Thursday, 7 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - PROLOG


DULU... hatiku ini pernah terluka. Lukanya terlalu
dalam akibat perbuatan seorang lelaki. Penipuan lelaki itu
sudah sampai kemuncaknya. Bukti yang ada di tanganku tidak
memungkinkan aku menerima lelaki itu lagi dalam hidupnya.
Cukuplah sekali ditipu, tidak akan ada dua atau ketiga kalinya.
Tiada sekelumit rasa bersalah dalam hati bekas kekasihku itu
tatkala menzahirkan pembohongannya. Walaupun berpuluhpuluh
kali dia merayu, hatiku masih enggan memaafkannya.
Kata suamiku, hatiku kini sekeras waja. Mana mungkin dapat
dilenturkan dalam sekelip mata.
Aku kini diulit bahagia. Wajah encik suami aku
pandang lama. Selepas menempuh pelbagai onak duri, aku dan
encik suami akhirnya bersatu juga dalam alam rumah tangga.
Baru sebentar tadi encik suami melafazkan akad nikah yang
pastinya dinikahkan oleh babahku. Suasana waktu itu begitu
hening. Air mataku laju menitis sebaik saja selesai upacara
membatalkan air sembahyang dilakukan.
Umi turut mengesat air mata. Adik-adikku yang seramai
empat orang itu juga menarik nafas lega. Dalam usia mencecah
tiga puluh tiga tahun, akhirnya aku menamatkan zaman gadisku. Usia yang dirasakan agak terlewat untuk membina keluarga. Aku sendiri tidak menyangka akan menemui titik bahagia dalam hidupku.
Tatkala adikku sudah lama mengecapi alam rumah tangga dan mempunyai cahaya mata, barulah aku bergelar isteri kepada lelaki yang muda tiga tahun daripada usiaku. Namun, siapa aku untuk mempertikaikan semua itu kerana aku tahu tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini. Semuanya adalah atas keizinan daripada-Nya.
Sejak berbulan lamanya aku cuba menidakkan kata hatiku dengan menolak dia dalam hidupku, namun akhirnya aku akur lelaki itu ialah insan terbaik yang dikirimkan oleh Allah untuk menjadi raja dalam hatiku. Indahnya perancangan Allah. Berbulan-bulan lamanya aku menderita tetapi hari ini aku diulit bahagia.
Allah kirimkan kepadaku seorang lelaki untuk hidup bersamaku. Sikapnya yang matang, tidak pernah mendesak dan banyak mengalah akhirnya membuka mata aku untuk menerima huluran kasih lelaki itu.
Sukarnya cinta itu. Penuh dengan pelbagai dugaan.Memikirkan betapa mudahnya aku diperdaya sedangkan aku tahu selama ini pelbagai cara dilakukan oleh gadis itu untuk memerangkap suaminya. Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Kebenaran terbukti dan kini aku dan dia bersatu juga. Sukar digambarkan perasan aku ketika ini. Bahagia, gembira.
Tadi... aku dan dia menunaikan solat Asar dan buat pertama kali dia menjadi imamku. Panjang doa si imam selepas menunaikan solat. Aku memohon kepada Allah Taala supaya memberkati kehidupan baru kami, dikurniakan anak-anak yang sihat, comel dan soleh serta memanjangkan usia kami, usia ibu bapa dan keluarga kami selain melimpahkan rezeki kami sekeluarga.

No comments:

Post a Comment