Enam bulan kemudian...
FASHA tersenyum lebar. Telefon bimbit
diletakkan semula ke atas meja. Tidak sabar hatinya hendak
menunggu minggu depan. Sudah lama dia berhasrat hendak
datang ke Kuala Lumpur. Tinggal beberapa hari saja lagi
hasratnya itu akan tercapai. Ujie juga sudah berjanji akan
menolong dia mendapatkan kerja di Kuala Lumpur nanti.
“Amboi… bukan main lebar kau tersenyum.
Ingatkan Iwan la tu.” Farid yang baru pulang entah dari mana
melabuhkan punggung ke atas kerusi. Remote Astro dicapai
lalu dia menukar siaran yang ke udara di televisyen.
Fasha menarik muka. Sejak kejadian Farid hampir
memperkosa Aisyah dan akhirnya gadis itu kahwin dengan
lelaki kaya, dia sudah tidak mahu bermanis muka dengan
Farid lagi. Sakit hatinya setiap kali berdepan dengan Farid.
Gara-gara abangnya itu, Aisyah berkahwin dengan orang
kaya. Sudahlah kaya, kacak pula tu.
“Kau ingat Iwan ye. Pasal tu senyum lebar.” Farid
masih mahu mengajak adiknya itu berbual. Sudah lama Fasha
melancarkan mogok terhadapnya, sejak kes Aisyah kahwin
dengan lelaki kaya. Cemburu benar adiknya itu kepada Aisyah
sehinggakan sampai ke hari ini dia langsung tak bertegur
sapa dengan Farid.
“Yang abang sibuk buat apa? Takde kena-mengena
pun dengan abang!” marah Fasha. Dia tak suka Farid sebut
nama Iwan di depannya. Dia sudah lama putus dengan Iwan.
Tak berselera hendak bercouple dengan Iwan yang sekadar
memandu kereta Kancil itu. Dia mahukan lelaki kaya seperti
Tengku Iskandar.
Ya! Fasha masih ingat nama suami Aisyah itu.
Tengku Iskandar yang kacak dan telah membuatkan dia jatuh
hati. Walaupun lelaki itu suami Aisyah, dia bercadang hendak
merampas Tengku Iskandar daripada Aisyah. Disebabkan itu
Fasha mahu pergi ke Kuala Lumpur bersama Ujie. Dia yakin
dapat mencari maklumat di mana Aisyah tinggal nanti. Lelaki
kaya dan kacak seperti Tengku Iskandar, tentu ramai yang
mengenalinya.
“Mana boleh takde kena-mengena dengan aku. Kau
tu adik aku, Iwan tu pulak kawan aku.”
Fasha mencebik. Farid dengan Iwan memang
kawan rapat. Jadi tidak mustahil Iwan sudah menceritakan
pasal hubungan mereka yang telah putus. Dia yakin Farid
mengetahuinya, cuma sengaja mahu memancing cerita
daripada dia.
“Habis tu kalau dia kawan abang sekali pun, kenapa?
Dah la! Fas malas nak cakap dengan abang ni. Menyakitkan
hati aje.” Tanpa menunggu lama, Fasha bingkas bangun dan
berlalu ke bilik tidurnya.
Puan Ainin yang baru pulang dari gerai buah hanya
memandang kelibat anak gadisnya yang menonong laju
masuk ke dalam bilik. Bukan main masam lagi wajah Fasha.
Mengalahkan asam boi kena jeruk.
“Apa kena dengan adik kamu tu? Masam aje mak
tengok muka dia.” Tanya Puan Ainin kepada Farid sebaik saja
punggungnya dilabuhkan ke atas sofa.
“Entah! Angin satu badan.”
“Farid tu usik adik, pasal tu dia masam mencuka.”
“Mana ada Id usik dia mak. Dia tu aje yang emosi tak
menentu. Cepat sangat naik angin.”
Puan Ainin sekadar menggeleng. Anaknya yang
berdua itu memang tak pernah aman sedari kecil. Ada saja
yang mereka berdua gaduhkan. Farid pun satu hal juga, suka
sangat mengusik Fasha. Fasha pula pantang diusik mulalah
cemberut.
“Id ni takde kerja ke? Dari Id asyik melepak dengan
kawan-kawan Id tu, baik Id tolong mak dekat gerai tu hah. Tak
pun kerja dekat kebun strawberi tu. Ada jugak untungnya.”
Puan Ainin bersuara lagi.
“Hesy… tak naklah mak. Apa kelas kerja dekat kebun
dan gerai buah tu? Jatuhkan standart Id aje.”
“Amboi… bukan main lagi Id ya! Kalau dah tahu
kerja tu takde kelas, dulu waktu sekolah kenapa tak belajar
betul-betul. Mak hantar sekolah, Id ponteng pula. Sekarang
ni dah takde kerja, mak suruh tolong dekat kebun dan gerai
pandai pulak Id menolak. Asyik melepak dengan kawan-kawan
yang tak senonoh tu. Sampai bila Id nak berubah ni? Id tu
dah dua puluh lima tahun. Dah sepatutnya dapat tolong mak
ni hah. Takkan nak suruh mak kerja sampai ke mati pulak!”
Puan Ainin mula membebel. Farid dengan Fasha dua kali
lima saja. Malas sekolah, kerja pun malas!
Farid mendengus. Sakit telinga dengar maknya mula
membebel. Baru nak rehatkan minda duduk dekat rumah,
mak sudah pot-pet pot-pet macam mulut burung kakak tua.
“Mak ni bisinglah! Id baru nak tenangkan jiwa. Mak
dah mula berleter. Buat jiwa Id tak tenang aje.” Gumam
Farid kasar. Dari kecil dia tak pernah cakap elok-elok dengan
maknya. Tinggi suara Puan Ainin, tinggi lagi suara Farid.
Tajam mata Puan Ainin merenung anak lelakinya
yang seorang itu.
“Macam mana mak tak berleter kalau Id tu pemalas
sangat? Suruh tolong pun bukan main banyak alasan yang Id
beri. Tapi kalau bab minta duit, Id la paling rajin.”
Semakin sakit telinga Farid mendengar bebelan
maknya. Lantas dia bangun dari duduk.
“Hah… tu nak ke mana pulak tu?” Puan Ainin
menegur sebaik saja Farid bergerak ke muka pintu.
“Id nak ke rumah Kit. Nak tenangkan jiwa. Duduk
rumah pun asyik dengar mak berleter aje. Sakit telinga!”
Ketap bibir Puan Ainin mendengar jawapan anak
lelakinya itu. Bukan main lagi Farid menjawab. Dulu waktu
Aisyah ada, dia tidak susah seperti ini. Aisyah akan melakukan
semua kerja rumah dan menjaga gerai. Tetapi kini, segala
urusan dia yang kena buat. Fasha tu bukannya tahu hendak
memasak. Goreng telur pun boleh hangus, apatah lagi
disuruh memasak pelbagai jenis menu. Mahu terbakar rumah
dibuatnya.
HIDANGAN MAKAN malam sudah tersedia di atas meja. Ada
chicken chop, kentang goreng, salad mayones dan jus oren.
Hidangan bercita rasa ala barat. Sejak bergelar isteri kepada
lelaki bertekak mat salih itu, Aisyah sudah jarang makan
makanan ala kampung. Jika teringin, dia hanya makan di
waktu tengah hari saja, ketika suaminya itu berada di pejabat.
Tetapi jikalau Tengku Iskandar ada di rumah, memang inilah
menu wajib makan malamnya.
Sedar tak sedar sudah enam bulan Aisyah menjadi
isteri Tengku Iskandar. Tidak banyak yang berubah pada
lelaki itu. Masih garang seperti harimau jantan. Bercakap
tak pernah nak berlembut. Asyik nak menengking aje. Salah
sikit, jeritan Tengku Iskandar sudah memecah memenuhi
ruang kondominium, mengalahkan suara jeritan mak sunya
di kampung dulu. Nampak gaya, ‘Tengku Harimau’ itu boleh
menandingi mak su dalam acara suara siapa paling kuat
apabila menjerit.
“Yang kau tersengih-sengih ni apasal? Dah miring?”
sergah Tengku Iskandar. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan
punggungnya di situ. Wajahnya kelat tanpa senyuman.
Terkejut mendengar sergahan itu, Aisyah melatah.
“Oh mak kau harimau jadian dalam hutan!”
Serta-merta, tangannya menekup mulut.
‘Hesy… apasal mulut ni gatal sangat cakap macam
tu? Kan mata ‘Tengku Harimau’ tu dah jadi tajam macam
mata burung helang. Aduhai… sah-sah kejap lagi aku kena
tengking.’
“Kau kata apa?” tanya Tengku Iskandar dengan
mata yang tajam menikam wajah Aisyah. Dia dengar apa
yang Aisyah kata. Cuma dia sengaja mahu gadis kampung itu
mengulanginya semula.
Aisyah menggeleng laju. Tak berani nak ulang semula
apa yang baru terlucut keluar dari mulutnya sebentar tadi.
Nak mampus, ulang semula apa yang dia cakap? Silap hari
bulan, jeritan ibarat guruh di langit milik ‘Tengku Harimau’
itu berkumandang malam itu. Angin lelaki itu sukar dibaca.
Kut anginnya kurang baik, teruk Aisyah kena.
Tengku Iskandar mendengus. Wajah takut-takut
Aisyah dijeling sekilas pandang.
Seperti biasa, Aisyah akan berdiri tegak di tepi meja
menanti Tengku Iskandar habis makan. Enam bulan bergelar
isteri, belum pernah dia duduk semeja dengan Tengku
Iskandar. Dia akan makan apabila Tengku Iskandar selesai
makan. Itu pun dia makan kat dapur.
“Duduk!”
Aisyah panggung kepala. Sepatah ayat yang
kedengaran jelas menyapa halwa telinganya. Cuma dia tidak
berani hendak menurut. Takut kalau-kalau dia tersalah
dengar.
“Kau ni pekak ke? Tak dengar apa yang aku cakap?
Duduk!” tanpa memandang wajah Aisyah, Tengku Iskandar
bersuara lagi.
Setelah yakin ‘Tengku Harimau’ itu mempelawanya
duduk, perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sebelah
Tengku Iskandar. Kepalanya menunduk. Sesekali dia mencuri
pandang wajah Tengku Iskandar yang sedang menikmati
makanan di hadapannya. Terbit rasa bahagia di hati Aisyah
apabila melihat Tengku Iskandar makan masakannya dengan
begitu berselera. Orang tua-tua selalu berkata, hendak
memikat suami kenalah ikat perutnya dulu.
Walaupun Aisyah sedar dia tidak mungkin dapat
mengikat hati lelaki itu, namun dia sudah cukup bahagia
melihat Tengku Iskandar makan makanan dari air tangannya.
Sekurang-kurangnya dia dapat berbakti kepada suaminya
itu meskipun kehadirannya tidak memberi apa-apa makna
kepada Tengku Iskandar. Entah sampai bila dia perlu menjadi
perempuan simpanan kepada suami sendiri.
Sesekali timbul rasa bahagia di hati Aisyah setiap
kali Tengku Iskandar membelainya di dalam tidur. Ketika
‘bersama’, Tengku Iskandar merupakan seorang suami
yang benar-benar menghargainya. Membuatkan dia lupa dia
sekadar isteri di dalam sangkar.
Cuma awal-awal lagi Tengku Iskandar sudah
berpesan. Dia tidak dibenarkan mengandung. Jika itu terjadi,
Tengku Iskandar tidak mahu mengakui anak itu sebagai
anaknya. Lelaki itu memang kejam!
“Yang kau asyik tenung muka aku ni dah kenapa?”
Suara Tengku Iskandar mematikan lamunan Aisyah.
Cepat-cepat dia menundukkan kepalanya semula.
“Ambil la pinggan tu!”
“Ambil pinggan buat apa?” soal Aisyah pelik.
Tengku Iskandar mendengus. Garpu dan pisau
diletakkan di tepi pinggan.
“Kau ni apasal bodoh sangat hah? Aku suruh kau
ambil pinggan, aku suruh kau makan la bodoh!”
Sayu hati Aisyah apabila Tengku Iskandar
memanggilnya begitu. Dia tahu dia tak punya pelajaran
tinggi seperti Tengku Iskandar. Tetapi janganlah panggil dia
begitu. Dia bukan bodoh. Cuma dia takut andai tersalah laku,
Tengku Iskandar akan memarahinya. Dia bukannya tidak
faham dengan sikap Tengku Iskandar yang suka mencari
salahnya itu.
Lagipun sepanjang enam bulan mereka berkahwin,
belum pernah sekali pun Tengku Iskandar mengajak dia
duduk semeja untuk makan bersama. Itu yang pelik apabila
Tengku Iskandar menyuruh dia mengambil pinggan untuk
makan. Rasa macam mimpi. Rasa seperti tak percaya.
Takut dimarahi lagi, Aisyah akur juga menurut.
Pinggan kosong di tepi dicapai lalu diisi dengan chicken chop,
kentang goreng dan salad mayones. Isi sikit sahaja kerana
makanan ini bukanlah seleranya. Ikutkan dia nak makan
chicken chop itu dengan nasi yang sudah dimasak di dapur
setelah Tengku Iskandar habis makan. Tapi memandangkan
tiba-tiba lelaki itu dengan baik hati mempelawa dia makan
bersama, kenalah dia makan juga makanan ala barat itu.
Aisyah memerhati garpu dan pisau. Bibir bawahnya
digigit.
‘Hesy… macam mana nak guna ni? Kalau garpu
tu okey lagi, pisau tu yang aku tak tahu nak guna.’ Hatinya
berbisik.
Curi-curi, Aisyah mengerling Tengku Iskandar
yang sedang asyik mengunyah makanannya. Cara lelaki itu
memotong daging ayam diperhatikan. Setelah yakin, dia pun
meniru cara lelaki itu.
‘Bismillahirrahmanirahim…’
Ting!!!
Bunyi garpu dan pisau berlaga atas permukaan
pinggan kedengaran. Serentak itu juga Aisyah melatah.
“Opocot anak ayam terbang!”
Daging ayam yang dipotong terbang dari dalam
pinggan milik Aisyah dan mendarat tepat ke wajah tampan
Tengku Iskandar sebelum landing ke dalam pinggan lelaki
itu, membuatkan Tengku Iskandar terkejut dan terkedu.
Aisyah yang memerhati sudah bulat mata. Mulut
ditekup dengan kedua belah tangan. Tidak sangka sampai ke
situ ayamnya terbang. Hendak tergelak rasanya. Namun rasa
kelakar itu ditolak ke tepi kala terpandang wajah tegang si
suami.
“Errr… ma… af… maafkan… saya Te… Tengku.”
Gagap dia jadinya. Tanpa berfikir panjang dia meluru ke
arah Tengku Iskandar. Wajah lelaki itu dilap berulang kali
menggunakan tisu. Dah serupa orang mengelap pinggan pula
lagaknya.
Rimas dengan tindakan Aisyah, Tengku Iskandar
berkata dengan nada geram. “Hei, rimaslah!”
Tangan Aisyah ditangkap lalu dipegang kejap.
Matanya tajam menikam wajah Aisyah, membuatkan gadis itu
menelan air liur yang mula terasa payau. Rasa nak menangis
pun ada juga apabila tangannya dipegang sekuat itu. Dia tahu
Tengku Iskandar sedang marah.
“Ma… maafkan saya.” Ucapnya lagi.
Rahang Tengku Iskandar kelihatan bergerak-gerak.
Hendak marah, namun entah mengapa kemarahannya tidak
terluah melihat wajah mendung Aisyah. Dia tahu gadis itu
tidak sengaja.
Akibat marah yang tidak terluah, Tengku Iskandar
melepaskan tangan Aisyah dengan kasar. Sebuah dengusan
keluar dari mulutnya. Tisu dicapai lalu mulutnya dikesat. Dia
bangun dari duduk.
Melihat langkah Tengku Iskandar yang sudah mula
meninggalkan ruang makan, Aisyah memberanikan diri
untuk bersuara.
“Errr… Tengku tak nak makan?”
“Aku dah kenyang! Kau makan la sorang.”
Setelah lelaki itu berlalu, ketawa Aisyah terlepas
dari mulut. Lucu terkenangkan wajah kaget Tengku Iskandar
apabila ayam yang dipotong terbang terkena wajahnya.
Berubah terus wajah Tengku Iskandar. Kalau bukan
disebabkan rasa takut kepada lelaki itu, dari tadi lagi dia nak
ketawa. Kejadian itu benar-benar menggeletek hatinya.
“Dah puas ketawa, nanti naik atas! Aku lapar
nak makan orang!” suara Tengku Iskandar kedengaran
membuatkan ketawa Aisyah yang terbahak-bahak itu mati
serta-merta.
Bibirnya diketap. Dia tahu benar apa yang
dimaksudkan lelaki itu. Jika sudah mengeluarkan arahan
untuk dia naik ke atas, tentu lelaki itu mahukan sesuatu
daripadanya.
“Itulah! Siapa suruh gatal sangat ketawakan ‘Tengku
Harimau’ tu? Kan dah nak kena baham. Hesy!” Aisyah
merungut kepada diri sendiri.
Lemah jiwanya apabila Tengku Iskandar sudah
mengeluarkan arahan itu. Nak mengelak, dia tak punya
alasan. Lagipun, kehendak suami perlu ditunaikan.
No comments:
Post a Comment