Friday, 8 April 2016

MAWAR - MAWAR CINTA - BAB 1


FARA dan Sara saling berpandangan. Mereka
hanya mendengar sahaja luahan hati Zara yang begitu kecewa
kerana cintanya putus di tengah jalan untuk sekian kalinya.
Hakikatnya, mereka sebenarnya langsung tak faham dengan
apa yang diomelkan oleh adik mereka pada ketika ini. Mana
tidaknya, Zara menangis teresak-esak dengan hidung yang
sudah berhingus, sehinggakan suaranya juga bertukar sengau.
Ala-ala Kak Nita gitu.
Sehelai lagi tisu dicapai. Hingus yang semakin
banyak membuatkan dia jadi kurang selesa untuk meneruskan
bicaranya. Air mata pula mengalir deras. Semua ini gara-gara
hatinya yang patah akibat cintanya yang putus di tengah jalan.
Sebelum dia datang ke rumah angahnya petang tadi, dia
sempat bertanyakan pasal Abang Yusri. Kalau suami kesayangan
angahnya itu ada di rumah, memang Zara tak akan datang
untuk sesi luahan perasaan. Segan pula menangis bagai anak
kecil walaupun abang iparnya itu seorang yang sporting sama
seperti Abang Rezza, suami along. Memandangkan Abang Yusri
baru tiga bulan menjadi abang iparnya yang sah, jadi perasaan
segannya kepada lelaki itu masih lagi menebal. Tunggulah dua
tiga bulan lagi, sah dia tak akan sesegan sekarang. Entah-entah
boleh jadi kamceng macam mana dia kamceng dengan Abang
Rezza.
Bila saja Sara memberitahu yang suaminya itu tidak
ada di rumah kerana sedang mengikuti kursus di Singapura
selama satu minggu, laju saja Zara datang bertandang ke sini
untuk sesi luahan rasa hati. Dalam perjalanan, sempat juga
dia menghubungi alongnya untuk turut serta dalam luahan
perasaannya ini. Biarlah along dengan angah menjadi saksi
betapa retak hatinya ketika ini dek ditinggalkan kekasih hati.
Huhuhuuu…
Bukannya dia tak boleh nak berkongsi cerita dekat
Wanie, sahabat baiknya sejak dari zaman sekolah menengah
itu. Tetapi… dia malu pulak asyik nak mengadu kisah cinta
yang kecundang kepada Wanie. Nanti apa pulak kata Wanie. Tak
pasal-pasal kena ceramah free daripada perempuan sorang tu.
Sejak dari awal lagi Wanie memang tak berkenan dengan Ajib.
Kata Wanie, Ajib itu mata keranjang. Ah… Wanie, sahabatnya
itu dua kali lima saja dengan alongnya. Suka berprasangka
buruk terhadap Ajib.
Lagipun tentu Wanie juga bosan asyik mendengar
kisah cintanya yang tak pernah ada kesudahan. Dari mula dia
berkawan dengan Wanie, dia selalu mengadu kisah cintanya
kepada gadis itu. Jadi jalan terbaik adalah dengan meluahkan
kelukakan ini kepada along dan angahnya pula. Dia tak sanggup
nak dengar bebelan Cik Nur Hawanie lagi.
Nak libatkan Cikgu Muhammad Zainal dan Puan
Inara? Dia memang tak sanggup. Angkat tangan awal-awal. Dia
tak nak libatkan abah dan uminya dalam hal cintanya. Karang
tak pasal-pasal, umi suruh Zara mandi bunga pula kerana sudah
kerap sangat dia putus cinta.
Ayit dan Anna langsung tidak mengendahkan tangisan
Acu mereka yang bergema memenuhi ruang tamu rumah angah
mereka itu. Dengan rasa seronok mereka berdua kelihatan
begitu sibuk mewarna buku ‘Mari Mewarna’ yang baru dibeli
oleh mummy mereka sebelum mereka datang ke sini tadi.
Sambil-sambil itu, Ayit mengambil kesempatan yang ada ini
untuk menyakat Anna dengan mengambil krayon adiknya itu
lalu dimasukkan ke dalam kotak krayonnya pula.
“Sudah-sudahlah menangis tu, dik. Tak guna adik nak
menangis beria-ia. Benda dah jadi… nak buat macam mana?
Anggap ajelah takde jodoh antara adik dengan Ajib. Lagipun
buat apa adik nak frust menonggeng sangat? Ajib tu bukannya
hensem mana pun along tengok. Kurus macam cicak kobeng!
Itu pun adik nak sangat. Adik ni cantik, boleh dapat yang lagi
hensem daripada si Ajib tu. Sekali adik petik jari, sepuluh yang
beratur nak tawan hati adik tau.”
Kata anak perempuan Cikgu Muhammad Zainal yang
berjiwa brutal... tapi bila dah putus cinta macam ini terus jiwa
brutal Cik Zara Dania jadi jiwa lara. Jiwa brutal apa namanya
tu jika hal sekecil ini pun boleh buat Zara menangis bagai
kematian suami.
Sememangnya, dari dulu lagi Fara menentang habishabisan
bila Zara sering menyebut pasal Ajib dan sering
memuji-muji Ajib yang kononnya baik itu. Tapi biasalah Zara
ni… mana nak dengar kata sangat. Jika hati sudah sayang,
segala keburukan Ajib memang dia tak nampak. Apatah lagi Ajib
itu adalah pujaan hatinya.
Entah apalah yang Zara pandang sangat dekat Ajib tu.
Sampai kecewa sangat dia bila ibu bapa Ajib hendak menjodohkan
Ajib dengan wanita lain. Lagipun, Zara bukannya tak cantik.
Adiknya yang seorang ini wajahnya boleh dikategorikan sebagai
gadis comel. Cantiklah tu! Tapi si Ajib yang kurus itu jugaklah
yang adiknya tergila-gilakan sangat. Tak faham sungguh! Nak
kata buta, tak jugak. Nak kata rabun, mungkin ya... kut.
Namun ini bukanlah bermakna Fara ni seorang yang
memandang rupa paras semata-mata. Cuma… sebagai seorang
kakak, dia memang ‘kureng’ berkenan adiknya mempunyai
hubungan istimewa dengan Ajib. Dari hari pertama dia kenal
Ajib dan daripada cerita-cerita adiknya itu, dia seolah-olah sudah
dapat menjangka lelaki jenis bagaimanakah Ajib ini. Ternyata,
telahannya memang tepat. Ajib itu memang kaki perempuan.
Tak padan dengan badan yang sekeping. Itu pun nak berlagak
jadi buaya jadian juga.
Zara mengangkat muka. Wajah kakaknya dipandang.
Biarpun dia dah putus cinta dengan Ajib, tapi dia tak naklah
alongnya mencaci Ajib sedemikian rupa. Ajib memang kurus.
Tapi bagi Zara, Ajib tetap menawan. Badannya yang kurus itu
langsung tidak cacat pada pandangan Zara. Ajib tetap memikat
dan memukau.
“Along senanglah cakap. Bukan kena kat batang
hidung along, tapi kena kat orang ni. Orang taulah Ajib tu tak
sehensem dan setegap macam Rahman Stephen Hudges hero
Hikayat Merong Mahawangsa yang along minat sakan tu. Tapi
bagi orang itu semua tak penting langsung. Yang penting hati
dan perasaan orang dekat Ajib. Orang sayang sangat kat Ajib.
Orang tak boleh nak teruskan hari-hari orang tanpa Ajib.”
Poyolah Zara! Ajib dah biarkan dia berendam air mata
pun, masih lagi nak mempertahankan Ajib depan alongnya.
Nampak sangat yang dia ni sudah terkena ‘mandrem’ si Ajib.
Fara mendengus. Mahu rasanya dia meluku kepala adiknya
yang seorang itu. Bagi betul sikit. Jangan nak mereng sangat
kerana si Ajib.
“Banyaklah adik punya hati dan perasaan! Sayang
sangat konon! Sebab hati dan perasaan adik yang buta itulah
Ajib senang-senang tinggalkan adik.”
“Dia bukan sengaja tinggalkan orang. Dia terpaksa ikut
kemahuan orang tua dia.”
“Hah… itulah! Percaya sangat cakap Ajib tu. Entahentah,
dia bukan terpaksa pun tapi memang dia dah ada kekasih
lain. Itu pun adik masih nak menangkan dia lagi? Sedar
sedarlah sikit adik oi… kalau orang dah tak suka, jangan kita
nak terhegeh-hegeh. Malulah sikit. Mana maruah adik sebagai
seorang perempuan. Menagih simpati kepada orang yang dah
tinggalkan kita? Kalau alonglah jadi adik… jangan harap nak
menangis. Along akan buktikan dekat dia yang along boleh cari
lelaki berganda-ganda lagi baik daripada dia. Biar terbeliak biji
mata si Ajib tu. Adik janganlah jadi bodoh sangat sebab si kurus
cekeding tu. Buka minda tu sikit. Nama aje belajar tinggi-tinggi
sampai universiti. Tapi otak sempit! Mudah sangat percaya pada
cinta lelaki macam tu!” Nada Fara sudah berubah. Perasaan
geramnya kepada Zara semakin menebal. Inilah perangai Zara
yang paling buat dia bengang!
“Along ni… orang suruh along datang rumah angah ni
sebab nak mengadu dekat along dengan angah. Bukannya nak
dengar along marahkan orang sampai macam ni sekali. Orang
dahlah tengah kecewa, jiwa merana, hati patah ditinggalkan
kekasih. Konon nak berkongsi cerita duka orang ni dekat
kakak-kakak orang, tapi along marah-marah pulak. Langsung
tak bagi sokongan moral kat orang. Kalau tahu macam ni…
baik orang tak payah nak mengadu.” Semakin lirih suara Zara
bila alongnya sudah meninggikan suara. Siap cakap dia berotak
sempit lagi...
Sebab itulah selama ini dia banyak berkongsi rahsia
hati dengan angah berbanding along yang garang macam
singa betina. Pemikiran along ni macam orang tua-tua. Kolot!
Sedangkan alongnya baru saja berusia dua puluh sembilan
tahun. Belum masuk pun ke angka tiga puluh.
Huk eleh… sentaplah Zara! Poyo semacam aje dia
malam ni. Macamlah ini baru kali pertama Zara putus cinta.
Masuk kes Ajib ni, entah sudah berapa kali dia putus cinta.
Bercinta tak pernah kekal lama.
Namun dalam ramai-ramai teman lelaki Zara, kira
hubungan dengan Ajib yang bertahan lama sedikit. Satu
tahun dua bulan! Pasal tu la Zara menangis bagai gila bila Ajib
memutuskan hubungan mereka dan bakal mendirikan rumah
tangga dengan gadis pilihan ibu bapanya.
Mengenangkan itu, hati Fara cepat aje mahu mendidih.
Kali ini dia mahu cuci telinga adiknya itu bersih-bersih. Biar
adiknya itu sedar yang selama ini teman-teman lelakinya semua
tak boleh pakai. Semua perangai buaya dan tak ubah seperti
hantu raya!
“Saper kata along tak bagi sokongan moral dekat adik?
Dah berbuih mulut along nasihatkan adik tapi adik tu yang
langsung tak nak dengar nasihat along. Asyik sangat dengan
cinta hati adik si Ajib tu. Ajib yang tersayanglah katakan!
Tengok sekarang apa dah jadi? Dia tinggalkan adik macam tu
aje. Langsung tak fikir hati dan perasaan adik yang kononkononnya
terlebih perisa sayang tu.” Tempelak Fara lagi. Suara
Zara yang lirih itu langsung tidak menyentuh jiwanya. Malah dia
rasa panas hati dengan ‘kebodohan’ adiknya itu yang menangisi
perpisahan dengan Ajib. Macamlah mamat tu special sangat!
“Adik ni memang bodoh! Lelaki tu dah tak suka pun
masih nak menangis beria-ia. Along geram benarlah dengan
adik ni! Entah ubat guna-guna apa yang Ajib dah bagi sampai
adik menangis begini rupa. Macam dunia ni dah kehabisan
lelaki. Kat luar tu… ramai lagi lelaki yang lagi baik daripada
dia!”
“Eiii… dahlah tu. Along ni pun… kan ke adik nak
jumpa kita berdua pasal nak meluahkan apa yang dia rasa
sekarang ni dekat kita. Bukannya nak dengar along membebel
marah-marah.” Sara sudah bersuara.
Dia jadi geram dengan alongnya yang bercakap tak
memikirkan perasaan Zara. Main tembak aje. Ikutkan hati dia
pun memanglah sakit hati dengan ‘kebodohan’ adiknya yang
seorang itu. Tapi waktu begini bukanlah masa yang sesuai untuk
marah-marah. Sepatutnya mereka menasihati Zara dengan cara
yang lembut, bukan dengan cara kasar seperti ini.
“Sudahlah tu, dik. Anggap sajalah Ajib dengan adik
takde jodoh. Dekat luar sana… masih ramai lagi lelaki yang
hebat-hebat untuk dijadikan teman hidup. Adik pun muda lagi.
Baru nak masuk dua puluh empat tahun. Masih ada banyak
masa untuk pilih teman hidup yang benar-benar sesuai untuk
adik. Angah yakin sangat, kat luar sana ada seorang lelaki
budiman yang telah Allah tetapkan jodohnya sebagai pelindung
adik. Dahlah… adik janganlah nangis lagi. Tak cunlah adik
angah ni buat muka macam ni.” Sara bertindak bijak sebagai
pendamai seterusnya memujuk adik kesayangannya itu.
Zara mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk.
Lega sikit rasa hatinya bila mendengar kata-kata kakaknya yang
seorang itu. Mujurlah angah tak ‘sepesen’ dengan perangai
along yang ‘ketuaan’ itu. Jika tidak, susah jugalah hidup Zara
dalam bab adu-mengadu ini. Sekurang-kurangnya kakaknya
yang seorang ini lebih pelembut orangnya. Pasal itulah dia lebih
kamceng dengan angah berbanding along.
Air mata dikesat. Masuk yang ini, sudah dua kotak tisu
yang Zara gunakan. Nampak sangat yang dia tengah berduka
lara. Selalunya Zara jenis yang ceria dengan gelak tawa.
Fara sudah mencebik. Kurang berpuas hati bila Sara
terlalu manjakan Zara dalam segala hal. Bukannya dia cemburu,
cuma dia kurang bersetuju dengan cara Sara memanjakan adik
bongsu mereka itu yang dirasakan agak keterlaluan. Tahulah si
Zara tu adik bongsu, tapi tak payahlah nak manjakan dia sangat.
Bertambah naiklah ‘lemak’ budak tu nanti. Umur sudah nak
masuk dua puluh empat tahun, tapi manjanya mengalahkan si
Anna yang baru masuk empat tahun itu.
“Adik janganlah bersedih. Angah yakin, insya-Allah
pasti ada seorang lelaki yang baik telah Allah ciptakan untuk
jadi pelindung adik. Dahlah… jangan sedih-sedih lagi ye.” Sara
mengusap-usap lengan adik kesayangannya itu dengan penuh
kasih.
Melihat keprihatinan angahnya membuatkan hati Zara
makin lara. Laju air matanya merembes lagi. Terharu dengan
perhatian yang angah berikan kepada dia. Bukan macam along.
Tahu nak marah-marah saja!
“Terima kasih, angah.” Ucap Zara sebak.
“Hmmm… sama-sama. Dah… dah! Tak nak nangis
lagi. Tak comel tau.” Sara menghulurkan sehelai lagi tisu
jenama premier kepada adik kesayangannya.
Meluat betul Fara melihat sikap Zara yang cengeng itu.
Entah-entah sikap cengeng adiknya yang seorang inilah yang
diwarisi oleh anak perempuannya Anna. Sikit-sikit nak tangkap
leleh. Sebiji macam Acunya. Pantang diusik, mulalah nak
menangis. Entah-entah besar nanti Anna pun macam Acunya
ini.
“Dah… tak payah nak menangis bagai. Kalau nak
pengganti sangat, esok along carikan pengganti untuk adik.
Yang pasti, lagi baik daripada Ajib tu.”
Zara ketap bibir. Dia baru aje putus cinta, belum sampai
pun sebulan, baru masuk dua minggu, along dah nak kenenkan
dia dengan entah mana-mana mamat. Dia bukannya kemaruk
sangat pun nak berteman sampai nak dikenen-kenenkan dengan
orang yang dia tak kenal. Hensem tapi kalau gigi rongak macam
mana? Eiii… tak nak ar! Kalau boleh… dia lagi suka cari calon
sendiri daripada orang lain yang carikan calon untuknya.
Lagipun… dia bukan hidup di zaman P. Ramlee
sampaikan soal teman hidup pun kena keluarga yang carikan
untuknya. Tolong sikit ye… ini dunia realiti. Bukannya dunia
novel di mana dia perlu dikenenkan dengan lelaki yang dia tak
suka dan akhirnya berkahwin.
‘Huh… tak mo! Aku nak cari calon hidup aku sendiri.
Soal rupa paras dan harta, jatuh di tangga kedua. Yang penting
hati dan perasaan.’ Hati kecilnya berkata-kata.
“Apa along ni? Ke situ pulak! Eiii… tak nak ar!!! Orang
masih dalam keadaan bersedih tau. Along jangan sesuka hati
nak kenen-kenenkan orang dengan mamat mana-mana entah.”
Bentak Zara dengan wajah cemberut. Sakit hati dengan usul
alongnya itu. Angahnya pula hanya mengukir senyum dengan
usul alongnya.
“Laarrr… tak payahlah awak nak sedih-sedih sebab
ditinggalkan dek cicak kobeng tu Cik Zara Dania. Tak guna
nak berkabung. Tu la… dulu along nak kenalkan dengan Putra
anak Mak Cik Hajah Orkid, adik jual mahal sangat. Entah-entah
sekarang ni si Putra tu dah ada teman wanita pun dekat oversea
sana. Baru padan dengan muka tu. Siapa suruh jual mahal
sangat. Kan dah melepas!”
Nampaknya Fara semakin bengang dengan sikap degil
adiknya yang seorang itu. Dia sudah nak mengaturkan lelaki
yang baik untuk Zara, tapi adiknya itu masih nak jual mahal.
Masih nak bersedih atas perpisahannya dengan Ajib si cicak
kobeng tu.
Zara tarik muka. Malas hendak bertekak dengan
alongnya yang memang tak pernah nak mengaku kalah. Salah
satu sikap alongnya yang memang dia tak suka sejak dari dulu
lagi. Kalau bergaduh, bertekak, mesti nak menang! Mesti nak
nombor satu!
Ni alongnya sudah buka pula topik pasal si Putra yang
Zara tak pernah kenal sejak dari dulu lagi. Hmmm… Putra la
sangat! Entah-entah Putera Katak.
“Dahlah… malaslah orang nak layan along ni. Orang
nak balik. Nanti umi bising pulak kalau orang balik lewat-lewat
malam.”
Zara bangun dari duduknya. Ketika itu jam sudah pun
menunjukkan pukul 9.37 malam. Lebih baik dia balik sebelum
‘kerusi perdebatan’ menjadi semakin panas.
“Awalnya adik nak balik? Macamlah rumah abah
dengan rumah angah ni jaraknya sepuluh batu sampai adik
nak balik seawal ini. Tunggulah dulu. Kita sembang-sembang
kejap.”
“Tak nak ar. Orang nak balik ni. Nak tenangkan
fikiran. Lagipun esok orang dah start kerja.” Sudah seminggu
dia bercuti. Sejak Ajib memutuskan hubungan mereka, dia jadi
tidak tentu arah. Disebabkan itu jugalah dia mengambil cuti.
Itu pun atas nasihat Wanie.
Lagipun dia memang sengaja nak balik awal untuk
mengelak diri duduk terlalu lama di rumah angahnya. Bukannya
dia tak suka duduk lepak-lepak di rumah angah yang terletak
di Seksyen 8, Bukit Bandaraya ini lama-lama. Cuma bila along
dah buka topik hendak kenenkan dia dengan seorang hamba
Allah yang dia tak kenal, dia jadi ‘kureng’ selesa. Dia memang
pantang bila dikenen-kenenkan tanpa kerelaan hatinya sendiri.
Ulang sekali lagi, dia bukannya hidup dalam dunia novel atau
zaman P. Ramlee yang hendak dikenen-kenenkan sesuka hati.
Prinsip hidup Zara, cari pasangan hidup sendiri tanpa campur
tangan famili. Huhuhuuu…
Tangan kakak-kakaknya dicapai lalu dicium penuh
hormat. Dia kan adik, jadi kenalah hormat kakak-kakak yang
lebih tua daripada dia.
“Adik bawak skuter tu elok-elok. Jangan nak merempit
pulak. Nanti tak pasal-pasal kena tahan dengan Pak Polisi.”
Pesan Fara. Adiknya yang seorang itu boleh tahan juga nakalnya.
Jika tidak dipantau, sah akan jadi minah rempit.
Zara mendecit. Dia baru bercadang nak merempit,
along sudah buat pesanan khas. Hampeh!
“Along ni pun… agak-agaklah! Takkan dengan skuter
ni orang nak merempit pulak. Tak masuk dek akal la... nak
merempit dengan skuter. Lainlah kalau pakai Kawasaki Ninja
ke… Honda CBR ke… Yamaha R1 ke… boleh juga orang test
power merempit. Ini skuter… ceh.”
Fara sekadar ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya
yang sudah hangin itu. Dulu, dialah orang yang melarang keras
bila abah berniat hendak membelikan skuter itu kepada adiknya
ini. Bukannya dia dengki bila abah manjakan Zara, cuma
baginya motosikal bukanlah kenderaan yang selamat untuk
diguna pakai. Lebih-lebih lagi di jalan raya yang sibuk. Zara tu
nakalnya boleh tahan. Jika tidak dipantau, memang ada gaya
nak jadi minah rempit peringkat kebangsaan.
“Okeylah. Pergi dulu. Assalamualaikum.” Sambung
Zara setelah helmet disarungkan di kepala.
“Waalaikumussalam.” Balas Fara dan Sara serentak.
ENTAH DI mana silapnya sehingga ibu bapa Ajib telah memilih
seorang gadis untuk dijodohkan dengan anak mereka itu.
Sangkanya, cintanya bersama Ajib akan kekal hingga ke jinjang
pelamin, rupanya musnah di tengah jalan. Dia sudah berusaha
menjadi yang terbaik untuk Ajib. Namun apakan daya, ibu bapa
Ajib tidak merestui cinta mereka. Huhuhuuu…
Air matanya meleleh lagi. Inilah yang parah bila Zara
sudah putus cinta. Sekurang-kurangnya mahu dua tiga minggu
jugalah dia berada dalam keadaan sebegini. Menangis setiap
kali duduk termenung seorang diri. Disebabkan itulah bila
putus cinta Zara suka cari along dan angahnya walaupun dia
tahu pasti along akan menempelaknya kerana along memang
tak pernah nak berkenan dengan bekas-bekas teman lelakinya.
Hanya angah sahaja yang akan menenangkan hatinya dan
memujuknya dengan cara yang lembut.
Kata along, calon-calon Zara semua haprak! Hampeh!
Tak guna satu sen pun!
Ajib! Lelaki itu bukan seperti yang along momokkan.
Ajib lelaki baik tetapi cinta mereka terhalang kerana keluarga.
Entah di mana kekurangannya sehinggakan ibu bapa Ajib lebih
sukakan perempuan yang bakal menjadi menantu mereka itu
daripada dirinya. Sedangkan dia sudah cuba yang terbaik untuk
membeli jiwa ibu dan bapa Ajib.
Zara menangis lagi. Keadaannya sekarang dah serupa
perempuan baru kena cerai suami dengan talak tiga. Langsung
tak terurus dengan rambut yang sudah mengerbang bagaikan
Hantu Kak Limah Balik Rumah. Semua ini kerana ditinggalkan
oleh Ajib.
Parah! Parah! Kalau berterusan macam ni... sah Zara
akan dicop sebagai kembar Hantu Kak Limah pula.
Wake up Zara Dania! Lupakan Ajib dan teruskan
kehidupan kau seperti biasa. Jangan disebabkan lelaki kurang
hensem dan bijak seperti Ajib itu hidup kau jadi seperti ini. Tak
berbaloi, tau tak???

No comments:

Post a Comment