Tuesday, 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 7

HARI kedua menemani Puan Mariam, Qistina
diperkenalkan kepada doktor peribadi Puan Mariam, Dr.
Ilyas Khan. Qistina tidak menyangkakan bahawa doktor yang
menziarahi Puan Mariam dua kali seminggu merupakan doktor
muda warganegara Britain berketurunan Pakistan. Orangnya
tinggi, kacak dan pemurah dengan senyuman. Terlintas di
hati Qistina seketika bahawa sekiranya pemuda ini tidak
menjadi seorang doktor, pastinya dia akan disambar menjadi
model atau hero filem Bollywood. Begitu terserlah aura dan
ketampanannya.
Dr. Ilyas Khan melangkah masuk ke dalam bilik Puan
Mariam tepat jam 9.00 pagi diiringi Ian Iskandar dan Natalie
Brown. Qistina bersama Puan Mariam baru selesai bersarapan
pagi. Terpegun Qistina seketika memandang wajah Dr. Ilyas
Khan sebelum bangun untuk meninggalkan bilik Puan Mariam
memandangkan ini merupakan sesi rawatan yang tidak
memerlukan kehadiran Qistina. Dia juga merasakan terlalu
ramai di dalam bilik itu dan tidak mahu berada dalam ruang
‘sesak’ bersama Ian Iskandar. Cukuplah dia merasa sesak ketika
makan malam bersama lelaki itu.
Dr. Ilyas Khan perasan akan kehadiran Qistina sejak
dia masuk ke dalam bilik Puan Mariam lagi. Dia tidak pernah
bertemu dengan gadis itu dan dia tahu gadis itu bukanlah anak
perempuan Puan Mariam.
“Morning Mariam. How are you today?” Selepas
Puan Mariam membalas sapaan Dr. Ilyas Khan, Dr. Ilyas Khan
menoleh ke arah Qistina yang baru melangkahkan kaki untuk
berlalu dari bilik Puan Mariam.
“And who is this lovely young lady?” Dr. Ilyas Khan
bertanya lagi sambil tangannya melambai ke arah Qistina.
Qistina berhenti melangkah. Semua mata bertumpu ke wajah
Qistina.
“Oh doc, meet my companion Qistina. She’s from
Malaysia. Qistina, meet Dr. Ilyas Khan…” Puan Mariam
bersuara.
Dr. Ilyas Khan menjungkitkan keningnya. “From
Malaysia? That’s nice. Hi Qistina! Qistina? Hmmm… what a
lovely name. Nice to meet you. Just call me Ilyas…”
Qistina mengukirkan senyuman manis menerima
salam perkenalan Dr. Ilyas Khan. Ian Iskandar mengerutkan
dahinya. Mengapa Qistina tidak pernah senyum sebegitu
kepadanya sebelum ini. Dia turut perasan riak Qistina ketika
pertama kali melabuhkan pandangan ke wajah Dr. Ilyas Khan
tadi. Terpikatkah gadis itu kepada doktor ibunya? Hatinya
diruntun rasa cemburu. Cemburu? Biar betul!
“Nice to meet you too, doc!” Qistina kurang selesa
untuk memanggil doktor muda itu dengan panggilan nama
Ilyas seperti yang diminta.
“Excuse me… I’ll leave madam into your hands…”
Dr. Ilyas Khan membalas senyuman Qistina. Hati Ian
Iskandar semakin panas. Hati Puan Mariam pula tersenyum
girang… suatu rancangan mula berligar-ligar di kepalanya.
Pemeriksaan Dr. Ilyas Khan mengambil masa lebih
kurang setengah jam. Perbincangan mengenai prestasi Puan
Mariam dibincang antara Puan Mariam, Dr. Ilyas Khan, Natalie
Brown dan Ian Iskandar secara tertutup. Qistina menunggu di
ruang tamu.
Pintu bilik Puan Mariam dibuka. Jururawat berambut
kuning keluar ke ruang tamu dan memanggil Qistina masuk ke
dalam. Natalie Brown pula mengambil tempat Qistina di ruang
tamu.
‘Hesy, sombong betul minah ni. Tak reti senyum ke?’
Getus Qistina dalam hati apabila ucapan terima kasih Qistina
tidak mendapat sebarang reaksi daripada jururawat itu.
Qistina mengetuk pintu bilik Puan Mariam dengan
perlahan dan terus membukanya. Dia tahu dia tidak perlu
menunggu sebarang panggilan daripada Puan Mariam untuk
masuk. Hanya mengetuk sekadar untuk memenuhi adab masuk
ke dalam bilik.
“Madam panggil saya?” Lembut Qistina bertanya. Dia
melihat Ian Iskandar dan Dr. Ilyas Khan masih berada di dalam
bilik Puan Mariam.
Puan Mariam mengangguk sambil tersenyum.
“Qistina, I have been told that you are the reason
why Mariam is feeling so cheerful today. You have lifted her
spirits and this is good for her.” Dr. Ilyas Khan memuji. Qistina
malu dipuji begitu sedangkan ini baru hari kedua dia menjadi
peneman Puan Mariam. Pipinya terasa hangat.
“I’m sure it’s not me, doc. This is only my second day
as her companion…” Qistina mengambil sikap merendah diri.
Renungan tajam daripada Ian Iskandar mendebarkan hatinya.
‘Kenapa pulak mamat ni tengok aku macam nak telan
je? Apa salah aku? Takkan marah kot doktor tu puji aku?’
“Well, don’t be so modest! You know, now that the
weather is good, Mariam could do with a stroll outside. Maybe
you can accompany her to the park?”
Qistina teruja mendengar cadangan Dr. Ilyas Khan.
Tidaklah dia dan Puan Mariam asyik terkongkong di dalam bilik
ini sahaja. Boleh juga keluar mengambil angin, memandangkan
cuaca sedang panas.
“I’d love to! Madam, are you okay with this?”
Puan Mariam tersenyum. Dia pun sudah lama tidak
keluar dari biliknya. Dia tidak digalakkan keluar ketika cuaca
sejuk. Tidak elok untuk kaki dan kesihatannya. Dia teringin
sangat hendak bersiar-siar di taman namun Ian Iskandar terlalu
sibuk untuk menemaninya.
“Yes, absolutely! Maybe we can go this evening?”
Qistina mengangguk sambil tersenyum.
‘Cantiknya lesung pipit dia ni!’ Ian Iskandar memuji.
Geram!
“Good! I’ll be off now! I’ll see you beautiful ladies next
Tuesday!” Dr. Ilyas Khan meminta diri.
Ian Iskandar mengetap bibir melihat Qistina tersipu
mendengar ucapan selamat tinggal daripada Dr. Ilyas Khan.
Ian Iskandar mengikut Dr. Ilyas Khan keluar dari bilik Puan
Mariam.
Puan Mariam menggenggam tangan Qistina.
“Saya dah tak sabar nak keluar petang ni. Saya dah
lama tak keluar bilik. Bosan sangat! Rindu nak tengok dunia
luar…”
“Jangan risau, madam. Saya akan bawak madam keluar
jalan-jalan hari ni. Kita pergi taman, ya. Ambik angin.”
Puan Mariam mengangguk. Tidak sabar dia!
“So, apa pendapat Qistina tentang doktor saya?
Handsome tak?” Puan Mariam cuba memancing.
Di hati Qistina, Ian Iskandar lebih kacak daripada Dr.
Ilyas Khan, namun pendapat itu sekadar dipendam dalam diam.
“Handsome, madam. Kenapa? Madam nak mengurat
ke?”
Tawa Puan Mariam terletus dengan kuat mendengar
usikan Qistina. Tiba-tiba Ian Iskandar masuk ke dalam bilik
Puan Mariam. Tawa Puan Mariam masih bersisa. Ian Iskandar
memandang ibunya kehairanan. Jarang-jarang sekali ibunya
ketawa begitu sekali. Wajah ceria Qistina juga dipandang sekilas.
“What’s so funny, mummy?”
“Tak ada apa-apa, dear. Cuma ada sesuatu yang Qistina
katakan…” Puan Mariam sengaja membiarkan penjelasannya
tergantung begitu sahaja. Ian Iskandar memandang Qistina
yang masih tersenyum. Pelik juga dia apabila ibunya mula
menggunakan bahasa Melayu apabila bercakap dengannya
walaupun disebut sepatah demi sepatah.
“Katakan tentang apa?” Ian Iskandar bertanya tidak
puas hati.
“Tentang Dr. Ilyas…” Puan Mariam mengamati riak
wajah Ian Iskandar. Ia berubah tegang seperti yang diharapkan.
“Run along, dear. Mummy tahu Ian dah lambat ke
tempat kerja…” Puan Mariam ‘menghalau’ Ian Iskandar. Dia
tidak mahu anaknya bertanya dengan lebih lanjut lagi. Dia
mahu Ian Iskandar memikirkan tentang perkara ini di dalam
kepalanya hingga ke petang.
Ian Iskandar mengeluh. Dia menghampiri Puan
Mariam dan mengucup dahinya. Tanpa berlengah, dia berlalu
meninggalkan bilik Puan Mariam tanpa mengerling ke arah
Qistina. Marah agaknya. Tapi mengapa, ya?
Qistina mencapai surat khabar dari atas meja dan
mula membeleknya. Dia mula membaca berita terkini yang
terpapar di surat khabar dan Puan Mariam antara mendengar
dengan tidak. Puan Mariam tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatiannya kepada berita yang dibacakan Qistina. Dia masih
teringatkan reaksi anaknya sebentar tadi apabila melihatkan Dr.
Ilyas Khan memberikan perhatiannya kepada Qistina. Dia tahu
rancangannya pasti akan berjaya.
QISTINA DUDUK di atas bangku bersebelahan Puan Mariam
yang duduk di atas kerusi rodanya. Suasana taman yang ceria
melahirkan senyuman di bibir Puan Mariam. Kanak-kanak
berlari berkejaran. Pengunjung taman Hyde Park ada yang
berkelah dan ada yang berbaringan dan bersantai di atas
rumput. Semua menikmati cuaca panas yang muncul begitu
sekejap dalam masa setahun.
Qistina memerhatikan pasangan-pasangan yang
berjalan berdua-duaan dan ada juga yang membawa anak-anak
mereka bersantai bersama. Ketika pandangan Qistina tertancap
kepada sepasang orang tua yang kelihatan dalam lingkungan
usia Mak Esah dan Pak Atan, hatinya dibuai rasa sayu dan
kerinduan yang amat dalam.
“Kenapa, dear?” Qistina menoleh dan mendapati Puan
Mariam sedang memandangnya. “Qistina rindukan keluarga di
Malaysia?”
“Eh, taklah madam. Saja je tengok orang yang lalulalang
depan mata… errr.. madam selesa?” Pantas Qistina
mengalihkan topik perbualan.
“I’m okay. Seronok dapat keluar petang ni jalanjalan…”
Qistina dan Puan Mariam saling berbalas senyuman.
“Qistina… kenapa saya rasa yang hati Qistina bukan
di sini?”
Berkerut dahi Qistina memikirkan soalan Puan
Mariam.
“Maksud madam?”
“Qistina suka kerja dengan saya?”
“Mestilah suka, madam. Saya bersyukur sangat dapat
menemani madam setiap hari…”
“Saya mengingatkan Qistina kepada ibu Qistina
sendiri?”
Qistina melarikan pandangannya. Puan Mariam
langsung tidak menyerupai ibu Qistina. Walaupun Puan Mariam
seorang mualaf, namun kepatuhannya terhadap suruhan Ilahi
seharusnya membuat Puan Sri Ani Suraya berasa malu. Sangat
malu!
“Madam tak macam ibu saya…” Perlahan Qistina
berbicara. “Ibu saya lain…”
“Lain macam mana?”
Qistina terdiam.
“Qistina, kalau awak tak mahu cerita pada saya,
it’s okay. Saya tak mahu membangkitkan sesuatu yang
membuatkan awak rasa tidak selesa.”
“Terima kasih, madam. Saya belum bersedia
menceritakan hal peribadi saya pada madam. Tak menarik
pun…” Ujar Qistina sambil tersenyum. Tawar.
“Madam, ceritalah pasal pengalaman madam bekerja di
KL dulu. Madam suka tinggal di Malaysia?”
“Amboi! Pandainya dia tukar topik! Huh, clever girl!”
Puan Mariam berseloroh. Kepalanya digelengkan sedikit.
Sengehan di bibir Qistina membuatnya tertawa kecil.
“Okay, fine! We’ll do it your way.”
Masa di taman dihabiskan mendengar Puan Mariam
menceritakan pengalamannya bekerja di ibu negara dan
bagaimana dia telah jatuh cinta dengan segala apa yang berkaitan
dengan Malaysia. Rakyatnya, makanannya, pantainya, cuacanya,
sejarahnya… segalanya. Lama Puan Mariam bercerita. Cuma
Puan Mariam langsung tidak bercerita mengenai bapa Ian
Iskandar. Qistina pula tidak mahu bertanya. Seperti mana Puan
Mariam tidak memaksanya menceritakan kisah peribadinya
sebentar tadi, Qistina juga akan menghormati pendirian Puan
Mariam jikalau dia tidak mahu menyentuh apa-apa perkara
berkenaan bapa Ian Iskandar.
Qistina tergelak mendengar Puan Mariam memaksa
dirinya membiasakan diri memakan buah durian, walaupun
terlampau perit untuk ditelan pada mulanya. Setelah mencuba
beberapa kali, barulah rasa buah durian itu selesa di tekaknya.
Begitu juga dengan sambal belacan.
Hampir dua jam mereka berada di taman itu. Masa
berlalu dengan pantas sekali. Qistina senang bersama Puan
Mariam dan begitu juga sebaliknya.
“Madam, kita kena balik ke rumah sekarang... Insya-
Allah hari Isnin depan kita datang lagi, ya.” Memandangkan
Qistina hanya bekerja separuh hari pada hari Sabtu, cuaca yang
terlampau panas pada waktu pagi dan tengah hari, tidak berapa
sesuai untuk membawa Puan Mariam ke taman. Qistina bangun
dari bangku dan mula menolak kerusi roda Puan Mariam
menuju ke rumah.
Setibanya di rumah, Natalie Brown sudah pun pulang.
Jadi Qistina menawarkan diri untuk membantu Naseem
membersihkan tubuh Puan Mariam. Ian Iskandar pulang
ke rumah tidak lama selepas itu. Ketika dia masuk ke dalam
bilik Puan Mariam untuk bertemu ibunya, dia melihat Qistina
sedang duduk di atas katil ibunya sambil menyisir perlahan
rambut ibunya. Sejuk hatinya melihat gadis itu melayan ibunya
dengan lembut. Qistina masih tidak menyedari kehadiran Ian
Iskandar di dalam bilik itu.
Qistina juga tidak menghiraukan waktu kerjanya
yang sudah lama tamat. Dia tidak mahu terlampau berkira
dengan Puan Mariam, apatah lagi Puan Mariam begitu baik
terhadapnya. Dia melakukan segalanya dengan ikhlas.
Puan Mariam mendongak dan melihat anaknya di
muka pintu asyik memerhatikan Qistina. Dia biarkan sahaja.
“Thanks, dear. Apa kata kalau Qistina pergi berehat
dulu, hmm?”
Qistina bangun. Dia meletakkan sikat rambut di
atas meja dan menghulurkan tangan untuk menyalami Puan
Mariam. Tangan Puan Mariam dikucup lembut.
“Saya masuk bilik dulu, madam. Esok pagi saya datang,
Insya-Allah.”
Ketika Qistina memalingkan tubuhnya untuk keluar
dari bilik Puan Mariam, dia melihat Ian Iskandar tercegat
di muka pintu. Terkejut dia melihat Ian Iskandar yang
memandangnya dengan pandangan yang redup.
“Selamat petang, encik.” Itu sahaja yang mampu
diucapkan Qistina. Tidak tahu bagaimana hendak berlalu
sahaja dari situ, sedangkan Puan Mariam masih di situ. Sedia
memerhati. Ian Iskandar mengangguk sebagai balasan kepada
ucapan Qistina tadi.
“Qistina, jangan lewat untuk makan malam. Saya
lapar!” Ian Iskandar sempat berpesan.
“Baik, encik.” Qistina terus meninggalkan Ian Iskandar
bersama ibunya. Pintu bilik Puan Mariam ditutup rapat.
“IBU SAYA seronok dapat keluar hari ni.” Ian Iskandar bersuara
antara mengunyah dengan menelan daging stik.
Qistina mendongak sebentar. “Ya, encik.”
“Saya terlampau sibuk. Tak dapat nak luangkan masa
saya untuk temankan ibu saya macam tu…” Ada nada kekesalan
pada suara Ian Iskandar. Sesungguhnya, Qistina memahami apa
maksud sibuk. Sangat-sangat memahami.
“Encik sibuk pun, encik tak lupakan tanggungjawab
encik sebagai anak. Tu pun penting jugak.”
“Maksud awak?”
“Encik masih sediakan semua keperluan ibu encik.
Menggajikan jururawat untuk dia, doktor peribadi… semuanya
cukup. Encik masih menjaga ibu encik walaupun encik sibuk…
Cuma kalau boleh, encik luangkanlah sedikit masa untuk
madam…”
Ian Iskandar tidak berkelip memandang Qistina.
Agaknya inilah kali pertama gadis itu bercakap lebih daripada
sepuluh patah perkataan kepadanya.
“Kenapa encik pandang saya macam tu?” Qistina mula
berasa cuak.
Ian Iskandar segera melabuhkan pandangannya.
“Kalau ibu awak sakit, awak akan jaga dia macam saya?”
Qistina tersentak dengan pertanyaan Ian Iskandar.
Sudah tentu Qistina ingin menjaga ibunya jikalau dia jatuh
sakit tetapi sama ada dia berkesempatan atau tidak, itu suatu
perkara yang lain.
“Mestilah, encik…”
Ian Iskandar perasan perubahan ketara pada wajah
Qistina sebentar tadi. Dia pasti ini ada kena-mengena dengan
ibu Qistina.
“Oh ya. Sejak awak sampai, awak takde pun nak call
ibu atau bapa awak untuk khabarkan yang awak dah selamat
sampai. Kenapa awak tak guna telefon rumah ni je? Mesti ibu
atau bapa awak risau kalau awak tak call.”
Qistina menelan air liurnya.
“Errr… saya baru cadang nak beli sim kad untuk
handphone saya esok encik. Nanti bolehlah saya call.”
“Tak payah. Tunggu kejap.” Ian Iskandar bangun dan
keluar sebentar. Tidak sampai dua minit dia kembali duduk. Dia
menghulurkan satu plastik kepada Qistina.
“Ambik ni. Saya dah belikan Blackberry untuk awak.
Sim kadnya ada sekali. Nanti awak boleh call atau e-mel pada
famili awak.”
“Eh, kenapa pulak encik yang belikan? Saya boleh
beli sendiri,” kata Qistina sebaik sahaja plastik berisi kotak
Blackberry disambut.
“Awak mana ada gaji lagi… takpe. Habis kontrak
setahun, awak pulangkan balik pada saya.”
Walaupun Qistina masih belum dibayar gaji, namun
duit yang dibawa dari Malaysia lebih daripada mencukupi. Dia
masih mampu membeli barang keperluannya sendiri. Qistina
masih teragak-agak.
“Kenapa? Kan saya kata pulangkan balik bila habis
setahun nanti. Jadi awak tak payah risau. Ni kira awak pinjam je
daripada saya.” Ian Iskandar terus bersuara apabila melihatkan
Qistina yang masih ragu-ragu.
“Terima kasih, encik. Mungkin lepas saya dapat gaji
nanti, saya boleh beli sendiri…”
“Tak payah. Berapa kali saya nak kata... Kenapa awak
nak bazir duit beli yang lain? Pakai je yang saya dah belikan
tu… Awak boleh terus guna. Saya dah caj pun Blackberry tu…”
Qistina tidak berani membantah lagi. Fikirannya
sudah melayang kepada mesej yang bakal dihantar kepada
Timah nanti.
“Terima kasih, encik.” Qistina mengulangi ucapan
terima kasihnya.
Ian Iskandar mengangguk.
“So, bila awak nak call ibu awak?” Ian Iskandar masih
mendesak.
“Nanti-nantilah encik. Saya tak pasti sama ada ibu saya
dah balik KL ke belum.”
“Takkan ibu awak takde handphone? Kalau dia tak
balik KL lagi, awak masih boleh bercakap dengan dia, kan?”
Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Dia tahu Qistina cuba
berdolak-dalih. Jelas di matanya keadaan Qistina yang langsung
tidak selesa.
Qistina nyaris tersedak. Cebisan daging yang ditelan
tiba-tiba dirasakan liat dan pahit.
“Betul, betul, encik. Tapi sekarang dah lewat sangat kat
sana, encik…”
Ian Iskandar ingin tahu sejauh mana Qistina ingin
mengelak daripada berlaku jujur dengannya.
“Saya rasa, sebagai majikan awak, saya
bertanggungjawab untuk bercakap dengan bapa awak pasal hal
kebajikan awak di sini. Mesti bapa awak risau, kan? Awak tu
perempuan. Duduk pulak satu rumah dengan saya…”
Qistina semakin cuak. Dia tidak dapat bertentang mata
dengan Ian Iskandar.
“Tak perlu, encik. Bapa saya okey…”
“No, I insist. Saya yang tak sedap hati. Kalau anak
dara saya bekerja di luar negara, lepas tu duduk serumah
pulak dengan majikan dia, saya pun mesti akan risau…” Mata
Ian Iskandar tidak berkalih dari wajah Qistina yang semakin
kehilangan warna.
“Bagi saya nombor telefon bapa awak. Saya nak call.”
“Tak perlu, encik. Betul!” Menggeletar sedikit suara
Qistina. Takut Ian Iskandar akan benar-benar menelefon
papanya.
“Qistina look at me!” Tegas suara Ian Iskandar. Serius.
Qistina menurut. Takut dia melihat wajah Ian Iskandar begitu.
“Jujur dengan saya. Parents awak tahu tak yang awak
ada kat sini?”
Mata Qistina membulat. Nafasnya seakan tersekatsekat.
Haruskah dia menipu untuk kali kedua? Qistina telah
pun nekad sebelum ini untuk mengira setiap pembohongan
yang terpaksa dilakukannya. Pembohongan pertama telah
pun dilakukan ketika di dalam pesawat lagi. Adakah dia akan
melakukan pembohongan sekali lagi?
“Saya tunggu jawapan awak, Qistina!” Bentak Ian
Iskandar.
Kekerasan suara Ian Iskandar membuatkan Qistina
pantas menggelengkan kepalanya. Tidak sanggup berbohong.
Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Qistina tunduk.
Dadanya berdebar-debar.
“Kenapa?”
“Sa… saya… saya… tak beritahu diaorang, encik.”
“Kenapa tidak? Saya tak mahu tanya lagi sekali,
Qistina!” Keras Ian Iskandar bersuara.
Qistina memberanikan dirinya untuk memandang Ian
Iskandar.
“Encik, saya tak tahu pulak yang pekerjaan ini
memerlukan persetujuan famili saya?”
Ian Iskandar menjungkitkan keningnya. Tidak
menyangka Qistina masih mahu berahsia dan memilih untuk
tidak menjawab pertanyaannya.
“Ini lain, Qistina. Awak memohon pekerjaan di London.
Memanglah mendapatkan persetujuan dari parents awak bukan
salah satu syarat untuk awak dapatkan pekerjaan ni. Tapi awak
anak perempuan, Qistina. Awak masih di dalam tanggungan
ayah awak!”
“Encik, cukuplah kalau saya katakan yang saya tidak
berdosa dengan bapa saya dengan mengambil pekerjaan ini.”
Ian Iskandar berasa marah dengan sikap Qistina.
Kejutan pengakuan Qistina sebentar tadi masih terasa. Adakah
Qistina melarikan diri daripada keluarganya sendiri? Mengapa?
Ian Iskandar bersandar ke kerusinya. Wajah Qistina
dipandangnya. Lama. Qistina merenung lebihan daging stik di
atas pinggannya. Seleranya sudah mati. Ingin sahaja dia bangun
dan meninggalkan Ian Iskandar bersendirian tetapi dia pasti
tindakannya itu akan dihalang lelaki itu.
“Qistina, kalau keluarga awak cari awak atau buat
police report pasal kehilangan awak macam mana? Awak tak
fikir pasal tu?”
“Tu takkan terjadi, encik. Saya jamin! Encik jangan
risau!” Qistina cuba meyakinkan Ian Iskandar namun riak
wajah Ian Iskandar masih tidak berubah.
“Saya cukup tak suka berteka-teki, Qistina. Awak tidak
jujur dengan saya!”
Qistina pantas mendongak.
“Encik tak boleh cakap macam tu. Saya tak tipu
encik untuk dapatkan pekerjaan ini. Semua soalan encik masa
interview minggu lepas saya jawab. Perkara lain yang peribadi
pasal diri saya, encik tak perlu tahu. Itu tak melibatkan kerja
saya.” Qistina tidak tahu di mana dia mendapat keberanian
untuk berkata sedemikian kepada Ian Iskandar. Yang pasti, dia
tidak rela dianggap telah menipu untuk mendapatkan pekerjaan
ini.
Ian Iskandar menyilang tangan ke dadanya. Gadis
itu benar-benar menguji kesabarannya. Tidak pernah Ian
Iskandar rasa tercabar sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi yang
mencabarnya hanyalah seorang gadis yang telah membuatnya
tidak keruan sejak dua menjak ini.
“Minta maaf, encik. Boleh tak saya naik sekarang?”
Qistina meminta kebenaran. Dia tidak mahu lagi duduk di meja
makan asyik menerima panahan mata biru lelaki itu.
Ian Iskandar tidak mahu membenarkan Qistina
meninggalkannya ketika banyak persoalan masih belum
berjawab. Namun dia tidak tahu lagi bagaimana untuk memaksa
Qistina supaya lebih berterus terang dengannya. Adakah dia
berhak memaksa gadis itu?
“Sebelum awak pergi, saya ada benda nak cakap dengan
awak.” Ada perubahan pada nada suara Ian Iskandar. Sedikit
mengendur.
“Kalau sampai masa awak perlukan teman untuk
berkongsi cerita awak, saya sedia mendengarnya.”
Qistina diam. Hatinya sedikit terusik mendengar
kata-kata Ian Iskandar. Dia sekadar mengangguk kecil. Qistina
bangun dan mengangkat pinggannya. Di dapur, dia meminta
Naseem menghidangkan kopi kepada Ian Iskandar. Dia tidak
mahu lagi bertentang mata dengan Ian Iskandar malam ini.
Cukup-cukuplah.

No comments:

Post a Comment