Tuesday, 5 April 2016

RAFIQUE'S GIRL - BAB 3



D’Jammerz Music & Studio

Kad di tangan dibelek. Membaca setiap perkhidmatan yang disediakan oleh kedai muzik dan studio D’Jammerz. Menjual peralatan muzik, membaiki alat muzik, perkhidmatan studio rakaman, sistem bunyi, mixing, mastering, live band dan bermacam-macam lagi.

Nama ahli D’Jammerz turut tertulis di bahagian depan kad yang dihulur Joseph malam tadi. Joseph, Danial, Shark, Togel dan Anis. Anis? Kenapa bukan Mira? Pelik!

Pintu bilik diketuk. Rafique menyelitkan kembali kad nama di tangan ke dalam dompet. “Masuk...”

“Kau nak jumpa aku, Raf?” soal Zaid seraya melabuhkan punggung di kerusi berhadapan meja Rafique.

Hmmm.... pasal projek yang aku beritahu kelmarin. Kau dah suruh orang buat feasibility study?” soal Rafique kepada rakan kongsinya.

“Dah. Seminggu dua lagi boleh siap kut reportnya. Baik betul Dato’ Syed tu kongsi tips dengan kau. I have a very good feeling about this deal...”

“Aku pun... Dato’ dah banyak sangat projek dalam tangan. Kalau gearing syarikat dia terlampau tinggi susah pulak nak menjawab dengan bank. Tu yang dia pas kat aku. Kalau okey, kita nak labur sendiri atau nak cari investors macam sebelum ni?” soal Rafique ingin mendengar pendapat Zaid.

Hmmm... kalau report tu positif, kita labur sendiri pun okey jugak. Lepas kita flip, keuntungan dapat kat syarikat. Kalau cari investors, kita cuma dapat komisen... which to me is also fine. Sebelum ni pun, majoriti income kita daripada komisen je...”

Rafique mengangguk. Betul. Dia juga berpendapat yang hampir sama dengan Zaid. Lega kerana mereka sering sehaluan dan pendapat Zaid amat penting bagi dirinya. Walaupun dirinya pernah bekerja di bank pelaburan bertahun-tahun lamanya dan banyak menimba ilmu dalam sektor pelaburan dan perbankan serta mahir dalam bidang kewangan korporat, namun Zaid bukanlah calang-calang orang. Zaid mempunyai kepakaran teknikal dalam pelaburan, penilaian hartanah, ekuiti dan mempunyai portfolio cemerlang dalam perniagaan yang berisiko tinggi, lebih-lebih lagi jika melibatkan wang pelabur. Dan semestinya, lagi tinggi risiko sesuatu perniagaan itu, lagi tinggi pulangan serta keuntungannya.

“Aku setuju, bro. Komisen yang kita dapat separuh tahun ni je cukup untuk syarikat kita bernafas tiga tahun yang akan datang ni. Jadi, tak salah kalau kita sendiri yang invest dalam pembelian tanah tu...”

Great! Kita sependapat. Aku blah dulu, Raf. Nanti kau tolong tengokkan valuation report untuk saham syarikat Gemilang tu ya? Aku dah pas pada Hani. Dia tengah semak. Lepas tu dia akan pas kat kau... Aku nak jumpa potential investor. Apa-apa aku roger...”

Rafique mengangguk. “Good luck! Don’t come back empty handed!”

Zaid ketawa kecil. Pesanan yang sama diucap Rafique setiap kali Zaid ingin berjumpa dengan pelabur baharu dan selama ini memang dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja fail baharu yang dibuka sebagai bukti usahanya berhasil.

Suatu keluhan lega dilepaskan Rafique. Alhamdulillah. Syarikat yang dibangunkan hampir tiga tahun yang lalu bersama Zaid Abdullah, yang mula dikenalinya ketika mereka sama-sama berkhidmat di bank pelaburan dulu semakin berkembang dan berjaya. Tidak pernah berminat untuk mengambil alih perniagaan tekstil yang diusahakan abinya, dia memilih untuk berdikari. Mula-mula kerja makan gaji namun beralih ke dunia perniagaan milik sendiri. Dia penat. Dan kadang-kadang tertekan. Namun dia puas!

Rafique mengilas jam di tangan. Alamak. Dia sudah terlewat. Lupa yang dia harus ke KLIA untuk menyambut kepulangan adiknya dari Paris kerana ibu dan abinya yang kini berada di Bangkok tidak dapat menjemput adiknya itu. Adiknya seorang lagi pula ke India kerana menghadiri mesyuarat dengan syarikat pembekal di sana. Masaklah telinganya kena bebel sekiranya dia lewat nanti. Bergegas dia bangun. Kocek seluar diseluk untuk memastikan kunci keretanya masih di tempat yang disimpan tadi. Pantas kaki melangkah meninggalkan ruang pejabat di tingkat dua, rumah banglo yang telah diubahsuai menjadi pejabat ini.

***********

Dhamira mencampak kunci kereta ke atas meja kopi. Dia menghenyakkan punggung ke atas sofa. Dia tersandar lesu. Mata dipejam dan tangan disilang ke dahi. Tahan Mira... tahan... Namun agak sukar. Air mata yang ditahan sepanjang sesi temu bual tadi kini semakin sukar untuk disimpan dalam kolamnya.

Ya Allah... apa yang dia pernah rasa dan pernah lalui sebelum ini nampak amat kecil jika dibandingkan dengan pengalaman Zara yang ditemu ramah tadi. Bodohnya dia menangis bagai nak rak, membayangkan tiada guna meneruskan hidup tanpa si dia, menyangkakan hidupnya telah hancur, sedangkan di luar sana, ramai lagi gadis yang diduga dengan dugaan yang begitu hebat. ‘Bodoh kau Mira, so stupid and so selfish! Kau ingat diri kau tu penting sangat ke sampai semua orang susah hati tengok kau merana dulu. Untuk apa? Untuk seorang lelaki? Sia-sia je...’ marah Dhamira.

Diri terasa lemah. Bagaimana hendak menguatkan semangat untuk menulis tentang Zara? Cukup kuatkah dia?

Inilah kerja yang dilakukannya sejak setahun lalu. Seorang penulis bebas untuk bermacam-macam jenis genre, namun kini dia sering menyumbangkan artikel untuk majalah bertemakan remaja, kerana di situlah dia menemui minat yang semakin mendalam. Menyelami masalah sosial dalam kalangan remaja dan mengupasnya untuk dijadikan pengajaran kepada para remaja lain. Dalam mula-mula menulis tentang destinasi percutian, perasmian restoran, butik, hotel dan sebagainya, hinggalah mengulas tentang buku, filem dan muzik, dia menerima tugasan untuk menulis tentang kegiatan menjual dadah kepada pelajar sekolah menengah serta universiti. Kemudian, dia menulis pula tentang pusat perlindungan yang baharu dibuka di Gombak untuk gadis-gadis yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan dia terus tahu. Inilah minatnya... inilah kekuatannya... inilah yang dicari jiwanya...

“Kak Yang?”

Dhamira mencelikkan mata. Pipi yang basah diseka perlahan.

Bad day?” soal Danial lembut lalu mengambil tempat di sebelah Dhamira. Bahu si kakak ditarik rapat ke dada.

Kepala diangguk. “One of the worst...”

Danial mengeluh. “Boy tak faham kenapa bidang ni la yang Kak Yang minat. Why do you put yourself through this?”

“Untuk mengingatkan akak yang nasib orang lain kat luar sana lebih teruk daripada akak. Untuk mengingatkan akak untuk sentiasa bersyukur. Dan untuk akak sumbangkan sesuatu kepada masyarakat kat luar sana through my writing...”

“Kisah apa pulak kali ni?”

“Budak lepasan SPM yang dirogol oleh abang-abang sendiri. Tiga orang syaitan semuanya. Mak bapak tak tahu... Bila tahu, mak dia report polis walaupun kehidupan diaorang sekeluarga susah dan bergantung sepenuhnya pada anak-anak lelaki untuk makan minum mereka. Dalam sekelip mata tiga orang anak lelaki yang menjadi sumber pendapatan keluarga masuk penjara. Kesian sangat...”

“Astaghfirullah...” keluh Danial kesal. Abang sendiri? Darah daging sendiri? Apa sudah jadi dengan masyarakat Melayu kita? “Pompuan tu?”

“Mengandung. Tak sure bapak budak tu siapa. Dia pun tak nak tahu. Tak akan merubah apa-apa katanya. Sekarang kat pusat perlindungan. Sebab dia masih trauma... takut untuk menghadapi masyarakat luar... Masih perlukan kaunseling,” jelas Dhamira lagi. “Lepas ni, setiap kali lepas solat, Boy tolong doakan si Zara ni ya. Kesian dia...”

Danial mengangguk. Sudah beberapa nama yang diberi kakaknya untuk disebutkan dalam doanya. Kini bertambah lagi satu. Biarlah. Bukannya susah pun nak doakan untuk kesejahteraan orang lain. Dapat pahala lagi! “Papa mesti bangga tengok Kak Yang sekarang...” bisik Danial. “Because I am so proud of you!” Ya. Dia memang bangga kerana dia tahu Dhamira bukan sekadar menulis. Bukan sekadar bercerita. Pasti beribu-ribu ringgit telah dihadiahkan kepada si gadis dan juga pusat perlindungan yang menempatkan Zara.

Terharu. “Thanks... Papa pun mesti bangga tengok Boy. Dulu Boy asyik dengan muzik. Perform sana perform sini. Sampai final exams pun cukup-cukup makan je. Tapi tengok Boy sekarang. Ada kedai muzik dan studio sendiri, walaupun kongsi dengan Jo. Business macam tu punya kencang pun Boy masih nak perform sana sini. Kenapa?”

“Muzik tu nyawa Boy, kak. Walaupun kadang-kadang bayaran yang kita orang dapat tu ciput je, tapi kepuasan yang Boy rasa tu tak dapat nak dinilaikan dengan wang ringgit. Tapi yang paling penting, I enjoy doing it. Perasaan ni sama dirasakan Jo, Togel dan Shark. Untuk Togel, muzik untuk lepaskan stress bekerja sebagai engineer. Shark pun sama. Kerja penat-penat kat ofis, muziklah oksigennya ...”

Dhamira tersenyum. Mula-mula dulu dia tidak percaya Togel tu seorang jurutera jentera. Dengan kepala botak dan telinga bertindik, memang nampak macam bouncer! Shark pula seorang arkitek. Tapi di luar waktu pejabat, dia bertukar menjadi seorang ahli muzik rock! Dua kali pandang macam mat fit pun ada...

Joseph, Togel dan Shark, mereka bertiga ini sebaya. Umur mereka lima tahun lebih tua daripada dirinya dan Danial. Mereka bertiga berkawan rapat sejak sekolah menengah lagi. Sudi menerima Danial sebagai ahli kumpulan mereka setelah pemain gitar utama mereka meninggalkan D’Jammerz untuk berhijrah ke Australia.

“Sama macam Kak Yang kan? Dunia penulisan ni is your oxigen... your chicken soup for the soul, betul tak?”

“Hei! Akak bukan loser okey? Well... dulu mungkin, tapi sekarang tak lagi...”

Pecah tawa Danial. Dhamira juga.

Feel better, kak?”

Pandangan penuh kasih dihantar ke arah Danial. Danial ni memang tau! Cepat sahaja dia bisa keluar dari zon kesedihan.

Yes... much better... Cuma bila akak mula menulis artikel tentang kisah ni nanti, Boy memang kena ada untuk selalu pujuk akak dan naikkan semangat akak... like always...”

Danial mengangkat tangan kanan dan didekatkan ke kening. Lagak seorang askar yang menabik ketuanya. “Beres, Kak Yang! Boy tahu tugas Boy!” Apa sahaja demi kakaknya... Apa sahaja...

“Eh, akak tak pergi KLIA ke? Fika balik hari ni kan?”

Dhamira mengilas jam Tag Heuer di tangan. “Hmmm... dia dah sampai kut ni. Dia pesan jangan datang. Abang dia yang akan jemput. Nanti dia call...”

“Kak Yang mesti tak sabar nak jumpa dia, kan? Dah lebih dua tahun dia kat sana...”

Hmmm... mestilah tak sabar. Tiga tahun kita orang kongsi bilik masa kat kolej. Lepas grad, dia sambung belajar sambil bekerja kat Paris. Sibuk memanjang sampai tak sempat nak balik KL. Masa tengah cuti pulak, dia bekerja... respek akak dengan anak Lord macam tu...” Ada nada bangga di situ. Shafika memang lain daripada yang lain.

“Eleh... dia pun anak Lord jugak, cakap orang...” usik Danial.

Dhamira menjeling adiknya. “Tapi Shafika lain... Dia sudi berkawan dengan kita padahal masa tu dia ingat kita ni orang biasa-biasa je. Dia tak kisah pun kita ni siapa. Dan bila dia tahu kita ni siapa... takde apa-apa pun yang berubah. Sekali pun dia tak pernah cuba nak ambik kesempatan atau pergunakan kita macam yang lain-lain tu. Akak dah jumpa dengan ramai orang kat luar tu, tapi susah nak jumpa dengan orang yang betul-betul ikhlas macam Fika...”

Danial mengakui kata-kata kakaknya itu. Shafika memang baik. Kembarnya juga begitu. Dalam memilih kawan, Danial serta Dhamira cukup berhati-hati. Penat melayan hati yang tergores apabila sering dipergunakan demi kepentingan masing-masing, sebaik sahaja mereka tahu tentang latar belakang keluarga Danial dan Dhamira. Dari zaman persekolahan lagi mereka sudah melaluinya. Budak-budak kecik pun tahu nak pilih bulu. Maka kerana itu, semakin usia mereka menginjak dewasa, papa mereka memilih untuk melindungi identiti sebenar mereka adik-beradik daripada umum. Demi keselamatan mereka juga. Cukup hanya segelintir yang tahu. Lagipun, kini mereka hidup dalam keadaan biasa-biasa sahaja. Bukan seperti dulu. Tidak terlalu menonjol dan tidak terlalu mewah... kecuali kereta Mini Cooper S dan Nissan Fairlady, masing-masing milik Dhamira dan dirinya. Itu memang tak boleh nak elak... Kegilaan yang tidak dapat dijelaskan... hehe...

“Boy pun lama tak lepak dengan Shaf... dia pun asyik sibuk. Yalah, dah kerja dengan abi dia memanglah sibuk. Dahlah abang diaorang tak minat dengan business tekstil tu... Nak kerja sendiri. Sudahnya Shaf la yang kena...”

Hmmm... pelik kan? Sejak berkawan dengan Fika dan Shaf, sekali pun kita tak pernah jumpa dengan abang diaorang tu. Si mamat sejuk beku tu...”

Gelak Danial mendengar gelaran yang diberikan oleh Shafika untuk abang sulungnya itu. Selamba saja dia mengutuk abang sendiri. Dasar pembelot. Sudah lama dia tidak mendengar omelan Shafika tentang si mamat sejuk beku tu.

Alaaah... kita kan belajar kat JB. Bila bercuti, kita balik Shah Alam, Shaf dengan Fika balik KL. Kita pun mana pernah pergi rumah Shaf? Tiap kali diaorang ajak, mesti kita ada hal keluarga. Selalu macam tu... Sudahnya, sekali pun kita tak pernah ke sana...”

“Mak ayah diaorang pun kita tak pernah jumpa. Tapi akak tak sabar betul nak jumpa Fika... akak rindu sangat dengan dia...”

“Dia tahu?” soal Danial perlahan.

Dhamira mengangguk. Wajahnya bertukar suram. “Shaf pun tahu. Kembar berdua tu mana boleh ada rahsia? Tapi akak tak kisah... Akak percaya pada diaorang berdua...”

“Padanlah Shaf selalu tanya Boy sama ada akak okey ke tak... Ingatkan saja tanya khabar. Boy takdelah nak tanya macam-macam. Takut yang dia tak tahu lagi...”

“Shaf pernah datang jenguk akak tak lama lepas akak cerita pada Fika. Dia risaukan akak. Masa tu Boy ada kat KK. Ada show kat sana. Akak lupa nak cerita dengan Boy...”

“Oh... takpelah... Elok gak Shaf tengokkan akak masa Boy takde...”

Dhamira diam. Bukan sekali dua Shafique datang menjenguknya. Berkali-kali. Cuba menaikkan semangatnya yang telah mati ketika itu.

“Nanti kita sama-sama jumpa diaorang la ya? Mesti havoc nanti...”

“Okey, kak. Minggu ni Boy free. Takde show... Ada kerja sikit je kat studio... Beritahu je Boy nak jumpa kat mana. Nanti Boy join sekali.”

Dhamira mengangkat dua-dua ibu jari tanda ‘beres’.

“Boy lapar... nak masaklah... Kak Yang nak makan apa?” soal Danial sambil berdiri.

Mata Dhamira membulat. Tawaran yang jarang-jarang dibuat adiknya. Maka sekali tawaran dilontarkan, Dhamira pasti tidak akan melepaskan peluang. “Nak nasi goreng paprik dengan telur dadar?”

“Siap!” jerit Danial. Lagak cef di gerai makan sahaja... Koyak bibir Dhamira dengan senyuman.

“Nak akak tolong?” tawar Dhamira pula.

“Tak payah. Akak buat artikel akak tu cepat-cepat. Nanti bila Fika dah ada kat KL, mesti tak jadi kerja apa pun... asyik nak melepak je kerja...”

Giliran Dhamira menabik hormat adiknya. “Ai ai, bos!” Comel saja lakunya.

Pecah tawa kedua-dua beradik itu... Dan apabila kelibat Danial hilang di balik pintu dapur, tawanya mati lantas satu keluhan berat dilepaskan. Mengumpul kudrat dan semangat untuk mengubah isi temu ramah tadi, daripada bualan dan rakaman ke bentuk tulisan dan penceritaan. Mampukah dia? Wajah Zara bermain di ruang mata. Wajah yang bersih lagi polos. Bercerita dengan suara yang tertahan-tahan menahan sebak. Gadis itu kini berusia sembilan belas tahun. Masih terlalu muda.

Anak yang dilahirkan Zara pula dibela oleh pak cik dan mak ciknya kerana keluarganya tidak mampu membesarkan anak kecil, namun sehingga kini Zara masih belum bisa menerima kehadiran anak kecil itu walaupun si anak tidak bersalah... Anak itu mirip abang-abangnya... jadi dia tidak kuat untuk menghadapi anaknya sendiri. Dia tidak mampu... Kesian Zara... ‘Ya Allah... Kau berikanlah ketabahan dan kekuatan kepada hamba-Mu, Zara. Temukan dia dengan sinar harapan dan kebahagiaan yang dicari. Hadirkan rasa reda dengan ujian-Mu di hatinya...’ Dhamira menitip doa.

Di dalam hati, dia bertekad untuk tidak lagi menyesali atau meratapi kehilangan masa lalu. Sesungguhnya kekecewaan serta keremukan hatinya dulu bagaikan sebesar kuman sahaja. Langsung tidak setanding dengan tekanan perasaan dan jiwa yang dirasai Zara serta beribu lagi gadis-gadis lain di luar sana. Kisah gadis-gadis yang pernah ditemu ramah dulu seperti Aida, Hanim, Mazwin dan ramai lagi, bisa meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Dan dia masih mengenangkan peristiwa dulu? Sia-sia saja!

Wake up and smell the roses, Mira! Pandang depan... lupakan kisah lalu... You can do it!’


No comments:

Post a Comment