Thursday, 12 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab6

QISTINA turun lebih awal daripada sepatutnya. Di
tingkat bawah, kelibat Ian Iskandar masih belum kelihatan. Dia
melangkah menuju ke dapur.
“Good morning, Naseem.”
Naseem sedikit terkejut apabila disapa begitu oleh
Qistina. Naseem berpaling lalu tersenyum melihat gadis itu
yang kelihatan girang dan lebih bermaya daripada semalam.
“Good morning, love. You’re up early?”
“I’m used to it…” Mana tidaknya. Pada musim panas,
subuh di akhir bulan Julai dalam pukul 4.00 pagi. Seusai solat
subuh dan mengaji, Qistina sempat menyambung tidurnya
semula. Jadi pagi ini, dia terasa segar dan bertenaga.
“Can I help, Naseem?”
“No, no… there’s no need. Why don’t you go and wait
for the boss in the living room?” Cadang Naseem.
“Oh no. I think I should stay here. Let me clean this up
for you.” Qistina menunjukkan pinggan mangkuk yang belum
berbasuh di dalam singki.
“Well, alright if you insist, love.” Naseem beralah.
Dia memandang Qistina yang sudah pun mula mencuci. “You
know, you speak with a perfect English accent. Better than
mine even…”
Qistina terkedu. Pinggan di tangan hampir sahaja
terlepas.
“Really? I don’t think so.”
“Hmmmm…” Itu sahaja balasan daripada Naseem
sebelum dia keluar dari dapur bersama pinggan di tangan.
‘Ya Allah. Aku mesti lebih berhati-hati. Kalau rahsia
terbongkar, matilah aku...’
Tidak lama kemudian, Naseem kembali ke dapur.
“The boss wants you. He’s in the living room. I’ll bring
your breakfast into madam’s room.”
Qistina mengambil nafas dalam-dalam.
‘Ya Allah. Biarlah ibu Ian menyukaiku. Aku tidak mahu
diberhentikan sebelum tamat tempoh satu tahun ini Ya Allah!’
Setelah doa habis dibaca, Qistina mengatur langkah menuju ke
ruang tamu. Ian Iskandar yang lengkap berkemeja biru, bertali
leher dan berjaket hitam sedang membelek surat khabar di
tangan. Segak menawan.
“Selamat pagi, encik.”
Ian Iskandar mendongak. Wajah gadis itu dilihatnya
sedikit berseri. Nampak ceria, walaupun ada garis-garis
kerisauan di situ. Ian Iskandar tidak menjawab ucapan selamat
pagi Qistina. Hanya mengangguk kecil.
“Mari. Saya perkenalkan awak dengan ibu saya.” Ian
Iskandar yang telah mula melangkah tiba-tiba berhenti. Dia
memalingkan tubuhnya untuk menghadap Qistina. Suatu
senyuman nakal terukir di bibir.

“Bunyi macam nak kenalkan calon isteri kepada bakal
mak mentua pulak, kan?”
Membulat mata Qistina.
‘Hesy dia ni. Aku dahlah nervous. Lagi nak buat lawak
bodoh pagi-pagi ni.’ Qistina hanya diam. Tidak tahu bagaimana
untuk menjawab. Ian Iskandar ketawa sendirian. Qistina sempat
mencebik dan menjeling di belakang Ian Iskandar. Geram!
Ian Iskandar mengetuk pintu bilik ibunya. Perlahan.
Ketika pintu dikuakkan, Ian Iskandar melangkah masuk diikuti
Qistina. Jururawat peribadi Puan Mariam kelihatan sedang
mengemaskan tuala dan perkakas mandian dari atas katil.
Puan Mariam sedang duduk bersandar di katilnya. Katil yang
seperti di hospital. Yang boleh ditegakkan dan dibaringkan,
tapi nampak lebih selesa daripada yang biasa dilihat di hospital.
Sehelai selimut nipis menyelubungi seluruh kakinya hingga ke
bahagian pinggang.
“Mummy, this is Qistina. She will be your companion.”
Sungguh lebar Puan Mariam mengukirkan senyuman
membuatkan Qistina rasa kehadirannya disambut mesra.
Qistina membalas senyuman Puan Mariam, wanita berbangsa
Inggeris yang masih jelita di matanya. Rambutnya perang dan
sedikit beruban di ubun-ubunnya. Matanya juga berwarna biru.
Sebiru mata Ian Iskandar.
“How lovely! Come closer, dear. Let me have a look at
you.”
Qistina merapati katil Puan Mariam. Dia menghulurkan
tangannya dan disambut Puan Mariam. Seperti kebiasaannya
ketika bersalam dengan orang yang lebih berumur seperti
ibunya, Qistina tunduk dan mencium tangan Puan Mariam.
“Good morning, madam. Nice to meet you.” Qistina
berhati-hati dalam pertuturannya.
Sejuk hati Puan Mariam ketika tangannya dikucup
gadis ayu itu. Rindu dia kepada budaya Melayu itu.
“Oh, this is Natalie Brown, my nurse.” Puan Mariam
menunjuk ke arah jururawat tadi. Qistina menyambut tangan
yang dihulurkan dengan sekuntum senyuman.
Kata-kata ucapan perkenalan berbalas sudah. Kini
masa untuk Natalie Brown beredar kerana tugasannya untuk
pagi itu sudah pun selesai. Dia akan kembali menjenguk Puan
Mariam dua jam kemudian. Natalie Brown sempat mengerling
ke arah Ian Iskandar sebelum berlalu. Ian Iskandar langsung
tidak menyedari lirikan menggoda jururawat tadi, namun dapat
ditangkap Qistina.
“Sit, my dear,” pelawa Puan Mariam sambil menepuknepuk
kerusi di sebelah kiri katilnya. Qistina mengambil
tempatnya.
“I’m sure we’re going to get on splendidly together. Ian
you may leave us now.”
Ian Iskandar masih tidak berganjak. Matanya redup
melihatkan kemesraan ibunya terhadap Qistina. Hatinya puas.
Kini ibunya tidak akan berasa sunyi lagi.
Puan Mariam menyedari mata anaknya yang seakan
tidak berkelip memandang Qistina. Qistina pula memandang
ke wajah Puan Mariam, membelakangi Ian Iskandar tanpa
menyedari mata Ian Iskandar yang seakan terpaku kepadanya.
Puan Mariam tersenyum dalam hati. Renungan Ian Iskandar itu
memberi seribu maksud tersirat.
“Ian? Did you want anything else?” Tegur Puan
Mariam.
Ian tersedar. “What, mummy?”
Kali ini Puan Mariam benar-benar mengukirkan
senyuman. “Won’t you be late for the office, dear?”
“Oh! Yes… right… I’ll see you later, mummy.” Ian
Iskandar mengucup dahi ibunya dan berlalu. Wajah gadis itu
dipandangnya sekilas. Hati Puan Mariam bertambah girang.
Qistina langsung tidak perasan kerlingan Ian Iskandar tadi.
“Now, tell me all about yourself. In Bahasa, please...
I want to brush up on my Malay language. It has been a long
time!”
Qistina terkejut mendengar permintaan Puan Mariam.
“Madam boleh berbahasa Melayu?”
Puan Mariam mengangguk.
“Kenapa tak cakap bahasa Melayu dengan Encik Ian?”
Qistina bertanya lagi.
“Sebab, rasa kekok. Tak biasa cakap bahasa Melayu
dengan Ian.”
Qistina tersenyum. Puan Mariam memang boleh
berbahasa Melayu walaupun pelat orang putihnya masih
ada. Sebiji-biji perkataan disebutnya dengan penuh hatihati.
Kelakar juga bunyinya. Mungkin dia akan kembali fasih
bertutur dalam Bahasa Melayu sekiranya kerap menggunakan
bahasa itu semula.
Qistina sudah pun bersedia dari semalam bahawa
soalan mengenai dirinya akan menjadi soalan pertama yang
akan diutarakan Puan Mariam, sebagai langkah permulaan
untuk mengenali dirinya. Qistina menceritakan serba ringkas
mengenai dirinya yang berasal dari Kuala Lumpur. Merupakan
anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Mempunyai
seorang abang dan seorang kakak yang sudah berumah tangga.
“That’s all?” Tanya Puan Mariam. Ringkas benar gadis
ini menceritakan perihal dirinya. “Sudah kahwin?”
“Belum madam. Tak fikir lagi pasal kahwin…” Ujar
Qistina sambil tersenyum.
Puan Mariam ingin bertanya lagi tetapi pintu biliknya
diketuk perlahan sebelum Naseem membukanya dengan dulang
di tangan. Qistina pantas bangun untuk membantu Naseem.
Dulang diletakkan di atas riba Puan Mariam. Naseem keluar
semula untuk mengambil dulang sarapan untuk Qistina pula.
Selepas semuanya selesai, mereka menikmati sarapan sambil
berbual mesra.
Puan Mariam amat senang sekali dengan kehadiran
Qistina. Sejak matanya jatuh pada raut wajah Qistina awal
tadi, hatinya terasa sejuk sekali. Kejernihan dan kesucian yang
terpancar dari wajah Qistina menambat hatinya. Sikap Qistina
yang menghormati dirinya sebagai orang yang lebih berusia
daripadanya menggambarkan peribadi gadis itu yang dibesarkan
dengan cukup sempurna. Lembut tutur kata yang keluar dari
bibir merah gadis itu. Tidak hairanlah mengapa anak lelakinya
tadi asyik merenung seraut wajah gadis di hadapannya ini.
“Dear, mengapa pilih pekerjaan ni?” Soal Puan Mariam
sambil menggigit roti bakar di tangan.
Qistina meletakkan cawan kembali ke atas piring.
“Sebab saya tengah terdesak nak cari kerja, madam.
Saya ternampak iklan untuk peluang pekerjaan ni dalam surat
khabar, jadi saya terus mohon.”
Puan Mariam mengangguk perlahan.
“Madam, berapa lama Madam tinggal di Malaysia?”
“Hampir tiga puluh tahun.”
Qistina terkejut. Lamanya! Puan Mariam perasan riak
terkejut Qistina.
“Saya kerja di Kedutaan British di KL masa umur saya
dua puluh tiga tahun. Kahwin dengan papa Ian masa saya dua
puluh empat tahun. Ian lahir masa umur saya dua puluh lima
tahun.”
“Bila madam pulang ke London?”
“Beberapa tahun lalu. Tak lama lepas accident…”
“Maafkan saya, madam. Madam terlibat dalam
kemalangan? Sebab tu ke kaki madam jadi macam ni?”
Puan Mariam mengangguk. Tiada riak kesedihan pada
wajahnya.
“Lepas kemalangan, tiga bulan saya di hospital. Lepas
keluar, kakak saya ajak saya balik London. Dia mahu menjaga
saya. Dia pun sunyi lepas suami dia meninggal. Ian pulak sibuk
kerja dan seorang lagi anak perempuan saya, Iman tak tinggal
di Malaysia. Tapi tak sampai setahun saya balik London, kakak
saya meninggal. Tapi saya dah tak larat nak balik semula ke
Malaysia… saya terus tinggal di sini. Ian pun ambil keputusan
untuk berpindah dan menjalankan perniagaannya di sini, untuk
temankan saya.”
Terkejut Qistina mendengarkan Puan Mariam
mempunyai seorang anak perempuan, bernama Iman. Ian
Iskandar tidak pernah menceritakan tentang perkara ini.
“Madam ada anak perempuan?”
“Yes. Dia dah berkahwin dan ada famili dia sendiri. Dia
tinggal di Paris.”
“Bestnya. Dia selalu ziarah madam?”
“Adalah dalam dua tiga bulan sekali… Did you know
she is Ian’s twin sister?”
Ian Iskandar ada saudara kembar? Menarik! Mesti mata
biru juga macam Ian Iskandar dan ibunya.
“Tak, madam. Saya tak tahu.”
“She looks nothing like me or Ian! Dia lebih kepada
muka Melayu. Wajahnya persis bapanya…”
Walaupun hati Qistina ingin tahu ke mana perginya
bapa Ian Iskandar, namun dia merasakan soalan itu berbentuk
terlalu peribadi. Memandangkan ibu Ian Iskandar pulang
ke London untuk dijaga kakaknya, ini bermaksud bapa Ian
Iskandar tiada untuk menjaga isterinya sendiri.
“I’m sure you’ll meet her the next time she comes
down to visit me…”
“Saya tak sabar nak jumpa dengan Puan Iman. Madam
ada cucu?”
“Just one. Lelaki, tiga tahun. Lasak betul!”
Qistina tergelak. Dia tiada anak saudara. Abang dan
kakaknya masih belum bersedia untuk berkeluarga. Masih tidak
puas berseronok dengan kehidupan duniawi agaknya.
“Mesti comel, kan madam?”
Puan Mariam tersenyum. Dia terus teringatkan cucu
yang seorang itu. Rindu dia kepada Daniel. Ingatan Puan Mariam
kepada Daniel terganggu apabila Naseem kembali masuk ke
dalam bilik untuk mengambil kembali dulang sarapan. Qistina
juga membantu. Seusai berkemas, Qistina mencapai surat
khabar yang sudah sedia terlipat di atas meja kecil bersebelahan
dengan katil Puan Mariam.
“Saya bacakan surat khabar sekarang ya madam.”
Puan Mariam mengangguk.
“Mesti Qistina tertanya-tanya kenapa saya tak boleh
baca sendiri, kan? Sebenarnya, saya boleh baca sendiri, tapi
rumah ni sunyi sangat. Saya saja nak dengar suara orang lain
dalam rumah ni.”
“Sebelum ni tak pernah ada peneman ke, madam?”
“Hanya kakak saya. Bila saya complain pada Ian
saya sunyi, dia yang mencadangkan saya mengambil seorang
companion. Saya sebenarnya dah tak tahu macam mana lagi
nak beritahu pada Ian yang saya sebenarnya nakkan menantu
untuk menemani saya… tapi Ian ni terlampau sibuk dengan
kerja dia. Sekejap sini, sekejap KL. Tak pernah nak bagi saya
seorang menantu…” Semakin lancar Puan Mariam bertutur
dalam Bahasa Melayu. Semakin berkeyakinan.
Qistina hanya diam.
“Tapi sekarang Qistina ada menemani saya. Saya suka!”
Qistina membalas senyuman ikhlas Puan Mariam. Gembira
hatinya diterima sedemikian rupa.
Seperti yang diarahkan Ian Iskandar, Qistina mula
membaca surat khabar kepada Puan Mariam. Pelbagai berita
dalam negara dan juga berita dunia. Puan Mariam tekun
mendengar. Kekadang dia menggelengkan kepala apabila
mendengar berita mengenai peperangan dan kematian.
Sedang Qistina membaca, Puan Mariam dapat meneka
sesuatu. Gadis di hadapannya membaca surat khabar berbahasa
Inggeris dengan begitu lancar sekali. Terkadang, tanpa sedarnya,
intonasi dan cara sebutan sesuatu perkataan itu menyamai
intonasi dan sebutan lidah warga British sendiri. Selama lebih
satu jam, Qistina membaca surat khabar kepada Puan Mariam
dan sambil-sambil itu, mereka membincangkan isu-isu berita
yang dibaca. Pendapat Qistina ditanya dan didengar. Ternyata
gadis ini begitu bijak di matanya. Memberikan pendapatpendapat
yang bernas lagi logik. Memberikan ulasan-ulasan
yang mencabar mindanya.
Dengan kelancaran membaca dan bertutur dalam
bahasa Inggeris, berserta ulasan-ulasan bernas daripada gadis
itu, Puan Mariam pasti yang Qistina adalah seorang yang
berpelajaran. Mustahil dia belajar setakat sekolah menengah
sahaja. Cuma mengapa gadis itu mengambil keputusan untuk
bekerja sebagai seorang peneman?
Gadis itu begitu ringkas menceritakan hal peribadi
serta ahli keluarganya. Tidak jelas siapa ibu dan bapanya.
Mungkin dia menyimpan rahsia. Namun Puan Mariam tidak
bersangka buruk dengan Qistina. Hatinya mengatakan gadis di
hadapannya seorang gadis yang baik. Sangat baik. Sebaik untuk
dijadikan menantunya, mungkin...
Gadis penuh rahsia seperti Qistina haruslah ditangani
dengan cara lain. Satu daripada cara yang dapat difikirkan
adalah dengan membuatkan dirinya rasa terperangkap dan
akhirnya terpaksa berterus terang. Namun, dia tidak bercadang
untuk memerangkap Qistina sekarang. Dia punyai banyak
waktu lagi untuk meluangkan masa bersama Qistina. Mungkin
juga Qistina sendiri akan berterus terang dengannya apabila
hubungan mereka menjadi lebih rapat suatu hari nanti.
Rutin harian Puan Mariam tidak banyak berbeza.
Natalie Brown akan masuk selang dua jam untuk membantu
Puan Mariam membuang air dan sebagainya. Puan Mariam
dimandikan pada waktu pagi sebelum sarapan, dan pada
waktu petang. Selepas minum teh pada jam 11.00 pagi, Puan
Mariam akan berehat dan tidur sebentar sebelum makan tengah
hari. Ketika itu, Qistina akan meninggalkan Puan Mariam
bersendirian dan membuat halnya sendiri. Kadang-kadang dia
memerap di dalam biliknya. Kadang-kadang dia akan ke dapur
membantu Naseem. Natalie Brown pula tidak begitu mesra
untuk dijadikan teman berbicara.
Salah satu tugas Natalie Brown adalah untuk
membantu Puan Mariam melakukan senaman untuk kakinya.
Puan Mariam jarang mahu menonton televisyen yang ada di
dalam biliknya, melainkan untuk menonton berita. Qistina setia
menemani sekiranya ada rancangan yang ingin ditontonnya.
Namun ada satu permintaan Puan Mariam yang tidak
disangkanya. Setelah makan tengah hari bersama di dalam
bilik Puan Mariam, Puan Mariam telah memintanya untuk
mengambilkan wuduk untuknya agar dia boleh mengerjakan
solat zuhur. Rupanya, sebelum ini Naseem atau Ian Iskandarlah
yang akan mengambilkan wuduk untuk Puan Mariam.
Terharu Qistina melihatkan Puan Mariam masih
tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim
walaupun dia difahamkan bahawa Puan Mariam hanya memeluk
agama Islam ketika ingin berkahwin dengan bapa Ian Iskandar.
Fahamlah dia kini syarat yang dikenakan untuk calon yang
dicari untuk menjadi peneman Puan Mariam dahulu mestilah
beragama Islam.
Qistina selesai dengan tugasnya pada pukul 5.30
petang. Sebelum dia keluar dari bilik Puan Mariam, dia akan
menyalami dan mengucup tangan Puan Mariam. Puan Mariam
hanya mampu tersenyum. Senyuman penuh dengan rasa
terharu.
Natalie Brown juga akan meninggalkan rumah
keluarga Puan Mariam pada jam 5.30 petang dan akan kembali
keesokan paginya. Keperluan Puan Mariam sepeninggalan
Natalie Brown akan dijaga oleh Naseem. Hari Sabtu dan Ahad
pula, tugas-tugas Natalie Brown akan dilakukan oleh jururawat
gantian.
Selepas tugasnya selesai, Qistina akan menggunakan
masa yang terluang sementara menunggu makan malam untuk
menyelesaikan hal-hal peribadi, seperti mencuci pakaian,
menggosok dan sebagainya. Teringin sangat untuk mendengar
suara Timah, namun dia harus bersabar. Hari Sabtu nanti,
selepas tamat waktu kerjanya, dia bercadang untuk keluar bagi
mendapatkan sim kad yang baharu untuk telefon bimbitnya.
Kemudian bolehlah dia berhubung dengan sahabatnya itu.
Hendak menulis surat pun, dia masih tidak tahu alamat
rumah Puan Mariam ini. Qistina mengeluh. Mungkin soalan itu
boleh ditanya secara terus kepada Ian Iskandar malam nanti.
Memikirkan makan malam bersama Ian Iskandar nanti, wajah
Qistina terus berubah menjadi suram. Kenapalah dia perlu
makan malam dengan lelaki itu? Tidak selesa langsung!
Seperti malam pertama, Ian Iskandar banyak merenung
gadis yang hanya tunduk sambil menikmati makan malamnya.
Kalau Ian Iskandar tidak memulakan perbualan, Qistina
akan kekal menyepi. Dia hanya akan menjawab sekiranya Ian
Iskandar bertanyakan soalan kepadanya.
Pulang dari pejabat tadi, Ian Iskandar terus
mendapatkan ibunya. Tidak sabar dia ingin mengetahui
pendapat ibunya tentang gadis itu. Ternyata ibunya amat
menyenangi gadis itu. Ian Iskandar mendapat pujian daripada
ibunya kerana telah membuat pilihan yang tepat. Cuma dia
pelik dengan cara ibunya mengukirkan senyuman kepadanya
apabila mengatakan Ian Iskandar ‘telah membuat pilihan yang
tepat’. Seolah-olah ada maksud tersirat di situ.
“Macam mana hari pertama awak?”
Qistina melangut. Sepasang mata biru itu mula
membuatkan dia tidak tenteram.
“Okey, encik. Tak ada apa-apa masalah.” Qistina
menjawab perlahan. Dia tunduk kembali.
“Awak ni memang macam ni, ke?” Ian Iskandar
mengeluh perlahan. Susah betul hendak mendengar suara
gadis itu.
Qistina hairan. Wajahnya didongakkan sekali lagi.
“Macam ni macam mana, encik?
“Suara awak mahal sangat ke? Awak tak boleh nak
elaborate ke setiap jawapan awak tu?”
“Maaf, encik. Errr… mungkin saya jetlag…” Qistina
beralasan. Panahan mata Ian Iskandar membuat Qistina tidak
senang duduk. Menerbitkan debaran di dada. Reaksi yang tidak
difahaminya.
“Alasan! Awak kalau keluar dating, takkan senyap
macam ni?” Ian Iskandar cuba mengorek rahsia hati Qistina.
Seumur hidup Qistina, dia hanya pernah keluar berdua
dengan Remy sahaja. Sebelum ini, dia akan pastikan yang dia
akan keluar beramai-ramai, walaupun pada asalnya dia dijemput
untuk keluar berjanji temu oleh mana-mana pelajar lelaki yang
berminat dengannya. Namun, kerana dia tidak mahu memberi
harapan palsu kepada mereka, dia akan mengajak rakan-rakan
yang lain untuk turut serta, sama ada untuk menonton wayang,
menjamu selera atau sebagainya.
“Saya… saya sebenarnya tak biasa pergi dating encik.
Saya tak biasa keluar berdua dengan lelaki…” Qistina merasa
segan.
Entah mengapa Ian Iskandar merasa amat senang hati
mendengar balasan Qistina itu. Lega!
“Awak ni memang pendiam ke?”
“Tak jugak, encik. Saya cuma rasa kekok dengan orang
yang saya tak kenal…” Jelas Qistina.
“Awak suka ibu saya?” Ian Iskandar masih menyoal.
“Suka, encik. Saya senang menemani ibu encik.” Ian
Iskandar dapat melihat keikhlasan pada wajah gadis itu.
“Saya nak minta tolong dengan awak, Qistina…” Pinta
Ian Iskandar.
Qistina meletakkan sudu yang berada di tangan di atas
pinggan. Dia memandang ke wajah Ian Iskandar. Permintaan
Ian Iskandar tadi dibuat dengan suara separuh merayu. Qistina
tertanya-tanya apakah pertolongan yang dimaksudkan Ian
Iskandar tadi.
“Ada apa, encik?”
“Seperti yang awak tahu, Natalie adalah jururawat
peribadi ibu saya. Kalau takde Natalie, mummy tak akan nak
buat senaman untuk kakinya seperti yang diarahkan doktor. Dia
langsung tak kisah. Doktor peribadi mummy pulak akan datang
melawatnya dua kali seminggu. Hari Jumaat dan hari Selasa.
Doktor ada menasihatkan agar ibu saya membuat satu lagi
operation di kakinya, tapi dia berkeras tak mahu. Ada mummy
cerita pasal kenapa dia tak boleh berjalan pada awak?”
“Ada, encik. Kemalangan katanya.”
“Memang kemalangan. Mummy yang bawak kereta.
Kaki dia tersepit teruk. Mummy jadi lumpuh. Masa kat hospital
pun, operation kaki je dua kali. Sebelum operation yang ketiga
dibuat, mummy balik ke London. Puas saya pujuk dia, namun
dia berdegil. Dia tak mahu operate lagi. Saya pun tak tahu
kenapa…”
“Jadi, encik nak saya buat apa?”
“Saya nak awak cuba pujuk ibu saya untuk melakukan
operation tu. Harapan untuk dia berjalan kembali lebih cerah…”
Wajah Ian Iskandar berubah keruh. Pasti sedih mengenangkan
nasib ibunya.
Qistina diam. Dia cuba memikirkan mengapa Puan
Mariam nekad untuk tidak mahu dibedah lagi. Mesti dia ada
sebab-sebabnya sendiri. Mustahil Puan Mariam tidak mahu
berjalan lagi, seandainya pembedahan ketiga membolehkan dia
berjalan semula.
“Encik, selepas dua kali operation tu, macam mana
keadaan ibu encik?”
Ian Iskandar mengeluh. Masih teringat bagaimana
peritnya si ibu menanggung kesakitan ekoran kesan
pembedahan. Segala pergerakan begitu menyeksakan. Ketika
melalui pembedahan kedua pula, ibunya mengalami komplikasi
tekanan darah tinggi. Hampir sahaja Ian Iskandar kehilangan
ibunya. Mungkin disebabkan itu ibunya tidak mahu dibedah
lagi.
“Tak berapa baik, terutama sekali semasa pembedahan
kedua. Kami hampir kehilangan dia...”
Qistina melihat garis-garis kesedihan pada wajah Ian
Iskandar. Hatinya tersentuh. Dia seolah-olah dapat merasakan
kesedihan yang dirasakan lelaki itu. Pelik!
“Mungkin sebab tu ibu encik tak mahu dibedah lagi.
Saya cuba, encik. Tapi berilah saya sedikit masa untuk lebih
mengenali ibu encik dulu. Nampak pelik pulak kalau baru je
mula bekerja, saya dah mula ungkitkan isu pasal pembedahan
kaki dia…”
Ian Iskandar mempertimbangkan cadangan Qistina.
Dia memahami logik di sebalik cadangan itu lalu bersetuju.
“Baik… saya faham. Manalah tahu ibu saya akan
mengikut cakap awak pulak, kan? Cakap saya dia tak nak dengar
dah…” Ian Iskandar tersenyum. Dada Qistina kembali berdebar
melihat senyuman Ian Iskandar…
‘Kenapa dengan aku ni?’ Qistina pantas bangun dan
mengangkat pinggannya.
“Encik, saya ambilkan kopi encik kejap…” Qistina
terus berlalu meninggalkan Ian Iskandar terpinga-pinga di
tempat duduknya.
Apabila ditinggalkan berseorangan dengan secawan
kopinya, Ian Iskandar teringat kembali kata-kata ibunya petang
tadi.
“She’s a very intelligent girl, Ian. She reads
the paper better than some of the newscasters
I’ve seen on TV. She has her own opinions.
She speaks her mind. What else do you know
about her?”
“Not much mummy. She is a very private
person. She won’t volunteer any information
unless I ask...”
“Hmmmm… it’s okay, Ian… we have to
respect her privacy, right? But I’m sure in
time, I will get to know her a little better…”
Sejak pertama kali Qistina bertutur bahasa Inggeris
ketika sesi temu bual di pejabatnya di Kuala Lumpur lagi, Ian
Iskandar sudah mengesyaki Qistina bukan seorang yang cuba
digambarkannya. Detik hatinya tidak pernah salah. Kini ibunya
pula mempunyai perasaan yang sama.
Yang pasti, Ian Iskandar tidak dapat melupakan gadis
itu walaupun sesaat, sejak dia melangkahkan kaki keluar dari
rumah ibunya untuk ke pejabat pagi tadi. Ingatannya akan
tertaup kepada wajah gadis itu, senyumannya, kegelisahannya
dan kesedihan melalui pancaran matanya.
Mengapa dia tidak tentu arah sejak bertemu gadis
itu? Apakah kuasa sakti yang ditaburkan gadis itu kepadanya.
Lenakah tidurnya malam nanti? Ah, perasaan yang datang itu
sungguh asing baginya. Tidak dipinta namun tidak terhalang.
Haruskah dibiarkan sahaja perasaan itu menular tanpa batasan?
Ian Iskandar tidak tahu…

No comments:

Post a Comment