Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 19

SETIAP gerak-geri Aisyah menjadi perhatian
Tengku Iskandar. Gadis kampung itu kelihatan begitu cekap
melakukan kerja-kerja rumah. Sejak gadis itu ada, kondonya
ini kelihatan kemas dan bersih. Jika dulu, setiap hujung
minggu pasti Kak Yam datang membersihkannya. Tetapi
sekarang Kak Yam tidak perlu datang lagi memandangkan
dia sudah ada ‘pembantu rumah’ seumur hidup.
Untung juga dia berkahwin dengan Aisyah. Sudahlah
kahwin free, gadis itu juga seorang yang cekap melakukan
kerja. Tak perlulah dia mengeluarkan duit untuk membayar
khidmat pembersihan. Dulu sewaktu Kak Yam bekerja
dengannya memang banyak juga duitnya yang mengalir
keluar.
Kak Yam memang bekerja setiap hujung minggu
saja tetapi gaji yang dimintanya bukan main mahal lagi.
Kak Yam memang cekik darah. Disebabkan itu apabila dia
memberitahu Kak Yam bahawa khidmatnya sudah tidak
diperlukan lagi wanita itu merayu masih mahu bekerja.
Tetapi dia benar-benar sudah tidak memerlukan Kak Yam
memandangkan dia sudah punya Aisyah.
Selain itu, makan minumnya juga terjaga. Dahulu
makan minumnya tidak menentu. Namun kini semua itu
sudah tidak perlu dirisaukan lagi. Aisyah memang pandai
memasak. Dalam masa yang singkat gadis kampung itu sudah
pandai memasak makanan barat kegemarannya. Tetapi dalam
masa yang sama dia teringin juga hendak makan makanan
kampung yang pernah Aisyah masak dulu. Cuma egonya
yang melangit menghalang dia daripada menyuarakan
kemahuannya itu. Takut andai Aishah tahu dia yang habiskan
makanan itu dulu.
Aisyah mengerling wajah Tengku Iskandar dengan
ekor matanya. Bibirnya diketap. Rasa kurang selesa apabila
setiap pergerakannya menjadi perhatian lelaki itu.
‘Hesy… apa kena dengan ‘Tengku Harimau’ ni? Asyik
perhatikan aku aje dari tadi. Rimas betul la macam ni. Buat
kerja pun tak senang.’ Hati kecil Aisyah mendesis. Kehadiran
Tengku Iskandar di ruang tamu itu membuatkan tingkahnya
kelihatan sumbang.
‘Boleh pulak dia tak keluar hujung minggu ni.
Biasanya dia mana lekat kat rumah. Selalu keluar dan balik
lewat malam. Tapi hari ni boleh pula melepak kat rumah.
Hesy… rimas betul!’ tambah Aisyah lagi. Tangannya masih
ligat membersihkan kuda kristal yang terdapat dalam almari.
“Kau kalau buat kerja jangan berangan. Nanti pecah
pulak barangan kristal aku tu. Semua tu mahal. Harga
beribu-ribu. Kau nak ganti ke kalau dah pecah?” tegur
Tengku Iskandar kepada Aisyah.
“Errr… tak Tengku. Saya tak berangan pun.” Balas
Aisyah.
Terjegil mata Tengku Iskandar mendengar jawapan
Aisyah.
“Bila masa aku suruh kau menjawab?” sergahnya.
Aisyah mengetap bibir. Kepala ditundukkan. Serba
salah betul dia jadinya. Jika dia diam membisu, lelaki itu kata
dia pekak tak dengar cakap. Bila dia sudah menjawab, lelaki
itu kata lain pula. Hesy… ada aje yang tak kena!
“Kau ni takde baju yang lawa sikit ke? Asyik pakai
baju kurung yang kain macam guni ni aje. Sakit mata aku
tengok pakaian kau ni. Tak buka selera langsung!” kutuk
Tengku Iskandar pada pakaian Aisyah yang sentiasa berbaju
kurung kain kapas.
Kali ini Aisyah tidak menjawab. Hanya diam saja.
Sesuka hati ‘Tengku Harimau’ itu kata baju yang dipakainya
serupa kain guni. Tahulah pakaian ‘Tengku Harimau’ itu
mahal-mahal belaka. Tapi janganlah kutuk kata kain bajunya
serupa guni. Sudah tu kata pula dia tak buka seleranya. Habis
tu yang dia ‘gomol’ Aisyah tu namanya apa? Cakap tak guna
otak!
Bunyi loceng pintu kedengaran. Cepat saja Aisyah
bangun untuk membuka. Ada peluang dia melarikan diri dari
pandangan ‘Tengku Harimau’.
Sebaik pintu dibuka, terlayar wajah kacak ‘Tengku
Kucing’. Lebar senyuman lelaki itu menyapa pandangan
matanya. Sejuk saja matanya memandang wajah Tengku
Haziq yang sentiasa mekar bersama senyuman semanis
gula-gula lolipop.
“Assalamualaikum Aisyah.”
“Waalaikumussalam. Tengku Haziq, masuk la.”
Pelawa Aisyah. “Tengku Iskandar ada kat ruang tamu.”
Sambungnya lagi.
“Saya bukan nak jumpa Tengku Iskandar.”
“Habis tu Tengku Haziq nak jumpa siapa?” Aisyah
beri soalan bodoh. Jika lelaki itu bukan datang berjumpa
Tengku Iskandar, sudah tentulah Tengku Haziq mahu
berjumpa dengannya. Siapa lagi yang ada di dalam rumah itu
jika bukan mereka berdua.
“Saya nak jumpa awak la Aisyah. Takkanlah saya
datang ni nak jumpa segala perabot dalam kondo ni pulak?”
Aisyah tersengih. Sedar jawapan Tengku Haziq
menyindirnya. Nasib baik Tengku Haziq, kalau Tengku
Iskandar sudah tentu dia dikatakan bodoh. ‘Tengku Harimau’
itu cakap memang tak pernah berlapis. Main sembur saja.
“Errr… kenapa Tengku Haziq nak jumpa saya?”
“Saya nak bagi something kat awak.” Sambil
tersenyum Tengku Haziq berkata. Kedua belah tangannya
masih disembunyikan di belakang.
“Apa dia?”
“Jeng! Jeng! Jeng!” Tengku Haziq menghulurkan
beg kertas yang dibawanya kepada Aisyah.
“Apa ni?” terpinga-pinga Aisyah melihat lelaki itu
menghulurkan beg kertas.
“Ada la.” Tengku Haziq masih mahu berahsia.
“Ambil.”
Dengan rasa segan Aisyah mengambil beg kertas itu.
“Awak buka la isinya. Saya yakin pasti awak suka.”
Aisyah tidak banyak bicara. Hanya menurut saja
arahan Tengku Haziq. Isi di dalam beg kertas ditarik keluar.
Ketika matanya memandang isi beg kertas itu, matanya
bulat dan bersinar. Bagaikan tidak percaya novel penulis
kesayangannya sudah berada di depan mata. Inilah novel
yang dicarinya selama ini.
“Dari mana Tengku Haziq dapat novel ni? Setahu
saya novel ni tak jual kat kedai buku, kan.” Bukan main teruja
Aisyah melihat novel ‘Perempuan Yang Paling Aku Cinta’.
Dibelek-beleknya novel itu. Di dalamnya terdapat tulisan
tangan Acik Lana yang menujukan novel itu khas untuknya.
Bagaikan tidak percaya dia dapat tandatangan Acik Lana dan
cop bibir besar seksi itu.
Tengku Haziq tahu Aisyah begitu teruja dengan novel
Acik Lana itu sehingga bibirnya lebar dengan senyuman.
“Saya minta tolong dengan setiausaha saya belikan.”
“Ye ke? Susah-susah aje. Berapa harganya? Saya
bayar.”
“Takpe Aisyah. Saya memang nak hadiahkan novel
ni untuk awak.”
“Tapi…”
“Takpe… tanda persahabatan saya dengan awak.”
Lembut tutur kata Tengku Haziq. Matanya menikam anak
mata Aisyah.
Tidak betah menentang anak mata Tengku Haziq
yang bening, Aisyah menundukkan kepalanya. Takut andai
hatinya terusik dengan renungan itu. Lelaki seperti Tengku
Haziq yang punya rupa dan budi bahasa yang baik, bisa saja
mencairkan hati perempuan yang memandang. Dia tidak
mahu perasaan itu lahir kerana dia sedar siapa dirinya.
“Hoi! Apasal kau lama sangat kat pintu tu? Siapa
yang datang?” suara Tengku Iskandar memetir dari ruang
tamu.
Terkejut Aisyah mendengar suara ‘Tengku Harimau’
itu. Sampai terhinggut bahunya. Dia yang memang terkenal
dengan kaki latah itu pun terus melatah.
“Oh mak kau, ‘Tengku Kucing’ datang!”
“Opsss!!!” Aisyah menekup mulutnya dengan novel
di tangan. Terlepas gelaran manja Tengku Haziq di bibirnya.
‘Hesy… mulut ni! Celopar sangat la!!!’ marahnya
pada mulut sendiri.
“Siapa ‘Tengku Kucing’? Saya ke?” Ingin pula Tengku
Haziq mengetahui siapa ‘Tengku Kucing’ yang dimaksudkan
Aisyah.
Aisyah menggigit bibir bawah. Dia sudah terlepas
cakap di hadapan lelaki itu. Matilah dia kalau tiba-tiba
‘Tengku Kucing’ berubah menjadi ‘Tengku Harimau’ seperti
Tengku Iskandar.
“Errr… errr… ma… maafkan saya.”
Tiba-tiba tawa Tengku Haziq pecah. Memang benar
gelaran itu ditujukan kepadanya. Pandai sungguh Aisyah beri
dia nama gelaran. ‘Tengku Kucing’!
Melihat tawa Tengku Haziq, Aisyah bersuara.
“Awak tak marah ke?”
Tengku Haziq menggeleng. Tawanya masih bersisa.
“Buat apa nak marah. Alaaa… okeylah tu awak bagi
saya nama manja. Nanti kalau awak nampak kucing, awak
akan teringatkan saya.” Tengku Haziq mengenyit mata.
Perbuatan nakalnya mengundang warna merah jambu pada
wajah putih mulus Aisyah.
“Hoi! Kau buat apa tercegat kat sana tu?” Tengku
Iskandar menghampiri dan menyergah garang. Tak ubah
seperti harimau jantan.
“Is… kau ni sikit-sikit nak menyergah. Macam Tok
Harimau!” balas Tengku Haziq sambil melangkah masuk ke
dalam. Dari tadi bersembang dengan Aisyah di depan pintu
saja.
“Kau rupanya Ziq. Ingatkan siapa yang datang.”
Nadanya mengendur kala terpandang wajah Tengku Haziq.
“Kenapa kau datang?”
“Hai… takkan aku dah tak boleh datang kondo kau
lagi. Kau dah tak suka aku datang sini ke?”
“Bukan macam tu la. Aku tanya aje.” Balas Tengku
Iskandar. Kakinya melangkah semula ke ruang tamu. Lalu
melabuhkan punggung di atas sofa.
“Kau tu janganlah asyik tengking Aisyah. Kesian dia.
Sampai melatah dia dengar suara kau yang tak ubah macam
guruh tu.” Tegur Tengku Haziq sambil membuntuti langkah
Tengku Iskandar. Punggungnya juga dilabuhkan di atas sofa.
Kondo mewah milik sepupunya itu diperhatikan.
Nampak kemas dan bersih. Tentu Aisyah yang melakukannya
kerana dia tahu Tengku Iskandar telah memberhentikan
khidmat Kak Yam sebagai pembantu rumah separuh masanya.
“Kau tak keluar ke?” tanya Tengku Haziq apabila
melihat Tengku Iskandar asyik membelek majalah. Biasanya
hujung minggu begini Tengku Iskandar akan keluar
berfoya-foya dengan salah seorang teman wanitanya yang
pelbagai rupa itu.
“Malas.” Selamba Tengku Iskandar menjawab.
Berkerut dahi Tengku Haziq mendengarnya. Malas?
Selama ini Tengku Iskandar mana ada rasa malas nak keluar
dengan awek-awek dia yang seksi-meksi itu. Tapi hari ini
boleh pula lelaki itu kata dia malas nak keluar.
Aisyah datang semula ke ruang tamu. Dia menatang
dulang berisi air teh yang dibancuh. Penuh berhati-hati dia
meletakkan dulang di atas meja. Menuang air teh Boh yang
dibancuh ke dalam cawan.
“Is, aku ada hajat ni. Nak minta kebenaran kau.”
“Apa dia?” Tanpa mengalihkan pandangannya, mata
Tengku Iskandar masih melekat pada majalah yang dibaca.
“Aku nak minta kebenaran kau bawak Aisyah keluar
jalan-jalan. Kesian dia asyik terperap duduk kat rumah aje.”
Pinta Tengku Haziq sambil melirik mata memandang wajah
Aisyah.
Aisyah yang mendengar hanya menundukkan
kepala. Agak terkejut dia dengan permintaan Tengku Haziq
yang mahu membawanya keluar berjalan-jalan. Ingatkan
lelaki itu hanya datang memberikan novel Acik Lana saja
kepadanya. Rupanya masih ada niat lain. Lelaki itu memang
baik. Sudi mengajaknya keluar bersiar-siar. Nak harapkan
Tengku Iskandar, jangan mimpi la! Lelaki itu mana sudi jalan
berdua dengan Aisyah yang asal dari kampung ini.
Majalah yang dibaca diletak ke atas riba. Wajah
Tengku Haziq yang penuh mengharap dan wajah Aisyah yang
tertunduk dipandang silih berganti.
“Aku minta maaf Ziq. Aku tak dapat benarkan kau
bawak Aisyah keluar jalan-jalan. Masih banyak kerja rumah
yang dia kena buat.”
Jawapan Tengku Iskandar mematahkan hati Aisyah.
Dia memang sudah mengagak pasti Tengku Iskandar tidak
akan membenarkan dia keluar bersama Tengku Haziq.
Malas hendak mendengar lebih lanjut perbualan dua sepupu
itu, Aisyah melangkah ke ruang dapur. Jarum jam sudah
menunjukkan angka sebelas lima puluh minit pagi. Elok dia
menyediakan makan tengah hari.
“Is kau tak kesian ke Aisyah asyik terperap aje. Kau
seolah-olah dah kurung dia dalam kondo kau ni. Sesekali tu
kau bagilah dia peluang keluar jalan-jalan kat luar.” Kata
Tengku Haziq setelah kelibat Aisyah hilang di sebalik dinding
yang memisahkan ruang tamu dengan ruang dapur.
“Kau nak bawak dia ke mana? Nak tayang dia kat satu
KL? Supaya semua orang tahu dia tu isteri aku, macam tu?”
soal Tengku Iskandar kurang gemar dengan tindakan Tengku
Haziq yang mahu membawa Aisyah keluar berjalan-jalan.
“Takde siapa pun tahu Aisyah tu isteri kau. Cuma
kau dengan aku aje yang tahu. Lagipun… takde sesiapa yang
kenal dia kat KL ni. Kau tu aje yang takut tak bertempat.”
Tengku Haziq membalas.
“Memanglah takde siapa yang tahu. Tapi macam
mana kalau tiba-tiba terserempak dengan kawan-kawan
mummy? Tak ke naya. Kau sendiri tahu kan kawan-kawan
mummy ramai kat KL ni.” Memang itulah yang paling
dikhuatiri Tengku Iskandar. Takut sangat andai mummynya
tahu dia sudah bernikah. Tak pasal-pasal melepas peluangnya
hendak menjawat jawatan sebagai CEO syarikat nanti.
Tengku Haziq mendengus. Tengku Iskandar
memang seorang yang mementingkan diri sendiri. Risau
sangat kerusi CEO tidak sampai kepadanya. Sampai sanggup
mengurung seorang insan di dalam kondo mewahnya itu.
AISYAH BARU selesai bersolat ketika namanya dilaung
Tengku Iskandar di ruang tamu. Tergesa-gesa dia melipat
sejadah dan menggantung telekung ke atas penyidai kayu.
Takut andai dia terlambat lelaki itu akan mengamuk. Menjadi
isteri lelaki itu dalam tempoh masa sebulan, membuatkan dia
sudah mula memahami perangai Tengku Iskandar.
Di atas lantai, terdapat banyak beg kertas berselerak.
Aisyah tak tahu apa di dalamnya. Cuma dia yakin itu semua
barang-barang kepunyaan Tengku Iskandar. Pasti lelaki itu
memanggilnya untuk menyuruh dia mengangkat beg-beg
kertas itu naik ke tingkat atas. Maklumlah… Aisyah inikan
‘kadam’ Tengku Iskandar.
“Kau tercegat apa lagi kat situ? Ambillah beg-beg
kertas ni!” Tengku Iskandar bersuara tinggi setelah melihat
Aisyah masih berdiri kaku.
Cepat-cepat Aisyah mendapatkan beg-beg kertas yang
berselerak di atas lantai itu. Terkial-kial dia mengangkatnya.
Biarpun tidak berapa berat, namun beg kertas yang banyak
itu menyusahkan pergerakan Aisyah, menyebabkan dirinya
yang kecil molek tenggelam dek beg-beg kertas itu.
“Kau nak ke mana tu?” tanya Tengku Iskandar sebaik
melihat Aisyah melangkah ke tangga.
“Nak simpan barang-barang Tengku ni kat atas.”
Jawab Aisyah sambil cuba mengawal beg kertas yang
dibawanya jatuh ke lantai.
“Tu bukan barang aku la bodoh! Tu barang untuk
kau.”
Hampir saja beg kertas yang banyak itu terlepas jatuh
dari tangan Aisyah. Terkejut bukan kepalang mendengar
ayat Tengku Iskandar. Barang-barang itu untuknya? Biar
betul??? Baik pula hati ‘Tengku Harimau’ itu membelikan
barang-barang untuknya.
“Sebab mata aku ni rimas sangat tengok baju kurung
kain guni kau tu, aku belikan kau baju baru. Tapi semua ni
bukan free tau. Kau jangan nak perasan pula aku belikan kau
free macam tu aje. Harga baju-baju kau ni aku tolak daripada
duit gaji kau.”
Aisyah ketap bibir. Dia sudah agak, pasti ‘Tengku
Harimau’ itu tidak sebaik yang difikirkan. Baru beli
barang-barang untuknya, duit gaji yang hanya tiga ratus
ringgit sebulan itu dipotong. Hampeh!
“Dah! Pergi bawa masuk kat dalam bilik kau. Lagi
satu, aku nak kau pakai baju warna merah yang aku beli tu.
Aku nak tengok sesuai ke tidak.” Sambil memberi arahan,
mata Tengku Iskandar tertancap pada skrin televisyen.
Rancangan Fear Factor yang ditayangkan di kaca televisyen
merupakan rancangan kegemarannya.
Aisyah hanya menurut segala perintah yang
dikeluarkan ‘Tengku Harimau’ itu.
Banyak pakaian yang dibelikan Tengku Iskandar
untuk Aisyah. Pandai lelaki itu mencari saiznya. Semua muat
pada susuk tubuh Aisyah. Cantik-cantik pula tu. Cuma apa
yang membuatkan Aisyah kurang berkenan, pakaian yang
dibelikan lelaki itu agak menjolok mata. Dia memang tidak
memakai pakaian sebegitu. Segan orang tengok. Lagipun dia
sudah cukup senang dengan pakaian yang ada sekarang.
Baju tidur satin warna merah cili yang tersarung di
tubuhnya diperhatikan. Rasa malu menyerbu diri. Patutkah
dia kena pakai pakaian ini di hadapan Tengku Iskandar?
Serta-merta wajahnya memerah.
Aisyah mengeluh. Dalam terpaksa dia kena
melangkah keluar. Nanti jika dia terperap lama di dalam bilik
ini, ‘Tengku Harimau’ itu akan naik hantu. Tingkah Tengku
Iskandar sukar diduga. Sekejap okey, sekejap K.O!
Perlahan-lahan Aisyah melangkah ke ruang
menonton. Suasana dingin di ruang menonton meresap ke
tubuh yang agak terdedah. Baju tidur seksi itu benar-benar
buat dia tidak selesa. Seperti dia berada dalam keadaan tidak
berpakaian.
Entah bagaimana sebilangan wanita cukup gemar
dan selesa berpakaian seksi begitu. Selesa keluar rumah
dan diperhatikan orang sekeliling. Dia yang baru berada
di dalam rumah dengan pakaian begitu pun sudah merah
muka menahan rasa, sedangkan dia hanya berdiri di hadapan
seorang lelaki yang sah bergelar suaminya.
Aisyah berdiri seperti patung cendana. Mata ‘Tengku
Harimau’ masih setia pada skrin TV besar di hadapannya.
Kehadiran Aisyah di ruang menonton itu langsung tidak
diendahkan.
“Ehem…” Aisyah berdeham. Cuba menyedarkan
Tengku Iskandar akan kehadirannya. Jika tahu dia tidak
dipedulikan begini, lebih baik dia terperap saja di dalam bilik.
Perhatian Tengku Iskandar beralih kepada Aisyah.
Tergamam seketika melihat gadis kampung itu dalam
pakaian seksi yang dibelinya. Dari atas sampai ke bawah dia
perhatikan Aisyah.
Sedar renungan tajam Tengku Iskandar terhadapnya,
Aisyah jadi tidak menentu. Apatah lagi apabila lelaki itu
sudah berdiri dan bergerak menghampirinya. Begitu hampir
sehingga membuatkan debaran di dada sudah tidak tentu
rentaknya.
Tangan Tengku Iskandar sudah melurut menyentuh
lengan Aisyah yang putih gebu. Rambut gadis kampung
itu yang terikat satu bagaikan ekor kuda dibuka ikatannya.
Terurai rambut panjang Aisyah. Cantik! Itu pandangan
Tengku Iskandar terhadap Aisyah.
Tiba-tiba, keinginan yang satu itu datang menyapa.
Aisyah ini ibarat sejenis dadah bernama heroin yang bisa
membuatkan dia ketagih. Memang ramai wanita pernah
ditidurinya. Namun mereka tidak sama seperti Aisyah. Aisyah
ada sesuatu yang tiada pada mereka semua, yang sering
membuatkan dia terkenangkan pelukan hangat gadis itu.
Setiap sentuhan halus Tengku Iskandar pada
tubuhnya membuatkan Aisyah berdebar. Dia tahu
apa yang dimahukan suaminya itu. Sebagai isteri, dia
wajib melaksanakan tanggungjawabnya. Jika itu dapat
membahagiakan suaminya, dia rela menurut.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :
“Jika seorang suami memanggil
isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk
hubungan kelamin) dan dia menolak,
dan menyebabkan suaminya tidur dalam
kemarahan, malaikat-malaikat akan
mengutuknya hingga waktu pagi.”
AISYAH TERJAGA pada pukul empat lima puluh minit pagi.
Masih terlalu awal untuk dia bangun mengerjakan solat
subuh. Tangan Tengku Iskandar yang melingkar kemas
pada pinggangnya cuba dialihkan. Namun dia tidak berjaya
apabila tangan lelaki itu sukar digerakkan. Begitu kejap sekali
Tengku Iskandar memeluknya.
Sedaya upaya Aisyah memusingkan tubuhnya,
menghadap Tengku Iskandar yang sedang lena disulami
dengkuran halus. Lelaki itu tetap kelihatan kacak walaupun
dalam tidur. Tapi sayang, kacaknya tidak seiring dengan
perangainya yang garang bagaikan harimau dalam hutan.
Aisyah mengeluh. Layanan Tengku Iskandar
terhadapnya sukar diramal. Lelaki itu menjadi lelaki
romantik ketika mereka ‘bersama’. Layanannya terhadap
Aisyah membuatkan Aisyah rasa seperti dia ini isteri yang
dicintai sepenuh jiwa. Namun sikap Tengku Iskandar akan
berubah kala dia terjaga. Wajahnya garang dan bahasanya
yang kasar bisa membuatkan Aisyah berjauh hati. Di mata
Tengku Iskandar, dia ini tidak ubah seperti melukut di tepi
gantang.
“Buruk sangatkah aku ni, sehinggakan aku tidak
layak berada di samping dia?” Aisyah menyoal diri sendiri.
Mata masih merenung tepat ke wajah Tengku Iskandar.
Alangkah bahagianya andai lelaki itu melayannya dengan
baik. Tentu dialah wanita paling bahagia di dunia ini.
Aisyah menghela nafas. Biar perkahwinan itu bukan
lahir atas dasar cinta, tetapi Aisyah berazam ingin menjadi
isteri yang solehah. Semoga Allah membuka pintu cinta di
hati Tengku Iskandar buat dirinya.
Amin…

No comments:

Post a Comment