Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 2

“Tinggal kat sana?” Hajah Aminah pelik.
“Ya, mi.... Majikan baru Zureen letakkan syarat
begitu.”
“Kenapa sampai nak kena tinggal kat sana pula?
Zureen ni nak jadi jururawat peribadi atau nak jadi pembantu
rumah tu? Tak boleh ke berulang-alik? Bukannya jauh sangat
pun!” Umi masih tidak bersetuju dengan syarat yang
diberikan.
“Tentulah jururawat, mi. Takkanlah pembantu
rumah pula. Pembantu rumah Datin tu pun dah ada dua tiga
orang. Nak buat apa ambil pembantu rumah lagi?” Zureen
cuba berseloroh untuk memujuk uminya.
Hajah Aminah membuang pandang. Hatinya sedikit
pun tidak tercuit dengan jenaka Zureen. Zureen tahu uminya
merajuk. Dia segera merapati uminya lalu memeluknya.
Melihat uminya yang masih mendiamkan diri, Zureen baring
pula di pangkuan uminya. Dipeluk pinggang uminya.
Haji Zailan hanya memerhati dan menjadi
pendengar perbualan dua beranak itu. Baginya, dia memang
tidak kisah jika anak bongsunya itu sudah memutuskan
untuk menerima jawatan itu. Selama ini memang Haji Zailan
agak berfikiran terbuka. Dia mengambil sikap tidak terlalu
mendesak. Hanya sesekali dia akan bersuara apabila
dirasakan perlu.
“Umi janganlah risau. Ledang Height tu bukannya
jauh sangat pun. Datin dah janji dengan Zureen. Katanya
Zureen cuma perlu kerja Isnin hingga Jumaat. Hari Sabtu
setengah hari. Setiap hujung minggu nanti Zureen baliklah.
Umi.. sebenarnya Zureen dah bosan menganggurlah, mi.
Kebetulan dapat peluang kerja macam ni, lepas tu dijanjikan
gaji yang lumayan, takkanlah Zureen nak lepas peluang ni,
mi. Umi sepatutnya bersyukur sebab Zureen dapat kerja tak
jauh dari rumah kita. Kalau Zureen kerja di hospital, belum
tentu boleh tinggal lagi di kampung ni, mi.... silap-silap
mungkin akan dihantar luar dari Johor. Haa.. masa tu tentu
umi lagi sedih, kan?” Zureen terus cuba memujuk uminya.
Hajah Aminah terdiam mendengar kata-kata
Zureen. Betul juga. Sekurang-kurangnya Zureen masih dekat
dengannya. Hanya Zureen sajalah pengubat kesunyiannya
suami isteri. Abang dan kaKak Zureen sudah berkeluarga dan
tinggal jauh dari mereka. Zahrin, anaknya yang sulung
bertugas di Sarawak. Anak keduanya, Zahnita pula mengikut
suaminya membuat phD di United Kingdom. Manakala anak
ketiganya, Zahin yang masih bujang bekerja di pelantar
minyak di Terengganu. Sebulan sekali pun payah untuk
pulang ke kampung akibat sibuk dengan tugasnya. Mujurlah
ada Zureen, sebab itu Hajah Aminah tidak kisah walaupun
Zureen agak lama menganggur biarpun sudah lama
menamatkan pengajiannya. Dia mahu puteri bongsunya itu
sentiasa dekat dengannya. Namun, Hajah Aminah sedar,
suatu hari nanti Zureen juga akan meninggalkannya seperti
abang-abang dan kakaknya apabila sudah berkeluarga.
“Bila Zureen mula kerja?” Haji Zailan tiba-tiba
bersuara.
“Kalau ikutkan, hari ni Datin dah suruh Zureen
mulakan tugas tapi Zureen minta tangguh hingga esok sebab
Zureen nak bincang dengan umi dan baba dulu. Lagipun
Zureen tadi datang sehelai sepinggang. Macam mana nak
terus kerja?”
“Esok? Amboi, cepatnya! Tak boleh ke tunggu
minggu depan aje?” Suara Hajah Aminah masih tidak
berpuas hati.
“Memang Datin dah terdesak sangat perlukan
jururawat, mi. Dia perlukan sangat jururawat untuk merawat
anaknya yang sakit tu.”
“Hai, teruk sangat ke sakit anaknya tu? Selama
belum ada jururawat, boleh pula dia menguruskan sendiri
anaknya. Elok aje kamu datang, terus dah tak menyempat
nak suruh bekerja?” leter Hajah Aminah.
“Dah kenapa dengan awak ni, Minah? Tentulah
majikan si Zureen tu perlukan sangat khidmat Zureen. Kalau
tidak, takkan sampai diiklankannya di Internet? Apalah yang
nak dirisaukan sangat. Si Zureen ni bukannya kerja jauh
sangat pun. Depan mata aje. Lainlah si Zahrin, Zahnita dan si
Zahin tu. Kalau susah-susah sangat, kita pergi saja ke rumah
majikan si Zureen ni kalau awak dah tak tahan rindu sangat!”
Akhirnya Haji Zailan bersuara juga. Rimas dilihat perangai
isterinya yang tak habis-habis membebel.
Zureen bimbang jika umi dan babanya akan
bertengkar disebabkannya. Dia bingkas bangun dari
pangkuan uminya. Dicium pipi uminya. Masih cuba
memujuk.
“Umi... dahlah. Zureen janji... Zureen akan balik
tiap-tiap minggu. Umi jangan marah Zureen lagi ya?” Dicium
pipi uminya lagi. Kali ini bertalu-talu hingga membuat Hajah
Aminah tertawa kecil akibat kegelian.
“Haaa... macam tu la. Manisnya bila umi senyum,”
Zureen cuba mengusik uminya.
“Zureen mesti janji dengan umi balik setiap
minggu tau! Kalau Zureen tak balik, umi akan susur Zureen
kat sana!” Akhirnya Hajah Aminah mengalah. Dia sedar, dia
tidak mampu menghalang lagi.
“Terima kasih, umi. Zureen janji. Saaaaayang
umi.....” Dicium pipi uminya lama.
“Dahlah Zureen. Dah naik lemas umi asyik kena
cium dengan Zureen aje.”
Zureen menarik nafas lega apabila melihat uminya
tidak merajuk dan marah kepadanya lagi. Dia meminta izin
untuk masuk ke biliknya. Dia belum lagi mengemas
pakaiannya, sedangkan esok dia sudah mula bertugas sebagai
jururawat peribadi untuk Syed Redza, anak teruna Datin Raja
Fatimah.
“Umi, baba... Zureen nak masuk bilik dulu. Zureen
belum berkemas kain baju Zureen lagi ni...” ujarnya.
“Pergilah...” Umi dan babanya menjawab serentak.
Zureen berlalu ke biliknya. Dia menghempaskan
badannya di atas katil. Zureen tahu, dia pasti merindui
biliknya kerana selepas ini dia terpaksa meninggalkan
biliknya. Hanya pada hujung minggu sahaja dia berpeluang
melepak di biliknya kerana dia akan menjadi penghuni
banglo mewah itu pula.
“Macam manalah keadaan aku bila duduk di sana
nanti? Boleh ke aku jadi jururawat untuk lelaki beku tu? Ya
Allah permudahkanlah urusanku nanti.” Zureen bercakap
sendiri.
Menyedari dirinya belum berkemas satu pun lagi,
Zureen mencapai beg pakaian yang telah lebih dua bulan
tersimpan di dalam almari pakaiannya. Dia memasukkan
segala yang diperlukan ke dalam beg pakaiannya. Sedang dia
leka mengemas, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia
segera mencapai telefon bimbitnya. Nama Haziq Daniel,
abang angkatnya tertera di skrin telefonnya. Senyuman
tersungging di bibir mongel Zureen.
“Macam tahu-tahu aje aku nak call dia lepas ni,”
bisik Zureen sebelum menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum...” Zureen memulakan bicara
sebaik sahaja menjawab panggilan itu.
“Waalaikumsalam. Hai, Zureen tengah buat apa
tu?” Lembut suara Haziq menyapa telinga Zureen.
“Zureen tengah kemas baju ni..”
“Kemas baju? Rajinnya adik abang ni.” Haziq
menyangka Zureen sedang menyusun pakaiannya.
“Bukan sebab rajinlah, bang... tapi Zureen tengah
packing baju.”
“Packing baju?? Eh, Zureen nak ke mana pula ni?”
Haziq bertanya pelik.
“Zureen dah dapat kerja.”
“Dah dapat kerja? Tak beritahu abang pun! Zureen
dapat kerja apa? Kerja kat mana? Macam jauh aje sampai nak
packing baju bagai?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari
mulut Haziq.
“Zureen baru aje dapat kerja tu tadi. Pergi interview
petang tadi, terus dapat kerja tu. So, esok Zureen dah mula
kerja.”
“Kerja apa tu? Senang sangat dapat? Hari ni
interview esok terus mula kerja?” Haziq tidak puas hati.
“Jururawat peribadi..”
“Jururawat peribadi? Amboi, abang yang doktor ni
pun tak ada jururawat peribadi. Zureen jadi jururawat
peribadi siapa pula ni? Macam mana Zureen boleh dapat kerja
tu?”
“Masa Zureen tengah survey kerja kat Internet,
Zureen terbaca iklan ni. Zureen terus cuba. Tak sangka pula
boleh terus dapat.”
“Kat mana? Jauh ke?”
“Taklah dekat aje. Kat Ledang Height.”
“Ledang Height? Habis tu sampai packing baju tu
kenapa pula?”
Zureen diam sebentar. Tidak tahu patut atau tidak
untuk dia memberitahu abang angkatnya itu.
“Zureen!! Dengar tak abang tanya ni?”
“Zureen kena tinggal kat tempat kerja Zureen tu.”
Perlahan Zureen menuturkannya kerana dia tahu abang
angkatnya itu pasti tidak bersetuju. Kadang-kadang Zureen
rimas juga dengan sikap Haziq yang terlalu mengambil berat
terhadapnya hingga mengalahkan abang-abangnya sendiri.
Abang Zahrin dan Zahin pun tak ambil berat macam tu
sekali!
“Kena tinggal kat tempat kerja Zureen? Hishh!
Abang tak fahamlah. Kerja apa yang Zureen dapat ni? Macam
nilah Zureen.... Zureen tunggu. Abang nak datang rumah
Zureen sekarang!”
Zureen terperanjat dengan tindakan melulu abang
angkatnya itu.
“Eh, tak payahlah bang. Dah lewat ni. Esok pagi
Zureen dah nak mula kerja. Nanti apa pula kata umi dan baba
Zureen.”
“Abang tak kira. Abang nak datang juga. Abang nak
Zureen terangkan betul-betul pada abang. Abang tahu, umi
dan baba tak kisah. Zureen aje yang lebih-lebih. Okey, Zureen
tunggu abang. Dalam setengah jam lagi abang sampai.”
Haziq terus sahaja memutuskan talian sebelum sempat
Zureen menghalang.
Aduh! Bala... bala... Zureen sedar dia tidak dapat
mengelak lagi. Dia harus bersedia untuk menerangkan
kepada Haziq nanti. Zureen tidak menafikan, Haziq adalah
seorang abang angkat yang sangat mengambil berat tentang
dirinya. Haziq yang dikenalinya ketika menjalankan praktikal
di sebuah hospital swasta pernah menjadi doktor
pembimbingnya. Dari situlah mereka mulai rapat
sehinggakan teman-teman menyangka mereka bercinta.
Zureen menyenangi sikapnya yang cukup
mengambil berat. Mungkin kerana kedua-dua abangnya
duduk berjauhan darinya menyebabkan Zureen dengan cepat
meminta Haziq menjadi abang angkatnya. Haziq pula tidak
menolak kerana dia cukup menyenangi sikap Zureen yang
manja itu.
Zureen akui memang dia agak manja pada semua
ahli keluarganya, terutama abangnya, Zahin. Jarak umur
mereka yang hanya beza dua tahun, menyebabkan dia cukup
rapat dengan abang keduanya itu. Dahulu, sebelum abangnya
itu ditugaskan di pantai timur, dialah tempat Zureen
mengadu dan meluahkan apa jua masalah. Dialah abang,
dialah kawan dan dialah juga teman bergaduh.
Pernah satu ketika Zureen merasa amat cemburu
apabila mengetahui abang kesayangannya itu sudah ada
teman wanita kerana dia merasakan abangnya itu pasti akan
mengabaikannya setelah mempunyai teman wanita. Apabila
Zahin mula bertugas di Terengganu, kesibukan abangnya
dengan tugas yang baru, dan Zureen sendiri sibuk dengan
kuliahnya, mereka semakin jarang berhubungan. Disebabkan
itu Zureen semakin kesepian.
Kehadiran abang angkatnya, Dr. Haziq Daniel telah
mengubati kesepiannya. Zureen tahu, Haziq hanya
menganggapnya tidak lebih daripada seorang adik kerana
abang angkatnya itu pernah memberitahunya yang dia tidak
mempunyai adik perempuan dan sebab itu apabila Zureen
menyatakan hasrat untuk menjadikan Haziq sebagai abang
angkatnya, Haziq tidak menolak.
Lamunan Zureen terhenti sebaik sahaja mendengar
umi memanggil namanya. Zureen tahu, pasti Haziq sudah
sampai. Dia segera mencapai tudung yang tersangkut di
palang katil kemudian menuju ke ruang tamu. Seperti yang
dijangka, Haziq sudah duduk di sofa bersama umi dan
babanya. Umi dan babanya memang mengenali Haziq kerana
sudah beberapa kali Haziq berkunjung ke rumahnya sebelum
ini. Umi dan babanya juga telah menganggap Haziq seperti
anak angkat mereka dan sebab itu Haziq sudah tidak kekok
lagi bila berada di rumah Zureen.
Semasa Zureen sampai di ruang tamu, tajam mata
Haziq merenungnya. Jelas riak wajahnya yang tidak berpuas
hati.
“Assalamualaikum... Dah lama abang sampai?”
“Waalaikumsalam. Baru aje...” Haziq cuba
mengawal nada suaranya agar tidak ketara perasaan tidak
puas hatinya.
“Zureen tak beritahu Abang Haziq ke pasal kerja
baru Zureen tu?” Hajah Aminah bertanya. Nampaknya Haziq
sudah bercerita kepada umi dan babanya.
“Belum lagi...” jawabnya perlahan setelah
melabuhkan punggung di sebelah uminya.
“Hmm... patutlah,” jawab umi pendek.
Patutlah? Apa yang patut? Zureen perasan, uminya
pun dah pandai cakap separuh-separuh semenjak mendapat
anak angkat.
“Baba... umi... Saya nak minta izin bawa Zureen
keluar sekejap boleh? Lepas ni tak tahulah boleh jumpa
Zureen lagi tak kalau dah mula kerja.” Pandai sungguh Haziq
memberi alasan untuk membawanya keluar.
Zureen berdoa dalam hati agar umi dan babanya
tidak mengizinkan. Jika boleh, Zureen memang tidak mahu
keluar dengan Haziq ketika ini. Dia malas hendak menjawab
soalan-soalan Haziq nanti. Dia dapat merasakan suasananya
pasti seperti polis yang menyiasat penjenayah. Selagi tidak
dapat jawapan yang memuaskan hatinya, selagi itulah dia
akan terus bertanya.
Zureen memandang mata umi dan babanya
memohon simpati. Memohon simpati agar permintaan Haziq
ditolak.
“Pergilah... Tapi jangan balik malam sangat. Esok si
Zureen tu dah mula bekerja.” Jawapan daripada babanya
benar-benar menyesakkan nafas Zureen.
Dengan seribu kepayahan, Zureen melangkah ke
biliknya untuk menukar baju. Takkanlah dia hendak keluar
dengan baju tidurnya. Dia bersiap ala kadar sahaja. Memang
dia tiada mood langsung untuk keluar waktu-waktu begini.
Haziq pula menantinya dengan senyuman kemenangannya.
Hishh! Menyampah betul!
“Kami pergi dulu ya baba... umi...”
Kedua-dua orang tua Zureen hanya mengangguk
dan menghantar pemergian Zureen dan Haziq dengan
pandangan mata.
Di dalam kereta, Zureen diam seribu bahasa. Dia
malas untuk memulakan bicara. Biarlah Haziq yang
mulakan. Dia hanya akan menjawab bila ditanya.
“Kenapa diam aje? Tak suka jumpa abang ke?”
Haziq memecahkan kebisuan.
“Tak ada apa nak cakap,” balas Zureen acuh tidak
acuh.
“Tak ada apa nak cakap? Bukan ke banyak perkara
yang Zureen kena cakap pada abang sekarang?”
Zureen masih diam membisu. Haziq juga tidak
bertanya. Dia terus memandu menuju ke Puteri Harbour. Dia
memarkirkan keretanya di kawasan parkir kereta. Kelihatan
ramai orang yang duduk bersantai di atas tembok batu yang
menghadap kapal-kapal perlayaran yang mewah dan juga botbot
kecil yang berlabuh di pelabuhan itu.
“Jom kita pergi minum.” Haziq cuba berlembut.
Sudah terbalik keadaan sekarang ini. Sepatutnya dia yang
harus merasa marah, tetapi sebaliknya Zureen pula yang
mendiamkan diri.
“Zureen tak haus!” Masih dingin.
“Okey.. kalau Zureen tak nak minum, mari kita
berbual kat sana tu.”
Haziq mula bergerak menuju ke tempat yang
ditunjukkannya tadi. Langkahnya terhenti apabila melihat
Zureen masih membatu di situ.
“Zureen... cepatlah. Kan tadi umi dan baba dah
pesan jangan balik lewat.” Agak keras suara Haziq kali ini.
Nak tak nak, terpaksalah Zureen mengekori langkah abang
angkatnya itu.
Mereka duduk di tepi tembok menghadap laut.
Angin malam yang bertiup cukup menyejukkan terasa
sehingga ke tulang.
“Kenapa Zureen tak beritahu abang?” Haziq
memulakan bicara.
“Zureen memang nak beritahu abang tadi tapi tak
sangka abang yang dah telefon Zureen dulu.” Zureen cuba
menjelaskan supaya Haziq tidak salah sangka kepadanya.
“Maksud abang... kenapa Zureen tak minta
pendapat abang sebelum pergi interview tu?” Keras suara
Haziq.
“Zureen nak kena report kat abang ke setiap apa
yang Zureen nak buat? Abang selalu layan Zureen macam
budak kecik! Zureen dah dewasalah, bang. Zureen tahu apa
yang Zureen buat!” bentak Zureen.
“Habis... Abang ni siapa pada Zureen?” balas Haziq
geram.
“Abang Zahrin dan Zahin sendiri pun Zureen tak
beritahu, kenapa pula Zureen nak kena beritahu abang?”
Haziq terdiam mendengar kata-kata Zureen. Pedih
hatinya. Dia sedih mendengar kata-kata Zureen yang seolahShila
olah tidak mempedulikan kehadirannya dalam hidup gadis
comel itu. Haziq tidak tahu kenapa hatinya begitu kasih
terhadap Zureen walaupun dia tahu Zureen hanya
menganggap dirinya tidak lebih daripada seorang abang.
“Mari kita balik!” ucap Haziq secara tiba-tiba dan
terus bangun meninggalkan Zureen yang terpinga-pinga.
Zureen baru tersedar. Dia sudah terlepas cakap dan
sudah pasti abang angkatnya itu berkecil hati. Jika tidak,
masakan dirinya ditinggalkan begitu sahaja. Zureen
mengejar Haziq. Dia berhenti betul-betul di hadapan Haziq
seolah-olah ingin menghalang Haziq daripada terus berjalan.
Haziq bergerak ke kiri, Zureen juga bergerak ke kiri dan
apabila Haziq bergerak ke kanan, Zureen turut sama
bergerak ke kanan. Zureen cuba mengacah. Mungkin dengan
cara itu dia boleh memujuk hati Haziq yang berkecil hati
dengan kata-katanya tadi.
“Zureen!! Tepi!” kuat suara Haziq hingga
memeranjatkan Zureen.
“Abang Haziq..... Zureen minta maaf. Zureen
terlepas cakap tadi. Zureen tahu, Zureen tak sepatutnya
cakap begitu pada abang tadi... Maafkan Zureen ya Abang
Haziq!” rayu Zureen sambil melekapkan kedua-dua belah
tapak tangannya tanda dia meminta maaf.
Terasa lemah lutut Haziq setiap kali Zureen
memanggilnya begitu. Dia cukup suka Zureen memanggilnya
seperti itu kerana dia dapat merasakan Zureen amat
memerlukan dirinya dan terasa sangat dihargai. Ikutkan hati,
mahu saja dipeluk gadis comel itu. Dia cuba mengawal
dirinya. Dia hanya menarik hidung Zureen untuk
melepaskan perasaannya.
“Aduh! Sakitlah bang.” Zureen memegang
hidungnya. Hatinya sedikit lega. Dia tahu Haziq sudah
memaafkannya.
“Zureen nak cerita kat abang tak? Kalau tak nak
kita balik aje sekarang.”
“Yalah... Yalah... Zureen nak ceritalah ni.”
Mereka kembali ke tempat duduk tadi. Zureen
menceritakan semua mengenai kerja barunya. Haziq
mendengar dengan khusyuk walaupun sesekali dia agak
kurang senang mendengar cerita Zureen tentang pesakit
yang harus dijaga oleh Zureen. Entah kenapa dia merasa
tidak sedap hati!
“Perlu ke Zureen tinggal di situ?” Haziq kurang
setuju dengan syarat yang akhir itu.
“Abang.... dah majikan Zureen arahkan, Zureen
kenalah ikut.”
“Kalau berulang-alik pun abang rasa tak ada
masalah, kan?”
“Abang ni sama aje dengan umi tau. Risau tak tentu
fasal. Kan Zureen dah cakap tugas Zureen tak tentu masa.
Zureen perlu bersedia jika diperlukan bila-bila masa.”
Haziq diam. Dia tahu Zureen sudah nekad untuk
menerima kerja itu. Jadi dia sebagai abang angkat, harus
memberi sokongan.
“Kalau Zureen dah cakap macam tu, abang tak
boleh nak kata apa lagi. Abang harap Zureen jaga diri baikbaik.
Kalau ada apa-apa masalah, hubungi abang segera.
Janji?”
“Zureen janji..” balas Zureen sambil mengangkat
tangan kanannya seperti orang yang sedang membaca ikrar
rukun Negara.
Haziq menarik hidung mancung Zureen lagi. Kali
ini lebih lama sehingga Zureen menjerit kesakitan. Seperti
biasa, dia hanya akan tersenyum tanda puas. Hanya itu sahaja
yang mampu dilakukan untuk melampiaskan perasaannya
terhadap gadis comel yang tidak pernah tahu isi hatinya yang
sebenar itu.
Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba Haziq
membelokkan keretanya memasuki kawasan Ledang Height.
Zureen pelik dengan tindakan Haziq itu.
“Eh, kita nak ke mana ni bang?”
“Abang nak Zureen tunjukkan banglo tempat kerja
Zureen tu. Kalau ada apa-apa berlaku, senang abang nak cari
Zureen.”
“Tak payahlah bang. Kan dah lewat ni!” bantah
Zureen.
“No... Zureen mesti tunjukkan juga. Kalau tak,
abang tak nak hantar Zureen balik!”
Akhirnya terpaksa juga Zureen menunjukkan
tempat kerjanya itu. Setelah berpuas hati, barulah Haziq
memandu pulang.
Dalam perjalanan pulangnya selepas menghantar
Zureen, Haziq tidak tahu kenapa hatinya digaru keresahan
sebaik sahaja melihat kediaman tempat Zureen akan bekerja.
Dia bimbang jika Zureen akan tenggelam bersama
kemewahan yang ada di banglo mewah itu dan apa yang lebih
merisaukan dirinya ialah sekiranya Zureen akan turut sama
melupakan dirinya walaupun kehadiran dirinya di sisi Zureen
hanya sebagai seorang abang angkat sahaja.
Entah kenapa, jauh di sudut hatinya, dia merasa
seolah-olah terancam walaupun dia sendiri kurang pasti
punca perasaan itu. Dia ingin sangat melihat keadaan pesakit
yang akan dijaga Zureen itu. Adakah anak kepada bakal
majikan Zureen itu masih bujang? Apakah sakitnya? Seserius
mana sakitnya? Semua persoalan itu begitu menghimpit
perasaannya kerana dia tahu Zureen tidak menceritakan
keadaan sebenar kepadanya.
Haziq sudah mula merangka tindakan-tindakan
yang akan diambilnya jika semua persoalan yang amat
dibimbanginya itu benar-benar terjadi. Akhirnya dia
memberhentikan seketika keretanya di tepi lebuh raya
setelah fikirannya dirasakan semakin berserabut.
“Zureen!!!! Kenapalah kau tak mengerti perasaan
aku ni!!!???” Haziq menjerit sekuat hatinya bagi melepaskan
keresahan yang semakin menggunung dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment