Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 8

DIYA berkejaran menuju ke pintu utama hotel
kerana menyedari yang dia sudah kelewatan. Gara-gara
bergayut sampai lewat malamlah, pagi ini dia terbabas.
Kalau bukan kerana ibu mengejutkannya pagi ini, mungkin
sekarang ini dia masih lagi berselimut di atas katil dengan
mata yang cukup kantuk.
Selepas kehadiran Aniq minggu lepas, boleh
dikatakan setiap malam lelaki itu akan menghubunginya dan
mereka terus berbual sampai berjam-jam lamanya. Pelbagai
topik telah dibincangkan oleh mereka. Diya pun tak sangka
yang dia bisa melayan lelaki itu berbual tanpa jemu. Hari
demi hari, dia rasa yang dia mula senang dengan sikap dan
perhatian Aniq terhadapnya. Pernah dia berfikir, patutkah dia
menerima lamaran lelaki itu?
“Ops!” dengan tidak disengajakan Diya merempuh
tubuh seseorang.
“So… sorry.”
Diya kaku berdiri di situ sambil menelan liur. Entah
kenapa hatinya tiba-tiba berdebar saat matanya memandang
wajah lelaki yang dirempuhnya tanpa sengaja itu. Bagaimana
harus dia nyatakan apa yang sedang dialami oleh hatinya
ketika ini. Dup… dap… dup… dap… Diya meletakkan tangan
kanannya di dada. Perlahan-lahan air liur ditelan sambil
matanya terus terpaku menatap wajah lelaki di hadapannya.
Ah, kenapa dengan hati dia ni? Parah… parah…
kenapa tetiba berdebar-debar lain macam ni? Jemy… tolong!
Jerit hati kecil Diya penuh panasaran.
“Cik… cik okey ke?”
Tiba-tiba telinga Diya diganggu dengan pertanyaan
itu. Serta merta Diya tersentak, apa lagi apabila matanya
melihat ada tangan yang terawang-awang di ruang matanya.
Tangan lelaki itu! Malunya… muka Diya sudah bertukar
warna. Tambahan pula telinganya turut menangkap bunyi
halus, ada gelakkan kecil.
Diya memandang sekitar. Ada yang sedang menoleh
ke arahnya, memandangnya dengan pandangan hairan dan
ada juga yang sedang mencebik. Hesy… manusia, pelbagai
ragam.
“Cik okey tak ni?” suara itu sekali lagi menusuk
masuk menerusi cuping telinga Diya.
“Ar… saya okey, saya okey…” Diya menggelabah.
Nak buat reaksi macam mana ni? Dia menggaru-garu kepala
yang tidak gatal.
“Maaf… saya pergi dulu,” Diya rasa itulah jalan
terbaik daripada terus rasa malu yang amat. Dia tergesa-gesa
berlalu pergi. Tidak menghiraukan lelaki itu lagi. Biarlah.
Kalau dia terus di situ, tak mustahil dia akan terkena serangan
jantung atau lebih parah lagi, hati dia akan terus jatuh dan
tergolek sekali. Kalau tak sempat nak kutip, matilah dia!
Siapa yang nak bertanggungjawab nanti?
Diya terus melangkah laju, beg sandang yang berada
di belakangnya tadi dipegang. Dia tak sanggup nak menoleh
lagi, cukup malu. Tapi hati kecilnya tetap meronta. Kalau
boleh, dia mahu bertemu dengan lelaki itu lagi.
“Fuh, lega… nasib baik punch card tak merah.” Diya
mengeluh lega.
“Lambat hari ni,” tegur Marini ketika Diya
memasukkan beg sandangnya dalam kabinet.
“Terbabas tidur.” Selamba Diya menjawab. Dah
memang betul pun. Mengaku ajelah.
“Ini mesti bergayut sampai lewat malam, kan. Tengok
muka pun dah tahu,” kata Marini lagi bersama senyuman.
Matanya terus terpaku pada wajah Diya.
“Ya ke? Ada tulis kat muka Diya ke?” Diya merabaraba
mukanya. Terkejut juga, macam mana Marini boleh
tahu.
Marini tergelak kecil sambil menggelengkan kepala.
“Tak adalah tulis kat muka Diya tu, tapi itukan
sikap orang muda… tengah hot bercintalah, katakan…” kata
Marini sambil tergelak kecil.
“Apalah Kak Rini ni, bila masa pula Diya tengah hot
bercinta ni? Pakwe pun tak ada, nak bercinta apanya?” balas
Diya. “Hesy, Kak Rini ni pandai-pandai aje buat andaian yang
tak betul.” Sambung Diya lagi sambil tergelak kecil.
“Habis tu… si Safwan tu bukan pakwe Diya ke? Dia
pun lambat sampai hari ni,” kata-kata Marini membuatkan
Diya menelan liur. Safwan pun sampai lambat?
“Mana ada, Encik Safwan tu bukan pakwe Diya. Dia
tu kan pakwe Cik Zanita, takkanlah Kak Rini tak tahu,” Diya
menafikan tuduhan itu.
“Ya ke? Bukan ke selama ini dia duk usyar Diya,
bukannya Cik Zanita. Kak Rini tahulah yang Cik Zanita tu
memang syok kat Encik Safwan tapi Encik Safwan tu kan dah
syok kat Diya,” dahi Marini mula berkerut.
“Itu memang betul. Tapi yang tak betulnya, Encik
Safwan tu bukan pakwe Diya. Diya memang tak boleh terima
dia sebab Diya sikit pun tak ada perasaan pada dia. Janganlah
Kak Rini tuduh yang macam-macam pulak, kesian kat Diya
tau.” Jelas Diya dengan harapan isu itu akan dilupakan.
“Maaflah kalau Diya rasa Kak Rini ni menyibuk. Kak
Rini pun cuma dengar cakap-cakap orang je. Tapi kalau dah
begitu kata Diya, Kak Rini gembira. Kak Rini pun tak berapa
berkenan sangat dengan perangai Encik Safwan tu. Kadangkadang
dia okey, kadang-kadang K.O. juga, macam Cik Zanita
tu. Rasanya mereka berdua tu memang sepadan, kan.” Kata
Marini.
“Harap-haraplah lepas ni tak ada gosip pasal Diya
lagi. Diya datang sini nak kerja, nak cari pengalaman,
bukannya nak cari beban.” Kata Diya.
“Hmm… ya tak ya juga. Jomlah… nanti bising pula
mak nenek tu,” kata Marini.
“Mak nenek? Siapa tu?” soal Diya sambil memandang
wajah Marini yang sudah mengukir senyum.
PINTU BILIK dikuak perlahan selepas memasukkan kad.
Diya terus melangkah masuk ke bilik itu sambil menolak
troli berisi alat-alat membersihkan bilik. Serentak kepalanya
menggeleng laju dengan matanya membulat melihat
fenomena di hadapannya.
Sepanjang dia bekerja mengemas bilik di hotel ini,
inilah kali pertama dia melihat situasi bilik yang sangat
teruk. Naik semput nafasnya. Cukup berselerak dengan cadar
yang entah ke mana dan sisa makanan serta minuman yang
bertaburan di merata tempat. Dahsyatnya!
Diya menarik nafas seketika, mengambil mood
untuk meneruskan kerja. Selepas itu lincah tangannya
memulakan kerja membersihkan bilik itu. Sisa makanan
dan minuman dimasukkan ke dalam plastik sampah, begitu
juga dengan sampah sarap yang lain. Cadar yang kotor dan
melorot di bawah katil diambil dan digantikan dengan yang
baharu. Dia juga memastikan bilik air dalam keadaan bersih
sebelum meninggalkan bilik itu.
“Hmm… baru nampak rupa bilik orang.” Diya
mengukir senyum.
Diya menekan-nekan tulang belikatnya yang sakit
dan lenguh-lenguh. Dia terpaksa mengambil masa yang
agak lama membersihkan bilik itu berbanding bilik-bilik
lain. Tinggal seminggu aje lagi dia bekerja di situ. Lepas ni,
bolehlah dia ucap bye bye… kepada semua orang kat sini. Ah,
tak sabarnya rasa.
Usai tugasnya di bilik itu, Diya menolak troli
keluar dan kakinya mula melangkah sambil mulutnya
menyanyi-nyanyi kecil ke bilik lain pula. Tiba-tiba lagu ‘I’m
in love’ berkumandang, membuatkan langkahnya terhenti
dan tangannya pula menyeluk poket bajunya. Telefon bimbit
segera dikeluarkan.
“Helo, Jemy… apa hal kau call aku ni?” Diya terus
bersuara sebaik sahaja melihat nama Jemy tertera di skrin
telefonnya. Sambil itu dia terus menyambung langkah untuk
membersihkan bilik yang lain pula. Tangan kirinya memegang
telefon sementara tangan kanannya terus menolak troli.
“Auch! What the hell are you doing?”
Diya terkejut dan langkahnya terus mati apabila
tiba-tiba telinganya mendengar satu suara merungut dengan
kuat. Telefon yang dipegangnya terlepas sebaik sahaja
matanya terpaku memandang wajah empunya suara itu.
Lelaki tadi!
Diya segera tunduk dan mengutip semula telefon
yang jatuh. Nasib baik tak berkecai telefonnya.
“I’m sorry, saya minta maaf… betul-betul minta
maaf. Saya tak sengaja nak langgar encik.” Punyalah asyik
bergayut sampai tak sedar troli yang dipegangnya merempuh
tetamu hotel itu dan yang paling sadis apabila matanya terus
terpaku pada helaian dan fail yang bertaburan di kaki lelaki
itu.
Diya segera merapati lelaki itu, tangannya lincah
mengutip helaian kertas dan fail di kaki lelaki itu. Lelaki itu
terus berdiri kaku di situ, mungkin dia juga terkejut apabila
Diya terus tunduk dan mengutip kertas-kertasnya.
“Maafkan saya… saya betul-betul tak sengaja langgar
encik tadi,” mohon Diya sambil menyerahkan kertas dan fail
yang dikutipnya itu. Dia menelan liur apabila lelaki itu tidak
bersuara. Aik, bisu ke? Tadi ada suara.
“Encik, ni kertas encik yang terjatuh tadi,” Diya
menghulurkan kertas.
“Oh, terima kasih!” ucap lelaki itu sambil menyambut
huluran Diya. Sedikit senyuman terukir di bibirnya. Hati Diya
mula berdebar.
“Sama-sama.” Balas Diya sambil menghadiahkan
senyuman.
Lelaki itu terus memandang wajah Diya seketika
membuatkan Diya mulai resah. Janganlah lelaki ni buat hal,
atau ugut nak buat laporan kat Puan Khadijah. Naya dia
nanti.
Sekali lagi senyuman terukir di bibir lelaki itu, kali
ini Diya benar-benar tergamam melihat senyuman yang
cukup menawan dan menarik milik lelaki itu. Penampilan
yang cukup bergaya, kemeja putih, bertali leher maroon,
dengan kot dan seluar hitam.
“Cik Nadya...” lelaki itu bersuara selepas memandang
tanda nama di baju Diya.
“Ya, saya.” Diya menjawab perlahan sambil
menundukkan wajahnya dengan dada yang cukup berdebardebar.
Bukan hanya debaran menanti hukuman tapi juga
debaran yang cukup hebat melanda hatinya saat matanya
bertatapan dengan lelaki itu.
Adakah lelaki ini jodoh yang ditunggu-tunggunya
selama ini? Perasaan yang sama seperti yang telah dia
bayangkan sebelum ini. Kalau ya, alangkah bahagianya dia.
Tapi kalau bukan, perlukah dia menunggu lagi?
“Lain kali tolong hati-hati ya bila melangkah dan
berjalan, apatah lagi sambil tolak troli, jangan asyik bergayut
aje. Nasib baik saya yang dilanggar, kalau ada longkang kat
depan… kan niaya Cik Nadya nanti. Bukan hanya sakit aje
yang dapat… tapi malu yang lebih dirasai. Betul tak?” katakata
lelaki itu membuatkan kepala Diya makin menunduk.
Walaupun ketika ini fizikal dia tak sakit, tapi memang,
perasaan malu yang ditanggungnya terasa lebih hebat.
“Er… terima kasih atas nasihat tu. Saya hargainya,
saya pergi dulu.” Tanpa berlengah Diya terus berlalu pergi
sambil menolak troli itu. Harap-harap lepas ni dia tak akan
bertemu lelaki itu lagi. Malu! Tapi debaran di hati… macam
mana?
SHAH TERSENYUM melihat gelagat gadis itu. Nampak
kalut tapi menarik tingkah lakunya. Ini kali kedua mereka
berlanggar hari ini. Sejak perlanggaran pagi tadi, dia
sudah pun cuba mencari-cari wajah itu tapi tak jumpa.
Dan sekarang, wajah manis dan comel itu muncul lagi. Dia
yakin bahawa dia akan bertemu gadis itu lagi. Ada sesuatu
yang menarik tentang gadis itu yang membuatkan bibirnya
mengorak senyum sepanjang pagi.
Shah menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan
kad untuk membuka bilik. Tiba-tiba dia terasa kasutnya
terpijak sesuatu. Kasutnya dikalihkan dan matanya terpaku
menatap sesuatu yang bersinar.
“Rantai leher siapa ni?” Dia tunduk dan tangannya
terus mencapai rantai emas itu.
“Diya?” Terukir nama itu di rantai emas yang ada
dalam genggaman.
“Diya… bukankah… Diya, Nadya… mungkin rantai
ni milik gadis tadi.” Shah menggenggam kemas rantai emas
itu sebelum memasukkannya ke dalam poket baju. Dia akan
mengembalikan rantai ini kepada empunya diri dan inilah
peluang untuk dia bertemu lagi dengan gadis itu.
Shah terus melangkah masuk ke bilik hotel
penginapannya. Punggungnya terus dilabuhkan ke atas katil
empuk. Kot hitam yang dipakainya dibuka dan diletakkan di
atas kerusi. Butang kemeja dibuka satu per satu. Dia terus
merebahkan badannya di katil.
“Ah, selesanya.”
Shah melepas lega. Hampir dua jam dia terpaksa
menghadiri mesyuarat dengan beberapa pihak berkaitan
dengan projek yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Pada
awalnya dia dan Carl yang akan menguruskan mesyuarat di
sini tapi lelaki itu terpaksa membatalkan perjalanan ke sini
di saat-saat akhir kerana terlibat dengan hal lain. Nak cari
pengganti, masa dah suntuk. Jadi terpaksalah dia datang
seorang diri. Dan kalau semua urusannya di sini selesai,
petang esok dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur.
Shah menggagau mencari rantai emas tadi di
poketnya, rantai itu direnung seketika. Saat itu juga wajah
gadis yang bernama Nadya mula terbayang di matanya. Wajah
yang cantik dan menarik. Sudah berpunyakah dia?
Tumpuan mata Shah beralih arah apabila telefonnya
mula berbunyi. Rantai emas yang ada di tangannya diletakkan
ke tepi. Dia mengeluh perlahan saat matanya memandang
nama yang tertera di skrin telefon.
“Helo!” jawabnya malas.
“Hai sayang, you tengah buat apa tu?” suara manja di
talian menusuk ke telinga Shah.
“I tengah rehat, baru selesai meeting. Apa hal you
call I ni, I penat. I nak berehat!” tegas Shah bersuara, malas
nak melayan panggilan itu. Dia rimas setiap kali menerima
panggilan itu.
“I miss you… bila you nak balik KL. I nak jumpa
you, sayang. Dah lama kita tak jumpa tau.”
Shah mencebik, sudah terbayang wajah gadis itu
di hujung talian. Kalau boleh, dia ingin segera mematikan
talian. Dia benar-benar perlukan rehat. Malam esok dia akan
bertolak balik ke KL, jadi kalau boleh dia mahu rehat yang
cukup.
“Hani, nanti I call you balik ya. Sekarang ni I betulbetul
nak rehat, I penat.” kata Shah cuba mengawal perasaan.
“Sayang, you ni kan… sengaja nak mengelak dari I.
Nanti I adukan pada mama you, baru you tahu,” ugut Hanim,
dia mula meradang dengan sikap Shah. Lelaki itu memang
selalu melayannya begini. Cukup dingin.
“You ni… manja tak bertempat. Benda macam ni
pun asyik nak mengadu kat mama I. I rimas betul dengan
sikap you ni. I tak suka diganggu bila I perlukan rehat,” tegas
Shah sambil mengatur langkah ke balkoni hotel. Matanya
kemudiannya terpaku memandang wajah seseorang yang
sedang bergelak tawa dengan rakan sekerjanya. Senyuman
gadis itu benar-benar memikat.
“Sayang… you ni kan…” rengek Hanim, rasa
terkilan dengan sikap Shah.
“Sorry Hani, I’ll call you back.” Shah segera
mematikan talian, tidak peduli apa pun kata-kata Hanim di
hujung talian.

No comments:

Post a Comment