Monday, 11 April 2016

DIA... MR PERFECT AKU! - BAB 9

JEMY begitu asyik bercerita tentang perancangan
bersama teman lelakinya dan Diya pula begitu tekun
mendengar. Diya tumpang gembira mendengar celoteh Jemy
mengenai teman lelakinya itu. Dan kebetulan, baru sebentar
tadi dia mendapat panggilan daripada Aniq, menyatakan
rasa rindunya kepada Diya. Diya yang mendengar mula rasa
bahagia. Mungkin inilah yang dirasai oleh Jemy setiap kali
menerima panggilan telefon daripada Leman. Walau sesibuk
mana pun, Leman akan tetap menghubungi Jemy.
“Diya, aku rasa elok kau terima aje Abang Aniq kau
tu. Sejak dapat panggilan telefon dari dia, kau asyik senyum
memanjang aje. Aku pun naik rimas tengok. Dah macam
orang angau pun ada,” kata Jemy.
“Eh, mana ada. Aku bukan teringatkan Abang Aniq
pun. Aku cuma…” Takkanlah dia nak beritahu tentang
pertemuannya dengan lelaki tadi. Apa kata Jemy nanti,
baru jumpa dah angau. Tapi… bukankah ini yang pernah
dia nyatakan sebelum ini. Lelaki yang ditakdirkan menjadi
jodohnya sudah tiba sekiranya kali pertama mereka bertemu,
lelaki itu bisa membuatkan hatinya berdebar hebat. Ternyata
lelaki tadi telah berjaya mengocakkan hatinya. Perlukah dia
beritahu Jemy… ah, tak perlulah. Mungkin dia aje yang lebih,
lelaki itu tak ada rasa apa-apa pun.
“Hai!”
Diya dan Jemy saling berpandangan. Hati Diya
mula tak keruan melihat wajah lelaki yang sedang berdiri di
hadapan mereka sekarang. Lelaki itu nampak segak dengan
mengenakan t-shirt biru berkolar dan seluar hitam.
“Hai, er… encik ni siapa ya, atau encik perlukan
sebarang bantuan?” Jemy membuka mulut. Pasti lelaki ini
perasan yang mereka memakai uniform pekerja hotel.
“Boleh saya join saudari berdua di sini?” Lelaki
itu meminta kebenaran apabila melihat kedua gadis di
hadapannya nampak resah.
“Ya, boleh saja.” Jemy memberi kebenaran. Matanya
meliar melihat sekitar kolam itu, banyak tempat kosong lain.
Kenapa di sini juga lelaki ini datang menempel?
Lelaki itu terus mengambil tempat duduk di kerusi
berhadapan dengan Diya.
“Aik, yang kau ni… macam ayam berak kapur ni,
kenapa?” Jemy menyiku lengan Diya.
“Mana ada,” Diya kalut menjawab.
“Tak sangka dapat jumpa dengan Cik Nadya kat sini.
Bertuah betul saya dapat jumpa dengan Cik Nadya buat kali
ketiga hari ni. Macam berjodoh pulak kita ya.” Lelaki itu terus
bersuara sambil memandang tepat ke wajah Diya.
Jemy sudah pandang muka Diya lain macam. Macam
ada benda yang disembunyikan Diya.
“Kau kenal ke dengan lelaki ni?” Jemy terus bertanya
tanpa ditahan lagi.
“Aku terlanggar dengan encik ni dua kali hari ni.
Aku… tak sengaja,” beritahu Diya.
“Saya Shahrul. Shahrul Hadi. Panggil aje Shah.”
Shah memperkenalkan diri.
“Saya Nadya, panggil aje Diya dan ini kawan saya,
Jemy.” Diya bersuara.
“Encik Shah buat apa kat sini? Urusan kerja atau
berbulan madu?” Jemy menyoal.
“Ada kerja kat sini, malam esok saya bercadang balik
semula ke KL. Maaflah kalau saya mengganggu kalian berdua
berehat di sini. Sebenarnya saya tak ada kawan kat sini. Saja
datang nak borak-borak. Boleh ke?” Shah bersuara.
“Boleh aje. Encik Shah ni kerja apa ya? Nampak gaya
macam orang business,” Jemy meneliti penampilan Shah.
Ah, bantai aje. Takkanlah dia nak kata nampak gaya macam
penyamun, penyangak, perogol atau kasanova pulak, tak
sesuai.
“Saya kerja dengan papa saya, alah… kerja biasa aje.
Saya dapat tahu, kat sini ada banyak tempat yang menarik.
Sayangkan sebab saya tak lama menginap di sini. Kalau tak,
dapat juga beli buah tangan untuk keluarga.” Kata Shah.
“Lain kali Encik Shah boleh datang lagi. Kami
berdua ni sedia jadi pemandu pelancong, tapi kenalah bayar
perkhidmatan kami tau.” Kata Jemy sambil berlawak.
Shah ketawa kecil.
Sedang mereka asyik berborak, Diya dikejutkan
dengan kemunculan Safwan yang datang dengan wajah
masam mencuka.
“Ada apa Encik Safwan?” tanya Jemy apabila
dilihatnya Diya tak mahu melayan kedatangan lelaki itu.
Safwan menarik nafas seketika. Hatinya panas
melihat wajah Diya yang nampak mesra dan rancak berbual
dengan lelaki kacak di hadapannya. Bukannya dia tak kenal
lelaki itu. Sudah banyak kali lelaki itu berkunjung ke situ atas
urusan perniagaan dan dia bukan calang-calang orangnya.
Setahunya, lelaki ini sukar didekati dan tak pernah melayan
orang biasa, apalagi pekerja hotel yang kerjanya hanya
membersih bilik. Tapi kenapa kali ini dia melihat sesuatu
yang berbeza?
Minggu lepas dia melihat Diya bersama seorang
lelaki yang dikatakan bakal tunangnya dan sekarang dengan
Encik Shah pula. Kenapalah lelaki-lelaki kacak seperti mereka
berdua tu berjaya mendampingi Diya. Dia? Dia pun kacak
juga tapi kenapa sampai sekarang dia tak mampu menarik
perhatian Diya? Ini yang buat dia tak puas hati.
“Puan Khadijah nak jumpa dengan Diya, katanya ada
hal penting.” Ujar Safwan.
“Terima kasih, Encik Safwan. Kejap lagi saya jumpa
dengan Puan Khadijah.” Balas Diya. Dia tahu pasti tentang
urusan kerjanya.
“Saya pergi dulu Encik Shah.” Safwan menghulurkan
tangan untuk bersalaman dengan Shah. Dia terus berlalu
pergi dengan muka serius. Macam bad mood aje.
“Encik Shah, saya terpaksa pergi sekarang. Gembira
dapat kenal dengan encik.” Kata Diya dan terus berlalu pergi.
“Diya, tunggu… saya pun nak ke bilik saya.” Shah
turut mengangkat punggungnya, begitu juga dengan Jemy.
Akhirnya mereka bertiga melangkah masuk ke
perkarangan lobi hotel. Tanpa mereka sedar ada sepasang
mata yang sedang memerhati dengan rasa yang membara.
“Tunggu kau Diya, aku akan hancurkan hidup kau!”
DIYA MENGAJAK Jemy pulang bersamanya setelah mendapat
tahu yang ayah si Jemy tak dapat menjemputnya. Biasanya
Jemy datang dengan motor, tapi katanya tadi motor dia rosak.
“Eh, itu macam Encik Shah.” Jemy bersuara sebelum
mengepit topi keledar di celah ketiaknya.
Diya yang baru saja menghidupkan enjin motor
skuternya terus memandang ke arah lelaki yang dimaksudkan
oleh Jemy. Memang betul, kelihatan Shah sedang menuju
ke sebuah kereta BMW bersama seorang lelaki yang hampir
sebaya dengannya.
“Pedulikan, agaknya dia ada hal tu.” Tingkah Diya
sambil mengambil topi keledar yang dihulurkan oleh Jemy.
“Kau dah jatuh hati dengan dia ek?” Jemy
memandang wajah Diya.
“Eh, mana ada. Kau ni…” Diya segera mengalih
pandang. Bimbang andai Jemy dapat meneka gelodak di
hatinya.
Jemy ketawa kecil.
“Jangan tipu akulah. Tengok muka kau pun aku
dah agak yang Encik Shah tu lelaki yang kau tunggu-tunggu
selama ini,kan?”
Diya menelan liur. Macam mana Jemy boleh buat
tekaan yang tepat ni? Dia ni ahli nujum ke?
“Mengarutlah…” Diya menyembunyikan wajah.
“Muka kau merah lain macam aje masa dia datang
jumpa kau tadi dan aku memang dah agak ada sesuatu yang
kau sorokkan daripada aku. Wajah dan ekspresi muka kau
masa tu lain sangat. Aku boleh nampak ‘sesuatu’ yang tak
pernah kau pamerkan pada mana-mana lelaki sebelum ini,
termasuklah Abang Aniq kau tu.” Kata Jemy lagi.
Diya mengeluh perlahan.
“Kau betul. Aku rasa dialah cinta hati aku. Kau tahu
Jemy, hati aku ni terus berdetak saat aku bertentang mata
dengannya buat kali pertama, kedua dan ketiga. Senang
cerita, hati aku jadi tak keruan setiap kali aku bertemu
dengan dia. Aku rasa… aku memang dah jatuh cinta dengan
dialah, Jemy.” Beritahu Diya.
“Kau yakin ke dengan apa yang kau rasa? Aku tak
nak kau tersalah pilih. Abang Aniq tu sedang menunggu kau
dan kau pula dah jatuh hati dengan lelaki tadi. Aku kesiankan
Abang Aniq tu. Aku rasa Abang Aniq lebih sesuai dengan kau,
Diya.” Kata Jemy.
“Itu perasaan kau, tapi perasaan aku lain. Aku yakin
yang Encik Shah tu jodoh aku,” tegas Diya.
“Macam mana kalau dia tu dah berkahwin, ada
anak isteri? Kan dia ada cakap yang dia nak beli buah tangan
untuk keluarga. Bukankah itu membuktikan bahawa yang
dia tu dah ada tanggungjawab. Kalau bukan berkahwin pun,
mungkin juga dah bertunang atau dah ada kekasih. Takkanlah
orang segak bergaya macam dia tu tak ada pilihan hati. Kau
sanggup nak tanggung risiko ke?” kata Jemy yang kurang
yakin dengan andaian Diya.
“Entahlah… aku pun tak tahu. Lagipun, ini hari
pertama aku jumpa dia dan aku memang tak kenal dia.
Cuma firasat aku mengatakan yang dia tu jodoh aku.
Bukannya Abang Aniq atau pun Encik Safwan,” Diya tetap
mempertahankan apa yang dia rasa sekarang.
“Diya…” Jemy tetap rasa tak sedap hati dengan apa
yang yang dirasai Diya.
“Jemy, lupakan ajelah. Jauh di sudut hati aku, aku
serahkan soal jodoh ni kepada Allah. Kalau Encik Shah tu
jodoh aku, aku terima dan kalau bukan dia jodoh aku, aku
juga terima.” Kata Diya dengan rasa berat hati.
“Tapi hati kecil kau tetap mahukan dia sebagai jodoh
kau, kan?” Jemy memandang wajah Diya.
“Ya, aku akui.” Diya mengaku.
Jemy hanya mampu menggeleng kepala. Walau
apa pun dia tetap mengharapkan kebahagiaan Diya. Kalau
ditakdirkan jodoh Diya dengan Encik Shah, dia tumpang
bahagia. Tapi dia cukup terkilan kerana Aniq bukanlah pilihan
utama Diya.
“Kau tak nak balik ke ni?” tanya Diya mematikan
lamunan Jemy. Cepat-cepat Jemy menyarungkan topi keledar
di kepala dan terus membonceng di belakang Diya yang sudah
pun bersedia untuk bergerak meninggalkan perkarangan
hotel tempat mereka bekerja.
Shah yang memandang mereka tidak jauh dari
tempat letak keretanya hanya mampu menggeleng kepala.
Boleh tahan juga Diya ni bawa motor, sampaikan si Jemy yang
duduk di belakang memegang erat pinggangnya. Tak padan
dengan perempuan, bawa motor mengalahkan pelesit. Nasib
baik tak ada road-block. Kalau tak, tentu akan dapat surat
cinta daripada JPJ.

No comments:

Post a Comment