Thursday, 7 April 2016

ENCIK KUTUB UTARA - BAB 2



Jam dinding sudah menunjukkan hampir pukul dua petang. Aku mengemaskan meja yang sedikit berselerak dengan timbunan fail. Aku mencari fail jernih yang sudah disediakan sejak semalam dan dimasukkan ke dalam beg. Samsung Tablet juga dimasukkan ke dalam beg sebelum aku menutup suis komputer dan beredar dari meja kerjaku.
            “Nuha, jadi ke nak jumpa client tu?” Soal Afiqah sebaik sahaja aku bertembung dengannya di dalam lif.
            “Jadi, ni nak pergi jumpa dia dekat Subang Jaya. Dari minggu lepas buat appointment, hari ni baru dapat jumpa. Kau nak pergi mana pulak ni ? ” Jawabku sambil melihat penampilan Afiqah yang kelihatan kemas.
            “Jumpa client jugak, nak bentang wasiat.” Jawab Afiqah pula.
            “Kalau macam tu, jumpa kau kat rumah nanti lah. Lepas jumpa client yang ni, aku kena pergi pejabat hartanah dekat Putrajaya pulak.” Balasku.
            “Yalah.” Balas Afiqah sebelum kami berpisah ke kereta masing-masing.

*****
Dari firma guaman yang terletak di Shah Alam, aku memandu ke Subang Jaya. Usai memakirkan kereta di tempat parkir yang disediakan, aku mengatur langkah masuk ke dalam bangunan yang reka bentuknya sangat unik dan ekslusif. Nama A To Z terpampang besar di luar. Aku terpinga-pinga seketika sebelum mengatur langkah masuk.
            Yes, miss. May I help you?” Sapa cik penyambut tetamu yang sedang tersenyum manis.
            “Saya ada appointment dengan Mr. Benyamin Ziqri sekarang.” Ujarku sambil sempat menelek jam tangan sendiri. Ada 10 minit lagi sebenarnya.
            “Sebentar ya, cik.”
Aku mengangguk sambil tersenyum. Sambil menunggu cik penyambut tetamu membuat panggilan, mataku meliar ke kawasan sekeliling. Kelihatan pelbagai bentuk rekaan beg tangan, purse, dompet lelaki, kasut dan juga scarves yang ditayangkan dengan kreatif.  Kesemua barang-barang yang dipertontonkan kelihatan sangat ekslusif. Aku agak bangunan ini merupakan headquarter jenama A To Z kerana aku perasan kesemua barangan di sini mempunyai jenama A To Z yang ditampal megah.
            “Cik Nuha Dhamia ya?” Panggil cik penyambut tetamu. Senyuman manis masih tidak lekang dari bibir.
            “Ya, saya.” Jawabku.
            “Encik Benyamin tunggu cik di pejabatnya. Tingkat 3 ya.” Beritahu cik penyambut tetamu sambil menghulurkan guest tag kepada aku.
            “Oh, okey. Terima kasih, ya.” Balasku sambil melemparkan senyuman sebelum bergerak ke lif. Aku masuk ke dalam lif dan menekan butang lif untuk ke tingkat 3.
Sebaik sahaja aku sampai di tingkat 3, aku seolah-olah baru melihat satu lagi pemandangan baru. Kawasan pejabat yang tidak mempunyai banyak bilik dan mempunyai ruang bersaiz besar dengan hiasan dalaman yang berwarna-warni dan ceria. Pelbagai reka bentuk beg tangan dan juga kasut kelihatan di mana-mana sahaja.
            “Cik Nuha kan?” Tegur seorang pekerja lelaki. Aku berpaling ke arahnya dan menangguk. Lelaki ini tersenyum manis.
            “Saya Muiz Hariz, setiausaha Encik Benyamin. Encik Benyamin sedang menunggu Cik Nuha. Sila ikut saya ya.” Ujarnya sopan.
Aku tersenyum dan mengikut langkah lelaki yang berkaca mata ini. Kagum juga aku dengan setiausaha lelaki. Kami berhenti di hadapan sebuah pintu kaca.
            “Sila masuk, Cik Nuha. Encik Benyamin ada di dalam.” Tutur encik setiausaha ini sambil tersenyum lagi.
            “Terima kasih.” Balasku sambil tersenyum juga sebelum melangkah masuk. Bagus betul staf-staf dekat sini, tak lokek langsung dengan senyuman.
Sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik pejabat sederhana besar ini, mataku terus menangkap almari kaca yang mempamerkan deretan beg tangan dan juga kasut. Aku melemparkan pandangan ke arah kerusi kerja kulit yang kosong. Eh, mana orangnya? Aku bergerak ke arah sofa kulit berangkai tiga.
            “Oh, mak!” Aku sudah terjerit kecil melihat ada sekujur tubuh yang sedang berbaring di atas sofa tersebut.
Dek kerana jeritan kecilku, lelaki yang sedang tidur ini sudah terbangun. Sepasang matanya terbuka sambil merenung wajahku dengan tajam. Tiba-tiba aku terasa kecut perut. Betul ke ini bilik pejabat Encik Benyamin Ziqri? Lelaki yang kemas dengan kemeja lengan panjang ungu gelap dan digayakan dengan vest hitam, sudah duduk menghadapku.
            Who are you?” Soal lelaki ini. Anak matanya memang betul-betul tajam, umpama hari-hari kerjanya menelan bilah pedang.
            Nuha Dhamia from Luthfi Akmal & Advocates. I am here to discuss on the trust agreement with Mr Benyamin Ziqri.” Jawabku tenang. Aku sempat tersenyum. Senyum Nuha, senyum. Tak ada tanggalnya gigi kau kalau tersenyum.
            I am Benyamin Ziqri. Please have a seat.” Ujar Benyamin dan berlalu ke kerusi kerja kulit yang dibiarkan kosong sebentar tadi.
            Thank you.” Aku melabuhkan duduk di hadapan Benyamin. Mudanya mamat yang kat depan aku ni. Memanglah, baru nak masuk umur 25 tahun tapi aku agak dia bukan calang-calang orang dalam bangunan besar ini.
            Cik Nuha, right?” Soal Benyamin. Aku angguk. Senyum lagi.
            You graduate dari law school mana?” Soal Benyamin lagi.
            Pardon me, sir?” Soalku agak terkejut. Kenapa sekarang ni aku rasa aku macam tengah hadiri sesi temu duga kerja dengan encik dekat depan aku ni. Encik yang sedari tadi macam tak reti nak senyum.
            You grad dari law school mana?” Soal Benyamin sekali lagi.
            “UIAM.” Jawabku.
            “UIAM?”
            “Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.”
Lelaki di hadapanku ini terdiam sebentar tetapi masih menelek wajahku. Dekat muka aku ni ada apa benda sampai dia tak habis-habis tenung. Aku sangat pasti mata aku ada dua sahaja, bukannya satu atau pun tiga.
            “Umur?”
            Turning 26 years old this year.”
            “Dah berapa lama kerja dengan law firm yang current ni?”
            Straight after grad, nak masuk 3 tahun this year.”
            I wonder macam mana my late parents boleh pilih you untuk handle their trust agreement.”
Aku masih menghulurkan senyuman sambil berpesan kepada diri sendiri supaya banyak bersabar. Inhale, exhale, inhale, exhale.
            Mr Benyamin, sorry to interrupt your interview session. Saya rasa encik tahu yang saya datang sini untuk review balik trust agreement arwah ibu bapa encik dan bukannya datang untuk sesi temu duga kerja. Saya harap kita boleh terus ke topik utama perjumpaan kita hari ini.” Ujarku lembut tetapi tegas. Aku masih tersenyum lagi. Tuan Luthfi pernah pesan, cuba untuk tangani seribu satu perangai klien dengan professional, dengan berhemah. Jangan pulak macam Mak Jemah!
Benyamin senyap. Wajahnya kelihatan merah. Aku tidak pasti sama ada dia menahan marah atau menahan malu. Malas aku nak fikir. Yang penting, aku kena jalaskan tugas aku sebagai trustee atau pemegang amanah aset arwah Tan Sri Zakaria dan arwah Puan Seri Adelia.
            “Seperti yang diamanahkan oleh arwah Tan Sri Zakaria sejak tiga tahun yang lepas, segala aset yang diamanahkan oleh settlor iaitu arwah Tan Sri Zakaria kepada saya selaku trustee akan diserahkan kepada Encik Benyamin Ziqri Zakaria selaku beneficiary. Jumlah aset yang telah diamanahkan kepada saya akan diserahkan sepenuhnya kepada Encik Benyamin sebaik sahaja encik mencapai umur 25 tahun.” Terangku sambil memerhatikan reaksi Benyamin yang ralit meneliti kertas perjanjian yang dipanggil ‘trust deed’ yang kuserahkan kepadanya sebentar tadi.
Peneranganku terhenti sebentar apabila encik setiausaha tadi masuk dengan menatang dulang yang berisi dua cawan air kopi. Aku sempat mengucapkan terima kasih sebelum dia berlalu.
            “Namun begitu, sekiranya Encik Benyamin Ziqri meninggal dunia sebelum atau selepas mencapai umur 25 tahun, segala aset akan dipindahkan hak milik kepada isteri dan anak-anak Encik Benyamin sekiranya Encik Benyamin telah berkahwin. Sekiranya belum berkahwin, aset akan dipindahkan kepada Encik Zamir, adik lelaki arwah Tan Sri Zakaria secara sepenuhnya. Sekiranya Encik Zamir juga meninggal dunia, aset akan dipindahkan hak milik kepada keluarga Encik Zamir.” Terangku lagi.
            “Kenapa baru sekarang you datang jumpa I and inform pasal trust ni?” Soal Benyamin dengan dahi yang berkerut. Wajahku dipandang tepat.
            “Saya diminta untuk memaklumkan tentang ini kepada encik selewat-lewatnya tiga bulan sebelum tarikh hari jadi encik. Encik boleh rujuk dalam trust deed tu. Selain itu, segala transaksi urusan berkaitan dengan aset yang diamanahkan kepada saya contohnya pembayaran zakat, saya lampirkan juga bersama-sama dengan trust deed itu.’’ Jawabku sambil tersenyum.
Benyamin kelihatan meneliti helaian kertas putih yang bercetak itu. Dia masih mendiamkan diri.
            You akan maklumkan benda yang sama pada my uncle ke?” Soal Benyamin.
            “Maksud encik, Encik Zamir ke?” Soalku.
Benyamin angguk. Masih tiada senyuman.
            “Ya, saya perlu berbuat demikian kerana Encik Zamir dan ahli keluarganya juga merupakan potential beneficiaries amanah ini.” Jawabku sambil tersenyum. Biarlah, kalau mamat kat depan aku ni susah sangat nak tersenyum, biar aku jelah yang tersenyum sepenuh masa.
            “Bila you nak jumpa dorang?” Soal Benyamin lagi.
            “Hari ini juga. Saya ada appointment dengan Encik Zamir at 3.30 p.m.” Jawabku.
Benyamin kelihatan menganggukkan kepalanya tetapi dahinya masih berkerut.
            “Encik ada apa-apa lagi soalan? Ataupun perlukan lebih penerangan mengenai trust arwah ayah encik ini ?’’ Soalku pula.
            So far so good, thank you.”
            “Kalau macam tu, saya akan datang jumpa encik semula on 25th June ini, which will be your birthday untuk tandatangan a few documents sebelum saya serahkan sepenuhnya amanah ini.” Wajah Benyamin yang masih tidak beriak itu kupandang sekilas.
            “Yalah, but you inform my secretary a week earlier.”
            Alright, will do. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”
            “Sekejap !’’
Aku yang mahu keluar dari bilik pejabat itu tidak jadi untuk membuka pintu. Aku berpaling memandang Benyamin yang masih duduk di kerusinya.
            Thank you, ‘kakak’.” Ucap Benyamin dengan suaranya ditekankan pada perkataan ‘kakak’ itu.
Aku sudah terkebil-kebil. Budak ni kan!









No comments:

Post a Comment