Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 3

Hari pertama berada di banglo mewah
membuatkan hati Zureen serba tidak keruan. Agak payah
juga untuknya menyesuaikan diri di situ. Mujurlah sikap
Datin Raja Fatimah yang cukup menyenangkan Zureen,
dapat mengurangkan perasaan kurang selesa Zureen itu.
Hari ini lebih kepada sesi suai kenal. Datin Raja
Fatimah menunjukkan semua selok-belok di dalam banglo
mewah itu. Katanya, dia mahu Zureen menganggap banglo
mewah itu seperti rumahnya sendiri. Kadang-kadang terdetik
juga dalam hati Zureen, mengapa Datin Raja Fatimah terlalu
mempercayainya? Dari tindak tanduknya, dia sedikit pun
tidak mencurigai Zureen walaupun baru semalam sahaja dia
mengenali Zureen.
“Auntie... kalau Zureen tanya sikit boleh?” Zureen
memberanikan dirinya untuk bertanya.
“Hmmm.... Apa dia Zureen?”
“Kenapa auntie macam senang aje percayakan
Zureen? Padahal baru semalam aje auntie kenal dengan
Zureen. Zureen tengok auntie macam tak ada sikit pun
perasaan curiga pada Zureen. Manalah tahu kalau-kalau
Zureen ni jenis orang yang tak jujur ke atau jenis yang suka
mengambil kesempatan di atas kebaikan auntie ke? Auntie
tak takut ke?”
Datin Raja Fatimah hanya tersenyum mendengar
pertanyaan Zureen itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Entah
kenapa, dia cukup menyenangi gadis comel itu.
“Zureen percaya tak pada gerak hati?” soal Datin
Raja Fatimah pula.
Berkerut dahi Zureen. Pelik dengan soalan yang
ditanya.
“Gerak hati? Macam mana tu? Zureen tak faham,”
balas Zureen. Dia bertambah pelik. Apa pula kaitan soalan
Datin Raja Fatimah dengan soalannya tadi?
“Orang putih kata instinct.”
“Instinct? Ooo.... macam orang yang ada sixth
senselah!”
“Tak adalah sampai peringkat sixth sense. Mungkin
Zureen pernah rasa tak sedap hati tapi tak tahu kenapa and
then something bad happen.”
Zureen mengangguk-angguk. Masih cuba untuk
memahami apa yang hendak disampaikan oleh Datin Raja
Fatimah.
“Auntie percaya kepada gerak hati auntie. Kali
pertama auntie jumpa Zureen semalam, tak tahu kenapa
auntie rasa cukup selesa dengan Zureen dan soalan Zureen
tadi mengukuhkan lagi gerak hati auntie.”
Datin Raja Fatimah diam seketika. Kemudian dia
menyambung lagi.
“Orang yang tidak jujur, cuba untuk mengambil
kesempatan atau apa-apa jua pun niatnya yang tidak baik, tak
akan bertanya seperti apa yang Zureen tanya tadi. Dari situ
auntie tahu Zureen macam mana,” terang Datin Raja
Fatimah sambil menggenggam tangan Zureen erat.
Ketika itu, mereka berada di dalam bilik yang telah
dikhaskan untuk Zureen. Bilik itu berdekatan dengan bilik
Syed Redza. Menurut Datin Raja Fatimah, dia sengaja
memberikan Zureen bilik yang berhampiran dengan bilik
Syed Redza supaya mudah Zureen untuk memantau keadaan
kesihatan Syed Redza nanti.
“Auntie.... Zureen tanya lagi boleh?” Zureen
bertanya lagi. Kalau diikutkan hatinya, memang hendak saja
dia menanyakan seribu satu persoalan yang berada di
benaknya ketika itu.
Seperti biasa Datin Raja Fatimah hanya akan
tersenyum apabila Zureen meminta izin untuk bertanya.
“Wah, banyak betul ya yang Zureen nak tahu.
Tanyalah. Kalau auntie boleh jawab, auntie akan jawab.”
“Sejak semalam, Zureen tak nampak pun kelibat
datuk? Maaflah kalau auntie tak selesa dengan soalan Zureen.
Bukanlah niat Zureen nak menyibuk hal famili auntie tapi
Zureen rasa Zureen patut tahu juga tentang orang-orang
dalam rumah ni. Lepas ni kan Zureen dah jadi jururawat
peribadi anak auntie, mungkin perkara-perkara ini dapat
membantu Zureen menjalankan tugas dengan baik,” terang
Zureen dalam keadaan serba salah.
“It’s okay Zureen. Jangan bimbang... Tak ada apa
yang salah pun dengan soalan Zureen tu. Zureen tunggu kat
sini sekejap ya,” balas Datin Raja Fatimah seraya bangun
meninggalkan Zureen yang terpinga-pinga.
Datin Raja Fatimah kembali semula ke bilik Zureen
dengan di tangannya memegang beberapa buah album
gambar. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah
Zureen lalu membuka salah sebuah album yang dibawanya
tadi.
“Kalau Zureen nak kenal, yang inilah suami
auntie... Dato’ Syed Munawar. Zureen memang tak nampak
kelibat uncle sebab dia outstation ke Dubai hingga hujung
minggu ni...” Datin Raja Fatimah mula memperkenalkan
suaminya kepada Zureen.
“Wow! Handsomenya, auntie. Mesti masa mudamuda
dulu lagi handsome, kan?” Zureen tanpa sedar telah
memuji kekacakan suami Datin Raja Fatimah.
Memang tidak dapat dinafikan, Dato’ Syed Munawar
masih kelihatan segak walaupun kelihatan sudah agak
berusia. Terserlah darah keturunan Arab di wajahnya.
Memang sangat sepadan bila melihat pula gambar Datin Raja
Fatimah yang bergandingan dengan suaminya. Tidak
hairanlah jika anak teruna pasangan Dato’ dan Datin itu,
Syed Redza juga kacak. Sudah tentu mewarisi ketampanan
dan kecantikan kedua-dua ibu bapanya. Tapi sayang wajah
yang kacak itu telah tenggelam dek sikap dingin, sejuk dan
beku lelaki itu. Entah apalah masalah yang telah menimpa
lelaki itu sehingga menjadikannya bersikap demikian.
Datin Raja Fatimah hanya tersenyum mendengar
pujian Zureen itu.
“Yang ini pula tentu Zureen dah kenal, kan?” soal
Datin Raja Fatimah sambil jari telunjuknya terarah kepada
gambar seorang lelaki kacak.
“Siapa ni auntie? Anak auntie yang kedua ke?”
“Zureen tak cam ke? Inilah Syed Redza.”
Zureen agak tergamam mendengar jawapan Datin
Raja Fatimah kerana memang dia langsung tidak menyangka
gambar yang ditunjukkan oleh majikannya itu ialah Syed
Redza. Syed Redza yang dilihatnya di dalam gambar baginya
sangat berbeza dengan Syed Redza yang dilihat dengan
matanya sendiri semalam. Di dalam gambar itu, Syed Redza
kelihatan sangat bergaya berdiri menyandar pada sebuah
kereta sport dan jika Zureen tidak silap, kereta sport itu juga
yang sedang terparkir di bahagian hadapan banglo mewah
itu. Sekali pandang memang langsung tak ubah seperti
seorang model kereta. Senyuman terukir di bibir dan riak
wajahnya begitu riang sekali. Berbeza dengan riak wajah
yang dilihatnya semalam.
Teringatkan Syed Redza, tiba-tiba Zureen jadi
resah. Bolehkah dia menjalankan tugasnya dengan baik?
Mampukah dia bersabar? Walaupun dia sendiri belum pun
memulakan tugas untuk lelaki itu, namun teringatkan
soalan-soalan Datin Raja Fatimah semalam, dia jadi bimbang
pula. Ringan saja mulutnya ingin bertanya apakah yang telah
berlaku terhadap Syed Redza, tetapi terasa malu pula. Ah!
Biarkan saja. Nanti, pasti aku akan tahu juga. Hatinya
berbisik.
“Kenapa Zureen?” Soalan Datin Raja Fatimah
mematikan lamunannya.
“Err... tak ada apa-apa auntie.” Zureen cuba
menutup keresahan hatinya.
“Zureen.... kalau ada apa-apa yang Zureen nak
tanya auntie, tanyalah.”
“Eh, tak ada apa-apalah auntie.”
“Zureen tak payahlah tipu auntie. Auntie tengok
muka Zureen terus berubah bila auntie tunjukkan gambar
Redza tadi.”
Erkk? Betul ke muka aku berubah? Kalau betul,
malunya, gumam Zureen.
“Zureen nak tahu pasal Redza ya?” duga Datin Raja
Fatimah.
Aduh! Malunya. Memang Datin Raja Fatimah dapat
membaca isi hatinya.
“Sebenarnya.....” Datin Raja Fatimah terhenti
seketika. Suaranya kedengaran sebak.
“Auntie... It’s okay... Kalau auntie tak boleh cerita,
jangan paksa diri auntie. Zureen tak kisah.” Perasaan
bersalah menghantui Zureen. Jika dia boleh mengawal riak
air mukanya tadi, sudah tentu Datin Raja Fatimah tidak akan
sesedih ini.
“Tak.... Zureen perlu tahu.... sebab Zureen yang
akan berhadapan dengan Redza nanti..” Datin Raja Fatimah
tetap berkeras.
Datin Raja Fatimah menarik nafas dalam.
Kemudian dia menyambung semula.
“Ini tunang Redza... Maksud auntie bekas tunang
Redza. Lisa namanya.” Datin Raja Fatimah memulakan bicara
sambil jari telunjuknya mengarah kepada gambar seorang
gadis. Cantik! Memang sepadan dengan Redza.
Tunang? Maknanya anak majikannya itu sudah
bertunang? Tetapi baru saja dia dengar dari mulut Datin Raja
Fatimah sendiri bekas tunang. Mereka sudah putus
tunangkah? Kenapa pula putus tunang? Adakah ini punca
Syed Redza kemalangan? Bertalu-talu soalan yang datang
menerpa fikirannya. Semakin kuat keinginan Zureen untuk
tahu apa sebenarnya yang telah menimpa Syed Redza.
“Mereka dah putus tunang ke auntie?” Akibat
terlalu ingin tahu, terlontar juga soalan yang sedang bermain
dalam fikirannya tadi.
“Sebenarnya auntie pun tak tahu apa yang berlaku.
Apa yang auntie tahu, sebelum kemalangan tu, mereka
bergaduh besar. Redza terlalu marah dan kecewa hingga
akhirnya.... dia kemalangan.” Air mata kelihatan bergenang
di kelopak mata Datin Raja Fatimah.
“Tunang... err.. maksud Zureen bekas tunang
Redza, dia tak tahu ke Redza kemalangan? Siapa yang
putuskan tali pertunangan?” Semakin kuat perasaan ingin
tahu Zureen.
“Semenjak Redza kemalangan sehinggalah ke hari
ini, auntie langsung tak dengar khabar berita daripada Lisa.
Sepanjang tempoh Redza koma, jangankan kata nak datang
melawat, bertanya khabar pun tidak. Auntie tunggu juga
hingga bila Lisa akan muncul tapi hingga ke hari Redza sedar
daripada koma, dia tak juga muncul. Auntie anggap Lisa
sudah tidak sayangkan Redza lagi... dan kami semua
menganggap mereka tiada sebarang hubungan lagi.”
“Auntie tak beritahu keluarga Lisa?”
“Mereka pun ambil sikap berdiam diri.... Kalau
orang dah tak sudi, takkan kami nak merayu lagi. Mungkin
dah tak ada jodoh....” balas Datin Raja Fatimah tenang.
“Zureen....”
“Kenapa auntie?”
“Boleh Zureen tolong auntie?”
“Tolong apa, auntie? Beritahulah Zureen. Kalau
Zureen boleh tolong, Zureen akan cuba.”
“Zureen bantu auntie untuk rawat Redza.”
Zureen tersenyum mendengar permintaan Datin
Raja Fatimah. Ingatkan apalah tadi. Sememangnya dia
dibayar gaji untuk membantu merawat Redza.
“Auntie... memang Zureen datang ke sini kan
untuk jadi jururawat peribadi Redza. Kalau auntie tak cakap
pun, memang itulah tugas dan tanggungjawab Zureen.”
“Maksud auntie bukan saja merawat fizikal Redza
yang sakit, tapi juga tolong bantu auntie rawat perasaan
Redza. Zureen mesti bantu auntie untuk pulihkan kembali
perasaan Redza. Zureen janji tolong auntie ya!” Begitu
mengharap suara Datin Raja Fatimah.
Zureen terdiam seketika. Agak berat juga
permintaan Datin Raja Fatimah itu. Dia tidak berani berjanji
apa-apa pun kerana dia belum lagi berhadapan dengan Syed
Redza. Namun, dia juga tidak sampai hati mendengar rayuan
Datin Raja Fatimah. Daripada renungan matanya yang penuh
mengharap, menggambarkan betapa beratnya penderitaan
yang terpaksa ditanggungnya demi anak tunggal
kesayangannya itu. Raut wajah Datin Raja Fatimah yang
terlalu tenang telah berjaya menyembunyikan segala
keperitan yang dialaminya.
Satu persoalan lagi yang berlegar-legar di ruang
fikirannya. Kenapa mesti aku? Tiada orang lainkah yang lebih
layak untuk menggalas tugas berat itu? Hatinya terus
berbisik!
“Zureen....” tegur Datin Raja Fatimah apabila
melihat Zureen hanya mendiamkan diri.
“Auntie... Zureen tak berani nak janji apa-apa,
tapi.... apa yang boleh Zureen katakan, Zureen akan cuba
sedaya upaya Zureen. Auntie jangan meletakkan harapan
yang terlalu tinggi pada Zureen sebab Zureen jadi takut....
Zureen takut kalau-kalau Zureen tak mampu nak bantu
auntie.” Zureen meluahkan isi hatinya dengan berhati-hati
agar Datin Raja Fatimah tidak salah faham terhadapnya.
“Auntie tahu Zureen boleh. Thanks sayang..” Datin
Raja Fatimah memeluk Zureen dengan kemas. Terasa titisan
air hangat di leher Zureen.
Sekali lagi kalimah sayang meniti di bibir Datin
Raja Fatimah. Zureen sungguh terharu atas kepercayaan
yang diberikan kepadanya. Dia berjanji kepada dirinya, dia
akan cuba membantu Syed Redza. Demi Datin Raja Fatimah
dia sanggup!
Pelukan mereka terlerai sebaik sahaja mendengar
pintu bilik Zureen diketuk. Datin Raja Fatimah bangun dan
membuka pintu.
“Maaf Datin. Dr. Rashdan udah sampai. Dia sedang
tunggu di bawah.” Pembantu rumah Indonesia yang bernama
Siti memaklumkan kepada Datin Raja Fatimah sebaik sahaja
pintu bilik dibuka.
“Ya. Terima kasih Siti. Minta Dr. Rashdan tunggu
sebentar. Sekejap lagi saya turun,” balas Datin Raja Fatimah.
“Baik Datin.”
Datin Raja Fatimah kembali mendapatkan Zureen.
“Mari Zureen... Auntie nak kenalkan Zureen dengan
doktor peribadi Redza.”
Zureen hanya mengangguk dan terus menuruti
langkah Datin Raja Fatimah. Sesampainya mereka di bawah,
Datin Raja Fatimah terus sahaja memperkenalkan Zureen
dengan Dr. Rashdan.
“Assalamualaikum. Maaf doktor sebab terpaksa
menunggu. Kenalkan Cik Zureen, jururawat peribadi anak
saya. Zureen, ini Dr. Rashdan, doktor peribadi Redza.”
Zureen dan Dr. Rashdan saling mengangguk dan
tersenyum.
“Oh, inilah jururawat peribadi Redza yang baru ya?
Harap-harap kali ni bertahan lamalah hendaknya.” Dr.
Rashdan seperti berseloroh. Namun, bagi Zureen kata-kata
Dr. Rashdan itu cukup meresahkan hatinya.
Mereka berbual seketika. Sekadar untuk mengenali
antara satu sama lain sambil menikmati hidangan ringan
yang disediakan.
“Okey Cik Zureen... Sekarang masa untuk kita
menjalankan tugas. Come... let me explain your job,” Dr.
Rashdan memulakan bicara selepas mereka berbual seketika.
Zureen mengangguk. Dia menarik nafas dalamdalam
dan menghembuskannya perlahan-perlahan.
“Come on Zureen... You can do it,” hatinya
berbisik. Motivasi untuk dirinya sendiri.
Mereka beriringan ke bilik Syed Redza. Datin Raja
Fatimah menggenggam tangan Zureen. Walaupun Zureen
tidak tahu kenapa, namun dia boleh mengagak. Pasti Datin
Raja Fatimah ingin memberikan kekuatan untuknya
memulakan tugas pertamanya.
Sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke bilik
Syed Redza, Dr. Rashdan terus sahaja memulakan tugasnya.
Ketika itu, Syed Redza masih terbaring di atas katil bersaiz
king miliknya. Mungkin masih belum bangun daripada tidur
kerana jam ketika itu menunjukkan pukul 9.15 pagi. Tangan
Dr. Rashdan lincah memasang alat untuk memeriksa tekanan
darah di lengan Syed Redza sambil mulutnya tidak berhentihenti
menerangkan kepada Zureen apa yang perlu
dilakukannya setiap hari. Zureen pula kelihatan sibuk
mencatat di dalam diarinya.
Zureen cukup pelik. Syed Redza tidak
menunjukkan sebarang reaksi walaupun dirinya sedang
diperiksa oleh Dr. Rashdan. Seperti sedang memeriksa mayat
hidup! Hanya sesekali dia bergerak. Namun, matanya terus
terpejam rapat seolah-olah tiada langsung manusia di
sekelilingnya ketika itu. Nyenyak sangatkah tidurnya?
Zureen sempat mengamati wajah polos Syed Redza.
Sayang sekali, wajah yang kacak itu telah ditutupi oleh
jambang-jambang yang tumbuh liar hingga wajahnya
kelihatan berserabut sekali sekaligus menggambarkan betapa
beratnya penderitaan yang ditanggung lelaki ini. Rambutnya
yang kerinting pula kelihatan bergulung-gulung tidak
terurus. Zureen juga sempat membayangkan betapa
kacaknya wajah lelaki ini sekiranya semua jambang telah
dicukur dan rambutnya dipotong kemas. Pasti sekacak wajah
yang dilihat di dalam album tadi. Zureen tersenyum sendiri
melayan khayalannya itu.
“Cik Zureen... what so funny?” Soalan Dr. Rashdan
yang tidak diduga itu benar-benar memalukannya. Datin Raja
Fatimah turut tersenyum seolah-olah faham apa yang sedang
bermain dalam fikirannya. Aduh! Malunya. Come on
Zureen... stop dreaming!
Dr. Rashdan meneruskan penerangannya. Kali ini
Zureen cuba memberikan fokus sepenuhnya kerana selepas
ini tugas-tugas itu akan digalas sepenuhnya olehnya. Zureen
juga perlu merekodkannya di dalam fail laporan yang telah
disediakan oleh Dr. Rashdan kerana selepas ini tugas Dr.
Rashdan hanya memantau keadaan kesihatan Syed Redza
berdasarkan rekod yang dibuat oleh Zureen. Selain itu,
Zureen juga diingatkan supaya mematuhi jadual pemberian
ubat kepada Syed Redza. Pendek kata, semua tugas Zureen
telah diterangkan dengan sangat teliti dan mesti dipatuhi
Zureen. Tidak hairanlah kenapa Datin Raja Fatimah meminta
dirinya tinggal di banglo itu kerana memang ternyata
tugasnya tidak mengira waktu.
Selesai memberi penerangan mengenai tugas-tugas
yang perlu dilakukan oleh Zureen setiap hari, Dr. Rashdan
meminta diri untuk menyambung tugas di kliniknya pula. Ini
bermakna segala tugas yang telah diterangkan kepadanya tadi
perlu dilakukannya bersendirian tanpa Dr. Rashdan ataupun
Datin Raja Fatimah. Mungkin sesekali, Datin Raja Fatimah
boleh bersamanya ketika merawat Syed Redza kerana dia
juga mempunyai tugas yang lain yang perlu dibereskan.
Disebabkan itu, jururawat peribadi diperlukan untuk
merawat Syed Redza sepenuh masa. Mampukah aku? Come
on Zureen... you can do it! Malaysia boleh, Zureen juga pasti
boleh! Lagi motivasi untuk dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment