Sunday, 10 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 2

HARI ini Diya cuti, jadi dia mahu menghabiskan
masa di rumah sahaja. Malas nak keluar ke mana-mana
walaupun Jemy ada mengajaknya keluar membeli-belah,
katanya ada jualan murah.
“Diya, ibu rasa elok Diya berhenti aje kerja sebagai
tukang kemas bilik kat hotel tu. Lebih baik kerja dengan ayah
kat kilang batik. Tak adalah ibu risau. Yalah, kerja kat hotel
tu, ibu rasa tak selamat. Orang yang datang menginap kat
situ pelbagai ragam. Ibu bimbang kalau Diya diapa-apakan.”
Puan Hasmah melahirkan rasa bimbang. Ketika itu mereka
sekeluarga berada di meja makan untuk bersarapan.
“Ibu… Diya kemas bilik bila diaorang tak ada.
Takkanlah Diya nak masuk kalau ada orang. Lainlah kalau ada
apa-apa yang penting. Diya tahu jaga dirilah ibu. Ibu jangan
bimbang ya.” Diya cuba menenangkan perasaan ibunya.
“Ya, betul cakap ibu tu. Ayah pun setuju kalau
Diya berhenti aje kerja kat hotel tu dan kerja dengan ayah.
Kalau tak nak uruskan kilang batik tu, Diya uruskan stesen
minyak. Kilang perabot tu, ayah dah tak risau sebab along dah
uruskan.” Sokong Encik Jamaluddin.
Abang sulung Diya iaitu Md. Amin Akhtar diberi
tugas oleh ayahnya menguruskan kilang dan kedai perabot
sejak tiga tahun yang lalu. Amin seorang anak yang baik,
selalu mendengar kata ayahnya, sebab itulah ayahnya
sayangkan alongnya itu. Diya ni, ayahnya sayang juga tapi
adakala Diya suka buat hal sendiri. Kalau boleh, dia mahu
berusaha sendiri, tak nak bergantung kepada orang tua.
Mazni dan Fauzan hanya diam, tak berani nak
mencelah. Mazni dan Fauzan ialah anak angkat keluarga
Diya. Ayahnya telah ambil mereka sebagai anak angkat sejak
lima tahun yang lalu. Kini Mazni berusia 15 tahun, manakala
Fauzan berusia 10 tahun. Mereka sanak saudara jauh ayah.
Ayah mengambil mereka berdua semata-mata mahu memberi
peluang kepada mereka untuk menjalani hidup yang lebih
baik berbanding.
“Ibu, ayah… Diya kerja kat hotel tu cuma untuk
sementara saja, takkanlah Diya nak jadi tukang kemas bilik
sepanjang hidup. Saja Diya nak cari pengalaman walaupun
kata orang, kerja tu tidak mencabar,” kata Diya lagi.
“Kalau tidak mengenangkan Si Jamilah tu ada sama,
ayah tak benarkan Diya kerja kat situ. Apa kata orang nanti
kalau mereka tahu anak ayah kerja sebagai pengemas bilik di
hotel sedangkan Diya boleh aje kerja dengan ayah. Berapa pun
gaji Diya nak, ayah sanggup bagi.” Kata Encik Jamaluddin.
“Betul cakap ibu dan ayah tu. Along pun sokong.
Diya ada ijazah dan ada kelayakan, kenapa nak kerja macam
tu?” Amin mencelah. Dia pun tak faham dengan sikap adiknya
itu. Takkanlah dia sanggup kerja sebagai tukang kemas
bilik. Sedangkan urusan di rumah mereka selama ini pun
diuruskan oleh pembantu rumah.
“Kan Diya dah cakap, kerja tu cuma sementara aje.
Mungkin sampai bulan depan kut. Lepas tu Diya akan mohon
kerja lain. Sebelum dapat apa-apa offer, Diya kerjalah dengan
ayah,” kata Diya.
Encik Jamaluddin mengangguk perlahan. Lega
mendengar kata-kata Diya. Bukan hanya Encik Jamaluddin
sahaja yang lega mendengar jawapan Diya, tapi Puan Hasmah
dan Amin juga.
“Ibu… ayah… Maz pergi dulu ya.” Mazni segera
mengangkat punggung dan berjalan ke arah ibu dan ayahnya.
Tangan mereka segera disalami sebelum dia mendapatkan
Diya dan Amin. Tangan Diya dan Amin turut disalami.
“Hati-hati ya,” pesan Puan Hasmah sebelum Mazni
keluar dari rumah untuk ke kelas tambahan.
“Jan nak buat apa hari ni?” tanya Diya kepada adik
angkatnya, Fauzan.
“Tak ada apa-apa. Kenapa Kak Diya?” Fauzan
memandang wajah Diya.
“Sajalah tanya, manalah tahu hari ni Jan nak keluar
jumpa kawan ke…” Diya memandang wajah Fauzan.
“Jan nak duduk kat rumah aje. Nak buat kerja
sekolah. Kalau tak siap nanti cikgu marah,” kata Fauzan.
“Hmm… baguslah. Belajar rajin-rajin. Nanti jadi
orang yang berjaya.” Encik Jamaluddin mengusap perlahan
kepala Fauzan.
Sebenarnya dia gembira kerana kedua anak
angkatnya itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya
dan keluarga. Mazni dan Fauzan anak yang baik dan pandai
menjaga diri. Sejak dia memelihara kedua anak itu, tak
pernah sekali pun orang tuanya datang menjenguk. Encik
Jamaluddin tahu bahawa ada ketikanya mereka rindukan
keluarga. Pernah juga dia mencadangkan untuk membawa
kedua beradik itu berjumpa dengan orang tuanya, tapi Mazni
yang menolak dengan alasan dia tak mahu mengganggu
orang tuanya. Lagipun di sini mereka hidup dengan baik. Tapi
Encik Jamaluddin pernah mendengar perbualan mereka adik
beradik suatu ketika dulu.
“Kak Maz tak rindukan mak dan ayah ke?” tanya
Fauzan.
“Rindu… tapi Kak Maz tak nak jumpa mereka,” kata
Mazni.
“Kenapa?” tanya Fauzan.
“Kak Maz tak sanggup nak lihat keluarga kita hidup
susah. Kalau kita tinggal dengan mak dan ayah, kita akan
lebih membebankan mereka. Di sini, kita dijaga dengan
baik oleh ayah dan ibu. Bila Kak Maz besar nanti, Kak Maz
nak balas budi mak dan ayah kita. Kalau bukan kerana ibu
dan ayah yang jaga kita, Kak Maz pun tak tahu apa nak jadi
dengan kita. Mungkin kita tak bersekolah.” Kata Mazni.
“Tapi kak… Jan rindukan mak dan ayah,” rengek
Fauzan.
“Sampai masanya nanti, kita jumpa mereka. Kak
Maz tahu mak dan ayah juga rindukan kita.” Kata Mazni cuba
memujuk adiknya.
Terdiam Encik Jamaluddin mendengar perbualan
dua beradik itu. Simpatinya kepada mereka melimpah ruah.
Kerana itu juga, dia turut menghulurkan bantuan kepada
orang tua mereka. Setiap bulan dia mengirimkan wang buat
orang tua Mazni dan Fauzan. Encik Jamaluddin tahu, kalau
dia bantu orang susah dan yang memerlukan, Insya-Allah
Allah akan bantu dia di kemudian hari.
“Ayah… jauhnya ayah termenung.” Encik
Jamaluddin terpinga-pinga apabila ditegur oleh Diya.
“Tak adalah.” Dalih Encik Jamaluddin dan segera dia
bangkit dari kerusi.
AMIN MENGHAMPIRI Diya yang sedang membaca akhbar
yang baru dibeli oleh ayahnya sebentar tadi. Diya mengerling
sekilas wajah Amin yang nampak serba salah.
“Apa kena dengan along ni? Macam kucing hilang
anak je?” Diya tergelak kecil.
Amin segera meluku kepala Diya sambil mengetap
bibirnya. Diya menggosok-gosok kepalanya. Tajam matanya
mengerling ke arah alongnya itu.
“Ini mesti ada apa-apa ni.” Diya memandang wajah
abangnya yang tiba-tiba sahaja tersenyum manis semacam,
nampak pelik pada pengamatan Diya.
“Er… Diya tahu kan yang hari ni kawan along nak
datang rumah kita,” kata Amin memulakan bicara.
“Tahu, kan Diya dah dengar tadi. So?” jawab Diya
dengan suara selamba.
“Sebenarnya kawan along tu datang sebab dia nak
tengok Diya,” beritahu Amin.
“Hah! Dia datang sebab nak tengok Diya! Kenapa?”
terlopong mulut Diya sebaik sahaja mendengar kata-kata
alongnya. Bulat matanya memandang wajah Amin yang
duduk tersengih-sengih itu.
“Dia… dia berkenan kat Diya. Dia dah pernah tengok
muka Diya masa dia datang rumah kita hari raya tahun lepas,”
beritahu Amin sambil mencari reaksi pada wajah Diya.
Diya ketawa.
“Apa along ni? Buat lawak pulak. Diya tak pernah
kenal pun kawan along yang mana satu. Lagipun, Diya ni
belum ada mood lagi nak bercintan-cintun ni,” kata Diya tak
mahu ambil kisah dengan kata-kata alongnya itu.
“Along tak paksa, along cuma nak sempurnakan
hajatnya. Along kenal dia dah lama, sejak kami sama-sama
belajar kat overseas dulu. Dia baik, itu sebabnya along
benarkan dia nak jumpa Diya. Lagipun hari ni kan Diya cuti,
dia datang ni semata-mata nak jumpa dengan Diya.” Kata
Amin. Risau juga kalau Diya buat perangai. Mana tahu dia
bersembunyi kat rumah si Jemy tu. Kesian kat kawannya
kalau Diya tak ada nanti.
“Kawan along tu orang mana?” Diya sekadar
bertanya. Kalau dah datang ke sini semata-mata nak jumpa
dengan dia, kesian juga kalau dia menolak. Lagipun sekadar
nak kenal. Tak salah, kan?
“Dia orang KL dan kerja pun kat sana.” Beritahu
Amin.
“Erm… betul ke along nak kenalkan dia dengan Diya
ni?” Diya meminta kepastian.
“Yalah, along tak nak paksa Diya terima, Diya kenalkenallah
dengan dia tu. Kalau Diya suka, Diya boleh teruskan,
tapi… kalau tak suka, along tak boleh nak buat apa. Manalah
tahu kalau dia tu mungkin lelaki yang Diya tunggu selama ni?
I mean… your Mr. Perfect!” Amin tersenyum.
“Amboi, perli nampak? Itu ayat Diya tau. Orang lain
tak boleh ikut.” Kata Diya sambil bercekak pinggang.
Amin ketawa kecil. Selalu sangat dia dengar
ucapan itu. ‘Dia tu bukan Mr. Perfect Diya!’ Itulah jawapan
yang sering keluar dari mulut Diya apabila ada yang nak
berkenalan dengan Diya. Itu memang trademark Diya apabila
dia diperkenalkan dengan seseorang.
“Satu lagi, dia akan bermalam kat rumah kita. Jadi,
jangan buat hal,” kata Amin mengingatkan Diya.
“Hal apa pulak?” Diya mencebik.
“Dia tu kawan baik along tau,” kata Amin.
“So?” Diya mengangkat kening memandang wajah
abangnya.
“Jangan malukan along!”
“Yalah… along rasa dia tu lelaki yang ditakdirkan
untuk Diya ke?”
Amin mengukir senyum membuatkan Diya
mengeluh perlahan.
“Semuanya terserah pada jodoh dan kehendak Diya
kerana dalam hal ni, Diya yang berhak buat keputusan. Ini
melibatkan soal hidup dan masa depan Diya. Apa-apa pun
keputusan Diya, along akan sokong,” kata Amin mengambil
jalan tengah.
Diya mengeluh perlahan. Amin terus berlalu selepas
menyatakan hasrat temannya. Diya menyandarkan badan di
kerusi. Berita yang dibawa oleh abangnya membuatkan Diya
terkenangkan wajah Safwan. Macam mana dia nak jelaskan
semua ni?
‘Betulkah dia lelaki yang akan aku cintai dan hidup
bersamanya hingga ke akhir hayat?’ Diya mengeluh perlahan
sambil memejamkan matanya seketika.

No comments:

Post a Comment