Thursday, 7 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 3

SELEPAS menempuh perjalanan panjang, akhirnya
dia dan Maryam tiba ke destinasi. Waktu sampai di Sun Beach
Resort, jam Bonia di pergelangan tangannya menunjukkan
angka tujuh malam. Nuha Qalisya keluar sambil memusing
badan ke kiri dan ke kanan untuk melegakan badannya.
Pemandangan pada waktu senja di Tanjung Leman begitu
indah, begitu cantik ciptaan Allah, bisiknya. Dia begitu kagum
melihat kekuasaan Allah Taala. Maryam pula pantas melangkah
ke kaunter pendaftaran untuk urusan pendaftaran masuk.
Ketika itu, ramai pengunjung resort bersantai di ruang lobi. Ada
mengambil kesempatan membaca akhbar yang sememangnya
disediakan di ruang berkenaan. Nuha Qalisya pula tidak terus
masuk ke ruang lobi sebaliknya dia leka menikmati keindahan
remang senja di luar resort.
Tanpa disedari, kakinya sudah jauh melangkah,
dia berdiri betul-betul di gigi ombak. Mendengar deruan
ombak hatinya tiba-tiba tenang. Hilang segala masalah yang
membelenggu dirinya sejak seminggu lalu. Tidak jauh dari
tempatnya berdiri, dia melihat pasangan pengantin sedang
merakam gambar perkahwinan. Gaun berwarna putih yang
dipakai oleh pengantin begitu menarik pandangan matanya.
Cantik. Wanita itu nampak begitu anggun dan jelita. Tibatiba
dia dipagut sayu. Hatinya sebak. Jiwanya yang sudah agak
tenang kembali bergolak. Air mata di pipinya dikesat. Ya Allah,
bantulah aku untuk melupainya! bisik Nuha Qalisya.
“You okey ke?” Satu suara menegur Nuha Qalisya dari
arah belakang. Pantas dia berpaling. Seorang lelaki lengkap
berpakaian sukan menghampirinya. Nuha Qalisya berundur
setapak, bimbang dirinya diapa-apakan. Dia pandang ke kiri
dan ke kanan, mencari sesiapa yang boleh membantu sekiranya
lelaki itu tiba-tiba saja bertindak menyerangnya.
“Don’t worry, cik… I bukannya orang jahat. I Akif
Irham. Panggil saja saya Akif.” Dia tergelak. Tangan dihulurkan
tetapi Nuha Qalisya hanya menganggukkan sedikit kepalanya.
Tanda hormat.
“Sorry cik… Dah terbiasa pula.” Kemudian lelaki
itu tergelak. Dia tiada masalah dengan tindakan gadis manis
di depannya itu kerana setiap orang mempunyai hak untuk
mempertahankan prinsip masing-masing.
Nuha Qalisya hanya mengangguk. Dia tidak
menyalahkan lelaki yang berada di depannya itu. Bagi orang
lain, mungkin tidak kesah bersalaman atau bersentuh dengan
bukan muhrim tetapi dia sudah diajar sejak kecil dan itulah
yang dipraktikkan sehingga kini.
“Saya Nuha. Sorry, saya tak dapat sambut huluran
tangan awak tu. Awak bukan muhrim saya.” Nuha Qalisya
bersuara. Agak segan sebenarnya. Nasib baik lelaki yang berada
di depannya tidak banyak songeh. Hanya mengangguk tanda
memahami.
“Datang sorang aje ke?” tanyanya. Nuha Qalisya tidak
menjawab, matanya dibiarkan lepas ke tengah lautan. Terasa
begitu tenang sekali. Pasangan pengantin yang mengambil
gambar tadi sudah tidak kelihatan. Mungkin kerja penggambaran
mereka sudah selesai sepenuhnya atau bersambung esok pagi.
“Berdua dengan member. Dia kat kaunter pendaftaran.
Saudara?” soal Nuha Qalisya. Hatinya berdoa agar Maryam
menyelesaikan segera urusan di kaunter dan mencarinya di
pantai. Dia tidak begitu betah berdua-duaan dengan lelaki
apatah lagi lelaki tidak dikenali.
“Datang berlima tetapi mereka tu berpasangan,
panjanglah langkah masing-masing. Sudahnya, hanya tinggal
saya sorang-sorang kat sini.” Dia tersenyum. Terserlah lesung
pipit di pipi kiri lelaki itu. Nuha Qalisya menarik nafas lega
melihat kelibat Maryam menghampiri mereka di pantai.
“Kenalkan teman saya… Siti Nur Maryam. Mar, ni
Encik Akif.” Nuha Qalisya perkenalkan kenalan barunya. Tiada
huluran tangan daripada lelaki itu. Mungkin bimbang jika
berlaku kejadian seperti tadi. Namun dia sedikit kaget apabila
Maryam menghulurkan tangan untuk bersalaman. Matanya
dijeling ke arah Nuha Qalisya untuk melihat reaksi gadis itu.
“Lama sangat kau kat kaunter pendaftaran tu. Dapat
jumpa Zakry tak?” soal Nuha Qalisya. Maryam mengangguk,
matanya melirik ke arah kenalan baru Nuha Qalisya.
“Dapat… Tapi dia agak busy tadi. Kebetulan ada
rombongan Puteri UMNO nak buat team building kat situ. So,
tak dapat dia jumpa kita malam ni. Mmm... Esok kita jumpa
dia,” katanya. Matanya tidak lepas memandang wajah Akif
Irham. Aduh! Kenapalah dia ni kacak benar?
Tiba-tiba satu cubitan singgah di bahunya membuatkan
Maryam mengaduh kecil. Akif Irham hanya memerhati dan
turut tersenyum apabila menyedari jari-jemari Nuha Qalisya
hinggap di bahu Maryam.
“Ada ketam merayaplah, Encik Akif… Ganas betul.”
Akif Irham ketawa melihat gelagat kedua-duanya. Seronok dia
melihat gelagat dua sahabat itu. Dia dapat merasakan Maryam
seorang yang kuat menyakat dan seorang lagi bagai tidak
berperasaan. Nuha Qalisya membeliakkan mata sebagai amaran
agar temannya tidak bercakap banyak.
“Dia ni memang macam ni, Encik Akif. Kalau nak
berkawan dengan dia kena sabar. Bukan sabar sikit tapi sabar
banyakkk. Kerenah dia ni, Ya Allah… Macam-macam. Awak tak
terlayan bila dah lama-lama nanti.” Sekali lagi Nuha Qalisya
mencubit lengan Maryam. Suka-suka nak mengenakan orang.
Di hadapan lelaki yang baru dikenali pula tu. Maryam buat-buat
tak faham.
“Panggil saya Akif. Tak payah berencik-encik la. Nampak
macam formal sangat bila ada gelaran encik di depan. Lagipun
awak berdua ni bukan pekerja saya.” Maryam mengangguk.
Betul juga, bisiknya.
“Datang bercuti ke?” Maryam beralih soalan. Dia sudah
melabuhkan punggung di atas bangku simen di bawah pokok.
“Nak kata bercuti taklah sangat sebab saya orang
sini. Kebetulan member kata dia nak bercuti, jadi saya ajaklah
mereka sekali bercuti di resort ini.” Dia berterus terang.
“Lama ke kat sini?” Akif Irham pula bertanya. Wajah
manis Nuha Qalisya direnung. Ternyata ada sesuatu yang
menarik mengenai gadis itu.
“Errr… Tengok angin dulu. Kalau angin orang tu
masih di tahap puting beliung, rasanya lama jugalah kami
di sini. Kalau angin dia dah nampak reda sikit, mungkin tiga
empat hari lagi kami balik KL la.” Ada nada jenaka di situ. Akif
Irham turut tergelak mendengarnya.
Beberapa minit kemudian, Maryam meminta izin
pulang ke resort apabila melihat hari semakin gelap. Dia
menonong aje melangkah meninggalkan Nuha Qalisya yang
ketika itu masih bersama Akif Irham.
“Awak, saya gerak dulu. Dah nak malam ni.” Nuha Qalisya
bersuara selepas melihat Maryam berlalu meninggalkannya.
Hampeh betul Maryam. Tanpa sebarang amaran, laju saja dia
melangkah pergi. Kakinya turut diatur menuju ke resort. Cuba
menyaingi Maryam yang sudah bergerak ke depan.
“Yalah… Harap kita jumpa lagi selepas ini, Cik Nuha…
Malam ni ada rancangan nak ke mana-mana ke?” Lelaki itu
turut beriringan dengan Nuha Qalisya menuju ke Sun Beach
Resort.
“Belum tentu... Kenapa?” soalnya balik. Entah
mengapa, dia jadi agak ramah petang itu melayan Akif Irham.
Biasanya susah benar untuk melihat dia beramah mesra dengan
lelaki apatah lagi lelaki yang tidak dikenali.
Kalau diikutkan, dia malas nak ke mana-mana tetapi
Maryam pastinya membebel apabila tahu dia mahu melepak di
dalam bilik saja.
“Kalau tak keberatan, kita dinner sama-sama malam
ni, boleh tak? Kalau segan, awak boleh bawa Maryam bersama.
Saya tak kesah.” Akif Irham menggunakan teknik memujuknya.
Dia turut menunjuk muka kasihan.
Maryam yang tadinya yang sudah ke depan sedikit
berundur beberapa tapak. Lucu melihat gelagat Akif Irham yang
seakan-akan mahu mencuri perhatian teman baiknya itu.
“Boleh la Nuha. Setakat makan aje pun. Bukan kita nak
buat apa-apa. Kalau tak kasihan kat aku pun tolonglah kasihan
kat Encik Akif kita ni. Beria-ia dia ajak kau dinner.” Maryam
bersuara. Wajah si teman dipandang. Geram juga dia melihat
Nuha Qalisya buat tidak kesah.
Lama Nuha Qalisya berfikir. Berkerut dahinya
bagaikan memikirkan perkara yang cukup serius. Sikapnya itu
mengundang tawa Akif Irham. Agak lucu dia melihat gelagat
gadis yang cukup menarik perhatiannya.
Lama Akif Irham menunggu kata putus daripada
Nuha Qalisya dan akhirnya dia melihat gadis itu mengangguk
perlahan. Bukan dia saja yang menarik nafas lega, Maryam
turut sama. Gembira dengan keputusan temannya itu. Dia
berpandangan dengan Akif Irham. Sempat lagi lelaki itu
mengenyitkan matanya.
“Okey… Pukul lapan malam saya turun dengan kawan
saya ni,” beritahunya. Kasihan juga dia melihat wajah poyo Akif
Irham tadi. Setakat makan saja pun, bukannya dia mahu keluar
dating ke apa.
Akhirnya! desis Akif Irham. Bibirnya mengukir
senyuman. Hatinya berbunga riang. Harap-harap pertemuan
ini akan membuahkan sesuatu yang indah. Entah mengapa, dia
begitu tertarik dengan perwatakan gadis itu. Gabungan cantik,
manis dan menawan selain menjaga adab pergaulan ternyata
memikat hati lelakinya.

SEPERTI DIJANJIKAN, malam itu Nuha Qalisya dan Maryam
melangkah ke restoran. Dia hanya mengenakan T-shirt lengan
panjang dan skirt labuh. Kepalanya ditutupi tudung Aryani
fesyen terkini manakala Maryam memakai blaus dan jean.
Kedua-duanya nampak santai.
Dari satu sudut, dia melihat Akif Irham melambai ke
arahnya. Pantas kedua-dua gadis itu mengatur langkah. Angin
malam bertiup kencang, dia sedikit menggigil. Nasib baik dia
memilih baju yang berlengan panjang tadi.
“Sorry lambat sikit,” kata Nuha Qalisya sambil menarik
kerusi di depan Akif Irham. Maryam duduk bersebelahannya.
Pakaian yang dipakai oleh lelaki itu berbeza berbanding petang
tadi. Jika petang tadi dia memakai pakaian sukan, malam ini dia
nampak kacak dengan T-shirt dan jean serta kasut sukan Nike.
Nampak begitu santai. Sesuai dengan suasana malam seperti
ini.
“Tak apa, saya pun baru aje sampai.” Menu yang berada
di tangannya dihulurkan. Kecur air liur Nuha Qalisya melihat
pelbagai makanan yang begitu menyelerakan.
“Nuha nak makan apa?” soalnya. Maryam di sebelah
berdehem. Empat mata serentak memandang ke arahnya.
“Awak tak tanya saya pun.” Maryam menayang muka
sedih. “Tak baik tau...” Suka benar dia menyakat Akif Irham.
Dia boleh nampak lelaki itu bersungguh cuba memikat Nuha
Qalisya. Lelaki itu sampai terbatuk-batuk dibuatnya. Akif Irham
terkedu. Ketara sangat ke percubaannya untuk memikat gadis
itu? Nuha Qalisya terdiam. Malas dia mahu menyampuk. Dia
tahu Maryam gemar berjenaka tetapi kali ini jenaka temannya
itu agak memalukan orang lain.
“Mar… Tak baik tau buat Encik Akif macam tu. Malu
dia…” nasihat Nuha Qalisya. Wajahnya berbahang. Malu.
Maryam tersengih. Dia tahu gurauannya tadi agak melampau.
Rasa bersalah mula bersarang dalam hatinya.
“Sorry… Sorry... Saya gurau aje. Awak marah ke?”
Lembut aje suaranya. Mungkin terfikir apa yang dikatakan oleh
Nuha Qalisya tadi. Akif Irham hanya tersengih. Dia bukannya
cepat melatah atau cepat naik marah. Apa yang dikatakan oleh
Maryam tu memang ada benarnya. Dia ghairah bertanya itu
dan ini kepada Nuha Qalisya sehingga melupakan Maryam yang
turut bersama mereka.
“Nampak sangat ke saya cuba nak pikat Cik Nuha
kita ni?” Pertanyaan Akif Irham mengundang ketawa Maryam.
Pantas menu di tangan Nuha Qalisya diambil. Kalau setakat
menu itu ditilik, alamatnya mereka terus kelaparan selepas ini.
“Nampak tak nampak sangatlah... Tapi sikit ketara.
Tapi kalau betul-betul apa salahnya. Cik Nuha kita ni pun masih
belum berpunya. Tapi tak tahulah awak.”
Meleret senyuman Akif Irham apabila mendengar
kata-kata Maryam. Nampak gayanya Maryam memberi klu
kepadanya. Nuha Qalisya buat-buat bodoh, malas dia nak
melayan dua makhluk Allah di depannya.
“Saya pun belum lagi. Kawan tu ramailah tapi yang
spesial belum ada. Tengah cuba-cubalah ni. Mana tahu kut-kut
ada rezeki saya. Tak gitu cik Nuha?” Akif Irham bersuara.
Nuha Qalisya diam. Malas dia nak membalas kata-kata
lelaki itu. Apa yang pasti, dia tidak berminat untuk berkenalan
lebih jauh dengan Akif Irham. Entah mengapa, bayangan Zariff
Adam semakin kuat di ruang matanya.
“Nak saya tolong oderkan ke?” Akif Irham memesong
butir bicara. Nuha Qalisya dan Maryam serentak mengangguk.
Lebih baik lelaki itu yang membuat pesanan kerana dia pasti
lebih arif tentang makanan apa yang istimewa di situ. Pantas
Akif Irham memanggil pekerja restoran yang kebetulan berada
tidak jauh dari meja mereka.
“Kami nak oder nasi, ketam goreng mentega,
sotong tepung, ikan tiga rasa, kangkung goreng belacan dan
tomyam campur. Untuk tiga orang makan,” katanya sambil
menghulurkan menu kembali.
“Thanks Mira,” ucap Akif Irham lagi. Perempuan itu
mengangguk sebelum berlalu pergi.
“Awak kenal perempuan tu ke?” Maryam bertanya.
Nuha Qalisya menjegilkan biji matanya. Ya Allah, Mar... Mar...
Sikap suka tepi jaga kain orang masih belum hilang lagi ruparupanya.
“Marrr…” panggil Nuha Qalisya, geram. Temannya
kalau diberi peluang bercakap inilah jadinya.
“Sorry, Encik Akif... Maryam ni agak melampau sikit.
Semua benda nak ditanya. Semua benda nak ambil tahu.”
Pantas bahu si teman ditepuk agak kuat. Geram sebenarnya
dengan sikap Maryam yang gemar mengambil tahu hal orang
lain.
“Alah, benda kecil aje... Saya tak kenal pun pelayan tu
cuma tadi saya tertengok name tag dia tertulis nama Ameera.
Sebab tu saya tahu.” Akif Irham berterus terang. Maryam
tergelak. Tidak terfikir pula dia sampai ke situ.
“Awak asal orang sini ke?” Makin ramah Maryam
bertanya. Entah mengapa, dia dapat rasakan lelaki itu cukup
dikenali di Sun Beach Resort.
“Ha’ah... Tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kalau ada
kelapangan, setiap minggu saya balik ke Mersing. Kalau tak
secara sukarela, secara paksaan.” Akif Irham ketawa apabila
mengingati perangai mamanya yang tidak betah melihat
mereka adik-beradik berjauhan dari keluarga.
“Kena paksa? Siapa yang paksa awak?” Butir bicara
Akif Irham menarik perhatian Nuha Qalisya. Dari tadi dia hanya
mendengar mereka bercerita. Tidak pula berhasrat untuk
mencelah tetapi mendengar kata-kata akhir lelaki itu, tiba-tiba
dia berminat mengikut serta dalam perbincangan itu.
“Siapa lagi yang berani paksa saya kecuali mama saya.
Kami adik-beradik tidak boleh jauh dari dia. Jadi, kami ikutkan
saja kemahuan mama untuk pulang ke sini seminggu sekali.
Bimbang rumah kosong katanya, tetapi kami tahu, mama tidak
betah tinggalkan rumah dia tu lama-lama. Mama pun busy kat
KL tetapi akan pastikan setiap hujung minggu kami dihabiskan
di Mersing.” Dia bercerita. Nuha Qalisya hanya mendengar.
Mmm... Anak mama rupa-rupanya, desis Nuha Qalisya.
Dia mula terbayang kesukaran yang dialami sekiranya bercinta
dengan anak emak seperti dua tiga teman ofisnya. Wajah Kak
Maznah terbayang di ruang matanya.
Setiap hari dia mendengar keluh-kesah Kak Maznah
yang sering bertelagah dengan suami hanya disebabkan ibu
mentuanya kerap campur tangan dalam hubungan mereka
suami isteri. Tiba-tiba saja dia rasa fobia dengan situasi itu.
“Awak ada berapa adik-beradik?” Makin banyak pula
soal selidik Maryam. Dah macam polis pencen lagaknya. Akif
Irham yang baru saja menyudu sup berpaling ke arahnya. Dia
melemparkan senyuman.
“Mmm… Lima orang. Saya yang sulung. Kedua lelaki,
ketiga perempuan tetapi dah kahwin dan sekarang tinggal di
London ikut suaminya bekerja di sana. Keempat lelaki berusia
dua puluh tahun dan masih menuntut di UIAM. Si bongsu
perempuan berusia lima belas tahun.” Panjang lebar lelaki itu
bercerita perihal keluarganya.
Sesekali matanya melirik ke arah Nuha Qalisya yang
buat tidak peduli dengan pertanyaan temannya. Keluarga saya
bakal jadi keluarga awak juga nanti, bisiknya nakal. Berkerutkerut
wajah Nuha Qalisya apabila dia merasakan ada mata yang
asyik memandangnya.
Makanan yang dipesan sudah memenuhi meja. Hampir
penuh satu meja. Melihat keenakan ketam dan sotong, Nuha
Qalisya sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan yang
disediakan. Namun apabila melihat begitu banyak makanan
yang dioder oleh Akif Irham, dia mula rasa ia satu pembaziran.
“Banyak sangat, awak… Habis ke kita makan semua ni?
Perut saya taklah besar sangat nak masukkan semua ini.” Nuha
Qalisya mengeluh apabila melihat pelbagai menu terhidang di
atas meja. Rasanya tadi tak adalah sebanyak ini yang dioder oleh
Akif Irham. Bimbang akan berlaku pembaziran makanan. Akif
Irham ketawa.
“Tak apalah awak... Sekali-sekala saya belanja makan.
Nanti entah bila pula saya boleh belanja awak makan begini.
Kalau tak habis nanti, kita bungkus. Kalau awak lapar tengah
malam bolehlah makan lagi.”
“Sila makan tuan puteri berdua. Harap menu yang saya
oder ini menepati selera anda berdua.” Akif Irham membaca doa
makan lalu diaminkan oleh kedua-dua gadis itu.
Sejam kemudian, masing-masing tersandar
kekenyangan. Selepas menikmati makanan, Nuha Qalisya
bersedia untuk meminta diri naik ke bilik tetapi melihat
Maryam dan Akif Irham masih rancak bersembang, dia terpaksa
juga bertahan.
Sudah beberapa kali dia menguap. Melihat keadaan
Nuha Qalisya, Maryam meminta diri untuk naik ke bilik.
“Thanks awak untuk dinner yang enak ini.” Maryam
bersuara. Dia sudah bersedia untuk berlalu dari situ. Nuha
Qalisya turut mengiakan.
“Betul tu. Esok bolehlah saya makan di sini lagi,”
katanya berseloroh. Akif Irham tersenyum. Jika Nuha Qalisya
mahu makan, hari-hari di sini pun dia tiada masalah. Setakat
belanja gadis berdua tu takkan jatuh miskin pun.
“Nuha, saya harap pertemuan ini bukan untuk kali
terakhir. Saya berharap lepas ini akan wujud pertemuan buat
kali kedua, ketiga dan kali seterusnya,” katanya. Senyuman
Maryam pun sudah lain macam.
Dia menghulurkan sekeping kad perniagaan kepada
Nuha Qalisya. Mahu tak mahu, Nuha Qalisya terpaksa
menghulurkan kadnya pula kepada Akif Irham selepas melihat
lelaki itu seolah-olah menanti sesuatu daripadanya.
“Saya akan call awak sebab saya tahu awak tak akan
call saya…” katanya dengan nada bergurau. Tetapi itulah
hakikat sebenarnya, dia tahu gadis itu tidak berminat untuk
menjalinkan hubungan dengan lelaki saat ini.
Dia tahu di sebalik kehadiran kedua-dua gadis itu ke
Tanjung Leman adalah untuk mengubat hati luka Nuha Qalisya.
Itu yang diberitahu oleh Maryam kepadanya ketika Nuha Qalisya
ke tandas sebentar tadi.
Kata Maryam, hati Nuha Qalisya kini terluka. Kalau
mahu berkawan dengan gadis itu, dia perlu mempertingkatkan
kesabaran. Ketika ini, Nuha Qalisya sukar menerima lelaki
dalam hidupnya.
Jadi, dia perlu mengikut rentak dan angin gadis itu
jika mahu berjaya menawan hati Nuha Qalisya. Beberapa minit
kemudian, masing-masing berpisah selepas keluar dari restoran
berkenaan. Nuha Qalisya dan Maryam kembali ke bilik manakala
Akif Irham mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya
yang terletak kira-kira setengah jam dari resort tersebut.

No comments:

Post a Comment