Pelukan dua
orang sahabat itu seakan tidak mahu dilepaskan. Ingin meledakkan rindu yang
bersarang di hati. Lebih dua tahun mereka terpisah... banyak yang telah berlaku
dalam tempoh itu... Dan rasa terkilan dan kesal di hati Shafika kerana tidak
dapat pulang sewaktu Dhamira diduga dengan begitu hebat masih menebal... Sukar
baginya untuk pulang memandangkan baru beberapa bulan dia menjejakkan kaki ke
kota Paris. Rasa diri gagal sebagai seorang sahabat... Semasa Dhamira jatuh dia
tiada, tapi kini Dhamira sudah bangkit kembali. Apa-apa pun, dia amat-amat
bersyukur...
“Kau dah
kurus, Fika...” bisik Dhamira perlahan menahan sebak. Pelukan dirungkaikan
lambat-lambat.
“Sebab aku nak
comel macam kau...” balas Shafika juga dengan suara yang serak. Dhamira menepuk
bahu Shafika. Tahu Shafika mengusik ketinggian serta saiz badannya yang sering
dipanggil kemetot. Terburai tawa Shafika.
“Hoi, korang. Duduk boleh tak? Kalau korang nak buat drama air mata kat sini,
aku nak blah. Nanti orang rekod pakai
smart phone, viralkan aksi terlebih mesra korang ni, aku tak tahu... Aku tak nak
masuk campur...”
Spontan kepala
Dhamira dan Shafika berpaling. Dan spontan juga tangan mereka menampar bahu
kiri dan kanan Shafique. Kuat. Menyeringai Shafique kesakitan. Si Danial pula terkekek-kekek
melihat muka cemberut Shafique. Padan muka!
“Hoi!
Sakitlah! Kureng...” jerit Shafique.
Shafika menjelirkan lidah sebagai balasan. Geram dengan kata-kata kembarnya
sebentar tadi.
“Duduklah woi! Orang dah tengok pelik korang bertiga ni...” gesa Danial. Dia
menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Yang lain pantas ikut serta setelah
menyedari berpasang-pasang mata di sekeliling mereka memandang mereka dengan
senyuman sinis. Sibuk je!
“Aku nak
merajuk ni. Dah berapa hari kau balik, baru hari ni kau call aku untuk jumpa...” adu Dhamira dengan suara yang konon
berkecil hati. Mulut dimuncungkan sedikit.
Danial menjulingkan
mata ke atas. Over betul!
“Sorrylah... aku sampai je KL, mula-mula sekali aku kena ziarah
kawasan... ramai sangat nak kena jumpa... kena balik kampung untuk mencemar
duli lagi... Kalau tak, telinga aku tak tahan kena bebel dengan nenek sebab
balik tak jumpa sanak keluarga... Habis belah ibu dengan abi aku kena round...
Penat sangat...” ngomel Shafika.
Dhamira
mendengar dengan tekun penceritaan temannya. Tahu dia akan kewujudan keluarga
Shafika yang agak besar itu. Tidak seperti dirinya dan Danial...
“Kau apa
cerita? Masih cover cerita pasal
masalah remaja?” soal Shafika.
Dhamira
mengangguk. Meluncur dia bercerita tentang perkembangan kariernya sebagai
seorang penulis bebas. Shafika asyik mendengar. Sekali-sekala dia akan mencelah
untuk bertanyakan dengan lebih terperinci aktiviti-aktiviti luar yang dilakukan
Dhamira untuk mendapatkan sesuatu cerita. Sungguh menarik dirasakan kerjaya
temannya ini.
“Nanti kau
boleh tuliskan artikel untuk butik aku?”
Mata Dhamira
membulat. Lebar senyumannya. “Kau nak bukak
butik?”
“Tu masih
dalam perancangan sebab dari dulu lagi cita-cita aku nak bukak fashion house aku sendiri. My own label...”
Dhamira
menepuk tangan tanda teruja. “Waaaa....
bestnya... excited gila aku dengar beb!”
Tersenyum
Shafika, Shafique serta Danial melihat gelagat Dhamira. Macam budak kecik!
“Wanna be my business partner?” Shafika
membuat tawaran. Keningnya dijongket-jongketkan.
Senyuman di
wajah Dhamira tambah memekar. “I thought
you’d never ask!! Tapi setakat aku jadi silent
partner bolehlah beb. Aku tak
tahu apa-apa pun pasal fashion. Tahu
beli dan pakai je. Nak run a business pun aku tak tahu. Jadi
kalau kau perlukan pelaburan dari segi kewangan, aku on je beb!” Dhamira terharu Shafika menawarkan peluang pelaburan
untuknya. Dia yakin dengan kemampuan Shafika. Shafika seorang yang rajin dan kuat
berusaha. Suka berdikari dari dulu lagi. Setelah tamat pembelajaran dalam
bidang seni reka fesyen di kolej, Shafika telah menyambung pengajiannya di
Paris. Belajar sambil bekerja di bawah pimpinan pereka fesyen terpilih di sana.
“Aku masih
berbincang dengan abi dan Shaf. Diaorang
kan dalam business tekstil, jadi
berkait rapat dengan kerja aku nanti. Jadi aku nak dapatkan pendapat dan
nasihat abi tentang rancangan masa depan aku...”
“Beres, dah
ada business plan nanti beritahu
aku...”
“Eh, aku kau
tak nak ke?” soal Danial mengusik. “Aku pun boleh je jadi silent partner...”
“Kau biar
betul, Boy! Kau nak ke jadi partner
kepada dua orang pompuan yang kepala
tak berapa nak betul ni?” tanya Shafique pula. Dia menahan tawa. “Kang, dengan
kepala kau sekali jadi biul...”
“Hei!!” jerit Dhamira
dan Shafika serentak. Kepala tak berapa betul? Cis! Kureng!
Danial serta
Shafique berbalas tepukan high five!
Berdekah-dekah mereka ketawa. Suka benar dapat mengenakan Dhamira serta
Shafika.
“Takdelah... aku gurau je. Biarlah aku jadi partner kepada Jo sorang... Korang berdua venturelah sendiri. Aku tak nak masuk campur. Aku tahu pasal muzik je, pasal fesyen memang out,” ujar Danial dengan tawa yang masih
bersisa.
Seketika itu
telefon bimbit Shafique berbunyi. Sambil dia menjawab telefonnya, yang lain
sibuk memanggil pelayan untuk memesan makanan dan minuman mereka.
“Siapa Shaf?”
soal Shafika setelah melihat Shafique mematikan talian.
“Along...”
jawab Shafique. “Dia tanya kita kat mana. Dia tertinggal kunci rumah jadi dia
akan singgah sini untuk ambik kunci
aku... ada barang yang dia nak ambik
dari rumah tu...”
“Oh...” balas
Shafika. “Aku dah order untuk kau dah...”
Shafique
mengangguk. “Thanks...”
Begitu rancak keempat
orang sahabat itu berbual. Persahabatan yang terjalin sejak hari pertama Dhamira
menapakkan kaki ke pusat pendaftaran kolej mereka, semakin hari semakin utuh. Tatkala berkenalan dengan Shafika, gadis yang
menjadi teman sebiliknya sepanjang perjalanan pengajian mereka walaupun
berlainan bidang, secara automatik Dhamira diperkenalkan kepada Shafique,
kerana di mana ada Shafika, di situ ada Shafique dan sebaliknya.
Sama juga
keadaannya dengan Dhamira dan Danial. Danial yang diamanahkan papa mereka untuk
menjaga dan melindungi Dhamira telah menjadi bayang-bayang kakaknya sendiri.
Sehinggakan sesiapa yang berkawan dengan Dhamira secara automatik akan berkawan
dengan Danial dan sebaliknya. Akibatnya, Dhamira, Danial, Shafika dan Shafique sukar
dipisahkan. Jika mahu mencari Danial, tanya sahaja salah seorang daripada yang
tiga lagi. Pasti akan bertemu jawapannya.
Sesiapa yang
tidak mengenali Dhamira dan Danial pula pasti akan menganggap mereka berdua ini
berpacaran. Apa taknya? Walaupun Dhamira memegang pangkat kakak, wajahnya yang
polos serta keanak-anakan dibandingkan dengan wajah dan perwatakan Danial yang
sangat matang membuat seseorang itu berfikiran Danial adalah lebih tua daripada
Dhamira, padahal mereka sebaya walaupun bukan kembar. Dan Danial memikul amanah
yang dipertanggungjawabkan papa mereka dengan serius. Maka pergerakan serta
pergaulan Dhamira dikawal rapi. Lebih kepada lagak seorang kekasih daripada
seorang adik. Semua yang ingin rapat dengan Dhamira akan ditapis. Yang menjadi
kesalahan besarnya ialah kesilapan pertimbangan ketika menapis makhluk Allah
yang seorang itu... Dia gagal menapis dengan betul. Dan rasa kesal yang
dirasakan hingga kini seakan tidak bertepi.
Tidak ramai
yang tahu hubungan sebenar mereka berdua kerana mereka amat berahsia. Shafika
dan Shafique pun hanya mengetahui tentang Dhamira yang mempunyai pertalian
darah dengan Danial setelah enam bulan mereka berkawan. Dalam tempoh tersebut,
kebaikan serta keikhlasan kedua kembar itu tidak dapat disangkal. Maka Dhamira
tidak takut untuk berkongsi latar belakang keluarga mereka dengan Shafika dan
Shafique. Dan ternyata kepercayaan yang diletakkan di bahu mereka berdua ini
tidak pernah dikhianati.
Danial
mengilas pandang ke arah kakaknya. Wajah ceria Dhamira memancarkan seribu
kebahagiaan. Sudah agak lama kakaknya tidak segembira ini. Terlampau ralit Dhamira
serta Shafika bertukar-tukar cerita, sehinggakan Danial dan Shafique langsung
tidak dipedulikan. Sedang asyik bercerita dan bergurau senda, kerusi di sebelah
Shafique ditarik. Kuat kedengaran bunyi geseran kaki kerusi di atas lantai.
Putus terus
kata-kata Dhamira dengan gangguan bunyi yang datang secara tiba-tiba. Dia
memanggung kepala. Ingin melihat gerangan makhluk yang sedang mengambil tempat
di antara Shafique dengan Shafika. Membulat matanya pabila pandangannya
menangkap renungan daripada tuan punya mata. Mamat ni?
Rafique juga
terkedu sebenarnya melihat identiti kawan-kawan lepak adik-adiknya ini. Setelah
menelefon Shafique tadi dan dimaklumkan tentang sesi perjumpaan dengan teman
lama di restoran mamak ini, Rafique bergegas ke sini semata-mata untuk
mendapatkan kunci rumah orang tua mereka yang tertinggal di dalam kondonya. Sudahlah
ibu dan abi mereka tiada di rumah. Bibik
mereka juga tiada, maka dia tiada pilihan lain. Kunci Shafique terpaksa
dipinjam. Kalau tidak, berjanggutlah dia terpaksa menunggu di luar rumah...
Setelah
memarkirkan keretanya, dia sudah dapat menangkap figura Shafika yang sedang
berbual dengan seorang gadis. Shafique pula enak berbual dengan rakan lelaki
yang duduk di sebelahnya. Mereka duduk di bahagian kaki lima di luar restoran. Apabila
langkah semakin dekat, barulah dia dapat melihat dengan jelas wajah teman
adik-adiknya. Ahli kumpulan D’Jammerz rupa-rupanya... Dan gadis itu... masih
bersanggul tinggi namun kali ini tiada kebaya yang menyalut tubuhnya. Cuma tersarung
jersi pasukan Liverpool yang bersaiz dua kali lebih besar daripada saiz sebenar
gadis itu dan jean lusuh berwarna biru.
“Hmmm along dah sampai?” soal Shafique
berbasa-basi. Dia menyeluk kocek seluar jeannya. “Nah kunci rumah... Kata nak
cepat kan?”
Rafique
mengalihkan pandangan daripada mata bulat Dhamira. Dia menoleh ke kiri. Tangan
menyambut huluran kunci daripada Shafique.
Danial
berbalas pandang dengan kakaknya. Menghantar mesej melalui isyarat mata. ‘Mamat ni ke abang diaorang ni?’ Dhamira menjongket bahu.
Shafique masih
menunggu abangnya bereaksi. Pelik melihat abangnya yang masih duduk. Tadi kata
penat. Tadi kata nak cepat balik rumah. Ni kenapa tak bangun-bangun lagi?
“Korang tak makan ke?” suara dalam
Rafique pertama kali menyapa halwa telinga Dhamira. Rasanya ketika malam
kenduri kahwin di Dewan Perdana Felda baru-baru ni, mamat ni langsung tidak bersuara. Hanya Uncle Syed tu sorang saja yang ramah berbual dengan mereka. Pertama
kali mendengar suara mamat ni, kenapa
dadanya berdebar? Terus berkerut dahinya.
“Dah order
dah... tengah tunggu...” balas Shafique. “Eh, along, kenalkan... Ni Danial dan
yang duduk antara Danial dengan Fika tu Mira... kawan kita orang dari kolej...”
Shafique memandang ke arah Danial dan Dhamira pula. “Korang, ni along aku dengan Fika, Rafique...”
“Kita orang
dah pernah jumpa dah abang korang ni
minggu lepas... Kat kenduri kahwin anak Dato’ mana entah... Cuma tak tahu yang dia
ni along korang...” balas Danial.
Tangan tetap dihulurkan ke hadapan walaupun muka kerek mamat ni memang macam nak minta kena penampar je sebenarnya. Dahlah tak berkelip pandang Dhamira.
“Oh ya ke?”
soal Shafika pula. Danial mengangguk.
Suasana yang
tiba-tiba sepi mengundang rasa yang amat janggal di hati Dhamira. Sesungguhnya
kehadiran lelaki ini telah membuat dia rasa kurang selesa. Padahal tadi bukan
main rancak dia bercerita. Kenapa ya? Mungkin sebab abang Shafika ini orang
yang tidak dikenalinya. Maka rasa janggal dan kurang selesa itu bukanlah
sesuatu yang tidak normal.
Seorang
pelayan menghampiri meja mereka. Ingin mengambil order tetamu yang baru
menyertai mereka. Shafique ingin menyuruh pelayan tadi pergi memandangkan
abangnya ingin lekas-lekas pulang ke rumah, namun sebelum sempat dia
berkata-kata, Rafique sudah membuat pesanan. Eh? Apa hal?
Shafique
berbalas pandang dengan kakak kembarnya. Kening dijongketkan. Shafika
menjulingkan mata ke atas. Seolah-olah berkata, ‘macam-macamlah mamat sejuk beku ni...’
Suasana
semakin canggung. Mereka tidak tahu apa yang mahu dibualkan.
“Korang kenal dari zaman kolej ke?
Maknanya dah lamalah berkawan...” suara Rafique memecah keheningan suasana.
‘Dan maknanya dah lamalah si mamat pemain
gitar ni bercouple dengan si Mira
ni...’ gumam Rafique di dalam hati. Namun tidak dinafikan terselit rasa kesal
kerana jarang-jarang dia mengambil tahu tentang kehidupan adik-adiknya terutamanya
semasa mereka berdua menyambung pelajaran ke peringkat kolej di Johor Bahru.
Dengan siapa mereka rapat berkawan pun dia tidak tahu. Kerja di bank pelaburan
dengan waktu kerja yang tidak menentu membuat dia leka dalam dunianya. Langsung
tidak peka...
“Hmmm... dari hari pertama lagi, long...
Fika satu bilik dengan Mira walaupun kita orang ambik jurusan berbeza...” jelas Shafika. “Shaf dengan Danial pulak sama course tapi tak sama bilik...”
Kening Rafique
terjongket. Hai... Pemain gitar ni belajar jurusan perniagaan? Biar benar!
Danial
memahami riak yang terlayar di wajah Rafique. Jelas lelaki itu memandangnya dengan
sebelah mata. Seperti yang lazim terjadi. ‘Apa? Ingat orang yang main muzik ni
semua tak berpelajaran ke? How typical!’
Danial menghantar pandangan mengejek. Mahu Rafique sedar yang dia tahu apa yang
terlintas di fikiran Rafique tadi.
Rafique
mengangguk. Rasa sedikit bersalah kerana memandang rendah pada keupayaan orang
lain. “Padanlah ada kedai muzik sendiri...” ujarnya perlahan.
“Mira ambik course apa?” Mata dilabuhkan pada
wajah gadis itu. Tanpa sebarang solekan, Dhamira kelihatan seperti seorang
budak sekolah. Wajah yang polos, unik dan apa yang Uncle Syed cakap hari tu? Classic Malay beauty? Hmmm... Kalau nak ikutkan, Dhamira
bukanlah seorang gadis yang tergolong dalam kategori drop dead gorgeous. Nak kata gorgeous
saja tanpa ‘drop dead’ pun tak berapa
tepat... tapi... kenapa ya? Mata milik Rafique seolah-olah tidak mahu
melepaskan wajah itu? Dan rambut yang terlepas daripada ikatan sanggul dan
jatuh di tepi telinga Dhamira kelihatan amat seksi sekali. Lebih-lebih lagi
pabila ditiup angin malam yang sekali-sekala berhembus.
Terangkat bahu
Dhamira mendengar namanya disebut. Terkejut. “Errr...”
Belum sempat
dia menjawab pertanyaan Rafique, pelayan tadi datang menghidangkan makanan yang
telah dipesan. Penuh meja mereka. Rafique seorang sahaja yang tidak memesan
sebarang makanan. Cukup dengan teh tarik segelas.
Rafique
memegang gelas di hadapannya. “Siapa order
Nescafe ais?”
“Errr... saya...” jawab Dhamira perlahan.
Rafique
menghulurkan gelas di tangan kepada Dhamira. Seketika, jarinya tersentuh dengan
jari gadis itu. Hampir terlepas gelas di tangan. Seperti terkena renjatan
elektrik. What the heck? Syukur gadis
itu sudah menyambut gelas tadi.
Dhamira
tunduk. Mengapa jarinya terasa seperti sesemut akibat sentuhan yang tak sampai
sesaat tadi? Terasa mencucuk-cucuk...
“Yang...
tolong pas kuah kari tu...” tajam mata Danial menangkap apa yang terjadi
sebentar tadi. Sengaja dia mahu mengalihkan perhatian kakaknya. Wajah Rafique
dijeling tajam. Danial menyedari rahang Rafique bergerak-gerak seperti sedang
mengetap gigi sebaik sahaja mendengar panggilan ‘Yang’ tadi.
Dhamira yang
tidak menyedari suasana tegang antara Danial dengan Rafique menghulurkan piring
berisi kuah kari ikan seperti yang diminta adiknya. Shafique serta Shafika sudah
mula menjamu selera.
“Boy...”
rengek Dhamira sambil mengunyah. “Besar sangatlah roti naan ni... nanti tak
habis...”
“Takpe... Yang makan dulu, ya? Kalau Yang
tak habis, Boy habiskan...” Lembut sahaja butir bicara Danial. Seperti biasa.
Seperti selalu... Cebisan roti naan di pinggir bibir Dhamira dibersihkan dengan
jari. “Comotnya Yang ni... cuba makan elok-elok sikit...”
Dhamira tersenyum
manja ke arah adiknya. Seperti biasa. Seperti selalu...
‘Boleh tak aku
nak muntah hijau sekarang?’ gerutu Rafique di dalam hati. Dia mengilas pandang
ke arah Shafika dan Shafique. Ingin melihat reaksi mereka. Takkan takde rasa meluat langsung? Ke dari
kolej lagi mereka berdua ni dah biasa buat aksi terlebih gedik macam ni? Hmmph!
“Eh, kau takde show ke minggu ni?” soal Shafique
sambil mengunyah mi goreng. Langsung tidak menyedari kepanasan hati abangnya.
“Shark ada
hal. Jadi kita orang takde gig. So, minggu ni off. Lagipun aku ada kena buat kerja sikit kat studio...”
“Eh... cakap
pasal studio, baru aku teringat. Aku nak buat iklan radio untuk promo branch baru kedai kain yang kita orang
nak bukak kat Bangi. Agensi dah buat jingle semua tapi aku tak berkenan
dengan suara pompuan yang nyanyi tu.
Aku nak suara Mira, boleh?”
Tersedak
Dhamira jadinya. Terbatuk-batuk dia. Spontan Danial mengangkat tangan lalu
mengusap perlahan belakang tubuh kakaknya. Gelas air suam di hadapannya
disuakan dekat dengan mulut Dhamira. Dhamira membuka mulut lalu meneguk rakus.
Dibiarkan sahaja Danial yang memegang gelas.
Panas mata
Rafique melihat gerak laku Danial serta Dhamira. Sungguh kurang sopan
bersentuh-sentuhan di khalayak seperti ini. Anak muda zaman sekarang memang
sudah hilang rasa malu agaknya! Langsung tiada adab! Bibir diketap kuat.
“Kau ni nak
bunuh aku ke Shaf?” bentak Dhamira. Perit terasa anak tekaknya tersedak ketika
sedang menelan cebisan roti naan yang penuh bergelumang dengan kuah dal.
Kening Rafique
terjongket sebelah. ‘Amboi boleh tahan kasar jugak minah ni!’
“Sorry, sorry...” sukar bagi Shafique
untuk menelan tawa. “Aku tanya elok-elok camtu
pun kau boleh terkejut?”
Dhamira
menjeling geram. “Sakit tekak aku siot!”
‘Okey... minah ni memang ganas...’ desis Rafique.
“Alah... kau ni pun. Perkara kecik macam
ni pun nak kecoh. Bukannya aku suruh kau menari gelek kat depan kedai kain aku tu.
Aku nak kau nyanyi lagu iklan je...
Muka kau pun orang takkan nampak. Bukan untuk siaran TV. Radio je pun...” Shafique membela diri.
“Forget it! Tak minat,” balas Dhamira.
Mata kembali dilabuhkan ke pinggan.
“Alaaaaa....” Panjang betul bantahan
Shafique. “Tolonglah... bukannya buat kerja free!
Aku bayarlah...” Shafique cuba memujuk. Wajah Danial dicari. Isyarat mata
dihantar agar Danial memujuk Dhamira. Dia tahu Dhamira selalunya akur akan
pujukan atau permintaan Danial. Kalau nak harapkan dia, memang akan fail!
“Berapa lama jingle tu Shaf?” soal Danial.
“Tiga puluh
saat. Lagu dalam dua puluh saat macam tu, lepas tu penyampai akan bersuara...”
Danial
mengangguk tanda mengerti. “Kenapa nak guna suara Mira?”
“Aku nak suara
orang yang lunak. Yang merdu bak buluh perindu gitu. Yang seksi dengan
tersendirinya...”
Terbeliak mata
Dhamira. Kureng!
“Kau nak rasa
penampar aku ke bro?” soal Danial.
Shafique
ketawa kuat. “Dah kau tanya, aku jawablah... Tapi memang betullah apa yang aku
cakap tu. Biar orang dengar je suara
Mira, lepas tu terus tergoda nak cari kedai aku... Sama macam orang tergoda nak
beli roti Gardenia dengar suara pompuan
tu menyanyi oh Gardenia... enaknya
dimakan begitu saja...” Kata-kata Shafique diakhiri dengan lagu iklan roti
Gardenia.
“Kau ni memang
gila, Shaf. Sengal! Mana ada orang tergoda nak makan roti lepas dengar suara pompuan menyanyi? Melampau kau ni!”
bidas Dhamira.
“Mungkin untuk
kau tak... tapi untuk aku ya... Sebab tu aku suka makan roti Gardenia...”
Shafique tersengih.
Danial
menggeleng kepala. Memang dah tersampuk agaknya si Shafique ni. Entah apa yang
direpeknya.
“Blahlah kau!” Dhamira mencemik.
Tidak berkelip
mata Rafique melihat perbalahan mesra di meja mereka. Shafika sahaja yang tidak
turut serta. Terlalu enak menjamu selera. Matanya sering berkalih daripada
Shafique ke Danial dan kemudian ke Dhamira silih berganti. Bergantung pada
siapa yang sedang berbicara.
“Yang... no harm apa... Boy okey je dengan cadangan Shaf tu...” lembut
suara Danial.
“Kau ni,
Mira... dengan kawan pun nak berkira... masa ni la nak tolong kawan...” celah
Shafique. Pantas Danial menjeling ke arah Shafique. Jelas memberikan isyarat
agar Shafique mengunci mulut dan biarkan dia seorang sahaja yang memujuk
Dhamira.
Dhamira
terkedu. Teringat akan kepayahan Shafique berulang dari KL ke Shah Alam,
kadang-kadang ketika lewat malam, semata-mata untuk menjenguknya suatu waktu
dahulu. Ketika tu, dia masih tinggal di rumah peninggalan papanya di Shah Alam.
Adakah Shafique kini sedang mengungkit segala kepayahannya dan mahu kebaikannya
dibalas?
“Yang...” seru
Danial.
Dan lelaki
yang duduk di antara Shafique dengan Shafika semakin panas punggung.
Bulat mata Dhamira
membalas pandangan Danial. Akhirnya dia mengangguk. Setuju.
“Yes!” jerit Shafique sedikit kebudak-budakan.
Shafika yang
ralit menghabiskan maggi goreng mencebik. Rindunya nak makan maggi goreng ni! “Macam
budak-budak kau ni, Shaf.”
Kening Rafique
bercantum. Begitu mudah dia dipujuk? Panggil ‘Yang’ je terus setuju? Kuasa apa yang dipegang lelaki bernama Danial ini
sehinggakan mudah sahaja si gadis memberikan persetujuan?
Dhamira
menolak pinggan ke arah Danial. Selera dia sudah mati. “Boy... tak habis... dah
kenyang...”
Rafique
mengerling ke arah baki roti naan di atas pinggan Dhamira. Masih banyak. Sudah
kenyang atau sudah hilang selera? Hanya kerana bersetuju meminjamkan suara
untuk iklan radio yang disebut Shafique tadi? Pelik!
“Yang...
banyak lagi tu. Boy pun dah kenyang makan roti canai ni...”
Muncung mulut Dhamira
mendengar penolakan Danial. “Tadi kata nak tolong habiskan? Membazir je...” ngomel Dhamira.
“Meh sini saya
habiskan...”
Empat pasang
mata sama-sama terbuntang melihat orang yang bersuara tadi menarik pinggan Dhamira
rapat ke hadapannya. Namun, mulut Dhamira seorang sahaja yang ternganga. Dia
cuba menarik kembali pinggannya. “Eh, jangan! Sisa saya tu...”
Kuat Rafique
memegang pinggan Dhamira. Menahan pinggan plastik berwarna biru itu daripada
bergerak. Pandangan tajam dihantar ke arah Dhamira. “Tadi kata tak nak membazir
kan? Jadi biarlah saya yang habiskan...”
Tanpa disedari
Danial mahupun Dhamira, Shafique dan Shafika saling berbalas pandang. Okey, ni
bukan abang yang dikenali mereka. Makan bekas orang yang dia tidak kenal? Jangankan
bekas orang yang dia tidak kenal, yang dikenalinya pun tak tentu dia akan sudi
menjamah.
Nak tak nak, Dhamira
terpaksa melepaskan pinggannya. Dia menelan liur. Rasa pelik, rasa hairan, rasa
segan pun ada... Kenapa mamat ni?
Danial melihat
Rafique mencubit roti naan dan mencecah pada kuah dal. Laju sahaja cebisan roti
naan masuk ke dalam mulut. Seperti yang pernah terdetik di benaknya selepas
pertemuan pertama mereka di Dewan Perdana Felda minggu lepas, dia bertanya
sendirian. Inikah lelaki yang dicarinya?
No comments:
Post a Comment