Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 6

“DIYA, ada orang nak jumpa kau kat kaunter,”
suara Salmi yang bertugas di kaunter menerjah masuk ke
telinga Diya sebaik sahaja dia menekan skrol warna hijau di
telefon bimbitnya.
“Siapa? Lelaki ke perempuan?” tanya Diya dengan
penuh debaran. Dalam hatinya sudah berdebar hebat. Adakah
Safwan masih mahu menagih cintanya setelah dia berlalu
pergi meninggalkan lelaki itu tanpa sempat mendengar
sebarang ucapan lagi?
“Lelaki,” jelas Salmi.
“Lelaki? Siapa? Kau ni Sal… sengaja buat aku semput
tau,” kata Diya, terdengar gelak Salmi di hujung talian. Pasti
gadis itu seronok dapat membuat hatinya resah begitu.
“Dia tak nak beritahu namanya. Katanya nak buat
surprise untuk kau. Tapi yang pasti, lelaki ni kacak sangat.
Boyfriend kau ya?” suara Salmi kedengaran berbisik. Mungkin
takut tetamu itu mendengar perbualan mereka.
“Aku ni masih single lagi. Kau ni…” rungut Diya
geram.
“Kalau dia bukan boyfriend kau, kau boleh pass
dia kat aku. Aku suka lelaki ni tau, suka sangat!” kata Salmi
kembali dengan nada berbisik.
“Kau ni… dah miang ya. Nanti aku tolong garukan!”
balas Diya menahan tawa.
“Alah Diya… kau datang aje sini. Kesian dia, asyik
tilik muka jam aje. Nak tilik muka kau, bukannya kau ada kat
depan dia. Muka aku ni dia tak nak tilik langsung, pandang
aku pun sipi-sipi aje,” beritahu Salmi.
“Padan dengan muka kau. Gatal sangat nak
menyengih tak bertempat,” tembak Diya bersama gelak kecil.
Seronok dapat mengusik Salmi.
“Kau ni Diya, nak kutuk aku pun agak-agaklah. Dah
kerja aku. Kalau muka masam, nanti pelanggan lari. Aku juga
yang kena bambu dengan pihak hotel. Lagipun senyum kan
satu sedekah, tak kena keluar duit satu sen pun. Lainlah kau,
kedekut nak buat pahala. Tapi Encik Safwan tu tetap sukakan
kau,” balas Salmi mempertahankan diri.
“Ah! Sudah… kau beritahu kat tetamu aku tu, aku
datang kejap lagi. Lima minit. Aku nak siapkan kerja aku
dulu. Thanks, Sal.” Diya segera memutuskan talian.
Dalam diam, Diya membuat telahan. Siapakah lelaki
yang mahu menemuinya? Ah! Tak sabar pula nak tahu. Diya
menggeleng kepala. Timbul rasa bersalah dan kasihan di hati
kecilnya kerana membuat lelaki itu tertunggu-tunggu.
DIYA MENGATUR langkah laju ke arah kaunter, setiap
langkahnya penuh dengan debaran dan hatinya rancak
tertanya-tanya. Langkahnya terhenti betul-betul di hadapan
kaunter. Dari jauh tadi, Salmi dilihatnya tersenyum meleret
sebaik sahaja melihat kelibat Diya. Sempat pula dia menaikkan
kedua-dua keningnya mengalahkan Ziana Zain. Memang satu
geng dengan Jemy. Suka angkat-angkat kening.
“Sal, mana tetamu yang nak jumpa aku tadi?” segera
Diya bertanya, benar-benar tak sabar.
“Hesy… gelojohnya kau, tak sempat nak bagi salam
ke?” sindir Salmi membuatkan Diya termalu sendiri.
“Assalamualaikum. Maaf, boleh saya bertanya…
siapakah gerangannya yang mahu bertemu dengan saya di
sini, wahai Cik Salmi yang cantik manis,” ujar Diya dengan
muka selamba. Salmi yang mendengar tak mampu menahan
tawa, terus melepaskan suaranya.
“Kau ni… buat lawak betul,” kata Salmi sambil
menekan perutnya.
“Padanlah dengan muka kau!” tempelak Diya sambil
menarik muka.
“Yalah… tu ha, yang duduk kat sofa sana tu.
Dari tadi asyik menghadap iPad dia.” Ujar Salmi sambil
memuncungkan mulutnya ke ruangan menunggu yang
menempatkan satu set sofa.
Pandangan Diya segera terarah ke situ. Tak berkelip
matanya memandang lelaki itu. Bukan main khusyuk lagi
menghadap iPadnya, macam tak hiraukan orang lain. Di sofa
itu juga turut diduduki oleh dua orang pengunjung asing,
saling berbual.
“Diya, kau kenal ke lelaki tu?” tiba-tiba Salmi
menyoal dan sekali gus mengejutkan Diya.
Diya terus mengatur langkah ke arah lelaki itu tanpa
menjawab soalan Salmi.
“Ehem…”
Diya cuba menarik perhatian lelaki yang begitu
asyik menyentuh iPadnya. Ternyata dehaman Diya turut
menarik perhatian tetamu lain. Diya sempat menghadiahkan
senyuman buat mereka.
“Diya…” Lelaki yang khusyuk dengan iPadnya
tadi mendongak dan sekali gus mempamerkan senyuman.
Serentak itu juga, dia bangkit dari sofa.
“Maaf, sebab buat Abang Aniq menunggu.” Ujar Diya
dengan rasa bersalah.
“Tak mengapa… abang yang salah sebab tak hubungi
Diya terlebih dulu. Ingatkan nak buat surprise pada Diya.
Diya sihat?”
“Alhamdulillah, sihat.” Balas Diya.
Lelaki itu menyimpan iPad dalam beg sandang yang
ada di sisinya.
“Bila sampai sini?” tanya Diya sambil meneliti
penampilan lelaki itu. T-shirt putih bersama jaket kulit
hitam dan seluar jean, nampak begitu bergaya. Memang kena
dengan orangnya.
“Baru aje. Abang dari airport, terus ke sini. Rindu nak
jumpa Diya.” Ujar lelaki itu membuatkan Diya menundukkan
wajah. Malu. Kakinya menguis-nguis di atas lantai marmar.
“Jom, kita ke kafe. Temankan abang makan,
laparlah!” Lelaki itu mengusap-usap perutnya sambil buat
muka comel. Memang comel pun.
“Yalah… jom!” balas Diya dengan wajah ceria.
Mereka segera jalan beriringan untuk ke kafe.
Salmi mempamerkan senyuman semasa Diya dan lelaki itu
melintasi kaunter.
“Abang Aniq dah beritahu along ke?” tanya Diya
sambil melirik seketika ke wajah Aniq.
“Dah, kejap lagi dia datang. Dia ada pelawa abang
tidur kat rumah Diya,” beritahu Aniq.
“Berapa hari Abang Aniq kat sini?” soal Diya.
“Esok baliklah. Sebenarnya, abang ada kerja kat sini.
Jadi, macam satu peluanglah untuk abang jumpa Diya.” Aniq
mengukir senyum. Gembira dapat menatap wajah Diya.
Sebaik sahaja masuk ke kafe, mereka segera
mendapatkan tempat. Sengaja Aniq memilih tempat yang
agak terlindung dari pandangan pengunjung lain. Ada sedikit
privasi.
“Abang harap, abang tak ganggu kerja Diya.” Aniq
rasa bersalah kerana merasakan kedatangannya tidak kena
dengan masa. Pasti mengganggu masa kerja Diya. Tapi
perasaan rindunya kepada gadis itu membuatkan dia tak
dapat menahan diri.
“Kejap lagi waktu kerja Diya habis, dan Diya pun nak
terus balik rumah.” Beritahu Diya.
Aniq segera memesan makanan. Dia memilih nasi
goreng USA sebagai mengalas perut yang sedari tadi asyik
berkeroncong. Diya hanya memesan minuman, jus oren
menjadi pilihannya.
“Kenapa tak nak makan? Tak sudi makan dengan
abang ke?” Aniq memandang wajah Diya.
“Tak adalah. Diya masih kenyang lagi. Kalau makan
sekarang, malam nanti tak lalu nak makan,” balas Diya.
“Oh, ya ke? Ingatkan diet tadi,” usik Aniq.
“Tak ada maknanya Diya nak diet. Bila rasa lapar,
makan aje. Tak perlu nak tahan perut, buat rugi aje nikmat
yang Allah bagi,” balas Diya membuatkan bibir Aniq mengorak
senyum.
“Diya tak rindu abang ke?” tiba-tiba Aniq bertanya,
serta merta wajah Diya terasa panas.
“Erm…” serba salah pula Diya nak menjawab. Rindu?
Adalah sikit-sikit. Tapi, takkanlah nak berterus terang. Malu.
“Ha… muka Diya dah merah. Betullah tu,” usik Aniq
apabila Diya menundukkan wajahnya.
“Betullah tu apa?” tanya Diya berpura-pura.
“Betullah yang Diya pun rindukan abang,” balas
Aniq sambil memandang wajah Diya. Sekali lagi Diya
menundukkan wajah menyembunyikan perasaan. Aniq
tergelak kecil. Dan kebetulan pula, satu bunyi yang baru
muncul mengganggu perbualan mereka.
“Kejap ya.” Diya mengambil telefonnya dari dalam
poket apabila ada bunyi mesej. Dia tersenyum membaca
mesej itu, segera mesej itu dibalasnya.
“Siapa yang mesej? Bukan main lebar lagi senyuman.
Abang cemburu ni tau.” Aniq bersuara. Sungguh, hatinya
tiba-tiba jadi tak keruan apabila melihat senyuman Diya
sebaik saja membaca mesej itu.
“Kawan.” Beritahu Diya sambil menyimpan semula
telefonnya.
“Kawan? Boyfriend ke?” wajah Aniq mula berubah.
Dah tak ceria seperti tadi.
“Tak adalah… kawan perempuan. Bestfriend Diya.
Kejap lagi dia datang sini.” Beritahu Diya.
Aniq diam. Sedikit senyuman terukir di bibirnya.
Mungkin rasa lega. Dan kebetulan nasi goreng yang dipesan
sampai bersama minuman.
“Nak rasa? Nampak sedap ni,” pelawa Aniq.
“Tak naklah. Diya temankan aje sambil minum.”
Aniq mencapai sudu dan garpu. Nasi goreng itu
disua ke arah Diya.
“Tak naklah. Abang Aniq makanlah.” Diya menolak.
Takkanlah dia nak menerima. Malu kalau orang pandang
dia makan bersuap. Dahlah sekarang ni dia pakai pakaian
pekerja hotel. Apa agaknya akan jadi kalau ada yang melihat
dia bersama Aniq ketika ini. Pasti kecoh. Mintak-mintaklah
tak ada orang yang kenal dia, kecualilah si Jemy yang akan
datang kejap lagi.
“Hmm… sedap. Rugi Diya tak nak makan.” Aniq
nampak begitu selera menikmati nasi goreng itu.
Tidak lama kemudian, muncul Jemy. Dari jauh lagi
sudah ada senyuman di bibirnya.
“Hai, Diya.”
“Duduklah.” Pelawa Diya.
Jemy segera memandang lelaki yang ada bersama
Diya. Dahinya berkerut.
“Eh, bila masa muka along kau bertukar rupa ni?”
Jemy merenung wajah Aniq.
Diya yang melihatnya hampir tergelak. Si Jemy ni
dah boleh lulus screen test nak masuk rancangan lawak.
Sementara Aniq pula nampak blur tapi laju aje dia mengunyah
nasi goreng.
“Kenapa? Nampak lain ke?” soal Diya menahan
gelak. Masih terngiang kata-kata Jemy seketika tadi. Apa
agaknya reaksi Amin kalau dia dengar kata-kata Jemy tadi ya?
Gembira atau marah?
“Aha… kau ni biar betul. Dalam mesej kau cakap…
kau dengan abang kau, berapa orang abang kau sebenarnya
ni?” Jemy nampak bingung.
“Abang Aniq, kenalkan… inilah bestfriend Diya,
Jemy. Tapi nama sebenar kalau nak ikut KPT ialah Jamilah
binti Jali. Mak dan bapak dia panggil dia ni… Milah je,” kata
Diya memperkenalkan kawannya kepada Aniq.
“So, abang nak kena panggil apa ni? Jemy, Jamilah
or Milah?” tanya Aniq dengan lurus bendul. Tapi sebenarnya,
sengaja nak menyakat.
Muka Jemy dah bertukar merah. Pantas jelingan
maut dihadiahkan buat Diya. Diya apa lagi, terus tayang
sengih.
“Panggil dia ni Jemy, kalau panggil Milah, tak
menyahut pulak nanti.” Diya jadi tukang cakap. Aniq
mengangguk perlahan, mulut yang berminyak itu dilap. Dan
tangannya pantas mencapai gelas jus tembikai.
“Ini… siapa ni? Abang kau atau…” Jemy melirik
ke arah Aniq yang nampak santai menikmati minumannya.
Sambil itu sempat dia bermain mata dengan Diya.
“Abang akulah… kau ingat… along aje ke abang
aku?” Diya sengaja nak bermain tarik tali.
“Betul ke ni… atau… abang ‘wanna be’?” usik
Jemy sambil mengukir senyum, penuh makna. Diya mula
menelan liur. Segera matanya bulat dan mulutnya ternganga
memandang wajah Jemy yang sudah tersenyum.
“Hmm… abang suka dengan ungkapan tu. Abang
‘wanna be’,” Aniq turut berkenan dengan usikan Jemy itu.
Kalau betullah jadi, alangkah bahagianya.
“Kenalkan, inilah Abang Aniq, kawan along aku dari
KL. Kan kau juga yang nak kenal. Itu sebabnya aku minta
kau datang sini.” Diya memperkenalkan lelaki yang ada di
hadapannya.
“O… kira jadilah ni,” kata Jemy sambil memandang
wajah Diya dan Aniq silih berganti.
“Kira jadi apa ni?” tanya Diya terpinga-pinga.
“Aik, takkanlah buat-buat lupa pulak. Lamaran
Abang Aniq kau ni la. Tak lama lagi dapatlah aku makan nasi
minyak.” Jemy menaikkan keningnya beberapa kali.
“Jemy! mulut kau tu kan…” Diya membulatkan
mata memberi amaran. Terkejut mendengar kata-kata Jemy.
Sedikit pun dia tak menyangka yang temannya ini boleh
keluarkan ayat begitu. Malunya!
“Alah… terima ajelah lamaran Abang Aniq ni. Kalau
aku, tak payah nak fikir panjang lagi. Dah ada depan mata,
cukup package, handsome, ada kerjaya, kaya, caring and
loving… dan beriman kut.” Promote Jemy.
“Abang Aniq ni dah khatam al-Quran ke belum?”
Jemy mula buat sesi temu duga.
“Khatam al-Quran tau, bukannya khatan… yang
dot… dot… tu ya…” Jemy menyembunyikan senyum
nakalnya.
Sekali lagi mata Diya membulat mendengar ayat
Jemy yang lepas laku. Tak segan-silu bertanya, malah muka
dia selamba badak je. Aniq pula hampir-hampir tersedak.
Terkejut dan mungkin tak menyangka disoal begitu oleh
Jemy.
Aniq tergelak kecil mendengar kata-kata Jemy.
Timbul juga rasa malunya dengan kata-kata itu. Ada ke dia
boleh cakap pasal berkhatan ‘angry bird’ tu… hesy… memang
tak senonoh betul teman Diya ni! Boleh pula dia tanya soalan
sensasi begitu. Kalau orang lain dengar, buat malu aje. Muka
Aniq mula merah. Mukanya nampak serba salah nak jawab.
“Sorrylah. Jangan dilayan sangat Si Jemy ni. Suka
cakap merapu dan meraban.” Diya mencelah. Kesian melihat
muka Aniq yang merah.
“Bertuah kau Diya, ada lelaki kacak macam Abang
Aniq ni sukakan kau. Hah… apa lagi, terima ajelah. Lagipun
betul kata kau, Abang Aniq ni lebih kacak dari si Leman aku tu.
Untung ya, jadi anak kacukan ni.” Jemy memberi cadangan.
Serta merta wajah Leman terbayang di matanya. Leman tak
adalah kacak mana kalau nak dibandingkan dengan Aniq.
Memang betullah kata Diya… macam langit dan bumi.
“Tak adalah… semua manusia sama saja. Kita
patut bersyukur dengan apa yang kita miliki.” Ujar Aniq
membuatkan Diya dan Jemy mengangguk perlahan.
Bersetuju dengan kata-kata itu.
Mereka bertiga keluar dari kafe itu dan menuju ke
lobi. Baru sebentar tadi Amin menghubungi Aniq yang dia
akan sampai sebentar lagi.
“Diya!”
Diya menoleh apabila namanya dipanggil.
“Encik Safwan,” Diya memandang wajah Jemy yang
turut terkejut. Tak sangka yang mereka akan bertemu dengan
lelaki itu di sini. Agaknya lelaki itu mengekorinya.
“Ada apa Encik Safwan?” tanya Diya sebaik sahaja
lelaki itu berada di hadapannya.
Safwan tidak segera menjawab, sebaliknya mata
lelaki itu lebih tertumpu kepada wajah Aniq. ‘Siapa lelaki ini
agaknya, bukan main mesra lagi aku tengok dari tadi!’ bisik
Safwan.
“Siapa tu?” tanya Safwan.
“Er…” Diya serba salah untuk menjawab.
“Ini bakal tunang Diya, Encik Safwan. Tak lama
lagi mereka akan bertunang. Kenapa Encik Safwan?” Jemy
mencelah. Harapnya lepas ni, lelaki itu tak akan mengganggu
Diya lagi. Biarlah dia tahu bahawa pilihan Diya lebih baik dan
lebih hebat.
Safwan terkesima. Matanya terpaku menatap wajah
Diya. Cuba mencari kebenaran di balik kata-kata yang baru
diutarakan Jemy sebentar tadi. Kalau boleh, dia mahu
mendengar suara Diya menafikannya. Tapi nampaknya
hampa. Diya hanya diam. Jadi, betullah bahawa selama ini
Diya sudah ada pilihan. Itu sebabnya dia ditolak.
Safwan memandang Aniq dari atas ke bawah. Lelaki
itu nampak sepadan dengan Diya. Dia akui bahawa lelaki
itu kacak dan nampak hebat. Dia cukup yakin yang dia pasti
kalah dalam merebut hati Diya.
‘Ah, aku tak akan biarkan mereka bersama. Diya akan
jadi milik aku dan akan terus jadi milik aku buat selamanya!’
Entah syaitan mana yang tiba-tiba merasuk fikiran Safwan.
Aniq yang berada di sisi Diya itu dipandang seakan musuh.
“Diya, siapa ni?” tanya Aniq. Dia rasa tak selesa
melihat renungan lelaki itu kepadanya dan juga kepada Diya.
Semacam ada dendam dan rasa tak puas hati. Dia mula rasa
tak selesa dengan situasi itu.
“Kenalkan ini… Encik Safwan… supervisor kat
hotel ni,” beritahu Diya.
Aniq mengangguk perlahan dan menghadiahkan
senyuman. Tapi sayang, senyumannya tidak berbalas. Tangan
yang dihulurkan juga tidak bersambut. Safwan terus berlalu
pergi dengan hati yang panas.
“Lain macam aje supervisor korang tu,” kata Aniq
sambil matanya terus memandang langkah Safwan yang
makin jauh.
“Dia tu dah lama admire dekat Diya ni, tapi Diya yang
tak layan. Itu yang ‘hangin’ semacam aje, tambahan pula bila
dia tengok Abang Aniq bersama Diya. Makin panaslah hati
dia,” kata Jemy membuka lebaran.
Diya menelan liur.
“Ya ke? Nampaknya abang memang ada saingan.”
Aniq tergelak kecil.
“Jangan bimbanglah. Abang Aniq akan menang
tanpa bertanding, Jemy berani jamin… 100%,” Jemy terus
memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.
“Jemy, mulut kau tu… tak boleh diam ke?” marah
Diya. Sebenarnya dia segan apabila isu itu terus dibicarakan.
“Dah betul… tak bolehlah nak nafikan, betul tak
Abang Aniq?” kata Jemy sambil menayang senyum.
Si Jemy ni memang nak kena pelangkung. Tak habishabis
lagi nak berkempen. Bukannya nak masuk pilihan raya.
Aniq apa lagi, terus meleret senyumnya apabila dah ada
penyokong tegar yang tak bergaji ni.
Tak lama kemudian, Amin muncul di situ.
“Diya nak balik dengan along ke?” tanya Amin.
“Taklah… Diya kan bawa motor. Kejap lagi Diya
baliklah.” Jawab Diya.
“Yalah… hati-hati bawa motor tu. Jangan merempit
pulak,” Amin memandang Diya. Bukan dia tak tahu perangai
Diya. Suka sangat bawa motor laju-laju.
“Diya tahulah… along tu penakut sangat
mengalahkan perempuan.” Usik Diya membuatkan Amin
menggelengkan kepala.
“Along balik dulu, kesian kat si Aniq ni, penat.” Kata
Amin mula mengubah tajuk. Malu kalau ada orang dengar
yang dia fobia bawa motor. Muka punyalah macho, badan pula
gagah perkasa, tapi takut nak bawa motor. Kelakarkan…
“Tak adalah penat mana pun, bukannya aku drive.
Aku datang sini naik flight, lebih kurang 45 minit aje pun.”
Kata Aniq.
“Yalah… orang dah lepas jumpa buah hati… pasti
rasa segar dan ceria, betul tak?” usik Amin.
Aniq tersenyum. Segan mendengar usikan itu,
sempat juga matanya melirik ke arah Diya, mencari reaksi.
Diya berpura-pura memandang ke arah lain, mungkin cuba
menyembunyikan rasa hatinya. Biarlah. Tapi yang pasti,
selepas ni dia akan menatap wajah Diya lagi. Seronoknya!

No comments:

Post a Comment