Sunday, 10 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 1


DIYA termenung sendirian memikirkan katakata
yang pernah diucapkan oleh Safwan sejak minggu lepas.
Macam mana dia mahu menjelaskan perasaannya kepada
lelaki itu. Sejak awal dia menjejak kaki ke hotel itu, dia tahu
mata lelaki itu terus terarah kepadanya berbanding Jemy.
Penampilannya hari itu cuma biasa-biasa aje, lainlah dengan
pekerja baru yang lain. Nampak bergaya dan berpenampilan.
Lagipun buat apa nak bergaya lebih, dia cuma bekerja sebagai
tukang bersih bilik saja. Takkanlah nak bergaya macam
seorang eksekutif pulak. Tak logik pula, kan.
Dalam diam, dia sudah menanam azam bahawa
kerja ini hanyalah sementara. Dia cuma mahu mencari
pengalaman. Malas nak kerja dengan ayah di kilang batik tu.
Selepas ini dia mahu mendapatkan kerja yang lebih sesuai
dengan kelulusannya dalam bidang pengurusan perniagaan.
Boleh juga dia memegang jawatan sebagai eksekutif. Kalau
boleh, dia nak kerja di syarikat besar di Kuala Lumpur. Macam
gambaran dalam drama-drama Melayu yang dilihatnya di
kaca TV atau dibaca melalui novel-novel.
Diya mencapai botol mineral 500ml yang berada
di atas meja, dibuka botol itu dan diteguk perlahan. Sejak
dari tadi, dia tak sempat nak meneguk air. Dahlah hari ni
dia tak sempat nak sarapan kat rumah kerana bangun lewat.
Nasib baik ibu mengejutkannya. Kalau tidak, terpaksalah dia
ponteng kerja. Takkanlah baru dekat dua bulan kerja, dah
buat perangai, kan.
“Weh!!!”
“Oh, mak kau!” Diya terus melatah sebaik sahaja
dia disergah. Bukan hanya disergah, malah bahunya turut
ditepuk dengan kuat. Punyalah dia terkejut.
“Kalau ya pun nak terjah, bagilah salam dulu…
macam nak merompak pulak gaya kau! Tak senonoh
punya anak dara,” Diya mengurut dada. Terbatuk-batuk dia
dibuatnya dek terkejut dengan sergahan temannya itu.
Jemy mula menayang sengih.
“Sorry… tak sengaja!” Kesian pula melihat Diya
yang terbatuk-batuk sampai berair matanya.
Diya menarik nafas. Seketika dia menjeling ke arah
Jemy yang sudah menggagau tin biskut Julies yang ada di
atas meja. Biskut itu dibawa oleh Diya dua hari yang lepas,
sengaja diletakkan di bilik rehat itu dengan niat nak buat
pahala. Bak kata orang, biskut wakaf. Ada juga pekerja lain
turut membawa makanan dan diletakkan di situ.
“Kau dah jumpa dengan Encik Safwan?” tanya Jemy
sambil mengunyah biskut.
“Apa hal aku kena jumpa dengan dia... bila?” tanya
Diya sedikit tersentak. Dia agak terkejut mendengarkan
soalan itu.
“Pagi tadi aku terserempak dengan dia, katanya dia
cari kau sebab ada hal. Kau dah jumpa dia?” Jemy menjeling
ke arah Diya yang sudah berkerut dahi.
‘Entah-entah dia nak tanya pasal tu tak? Macam
mana aku nak jawab.’ detik Diya sambil menggaru-garu
kepala membuatkan rambutnya sedikit berserabut.
“Belum. Apa hal dia nak jumpa aku pulak ni, leceh
betullah!” rungut Diya.
“Mana aku tahu. Kau jumpa ajelah dia, bukannya kau
kena bayar pun!” selamba Jemy bersuara sambil mencapai
sekeping lagi biskut Julies dari dalam tin.
“Hesy… malaslah aku nak jumpa dia!” dengus Diya.
Jemy mula menaikkan kening ala Ziana Zain, dia
hairan kenapa Diya tak mahu jumpa dengan lelaki yang
bernama Safwan itu. Handsome apa, kumbang rebutan kat
hotel ni tau!
“Diya, takkanlah kau tak tahu, dia nak jumpa dengan
kau sebab dia rindu nak pandang muka kau tu… kan dah
hampir seminggu dia tak tatap muka kau yang cantik manis
ni, pastilah nak ubat rasa rindu!” usik Jemy sambil tersenyumsenyum
membuatkan Diya mengherotkan mulutnya, tak
suka dengan usikan temannya itu.
“Hesy… tak kuasa aku nak layan lelaki tu,” cemuh
Diya sambil mendengus perlahan.
Setahu Jemy, Safwan kena pergi kursus kat Pahang
selama seminggu. Dan sebelum itu, lelaki itu telah berjumpa
dengan Diya kerana ada hal yang nak dibincangkan. Bila
ditanya kepada Diya, temannya hanya buat tak tahu saja, atau
lebih tepat, tak nak berkongsi rahsia dengannya. Tak apa…
akan dia selidik sehingga dia dapat jawapannya. Ini Jemy a.k.a
Jay Jay merangkap Jamilah binti Jali. Bukan sembarangan
orang. Jemy mengangguk perlahan sambil tersenyum.
“Eh! Yang kau tetiba senyum sorang-sorang ni
kenapa? Dah buang tebiat ke atau kau dah angau dengan
sesiapa ni? Aku beritahu kat Leman nanti, baru padan muka
kau!” sergah Diya sambil menepuk bahu Jemy.
“Angau… aku angau… angau… eh! Angau… angau
ke benda ni?” Jemy melatah sambil terlompat-lompat macam
kera kena belacan.
“Itulah kau, selalu sangat kenakan orang. Sekarang
dah terkena kat batang hidung sendiri. Melatahlah kau.”
Diya tergelak. Seronok pula melihat Jemy terlompat-lompat.
Kelakarnya. Kalau dia rakam masuk dalam youtube ni, ada
orang nak tengok dan like tak?
“Aduh, sakitlah!” Diya menjerit apabila lengannya
menjadi mangsa cubitan Jemy.
“Dah kau tahu yang aku ni jenis melatah, yang kau
kacau aku tu, apa hal?” rungut Jemy menahan geram.
“Kau yang berangan sorang-sorang, nak salahkan
aku pulak!” bela Diya.
“Yalah, yalah… aku yang salah!” akhirnya Jemy
mengaku.
“Diya!” tiba-tiba Jemy bersuara.
“Apa?” tanya Diya yang sedang membelek majalah
hiburan. Majalah itu dibeli oleh Kak Mimah semalam.
“Beritahulah aku, apa hal Encik Safwan jumpa kau
hari tu.” Jemy cuba memujuk.
“Benda tak penting pun. Kau budak-budak lagi,
belum cukup umur, tak boleh nak masuk campur hal orang
tua,” balas Diya sambil matanya tertumpu pada wajah
beberapa artis baru di majalah itu.
Jemy mengetap bibir. Geram betul mendengar
kenyataan Diya.
“Amboi! Diaorang ni, bergaya sakan tak ingat
dunia, seksi habis! Kalau aku… gerenti kena kejar dengan
ayah aku. Siap bawa parang lagi kut, silap-silap hari bulan,
kena tetak dengan parang tu. Tak ke niaya aku nanti. Hesy…
tak mahulah aku!” Diya membebel sendiri sambil matanya
ralit memandang majalah itu. Sengaja tak mahu menjawab
pertanyaan Jemy. Bukan dia tak tahu perangai teman baiknya
itu, kalau dia nak tahu sesuatu perkara, dia akan cuba
dapatkannya.
“Diya!” panggil Jemy sambil mencekak pinggang.
Marah betul apabila dikatakan dia masih budak-budak
sedangkan mereka sebenarnya sebaya. Dah la tu, buat tak
layan aje dengan pertanyaannya tadi. Mana dia tak geram.
“Kau ingat kau tu tua sangat ke? Kita sebaya tau.
Kalau nak ikut bulan, aku keluar lebih awal dari perut mak
aku tau. Tiga bulan lepas aku keluar dari perut mak aku,
barulah kau keluar dari perut mak kau tu,” kata Jemy tak
mahu mengalah.
“Habis tu, apa masalahnya?” Diya sengaja menaikkan
darah Jemy.
‘Apalah si Jemy ni, buat lawak kartun pulak! Kelakar
betul!’ desis Diya menyembunyikan senyum.
“Diya! Diya… beritahulah kat aku... kau sayang
aku, kan?” Jemy menukar taktik kepada pujukan. Kali ini
dia merengek memanggil nama Diya sambil menarik-narik
tangan Diya dengan gaya muka ‘sardin’ a.k.a muka tak
malunya menagih jawapan.
“Kau ni, Jemy… macam budak-budaklah. Buruk
betul rupa kau aku tengok. Kelakar pun ada,” kata Diya
yang tak tahan melihat gelagat Jemy yang macam kebudakbudakan
itu. Muncung Jemy makin panjang. Malah mukanya
di palingkan ke sudut lain. Memang merajuk dah si Jemy ni!
“Okey… aku kenal sangat perangai kau. Selagi tak
dapat apa yang kau nak, kau tak akan mengalah. Apa benda
yang kau nak tahu ni?” Diya memandang wajah Jemy yang
mula tersenyum.
Jemy tahu Diya pasti akan mengalah. ‘Yes! Berjaya.’
“Aku nak tahu pasal kau dan Encik Safwan tu la,
apa lagi? Kenapa dia jumpa kau hari tu? Beritahulah kat
aku. Aku janji, aku tak akan beritahu sesiapa pun hal ni.”
Jemy mengangkat tangan separas bahu seperti mengangkat
sumpah.
“Benda tak penting pun… tapi aku tak suka kalau
orang lain tahu. Nanti, apa pula tanggapan mereka,” kata
Diya sambil menutup majalah hiburan yang dilihatnya tadi.
Bukan dia baca pun, sekadar tengok gambar-gambar artis
luar dan dalam negara sahaja.
“Ya… aku janji, hanya aku yang tahu!” Jemy bersuara
penuh semangat.
“Janji kau memang tak boleh pakai!” kata Diya,
sengaja nak mengusik Jemy.
“Ini janji bukan sebarang janji, ini janji seorang
pertiwi!” kata Jemy.
“Janji tengkorak kau!” Diya meluku kepala Jemy.
“Aduh, sakit tau!” rungut Jemy sambil menggosokgosok
kepalanya.
“Padan muka,” cemuh Diya sambil tersenyum
meleret.
“Kau pernah tengok aku bersilat tak?” tanya Jemy
tiba-tiba menahan geram.
“Tak pernah, kenapa?” tanya Diya.
“Memanglah tak pernah sebab aku mana pandai
bersilat… hehehe…” Jemy menayang sengih.
“Kau ni Jemy… buat lawak bodoh pulak. Dahlah…
aku nak pergi buat kerja, time rehat aku dah habis.”
“Alah… Diya, kau cakaplah. Apasal Encik Safwan
jumpa dengan kau hari tu?” pujuk Jemy sambil menariknarik
tangan Diya. Dia tak puas hati selagi tak tahu apa
sebabnya lelaki itu berjumpa dengan Diya.
“Hmm… yalah, yalah…” Diya mengalah. Tahu
sangat dengan perangai si Jemy ni. Diya kembali duduk di
kerusi menghadap muka Jemy.
“Cakaplah!” gesa Jemy yang makin tak sabar nak
tahu.
“Dia nak jadi pakwe aku. Dia bagi tempoh seminggu
untuk aku jawab,” beritahu Diya. Malas nak bermain teka-teki
dengan Jemy lagi.
Jemy bertepuk tangan.
“Apasal tiba-tiba kau bertepuk tangan, dah tak betul
ke?” Diya berkerut kening.
“Aku memang dah agak… tahniah!” Jemy segera
mencapai tangan Diya, segera disalam tangan Diya sambil
mengukir senyuman.
“Tahniah apanya? Aku belum buat apa-apa keputusan
lagi!” balas Diya menarik muka masam.
“Aku tahu, kau akan terima Encik Safwan sebab dia
tu kan kumbang rebutan kat hotel ni. Nanti meloponglah Cik
Zanita kita tu ya,” kata Jemy sambil mengukir senyum.
Diya hanya menarik nafas. Tanpa mereka sedar,
perbualan itu didengari oleh seseorang di sebalik pintu.

No comments:

Post a Comment