Friday, 8 April 2016

MAWAR-MAWAR CINTA - BAB 2

IRAMA lagu Gwiyomi yang berkumandang melalui
telefon bimbit Sony Xperia Z membuatkan Zara mengetap
bibir. Masuk kali ini, sudah tiga kali irama itu berkumandang
menganggu ketenangan pemanduannya. Berlagu-lagu minta
dijawab. Dia mendengus kasar. Pantas Zara mengangkat telefon
bimbit yang diletakkan di atas kerusi penumpang di sebelahnya.
“Siapa pulak yang menganggu aku ni? Pagi-pagi dah
kacau konsentrasi aku. Kacau aje!” Omelnya.
Wanie. Nama dan gambar pemanggil tertera pada
skrin telefon bimbitnya ketika ini. Satu dengusan terlepas dari
bibirnya yang comel dan agak seksi itu.
“Si Wanie ni memang pengacaulah. Suka benar buat
gangguan pada waktu-waktu yang salah. Eiii… geramnya!”
Omelnya lagi.
“Hah… kau nak apa ni? Awal pagi lagi dah buat
gangguan teknologi. Aku nak memandu pun tak senang!”
Sergah Zara sebaik sahaja panggilan itu dijawab.
Wanie yang berada di talian, terkejut beruk mendengar
sergahan sahabatnya itu. Berdesing telinganya mendengar
sergahan Zara.
‘Adoi minah ni. Terkejut aku. Garang macam singa
betina baru ditinggalkan husband. Heheheee…’ Hati kecil
Wanie berdetik nakal.
“Amboi… garang betullah kau ni beb. Mentangmentang
baru bercerai dengan si Ajib kesayangan kau tu, garang
mengalahkan ibu singa yang baru lepas beranak aje. Terkejut
aku dengar intonasi suara kau yang macam petir tu. Sakit tau
telinga aku ni dengar pekikan kau tu. Cubalah guna nada yang
lembut sikit. Sedap juga telinga aku ni mendengarnya. Dah tu…
bagi salam pun tidak.” Balas Wanie. Telefon bimbitnya terpaksa
dijauhkan sedikit dari telinga kala terdengar pekikan Zara tadi.
Mujur sempat. Jika tidak memang pekaklah dia jadinya.
Zara ketap bibir.
‘Wanie ni awal pagi lagi sudah buat aku mendidih
macam nak meletup. Sesedap bahasa saja dia kata aku baru
lepas bercerai. Bila masa aku berkahwin? Nampaknya si Wanie
ni memang sengaja nak tempah tiket kena penumbuk sulung
aku.’
“Kau… kalau bercakap tak sakitkan hati aku ni tak
boleh ke? Ikut sedap mulut aje kata aku dah bercerai. Kau nak
rasa sambal belacan campur kasut tumit tinggi ke atau sambal
tumis campur penampar? Tangan aku ni pun dah gatal nak
menampar orang ni. Yang kau gatal sangat nak telefon aku
pagi-pagi ni kenapa? Dah tak boleh nak tunggu aku masuk ofis?
Gatal jugak nak menelefon aku ni! Hah! Assalamualaikum.”
Dah panjang berjela Zara membebel, dihujung kata
baru nak ingat bagi salam. Zara... Zara... Memang sewel betul
otak minah sorang ni. Ada saja perangainya.
“Waalaikumussalam. Ngeee… heee… alaaa…
relakslah beb. Tak baik tau nak marah-marah awal pagi. Nanti
cepat tua. Muka cepat berkedut. Aku gurau je tu.” Wanie cuba
menenangkan Zara. Kecut juga dia kalau Zara sudah marahmarah.
Nanti tak pasal dia terkena tempias taufan Katrina si
Zara pulak. Kawannya itu kalau angin kus-kusnya sudah datang,
boleh tahan juga amukannya. Kalah Puan Rohana.
“Kau kat mana dah ni? Hari ni kau mula kerja, kan?
Takkan still cuti lagi kut. Tak puas-puas lagikah kau nak
berkabung?” Wanie bertanya. Mengalih topik.
Zara mendengus kasar. Wanie memang sengaja hendak
menyakitkan hati dia pagi-pagi begini. Cakap tak berlapik. Main
redah saja. Kalaulah Wanie ada di depan dia sekarang ini, mahu
rasanya dia ketuk kepala minah seorang itu.
“Aku tengah on the way nak pergi ofislah ni. Kau tu
yang menyibuk sangat nak call aku. Macam dah tak sabar sangat
nak jumpa aku. Kalau ya pun rindukan aku, sabar-sabarlah
sikit. Aku tahulah kau dah teramat rindukan aku ni. Rasa sunyi
sebab aku takde, kan.”
Uwek! Perasan pula Zara yang Wanie rindukan dia.
Tapi memang benar pun. Seminggu Zara ambil cuti,
memang Wanie rindukan sahabatnya itu. Cuma dia tak naklah
mengaku depan Zara. Nanti kembang setaman pula Zara
dibuatnya jika dia sudah membuat pengakuan lisan. Zara kan
jenis pantang kena puji...
“Laaa… ye ke? Heheheee… sorrylah. Aku ingatkan kau
masih dekat rumah lagi tadi. Tu yang aku telefon. Nak kejutkan
kau. Maklumlah… kau tu kan... Ratu Bangun Lambat.” Di
hujung sana Wanie sudah mengekek ketawa.
Amboi… sukanya Wanie. Mentang-mentang tuan
punya badan yang ditertawakan itu tak ada di depan. Jadi dia
pun beranilah. Cuba Zara ada depan mata, tentu sudah menikus
tak berani nak kata apa-apa. Maklumlah… Zara kan ada darah
Tok Harimau. Garang nak mampus! Cakap Puan Rohana itu
garang, dia pun dua kali lima saja garangnya sama dengan Puan
Rohana.
“Beb… kau dah okey ke?” Tanya Wanie. Seminggu Zara
bercuti untuk menenangkan fikiran. Dia berharap sahabatnya
itu kembali bersemangat seperti dulu. Alaaa… setakat Ajib si
kurus kering tu, Zara boleh dapat yang lagi baik daripada itu.
“Okey…” Malas-malas Zara menjawab. Memang dia
okey, tapi okey dalam terpaksa. Bak kata along, tak guna nak
kenangkan lelaki yang tak mahukan kita.
“Ye ke? Alhamdulillah… baguslah kalau macam tu.
Senang hati aku dengar. Aku risau kau frust menonggeng.
Alaaa… beb, kumbang bukan seekor. Kalau Ajib dah cabut, ada
ramai lagi lelaki yang baik kat luar sana menunggu kau tau.”
Senang hati Wanie mendengarnya. Risau juga dia andai Zara
melakukan perbuatan bodoh. Orang zaman sekarang, bila putus
cinta sikit-sikit nak bunuh diri. Dia tak nak sahabatnya itu juga
melakukan perbuatan bodoh tak berotak itu.
“Hmmm…” Jawab Zara malas. Dia yakin Wanie
nak mengorek rahsia sejagatnya. Biasalah Wanie, dia itu kan
internet bergerak. Kalau tak dapat bahan berita, jangan harap
dia nak diam.
“Okeylah beb. Kau tengah drive, kan? Aku tak nak
ganggu pemanduan kau. Aku jumpa kau dekat ofis. Aku ada
berita sensasi yang nak dikongsikan dengan kau. Sure kau teruja
dengar berita aku ni. Take care! Assalamualaikum. Babai!”
“Okey. Waalaikumussalam.”
Usai menjawab salam, tiba-tiba Zara hilang kawalan.
Terkejut dia melihat kereta di hadapannya yang berhenti secara
mengejut. Mahu tak mahu, terpaksalah dia menekan brek
dengan sekuat hati. Sampai berdecit bunyi tayar keretanya.
Dum!!! Bunyi dentuman kedengaran. Hingga
membuatkan tubuh Zara yang kurus itu terdorong sedikit ke
hadapan. Mujur dia pakai tali pinggang kaledar. Jika tidak, sah
wajahnya yang putih halus mulus ini akan tertusuk dengan
kaca-kaca runcing dan tajam.
Dadanya berdebar hebat. Terkejut yang amat sangat
dengan kejadian sepantas kilat itu. Jika dia terlambat menekan
brek, sah-sah kemalangan yang lagi dahsyat akan terjadi.
Mujurlah dia cepat dan tangkas bertindak. Fuh!
Setelah debarannya mulai reda, dia meluru keluar dari
perut kereta Proton Saga yang dipandunya. Kurang asam betul
pemandu di hadapannya itu. Boleh pula berhenti mengejut di
lebuh raya yang sibuk macam ni.
Bahagian pertama yang Zara perhatikan adalah
bahagian hadapan kenderaannya. Manalah tahu kot-kot ada
yang tercalar. Senang cerita nak minta ganti rugi. Ini kereta
baru tau. Baru guna enam bulan.
‘Alhamdulillah… nasib baik takde yang kemik. Jika
tidak… memang nak mintak duit jugalah membaiki kereta ni.’
Hatinya mengucap syukur bila mendapatinya keretanya tiada
sebarang kesan calar atau kemik kesan kemalangan tersebut.
Seorang lelaki berkaca mata hitam keluar dari
perut Mercedes McLaren. Dia memerhati bahagian belakang
kenderaannya sebelum mengorak langkah merapati Zara
yang terbongkok-bongkok memeriksa kenderaannya. Bukan
main lagi Zara membuat pemeriksaan dengan teliti sekali.
Sehinggakan kedatangan lelaki itu pun dia tak sedar.
“Ehem…” Lelaki berkaca mata hitam itu berdehem.
Serentak itu juga Zara berpaling dengan lipatan
180 darjah. Memerhati pemuda yang siap bersut hitam di
hadapannya. Terpana dia sebentar. Penampilan lelaki itu yang
kemas sudah menggambarkan siapa sebenarnya lelaki itu. Tentu
orang kaya. Tengok sajalah kereta yang dia pakai. Merz tu!
Kaca mata hitam yang dipakai ditanggalkan. Sekali
lagi Zara terpanar. Bulat matanya memandang wajah yang
terhidang di depan mata.
‘Ya Allah… hensemnya makhluk ciptaan Allah ini.
Begitu sempurna dan sedap mata memandang. Tak ada yang
kurang pun!’ Pujinya di dalam hati. Terpana dek wajah yang
tampan memikat kalbu.
Jika hendak dibandingkan lelaki di hadapannya ini
dengan Ajib, memang jauh berbeza. Bagai langit dengan bumi.
Ajib itu kurus cekeding. Lelaki ini pula bertubuh sasa. Ajib itu
berkulit gelap. Namun lelaki ini berkulit putih melepak. Ajib tak
berapa hensem. Tapi lelaki ini… Ya Allah… hensem bangat!!!
Sempat Zara membuat perbandingan antara Ajib dengan lelaki
di hadapannya itu.
“Macam mana ni awak memandu?” Lelaki itu bertanya
dengan gaya poyo semacam.
Mendengarnya, Zara mencebik. Tersedar dia dari
panahan lelaki itu. Poyo aje lelaki itu bersuara. Terus wajah
yang terpampang kacak di depan matanya bertukar menjadi
wajah sang katak hodoh. Buruknya bahasa lelaki itu.
Eh… apa pula kena mengena dengan wajah katak ni?
Macam dah takde binatang lain lagi yang terbayang depan mata.
Sang katak yang paling tak disukainya itu juga yang menjelma.
Eiii… geli tau!
“Minta maaf la encik. Saya pun bukan suka-suka nak
main brek-brek ni. Tapi... yang encik ni tiba-tiba je berhenti
kenapa?” Poyo juga Zara membalas. Langsung tak mahu
mengalah walaupun sudah terang-terang dia yang bersalah.
Mujurlah tiada kereta di belakang keretanya. Jika tidak memang
jadi kes ‘mari berlanggar beramai-ramailah’ jawabnya.
Bawa kes ke tengah pun, dia tetap akan disuruh
membayar ganti rugi kepada lelaki itu kerana ini adalah kes
langgar belakang. Huhuhuuu…
“Cuba awak tengok lampu isyarat tu warna apa?” Lelaki
itu menaikkan ibu jarinya lalu ditunjuk ke arah lampu isyarat
yang berada di depan. Keningnya turut ternaik sama. Zara ketap
bibir. Rupanya lampu isyarat berwarna merah tanda berhenti.
‘Aduhai… memang aku la yang bersalah dalam hal ni
kalau macam tu. Boleh pula tak nampak warna merah sedang
menyala di depan. Hesy… ini semua Wanie minah leter itu
punya pasal. Kalau dia tak menggatal pergi telefon aku pagipagi
buta, tak akan jadi hal seperti ini.’ Dalam situasi sekarang,
Zara masih sempat membebel di dalam hati marahkan Wanie.
Kesalahan diletakkan atas bahu temannya itu.
“Look! I don’t have time for this. So… give me your
number.” Pinta lelaki itu setelah memerhati tiada bicara yang
meniti keluar daripada bibir comel di hadapannya. Keningnya
dijungkit sebelah ala-ala The Rock.
Zara membisu. Hatinya berbelah bahagi hendak
memberi nombor telefon kepada lelaki yang tidak dikenalinya
itu. Dibuatnya lelaki itu menganggu hidupnya berhari-hari,
bagaimana? Dia tak sukalah!
‘Memanglah dia ni hensem. Tapi… bahasa dia tu
hancur! Maknanya dia tak tersenarai langsung dalam list aku.
Lelaki yang bahasa tahap hancur macam ni memang awal-awal
lagi aku dah reject!’ Omelnya di dalam hati.
Klik!
Tiba-tiba ada pancaran yang menyambar wajah polos
Zara, membuatkan dia sedikit terperanjat. Bulat matanya
memandang wajah lelaki itu yang hanya beraksi selamba.
Tenang sahaja.
‘Ini apa kes pulak tiba-tiba pergi tangkap gambar aku
ni? Kalau ya pun nak tangkap gambar, beritahulah aku dulu.
Dapat juga aku nak berhias lawa-lawa. Ini main snap ikut suka
hati saja.’ Marah Zara di dalam hati. Entah macam mana rupa
gambar dia yang diambil secara mengejut itu? Jangan-jangan
dah sama macam rupa Hantu Kak Limah yang Ayit dan Anna
takutkan itu.
Belum sempat hendak berkata apa, lelaki itu laju
mencapai telefon bimbit Zara yang digenggamnya. Ditekan
nombor-nombor pada pad kekunci telefon bimbit tersebut.
Kemudian butang dail pun ditekan. Sesaat... nada dering iPhone
5 milik lelaki itu pula kedengaran.
Bertambah lagi kerutan pada dahi Zara.
“This is my number. I will call you later untuk bincang
pasal ganti rugi.” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan semula
telefon bimbit Sony Xperia Z itu kepada tuan empunya telefon
bimbit itu semula.
Sekali lagi Zara melopong. Biar benar lelaki ini?
Pakaian punya bergaya, telefon pun bukan calang-calang,
kereta mahal... tapi masih ada hati nak minta ganti rugi pada
dia yang sekadar memakai kereta Proton Saga sahaja. Memang
dasar tak mahu rugi lelaki ini. Dasar keturunan Haji Bakhil.
Dengan perempuan pun mahu berkira. Sekurang-kurangnya
Haji Bakhil dengan perempuan muda dia akan berlembut dan
rajin ‘bersedekah’. Bukan seperti lelaki ni!
Tiada apa lagi yang mampu Zara perkatakan. Hanya
matanya sahaja yang terkebil-kebil melihat lelaki itu yang sudah
melangkah menuju ke arah kenderaannya. Kemudian memecut
sebaik sahaja lampu isyarat sudah bertukar warna.
Bunyi hon kereta-kereta di belakang memaksa dia
mengatur langkah menuju semula ke kenderaannya. Hesy…
bala betul! Awal pagi lagi sudah ada musibah.
Arghhh… mampuslah aku kalau mamat poyo tu
mintak gantirugi beribu-ribu. Pokailah duit gaji aku bulan ni.
Zara mengeluh. Nampaknya bulan ini adalah bulan
malang untuk dia. Sudahlah kena tinggal dengan teman lelaki,
sekarang ni dia terpaksa pula membayar ganti rugi kepada
seorang lelaki juga! Hai… memang makhluk bernama lelaki itu
cukup menyusahkan hidup dia!

“SELAMAT PAGI!!!”
Suara Wanie kedengaran riang menyapa Zara yang
baru keluar dari perut lif. Tak sempat lagi dia nak masuk ke
dalam ofis, kedatangannya sudah disambut depan pintu lif oleh
sahabat baiknya itu. Ceria benar nampaknya wajah Wanie pagi
ini. Lain daripada yang lain pula.
Dressing pun nampak lagi mengancam daripada selalu.
Serba-serbinya warna pink. Wanie memang penggemar tegar
warna tersebut. Tengok sajalah Honda Citynya itu, tak pasalpasal
turut disimbah dengan cat berwarna pink juga.
“Pagi!” Acuh tak acuh Zara menjawab. Ikutkan hatinya,
dia takde hati nak menjawab ucapan selamat pagi Wanie tu.
Hatinya masih lagi geram dengan kejadian tadi. Mamat poyo
itu memang jenis berkira keturunan Haji Bakhil. Haji Bakhil
bagus sikit daripada lelaki itu sebab Haji Bakhil nampak
perempuan cantik terus sikap berkiranya hilang, tapi mamat
poyo itu… dengan perempuan pun nak berkira sangat. Boleh
pula send mesej kepadanya mengingatkan hal ganti rugi. Jika
tidak, gambarnya akan disiarkan di muka depan akhbar kerana
melarikan diri daripada membayar hutang. Memang melampau
benar. Main ugut-ugut pula.
Dia melangkah masuk ke dalam ruang pejabat Star
Properties Sdn. Bhd. yang serba mewah. Sudah setahun tiga
bulan dia menjadi warga kerja Star Properties Sdn. Bhd.
Syukur Alhamdulillah… dia gembira bekerja di sini biarpun
kadangkala dia tertekan dengan bebanan kerja yang diberikan
oleh ketuanya, Puan Rohana.
Puan Rohana, si perempuan garang itu memang suka
menyusahkan hidup Zara. Dia paling tak suka kepada Puan
Rohana yang banyak sangat songehnya itu. Ini tak kena, itu tak
kena. Kalau semua tak kena, apa kata Puan Rohana buat kerja
sendiri. Tak payah nak arah dia untuk buat itu dan ini.
“Beb… aku ada cerita baik punya nak beritahu kau ni.”
Ujar Wanie sebaik sahaja Zara sudah melabuhkan punggung di
tempat duduknya. Tersengih-sengih bibirnya yang berwarna
merah jambu itu memandang Zara.
“Apa dia? Kau ni sepanjang masa ada saja cerita baik
yang kau nak sampaikan pada aku. Tup-tup… takdelah sebaik
mana pun. Gempak aje yang lebih.” Betullah apa yang Zara
cakap tu. Wanie kalau bercerita memang berapi-api. Tapi bagi
Zara cerita Wanie semua hampeh. Tak adalah gempak macam
yang dia gembar-gemburkan.
“Kali ni aku jamin cerita yang aku sampaikan ni
memang sensasi giler.” Bersungguh-sungguh Wanie menutur
kata.
Zara sekadar mencebik. Dia membetulkan
kedudukannya dan memandang ke wajah Wanie yang sudah
bertenggek depan mejanya. Kedua belah tangan diangkat untuk
menongkat dagunya.
“Hah… apa dia yang sensasi giler tu?”
Wanie menarik sengih selebar sengihan si Joker. Tidak
sabar rasanya dia hendak berkongsikan berita gembira itu
dengan sahabat baiknya yang seorang ini. Tentu Zara juga akan
jadi teruja sama seperti dia.
“Kau tahu tak yang Puan Rohana dah dinaikkan
pangkat dan berpindah ke cawangan kita di Sandakan?” Tanya
Wanie bersama sengihan di bibir. Keningnya diangkat-angkat.
Zara menggeleng. Berita itu benar-benar mengejutkan
dia. Dia tak tahu pula yang ketuanya yang garang itu sudah
dinaikkan pangkat dan telah pun berpindah. Lagipun, kan ke
dia cuti minggu lepas? Jadi manalah dia tahu perkembangan
syarikat. Tiada seorang teman pun yang memberitahunya
perkhabaran gembira itu. Wanie juga diam seribu bahasa. Tapi
jika benarlah bagai dikata, memang berita itu sesuatu yang
menggembirakan dirinya. Memang berita ‘horrey-horrey’
kerana dia memang tak suka kepada Puan Rohana.
“Kau mesti suka, kan?” Tebak Wanie. Daripada air
muka sahabatnya itu, dia sudah tahu isi hati Zara. Pasti sudah
terloncat kegembiraan sahabatnya itu mendengar perkhabaran
ini. Maklumlah, musuh dah berambus! Tentulah hatinya
melonjak gembira, kan? Heheheee…
“Mahunya tak suka! Kau pun tahu aku memang tak
sukakan dia. Jadi berita ini merupakan berita paling gembira
yang aku dengar.” Sejujurnya Zara meluahkan isi hatinya
yang sebenar. Bibirnya mengulum senyum kesukaan. Hilang
ingatannya pada kes di jalanan tadi.
“Tahu…”
“Tapi beb… saper pulak yang gantikan tempat si naga
betina tu?” Zara bertanya. Jika Puan Rohana yang garang itu
sudah berpindah, siapa pula yang menggantikan tempat Puan
Rohana di Star Properties Sdn. Bhd. ini sebagai Ketua Arkitek?
Soalan Zara itu bisa membangkitkan senyuman
yang paling manis pada bibir Wanie. Menggebu rasa hatinya
mendengarkan soalan tersebut. Mulalah dia terbayangkan
wajah si kacak yang menggantikan tempat Puan Rohana sejak
seminggu yang lalu. Hmmm… angau dia jadinya.
Melihatkan senyuman angau pada bibir Wanie, dahi
Zara berkerut. ‘Ini apa kes pulak minah ni tersenyum-senyum.
Macam kucing siam nak menggatal aja aku tengok.’ Dalam hati,
Zara mengutuk.
“Beb! Kau ni kenapa? Tersengih-sengih! Nak cerita
ke, nak sengih ni?” Satu tamparan kecil hinggap pada lengan
Wanie.
Wanie tersengih. Lupa yang dia kini berada di meja
Zara untuk memberitahu perkhabaran gembira itu. Bayangan
lelaki kacak itu benar-benar telah memukaunya.
“Alaaa… sorrylah beb. Kau ni sikit-sikit nak marah.
Sejak menjanda ni, bukan main garang lagi aku tengok.
Pantang dicuit, mulalah nak mengamuk. Macam mak singa
pulak.” Wanie menyakat.
“Kau nak cerita ke nak ejek aku ni Wanie? Kalau
kau nak mengejek aku, baik kau pergi duduk kat tempat kau
tu sekarang sebelum aku naik hantu!” Zara sudah cemberut.
Waktu moodnya kurang baik ini jugalah Wanie mahu mengusik
dia. Nanti tak pasal-pasal, ada perempuan sengal seorang itu
kena karate olehnya. Baru padan dengan muka!
Wanie tersengih lagi.
“Ngeee… yalah. Yalah. Aku ceritalah ni. Sikit-sikit nak
marah!”
Zara menjeling geram. Lambat macam siput aje si
Wanie ni! Suka nak corner sana sini masuk jalan belukar.
“Yang gantikan Puan Rohana adalah Encik Hakimie.
Masya-Allah beb… hensem giler wa cakap sama lu. Boleh buat
hati aku ni gila bayang. Makan tak kenyang, tidur tak lena,
mandi pun tak basah! Memang hensem tahap melampaulah
aku cakap!” Bersama senyuman manis cap gatalnya itu, Wanie
memberitahu.
Zara menjungkit bibir. Wanie kalau disuruh berbicara
soal lelaki hensem, memang dialah yang juara. Perangai gatal
dari zaman sekolah hingga sekarang ini tak pernah nak hilanghilang.
Dia ini, meskipun sudah banyak kali putus cinta, tapi
takdelah segatal Wanie yang konon-konon polos itu. Polos
sangatlah tu!
“Bos baru kita tu memang hensem giler beb! Orangnya
tinggi, kulit putih, rambut hitam berkilat, bibir kemerahmerahan
dan bertubuh sasa. Yang paling mahal tu kan beb,
pandangan mata dia yang redup. Cukup romantik. Hancur lebur
jiwa aku melihat pandangan mata dia tu. Cukup menggodakan
jiwa. Dengar cerita, dia masih lagi single and available. Kira
sesiapa yang dapat mengisi kekosongan hati dia ni memang
perempuan yang bertuah. Dan lagi satu… dia juga anak saudara
Datuk Omar. Isteri Datuk Omar tu mak long dia.” Bersungguhsungguh
Wanie menceritakan perihal ketua baru mereka yang
menggantikan tempat Puan Rohana sebagai Ketua Arkitek.
Teruja bukan main lagi nampaknya dia. Mulalah dia nak pasang
angan-angan, kalau-kalau dia boleh menjadi wanita bertuah
yang dapat mengisi kekosongan hati ketua baru yang tampan
bergaya itu.
Namun angan-angannya terbantut bila…
“Jangan nak perasan ye… cermin dulu diri korang
tu. Kalau setakat muka macam korang ni, jangan ingat Encik
Hakimie tu akan terpikat. Huh… tolonglah! Lainlah macam
aku yang cantik dan bergaya ni. Memang padan digandingkan
dengan dia. Aku yakin, taste Encik Hakimie tu pastinya pada
wanita anggun macam aku. Setakat korang ni, sah dia tak
pandang walau sebelah mata. Pakai pun sekadar tangkap muat.
Dah tu yang seorang lagi... dah serupa pink panther aje aku
tengok. Tu pun ada hati nak mengorat bos. Huh! Tak sedar diri.”
“Lagipun… aku ni setiausaha dia. Jadi dah semestinya
aku lagi layak berada di samping dia daripada korang semua
yang ada di opis ni. Jadi sebagai amaran daripada aku, sebelum
hati korang tu robek, ada baiknya korang lupakan hasrat
untuk memenangi hati Encik Hakimie tu daripada korang
frust menonggeng. Nanti tak pepasal ada pulak yang menangis
melalak macam anjing kehilangan tulang. Cuma aku yang
layak untuk dia!” Entah dari mana datangnya, tiba-tiba suara
menggoda bagai buluh perindu si Kareena kedengaran memberi
amaran dengan lagak sombong dan bongkaknya.
Zara dan Wanie yang sejak tadi asyik bersembang
sesama mereka kini berpaling memandang tepat ke wajah
Kareena anak Encik Kadir yang berlagak nak mampus tu.
Tu dia… itik serati dah bertukar wajah!
Zara dan Wanie masing-masing sudah bulat mata
melihat penampilan terbaru Kareena Kadir. Biar benar yang
berdiri ala-ala model nak memperagakan badan dan baju tak
cukup kain depan mereka sekarang ini adalah Cik Kareena
Binti Kadir, si setiausaha yang selalu perasan cantik dekat Star
Properties Sdn. Bhd. ini? Kareena dah berubah sembilan puluh
tujuh peratus!
Daripada rambutnya yang kerinting, dah bertukar
lurus dek teknik rebonding dan diwarnakan pula dengan warna
dark brown. Bibirnya sudah semakin tebal dan seksi. Dah
macam bibir Angelina Jolie. Bajunya yang dulu tak berapa nak
ketat, kini dah bertambah-tambah pula ketatnya. Skirt pula
jangan cakaplah, dah semakin singkat sehingga ke paras paha
sahaja. Cukup menggiurkan. Make-up pula dah serupa orang
nak buat pengambaran filem Hindustan. Tebalnya bagaikan
lima inci. Sama tebal dengan ketinggian kasut tumit tinggi
yang dipakainya ketika ini. Ini kalau ‘terpeliot’, sah masuk
hospital kena simen.
Aduh… ini mesti kes nak tarik perhatian ketua
baru yang menggantikan tempat Puan Rohana tu. Jika dulu,
bekerja sebagai setiausaha Puan Rohana takde pula si Kareena
ni seseksi-seksa ini. Tapi bila sudah tukar ketua baru ni,
melampau-lampau pula seksinya. Sampai terlihat segala lurah
berendam yang tak sepatutnya kelihatan. Melampau tu!
Sedar dirinya diperhatikan sedemikian rupa, Kareena
menarik muka. Berlagak cantik bagaikan dirinya itu ratu cantik
dunia. Lantas dengan tonggeknya, dia berlalu ke biliknya
yang terletak di sebelah kanan. Bilik yang mana di dalamnya
turut menempatkan bilik Ketua Arkitek, Encik Hakimie. Dia
memang beruntung sebab menjadi setiausaha kepada Encik
Hakimie yang segak bergaya. Setiap hari bolehlah dia cuci mata
memandang wajah kacak bosnya. Kenyang mata dia hari-hari.
Heheheee…
Setelah Kareena berlalu ke tempat duduknya, Wanie
menjuihkan bibir. Meluat dengan perangai berlagak si Kareena,
minah yang mendapat gelaran itik serati kerana jalannya yang
tonggek itu. Mengada lebih sangat. Mentang-mentanglah dia
setiausaha Encik Hakimie. Eksen!
“Eiii… meluat benar aku tengok si itik serati tu.
Berlagak sungguh! Bibir dia yang termuncung-muncung tu,
mahu rasanya aku cucuk dengan jarum peniti. Biar kempis.
Jadi takdelah mulut dia tu nak main cakap ikut suka hati aje.”
Dengar saja ayat sahabat baiknya itu, ketawa Zara
terus sahaja meledak. Kelakar pula kedengaran ayat Wanie pada
halwa telinganya. Dia tahu, ini pasti kes Wanie cemburu kepada
Kareena.
“Hesy… kau ni, ketawa pulak! Kau tak sakit hati ke
dengar cakap si itik serati tu? Panas tau telinga aku ni dengar
dia cakap macam tu. Perasan! Macamlah dia tu dah cantik
sangat.”
Zara menjungkit bahu bersama bibir yang dijuihkan.
Dia sebenarnya langsung tak terkesan pun dengan kata-kata
Kareena tadi yang lebih kepada konon-konon bos baru itu
dialah yang punya. Memang nampak sangat keyakinan Kareena
itu, tapi janganlah nak over confident sangat. Belum tahu lagi
bagaimana taste bos baru mereka tu, tapi Kareena pula sudah
melebih-lebih.
Cuma Wanie saja yang berapi-api marahnya kepada
Kareena. Maklumlah… sekarang inikan Wanie sudah menjadi
salah seorang peminat tuan ketua baru yang kononnya kacak,
bergaya dan menawan itu. Tentulah hormon-hormon cemburu
itu merembes dengan kuat sekali. Itu perkara normal bila
perasaan cemburu sudah menguasai diri.
Selang dua minit, kedengaran derap kaki menghampiri
tempat Zara dan Wanie bersembang. Pantas mereka samasama
berpaling ke arah derap kaki yang semakin menghampiri
mereka berdua.
“Assalamualaikum.” Sapa Farok dengan mesra.
Farok, si duda anak satu ini merupakan Penolong
Arkitek Kanan Satu dekat Star Properties Sdn. Bhd. Orangnya
boleh tahan kacak dan sering sahaja tersenyum. Boleh
dikatakan, Farok ini adalah duda terhangat di pasaran. Wanie
sendiri memang syok giler dengan Farok sebenarnya. Tak
berkedip matanya setiap kali memandang wajah Farok.
Alaaa… Wanie tu, biasalah dia. Mana boleh nampak
lelaki kacak. Mulalah semua dia nak admire. Tapi satu pun tak
menjadi. Malu sangat nak luahkan perasaan dia.
Antara Puan Rohana dan Farok, kebanyakan staf lebih
gemar berurusan dengan Farok berbanding Puan Rohana.
Farok lebih senang diajak berunding dan senang mendengar
pendapat staf di bawah seliaannya. Zara memang beruntung
kerana dia bekerja di bawah seliaan Farok. Manakala Wanie pula
bekerja di bawah seliaan Puan Husna, Penolong Arkitek Kanan
Dua di sini.
“Waalaikumusalam.” Zara dan Wanie sama-sama
menjawab salam.
“Zara, mari ikut saya kejap.” Ujar Farok kepada Zara.
Tanpa menunggu jawapan gadis itu, dia bergerak dahulu
meninggalkan Zara yang masih duduk di tempatnya.
Tanpa berlengah, cepat-cepat Zara bangun dari
duduknya. Dia ikut saja langkah kaki Farok yang berjalan
mendahuluinya itu. Sampai di hadapan bilik yang sentiasa
tertutup rapat itu, barulah dia sedar ke mana arah tuju Farok
membawanya. Ke bilik Ketua Arkitek.
‘Muhammad Hakimie Bin Haji Helmie.’ Ketika nama
itu meniti di hatinya, terdetik sesuatu di dada Zara. Tiba-tiba
dia jadi gementar.
Bilik yang dulunya menjadi milik Puan Rohana itu kini
sudah berpindah milik kepada ketua baru. Entah bagaimanalah
fiil ketua baru ini agaknya? Adakah segarang Puan Rohana atau
lebih garang lagi berbanding Puan Rohana? Atau…
“Zara, mari masuk.” Suara Farok mematikan lamunan
sesaat Zara. Pantas dia mengangguk dan melangkah masuk ke
dalam bilik berhawa dingin itu.
Setelah pintu yang tertutup dikuak, kelihatan
Kareena sedang membelek-belek wajah pada cermin mukanya.
Lipstiknya yang sudah terang-benderang itu ditambah lagi
warnanya supaya bertambah pekat. Merah menyala gitu!
Tak cukup menyala agaknya gincu di bibirnya itu
sampai begitu sekali dia menenyeh gincu ke bibirnya yang
melentik ala-ala Angelina Jolie. Rasa mahu saja Zara ketawa
melihat sikap Kareena yang beria-ia menenyeh gincu ke
bibirnya yang tebal dan seksi. Namun ditahan tawanya itu. Suka
hati Kareenalah nak bergincu setebal sepuluh inci sekalipun,
yang penting perempuan sorang tu bahagia.
“Nak jumpa Encik Hakimie ke?” Tanya Kareena kepada
Farok sebaik sahaja menyedari kehadiran duda anak satu itu
di dalam biliknya. Mendatar saja nada suara Kareena. Kerek
semacam aje minah itik serati itu. Mentang-mentang Farok itu
berstatus duda, bukan main acuh tak acuh lagi dia melayan.
Farok mengangguk. Memang tujuannya datang ke
bilik ini adalah untuk bertemu dengan Hakimie.
“Jap I beritahu Encik Hakimie.”
“It’s okay, Kareena. Hakimie dah tahu kedatangan I
ke sini. Dia yang suruh I dan Zara datang jumpa dia. You tak
payahlah nak interkom dia ye.” Tegah Farok sebelum sempat
Kareena menekan butang interkomnya. Melihat Kareena
hatinya menjadi getik.
‘Hai la Kareena… gincu merah menyala! Kalau ada
lembu yang nampak, sah dah kena sondol mulut terlebih seksi
tu.’
Mendengarkan itu, debaran yang sudah reda tadi
kembali menyerang.
‘Ketua baru tu nak jumpa aku? Patutlah Encik Farok
bawa aku ke sini. Rupanya bos nak jumpa. Tapi… untuk apa nak
jumpa dia pula? Nak berkenalan kut. Tapi… mungkin jugak! Ya
la… waktu dia lapor diri menggantikan tempat Puan Rohana
tempoh hari, aku tengah cuti-cuti berkabung. Pasal itulah kut
dia nak berkenalan dengan staf dia.’ Zara cuba menyedapkan
hatinya sendiri biarpun kala ini dadanya sudah berdebar dengan
hebat bagai hendak pecah.
“Hmmm… kalau macam tu, masuklah.” Ujar Kareena.
Sempat Kareena mengerling Zara dengan ekor
matanya yang agak tajam. Tergugat pula dia dengan kehadiran
Zara di situ. Takut kalau-kalau hati bos pujaan hatinya itu
akan terpaut kepada Zara pula. Zara memang simple orangnya.
Bergaya biasa-biasa saja dengan rambut yang biasanya diikat
tocang atau pun ekor kuda, asal tangkap muat. Namun biarpun
begitu, kecomelan wajahnya masih lagi terserlah. Itulah yang
Kareena bimbangkan.
Pintu diketuk. Usai mendengar suara di dalam
memberi kebenaran untuk mereka masuk ke dalam, Farok dan
Zara pun melangkah. Farok berlagak biasa, manakala Zara cuba
mengawal debaran di dada yang semakin menggila.
“Morning boss. Ini aku bawakan Zara Dania seperti
yang kau suruh.” Ujar Farok kepada Hakimie. Selamba dia terus
duduk.
Zara yang melihat tidak berkata apa. Daripada cara
Farok menegur ketua baru mereka itu, nampaknya Farok
dengan lelaki bernama Hakimie itu bagaikan sudah lama kenal.
Mungkin kawan lama kut. Siapa yang tahu, kan?
“Zara, duduklah. Buat apa tercegat aje.” Tegur Farok
bila melihat Zara masih lagi berdiri bagaikan patung cendana.
Zara hanya menurut. Pantas dia menarik kerusi di
depannya dan duduk di sebelah Farok. Dup dap! Dup dap!
Begitulah rentak irama yang berdendang di dadanya ketika ini.
Hakimie yang duduk membelakangkan mereka
memusingkan kerusinya. Dia tunduk memandang fail biru
di tangan, membuatkan Zara agak sukar mahu melihat raut
wajahnya yang dikatakan hensem itu.
“Zara Dania Binti Muhammad Zainal. Lahir pada
dua puluh empat Mei dan berbintang Gemini. Anak bongsu
daripada tiga beradik. Status, bujang. Pencapaian akademi di
sekolah menengah, cemerlang dan memiliki peribadi yang baik.
Aktif dalam sukan bola jaring dan seni lukis. Pernah mewakili
sekolah dalam pertandingan melukis peringkat daerah dan
mendapat tempat pertama serta dianugerahi pelukis muda
berbakat. Berkelulusan Bachelor Of Science (Architecture)
daripada UiTM.”
Biodata diri Zara dibaca satu per satu. Semuanya
agak menarik didengar. Namun Zara jadi kurang selesa bila
biodatanya itu dibaca satu per satu di hadapannya. Kalau nak
baca pun, janganlah baca dalam nada macam itu. Macam nak
beritahu dekat semua orang pula.
Farok pula tidak berkata apa. Hanya mendengar saja
Hakimie membaca satu per satu biodata diri Zara. Sempat dia
menjeling wajah Zara yang duduk di sebelahnya itu. Daripada
air muka gadis itu, dia tahu ada rasa tidak senang di hati Zara
kepada ketua baru mereka itu.
Usai membaca biodata Zara, Hakimie mengangkat
muka memandang tepat ke wajah Zara Dania. Ketika itu… saat
itu… Zara rasanya dunianya seakan-akan kabur. Berkali-kali dia
menggosok-gosokkan matanya. Bagi terang sikit. Benarkah apa
yang dia lihat di depannya kini? Lelaki itu… glup…
“Mamat Poyo!” Tanpa disengajakan, ayat itu meluncur
dari bibir Zara yang comel dan agak seksi itu. Tapi tidaklah
seseksi mulut Kareena yang melentik seperti mulut itik itu.
Terkejut Farok mendengar ayat yang tergeluncur
keluar dari mulut Zara. Rasa hendak saja dia tergelak namun
ditahan. Takkan nak gelak depan bos pula. Nanti tak pepasal dia
kena marah dengan Hakimie. Biarpun dia dengan bosnya ini
sudah lama berkawan, namun dia masih hormatkan Hakimie
yang kini telah menjadi ketuanya.
Hakimie menjungkit keningnya. Panggilan mamat
poyo yang Zara berikan langsung tidak berbekas di hati. Malah
dia boleh lagi berlagak selamba di depan gadis itu dengan
memeluk tubuhnya yang sasa sambil bersandar malas pada
dada kerusi.
Zara ketap bibir. Sedar yang dia sudah terlanjur kata
di hadapan lelaki itu. Padanlah debaran di dadanya cukup
menggila tadi. Rupa-rupanya debaran itu membawa makna dia
akan bertemu semula dengan lelaki pewaris Haji Bakhil yang
ditemuinya di jalan raya tadi. Sesuatu yang dia tak pernah
sekali-kali menduga. Tak sangka sungguh, lelaki poyo itulah
yang telah menggantikan tempat Puan Rohana. Kalaulah dia
tahu begitu, memang dia tak setuju Puan Rohana berpindah.
Dia lebih rela hari-hari tadah telinga dengar bebelan Puan
Rohana daripada bekerja di bawah satu bumbung dengan
mamat poyo ini.
‘Arghhh… kenapalah nasib aku jadi seperti ini?
Kenapa?????’ Hati kecilnya sudah menjerit penuh rasa geram.

No comments:

Post a Comment