Sunday, 10 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 4

DIYA menggeliat kemalasan. Malas betul nak
bangun dari katil pagi ini. Kalau tidak mengenangkan
rumahnya dikunjungi tetamu, pasti dia menyambung tidurnya
lagi. Sementelah hari ini dia cuti, bolehlah manjakan diri atas
katil. Itulah rutinnya kalau Allah bagi cuti. Tak pernah kisah
pun bebelan ibu, janji dia tidur dengan puas. Biasanya jam
9.00 pagi baru dia bangun. Hari ini terpaksalah bangun awal.
Pantas matanya melirik jam loceng yang menunjukkan pukul
7.00 pagi.
Tuala di ampaian dicapai dan disangkut di lehernya.
Langkahnya diayun ke bilik air untuk mandi. Sebaik sahaja
keluar dari bilik air, ringan pula mulutnya menyanyi-nyanyi
kecil. Terasa segar dan selesanya selepas hampir 25 minit
berada di bilik air. Rambut yang masih basah dilap dengan
tuala. Sebelum itu sempat tangannya menekan suis dan
memasang radio.
“Diya, Diya!” suara Puan Hasmah dari luar
membuatkan nyanyian Diya terhenti.
“Ada apa, ibu?” tanya Diya sebaik sahaja dia muncul
di muka pintu.
“Hmm… dah bangun, ingatkan masih berbungkus
atas katil lagi,” suara Puan Hasmah sedikit terkejut melihat
Diya yang sudah siap mandi.
“Dah… dah siap mandi pun. Kenapa?”
Diya mengukir senyum. Tahu sangat apa yang
difikirkan ibunya. Mesti sekarang ni ibu tak percaya yang dia
dah bangun pagi. Diya menahan gelak melihat wajah ibunya
yang sedikit tercengang itu.
“Pergilah ke dapur, tolong mana-mana yang patut.
Jangan malukan ibu. Kita kan ada tetamu. Malu kalau dia tahu
anak dara masih lagi tak bangun tidur,” kata Puan Hasmah.
“Yalah… Diya tahu. Kejap lagi Diya turun.” Diya
kembali menutup pintu biliknya sebaik sahaja ibunya beredar.
Selepas siap berdandan ala kadar, Diya segera
menuruni tangga dan terus menghala ke ruang dapur. Puan
Hasmah sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk mereka
sekeluarga. Mazni pun ada di situ, turut membantu dengan
membawa hidangan ke meja makan sementara Yanti sibuk
membasuh pinggan mangkuk di singki.
“Assalamualaikum... hmm… apa yang boleh Diya
bantu?” tanya Diya sambil matanya merenung ibunya yang
sudah menjeling semacam. Diya buat muka selamba. Hanya
tayang senyum. Mazni yang berada di situ turut mengukir
senyum.
“Tolong buatkan air, letak atas meja. Kejap lagi kita
nak sarapan.” Arah Puan Hasmah.
“Beres!” ujar Diya. Tangannya lincah mencapai teko
dan membuat milo panas dan diletakkan di atas dulang.
“Buat kopi sekali, ayah kan tak minum milo.” Tegur
Puan Hasmah sebelum sempat Diya membawa dulang itu ke
meja makan.
“Okey.” Diya meletakkan semula dulang dan
membancuh air kopi untuk ayahnya. Selepas itu terus dibawa
ke ruang makan.
Setelah semuanya tersedia di meja makan, macam
biasa, menjadi tugas Diya juga menjemput dan mempelawa
ayah, Amin dan juga tetamu mereka, Aniq ke meja makan.
Di meja makan, Fauzan dan Mazni tak banyak bercakap, Diya
juga begitu. Banyak mendengar apa yang dibualkan antara
keluarganya dan juga Aniq.
Menurut pengiraan Diya, Aniq seorang lelaki yang
baik, peramah dan pandai melayan orang tua. Ibu dan ayah
pun bukan main mesra lagi melayan Aniq macam mereka
dah kenal lama. Kalau nak kira pada wajahnya, dia seorang
lelaki yang tampan. Punya kulit yang putih dan hidung yang
mancung. Kerjayanya juga boleh tahan, sebagai seorang
arkitek di syarikat keluarganya di Kuala Lumpur. Pendek
kata, cukup pakejlah kalau nak dijadikan calon suami.
“Aik, Diya… diam aje. Dah tak ada modal nak cakap.
Biasanya adik along ni yang paling becok sekali mulutnya.
Sekarang dah jadi bisu ke?” usik Amin, tiba-tiba bersuara
membuatkan Diya tersentak. Hilang lamunannya seketika
tadi.
“Kata orang tua-tua, tak elok banyak cakap depan
rezeki,” balas Diya selamba membuatkan Amin hampir
tersedak. Mereka yang lain sudah menayang senyum. Dan
Diya, tetap buat muka selamba. Padan muka. Nak kenakan
dia konon! rungut Diya sambil memandang wajah alongnya
yang mula cemberut. Tahu sangat yang Diya sedang
mengenakannya.
“Kak Diya ni kan dalam training control cun depan
bakal suami, kenalah jaga tutur kata. Betulkan Kak Diya?”
tiba-tiba Mazni mencelah sambil melirik ke arah Diya
membuatkan Diya terbatuk-batuk dan hampir tersedak.
Aniq yang yang berada di hadapannya cepat-cepat
menghulurkan air. Pantas diteguk Diya dengan rakus. Sudah
tak peduli apa yang orang lain pandang.
“Thanks!” ucap Diya dengan muka merah.
“Welcome!” balas Aniq sambil menghadiahkan
senyuman.
“Amboi, adik Kak Diya ni, seronok ya dapat
bersekongkol dengan Abang Amin!” Diya menjeling ke arah
Mazni yang sudah mula rasa bersalah. Mazni dan Fauzan
memang memanggil Amin dengan panggilan Abang Amin,
bukan along sebagaimana gelaran yang Diya panggil.
“Dah betul, mengaku ajelah.” Sambut Encik
Jamaludin sambil tergelak kecil.
“Apa ni, semua orang sedang mengenakan Diya. Tak
adillah macam ni.” Diya sudah bangun sambil mengangkat
pinggan yang masih bersisa membuatkan mereka yang ada di
meja itu mula tercengang.
“Diya!” tegur Puan Hasmah.
“Diya dah kenyang,” Diya terus menuju ke dapur
dengan membawa pinggan kotornya. Mereka yang berada di
meja makan sudah berbalas pandang.
“Usah pedulikan Diya. Rajuk dia kejap aje tu. Lepas
ni baiklah. Makan Aniq, tambah lagi.” Encik Jamaludin
mencelah. Segan pula kepada tetamu apabila mengenangkan
sikap Diya tadi. Tapi apa boleh buat, memang itu sikap Diya.
Cepat sangat merajuk, tapi kalau kena dengan pujukannya,
dia akan lupakan apa yang telah berlaku dengan mudah.

ANIQ MENGATUR langkah ke luar rumah yang menempatkan
ruang rehat untuk keluarga Encik Jamaludin bersantai
terutama waktu petang. Di situ ditempatkan satu set kerusi
besi dan juga buaian. Dari tadi dia tercari-cari kelibat Diya
dan ternyata gadis itu sedang bersantai di situ. Gadis itu
nampak termenung jauh, majalah yang ada di atas ribaannya
dibiarkan terbuka.
“Ehem…” Aniq berdehem, cuba mengambil
perhatian Diya.
Diya berpaling. Dahinya berkerut, mungkin tidak
menyangka yang Aniq akan menghampirinya setelah apa
yang berlaku di meja makan tadi.
“Boleh abang duduk?” pinta Aniq sambil memandang
ke arah kerusi yang kosong di sebelah Diya.
“Duduklah, bukan kena bayar pun,” balas Diya
selamba tanpa memandang wajah Aniq. Dia kembali menatap
majalah di atas ribanya, dan pura-pura sibuk membaca dan
membelek. Sedikit pun tidak peduli kepada lelaki yang berada
di sebelahnya itu.
“Masih merajuk lagi ke?” tegur Aniq dengan hatihati.
Bimbang kalau gadis itu melenting marah dan terus
meninggalkannya keseorangan di situ sedangkan ini satusatunya
peluang yang ada untuk dia mengenali gadis yang
telah berjaya mencuri hatinya sejak pandangan pertama dulu.
“Siapa yang merajuk?” soal Diya masih menjual
mahal. Kasar tangannya membelek setiap helaian majalah di
hadapannya dengan wajah selamba. Nasib baik tak terkoyak
majalah tu dibuatnya.
Aniq mengukir senyum. Tidak kisah dan tak ambil
hati pun dengan perlakuan Diya itu.
“Dalam keadaan merajuk pun Diya tetap nampak
comel, macam malam tadi.” Kata Aniq, sengaja mahu
mencuri perhatian Diya. Serentak itu juga pandangan mata
Diya terus ke muka Aniq. Lelaki itu tetap mengukir senyum.
‘Hai, dari tadi asyik senyum aje. Atau dia terlebih
makan gula… nanti terkena penyakit kencing manis, baru
padan muka!’ getus Diya.
“Baca apa tu?” tanya Aniq sambil panjang lehernya
cuba melihat majalah yang dibaca Diya.
“Baca novel,” balas Diya acuh tak acuh.
“Novel? Abang tak tahu pula yang novel sekarang
ada gambar pelbagai artis. Apa tajuk novel tu ya? Boleh abang
pinjam? Teringin juga nak baca, nampak menarik je.” Aniq
dengan wajah selamba cuba mencuri perhatian Diya lagi.
“Abang Aniq!” bentak Diya tanpa sedar. Geram
kerana dipersendakan lelaki itu.
“Ya. Ada apa, sayang!” balas Aniq dengan senyuman
manis membuatkan Diya terdiam. Terus kaku di situ.
“Hmmm… mudah ya nak buat Diya diam. Apa, Diya
suka dengan panggilan tu ke? Kalau suka, abang akan selalu
panggil Diya dengan panggilan tu. Sayang... so sweet.” Sakat
Aniq sambil tergelak kecil membuatkan wajah Diya sudah
bertukar warna. Badannya kaku tak bergerak. Statik beberapa
saat.
Diya mendengus kasar sambil menahan rasa.
“Auch, sakitlah!” jerit Aniq tiba-tiba sambil
menggosok-gosok bahu apabila Diya memukul bahunya
dengan majalah yang dibacanya tadi.
“Padan muka. Suka sangat usik Diya. Perangai abang
Aniq ni sama dengan perangai along, suka sangat menyakat
Diya. Benci tau!” getus Diya menahan geram.
“Ya ke? Kalau Amin usik Diya sebab dia sayangkan
Diya. Abang pun suka usik Diya, sebab… abang pun sayangkan
Diya.” kata Aniq dengan wajah tenang.
Diya memandang tepat ke wajah lelaki itu. Lelaki itu
turut memandang wajah Diya dengan senyuman.
“Jadi, abang Aniq ni nak jadi abang Diya ke? Macam
along? Bagus juga. Diya akan ada dua orang abang nanti,”
kata Diya sambil memandang wajah Aniq.
“Tak.” Aniq menggeleng kepala membuatkan Diya
kehairanan.
“Tak? Habis tu?” Diya mula keliru. Dahinya mula
berkerut. “Hai, apasal pulak tak… tadi kan Abang Aniq cakap,
Abang Aniq sayangkan Diya macam along sayangkan Diya.”
Diya bersuara lagi.
Aniq mengukir senyum penuh makna.
“Abang tak nak jadi macam along Diya tu. Macam
abang kandung, tapi abang nak jadi abang yang dot… dot…
dot… yang sentiasa ada di sisi Diya di saat Diya memerlukan.
Tak kira siang ataupun malam. Dalam erti kata yang lain,
abang yang paling spesial di hati Diya. Anggaplah kata-kata
ini sebagai satu lamaran daripada abang untuk Diya. Tapi
lamaran ni, tak ada cincin tau. Bila dah betul-betul confirm
nanti, abang akan minta Diya pilih cincin yang mana Diya
suka. Boleh?” jelas Aniq.
“Satu lamaran?” Diya terkejut tiba-tiba.
“Ya... lamaran hati, abang mahu jadi pemilik hati
Diya… dan miliki cinta Diya.” Sahut Aniq sambil mengukir
senyum. Wajah Diya itu dipandang seketika sebelum matanya
memandang pokok-pokok bunga di tepi pagar rumah.
Diya terdiam dan sungguh dia tergamam mendengar
luahan hati lelaki itu. Bukan dia tak faham maksud katakata
itu tapi dia belum bersedia untuk menerima sebarang
komitmen daripada mana-mana lelaki. Bukan sekarang,
tapi… kalau Allah dah tetapkan jodoh untuknya, siapalah dia
untuk menolak ketentuan-Nya.
“Diya...” panggil Aniq dengan nada serius.
“Ya.”
“Diya tahu kan tujuan abang datang ke sini,” kata
Aniq sambil memandang wajah Diya dengan muka serius.
Getar hati Diya dibuatnya.
“Abang datang ke sini semata-mata mahu bertemu
dan mengenali Diya. Abang dah berterus terang tentang
perasaan abang pada Diya dan orang tua Diya. Sekarang,
terpulang pada Diya untuk buat keputusan. Abang tak suka
main-main kalau melibatkan soal hati dan juga soal perasaan
kerana abang tak mahu kecewa. Abang akui, abang kenal
ramai perempuan lain tapi abang tak pernah ada perasaan
pada mereka. Tapi, bila kali pertama abang tengok Diya… hati
abang mula rasa yang Diya akan jadi suri hidup abang. Itu
sebabnya abang ambil keputusan untuk berterus terang pada
Diya tentang perasaan abang walaupun Diya baru aje kenal
abang,” kata Aniq. Wajahnya nampak tenang dan bersahaja
tapi begitu mengharap pengertian daripada Diya.
“Er… Diya faham, tapi tak ke Abang Aniq rasa yang
keputusan ini terlalu mendadak. Memang Diya tak nafikan
yang kita baru aje kenal semalam dan serius… Diya tak kenal
siapa Abang Aniq yang sebenarnya.” Kata Diya dengan raguragu
untuk menerima lamaran tak rasmi itu.
“Ya, betul. Lepas ni, kita akan punya banyak masa
untuk saling kenal antara satu sama lain. Tapi satu perkara
yang Diya perlu tahu…” kata Aniq memandang wajah Diya
yang keliru.
“Apa dia?” tanya Diya.
“Abang sebenarnya dah lama sukakan Diya,” Aniq
berterus terang membuatkan mulut Diya terbuka. Sungguh,
dia benar-benar terkejut.
‘Apa maksud lelaki ni, sudah lama... sedangkan abang
Amin cakap lelaki itu baru melihatnya sekali tahun lepas bila
berkunjung ke rumahnya, macam mana boleh jadi dah lama?’
“Dah lama? Bukan ke Abang Aniq baru tengok Diya
tahun lepas?”
Aniq tergelak kecil.
“Memang betul... tapi yang sebenarnya abang dah
jatuh hati kat Diya masa kali pertama abang tengok gambar
Diya bersama keluarga dalam foto yang abang lihat di UK dulu.
Dari situlah abang dapat mengenali siapa Diya. Tapi sumpah,
selama ini Amin tak pernah tahu yang abang dah lama jatuh
hati pada Diya!” beritahu Aniq bersungguh-sungguh.
Diya terdiam. Dia benar-benar tak menyangka
bahawa lelaki ini sudah lama menaruh hati terhadapnya. Ah!
Rasa dirinya begitu bertuah sekali.
“Abang tak nak desak Diya untuk buat keputusan
sekarang. Ambillah seberapa lama masa yang Diya perlukan.
Abang akan sabar menunggu kerana sayang dan cinta
abang pada Diya tulus dan tak ada tarikh luput. Tapi…
kalau ditakdirkan yang Diya bukan jodoh abang, abang reda
walaupun hati abang akan terluka,” kata Aniq dengan wajah
tenang.
Diya memejamkan mata seketika. Sebetulnya dia
cukup terharu kerana saat ini dirinya dilamar lelaki yang
cukup tampan dan sempurna tapi kenapa hatinya tidak
berdebar-debar menerima lamaran itu? Menatap wajah
itu pun tidak memberi sebarang makna. Hanya sekadar
mengagumi makhluk ciptaan Allah. Sekali lagi Diya
memandang wajah tampan itu. Cuba menenangkan hatinya
dan mencari kebenaran.
DIYA MENARIK nafas seketika sambil memandang
fenomena di langit. Kerlipan bintang yang bertaburan di
dada langit nampak benar-benar mempesonakan. Cantik dan
mendamaikan. Sungguh agung ciptaan Allah Yang Maha
Esa. Bisa mendamaikan hati yang sedang lara dan keresahan
seperti apa yang sedang dialaminya saat ini.
Sudah seminggu kisah tentang lamaran hati itu
berlalu. Ibu dan ayah pun sudah memberi dia peluang
untuk membuat keputusan sama ada menerima Aniq atau
sebaliknya. Amin, alongnya itu pun tak memberi sebarang
komen tapi rasanya dia gembira kalau Diya menerima Aniq
sebagai pasangan hidupnya.
“Apa yang along tahu pasal dia? Dia okey ke tak?”
ujar Diya sambil melabuhkan punggung di tepi katil sebelah
alongnya itu. Ketika itu, Amin baru sahaja pulang daripada
menghantar Aniq di lapangan terbang.
“Seriously… Aniq seorang lelaki dan kawan yang
baik. Mungkin dia juga boleh jadi kekasih dan suami yang
terbaik untuk Diya. Keluarganya pun daripada keturunan
yang berada dan juga terhormat. Dia tu anak tunggal dalam
keluarga tapi dia bukanlah anak manja yang suka bergantung
hidup dengan harta orang tua. Dia lebih suka hidup berdikari,
tak macam anak orang kaya yang lain. Dari paras rupanya,
Diya pun dah tengok sendiri, kan. Dia tu mix blood, mamanya
keturunan Cina dan Inggeris sementara papanya Melayu.
Dia tu miliki darah satu Malaysia tau,” promote Amin
membuatkan Diya tergelak.
“Darah satu Malaysia? Along ni… lawak betul.” Diya
masih lagi tergelak.
“Betullah… semua darah keturunan dia ada. Darah
Melayu, Cina, dan Inggeris… kecuali India. Sebenarnya
dia tu ramai peminat. Masa kami belajar kat UK dulu, ada
saja perempuan yang cuba dekati dia, tapi dia layan mereka
sekadar kawan aje. Tak lebih daripada tu. Abang pun hairan,
perempuan macam manalah yang jadi pilihan dia agaknya.
Tapi ternyata, Diya ialah gadis yang memenuhi ciri-ciri gadis
idaman dia. Tak sangka ya, adik along yang brutal ni hebat.
Berjaya menawan hati prince charming selaku kawan baik
along tu, kan!” kata Amin sambil menggosok-gosok kepala
Diya.
“Apa ni? Main-main gosok kepala Diya pulak! Ingat
Diya ni anak kucing ke apa?” rungut Diya sambil membetulkan
rambutnya yang kusut.
“Yalah… Diya ni macam kitty. Manja tapi suka
merajuk. Inilah satu-satunya adik along yang paling comel
kat dunia ni. Mungkin itu juga sebabnya Aniq tu tertarik kat
Diya. Hmm… baru along perasan kenapa si Aniq tu asyik
tanyakan pasal Diya masa kami belajar dulu. Entah-entah
dah lama dia terpikat kat Diya lepas dia tengok gambar Diya
hari tu.” Sela Amin sambil ketawa kecil membuatkan Diya
menarik muncung panjang.
Kenapalah alongnya ini baru terperasan apa yang
pernah diceritakan oleh Aniq kepadanya. Lambat pick-up
betullah alongnya ni!
“So… sekarang ni along nak suruh Diya terima
kawan along tu la ya?” kata Diya sengaja mahu mengetahui
pendapat alongnya itu.
Amin mengangkat bahunya.
“Hmm… sekali fikir memang bagus dan
gentleman cara dia datang. Terus jumpa ibu dan ayah untuk
menyampaikan hasrat hatinya. Nampak dia ikhlas dan serius.
Jarang ada lelaki yang bersikap macam tu,” akui Diya yang
mengagumi sikap Aniq.
“That’s my friend… my close friend… tapi…
semuanya terpulang pada Diya. Kiranya Aniq tu datang
untuk melamar Diya secara tak rasmi. Along, ibu dan ayah
menerima apa jua keputusan Diya. Ini melibatkan masa
depan Diya, jadi Diya yang berhak membuat keputusan. Kami
akan sokong. Tapi kalau along ni jadi Diya, along terima
aje lamaran hati si Aniq tu. Mana lagi nak cari lelaki yang
handsome macam dia, kan.” Amin beria-ria menyokong.
“Tapi… bukanlah handsome sangat pun si Aniq tu!” tambah
Amin kemudiannya selepas beberapa detik.
“Aik! Sekejap cakap handsome, sekejap cakap tak
handsome. Jadi sebenarnya Abang Aniq tu bawah kategori
yang mana?” tanya Diya kebingungan.
“Erm… handsomelah kalau nak dibandingkan
dengan lelaki lain tapi kalau dibandingkan dengan along
Diya ni… rasanya, along Diya ni lagi handsome!” Amin
mengangkat diri sambil mendabik dada.
“Perghh… perasan tak habis-habis! Masuk lif tekan
sendiri,” Diya menolak bahu abangnya kuat sehinggakan
lelaki itu jatuh tergolek ke bawah. Diya apa lagi… terus
ketawa terbahak-bahak sampai terguling-guling atas katil.
“Ganas betul Diya ni ya. Memang betul-betul brutal.
Entah apalah yang Diya akan buat malam pertama nanti ya?
Mesti patah liuk si Aniq tu Diya kerjakan. Kesian kau Aniq,
dapat isteri brutal macam si Diya ni.” Amin menggeleng
kepala seperti kesal.
“Along… jahatnya!” jerit Diya sambil bangun berdiri
bercekak pinggang. Geram diusik Amin. Kali ini giliran Amin
pula ketawa. Seronok dapat menyakat Diya.
Dendangan lagu ‘I’m in heaven when you kiss
me’ nyanyian ATC berkumandang membuatkan ingatan
Diya tentang perbualannya dengan Amin terus hilang. Diya
bergegas mendapatkan telefonnya. Nama Aniq tertera di
skrin telefon. Diya mengukir senyum sebelum menyambut
panggilan itu. Hampir setengah jam juga mereka berbual di
talian.
Betul kata Amin, Aniq seorang lelaki yang baik.
Orang tuanya turut memberi saranan agar dia mengambil
peluang untuk mengenali lelaki itu. Lagipun lelaki itu tak
kisah kiranya dia tidak memberi jawapan secepat mungkin.
Dan tak salah juga kalau mereka berkawan kerana antara
mereka belum terikat dengan sebarang perhubungan dengan
insan lain.

No comments:

Post a Comment