Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 5

JEMY mendengus kasar, sengaja mahu mengalih
perhatian teman di hadapannya ini. Apa tidaknya, sejak dari
tadi Diya asyik tersengih-sengih sambil melayan telefon.
Begitu khusyuk berbalas SMS. Entah siapa yang begitu tega
melayan temannya ini. Selama ini tak pernah pun dia lihat
teman baiknya ini berSMS sampai lupa hidangan yang ada di
atas meja. Tunggu punya tunggu, sampaikan nasi dan lauk
menjadi sejuk.
“Hai, Diya… sudah-sudahlah tu melayan SMS. Aku
kat depan mata kau ni dah kebulur kelaparan. Kalau aku
makan sekarang, satu kerja pulak aku nak kena temankan
kau nanti,” rungut Jemy. Ingin saja dirampas telefon yang ada
di tangan temannya itu.
“Yalah… kecohlah kau ni!” balas Diya dan segera
memasukkan telefonnya ke dalam beg sandangnya.
“Kau berbalas SMS dengan siapa tadi?” tanya Jemy
ingin tahu, tak puas hati selagi dia tak tahu.
“Pakwe kau ya?” sengaja Jemy memprovoke Diya.
Mana tahu dapat korek rahsia temannya itu. Jemy merenung
wajah Diya yang nampak ceria itu seketika.
“Kau ni dah ada boyfriend ya?” Jemy bersuara lagi.
“Kalau ada… kau jealouslah ya?” Diya menayang
senyum, sengaja nak menyakat Jemy. Bukan dia tak tahu
perangai si Jemy ni.
“Tak adalah… aku tumpang gembira. Selama inikan
kau tunggu lelaki yang kononnya akan jadi Mr. Perfect kau,
dah jumpa ke?” Jemy rasa sedikit teruja.
“Kau rasa?” Diya tetap main tarik tali.
“Kau ni… hesy… benci tau,” Jemy memeluk tubuh
sambil mendengus. Buat-buat merajuk.
“Lelaki mana yang asyik berSMS dengan kau tadi?”
Jemy tetap tak berpuas hati. Perangai Diya lain macam aje.
Asyik senyum dan sengih sambil melayan pesanan ringkas tu.
Selalunya tak macam ni.
“Adalah…” Diya tersenyum-senyum. Masih nak
menyembunyikan hal itu daripada Jemy.
“Adalah… adalah… tapi sampai sekarang tak
nampak pun lubang hidungnya, yang aku nampak sekarang,
cuma lubang hidung kau aje,” kata Jemy mencemuh. Hesy,
tak puas hati betul dia.
“Aku bukannya nak cemburu ke apa ke kalau
kau dah ada teman lelaki merangkap kekasih kau tu. Aku
tumpang gembira. Cuma... aku nak sangat tengok macam
mana rupanya,” kata Jemy.
“Cik Jemy, lelaki yang kau maksudkan tu belum
muncul depan mata aku lagi. Bila dia muncul, aura cinta akan
datang bersamanya. Masa tu aku yakin bahawa dialah cinta
hati yang aku tunggu selama ni,” kata Diya membuatkan
Jemy mencebik. Asyik-asyik itu saja yang selalu diulang oleh
Diya sampaikan dia pun boleh ingat skrip tu.
“Piiirah… naik muak aku dengar, geli pulak taik
telinga aku ni,” kata Jemy sambil menggaru-garu telinganya.
Diya buat-buat tak dengar, dia menggosok-gosok
tangan melihat nasi ayam yang sudah terhidang di hadapan
mereka. Nampak begitu menyelerakan. Jemy mendahului
Diya menikmati hidangan kerana sejak dari tadi perutnya
sudah rancak berlagu.
“Jangan lupa, baca bismillah!” kata Jemy sebaik
sahaja Diya mengangakan mulutnya.
“Ops… bismillahirrahmanirrahiim.” Kemudian
ditambah pula dengan bacaan doa makan. Jemy sudah
menjeling tajam. Nasib baik tak juling matanya.
“Sajalah tu nak kenakan aku balik!” rungut Jemy
apabila menyedari yang dia tak sempat membaca doa makan
tadi. Terus menyuap nasi ke dalam mulut sebaik sahaja selesai
membaca bismillah.
Diya mengangkat keningnya sambil tersenyum.
Berjaya mengenakan Jemy.
“Diya, kau ni sebenarnya dah angau dengan Encik
Safwan ke?” tegur Jemy.
“Eh! Mana ada… aku dah bagi keputusan kat dia.
Aku cakap kat dia yang aku tolak cinta dia,” balas Diya cepatcepat.
Kalau boleh, dia tak mahu dikaitkan dengan lelaki itu
lagi. Makin lama dia tengok, perangai Safwan semakin pelik.
Macam menyimpan perasaan dendam terhadapnya apabila
dia terang-terangan menolak cinta lelaki itu.
“Habis… yang kau beria berbalas SMS tu dengan
siapa? Kawan baru kau ke? Lelaki ke perempuan?” Jemy tetap
mahu mengorek rahsia. Mana boleh dia terlepas. Dia akan
rasa terkilan kalau hal ini tidak diketahui secara terperinci.
“Adalah… tak penting untuk kau tahu,” Diya buat
tak endah. Saja, ingin menduga perasaan Jemy.
“Amboi, berlagaknya. Kau ni kawan aku ke tidak?”
marah Jemy. Geram kerana merasakan Diya sudah tidak
mahu berkongsi dengannya sedangkan selama ini apa sahaja
berita, dia menjadi orang pertama yang tahu.
“Dah merajuklah tu… cengenglah kau ni,” kata Diya
tergelak kecil.
Jemy menarik muka masam.
“Habis… kau macam lupakan aku je. Sedihlah aku,”
Jemy pura-pura berjauh hati.
“Aku dah lama kenal kau. Tak payah nak berlakon
mengalahkan arwah Neng Yatimah pulak. Lepas makan ni
aku cerita kat kau, puas hati!” kata Diya membuatkan wajah
Jemy kembali ceria.
Diya menggeleng kepala. Kenal sangat dengan
perangai si Jemy. Pasti dikoreknya rahsia selagi tidak
diketahui. Boleh jadi rakan kongsi Detective Conan si Jemy
ni!
Selepas makan mereka berehat seketika sebelum
kembali memulakan tugas. Sebelum itu sempat juga Diya
dan Jemy solat zohor di surau pekerja.
“Okey, sekarang line clear. Cuba kau story kat aku,
apa berita terbaru yang aku tak tahu?” gesa Jemy tak sabar
untuk mengetahui perkembangan terbaru Diya.
“Macam ni… minggu lepas kawan along aku datang
rumah. Dia datang sini sebab nak berkenalan dengan aku.”
Diya memulakan intronya.
“Wait… wait… kau kata kawan along kau tu datang
rumah keluarga kau minggu lepas sebab nak berkenalan
dengan kau? Ini bermakna, dah seminggu kau sorokkan
perkara ni dari aku? Sampai hati kau lupakan kawan baik kau
ni ya,” kata Jemy dengan wajah terkilannya.
“Kalau ya pun, takkanlah semua perkara aku nak
beritahu kau. Aku pun perlukan privacy juga. Sesetengah
perkara tak perlulah orang lain tahu. Lagipun setiap orang
pasti punya rahsia, kan?” kata Diya dengan nada memujuk.
“Tapi… aku tak pernah rahsiakan apa-apa pun dari
kau. Semuanya aku cerita kat kau, pasal kucing aku cirit-birit
pun aku cerita kat kau,” sangkal Jemy dengan muka poyonya
itu.
“Kau memang… mulut tempayan merangkap CNN
tak bertauliah!” kata Diya selamba.
Jemy mencebik bibir sambil merenung tajam ke
arah Diya. Sampaikan terherot-herot mulutnya menahan
geram dengan kata-kata Diya itu.
“Aku hanya nak kongsi semua perkara dengan kau.
Kisah suka duka aku. Kau kan sahabat terbaik aku, dunia dan
akhirat.” Jemy segera memeluk erat tubuh Diya.
“Yalah… aku tahu, tapi apa yang aku nak ceritakan
nanti, janganlah kau canang pada semua orang kat hotel ni.
Teruk aku pelangkung kau nanti. Aku tak nak Encik Safwan
dan Cik Zanita tahu pasal hal ni. Kalau mereka tahu, kau orang
pertama yang aku suspect!” kata Diya memberi peringatan.
“Yes, boss!” Jemy mengangkat tangan, tabik berjanji.
Dan akhirnya Diya menceritakan bagaimana dia
berkenalan dengan Aniq dan tidak dilupakan juga tentang
lamaran hati lelaki itu. Sebab apa dinamakan lamaran hati?
Sebab, Aniq mahu dia menerima lelaki itu sebagai kekasihnya
terlebih dahulu. Kenal hati budi masing-masing sebelum
melangkah lebih jauh. Itulah yang dia asyik bergayut malammalam
dan berbalas mesej dengan Aniq tadi.
“Handsome tak si Aniq tu?” tanya Jemy dengan rasa
teruja.
Jemy memandang wajah Diya sambil membuat
analisa tentang kawannya itu. Ramai lelaki yang cuba nak
mendampingi Diya sebagai kawan, dan tak kurang juga
yang berharap akan terpilih sebagai kekasih. Setakat ini, tak
seorang pun yang berjaya menawan hati Diya. Jemy pun tak
faham dengan perangai si Diya ni.
Nak kata memilih sangat pun tak boleh juga, sebab
dia layan dengan baik aje si Jelan yang tiga suku tu apabila
mereka berjumpa di kampung. Si Budin yang tempang pun
dia layan macam kawan baik juga. Dan senang cerita, dia
kawan dengan semua oranglah. Tak kira yang sihat pemikiran
ataupun tidak. Yang kacak atau pun yang jelik. Mungkin
perangainya itu diwarisi daripada Pak Cik Jamaluddin yang
terkenal dengan ramah dan baik hati. Tapi siapalah agaknya
yang menjadi pilihan si Diya ni ya?
“Erm… lelaki tu handsome sangat, mix blood.
Menurut along, familinya orang kaya dan baik. Dia kerja
sebagai arkitek di syarikat papa dia. Kalau nak dibandingkan
dengan si Leman kau tu, memang jauh bezanya. Bak kata
orang, macam langit dengan bumi!” kata Diya dengan wajah
ceria.
“Kau ni… nak bagi statement pun agak-agaklah sikit.
Janganlah melampau-lampau. Sampai bagi perumpamaan
langit dengan bumi. Jauh sangat bezanya tu. Si Leman aku tu
punyalah handsome, kalah Brad Pitt tau!” balas Jemy. Marah
betul dia Diya mengutuk teman lelakinya.
“Bila kau nak kenalkan dia dengan aku? Tak sabarnya
aku nak tengok pakwe kau yang kau kata handsome sangat
tu. Agak-agaknya dia dah penuhi ciri-ciri jejaka idaman kau
tu tak?” Jemy makin teruja. Sungguh dia tak sabar untuk
berkenalan dengan lelaki itu.
“Nantilah aku kenalkan dengan kau. Tapi, aku dan
dia tu baru aje kawan. Aku rasa dia tu bukan pilihan hati
akulah,” kata Diya penuh yakin. Aniq bukanlah lelaki yang
ditunggunya selama ini.
“Habis… sampai bila kau nak tunggu lelaki idaman
kau tu muncul? Kau ingat, semua orang atas dunia ni
sempurna ke? Kau ni… hesy… tak faham aku, memilih
sangat!” getus Jemy dengan rasa terkilan.
Diya mengeluh perlahan.
“Aku bukan memilihlah, Jemy. Aku cuma
mengharapkan lelaki yang aku jumpa tu memberi impact
yang besar buat aku. Pertama kali aku jumpa dia, hati aku
terus terpaut dan berdetak. Berdegup hebat… tak semesti
dia tu kacak, kaya dan bergaya tapi dia mampu buat hati aku
berdebar-debar walaupun dengan hanya pertemuan pertama.
Tapi kalau dia tu kacak, kaya… itu kira bonuslah kan.
Kalau rupa buruk sangat, nak pandang pun tak ada selera
juga. Paling penting sekali, lelaki tu boleh jadi ketua dalam
keluarga, jadi pembimbing untuk aku, bukannya aku yang
kena bimbing dia. Boleh buat keputusan dengan, boleh jadi
imam solat untuk aku dan pandai baca al-Quran dengan elok.
Ciri-ciri lelaki seperti itulah, yang aku cari sebenarnya.” Kata
Diya penuh yakin.
Selama ini tak ada seorang lelaki pun yang mampu
membuatkan hatinya berdetak hebat. Aniq juga tak mampu
walaupun dia akui lelaki itu seorang yang hebat dan kacak.
“Hmm… nampaknya lelaki tu tak berpeluanglah nak
hidup bersama kau,” Jemy mengeluh.
“Aku tak kata macam tu. Aku akan cuba beri peluang
untuk dia dan aku mengenali diri masing-masing. Mana tahu,
satu hari nanti perasaan aku terhadap dia akan berubah. Aku
mula lihat dia sebagai lelaki yang aku dambakan. Hati aku
akan berdebar bila memandangnya... siapa tahu, kan?” kata
Diya melahirkan rasa hati yang entah ke berapa puluh kali,
Jemy rasa dia sendiri pun tak terhitung mendengarnya.
“Aku faham. Aku doakan kau akan jumpa dan dapat
lelaki yang terbaik. Yang mampu buat hidup kau bahagia
hingga ke akhir hayat. Lagipun, kau ni kan kawan baik aku.”
Jemy memeluk erat bahu Diya.
“Aku pun harapkan benda yang sama untuk kau
juga.”
Pintu surau dikuak tiba-tiba membuatkan mereka
berdua tergamam. Jemy mengurut dada, Kak Saliah muncul
di sebalik pintu.
“Ada apa Kak Yah? Kalut semacam je,” tegur Jemy
hairan melihat wanita berusia 40-an itu termengah-mengah
muncul di hadapan mereka.
Kak Saliah segera menghampiri mereka berdua tapi
tumpuannya lebih kepada Diya.
“Cik Zanita cari Diya dan Jemy. Bising-bising, naik
bingit telinga Kak Yah dengar perempuan tu membebel,”
beritahu Kak Saliah.
“Kenapa dia cari kita orang?” tanya Diya kehairanan.
Diya dan Jemy saling berpandangan. Hairan.
“Entah… biasalah perempuan tu. Mungkin Encik
Safwan tak layan dia kut. Itu yang angin satu badan. Dan
kebetulan, Encik Safwan pun tercari-cari Diya masa Kak Yah
nak datang sini,” balas Kak Saliah.
“Perempuan tu, kalau tak menyusahkan hidup kau
tak boleh ke?” rungut Jemy sambil memandang wajah Diya
yang agak terkedu. Ligat otak Diya berfikir, apakah tujuan
Zanita dan Safwan mencarinya.
“Hmm… tak sangka glamour juga aku ni ya.” Diya
menayang sengih.
“Orang cantik macam Diya ni, mestilah glamor.
Jadi rebutan dan renungan lelaki. Itu sebabnya Cik Zanita tu
bengang. Saham dia dah jatuh merudum sejak Diya datang
kerja kat sini,” Kak Saliah tergelak kecil.
“Apalah Kak Yah ni, tak baik tau cakap macam
tu. Kalau Cik Zanita dengar, niaya Diya.” Kata Diya. Tak
senang mendengar kata-kata Kak Saliah walaupun dia turut
mengakuinya.
Zanita bencikan dia sebab ramai orang tertarik
kepadanya. Nak kata dia cantik sangat, taklah. Dia cuma
biasa-biasa aje. Tak naklah bangga diri, nanti Tuhan marah.
Tapi, kecantikan itu kan suatu yang abstrak. Setiap orang ada
pandangannya yang tersendiri. Mungkin, apa yang ada pada
dirinya yang membuatkan dia diminati ramai. Tapi menurut
kata Jemy, renungan mata dan senyuman Diyalah yang
membuatkan ramai lelaki tertarik. Betul ke?
“Dah betul, takkanlah nak cakap bohong atau buatbuat
cerita pulak.” Selamba Kak Saliah membalas.
“Sudahlah… jom kita keluar. Nanti ada sesiapa lagi
yang cari kita kat sini.” Diya mendahului Jemy dan Kak Saliah
keluar dari surau pekerja.
Kak Saliah segera mengatur langkah ke bahagiannya.
Manakala Diya bersama Jemy terus melangkah ke bahagian
mereka. Pasti ada tugasan baru daripada Cik Zanita untuk
Diya.
“Hai Diya, melaram sakan nampak. Awak ingat hotel
ni mak bapak awak punya ke sampai sesuka hati awak aje
nak ke mana-mana?” tegur Cik Zanita sebaik sahaja Diya dan
Jemy masuk ke bahagian mereka.
Ada 10 orang pekerja lain berada di ruangan itu.
Semuanya berpura-pura tak ambil pusing kata-kata Zanita.
Mereka sudah masak benar dengan perangai perempuan tu.
Kalau tak mengutuk dan mengenakan orang, tak senang
hidupnya seharian. Dan yang pasti, Diya menjadi mangsa
utamanya. Sebabnya… sedia maklumlah. Kes cemburu!
“Maaf, Cik Zanita. Saya ke surau tadi, solat. Lagipun,
sebagai orang Islam, itu kan tugas utama kita. Wajib
hukumnya. Aik… takkanlah Cik Zanita tak tahu perkara tu,”
kata Diya buat muka bodoh.
Zanita mengetap bibir.
“Er… sebenarnya… Cik Zanita dah solat ke belum
atau hari ni Cik Zanita cuti?”
Mereka yang lain sudah menahan senyum. Gembira
mendengar jawapan selamba Diya. Cukup berkesan untuk
perempuan seperti Zanita. Apa tidaknya, tengok saja
penampilannya, mengancam habis. Dah tu, dia punya mekap,
mak aih… mengalahkan artis nak buat persembahan kat
pentas. Rambut diwarnakan coklat dan pakai pula pewarna
kuku. Sah ke wuduknya kalau macam tu? Hesy… ramai betul
manusia yang buta hukum agama!
“Awak ni kan…” Zanita mendengus geram. Kalau
boleh, dia ingin memanjangkan bebelan untuk melepaskan
rasa malunya tapi bunyi telefon bimbit mematikan niatnya.
Dia bergerak agak jauh sedikit.
Mereka yang lain sudah bermain mata. Lagi seronok
kalau sesi taklimat ini dipendekkan. Tak adalah telinga
mereka penat mendengar bebelan dan kutukan. Apa tidaknya,
semua kerja orang dia nak kompelin. Macamlah apa yang dia
buat semuanya betul dan sempurna.
“Okey… dengar ni, saya nak buat sedikit rombakan
sebab saya rasa tak adil untuk sesetengah orang. Yalah…
sebab ada antara kamu ni yang rasa dirinya tak ada kerja
sampaikan boleh melepak sana sini tak kira masa. Oleh sebab
itu, saya akan bagi setiap orang tugasan baru dan ada juga
yang masih dengan tugasan yang sama.” Kertas yang berada
di tangannya diagih-agihkan.
Bulat mata Diya memandang senarai tugas yang
berada di tangannya. Kerja makin bertambah. Dia bukan
hanya ditugaskan untuk mengemas bilik tapi juga turut
bertugas di bahagian dobi. Dia ingat kerja kemas bilik ni tak
penat ke? Bukan hanya kemas bilik tapi kena bersih tandas,
siap kena vakum lagi. Dahlah tu bukan hanya kemas satu
bilik aje. Melampau betul perempuan ni. Dahlah, aku kena
buat semua tu seorang diri. Memang tak adil. Cik Zanita ni
memang sengaja nak dera aku!
Diya mengeluh perlahan. Tapi Diya tetap cuba
menahan sabar. Dia tahu, kalau dia kompelin atau melawan,
pasti teruk dia dikenakan lagi oleh perempuan itu.
Pedulikanlah apa yang perempuan tu nak cakap, dia pun
akan kerja di sini hingga akhir bulan ni. Biar perempuan
itu terkejut apabila dia hantar notis berhenti serta merta.
Kalau dikira dan congak, hanya tinggal dua minggu saja lagi.
Bertahan Diya… bertahan...
“Ada sesiapa yang nak buat bantahan?” soal Zanita
sambil matanya memandang wajah Diya. Semua diam.
Akhirnya, Zanita menguntum senyum. Dia berpuas hati
melihat wajah cemberut Diya.
“Baiklah, sekarang semua orang boleh bersurai dan
teruskan kerja masing-masing!” kata Zanita sebelum berlalu
pergi.
“Kau tak nak mengadu dengan Encik Safwan ke
pasal hal ni?” Jemy bersuara.
“Ah! Malaslah. Aku nak pergi kerja, nanti meroyan
pulak perempuan tu kalau dia tengok kita masih ada kat sini,”
kata Diya dan terus melangkah keluar dari ruang itu.
Jemy mula menayang sengih.
Dalam perjalanan untuk membersihkan bilik yang
ditugaskan, Diya ternampak Safwan. Belum pun sempat dia
menyembunyikan diri, lelaki itu terlebih dahulu memanggil
namanya. Dengan rasa sebal, Diya melangkah perlahan ke
arah lelaki itu.
“Ya, Encik Safwan. Ada apa?”
Safwan segera mengukir senyum. Terubat rasa
rindunya terhadap gadis itu. Ralit matanya merenung wajah
Diya yang sudah berada di depan mata.
“Encik Safwan!” kata Diya sambil menggawangkan
tangannya di muka lelaki itu.
“Ops. Sorry!” Safwan termalu sendiri. Segera
bibirnya mengukir senyum sambil tangan kanannya
mengusap perlahan rambutnya yang sedia kemas.
“Ada apa Encik Safwan panggil saya? Kalau tak ada
apa-apa, saya nak teruskan kerja saya.” Kata Diya.
“Boleh saya ambil masa awak sekejap?” mohon
Safwan.
Diya mengetap bibir. Dalam hatinya sudah merungut.
Kalau Cik Zanita tengok dia berborak dengan lelaki itu ni,
masak dia!
“Erm… penting ke?” Diya tak selesa.
“Ya, penting bagi saya.” Wajah Safwan sedikit serius.
“Okey… apa dia?” Diya pura-pura serius.
“Awak tahu kan yang saya dah lama sukakan awak,
sejak hari pertama awak masuk kerja kat sini.” Safwan
memulakan intro.
Diya mula rasa gelisah. Liar matanya melilau sekitar
kawasan itu, nasib baik tak ada orang yang dengar. Hanya
mereka berdua tapi Diya tetap rasa khuatir, bimbang kalau
ada apa-apa yang tidak diingini berlaku.
“Encik Safwan, saya dah jelaskan pada Encik Safwan
tentang perasaan saya. Saya minta maaf kalau saya terpaksa
menolak perasaan Encik Safwan tu. Saya rasa, saya tak layak
untuk Encik Safwan. Saya ni hanya pencuci bilik hotel,
sedangkan Encik Safwan…”
“Ini perasaan saya, Diya. Tak ada kaitan dengan soal
jawatan,” tegas Safwan.
“Saya tahu tapi saya minta maaf. Saya tetap tak boleh
terima,” tegas Diya dengan rasa bersalah.
Safwan terdiam.
“Saya pergi dulu,” kata Diya dan cuba beredar
tapi tangan Safwan sempat memaut tangannya. Agak kuat
pegangan itu membuatkan Diya berkerut. Terasa sakit.
“Sakitlah…” kata Diya sambil cuba melepaskan
tangannya dari genggaman lelaki itu.
“Saya tak akan lepaskan selagi awak tak terima cinta
saya,” kata Safwan tegas membuatkan Diya meronta-ronta
minta tangannya dilepaskan tetapi lelaki itu tetap memegang
tangan Diya dengan kuat.
“Lepaslah, bodoh!” jerit Diya menahan geram. Hah,
kan dah kena sebiji. Agaknya dia kena karate lelaki ini sekali,
baru boleh dia lepaskan diri.
Safwan terkedu mendengar perkataan ‘bodoh’ yang
keluar dari mulut Diya. Dia mengetap bibir sambil merenung
wajah Diya yang masih lagi cuba melepaskan tangannya.
“Kenapa awak tak boleh terima saya? Kenapa awak
tolak cinta saya, Diya?” tanya Safwan dengan wajah kesal.
“Saya tak cintakan Encik Safwan. Itu saja. Encik
Safwan tak boleh desak saya untuk terima cinta Encik
Safwan. Mungkin, cinta Encik Safwan tu untuk perempuan
lain.” Balas Diya.
Akhirnya Safwan melepaskan pegangan tangan Diya.
Diya mengeluh lega sambil menggosok-gosok tangannya
yang sudah merah. Sakit sangat.
“Kenapa cinta saya mesti diberikan untuk perempuan
lain? Awak tak nak terima cinta saya sebab Zanita… atau
awak dah ada orang lain?” gesa Safwan dengan rasa terkilan.
Sungguh, dia terkilan dengan penolakan itu tapi dia juga
berhak untuk tahu apa sebabnya perasaan dia ditolak.
“Tak… sebenarnya, saya tak bersedia untuk ada
sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki ketika ini. Saya
harap Encik Safwan faham, lagipun… Encik Safwan bukanlah
lelaki pilihan saya. Saya betul-betul minta maaf. Saya juga
harap Encik Safwan tak akan ganggu saya lagi.” Kata Diya
cuba memujuk. Risau juga kalau lelaki itu bertindak di luar
batasan. Siapa yang nak jawab nanti?
Safwan mengeluh. Jelas terbayang rasa kecewa
dan terkilan di wajahnya. Dalam hati, dia bertekad untuk
berusaha memenangi hati gadis itu, tapi bagaimana caranya?
Sejak dia putus tunang dua tahun lalu, hatinya mula tawar
untuk bercinta tapi perancangan Allah, tiada siapa yang tahu.
Kini hatinya mula rasa bahagia sejak menatap dan bersemuka
dengan Diya. Selalu saja wajah gadis manis itu terbayang dan
memenuhi ruang matanya setiap kali dia bersendirian.
Bukan dia tak tahu bahawa Zanita akan memusuhi
sesiapa saja gadis cantik yang berada di situ kerana
menganggap mereka itu cabaran untuk dia mendapatkan
dirinya. Dia tak ada hak untuk melarang Zanita menyukainya
tapi soal hati dan perasaan, tak boleh dipaksa. Tapi… antara
dia dan Diya… macam mana ya? Adakah kini dia sedang
memaksa Diya untuk menerimanya? Sudah terang-terangan
Diya menolak cintanya, tapi kenapa hatinya tetap berdegil
mahukan Diya juga. Wahai hati… macam mana caranya
untuk mengawal perasaan ini yang beraja di hati?
“Diya…” bibir Safwan menyebut nama Diya.
“Saya sedang bertugas sekarang. Saya tak nak timbul
apa-apa masalah nanti. Sekali lagi saya minta maaf, saya pergi
dulu,” sebelum sempat mendengar sebarang kata yang keluar
dari mulut Safwan, Diya segera berlalu.
Safwan hanya diam terpaku di situ. Matanya terus
memandang setiap langkah Diya yang semakin menjauh.

No comments:

Post a Comment