Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 7

SAFWAN mendengus kasar. Tubuhnya dihempas
ke atas kerusi rotan berlapik kusyen yang agak lusuh. Matanya
dipejamkan seketika sambil kakinya dilunjurkan menghala
ke kaca TV yang sedia terpasang.
“Apa kena dengan kau ni Wan? Macam orang kalah
judi aje,” tegur Hazim, teman serumahnya.
“Bukan pasal kalah judi, tapi kalah merebut hati!”
balas Safwan sambil mengeluh kesal. Di matanya masih
terbayang wajah Diya bersama lelaki kacak yang diperkenalkan
sebagai bakal tunangnya. Betul ke lelaki itu akan jadi tunang
Diya? Entah-entah sengaja Jemy nak promote lelaki itu. Muka
Diya pun nampak biasa saja, tapi… mereka nampak sepadan.
Safwan meraup mukanya beberapa kali.
‘Ah, aku tak akan benarkan lelaki itu memiliki
Diya. Diya sepatutnya jadi milik aku.’ Sekali lagi bisikan itu
bergema dalam kotak fikirannya.
“Ini mesti pasal si Diya lagi, kan? Kali ni pasal apa
pulak? Masih menolak cinta kau?” Hazim memandang wajah
Safwan. Bukan dia tak tahu yang Safwan tu minat gila kat
Diya dan yang paling sadis, kenapa Safwan tak boleh terima
hakikat bahawa cintanya telah ditolak mentah-mentah.
Kalau dia ketawa dengan situasi itu, pasti dia akan
terima padahnya. Maklumlah… bila hati dah panas, manusia
akan sanggup buat apa saja. Dia pernah nampak gadis yang
bernama Diya tu beberapa kali, sekali gus merangkap cinta
hati Safwan yang belum jadi. Memang cantik dan lawa
orangnya, dia pun berkenan tapi setakat itu sahaja, tak adalah
sampai nak jatuh hati macam si Safwan.
“Tadi aku jumpa dia dengan seorang mamat ni.
Kata Jemy, itu bakal tunang dia. Tapi, aku tak percayalah
sebab tak ada nampak gaya yang dia orang tu couple.” Safwan
menyatakan apa yang dipandangnya tadi.
“Mamat? Handsome tak mamat tu? Mana handsome
dengan kau?” Hazim mula tunjuk minat.
“Bolehlah tahan,” beritahu Safwan. Takkanlah dia
nak mengaku bahawa lelaki yang bersama Diya tadi amat
kacak, pasti jatuhlah saham dia sebagai lelaki rebutan di
hotel.
“Habis tu?” kata Hazim memandang wajah Safwan.
Macam menarik aje cerita ni.
“Aku bengang betullah. Susah payah aku cuba usyar
si Diya tu dekat dua bulan ni, alih-alih ada lelaki lain yang
muncul. Si Diya pula, macam nak tayang lelaki tu kat aku,
mana aku tak angin satu badan!” Safwan mengetap bibir.
Kotak rokok milik Hazim yang berada atas meja segera
dicapai, dibuka dan dikeluarkan sebatang rokok sebelum
meletakkan semula di atas meja. Lighter yang ada di sebelah
kotak rokok tadi diambil dan dinyalakan. Beberapa saat
kemudian, asap rokok mula berkepul.
“Kau kena terima hakikat yang Diya tu tak akan jadi
milik kau. Si Zanita tu, dah lama tunggu kau. Perempuan tu
pun bukan main cantik dan seksi,” kata Hazim.
“Point utamanya di sini, aku tak minat kat
perempuan tu. Kalau aku minat kat dia, dah lama aku terima
dia. Masalahnya dia yang tak nak faham,” Safwan mendengus.
Rokok yang ada di tangannya disedut lagi.
“Wan, kau sedar tak… apa yang kau cakap tu
sebenarnya terkena kat batang hidung kau sendiri. Si Diya
tu memang dah terang-terangan tak sukakan kau, tapi kau
tetap nak miliki dia. Kau dengan si Zanita tu sama saja. Jadi,
aku kira kau orang berdua, memang sepadanlah untuk hidup
bersama.” Hazim tergelak kecil.
Safwan menjeling tajam ke arah Hazim. Geram
dengan kenyataan itu walaupun ia benar. Rasa berat untuk
terima kenyataan bahawa Diya sudah ada yang lain. Dia perlu
berjuang. Selagi Diya belum sah menjadi isteri lelaki itu, dia
akan tetap ada peluang. Tapi bagaimana caranya? Safwan
menggaru-garu kepala.
“Tak payah nak bebankan kepala otak kau untuk
fikir benda yang tak akan jadi kenyataan. Nanti tak pasalpasal
miring pulak otak kau. Silap hari bulan, kau jadi warga
penduduk kat Tanjung Rambutan. Lagipun, aku rasa kau
patut terima orang yang cintai kau, bukannya kau cintai dia.
Aku tak nak kau menyesal,” nasihat Hazim.
Muka Safwan berubah menjadi tegang. Tajam
matanya merenung wajah Hazim. Hazim menelan liur. Takut
pula nak memandang wajah Safwan. Amat berbeza dengan
Safwan yang dikenali beberapa bulan sebelumnya. Apa sudah
jadi? Dia tersilap cakap ke?
“Aik Wan, kau tak nak solat ke? Takkanlah kau uzur
kut,” Hazim mengubah tajuk perbualan. Risau kalau Safwan
tiba-tiba mengamuk.
“Yalah… kalau ya pun, kau masuklah dulu kat dalam
bilik air tu. Takkanlah kau nak mandi dengan aku pulak,
gelilah…” balas Safwan. Kali ini mukanya sudah kembali
normal dan Hazim menarik nafas lega.
‘Betul jugak tu, takkanlah aku nak mandi dengan
Safwan.Hesy… tak naklah aku!’ Hazim sudah tergelak sambil
menggeleng kepala. Dia terus mengayun langkah ke bilik air
selepas mencapai tuala yang tersidai di dalam biliknya.

No comments:

Post a Comment