Friday, 8 April 2016

BUNGA-BUNGA BAHAGIA - BAB 4

NUHA Qalisya menghempaskan tubuhnya ke
atas tilam untuk melegakan urat sarafnya yang tegang kerana
memandu hampir enam jam. Maryam terus menuju ke bilik
mandi. Katanya, perut memulas. Itulah padahnya jika makan
tidak beringat.
Bergolek-golek di atas katil membuatkan mata Nuha
Qalisya begitu cepat layu. Dia teringat telefon bimbitnya
yang ditutup sejak pagi tadi. Pantas dia bangun mencari
beg sandangnya. Telefon bimbit dicapai. Sebaik saja dibuka,
berderet-deret SMS dan missed call masuk.
Lebih dua puluh missed call dari nombor yang sama.
Selebihnya panggilan daripada uminya, Puan Amnah dan
Edora. Satu per satu SMS dibuka dan seperti dijangka, Zariff
Adam masih belum berputus asa untuk melembutkan hatinya.
Awak kat mana?
SMS pertama dibaca. Kemudian dibaca SMS kedua.
Kenapa off phone?
Dibuka SMS ketiga.
Awak call saya balik. Urgent!
Nuha Qalisya mengeluh. Rasa kasih dan rindu masih
bersisa untuk Zariff Adam, tetapi dia tidak akan merampas
kebahagiaan orang lain. Zariff Adam milik Dania.
Sejak awal lagi Zariff Adam sudah memilih Dania. Hanya
dia yang dungu tidak memahami. Allah sudah menetapkan
aturan itu jadi siapa dia untuk menyoal kewajarannya. Jodoh di
tentukan oleh Allah, siapa dia untuk mempertikai jodoh Zariff
Adam dengan wanita itu. Dia akur.
Cukuplah dia menangis selama berminggu-minggu
ini. Cukuplah. Walau sakit, walau perit, dia perlu bangkit kerana
dia hidup bukan hanya untuk Zariff Adam semata-mata tetapi
juga untuk keluarga dan rakan-rakan. Dia berserah kepada
Allah dan sekiranya Zariff Adam dianiaya, dia berdoa agar Allah
menunjukkan kebenaran.
Suara Maryam yang baru keluar dari bilik air memecah
khayalan Nuha Qalisya. Hilang terus wajah Zariff Adam.
Entah apa yang dibebel oleh wanita itu, dia sendiri tidak tahu.
Dia memerhati Maryam menyelongkar beg sandang yang
dibawanya. Berterabur barangan di atas katil. Mulutnya tidak
henti-henti merungut.
“Handphone aku hilang. Aku ingat sebelum masuk
bilik air tadi aku pegang benda alah tu. Tapi sekarang entah
kat mana. Tolong call phone aku kejap.” Nuha Qalisya tergelak.
Selain bermulut murai, Maryam juga seorang pelupa dan tahap
pelupa temannya itu kerap kali menjadi bahan lawak dia dan
rakan-rakan yang lain.
Apa yang dia ingat adalah ketika perut Maryam
memulas tadi, temannya itu hanya sempat meletak beg sandang
kemudian terus meluru masuk ke bilik air. Dia amat yakin
Maryam membawa telefon bimbitnya ke bilik air.
“Mar, baik kau masuk ke bilik air semula. Tengok
ada tak handphone kau di sana. Kau ni memang dah tualah,
nyanyuk…” Maryam tergelak. Dia mengakui sikapnya yang cuai
itu. Pantas saja dia bergerak ke bilik air.
Dari dalam bilik air Maryam menjerit kegembiraan.
Pasti sudah bertemu telefon bimbit yang dicari itu. Apabila
temannya keluar, ditayang Blackberry yang baru dijumpainya.
Lantak kau la, Mar… Aku malas nak layan kau waktu
aku mengantuk ni. Nuha Qalisya pula melangkah ke bilik air,
dia perlu mandi untuk menyegarkan badannya selepas penat
memandu siang tadi.
Sebaik dia keluar bilik air, Maryam baru saja selesai
menunaikan solat Isyak. Telekung dan sejadah disangkut di
penyidai.
“Kau nak solat?” tanya Maryam. Nuha Qalisya angguk.
Sejadah dan telekung yang baru disidai tadi dicapai semula.
Beberapa minit kemudian, dia khusyuk menunaikan solat.
Beberapa minit kemudian, dia merebahkan badannya di atas
tilam. Matanya dipejam.
“Encik Akif tu kacak, kan?” Tiba-tiba Maryam bertanya.
Cuba memancing minat Nuha Qalisya terhadap lelaki bernama
Akif Irham.
“Dahlah kacak, baik hati pula. Lebih penting lagi dia
tu anak orang kaya. Kau tak nak try ke?” Kedua-dua belah
tangannya diletakkan di dagunya.
“Maksud kau? Aku tak faham.” Nuha Qalisya bertanya.
Pelik dia dengan kata-kata Maryam tadi. Try? Apa maksud try
itu? Kalau dalam bahasa Melayu, try tu bermakna cuba dan apa
kaitan cuba dengan mamat tu? Maryam bangun lantas bersila.
Sambil itu tangannya membelek-belek majalah yang dibeli
siang tadi.
“Try maksud aku, cuba... Cuba maksud aku, try. Kau
tak nak cuba try tackle Encik Akif ke? Aku nampak dia tunjuk
minat luar biasa dekat kau masa dinner tadi. Macam-macam
dia tanya pasal kau dekat aku tadi. Mana yang aku boleh jawab,
aku jawablah. Yang tak boleh dijawab, aku suruh dia tanya kau
direct.” Wah... Jujurnya jawapan kawan sejatinya itu. Tolong
menjawab bagi pihak dirinya.
“Apa yang dia tanya kau pasal aku?” Malas sebenarnya
dia mahu tahu tetapi alang-alang Maryam sudah bercerita, tidak
sedap pula dia tidak tahu apa yang disampaikan oleh Maryam
kepada Akif Irham bagi pihaknya.
“Mmm... Perkara biasa-biasa saja. Dia tanya aku, kau
dah ada boy-friend atau tiada. Aku jawablah, dulu ada tapi
sekarang dah tak ada. Aku nampak muka dia betul-betul berseri
time aku cakap kau dah clash dengan pakwe kau tu.” Beria-ia
Maryam bercerita. Langsung tidak menyedari si teman sudah
menarik muka empat belas.
Nuha Qalisya tidak tahu nak marah atau tidak dengan si
Maryam yang pandai-pandai memukul canang tentang dirinya
kepada lelaki itu. Wah... Wah... Wah... Cantik punya jawapan,
desis Nuha Qalisya. Tak teragak-agak langsung temannya itu
bercerita bagi pihak dirinya.
“Tak salahkan kalau aku cakap macam tu? Yalah, kau
kan dah tak ada siapa-siapa. Dia pula masih single lagi. Jadi,
tak salah kalau aku cuba mendekatkan yang jauh, merapatkan
yang sudah rapat.” Mahu tercekik Nuha Qalisya mendengarnya.
Pepatah Maryam itu membuatkan dia mengetip paha si teman.
“Weh, sakitlah… Aku cuba tolong Akif dapatkan
kau dan bukannya aku tolong kau dapatkan dia. Lagipun aku
nampak dia macam berminat nak kenal kau lebih jauh. Jadi,
aku sekadar tolong member saja. Kalau bernasib baik, hujung
tahun ini aku boleh makan nasi minyak kau orang.” Ceria betul
suara Maryam apabila mengenakan dirinya.
Nuha Qalisya rasa mahu menjerit apabila mendengar
kata-kata Maryam yang langsung tidak rasa bersalah membuka
rahsia member sendiri kepada orang luar. Sungguh tinggi
angan-angan Siti Nur Maryam Haji Shariff dan sedikit sebanyak
dia terkedu apabila mendengar impian tinggi melangit si teman.
“Aku nak tidur.” Nuha Qalisya malas nak melayan
temannya itu. Bantal ditepuk-tepuk berkali-kali. Comforter
ditarik hingga ke paras dada. Mata dipejam. Biarlah Maryam
bercakap sorang-sorang. Buat sakit hati. Sudahnya bukan dia
yang terlelap, sebaliknya kedengaran dengkuran halus Maryam
menandakan temannya itu sudah di alam mimpi.
Akhirnya dia bangun lalu mencapai kembali novel
terbaru karya Siti Rosmizah. Sudah dua minggu novel itu dibeli
tetapi hingga kini masih belum habis dibaca. Biasanya, dalam
masa dua atau tiga hari, dia akan menamatkan pembacaannya.
Kemudian Nuha Qalisya mencapai Note II lalu dibuka
kembali SMS yang dihantar oleh Zariff Adam petang tadi.
Dia mengeluh. Adakah dia terlalu keras dengan lelaki itu
sehingga langsung tidak memberi peluang kepada Zariff untuk
menerangkan apa yang terjadi? Badannya dikalihkan ke sebelah
kanan, dia merenung Maryam yang begitu lena tidurnya.
Cemburu dia. Keluhan dilepaskan.
Adakah Zariff dianiaya? Tiba-tiba hatinya bertanya. Dia
jadi keliru. Telefon bimbitnya masih lagi direnung. Mencari
jawapan kepada soalan yang berlegar-legar dalam benaknya.
Aku tak sangka, Zariff... Cinta kita berakhir begini. Aku
sayangkan kau, tetapi balasan yang kau berikan langsung tak
tercapai dek akal aku. Selama ini aku percayakan kau. Nuha
Qalisya mengeluh lagi. Malas untuk menyerabutkan fikirannya,
pantas novel tadi dicapai semula.
Hajatnya mahu menyambung kembali bacaan yang
terbengkalai sebentar tadi, namun baru dua helai, matanya
sudah mula memberat. Mahu tidak mahu, novel tersebut
ditutup lantas diletakkan semula di atas meja. Mereka berdua
lena sehingga pagi.

BUNYI BURUNG berkicau memecah keheningan pagi. Nuha
Qalisya menyusur di tepi pantai sambil menikmati keindahan
ciptaan Allah. Udara pagi menggigit tubuhnya membuatkan dia
sedikit menggigil.
Selepas mengejutkan temannya untuk bersolat Subuh,
dia keluar untuk mengambil angin pagi di persekitaran resort.
Selepas penat bermain ombak, Nuha Qalisya duduk di atas
kerusi batu untuk melepaskan penat. Orang ramai sudah mula
memenuhi Pantai Teluk Leman. Ada yang membawa keluarga
dan ada yang seperti semalam, mengambil gambar perkahwinan.
Dia cuba mengosongkan fikirannya saat ini. Dia perlu
melupakan Zariff Adam. Itu tujuan utama Maryam membawanya
ke sini. Misi untuk dia melupakan Zariff Adam. Namun, hingga
sekarang wajah lelaki itu masih lagi segar dalam ingatannya.
Ingatannya kembali kepada Zariff Adam. Ya Allah,
sukarnya untuk menghapuskan kenangan itu.
“I love you... Sayang sangat-sangat. Harapan saya
untuk hidup semati dengan you. Moga-moga impian kita
tercapai. Sekarang I busy sangat. Nanti lepas projek yang I
buat ni selesai, I bawa you jumpa famili I... Saya janji.” Masih
terngiang-ngiang lagi kata-kata itu dalam benak Nuha Qalisya.
“Betul... Demi Allah, sayang... Sayang perlu percaya
kata-kata I ni. Tak ada gadis lain dalam hati I kecuali you. Awak
kena ingat saya untuk awak dan awak hanya untuk saya. Tak ada
sesiapa yang boleh pisahkan kita kecuali ajal.”
“Boleh percaya ke?” usik Nuha Qalisya. Zariff Adam
mengangguk.
“Selagi ada matahari, selagi ada bulan dan bintang,
selagi itulah cinta dan sayang saya tak akan berubah. Dia tetap
membara di sini.” Jari telunjuknya menghala ke arah dadanya.
Sakitnya kenangan itu. Keluhan dilepaskan. Dia
pegang dadanya. Sakit. Mencucuk-cucuk di hulu hatinya. Ah,
kenangan memang sukar untuk dihapuskan. Biarpun sejauh
mana dia pergi, biarpun sedalam mana bencinya kepada lelaki
itu, namun untuk melupakan lelaki itu dalam masa singkat
memang dia tidak berdaya.
Kenangannya bersama Zariff Adam berterbangan.
Dia kembali ke alam realiti. Dia perlu berhadapan dengan
kenyataan. Kenyataan yang Zariff Adam bukan lagi miliknya.
Kini lelaki itu milik Dania.
Kerana itu juga, dia berada di sini hari ini. Berada
di Pantai Tanjung Leman semata-mata mahu melenyapkan
kenangan bersama lelaki itu. Itu kata Maryam. Tapi bukan
katanya... Katanya, walau di mana dia berada, kenangan
bersama Zariff Adam tetap mengekorinya.
Tiba-tiba dia melihat kelibat Akif Irham yang lengkap
berpakaian sukan. Mungkin berjoging seperti petang semalam.
Handsome! detiknya. Cepat saja dia bangun untuk berlalu dari
situ. Dia tidak mahu bersua dengan lelaki itu.
“Hemmm… Mana mahu pergi tu? Takkanlah nampak
muka saya terus aje nak gerak? Duduklah sini dulu, kita
sembang-sembang.” Kedengaran suara Akif Irham membuatkan
Nuha Qalisya tidak jadi melangkah.
“Bukan mahu lari… tapi dah lama sangat kat sini.
Ingat nak masuk bilik sekejap, kejutkan Maryam bersarapan,”
katanya berdalih. Akif Irham tersenyum mendengar katakatanya.
Terserlah lagi lesung pipit di pipinya.
“Awak dari mana ni?” Dia berbasa-basi. Wajah kacak
Akif Irham direnung. Dia akui lelaki di depannya ini cukup
segalanya. Kacak, tinggi, macho, kaya. Boleh dikatakan ia pakej
lengkap yang menjadi idaman wanita.
“Mana lagi, awak... Pagi-pagi ni joginglah. Kalau tak
berjoging sehari, rasanya badan ni lemau semacam aje. Lagipun,
badan ni nak pakai lama. Nanti awak juga yang kompelin
badan saya longgar situ, longgar sini.” Akif Irham berjenaka.
Tak senonoh betul dia ni. Nuha Qalisya mencebik. Apa kenamengena
dia dengan tubuh badan lelaki itu pula? Nak joging,
joging sajalah. Tak payahlah nak kaitkan dirinya. Lelaki itu
memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. Sesekali tangannya
diluruskan ke bawah. T-shirt yang dipakainya basah lencun.
“Awak, saya gerak dulu ya...” Nuha Qalisya bersuara.
Malas untuk terus berlama di situ. Hasratnya mahu mengejutkan
Maryam tidur untuk turun bersarapan. Akif Irham tidak
bersuara tetapi kakinya turut mengekori Nuha Qalisya masuk
ke lobi resort.
Beberapa kakitangan Sun Beach Resort melemparkan
senyuman dan tunduk hormat tatkala berselisih dengannya dan
lelaki itu pula bermurah hati dengan senyuman. Sesekali dia
bersalaman dengan pengunjung Sun Beach Resort sekali gus
mengundang seribu pertanyaan dalam hati Nuha Qalisya.
“Awak kenal semua orang kat sini, ek?” soal Nuha
Qalisya. Dia memang hairan melihat sikap pekerja Sun Beach
Resort yang begitu hormat kepada Akif Irham setiap kali mereka
berpapasan dengan pekerja.
Takkanlah disebabkan lelaki itu ialah tetamu Sun Beach
Resort, dia dilayan seistimewa itu? Dia pun tetamu juga, tetapi
tidaklah dia dilayan sebegitu rupa. Mungkin juga disebabkan
kekerapan Akif Irham berkunjung ke situ membuatkan dia
dikenali ramai, desisnya.
“Tak adalah kenal semua… Tetapi saya kerap ke sini.
Mungkin sebab itulah awak nampak ramai yang kenal saya.
Lagipun tak salah kalau kita berbuat baik dengan orang. Tak
rugi pun. Untung lagi adalah.” Akif Irham tersengih. Pantas
kakinya mengikut langkah Nuha Qalisya yang sudah ke depan.
Di lobi, kelihatan Maria tidak menang tangan melayan
pelanggan yang mahu daftar masuk pagi itu. Sekumpulan
pengunjung dalam anggaran tiga puluh lima orang turun dari
perut bas persiaran menuju ke ruang lobi. Wah, untung besar
pemilik Sun Beach Resort bulan ini, desis Nuha Qalisya.
Dalam dia termangu memerhati, tiba-tiba petugas di
kaunter pendaftaran berlenggang menuju ke arahnya. Lebih
tepat lagi ke arah Akif Irham. Pantas dihulurkan kertas yang
dibawanya kepada lelaki itu sebelum berlalu semula ke kaunter
pendaftaran apabila melihat pengunjung sudah agak ramai
menunggunya.
Wajah Akif Irham tiba-tiba berubah sebaik saja
membaca pesanan yang dibawa oleh Maria. Kertas itu dilipat lalu
dimasukkan ke dalam poket seluar. Kemudian dia melabuhkan
punggung di atas kerusi yang disediakan di lobi resort. Nuha
Qalisya juga berbuat demikian.
Entah mengapa, dia bagaikan tidak sanggup
meninggalkan Akif Irham dalam keadaan begitu. Mungkin sikap
prihatinnya masih wujud dalam dirinya kala ini. Dia nampak
jelas wajah lelaki itu dalam keadaan tegang.
Kelihatan beberapa pengunjung hotel berkumpul di
ruang lobi. Mungkin sedang menunggu ahli keluarga untuk
sama-sama bersarapan. Restoran yang terletak di sebelah
kirinya hanya diperhatikan. Meja yang dialas kain coklat dan
putih itu begitu cantik pada pandangan matanya.
Kelihatan ruang restoran sudah mulai penuh dan
pekerja restoran juga tidak menang tangan melayan tetamu.
“Boleh saya tanya?” Nuha Qalisya bersuara apabila
melihat Akif Irham bagaikan berada di dunia sendiri. Dia yang
tercongok di depan mata seolah-olah tidak wujud. Lamunan
lelaki itu melayang entah ke mana. Dia memandang ke arah
Nuha Qalisya.
“Apa?” Agak keras suara Akif Irham pada pendengaran
Nuha Qalisya. Majalah di atas meja diselak, kemudian diletakkan
kembali. Tiada apa yang menarik perhatiannya. Dia tahu gadis
itu agak terkejut mendengar nada suaranya sebentar tadi.
Terbit rasa bersalah dalam hatinya kerana tidak mampu
melawan rasa marah. Disebabkan marah kepada seseorang, dia
lampiaskan amarahnya kepada Nuha Qalisya.
“Sorry, awak... Saya tak bermaksud untuk meninggikan
suara kepada awak…” katanya. Nuha Qalisya tersenyum. Dia
langsung tidak terasa dengan kata-kata Akif Irham tadi. Dia
memahami mungkin ada sesuatu yang mengganggu hati lelaki
itu.
“Ada apa-apa yang tak kena ke? Sorry kalau awak
rasakan saya ni menyibuk, tetapi saya bimbang kalau awak ada
masalah.” Entah mengapa, dia begitu prihatin dengan masalah
yang menimpa Akif Irham. Lelaki itu tersenyum. Terserlah
lesung pipit di pipinya.
“Saya okey, awak… Cuma ada masalah business sikit.
Don’t worry, semuanya okey,” katanya sambil berjenaka. Dia
terharu dengan sikap ambil berat yang dipamerkan oleh gadis
yang baru dikenalinya itu.
Akif Irham dapat melihat riak bimbang di wajah gadis
itu tetapi tidak perlulah dia berterus terang tentang kegusaran
hatinya memandangkan mereka baru saja mengenali. Tanpa
diduganya, dia melepaskan keluhan.
Otaknya ligat berfikir mengenai Amylia yang sudah
kembali ke Malaysia dan pesanan yang dia terima tadi datang
daripada gadis itu. Kelat wajahnya apabila mengingati gadis
yang tidak pernah tahu malu untuk memikat hatinya walaupun
sudah ditolak berkali-kali.
“Tak baik mengeluh. Setiap masalah pasti ada
penyelesaiannya,” beritahu Nuha Qalisya. Dia yakin lelaki
di depannya ini ada masalah berpandukan wajah kelat yang
dipamerkan oleh Akif Irham.
Aik? Nuha Qalisya macam pandai saja nasihatkan
orang. Setiap masalah ada penyelesaiannya tetapi masalah kau
sendiri belum pasti dapat diselesaikan. Kalau pandai sangat,
takkan kau berada di sini hari ini. Membawa diri. Hahaha... Dia
terasa mahu tergelak.
“Nampaknya awak pula yang termenung. Ada masalah
ke?” Akif Irham melencong perbualan. Kalau tadi cerita
berkisarkan masalah peribadinya, tetapi sekarang mengenai
Nuha Qalisya pula.
“Hesy, saya mana ada masalah. Pandai-pandailah
awak ni.” Nuha Qalisya menidakkan kata-kata Akif Irham.
Mana mungkin dia mahu bercerita kepada lelaki yang baru
dikenalinya.
“Yalah tu... Kalau tak ada masalah, takkan saya nampak
awak termenung sana sini? Macam putus berkasih pun ada.”
Nuha Qalisya mengetap bibirnya. Isy, ini boleh mendatangkan
kemarahannya.
“Saya masuk bilik dululah.” Dia malas mahu membalas
kata-kata Akif Irham. Dia yakin Nur Maryam Haji Shariff
pastinya sudah bercerita serba sedikit mengapa mereka berada
di Tanjung Leman hari ini.
“Kita sarapan sama-sama, ya... Saya tunggu awak
kat restoran dalam setengah jam lagi. Saya pun nak mandi
dan bersiap dulu.” Tanpa mendengar jawapan daripada Nuha
Qalisya, dia bergegas beredar dari situ. Dia tahu kalau masih
berada di situ, pelbagai alasan akan diberikan oleh Nuha Qalisya
untuk menolak pelawaan dia.
Nuha Qalisya melepaskan keluhan kemudian dia turut
melangkah meninggalkan lobi lalu menuju ke lif. Sempat
dia melihat petugas Sun Beach Resort menyapa Akif Irham.
Memang diakui lelaki itu seorang yang mudah didekati. Tutur
katanya sopan, berbudi bahasa dan mudah mesra dengan
sesiapa saja. Untuk itu, Nuha Qalisya memberikan markah
penuh kepada pemuda yang sudah mula mencuit hatinya.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ditilik nombor
yang tertera lalu mengeluh. Masih tidak berputus asa ruparupanya
Zariff Adam. Dia hanya membiarkan saja dan beberapa
ketika deringan berakhir. Dia belum bersedia untuk berbicara
dengan lelaki itu.
Sekali lagi lagu Awan Nano kedengaran. Seperti tadi,
dia biarkan saja kerana yakin panggilan itu daripada Zariff
Adam. Tetapi, seketika dia kelam-kabut menekan butang On
apabila tertera nama umi sayang di skrin Note II miliknya.
“Assalamualaikum, umi… Sorry lambat angkat,”
katanya. Sudah lama dia tidak menelefon Puan Amnah di
kampung kerana dia terlalu asyik melayan kesedihan hatinya.
“Waalaikumussalam, sayang… Anak umi kat mana ni?
Dah lama tak dengar berita. Along dah lupakan umi dan babah
ke?”
Aduh umi, soalan apakah itu? Mana mungkin aku
sebagai anak melupakan orang tua sendiri. Tiba-tiba dia rasa
bersalah kerana membuatkan uminya bersedih.
“Maaf, umi... Along busy sikit sekarang ni. Tak sempat
nak call umi. Projek banyak sangat sekarang ni sampai tak
terhandle dibuatnya,” balas Nuha Qalisya.
Apa kau ni, Nuha Qalisya? Kau bukan sibuk sangat
tetapi sibuk melayan luka dalam hati kau tu. Dia marahkan
diri sendiri. Kemudian laju kakinya keluar dari perut lif apabila
sampai di tingkat lapan. Seketika kemudian, dia bergegas keluar
menuju ke bilik 805 yang terletak berdekatan lif. Pintu bilik
dibuka. Kelihatan Maryam masih lena.
“Umi sihat ke?” soalnya. Dia cuba merendahkan nada
suaranya bagi mengelakkan tidur si teman terganggu. Tetapi
sudah namanya Nur Maryam, bunyi guruh, petir atau bom pun
belum tentu dia akan terjaga. Tidur mati.
Nuha Qalisya melabuh punggung ke atas katil. Sebelah
tangannya kejap memegang Note II dan sebelah lagi tangannya
laju menarik comforter yang menutupi seluruh badan Maryam.
“Alhamdulillah, sayang… Umi dan babah sihat. Adikadik
pun sihat. Along sihat ke? Bila nak balik kampung?”
soal uminya bertalu-talu. Nuha Qalisya menarik nafas.
Pilu mendengar kata-kata itu. Sepatutnya dia sebagai anak
menelefon uminya untuk bertanya khabar. Sekarang uminya
pula bersusah payah menelefon dia untuk bertanya khabar.
“Insya-Allah, umi... Minggu depan along balik
kampung. Okey… Okey... Along janji. Ha’ah, along ingat pesan
umi tu… Terima kasih, umi. Sayang umiii…” Telefon bimbitnya
diletak. Pantas tangannya mengejutkan Maryam.
Perempuan sorang ni memang susah nak bangun pagi
dan hampir setiap hari dia yang menjadi jam kepada Maryam.
Selepas beberapa kali dikejut, baru ada respons dari Maryam.
Maryam bangun lalu duduk bersila di atas katil tetapi matanya
masih lagi tertutup. Laju saja tangan Nuha Qalisya menepuk
bahu Maryam. Sekali lagi temannya itu membuka mata.
“Kau jangan nak tidur lagi. Tengok jam sekarang ni
dah pukul berapa.” Matanya melirik ke arah jam di pergelangan
tangannya yang menunjukkan angka sembilan pagi. Kalau
dibiarkan temannya itu, tak mustahil pukul dua belas tengah
hari baru bangun tidur. Dia tahu masalah Maryam untuk
bangun pagi.
“Aku mengantuklah, Nuha... Penat drive semalam tak
habis lagi. Bagilah aku chance tidur sejam lagi… Please…” Jari
hantunya ditegakkan.
“Please... Kau cantik... Kau jelita... Aku sayang kau…
Muah... Muahhh...” Mulutnya riuh berkicau tetapi mata tetap
terpejam rapat. Maryam kembali merebahkan badannya. Sekali
lagi cubitan singgah ke badannya.
“Banyaklah kau punya alasan. Setahu aku, sepanjang
perjalanan semalam kau asyik membuta aje. Kau ambil alih
pun bila dah sampai ke bandar Mersing ni. Aku tak kira, baik
kau bangun sekarang. Aku bilang sampai tiga… Satu… Dua…
Tiii…” Nuha Qalisya tergelak melihat Maryam kelam-kabut
bangun.
Terkekek dia melihat tindakan refleks Maryam.
“Aku nak mandi kejap. Lepas ni kita turun sarapan.
Akif ajak sarapan bersama,” beritahu Nuha Qalisya. Tanpa
menunggu kata-kata balasan daripada temannya itu, Nuha
Qalisya melangkah ke bilik air. Dia mahu menyegarkan diri.
Badannya terasa melekit dan berpeluh selepas beberapa
jam dia berjalan menyusuri pantai Tanjung Leman. Setengah
jam kemudian, giliran Maryam melangkah ke bilik air.

No comments:

Post a Comment