Thursday, 26 May 2016

Encik Suami Mat Saleh Celup - Bab 3

“KAK Iman, tadi Datin Aida call. Dia dan anak
dia nak datang sini dalam pukul 11 pagi untuk ukur baju,”
beritahu Maya sebaik sahaja aku sampai di butik awal pagi itu.
“Oh, anak datin vogue tu nak kahwin tak lama lagi,
ya?” Soalanku membuatkan Maya tersenyum lebar.
“Yalah tu, kak. Takkan datin tu pulak yang nak kahwin,
kan?” balas Maya bersahaja.
Semua orang di dalam butik ini sangat faham dengan
Datin Aida yang banyak sangat kerenah. Walaupun begitu,
setiap kali jika anak kawan-kawannya mahu melangsungkan
perkahwinan, pasti dia akan membawa mereka ke butik ini.
Selesai sahaja berurusan dengan Datin Aida dan
anak perempuan tunggalnya sekitar jam 12 tengah hari, aku
dikejutkan dengan kedatangan Auni. Keadaan di dalam butik
riuh seketika.
“Kau ni, pantang aku seru aje dah muncul depan mata.
Kau guna ilmu apa, ek?” usikku selepas kami saling berpelukan.
“Aku tak boleh tidur malam, tau tak. Setiap malam
dengar kau seru nama aku. Scary! Kalah hantu Ju-On!” balas
Auni dan kami sama-sama ketawa.
Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda
di Cardiff selama tiga tahun, Auni menerima tawaran bekerja
di Singapura sebagai akauntan di salah sebuah syarikat swasta.
Geng ‘bas sekolah Cardiff’ kami sudah tidak lengkap lagi kerana
kekurangan seorang ahli. Tinggallah aku, Firas dan Hafiy di
sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ini.
“Last week Firas ada datang sini. Lepas ni aku nak seru
nama Hafiy pulaklah. Mana tau esok dia pulak muncul depan
mata aku,” gurauku dan Auni hanya ketawa.
“By the way, bila kau sampai sini? Malam tadi time
phone call tu kau tak ada cakap apa-apa pun?” soalku lagi.
“Sampai KL awal pagi tadi. Mana boleh beritahu dalam
phone, tak surpriselah babe!” jawab Auni berserta sengihan.
“Kau tengah cutilah ni?”
“Taklah, aku ponteng! Dah kau non-stop seru nama
aku.”
Kami ketawa lagi. Maya dan Nina yang sedang
menyusun contoh hantaran di atas rak turut tersenyum
memandang kami berdua.
“Actually aku dah resign dari Singaporean company
tu. Tak tahan, weh! Asyik kena perah macam span. Aku rasa
SpongeBob pun boleh cabut lari,” terang Auni.
“Lah, ya ke? Kata gaji maksyuk?” usikku.
“Memanglah maksyuk tapi tak tahan part pressure
kerja tu. Almost everyday balik lambat.”
“Then lepas ni kau nak cari kerja kat sinilah?”
“Begitulah nampaknya. Monday ni aku ada interview
dengan Telekom. Kalau ada rezeki, dapatlah.”
“Insya-Allah, dapat punya tu.”
Suasana senyap seketika sementara Auni asyik
membelek katalog baju-baju pengantin.
“Now, back to your story. Dengar cerita through phone
tak puaslah. Cuba kau story mory lagi sekali. Nak yang detail
punya,” tutur Auni.
“Kau nak short version or nak hikayat 1001 malam
punya version?” soalku dalam gurauan.
“Aku nak hikayat 2001 malam punya version. Cepatlah
cerita,” jawab Auni, tidak sabar.
Aku mula membuka cerita. Bermula dari drama Naim
memutuskan talian pertunangan sehinggalah cerita berkenaan
rancangan mama dan Auntie Julia yang mahu mengahwinkan
aku dengan anak Auntie Julia.
“Kau kenal ke anak Auntie Julia tu?” soal Auni. Dia
kelihatan kurang bersetuju aku hendak berkahwin dengan anak
lelaki Auntie Julia yang aku sendiri tidak tahu namanya.
“Tak kenal. Auntie Julia tu pun aku tengah confuse
kawan mama aku yang mana satu. Yalah, time kecik-kecik dulu
adalah mama aku bawak jumpa kawan-kawan dia. Bila dah
masuk sekolah menengah, aku dah tak ikut dah,” jawabku jujur.
“Lah, aku ingat kau kenal anak Auntie Julia tu.”
“Auntie Julia pun aku ingat-ingat lupa, ini kan pulak
anak dia.”
Auni terus ketawa senang sambil menggeleng.
“Dah tu, kau setujulah dengan idea mama kau yang
nak kahwinkan kau dengan anak Auntie Julia yang kau tak
kenal tu?”
Aku angguk.
“Eh, kau ni! Biar betul? Kau tak kenal mamat tu. Tak
tahu perangai dia macam mana. And you say he’s been living in
England for more than 20 years. Kita pun memang sedia arif
keadaan dekat England tu macam mana, kan?”
Aku angguk lagi.
“Weh, kau ni dah jadi geng Woody the Woodpecker ke?
Terangguk-angguk dari tadi.”
Aku tersengih pula.
“Dah benda yang betul, aku angguk ajelah. Auni
Humaira, mama aku kenal betul dengan Auntie Julia tu. Dari
zaman sekolah lagi. Kata mama aku, anak-anak Auntie Julia tu
semua baik-baik. Insya-Allah yang dekat England tu pun baik
jugak. Lagipun sekarang ni aku memang dah reda. Aku ikut aje
apa yang parents aku rasa terbaik untuk aku. Lagipun wedding
yang dirancang tu tinggal tiga minggu sahaja dari sekarang,”
terang aku panjang lebar.
“Kau jangan risaulah. Insya-Allah aku okey. Masih
boleh terus bernafas di atas bumi Allah ni,” tambahku sambil
tersenyum.
“Mananya aku tak risau! Kau putus tunang sebab
mangkuk ayun tu punya pasal. Tarikh kahwin dah dekat pulak
tu. And now, kau nak kahwin dengan orang yang kau tak kenal
pulak,” balas Auni, lembut.
“Hah, tak pun kau yang ganti tempat aku nak? Bolehlah
kau cepat-cepat naik pelamin dengan Hazim. Hari tu aku offer
dekat Firas, tapi dia tak nak,” balasku.
“Gila kau! Kau ingat benda kahwin ni benda senang
macam main masak-masak ke? Aku lambat lagilah,” jawab
Auni, serius.
“Tak nak sudah. Aku nak offer dekat Hafiy pulak. Kau
jangan menyesal pulak nanti,” jawabku.
“Kau ni, ingat kau punya offer tu macam offer makanan
ke? Tak nak makan boleh pass dekat orang lain?” usik Auni lalu
bahuku ditepuk mesra.
“Yalah, yalah. Tak nak sudah. Aku nak belanja kau
lunch ni. Kau nak tak?”
“Lunch mestilah nak! Seoul Garden, jom! Aku
mengidam nak makan bufet tu sejak dari Singapore lagi.”
“Alright. Tunggu kejap, aku nak pesan something
dekat Maya. Then, kita gerak.”
Auni mengangguk sambil menyambung menyelak
katalog yang tersedia di atas meja kaca itu.
SELESAI SAHAJA perjumpaan dengan pembekal stok
barang-barang hantaran tengah hari tadi, aku memandu pulang
ke butik. Cuaca panas terik yang membahang membuatkan
pendingin hawa di dalam butik tidak terasa begitu sejuk. Aku
sempat melemparkan senyuman kepada pasangan yang datang
bersama dengan ibu mereka. Pasangan tersebut sedang melihat
pakej perkahwinan yang ditawarkan sambil dibantu oleh Joey
yang sememangnya peramah.
“Kak Iman, tadi ada seorang lelaki ni cari akak,”
beritahu Maya.
“Lelaki? Naim ke?” soalku agak terkejut. Kalau Naim
yang datang, memang dia sengaja nak cari gaduh dengan aku.
Lepas ni aku patut sediakan tiang gol untuk mamat tu.
“Bukan. Mat salih, kak,” jawab Maya sambil tersengih.
“Mat salih? Mat salih mana pulak ni? Memang mat
salih atau nama dia Saleh?” usikku.
“Apalah akak ni. Mat salihlah,” jawab Maya sambil
tergelak-gelak.
“Nama dia apa?” soalku. Terfikir mungkin ada rakan
sekelas dari Cardiff yang datang melancong ke Malaysia dan
datang ke butik ini untuk mencariku.
“Dia tak tinggalkan nama walaupun saya ada mintak
tadi. Dia kata nanti dia datang balik.”
“Bukan customer, kan?”
“Bukan.”
“Tak apalah, Maya. Thanks sebab beritahu. Mungkin
sekejap lagi dia datang sini balik.”
Maya tersenyum dan mahu berlalu untuk menyambung
kerjanya yang tertangguh.
“Kak Iman, lupa pulak nak beritahu.” Tiba-tiba Maya
berhenti melangkah.
“Beritahu apa?”
“Mat salih tu hot kut!” Maya sudah tersengih lebar.
“Isy, awak ni! Pergi sambung kerja.” Maya berlalu
berserta tawa yang masih bersisa.
JAM DINDING sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Suasana
di dalam butik agak lengang. Aku menyusun fail-fail yang
mengandungi dokumen penting butik di dalam kabinet dan
dikunci rapi.
“Kak Iman, ada orang cari akak,” beritahu Joey.
“Kejap, ya. Joey, minta dia duduk dulu,” balasku
sebelum keluar dari ruang pejabat yang bersaiz sederhana besar
itu.
Aku ke ruang hadapan butik yang menempatkan meja
kaca dan beberapa buah sofa empuk yang berwarna-warni.
Kelihatan seorang lelaki duduk di salah sebuah sofa sambil
menyelak majalah. Rambutnya yang agak brunette meyakinkan
aku bahawa mungkin ini mat salih yang mencariku tengah hari
tadi. Siapa agaknya? Dia yang sedang duduk membelakangi
tempatku berdiri membuatkan aku tidak dapat melihat
wajahnya.
“Iman Amani?” soal mat salih tersebut sebaik sahaja
aku melabuhkan duduk di hadapannya.
“Yes, and you are?” soalku pula. Ni mat salih dari mana
pulak ni? Rasanya aku tak kenal.
“Ian Hadif.”
Anak mata yang berwarna kelabu cair itu merenungku
tajam. Kenapa nama mat salih ni ada campur nama Melayu
pulak? Ke telinga aku ni yang salah dengar?
“And how may I help you, Mister Ian?” soalku apabila
suasana agak kaku dan senyap.
“Actually, yes. There's a lot that you can do to help me.
You must be wondering who I am, right?” soal Ian. Aku hanya
mengangguk. Slang British lelaki ini agak pekat jugak.
“I am Miss Julia’s son. The one who will or will not be
your replacement husband.”
Jantungku terasa seperti berhenti berdegup. Erk, bila
masa pulak Auntie Julia ada anak mat salih ni? Aku terkebil-kebil
seperti cicak tertelan skru di situ. Apa yang sedang berlaku ni?

No comments:

Post a Comment