Apa yang menarik hati temannya
itu, dia tak pasti sebab sesekali dia lihat Maryam tergelak dan
selepas tu mukanya kembali serius.
“Kalau empat puluh kali pun awak tanya, jawapan saya
tetap sama… Saya belum berkahwin. Kalau awak nak tanya
famili saya… silakan tanya. Mereka boleh bagi jawapan. Tetapi
kalau awak mahukan jawapan mengikut kemahuan awak, awak
tidak akan mendapatkannya kerana hakikatnya, hanya itulah
satu-satunya jawapan yang ada. Awak nak percaya atau tidak,
terpulanglah kepada awak.” Begitu yakin Zariff Adam bersuara.
“Saya tak nafikan memang itu wajah saya tetapi bukan
saya yang berada di atas pelamin tu. Makan beradab semua
itu. Ada orang yang ambil wajah saya dan tampal kat badan
pengantin lelaki itu. Mereka buat teknik superimpose. Tak pun
teknik Photoshop. Awak tak faham sebab mereka menggunakan
teknik canggih untuk menjatuhkan orang lain,” sambung Zariff
Adam.
Nuha Qalisya mengeluh. Dia sudah menduga katakata
itu yang akan keluar dari mulut Zariff Adam. Teknik
superimpose!
“Agak-agaklah awak, takkan muka famili awak tu pun
orang nak buat teknik superimpose? Dah tak ada kerja sangat ke
dia orang ni? Kenal ke musuh awak tu dengan mak, ayah, adikberadik
dan ipar-duai awak tu sehingga dengan mudah musuh
awak tu dapat cantum gambar kaum keluarga awak?” Suaranya
cuba dilembutkan agar tidak ketara rasa sakit hati, marah dan
geramnya kepada Zariff Adam.
Lama mereka berdiam. Masing-masing melayan
perasaan dan akhirnya Zariff Adam sudah tidak sabar dengan
keheningan yang dicipta oleh Nuha Qalisya.
“Awak, saya belum berkahwin. Awak tak percaya saya
ke? Awak kenal saya, kan? Bukan setahun kita berhubung tetapi
dah tiga tahun. Takkan tak ada sedikit pun kepercayaan awak
letak dekat saya? Memang wajah lelaki itu ialah saya tetapi itu
bukan saya. Kalau awak tak percaya, awak tanya perempuan
tu sendiri, adakah saya lelaki yang bersanding dengannya.”
Suaranya ditekan sedikit. Sungguh yakin lelaki itu memberi
penerangan. Makin bercelaru kepalanya.
“Kalau tak betul, takkan orang nak buat ini semua,”
balas Nuha Qalisya sedikit geram. Geram kerana kebenaran
sudah di depan mata tetapi dia tidak mampu untuk
membentangkan kebenaran itu.
“Bila masa saya kahwin? Ada awak nampak saya ambil
cuti? Buat persiapan majlis perkahwinan?” soal Zariff Adam.
Nuha Qalisya diam. Dia cuba mengingati kembali adakah lelaki
itu pernah bercuti sebelum ini.
Setiap hari lelaki itu mengatakan dirinya sibuk, lawat
tapak projek, mesyuarat. Jadi, dia tidak tahu adakah benar
setiap kata-kata itu.
“Awak busy setiap hari. Mana saya tahu awak busy
dengan kerja atau busy untuk persiapan majlis awak.” Dingin
saja suara Nuha Qalisya.
Wajah Dania, bekas tunang Zariff Adam terbayang di
ruang matanya. Dia tahu sejarah hubungan mereka tetapi dia
tidak pernah menyangka masih wujud ikatan kasih antara Zariff
Adam dan Dania. Bukan dia tidak pernah mencurigai keduaduanya,
tetapi apabila ditanya, jawapan mereka nampak seakanakan
sama.
Saya dan Dania sudah lama putus. Saya tiada sebarang
hubungan dengan Dania lagi, ucap Zariff Adam. Jawapan yang
sama diberikan oleh Dania… Zariff masa lalu saya. Kalau awak
nak dia, awak ambillah. Saya boleh cari lelaki lain yang lebih
kaya. Apa saya kesah, saya masih muda. Beratur lelaki nak ambil
saya jadikan isteri. Lainlah awak tu, dah tua… Itulah jawapan
yang Nuha Qalisya terima. Tetapi kini, dia mula terfikir, adakah
selama ini dia ditipu? Adakah mereka bermain wayang di
belakangnya?
“Gambar ini adalah kemuncak segalanya. Bukan sekali
dua benda ni berlaku dan semuanya mengaitkan Dania. Dulu
gambar majlis pertunangan awak dengan Dania. Bila saya
tanya, awak cakap awak pernah bertunang dengan dia tetapi dah
putus. Lepas tu gambar awak dan Dania bercuti dengan famili
awak di Langkawi pun awak nafikan. Awak kata gambar itu
gambar lama. Lepas tu, berbalas status di FB pun awak nafikan.
Awak kata Dania nak aniaya awak selepas putus,” ucap Nuha
Qalisya. Kemudian dia menatap mata Zariff Adam.
“Sekarang ni, gambar kahwin awak pula keluar dan
terus dikaitkan dengan Dania. Jadi, apa yang awak mahu saya
katakan lagi? Awak tak bersalah? Awak dianiaya? Awak… kalau
betullah dianiaya, hanya sekali. Tak berulang kali macam ini
dan dengan orang sama pula tu. Awak fikirlah sendiri!” marah
Nuha Qalisya bagaikan tidak mampu dibendung lagi.
Dia mengurut perlahan dadanya. Cuba mencari
kekuatan diri. Nuha Qalisya menyambung kata-katanya yang
terputus tadi. Nuha Qalisya tak tahu apa yang difikirkan oleh
Zariff Adam saat ini kerana sesekali dia lihat dahi lelaki itu
berkerut seolah-olah memikirkan perkara serius.
“Awak… Tak ada sekelumit pun perasaan marah kepada
awak bila saya dapat tahu awak berkahwin dengan Dania kerana
saya tahu hubungan kita ini tidak akan ke mana-mana. Saya
tahu, Dania bekas tunang awak dan tidak mustahil suatu hari
nanti awak dan dia bersatu semula. Tetapi paling saya marah
awak apabila saya tahu diri saya ditipu dan dipergunakan. Awak
tipu saya, Zariff. Awak dah lupa ke kata-kata saya dulu? Kalau
awak dah jumpa perempuan lain, beritahu saya. Saya akan tarik
diri kerana saya tahu kedudukan saya. Takkan awak nak jadikan
perempuan yang lebih tua seperti saya sebagai isteri?”
“Kalau pun awak tak kesah, ada orang lain yang akan
kesah. Ibu, ayah dan seluruh keluarga awak pasti kesah.” Dia
melihat Zariff Adam meraup mukanya berkali-kali. Tangan Nuha
Qalisya cuba digenggam tetapi gadis itu pantas meleraikannya.
Dia lihat Zariff Adam bagai memikirkan sesuatu.
Biarlah apa sahaja yang ada di dalam kepala lelaki itu
sekarang. Yang pasti, dia hanya mahu satu keputusan bukan
saja untuk dirinya tetapi juga untuk Zariff Adam. Buat apa
teruskan perhubungan jika kepercayaannya kepada Zariff Adam
hilang sama sekali. Dia akan terus mencurigai Zariff Adam.
“Saya minta maaf, awak. Mungkin saya ni terlalu
pentingkan diri sendiri apabila mengambil keputusan sebegini
tetapi sedarlah, hubungan kita ini tidak akan ke mana… Kalau
dulu saya agak yakin dengan kata-kata awak, tetapi sekarang
saya sendiri sudah tidak yakin dengan diri saya sendiri. Sela…”
Sebelum kata-kata itu disambung, Zariff Adam terlebih dahulu
menyampuk.
“Saya juga kecewa dengan awak sebab awak jatuhkan
hukuman sebelum awak tahu saya bersalah atau tidak. Kalau
awak tanya, jawapan saya tetap sama. Saya belum berkahwin.
Saya masih bujang dan gambar yang awak kata saya tu hanyalah
superimpose.”
“Teknik superimpose?” ucap Nuha Qalisya.
“Ha’ah. Awak tak tahu ke orang boleh buat orang
yang tiada dalam gambar tu dimasukkan ke dalam gambar itu.
Mungkin itulah yang dilakukan oleh musuh-musuh perniagaan
saya. Mereka ambil muka saya kemudian tampal dalam gambar
tu. Sekali tengok memang macam real tapi sebenarnya, kita
boleh nampak benda tu asli ke tidak.”
“Kira logiklah, awak. Takkan saya tak ingat langsung
saya dah kahwin ke belum? Sehingga umur saya ini, rasanya
baru sekali saya naik pelamin. Itu pun sebab jadi pengapit kawan
saya, Zahrul. Itu pun bukannya duduk di atas kerusi pengantin,
sekadar berdiri di sisi pengantin aje.” Zariff Adam gelak sendiri
dengan kata-katanya itu.
Nuha Qalisya mendengus. Ada hati lagi mamat ni nak
bergurau. Selepas itu, Zariff Adam kembali serius. Jemari Nuha
Qalisya cuba diraih kembali tetapi sekali lagi cepat-cepat gadis
itu menarik tangannya. Dia tersenyum melihat kekalutan gadis
itu.
“Tapi kalau awak masih kata itu saya, buktikan. Awak
cari siapa dalang yang menghantar gambar itu kepada awak.
Kalau awak tak berpuas hati lagi, call perempuan tu, tanya dia
sendiri. Awak sepatutnya tanya dia bukan saya kerana saya tiada
jawapannya.” Lontaran suara Zariff Adam begitu yakin.
Wajah lelaki itu direnung. Hatinya kembali berbelah
bagi. Aku pula yang disuruh mencari bukti. Bukan ke dia
yang perlu cari bukti untuk bersihkan namanya? Pelik betul
permainan Zariff Adam ini. Suasana tadinya yang riuh-rendah
kembali reda. Pastinya pengunjung sudah selesai menikmati
makanan masing-masing.
“Terpulang kepada awak mahu percaya atau tidak. Saya
pergi dulu.” Nuha Qalisya terkedu apabila melihat Zariff Adam
bangun menuju ke kaunter pembayaran dan beberapa minit
kemudian berlalu keluar dari restoran tanpa berpaling lagi.
“Selamat tinggal, awak…” Air matanya disapu. Dia
turut mengatur langkah ke arah Maryam yang setia menantinya
sejak tadi.

No comments:

Post a Comment