Sunday, 10 April 2016

MAWAR-MAWAR CINTA - BAB 4

“ZARA!!!” Jeritan Puan Inara bergema lagi.
Masuk kali ini, sudah tiga kali dia membuat latihan vokal. Dah
macam orang nak ikut uji bakat pertandingan Kilauan Emas
pula pagi-pagi begini.
Semua ini gara-gara si anak yang cukup liat untuk
bangun pagi. Sudah bermacam cara dia gunakan, namun Zara
tak juga bangkit-bangkit. Malah dengan senang hatinya Zara
menarik semula comforter untuk menutupi tubuhnya yang
terdedah pada kesejukan pagi.
Puan Inara sudah menggigit bibirnya ketat-ketat.
Geram benar dengan tingkah anak bongsunya yang seorang
itu. Tekaknya sudah sakit terjerit-jerit, boleh pula anaknya
itu menarik selimut dengan gaya tak bersalah. Bersahaja saja
tingkahnya. Tak sedarkah anak itu sekarang ini sudah pukul
berapa? Lagi nak membuta tak ingat masa.
“Hei… budak bertuah ni. Boleh pulak dia tarik selimut
balik. Nanti tak kejut, marah pulak. Kata kita tak kejutkan dia.”
Bebel Puan Inara sendirian.
“Zara! Bangunlah! Zara tak kerja ke hari ni?” Sekali
lagi Puan Inara berteriak.
Zara masih lena. Masih tidak berkutik dek jeritan
uminya yang maha nyaring. Enak sahaja dia menyelesakan
tidurnya dengan mengiringkan badan ke sebelah kanan. Siap
tersenyum lagi.
Dengan hati yang sebal, Puan Inara melangkah
keluar dari bilik tidur anaknya itu. Bibirnya tidak sudah-sudah
mengomel. Perangai anaknya yang satu inilah yang sering
buat dia pening kepala. Liat bangun pagi. Esok lusa bila sudah
berkahwin, sah-sah suaminya pula yang akan jadi tukang kejut.
“Kenapa dengan Ina ni? Awal pagi lagi sudah membebel.
Apalagi yang dibebelkan tu sayang oi.” Sapa Cikgu Muhammad
Zainal yang baru keluar dari bilik air. Dia sudah bersiap sedia
untuk pergi ke sekolah. Hanya tinggal sebulan sahaja lagi dia
bergelar seorang pendidik sebelum bersara wajib bulan depan.
Sedih juga rasanya hendak meninggalkan kerjayanya ini,
namun dalam sedih dia bangga kerana telah berjaya menabur
bakti kepada anak-anak bangsa.
“Pasal apalagi… pasal anak manja abang tu la!”
“Anak manja saya, anak manja awak jugak.” Balas
Cikgu Muhammad Zainal. Benarlah tu. Memang Zara Dania
itukan anak manja mereka.
Puan Inara mendengus.
“Dia tak bangun lagi ke?” Tanya Cikgu Muhammad
Zainal sambil memerhatikan isterinya yang terbongkokbongkok
menyelongkar laci meja sisi di tepi katil mereka.
Entah apa yang dicari isterinya itu.
“Belum! Dah sakit anak tekak saya ni menjerit
bangunkan dia, tapi tak juga bangun-bangun! Anak sorang
tu… asal nak bangun pagi aje mesti macam inilah jadinya. Tu
yang saya selalu membebel suruh dia masuk tidur awal. Tapi
tak pernah nak dengar kata. Asyik nak menonton televisyen
hingga ke jauh malam. Tak pun… sibuk dengan Facebook dia
tu. Hah… pagi-pagi begini bukan reti nak bangun sendiri. Saya
juga yang jadi mangsa.” Omel Puan Inara. Dia mencapai sebiji
jam loceng lantas keluar dari bilik. Laju dia membawa langkah
semula ke bilik bujang anak daranya.
Melihat tingkah isterinya itu, Cikgu Muhammad Zainal
hanya menggelengkan kepalanya. Dia pasti isterinya sedang
merangka satu rancangan untuk mengejutkan anaknya itu. Jika
tidak, takkan nak bawa jam loceng segala.
Sampai di bilik Zara, Puan Inara mengetap bibirnya.
Bertuah benar anak sorang ni. Sedap pulak dia tidur. Takpe…
tunggu kejap lagi!
Laju Puan Inara mengunci jam loceng.
Satu… dua… tiga!
Kringgg!!!
Serentak itu jam loceng berteriak nyaring. Benarbenar
di sebelah cuping telinga kanan Zara. Terkejut beruk si
anak. Laju dia terpacak di atas katil dengan mata yang terkebilkebil.
Rambutnya jangan cakaplah… Hantu Kak Limah punya
style.
“Arghhh… apa ni umi? Kenapa kacau orang tengah
tidur? Orang tengah mengantuk tahap gaban ni.” Zara mula
merengek bila tidurnya diganggu.
Baru saja dia start enjin nak berdansa dengan Shah
Rukh Khan, umi sudah menempel jadi extra pula. Tak boleh
nak biarkan dia berdansa dengan hati yang senang.
“Banyak cantik Zara punya mengantuk ya. Zara tak
kerja ke? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” Bertalu Puan
Inara menyoal.
“Kerjalah umi. Tapi… awal lagi, kan. Kasilah chance
orang tidur kejap lagi. Orang cuti solat ni. Nanti bila umi dan
abah dah habis solat, baru kejutkan orang balik ek.”
“Awal Zara kata? Cik Zara Dania binti Muhammad
Zainal, tahu tak sekarang sudah pukul 7.10 minit pagi? Zara
nak pergi kerja atau tidak ni?” Puan Inara bercekak pinggang
sambil menanti respons daripada anaknya.
“7.10 minit pagi?” Soal Zara semula memandang
uminya yang sudah bercekak pinggang dengan wajah yang
sudah mahu berubah menjadi warna hijau itu.
Puan Inara mengangguk berkali-kali. Mengiakan
pertanyaan anaknya sambil menayang muka depan jam loceng
di depan mata si puteri. Biar anaknya itu nampak dengan jelas
jarum jam sudah bergerak dengan pantas. Bukan nak tunggu
dia.
“Oh… tidak!” Tiba-tiba Zara menjerit lantang. Dengan
pantas dia melompat turun dari atas katil.
“Kenapa umi tak bangunkan orang awal-awal? Kan
dah lambat! Ah… ni mesti mamat poyo perasan bagus tu
ambil peluang nak kenakan orang secukup rasa. Sudahlah hari
ni orang kena buat pembentangan mengenai projek Vila Jaya
tu depan wakil dari Smart Home Holding dan Meet Sdn. Bhd.
Kalau lambat, sah-sah mamat poyo tu akan jadi singa jantan
betul-betul. Oh… tak sanggup! Tak sanggup!” Zara membebel.
Terbayang wajah garang Hakimie yang rambutnya
sudah kembang ala-ala raja singa di depan mata. Glup! Gerun
pula dia bila bayangan itu terlayar di depan matanya.
Dia tak boleh lambat. Dia perlu sampai tepat pada
waktunya. Dia tak sanggup membiarkan telinganya bernanah
mendengar bebelan lelaki itu. Cukup-cukuplah dulu dia selalu
kena bebel dengan Puan Rohana. Jangan mamat poyo itu juga
memiliki perangai bebelan yang sama dengan Puan Rohana
pula.
‘Tulah… siapa suruh tidur lewat. Kan dah bangun
lambat.’ Otaknya mula marahkan diri sendiri.
“Jangan nak salahkan umi pulak ye. Umi dah kejutkan
Zara banyak kali. Zara tu yang liat sangat nak bangun.”
Pantas Zara mencapai tuala yang tersangkut pada
penyidai kayu. Laju dia bergerak menuju ke bilik air yang
terletak dalam kamar beradunya itu.
“Amboi… tu nak ke mana pulak tu?”
“Nak mandilah umi. Orang dah lambat ni.”
“Kalau ya pun, kemaslah dulu tempat tidur ni. Takkan
nak biarkan berselerak macam ni pulak.”
“Alaaa… orang dah lambat ni umi. Tak sempat nak
kemas.”
“Habis tu takkan nak biar macam ni?”
Zara yang sudah masuk ke dalam bilik air menjengulkan
semula kepalanya. Bibirnya terhias senyuman manis.
“Umi tolong kemaskan untuk orang ye. Boleh lerrr.
Thanks umi. I love you so much!”
Puan Inara menggeleng-gelengkan kepalanya.
Banyak cantik muka anaknya itu. Dia yang terlambat, uminya
ini pula yang terpaksa menjadi tukang kemas. Benar-benar
sudah melampau. Bersama bebelan yang panjang, Puan Inara
kemaskan juga tempat beradu anaknya itu. Sakit matanya
melihat tempat yang berselerak dengan bantal dan comforter
di sana sini.
Usai mandi, Zara terus menyarung baju yang telah siap
digosoknya semalam ke tubuhnya yang agak langsing. Dibelekbelek
dirinya di hadapan cermin hias. Hmmm… okeylah tu.
Kemudian, dia menyelongkar pula beg yang menyimpan
peralatan solaknya. Disolek wajahnya dengan solekan ala kadar.
Tak naklah make-up over sangat seperti si Kareena dan Wanie.
Nanti tak pasal-pasal orang kata dia ni copy-paste dua minah
tu pula. Hesy… tak naklah. Dia ini bukannya jenis perempuan
yang suka nak make-up tebal-tebal. Cukup dengan bedak, eye
liner dan lipstik, itu sudah memadai untuk dia berpenampilan
ke pejabat. Rambut pula sekadar diikat seperti ekor kuda sahaja.
Cukuplah Kareena dan Wanie sahaja yang suka bermake-up
tebal di pejabat mereka. Jangan ditambah dengan dia pula.
Selesai aktiviti berdandan, dia melangkah turun ke
bawah. Terkocoh-kocoh saja lagaknya. Jam di pergelangan
tangan tidak henti-henti dipandang. Harap-haraplah dia masih
sempat sampai ke ofis sebelum tuan ketuanya itu masuk.
Jika tidak… sah akan kena marah. Daripada pengamatannya
terhadap Hakimie, dia tahu lelaki itu ada ciri-ciri Puan Rohana
yang suka marah-marah itu.
“Zara… meh sarapan. Umi ada goreng nasi ni.” Ajak
Puan Inara sebaik sahaja kelibat anaknya yang terkocoh-kocoh
menuruni anak tangga itu kelihatan.
“Tak sempatlah umi. Orang dah lambat sangat-sangat
ni.” Lembut Zara menolak. Dia benar-benar sudah lewat.
“Laaa… kalau ya pun, makanlah sesudu dua aje. Nanti
kempunan. Dahlah awak tu pandu kereta.”
Zara mengalah. Dia segera ke meja makan dan
menyuap sesudu nasi goreng yang sudah umi hidangkan atas
pinggan ke dalam mulut. Kemudian air milo yang masih panas
itu dihirup. Adoi… terbakar lidah dia. Husy…
“Perlahanlah sikit. Panas air tu.” Tegur Puan Inara bila
melihat aksi kepanasan Zara yang sudah mengibas lidahnya
yang sedikit terbakar.
“Okeylah umi. Orang pergi dulu ye. Assalamualaikum.”
Tangan uminya dicapai lalu dia tunduk dan mencium hormat
tangan wanita yang paling dihormatinya itu. Sebuah ciuman
mendarat ke pipi uminya.
“Waalaikumussalam. Ye la. Hati-hati bawak kereta tu.
Jangan disebabkan lambat, Zara pandu laju-laju pulak.”
“Okey!” Hanya itu balasan Zara dan dia segera berlalu
keluar.
Puan Inara tergeleng-geleng melihat tingkah si anak
yang sudah masuk ke dalam perut kenderaan. Anak dengan
abahnya sama saja. Cuma makan sesuap, lepas tu kelam-kabut
pergi ke tempat kerja.
Hmmm…
ALHAMDULILLAH. Akhirnya dia sampai juga ke Star Properties
Sdn. Bhd. dengan selamat. Bukan main laju lagi dia memandu
tadi. Takut tak sempat sampai ke pejabat dalam masa yang
ditetapkan. Hari ini dia ada pembentangan. Disebabkan itu,
dia menjadi pengguna jalan raya yang kurang berhemah. Nasib
baiklah dia tak kena saman dengan mana-mana polis trafik tadi.
Bukan main lagi dia celok sana, celok sini.
Buatlah selalu ye Cik Zara Dania. Bak kata pepatah,
sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Nanti suatu hari jangan menyesal bila kena saman dengan
abang trafik.
Masa yang masih berbaki lima minit itu membuatkan
Zara tergerak hati hendak bersembang dengan Wanie sebentar.
Lagipun, mesyuarat bersama Smart Home Holding dan Meet
Sdn. Bhd, belum mula lagi. Dia ada sesuatu yang hendak
ditunjukkan kepada sahabat baiknya itu. Pasti Wanie kagum
dengan hasil seninya ini. Heheheee…
“Beb… kau nak tengok sesuatu tak?” Ujar Zara sebaik
mendekati meja Wanie yang terletak di bahagian hadapannya.
Wanie yang ketika itu sedang asyik menenyeh lipstik
warna pink kegemarannya itu agak terkejut. Mujur tak gugur
jantung. Lipstik yang ditenyeh pula sudah meleret sedikit dari
bibir. Terkeluar dari landasan bibirnya yang comel.
Ceh… comellah sangat! Perasan.
“Hesy… kau ni! Tak tahu nak bagi salam ke? Habis
rosak solekan aku ni.” Marah Wanie. Tisu dicapai lalu dia
mengesat sedikit kesan leretan lipstik warna pink pada bibir
yang mencacatkan penampilan wajahnya.
Zara pandang Wanie.
‘Hai… Wanie ni. Sama aje perangainya dengan si
Kareena tu. Asyik nak berdandan saja. Dah tu… semua kena
serba pink. Dah macam adik-beradik pink panther pulak aku
tengok.’ Dalam hati, Zara mengutuk.
“Alaaa… sudah-sudahlah tenyeh gincu tu Cik Nur
Hawanie oi. Kau dah cantik tu. Tak payahlah nak jadi kembar si
Kareena tu pulak.”
Wanie mencebik. Zara ni pandai-pandai aje kata dia
nak jadi kembar si Kareena mulut itik itu. Eiii… kalau nak jadi
kembar Kareena, memang dia tak sudi. Buang masa!
Lipstik jenama Mary Kay itu dimasukkan semula ke
dalam beg solekannya. Ke mana saja, beg sederhana besar yang
bisa menempatkan alatan solekannya itu pasti dibawa bersama.
Tak lengkap rasanya jika tiada beg itu bersamanya.
Kemudian Wanie mengangkat wajah memandang
Zara. Tersengih-sengih si kawan memandangnya.
“Hah… apa yang kau nak bagi aku tengok sangat tu?
Kau dapat cek besar ke?”
“Ini lagi besar nilainya daripada sebuah cek.”
“Ye ke? Hah… apa dia?”
‘Amboi… serius benar mak cik sorang ni hari ini.
Bukan main garang lagi. Mentang-mentang aku kacau dia
tengah bergincu. Terus nak marah-marah.’ Desis hati kecil Zara.
Zara tayang sengih dengan lebih lebar lagi. Lantas
kertas putih yang digulung itu ditebarkan depan muka Wanie.
Ha, biar Wanie nampak dengan jelas dan terang apa yang
dilukisnya.
“Tadaaa!” Ujarnya bersama sengihan. “Cantik tak?”
Soalnya minta pendapat Wanie pula.
Berkerut-kerut dahi Wanie melihat hasil lukisan Zara.
Ini manusia ke apa? Siap ada tanduk dan ekor lagi. Dah macam
nates pulak dia tengok. Tapi… apa mimpi Zara lukis si nates
ini? Takkan semalam mimpi berdating dengan nates penyesat
manusia ini. Cuma bezanya, si nates yang Zara lukis ini siap
bersut dan bertali leher lagi. Pakai kereta besar pulak tu. Nates
ada kereta mewah ke? Dan wajah si nates itu, bagaikan dia kenal
pula. Tapi… siapa ya?
Melihat dahi Wanie yang berkerut seribu itu, Zara
tersengih.
“Kalau kau nak tahu… inilah mamat poyo tu. Aku
bayangkan dia ada ekor dan tanduk. Sesuai kan, kan, kan!”
termuncung-muncung bibir Zara memberitahu tanpa dipinta.
“Mamat poyo mana pulak ni?” Semakin binggung
Wanie dibuatnya. Rambutnya yang dihiasi cekak rambut warna
pink itu digaru-garunya.
“Alaaa… mamat poyo mana lagi. Yang menggantikan
tempat Puan Rohana tu la. Kalau kau nak tahu, lelaki perasan
bagus itulah mamat poyo.” Jelas Zara dengan penuh semangat
waja. Usai menyiapkan hasil lukisannya itu semalam, barulah
dia dapat melelapkan mata dan tidur dengan lena sekali.
Bulat mata Wanie mendengar kata-kata Zara. Berani
benar sahabatnya itu menggambarkan majikan mereka dengan
sedemikian rupa. Padanlah wajah itu seperti pernah dilihatnya.
Giler! Otak Zara benar-benar sudah mereng nak cari pasal
dengan tuan ketua baru mereka. Tak puas-puas agaknya dulu
selalu cari masalah dengan Puan Rohana. Sampaikan dengan
ketua baru pun Zara nak cari penyakit jugak. Zara ni benarbenar
sudah terlebih gen brutal agaknya.
“Macam mana? Cantik tak hasil seni aku ni?” Zara
bertanya lagi minta jawapan yang masih belum diberikan.
Wanie yang hendak berkata sesuatu terhenti. Matanya
memandang tepat ke belakang Zara. Terkedu dia. Terasa perit
pula air liur yang melalui celah kerongkongnya ketika ini.
Sukar hendak ditelan.
“Beb… aku tanya kau ni. Cantik tak lukisan aku ni?
Yang kau buat muka macam monyet berak kapur tu buat apa?
Hah… ni mesti kau kagum tahap dewa tengok hasil lukisan
aku ni kan, kan, kan? Serupa, kan?” Sekali lagi dia bertanya
bertalu-talu. Tahulah lukisan dia tu memang hebat, tapi Wanie
janganlah buat muka macam tu pula.
‘Dah macam rupa cicak betina tertelan skru.
Heheheee….’ Hatinya mengutuk lagi.
“Hmmm… cantik! Pandai sangat awak melukis ya Cik
Zara Dania Binti Muhammad Zainal. Serupa sangat!” Ada suara
yang menyampuk dari belakang. Suara seorang lelaki dan Zara
sudah mengecam suara itu milik siapa. Glup! Dia telan air liur.
Perit pula rasanya, seperti ada duri buah durian pulak.
Perlahan-lahan dengan rasa takut-takut berani, dia
memusingkan badannya. Debaran di dada sudah menggila
bagai diamuk badai ombak di persisiran pantai. Cewah!
Zara cuba menenangkan dirinya biarpun dalam hati
sudah terdetik rasa gementar. Mana tak gementar sebab dia
tahu dia memang bersalah. Namun disebabkan egonya yang
melangit, Zara buat muka selamba biawak betina takde rasa
bersalah lintas tengah jalan.
Di hadapannya kini berdiri seorang lelaki yang
wajahnya baru saja dia inspirasikan dalam lukisannya semalam.
Punya serius wajah lelaki itu. Seratus peratus sama dengan
apa yang dilukisnya. Cuak dia sebentar. Takut juga kalau-kalau
lelaki itu mengamuk dek kerana hasil seninya yang terlebih
kreatif ini.
‘Tu la… siapa suruh pergi cari masalah. Kan dah
kantoi.’ Otak sudah mula mengejak tuannya.
“Ngeee… ermmm…” Zara kehabisan kata. Rambutnya
yang tidak gatal digaru berkali-kali.
“Lukisan ni saya simpan. Nanti saya nak dengar awak
buat pembentangan mengenai lukisan ni depan saya.” Selamba
Hakimie menarik kertas yang Zara pegang. Kemudian dia
melangkah laju tanpa menoleh.
Kareena yang begitu setia di sisi ketuanya sudah
tersenyum sinis. Suka hati dapat melihat wajah pucat Zara kena
serang hendap dengan Hakimie. Nampaknya, Hakimie tidak
sebulu dengan Zara. Ada chance la untuk dia terus mengurat
bosnya itu. Peluangnya dirasakan begitu cerah sekali kerana
belum pernah lagi Hakimie menyergah dia begitu sepertimana
Hakimie menyergah Zara.
Amboi… perasan betul si Kareena ini. Tahap keyakinan
yang sudah cukup melampau-lampau.
“Siaplah! Siapa suruh cari masalah?” Sebelum berlalu,
sempat Wanie berbisik sinis kepada Zara yang masih kaku di
mejanya. Bibirnya menguntum senyum sumbing
Farok yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi sudah
melepaskan keluhan. Zara ni memang tak sudah-sudah nak
cari bala. Dulu dengan Puan Rohana, sekarang dengan Hakimie
pula. Dia sudah faham benar dengan sikap Hakimie itu. Pasti
sahabatnya itu akan membuat pelbagai rancangan untuk
kenakan Zara lepas ni. Hakimie tu kalau dalam bab membuli ini
memang boleh tahan juga orangnya.
“Dah… jom masuk bilik mesyuarat. Encik Hakimie
dah tunggu tu.”
“Hah? Mamat poyo tu pun ikut meeting sama ke,
Encik Farok?” Terkejut Zara mendengar kata-kata Encik Farok.
Matanya membulat bagaikan biji guli.
‘Haish… dahlah mata tu sedia besar dan bulat, dibesarbesarkan
lagi macam tu. Bertambah besarlah jadinya. Dah
macam mata burung hantu.’ Wanie mengutuk dalam hati kala
terlihat mata bulat Zara yang menggerunkan.
Farok sekadar membalas dengan anggukan sahaja.
Rasa mahu gugur jantung Zara melihat anggukan di kepala
ketua kumpulannya itu.
Semakin menjadi-jadi pula Zara menggelar Hakimie
dengan panggilan mamat poyo. Kelakar namun tawa Farok
tetap ditahan. Zara memang terer bagi nama comel pada rakanrakan
sekerjanya. Semua ada nama manja mereka masingmasing.
‘Adoyai… apasal pulak mamat poyo tu nak ikut
meeting segala? Kan ini kerja kumpulan Encik Farok. Biar
sajalah Encik Farok yang uruskan meeting bersama Smart
Home Holding dan Meet Sdn. Bhd ini. Tak payahlah dia nak
menyibuk.’ Hatinya menggumam. Kurang suka bila Hakimie
turut serta dalam mesyuarat mereka.
‘Jangan nak mengada Zara Dania! Sedar sikit yang dia
tu ketua. Jadi dia memang berhak pun hadir dalam mesyuarat
ini. Kau tu… buat apa lagi tercegat dekat situ. Cepat! Nanti
angin lagi Encik Hakimie tu. Sudahlah kau ada hutang dengan
dia.’ Otak mula membebel marahkan tuan punya badan.
Zara mendecit. Hesy… ini yang lemau ni! Lemah
segala urat sendi.
USAI MEMBUAT pembentangan di hadapan Farok dan beberapa
orang wakil daripada Smart Home Holding dan Meet Sdn. Bhd
sambil diperhatikan oleh tuan ketua Encik Hakimie, Zara sudah
boleh menarik nafas lega. Senang hatinya bila dapat membuat
pembentangan dengan lancar dan baik.
Biarpun pada mulanya dia gementar hendak membuat
pembentangan di hadapan mamat poyo itu dan beberapa orang
wakil yang dihantar daripada Smart Home Holding dan Meet
Sdn. Bhd yang bekerjasama dalam projek Vila Jaya ini, namun
setelah menarik nafas, menenangkan diri dan memulakan
dengan lafaz bismillah, akhirnya dia berjaya juga melaksanakan
amanah yang diberi dengan tenang dan penuh keyakinan.
Tersenyum puas dia bila diberi tepukan yang gemuruh. Ratarata
memuji persembahannya yang begitu meyakinkan.
Nampaknya Farok juga amat berpuas hati dengan
pembentangan yang dipersembahkan oleh anak didiknya itu
hari ini. Awalnya dia kurang yakin juga dengan Zara. Tapi, bila
gadis itu sudah mula membuka mulut menghujahkan hasil
perbincangan mereka, dia amat-amat berpuas hati. Tidak salah
dia memilih Zara untuk menerajui projek kali ini. Pilihannya
memang tepat.
Cuma Hakimie, lelaki itu diam seribu bahasa. Seolaholah
persembahan Zara membentangkan kertas kerja di
hadapannya tidak berjaya menarik minatnya. Selamba saja dia
membelek-belek Samsung S4 di tangannya.
Ini membuatkan Zara mengetap bibir. Geram pula dia
dengan keselambaan Hakimie yang buat-buat sibuk itu. Sudah
banyak yang dia bentangkan, boleh pula lelaki itu buat tidak
kisah. Entah apa yang menarik sangat dengan telefon bimbitnya
itu. Tahulah telefonnya itu mahal. Tapi janganlah disebabkan
telefon mahal itu, perhatian pada pembentangannya tidak
diendahkan. Penat tau dia bercakap membentangkan hujah
untuk projek kerjasama ini.
“Kimie….” Seru Farok perlahan dan agak panjang.
Dia cuba menyedarkan tuan besar yang sudah hanyut dengan
telefon bimbit di tangan. Mesti tengah melayari laman sosial
Facebook. Kan Facebook menjadi kegilaan ramai sekarang ini.
Hakimie yang buat-buat sibuk mengangkat wajah.
Pandangannya ditala kepada Zara yang masih berdiri di
hadapan, membuatkan Zara melarikan pandangannya ke arah
lain. Lelaki itu, pandangan matanya cukup mengerunkan. Buat
Zara naik cuak saja.
“Okey! Bagus! Saya berpuas hati.” Ujar Hakimie
bersahaja. “Tapi… rasanya ada satu perkara lagi yang Cik Zara
lupa nak bentangkan depan saya pagi ni.”
Dahi Zara berkerut. Apa lagi yang dia lupa? Semua
telah dibentangkan. Tiada apa pun yang tertinggal.
Farok pandang Hakimie dengan dahi berlipat.
Setahunya, pembentangan Zara pagi ini semuanya sudah
dibentangkan dengan sempurna. Maklumlah… sebelum
membuat pembentangan kepada umum, dia sudah memeriksa
kertas kerja tersebut semalam dan berbincang dengan Zara.
Bila dirasakan semuanya lengkap, barulah kertas kerja itu
dipersetujui untuk dibentangkan kepada rakan kongsi mereka
untuk projek ini. Apalagi yang kurang agaknya?
‘Hakimie ini, macam-macam saja. Sikap cerewet tu tak
pernah nak hilang-hilang sejak dari dulu.’ Farok berkata dalam
hati mengomen sikap temannya itu.
Semua yang turut berada di bilik mesyuarat memberi
tumpuan kepada Hakimie. Serius benar raut wajahnya. Seperti
benar, Zara memang terlupa hendak membentangkan satu
perkara penting lagi.
“It’s okay. Yang tu… saya akan panggil Cik Zara
untuk buat pembentangan di depan saya nanti.” Ujar Hakimie
bersahaja.
Hati Zara dipagut resah. Apa pula yang hendak lelaki itu
suruh dia bentang lagi? Kan semuanya sudah jelas. Atau telinga
dia tu yang tersumbat tak dengar apa yang aku bentangkan.
Selesai sahaja mesyuarat dengan wakil Smart Home
Holding dan Meet Sdn. Bhd, Zara segera mengemas kertaskertas
kerjanya. Dia ingin segera melangkah keluar dari bilik
berhawa dingin itu. Namun, langkahnya terhenti bila namanya
dipanggil oleh Hakimie.
“Please wait a while, Cik Zara Dania. We’re not finished
yet. You still have another one more presentation session. Do
you remember?” Penuh lagak Hakimie menegah Zara daripada
berlalu dari bilik itu.
Zara ketap bibir. Baru saja dia nak memboloskan
diri. Lelaki itu terlebih dahulu menangkapnya. Menyuruh dia
tunggu. Hampeh! Ingatkan dapatlah dia memboloskan diri
dengan selamat tadi. Kantoi juga rupanya.
Farok dan lima orang pegawai yang diwakilkan daripada
syarikat masing-masing sudah keluar dari bilik tersebut. Begitu
juga dengan Kareena yang terpaksa keluar kerana dia perlu
melayan rakan kongsi mereka itu untuk menjamu selera di
bilik mesyuarat dua yang telah siap dihidang dengan juadah
makan tengah hari.
Mereka semua meninggalkan Zara yang tercegat di
tepi meja dengan wajah bengang. Bengang kerana dia saja yang
tidak dapat keluar daripada gua yang menyeksakan itu.
Lima minit berlalu, suasana antara Zara dengan
Hakimie masih lagi sepi. Ini membuatkan dia jadi bosan. Dia
mendengus. Kata ada lagi yang perlu dia bentangkan, tapi lelaki
itu buat selamba dengan menyibukkan diri dengan telefon
pintarnya itu. Langsung tidak bersuara dan mengendahkan
Zara yang tercegat bagaikan patung cendana. Kalau ada yang
tak faham tentang apa yang dia bentangkan tadi, tanyalah cepat.
Jangan buang masa dia pulak. Dia masih ada kerja yang perlu
diselesaikan.
“Ehem…” Akhirnya Zara berdehem.
Hakimie angkat wajah. Keningnya dinaikkan ala-ala
The Rock dengan wajah ‘stone’. Cukup menyakitkan hati.
“Tuan Ketua yang budiman lagi bijaksana… ada apaapa
lagikah yang perlu saya bentangkan? Kalau ada yang Tuan
Ketua tak faham… saya boleh jelaskan untuk Tuan Ketua
memahaminya.” Kerek semacam ayat Zara. Nampak sangat ayat
tak puas hati.
Hakimie tarik sengih. Dia kemudian menyandar pada
kerusi kulit yang didudukinya. Perempuan itu kalau bersuara,
memang tak sah jika tiada ayat-ayat manis untuk menyindir.
“Memang ada perkara yang saya tak faham. Saya harap
awak dapat bentangkan perkara ni dekat saya. Saya teringin
sangat nak tahu tentang kertas kerja awak yang satu lagi ni.”
Hakimie turut menggunakan ayat kerek seperti Zara. Kertas
putih itu dibentangkan di atas meja.
Zara menggigit bawah bibirnya. Terlupa dia pada
hasil lukisannya yang menjadi barang rampasan Hakimie
tadi. Ingatkan lelaki itu sudah lupa pada hasil kreativitinya
itu, rupanya belum. Glup! Dia telan air liur. Tak tahu nak buat
pembentangan apa tentang hasil seninya yang terlebih itu.
“Zara Dania… I’m waiting.” Desak Hakimie setelah
Zara mendiamkan diri. Tubuhnya masih dipeluk dengan gaya
bersahaja. Konon buat gaya begitu, gaya macholah.
Zara tidak menjawab. Dia kehabisan modal untuk
berkata-kata. Dia mengaku memang salahnya kerana telah
melukis imej lelaki itu dengan keadaan yang tidak sepatutnya.
Disebabkan sedar akan kesalahannya itu, dia tidak mampu
untuk membalas kata.
“Awak diterima bekerja di sini untuk menjadi seorang
arkitek. Bukannya sebagai seorang pelukis kartun. Kalau
awak dah teringin sangat jadi seorang pelukis, baik awak tak
payah jadi arkitek. Baik awak bekerja di syarikat-syarikat yang
memerlukan khidmat lukisan awak. Dekat sini, saya perlukan
awak untuk menjadi arkitek Star Properties. Melukis gambaran
bangunan perumahan, bukannya melukis imej orang.” Ujar
Hakimie.
Tiada jawapan. Zara masih terus mendiamkan diri
dengan kepala yang sudah tunduk memandang lantai.
“Sebagai hukuman kepada apa yang awak lakukan ni,
saya mahu awak kemas meja saya setiap hari. Pagi dan petang.
Pagi sebelum saya masuk ke pejabat dan petang selepas saya
balik. Saya mahu awak pastikan meja dan bilik saya sentiasa
berada dalam keadaan kemas. Tak mahu ada habuk walau sebesar
kuman sekalipun.” Hakimie sudah menjatuhkan hukuman.
Terkedu Zara mendengar hukuman yang diberikan.
Apa ni? Kenapa aku perlu lakukan semua tu pulak? Kan itu
kerja Kareena. Biarlah Kareena yang buat.
“Tapi Encik Hakimie… kan itu tugas Kareena. Dia...
kan setiausaha Encik Hakimie. Sepatutnya kerja-kerja macam
itu, dialah yang kena buat.” Zara memberanikan diri untuk
membantah. Memang patut pun dia membantah sebab dia
masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan selain mengemas
bilik mamat poyo itu.
“I know but this is my instructions as your boss. Saya
berhak menentukan sesiapa saja yang saya nak suruh untuk
buat kerja tu. Awak tak boleh menolak.”
“Tapi…”
“Saya tak suka staf yang banyak bunyi dan membantah!”
Hakimie meninggikan sedikit suaranya. Pantang benar dia
dengan pekerja yang suka membangkang. Suka bertapi-tapi.
Kusss… semangat! Mahu gugur jantung Zara
mendengar nada suara Hakimie yang sedikit meninggi itu
membuatkan bahunya terenjut.
“Awak boleh keluar sekarang. Pastikan petang ni awak
kemas bilik saya selepas saya balik. Selagi saya tak balik, selagi
itulah awak juga tak boleh balik.”
“What?” Bulat mata Zara mendengar arahan tersebut.
Eiii… Hitler!!!! Rasa mahu dia cekik-cekik leher lelaki
itu. Arghhh… tak sukanya!!!
Ikutkan hati, mahu dia buat laporan pada pihak
atasan mengenai sikap ketua barunya itu. Biar kena brainwash
ketuanya itu. Sedangkan Datuk Haji Omar sendiri tidak pernah
buat begini kepada stafnya. Tetapi lelaki ini… melebih-lebih
pulak! Macamlah dia tu bos besar.
Dalam keterpaksaan, Zara akur juga. Dengan hati yang
sebal dan marah-marah, dia melangkah keluar meninggalkan
bilik mesyuarat itu. Hari ini, satu hari moodnya kurang baik.
Semua gara-gara arahan mandatori daripada Hakimie. Macam
arahan hukuman mati saja!

No comments:

Post a Comment